Khulasah
Khutbah Jumaat
HAZRAT
MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat
Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
02-03-2018
(Masjid Baitul Futuh London)
<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>
Setelah
membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Antara lain Huzur berkata:-
Dalam
Islam, menzahirkan akhlak yang baik dalam setiap peringkat, dengan orang di
dalam lingkungan dan di luar lingkungan adalah satu tuntutan. Tidak ada satu
pun sekecil-kecil perkara dalam soal akhlak yang tidak dijelaskan dalam ajaran
Islam. Tidak ada agama yang dapat menandingi pelajaran Islam dalam soal akhlak.
Namun, apa yang sangat menyedihkan ialah orang Islam yang seharusnya menjadi
contoh dalam penzahiran akhlak yang cantik ini, sebaliknya telah memberikan
gambaran yang sangat buruk di mata orang ramai. Ini kerana amalan mereka
bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan.
Rasulullahsaw
telah memperlihatkan akhlak dalam amalan baginda, banyak umat Islam mendakwa
cinta kepada Rasulullahsaw, tetapi malang sekali amalan mereka
sangat bertentangan dengan ajaran Rasulullahsaw. Sehingga
menyebabkan orang bukan Islam menuding jari ke atas Islam dan perbuatan mereka.
Sebab
itu, semua kejadian ini hendaklah menjadi pengajaran untuk anggota Ahmadi agar
menilai keadaan akhlak masing-masing, jika tidak, maka tidak ada faedahnya kita
dikatakan sebagai Ahmadi.
Cuba
lihat kehidupan Rasulullahsaw. Baginda tidak mahu dalam bergurau pun
boleh menyakiti hati orang lain. Baginda sendiri menasihati isteri-isteri
baginda, juga menasihati anak-anak tentang akhlak, misalnya anak yang membaling
batu ke atas pokok buah orang lain, baginda larang kerana ia boleh merosakkan
dan menjadikan sia-sia buah yang masih mentah jika jatuh ke atas tanah.
Baginda
juga menasihatkan seorang anak yang makan dengan gelojoh supaya makan dengan
tenang dan mulakan dengan Bismillah, makan dengan tangan kanan, dan makan apa yang
ada di hadapannya.
Begitu
juga dusta dan kebenaran. Baginda menasihatkan seorang wanita yang memanggil
anaknya dengan menjanjikan sesuatu, jika memang tidak ada niat untuk memberikan
sesuatu, maka itu juga termasuk perbuatan dusta.
Baginda
juga pernah menasihatkan seseorang bahawa jika kamu susah meninggalkan semua
keburukan secara serentak, maka tinggalkan dahulu perbuatan dusta.
Baginda
menasihatkan tentang dosa besar iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu
bapa dan dusta serta kesaksian yang palsu. Berulang kali baginda menyatakan
“dusta dan kesaksian palsu” segingga para sahabat berkeinginan supaya
Rasulullahsaw berdiam diri.
Begitu
juga tentang ajaran akhlak dan kesabaran. Satu kali ada seorang Badwi membuang
air kecil di dalam masjid, dengan segera orang yang melihat berusaha
menghalangnya. Baginda bersabda “biarkan dia dan siram tempatnya membuang air”.
Lalu baginda bersabda bahawa “kamu diciptakan untuk memberi kemudahan kepada
orang lain, bukan menyusahkan”. Akhirnya Badwi tersebut sentiasa menyebut sikap
lemah lembut Rasulullahsaw.
Hari
ini kerajaan Islam, ulama dan kumpulan-kumpulan, semuanya memberikan kesulitan
di dunia. Rasulullahsaw menasihatkan bahawa kalau mahu mengetahui
keadaan diri kamu, kamu berbuat baik atau jahat, maka perhatikan apa kata jiran
kamu.
Ketinggian
akhlak hanya dapat diketahui jika kamu menganggap kamu adalah pengkhidmat
bangsa dengan segala kebolehan yang ada.
Dalam
Fatah Mekah juga, Rasulullahsaw telah memberikan kemaafan, malah
terhadap musuh peribadi pun.
Hazrat
Maseeh Mau’udas bersabda: Allah Ta’ala berfirman kepada nabi kita
Muhammadsaw, INNAKA LA’ALA KHULUQIN AZIIM, sesungguhnya
engkau memiliki akhlak yang agung. Sesuai dengan ini, semua jenis akhlak
dimiliki oleh Rasulullahsaw. Dermawan, keberanian, keadilan, kasih sayang,
ihsan, kebenaran, ketenangan, pemaaf, penyabar dan lain-lain. Sesuai dengan
masa dan tempatnya, akhlak ini dapat dilihat dengan penuh keagungan.
