Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 4

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

“Takutlah kepada langkah-langkah yang boleh membawa ke arah kehancuran. Takutlah kepada Tuhan dan berjalanlah di atas landasan takwa. Janganlah menyembah makhluk Allah. Hadapkanlah seluruh perhatian kamu kepada Allah supaya perhatian kamu kepada dunia ini menjadi tawar dan berkurangan. Dan jadilah kamu milik-Nya dan jalanilah kehidupan kamu semata-mata untuk Allah, tanamkan kebencian terhadap segala kekotoran dan dosa kerana Dia itu Suci. Setiap kali waktu pagi, hendaknya memberi kesaksian bahawa kamu telah melalui waktu malam dengan penuh ketakwaan, dan setiap waktu petang hendaknya menjadi saksi bahawa kamu telah melalui waktu siang dengan ketakutan di dalam hati terhadap Allah.

Janganlah takut akan laknat dunia, sebab laknat itu lama-kelamaan akan lenyap dengan sendirinya bagaikan asap yang hilang di udara. Ia tidak dapat mengubah siang menjadi malam. Apa yang kamu harus takuti ialah laknat Tuhan yang turun dari langit, iaitu laknat yang boleh membinasakan seseorang di dunia dan akhirat.
Kamu tidak dapat menyelamatkan diri kamu dengan sikap menunjuk-nunjuk, sebab Allah iaitu Tuhan kamu dapat melihat sampai ke dasar lubuk hati manusia. Adakah kamu dapat menipu Tuhan? Justeru itu, luruskanlah hati kamu, bersihkanlah serta sucikanlah batin kamu dan berdirilah di atasnya dengan seteguh-teguhnya.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 12)

Thursday, July 30, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 3

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam menjelaskan:-

“Memperlihatkan tanda-tanda rahmat adalah adat kebiasaan Tuhan semenjak zaman dahulu lagi. Tetapi kamu boleh mengambil bahagian dalam kebiasaan ini hanya apabila tidak ada suatu sebab yang memisahkan kamu dari-Nya, dan apabila kesukaan kamu menjadi kesukaan-Nya, dan kehendak kamu menjadi kehendak-Nya, dan kegembiraan kamu setiap masa, dan dalam setiap keadaan sama ada berhasil atau gagal, kamu tetap setia di istana-Nya sehingga apa yang Dia inginkan, kamu melakukannya dan menyerah kepada segala kehendak-Nya.

Jika kamu berbuat sedemikian, maka di dalam diri kamu akan kelihatan Wujud Tuhan yang sudah lama menyembunyikan Wajah-Nya. Apakah ada di antara kamu sekalian yang mengamalkan ajaran ini? Yang hanya mencari keredhaan-Nya? Dan yang tidak marah atas qadha’ dan qadar-Nya?

Jadi, apabila kamu menghadapi suatu musibah, maka kamu harus melangkah terus ke hadapan kerana itu adalah sarana keberhasilan bagi kamu, dan kamu hendaklah berusaha dengan sepenuh kekuatan kamu untuk menyebarkan ketauhidan-Nya di atas muka bumi, dan kamu hendaklah berbelas-kasihan kepada hamba-hamba Allah, dan janganlah berlaku aniaya terhadap mereka sama ada dengan mulut kamu, atau tangan kamu, atau dengan cara-cara lainnya.

Berusahalah untuk terus mendatangkan kebaikan kepada umat manusia. Janganlah sombong terhadap sesiapa walaupun orang bawahan kamu. Janganlah menghina orang lain walaupun orang itu menghina kamu. Hendaklah kamu bersikap merendah diri, lemah-lembut, baik hati dan bersimpati terhadap sesama makhluk sehingga kamu diterima di sisi Allah.

Banyak orang yang memperlihatkan diri seakan-akan mereka itu mempunyai peribadi yang lemah-lembut, padahal dalam diri mereka sama seperti tabiat serigala. Banyak orang yang secara zahir kelihatan sangat bersih sedangkan dalam hati mereka itu umpama ular berbisa. Jadi, kamu tidak akan diterima di sisi Allah seandainya zahir dan batin kamu tidak sama keadaannya.

