Friday, March 13, 2015

Ringkasan Khutbah Jumaat Huzoor - 6 Mac 2015



Surah Al-Hasyar ayat 19-20

19 : “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah; dan hendaklah setiap jiwa memperhatikan apa yang didahulukan untuk esok hari, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

20. Dan, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan Allah; maka Dia pun menjadikan mereka lupa terhadap diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”

Disebabkan menganggap semua jenis keburukan atau dosa adalah perkara biasa dan tidak berusaha untuk menghindarinya, ia akan memandu seseorang insan untuk melakukan dosa yang lebih besar tanpa disedarinya. Dan secara perlahan-lahan insan akan melupakan kebaikan-kebaikan dan jauh dari ketakwaan, dan akan hilang keyakinan ke atas kehidupan selepas mati, dan akhir sekali pada pandangan Allah Ta’ala mereka itu bukanlah lagi seorang mukmin.

Dalam ayat ini menyeru kepada manusia kearah ini iaitu jangan tenggelam hanya memikirkan keduniaan, tetapi apa yang perlu diberikan keutamaan ialah kehidupan mendatang, iaitu fikiran tentang kehidupan selepas mati dan juga hari penghisaban amalan.

Hazrat Khalifatul Maseeh I berkata: Cara untuk Berjaya di dunia dan akhirat ialah Allah Ta’ala mengajarkan agar hari ini berfikir untuk keesokan harinya, dengan itu kehidupan di dunia dan juga di akhirat akan menjadi lurus. Ayat Al-Qur’an yang berbunyi WALATANZIRU NAFSAN, jika ia diamalkan, bukan sahaja kehidupan didunia ini akan mendapat kejayaan malah dengan kurnia Allah Ta’ala juga kehidupan akhirat akan mendapat kejayaan. 

Kita tidak akan dapat mengumpul bekalan hari akhirat selagi kita tidak membuat persediaan untuk kediaman yang kekal itu bermula hari ini.

Huzur berkata: ayat ini juga dibaca dalam khutbah nikah. Dalam khutbah nikah juga kita diseru untuk menjaga silaturrahim, melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan dan juga berkata yang benar. Dengan itu nanti, kamu akan terus mendapat taufik untuk melaksanakan amal soleh dan menjaga perhubungan dengan baik, dan juga akan terus melihat kepada perintah-perintah Allah Ta’ala. Kemudian, ia bukan sahaja untuk diri sendiri malah ia akan terus diwairisi oleh keturunan akan datang.

Jadi, jika ada keluarga yang sedang merosakkan kekeluargaan mereka hanya disebabkan perkara-perkara kecil, jika mereka merenungkan perintah-perintah Allah dan beramal padanya, maka bukan sahaja keluarga itu djanjikan ketenangan malah mereka juga akan dapat melaksanakan tarbiyat anak-anak dengan cara yang berlandaskan ketakwaan.

Huzur berkata: orang menganggap bahawa sarana dan keperluan dunia adalah segala-galanya . mereka tanpa sedar telah memberikan keutamaan terhadap sarana dunia berbanding bergantung kepada Allah Ta’ala. Dan disebabkan kemalasan dan juga kejahilan, mereka tidak mengambil peduli masa depan dunia dan akhirat mereka. 

Hazrat Khalifatul Maseeh I berkata: seorang mukmin seharusnya berfikir tentang apa akibat daripada suatu kerja yang akan dia lakukan? Jika usul ini diperhatikan, maka mereka akan mendapat taufik untuk beramal pada jalan takwa. Dengan mengambil kira kehidupan esok hari, seorang mukmin akan cenderung untuk memberi perhatian terhadap ketakwaan dalam segala aspek kehidupan bermula dari urusan rumahtangga, persekitaran, pekerjaan, negara dan antarabangsa. Adakah suatu jalan yang memberi manfaat melalui penipuan? Yang pasti ia akan menjauhkan seseorang dari keimanan dan agama. Ingatlah sentiasa bahawa ujian keimanan itu lebih besar daripada ujian dunia, yang mana jika tersilap maka dunia dan akhirat akan mendapat kerugian. Jadi, seharusnya kita sentiasa menekankan perkara ini dan sentiasa memperhatikan kesan daripada setiap pekerjaan, ini kerana Allah Ta’ala sentiasa melihat segala apa yang kita kerjakan.

Huzur berkata: penyakit rohani lebih teruk dari penyakit jasmani. Dalam masyarakat ini penyakit rohani sudah berkembang terus menerus. Sebab itu untuk menyelamatkan diri, kamu hendaklah kekal dalam melakukan amalan dan rawatan. Seorang mukmin jangan pernah kosong dari perasaan takut kepada Allah Ta’ala. Jadi, setiap waktu hendaklah melihat pekerjaan dan keadaan sendiri itu samada ia berjalan pada landasan takwa atau tidak.

Dalam ayat ini juga menasihatkan kepada kita agar jangan menjadi seperti mereka yang melupakan Allah Ta’ala. Ada tiga kelompok di dunia ini yang kelihatan jauh daripada Allah Ta’ala. Pertama: mereka yang mengingkari kewujudan Allah Ta’ala. Kedua: mereka yang tidak beriman dengan benar kepada Tuhan yang Maha Kuasa. Ketiga: Mereka yang begitu sibuk dan tenggelam dengan urusan dunia sehingga melupakan Allah Ta’ala.

Mereka ini tidak cenderung untuk mengetahui bahawa Allah Ta’ala telah meletakkan kewajipan solat lima waktu. Orang yang lupa kepada Allah Ta’ala, pada akhirnya mereka akan sampai ke tahap di mana akhlak mereka begitu buruk dan rohani yang runtuh. Kemudian mereka tidak akan mendapat ketenangan fikiran.

Jika kamu lupa kepada Allah Ta’ala, maka Allah Ta’ala berfirman: kamu akan termasuk dalam golongan fasiq. Dan orang fasiq itu adalah mereka yang melanggar batasan-batasan yang telah diletakkan oleh Allah Ta’ala dan terkeluar dari senarai orang yang patuh.

Jadi, setiap dari kita hendaklah berusaha untuk beramal sesuai dengan perintah-perintah Allah Ta’ala. Jangan mengharapkan manfaat yang bersifat sementara, tetapi dapatkanlah daripada Allah Ta’ala kehidupan akan datang. Semoga kita semua diberi taufik untuk itu.

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...