Untuk
melihat akhlak yang tinggi, dalam menghadapi ujian, perlu memperlihatkan
ketenangan dan kesabaran semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Dan dalam
keadaan senang dan mendapat kurnia juga, memperlihatkan kerendahan hati,
mengekalkan keadilan, ini juga panzahiran akhlak yang tinggi. Kedua-dua keadaan
ini telah diperlihatkan oleh Rasulullahsaw.
Akhlak
yang tinggi hanya dapat dilihat dalam kedua-dua keadaan iaitu ketika susah dan
senang. Rasulullahsaw memang untuk menyempurnakan akhlak, sebab itu
kehidupan baginda terbahagi dua, satu kehidupan Makki dan sebahagian lagi
Madani. Walaupun dengan begitu banyak kesulitan dan penentangan di Mekah,
namun, baginda tetap memperlihatkan ketenangan dalam menyampaikan amanat Allah.
Kemudian, dalam kehidupan Madani, ketika para penentang dari Mekah itu dapat
ditangkap, dan Rasulullahsaw mempunyai kekuatan untuk membalas
dendam, namun baginda telah memaafkan mereka semuanya.
Ada
orang yang kelihatan seorang dermawan, namun kadang-kadang menjadi marah hanya
disebabkan perkara kecil. Adakalanya sudah memberi, namun pada masa yang sama
juga ketika marah, kebaikan yang dibuatnya akan dilupakan. Ada juga yang
nampaknya lembut tetapi bakhil. Ada yang kelihatan merendah diri, tetapi dalam
masa yang lain, hilang perasaan itu. Memang tidak semua sifat dapat dikumpul,
namun harus mencontohi Rasulullahsaw.
Contoh
yang paling agung ialah Rasulullahsaw. Ketika sulit akhlak baginda
kelihatan dengan begitu agung, dan ketika senang dan ada kekuatan, akhlak
baginda juga dapat dilihat dengan penuh keindahan. Akhlak Rasulullahsaw
merupakan satu mukjizat yang sangat agung. Dunia mengakuinya dan tidak ada yang
dapat menandinginya.
Seorang
yang pemarah, apabila mereka meninggalkan sikap itu dan mula memperlihatkan
kelemah-lembutan, merendah diri, maka itu satu karamah. Jika seorang yang
kedekut, mereka berubah menjadi dermawan, maka itu juga satu karamah. Demikian
juga jika meninggalkan sikap mementingkan diri sendiri, lalu mengamalkan sikap
mengutamakan orang lain, maka itu juga karamah. Ringkasnya, semua orang mahukan
karamah yang faedahnya sangat banyak. Ini kerana ramai juga orang yang hanya dengan
melihat akhlak yang baik, mereka mendapat petunjuk menerima kebenaran.
Akhlak
ada dua jenis. Satu ialah yang dipersembahkan oleh pendidikan moden hari ini.
Ketika berjumpa lidah mereka mengucapkan perkara-perkara yang baik sedangkan
dalam hati penuh dengan perasaan munafik dan hasad. Jenis yang kedua ialah
perasaan perikemanusiaan dalam hati. Tidak ada munafik dalam hati, berlaku
adil, menyatakan yang benar, berbuat baik, memperlihatkan kasih sayang laksana
akhlak seorang ibu kepada anaknya.
Hidup
tidak dapat dijangka, sebab itu tingkatkan solat dan kebaikan-kebaikan. Hazrat
Maseeh Mau’udas berkata bahawa akhlak menjadi kunci kepada kebaikan.
Orang yang tidak memperbaiki akhlaknya, maka mereka akan menjadi rosak dan
tidak ada kecenderungan untuk melakukan kebaikan. Seorang insan hanya akan
memberi manfaat kepada orang lain jika mereka mempunyai akhlak yang baik. Ibu
segala kebaikan ialah akhlak.
Ada
orang apabila melihat sahaja peminta sedekah datang, langsung menyergah mereka
sedangkan itu dilarang dalam hadis. Tidak perlu memberi apa-apa komen tentang
apa yang mereka buat, tanggungjawab kita ialah jika ada sesuatu yang diberikan,
maka berikanlah. Akhlak menginginkan supaya jangan menjadi marah atas
kedatangan mereka.
Untuk
ibu bapa yang bukan Ahmadi, malah menjadi penentang, Hazrat Maseeh Mau’udas
menasihatkan supaya banyak berdoa untuk mereka. Perlihatkan akhlak yang baik
supaya mereka dapat mengakui kebenaran. Siapa tahu melalui anak itu ibu bapa
mendapat petunjuk. Islam tidak menjadi penghalang untuk mengkhidmati ibu bapa.