Sekiranya kamu orang besar, kasihilah mereka yang kecil, dan jangan menghina mereka. Seandainya kamu terpelajar, berilah nasihat kepada orang-orang bodoh, dan bukannya merendah-rendahkan mereka. Jika kamu seorang yang kaya, khidmatilah orang-orang miskin dan bukannya meninggi diri dan sombong atas mereka.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 11-12)


Wednesday, July 29, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 2


Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Jelaslah bahawa melafazkan bai’at hanya melalui lidah sahaja tidak membawa erti apa-apa selagi hati tidak mengakui bersungguh-sungguh untuk beramal dengannya. Jadi, orang yang benar-benar akan beramal atas ajaranku, mereka akan masuk dalam rumahku yang mana Allah Ta’ala telah berjanji kepadaku INNII UHAAFIZU KULLA MANFID DAAR yakni ‘setiap orang yang berada di dalam empat penjuru dinding rumahmu akan Aku selamatkan’. Namun, jangan disalahfahami bahawa mereka itu hanyalah orang-orang yang berada dalam rumahku, yakni yang tinggal di dalam rumahku yang diperbuat daripada tanah dan batu. Malah mereka yang dimaksudkan juga ialah orang-orang yang benar-benar mentaatiku dan tinggal di dalam rumah rohaniku.

Dalam perkara keitaatan, mereka hendaknya sedemikian rupa meyakini bahawa mereka mempunyai satu Tuhan yang Maha Qadir, Qaiyum dan Maha Mencipta segala-galanya, yang sifatnya tidak berubah-ubah. Dia bukan anak kepada sesiapa dan tidak mempunyai anak, Dia benar-benar bebas dari menanggung kesusahan, tidak dinaikkan ke atas Salib dan tidak merasai kematian. Keadaannya seperti ini iaitu walaupun jauh, namun Dia dekat, dan walaupun dekat namun Dia jauh. Walaupun Dia Esa, namun penzahiran-Nya berbagai-bagai.

Bagi manusia, apabila Tuhan muncul di hadapannya dalam bentuk baru yang berbeza maka Ia menjadi satu Tuhan baru baginya, dan Tuhan akan memperlakukannya dalam bentuk yang lain. Dan insan melihat seolah-olah ada perubahan dalam diri Tuhan sedangkan tidak terdapat perubahan apa-apa pada diri Tuhan, malah sejak azali lagi sentiasa kekal seperti itu. Tetapi, semasa perubahan seorang insan, apabila berubah ke arah kebaikan, maka Tuhan pun akan menzahirkan kewujudan-Nya dalam bentuk yang baru. Dan dalam setiap kemajuan yang muncul pada diri seorang insan, maka penzahiran Kudrat Tuhan juga akan muncul seiring dengan kemajuan itu. Dia akan memperlihatkan Kudrat yang luar biasa apabila wujud perubahan luar biasa terjadi. Inilah akar bagi perkara luar biasa dan mukjizat, inilah Tuhan yang menjadi syarat dalam silsilah kita. Berimanlah kepada-Nya dan berilah keutamaan terhadap-Nya mengatasi diri kamu, kesenangan kamu dan yang lain-lain. Dan secara amalan, perlihatkan kebenaran dan kesetiaan dengan penuh keberanian pada jalan-Nya. Orang dunia tidak memberi keutamaan kepada-Nya berbanding sarana dan kerabatnya, tetapi kamu harus memberi keutamaan kepada-Nya supaya kamu ditulis dalam jemaat-Nya di atas langit.”

(Bahtera Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 10-11)

Ringkasan Khutbah 17 Julai 2015


Huzur menilawatkan Surah Al-Jum’ah ayat 10-11 bersama terjemahan.