Jadi, mereka hendaklah dikhidmati dengan sepenuh hati.
Akhlak
juga menjadi pembeza antara insan dan haiwan. Haiwan, apa sahaja yang datang di
hadapan, semuanya akan di makan. Haiwan tidak tahu berapa banyak yang dimakan,
tidak tahu halal atau haram, mereka hanya tahu makan. Misalnya kerbau, dia
tidak tahu dia sedang makan dari kebun orang lain. Jadi, seorang insan mesti
memperhatikan perkara ini, misalnya dalam soal harta anak yatim, jangan memakan
hak mereka dengan cara yang tidak benar. Orang yang tidak memberi perhatian
terhadap hak Allah, tidak cenderung beribadat, itu juga bukan akhlak. Begitu
juga jika tidak memperhatikan hak orang lain, merampas atau memberikan kerugian
kepada harta orang lain, itu juga bertentangan dengan akhlak. Amat sedikit
orang yang memperhatikan perkara ini.
Orang-orang
Sufi mengatakan dalam diri manusia ada banyak akhlak razilah, akhlak buruk,
banyak jin. Apabila ia keluar, maka akan terus keluar. Tetapi jin yang paling
terakhir keluar ialah takbur, dan ia hanya dapat dikeluarkan melalui mujahadah
dan doa. Banyak orang yang menzahirkan mereka merendah diri tetapi ada sahaja
takbur. Ada takbur dari segi harta dengan merasa mereka lebih kaya berbanding
orang lain, ada yang takbur dari segi keturunan dengan merasa keturunan mereka
adalah golongan terhormat, dan ada juga yang takbur dari segi ilmu dengan
merasa lebih bijak dari orang lain, malah jika ada orang melakukan kesilapan
dalam memberitahu sesuatu, mereka langsung mengata yang kurang baik di
hadapannya. Semua ini harus dihindari.
Meninggalkan
akhlak akan menjadikan mereka cenderung ke arah kejahatan dan mendapat dosa.
Taufik ke arah kebaikan tidak muncul dalam hatinya. Misalnya seorang lelaki
yang berzina, dia tidak merasai bagaimana perasaan suami wanita berkenaan.
Kalau orang itu tahu apa akibat atau kesan daripada perbuatannya, sudah tentu
dia tidak akan berani melakukan perbuatan buruk itu.
Seorang
yang mencuri, penjahat ini tidak ada perasaan untuk meninggalkan sedikit pun
bagi keluarga yang miskin itu. Kita dapat melihat kadang-kadang usaha orang
miskin mengumpulkan harta dalam beberapa tahun menjadi musnah dalam sekelip
mata sahaja. Kalau tidak buta dari akhlak, sudah tentu tidak akan mencuri. Kita
dapat membaca dalam berita, ada pemuda yang dipukul kerana mencuri barang
kemas. Kalau akhlak lurus, kenapa musibat ini muncul?
Anggota
Ahmadi harus memperlihatkan contoh akhlak yang sempurna kepada jiran tetangga.
Ia satu karamat untuk kita. Tidak ada anak yang mahu mencemarkan nama bapanya.
Begitu juga seseorang yang masuk dalam mana-mana kumpulan, maka dia hendaklah
berusaha memperhatikan akhlaknya supaya tidak memberi nama yang buruk kepada
kumpulan yang dimasukinya. Selagi insan tidak berusaha ke arah melakukan
kebaikan, maka tidak akan dapat perubahan. Allah Ta’ala tidak akan mengubah
nasib suatu kaum selagi tidak berusaha mengubah nasib mereka sendiri, ini
adalah sunnatullah.
Semoga
Allah memberikan kita taufik ke arah meninggikan kebaikan dan akhlak
masing-masing. Tetapi bukan menunjuk-nunjuk kepada dunia malah semata-mata
mendapatkan keredhaan Allah. Kita mesti banyak berdoa untuk perubahan akhlak.
Fikiran kita ialah jangan disebabkan kita, jemaat mendapat nama yang buruk,
malah sebaliknya kita menjadi penyebar ajaran Islam yang cantik ini dan dunia
mendapat pengaruh yang baik. Untuk itu, mohon pertolongan sebanyak-banyaknya
daripada Allah.
<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>
Disediakan oleh:
Salahuddin
bin Syed Ali
Jamia
Ahmadiyya International Ghana
02-03-2018
No comments:
Post a Comment