10. Hai orang-orang yang beriman! Apabila dipanggil untuk solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingat Allah dan tinggalkan jual beli. Hal demikian adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.

11. Dan, apabila telah diselesaikan solat, maka bertebaranlah kamu di bumi dan carilah kurnia Allah, dan ingatlah kepada Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu mendapat kebahagiaan.

Bulan Ramadhan telah sampai ke penghujungnya. Ramai di antara kita yang telah mengambil manfaat daripadanya. Ada juga orang yang mendapat pengalaman baru. Jadi, apa yang perlu dilakukan selanjutnya ialah segala kurnia, berkat rohani dan pengalaman ini haruslah menjadi bahagian dalam kehidupan harian kita. Jumaat ini adalah Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan. Ada orang yang memberi perhatian terhadap Jumaat terakhir ini dengan menganggap bahawa ini adalah Jum’atul Wida (Jumaat Perpisahan). Orang yang mendirikan Jumaat pada hari ini, anggapan mereka ialah kelemahan mereka yang dahulu akan dijauhkan dan hak ibadat sepanjang tahun akan dapat disempurnakan.

Orang yang seperti itu hendaklah ingat bahawa orang yang bergabung mendirikan solat Jumaat terakhir ini tidak menjanjikan bahawa kita telah menunaikan hak kehidupan kita. Menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan bukanlah sarana keselamatan bagi kita dan tidak ada dasarnya. Tetapi, sekiranya meletakkan dalam hati tekad yang bulat bahawa saya menunaikan solat Jumaat ini sebagai satu sarana untuk saya memperbaiki kelemahan-kelemahan dan akan berusaha menunaikan solat Jumaat secara teratur pada masa-masa akan datang, maka hari Jumaat berkenaan memberi berkat dan kepentingan, malah disebabkan perubahan suci itu dan iradah yang kuat untuk berubah dalam hatinya, maka hari atau saat itu menjadi Lailatul Qadar baginya.

Dalam ayat permulaan itu, ia menyatakan bahawa apabila kamu dipanggil untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka tinggalkan jual beli dan datanglah menunaikan solat. Setelah menunaikan solat, maka kembalilah bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia Allah Ta’ala. Di sini Allah Ta’ala menyeru untuk datang menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan dunia dengan meletakkan ketakwaan dalam hati. Ia bukan hanya menyeru untuk menunaikan solat Jumaat terakhir dalam bulan Ramadhan, tetapi keseluruhan solat Jumaat sepanjang tahun. Syarat keimanan yang perlu ialah menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

Jangan lewat datang menunaikan solat Jumaat. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa orang yang datang awal akan mendapat ganjaran. Tanpa uzur yang syar’i (dibolehkan) meninggalkan solat Jumaat kerana malas adalah dosa. Setiap mukmin wajib menunaikan solat Jumaat kecuali hamba, wanita, anak-anak dan orang sakit. Dan orang yang berhalangan diberi kelonggaran.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa solat lima waktu, Jumaat dengan Jumaat akan datang, dan Ramadhan dengan Ramadhan akan datang, waktu perantaraannya akan menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya selagi insan meninggalkan dosa-dosa yang berat. Sekiranya ada orang menahan hak saudaranya, maka solatnya akan menjadi punca kehancuran baginya.

Hendaknya Jumaat kita yang akan datang menjadi saksi kepada kita bahawa kita menjalani kehidupan harian kita dengan penuh rasa takut kepada Allah Ta’ala, dan tidak ada satu amalan pun dilakukan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah Ta’ala.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa hari yang paling mulia ialah hari Jumaat, oleh itu banyakkan bersalawat kepadaku, salawat pada hari itu akan dipersembahkan di hadapanku.

Dengan menunaikan solat Jumaat juga akan memberikan kemajuan kepada kahidupan. Lakukan urusan pekerjaan dan carilah kurnia Allah Ta’ala, sesungguhnya berkat akan diberikan atas pekerjaan itu. Jika kamu keluarkan sedikit masa kamu untuk Allah Ta’ala, maka Dia jugalah yang akan menyempurnakan segala kerugian yang kamu alami. Dengan kata lain seorang mukmin yang mendapat kemudahan dalam urusan duniawi adalah berkat kurnia Allah Ta’ala.

Jadi, dalam melaksanakan urusan duniawi, jangan lupakan Allah Ta’ala, malah basahkan lidah kamu dengan zikir Ilahi. Jika hari ini kita anggap ia sebagai Jumaat yang penting, maka tanamkan dalam hati bahawa Jumaat yang akan datang juga adalah penting, dan segala kelemahan itu, kita hendaklah berjanji untuk menjauhkannya.

Jika ada fikiran seperti ini, maka kita akan tergolong dalam kelompok orang yang berusaha untuk menjauhi kelemahan, kekurangan, dosa-dosa dan datang ke pangkuan Allah Ta’ala. Kebaikan-kebaikan dalam Ramadhan yang telah kita buat, kekalkan. Jadi, kita hendaklah membuat renungan, adakah kita telah mendapat tingkat ketakwaan atau tidak? Adakah kita telah menuju kemajuan atau tidak?

Bacalah berulangkali akan Al-Quran dan catatlah amalan-amalan yang buruk, dan mintalah pertolongan daripada Allah Ta’ala untuk berhasil menjauhinya. Inilah langkah awal menuju ketakwaan dan takwa diperolehi melalui kebaikan-kebaikan. Agama itu ialah meninggalkan secara keseluruhan semua keburukan dan dengan penuh keikhlasan melakukan kebaikan-kebaikan.

Semoga Ramadhan dan Jumaat ini memberi kita palajaran agar cenderung memperhatikan ibadat kita masing-masing dan berusaha meningkat dalam ketakwaan.



Daras Rohani Khazain Nombor 1

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Mubarak atas kamu apabila kamu tidak pernah memperlihatkan keletihan dalam berdoa, dan ruh kamu hancur luluh dalam berdoa, dan air mata kamu mengalir, dan dada kamu membara, dan doa kamu itu mengarahkan kamu pergi bersendirian, duduk dalam pondok yang gelap gelita di dalam hutan yang sunyi sepi, dan doa kamu itu menjadikan kamu seperti orang gila, kosong fikiran dan benar-benar tidak tahu akibatnya, kerana akhirnya kamu akan mendapat kurnia.

Tuhan, yang kepada-Nya kita memohon adalah sangat Pengasih dan Penyayang, Maha Hidup, Benar, Setia, Kasih kepada hamba-hamba. Maka kamu juga hendaklah menjadi seorang yang setia, dan berdoalah dengan penuh kesetiaan dan benar, supaya kamu dikasihi. Jauhilah kebisingan dunia, janganlah cemarkan agama melalui permusuhan peribadi. Pilihlah kekalahan semata-mata untuk Tuhan kamu dan terimalah kekalahan supaya kamu diwariskan dengan kemenangan-kemenangan yang besar. Tuhan akan memperlihatkan mukjizat kepada orang yang berdoa, dan orang yang memohon kepada Allah juga akan diberikan nikmat yang luar biasa. Doa datangnya dari Tuhan dan ia akan kembali kepada Tuhan. Melalui doa, Tuhan akan begitu dekat sekali, demikian dekatnya laksana diri kamu dan nyawa kamu.”

(Lecture Sialkot, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 223)

Friday, May 22, 2015

Ringkasan Khutbah - 15 Mei 2015

Ringkasan Khutbah Huzur 15 Mei 2015

Dengan merujuk kepada tindakan kerajaan Punjab Pakistan yang mengharamkan penyebaran akhbar-akhbar dan buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud, huzur berkata:-
“Orang menulis surat kepada saya, menghantar faks dan sebagainya kepada saya menzahirkan kerisauan mereka. Kita harus ingat bahawa ini semua bukanlah perkara baru. Semenjak jemaat Ahmadiyah berdiri, perkara seperti ini terus menerus berlaku. Sekarang berlaku dan akan datang juga tetap berlaku. Tindakan mereka itu tidak pernah memberi kerugian kepada jemaat pada masa dahulu dan tidak juga masa akan datang. Tetapi, seperti selalu yang terjadi bahawa tindakan para penentang ini hanya akan membakar semangat keimanan kita dan kecintaan terhadap Hazrat Maseeh Mau’ud”.

Jika perhatian kita ke arah membaca buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud adalah kurang, maka seharusnya ia meningkat sekarang ini. Allah Ta’ala telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud dengan khazanah ilmu dan makrifat, janji kemenangan juga diberikan. Kita sentiasa melihat bahawa selepas suatu halangan yang besar, jemaat akan meningkat secara luar biasa. Semakin kita ditekan, kita akan semakin menonjol keluar dengan kurnia Allah Ta’ala. InsyaAllah selepas ini juga akan ada manfaat. Sebab itu jangan merasa risau yang keterlaluan. Suatu masa dulu ketika ada halangan tidak boleh membuat penyebaran, sekarang ini dengan kurnia Allah Ta’ala, khazanah ilmu dan makrifat telah begitu menyebar hanya melalui satu butang sahaja. Jadi, tugas kita ialah berusaha untuk mengambil manfaat daripada ilmu kalam buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud ini.

Kemudian huzur menceritakan tentang keagungan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berdasarkan tulisan-tulisan Hazrat Maseeh Mau’ud. Beliau berkata: “Salawat dan salam ke atas Hazrat Saiyidur Rusul Muhammad Mustafa sallallaahu alaihi wasallam dan atas keluarga dan atas sahabat-sahabat yang mana Allah Ta’ala telah memperjalankan mereka di atas landasan yang benar ketika keadaan penuh dengan kegelapan. Dia seorang murabbi yang telah membawa kembali umatnya ke jalan yang benar dari keadaan akhlak yang telah dilupakan. Dia seorang muhsin dan yang telah melepaskan umatnya dari ikatan syirik dan berhala-berhala. Dia cahaya yang telah menerangi dunia dengan sinaran ketauhidan. Dia karim dan tanda keramat kerana telah memberikan air kehidupan kepada orang yang mati. Dia rahim dan penyayang kerana sanggup bersedih dan menahan kesakitan untuk umatnya”.
Berkenaan dengan akhlak Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Hazrat Maseeh Mau’ud berkata:- “Atas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, begitu sempurna penjelasan tentang akhlak baginda. Dalam keadaan susah dan juga dalam keadaan menang. Dalam kedua-dua keadaan itu akhlak Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sangat cemerlang. Seorang yang baik, zuhud, sederhana, berani, cinta kepada Ilahi, ringkasnya semua akhlak fadilah yang Allah Ta’ala kurniakan kepada baginda sangat luar biasa dan tidak ada serupanya pada sejak dahulu dan juga akan datang”.

Kemudian Hazrat Maseeh Mau’ud berkata lagi:- “Orang itu, yang dengan zatnya, dengan sifatnya, dengan perbuatannya, dan dengan kekuatan rohani dan kesucian laksana lautan telah memperlihatkan contoh sempurna ilmu, amalan, kebenaran dan keteguhan, dan dikatakan sebagai insan kamil, dia itulah nabi yang sempurna, yang datang dengan berkat yang sempurna, Mubarak nabi itu, Hazrat Khatamul Anbiya, Imamul Asfia, Khatamul Mursalin, Fakhrun Nabiyyin, Muhammad sallallaahu alaihi wasallam”.

Kemudian, dengan menyentuh beberapa kebaikan-kebaikan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Hazrat Maseeh Mau’ud berkata:- “Tuhan telah mengutus kepada kita seorang rasul yang mulia, sempurna dalm segala urusan kebaikan, khatim bagi semua rasul-rasul dan nabi-nabi. Wahai Allah! Sehingga ke hari perhitungan, dan sehingga selama-lamanya, kirimkanlah salawat dan salam ke atas baginda sallallaahu alaihi wasallam, begitu juga atas keluarga baginda, atas tahirin, tayyibin, dan atas para sahabat-sahabat yang mulia yang menolong baginda”.

Kemudian beliau berkata lagi:- “Orang yang keluar sedikit sahaja dari mengikuti ajaran Al-Quran, mereka telah keluar dari lingkungan keimanan, dan jika ada orang yang sedikit sahaja meninggalkan perintah-perintah baginda, maka mereka itu akan tergelincir ke dalam lembah kebinasaan”.

Kemudian berkata lagi:- “Untuk manusia di atas muka bumi ini, tidak ada lagi kitab selain Al-Quran, dan tidak ada lagi pemberi syafaat selain Muhammad Rasul Allah sallallaahu alaihi wasallam. Jadi, berusahalah menjalin hubungan kecintaan yang suci dengan baginda, dan jangan lebihkan sesiapa di kalangan manusia supaya kamu ditulis sebagai orang yang mendapat keselamatan di atas langit. Di bawah kolong langit, tidak ada rasul yang akan melebihi darjat baginda dan tidak ada kitab yang lebih mulia selain Al-Quran. Allah tidak mahu sesiapa hidup selama-lamanya, tetapi nabi terpilih ini akan kekal hidup selamanya.



Friday, March 13, 2015

Ringkasan Khutbah Jumaat Huzoor - 6 Mac 2015



Surah Al-Hasyar ayat 19-20

19 : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah; dan hendaklah setiap jiwa memperhatikan apa yang didahulukan untuk esok hari, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

20. Dan, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah; maka Dia pun menjadikan mereka lupa terhadap diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Disebabkan menganggap semua jenis keburukan atau dosa adalah perkara biasa dan tidak berusaha untuk menghindarinya, ia akan memandu seseorang insan untuk melakukan dosa yang lebih besar tanpa disedarinya. Dan secara perlahan-lahan insan akan melupakan kebaikan-kebaikan dan jauh dari ketakwaan, dan akan hilang keyakinan ke atas kehidupan selepas mati, dan akhir sekali pada pandangan Allah Ta’ala mereka itu bukanlah lagi seorang mukmin.

Dalam ayat ini menyeru kepada manusia kearah ini iaitu jangan tenggelam hanya memikirkan keduniaan, tetapi apa yang perlu diberikan keutamaan ialah kehidupan mendatang, iaitu fikiran tentang kehidupan selepas mati dan juga hari penghisaban amalan.

Hazrat Khalifatul Maseeh I berkata: Cara untuk Berjaya di dunia dan akhirat ialah Allah Ta’ala mengajarkan agar hari ini berfikir untuk keesokan harinya, dengan itu kehidupan di dunia dan juga di akhirat akan menjadi lurus. Ayat Al-Qur’an yang berbunyi WALATANZIRU NAFSAN, jika ia diamalkan, bukan sahaja kehidupan didunia ini akan mendapat kejayaan malah dengan kurnia Allah Ta’ala juga kehidupan akhirat akan mendapat kejayaan. 

Kita tidak akan dapat mengumpul bekalan hari akhirat selagi kita tidak membuat persediaan untuk kediaman yang kekal itu bermula hari ini.

Huzur berkata: ayat ini juga dibaca dalam khutbah nikah. Dalam khutbah nikah juga kita diseru untuk menjaga silaturrahim, melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan dan juga berkata yang benar. Dengan itu nanti, kamu akan terus mendapat taufik untuk melaksanakan amal soleh dan menjaga perhubungan dengan baik, dan juga akan terus melihat kepada perintah-perintah Allah Ta’ala. Kemudian, ia bukan sahaja untuk diri sendiri malah ia akan terus diwairisi oleh keturunan akan datang.

Jadi, jika ada keluarga yang sedang merosakkan kekeluargaan mereka hanya disebabkan perkara-perkara kecil, jika mereka merenungkan perintah-perintah Allah dan beramal padanya, maka bukan sahaja keluarga itu djanjikan ketenangan malah mereka juga akan dapat melaksanakan tarbiyat anak-anak dengan cara yang berlandaskan ketakwaan.

Huzur berkata: orang menganggap bahawa sarana dan keperluan dunia adalah segala-galanya . mereka tanpa sedar telah memberikan keutamaan terhadap sarana dunia berbanding bergantung kepada Allah Ta’ala. Dan disebabkan kemalasan dan juga kejahilan, mereka tidak mengambil peduli masa depan dunia dan akhirat mereka. 

Hazrat Khalifatul Maseeh I berkata: seorang mukmin seharusnya berfikir tentang apa akibat daripada suatu kerja yang akan dia lakukan? Jika usul ini diperhatikan, maka mereka akan mendapat taufik untuk beramal pada jalan takwa. Dengan mengambil kira kehidupan esok hari, seorang mukmin akan cenderung untuk memberi perhatian terhadap ketakwaan dalam segala aspek kehidupan bermula dari urusan rumahtangga, persekitaran, pekerjaan, negara dan antarabangsa. Adakah suatu jalan yang memberi manfaat melalui penipuan? Yang pasti ia akan menjauhkan seseorang dari keimanan dan agama. Ingatlah sentiasa bahawa ujian keimanan itu lebih besar daripada ujian dunia, yang mana jika tersilap maka dunia dan akhirat akan mendapat kerugian. Jadi, seharusnya kita sentiasa menekankan perkara ini dan sentiasa memperhatikan kesan daripada setiap pekerjaan, ini kerana Allah Ta’ala sentiasa melihat segala apa yang kita kerjakan.

Huzur berkata: penyakit rohani lebih teruk dari penyakit jasmani. Dalam masyarakat ini penyakit rohani sudah berkembang terus menerus. Sebab itu untuk menyelamatkan diri, kamu hendaklah kekal dalam melakukan amalan dan rawatan. Seorang mukmin jangan pernah kosong dari perasaan takut kepada Allah Ta’ala. Jadi, setiap waktu hendaklah melihat pekerjaan dan keadaan sendiri itu samada ia berjalan pada landasan takwa atau tidak.

Dalam ayat ini juga menasihatkan kepada kita agar jangan menjadi seperti mereka yang melupakan Allah Ta’ala. Ada tiga kelompok di dunia ini yang kelihatan jauh daripada Allah Ta’ala. Pertama: mereka yang mengingkari kewujudan Allah Ta’ala. Kedua: mereka yang tidak beriman dengan benar kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Ketiga: Mereka yang begitu sibuk dan tenggelam dengan urusan dunia sehingga melupakan Allah Ta’ala.

Mereka ini tidak cenderung untuk mengetahui bahawa Allah Ta’ala telah meletakkan kewajipan solat lima waktu. Orang yang lupa kepada Allah Ta’ala, pada akhirnya mereka akan sampai ke tahap di mana akhlak mereka begitu buruk dan rohani yang runtuh. Kemudian mereka tidak akan mendapat ketenangan fikiran.

Jika kamu lupa kepada Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala berfirman: kamu akan termasuk dalam golongan fasiq. Dan orang fasiq itu adalah mereka yang melanggar batasan-batasan yang telah diletakkan oleh Allah Ta’ala dan terkeluar dari senarai orang yang patuh.

Jadi, setiap dari kita hendaklah berusaha untuk beramal sesuai dengan perintah-perintah Allah Ta’ala. Jangan mengharapkan manfaat yang bersifat sementara, tetapi dapatkanlah daripada Allah Ta’ala kehidupan akan datang. Semoga kita semua diberi taufik untuk itu.

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...