Sunday, March 25, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 23-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
23-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Hari ini adalah 23 Mac bersamaan dengan Yaume Maseeh Mau’ud. Jemaat-jemaat di serata dunia akan mengadakan program sempena hari ini. Hari ini juga saya akan sampaikan beberapa sabda Hazrat Maseeh Mau’udas tentang tujuan kedatangan Maseeh Mau’ud, keperluan dan kedudukannya. Selepas pendakwaan beliau, ulama-ulama Islam berusaha sedaya upaya untuk menghalang beliau sehinggalah sekarang, namun Allah Ta’ala sentiasa memberi dukungan kepada Jemaat Hazrat Maseeh Mau’udas ini.

Sesuai dengan janji Allah Ta’ala, Hazrat Maseeh Mau’udas mengumumkan:-
“Akulah Maseeh yang dijanjikan … serangan telah dibuat terhadap tauhid yang hakiki, kehormatan dan kemuliaan Rasulullahsaw dipersendakan, dan Kitab dari Tuhan juga dipermainkan dengan penuh kezaliman. Jadi, dalam keadaan ini, adakah Tuhan tidak terpanggil untuk berbuat sesuatu? … Adakah Tuhan telah lupa akan janji-Nya إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون؟ Ingatlah bahawa janji Tuhan itu benar, dan telah mengutus seorang pemberi peringatan, tetapi dunia tidak menerimanya. Tetapi Tuhan akan menerimanya dan menzahirkan kebenarannya dengan luar biasa. …. Aku berkata dengan sebenar-benarnya bahawa aku datang sesuai dengan janji Allah sebagai Al-Maseeh. Terserah kepada kamu sama ada menerimanya atau menolaknya. Tetapi dengan penolakan kamu tidak memberi apa-apa kesan. Apa yang diinginkan oleh Allah akan tetap berlaku.”

“Ujilah silsilah ini atas ‘Minhaajin Nubuwah’ kemudian lihat kebenaran bersama dengan siapa? … dakwaanku ini adalah atas ‘Minhaajin Nubuwah’, … aku yakin bahawa orang yang merenungkannya dengan teliti, pasti akan mendapat faedah dan menerimannya. Tetapi, mereka yang ada dengki dalam hatinya, maka hal ini tidak akan bermanfaat atas dirinya.”

Memang untuk mereka yang mencari kebenaran meminta bukti, dan itu hak mereka. Namun kita akan berikan nas-nas dari Al-Quran, hadis-hadis dan dalil-dalil akli sesuai dengan keperluan zaman, kemudian lebih daripada 150 tanda-tanda dari Tuhan. Rasulullahsaw juga telah mengkhabarkan bahawa Maseeh Mau’ud akan menjadi hakim yang adil. Tetapi, orang yang tidak mahu menerima akan memberikan bantahan yang tidak patut. Tetapi Tuhan sudah berjanji bahawa akan memberikan sokongan-Nya.

Mengingkari saya sebenarnya mengingkari Allah dan Rasulullahsaw. Jika mereka mendustakan saya, maka mereka pertama sekali mendustakan Allah Ta’ala kerana Allah Maha Melihat apa kerosakan yang sedang berlaku. Dan janji Allah إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُون tidak dipenuhi walaupun keadaan sudah memerlukan. Dan dalam ayat istikhlaf juga sebagaimana yang berlaku pada Nabi Musa, itu juga akan berlaku pada Rasulullahsaw sebagai permisalan Musa, dan ma’azallah janji ini tidak dipenuhi oleh Allah. Sedangkan hal itu diterangkan di dalam Al-Quran. Demikian juga terpaksa mendustakan ayat Al-Quran  وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ, demikian juga ayat-ayat yang lain terpaksa diingkari. Malah saya menyatakan bahawa dari ayat Alhamd sehingga Wan-Naas terpaksa ditinggalkan. Sebab itu cuba renungkan, adakah mendustakan saya suatu perkara yang mudah? Saya tidak katakan hal ini dari diri sendiri, saya bersumpah atas nama Tuhan bahawa orang yang meninggalkan aku dan mendustakan aku, walaupun bukan dengan ucapan, tetapi dengan amalan mereka seolah-olah telah mendustakan seluruh Al-Quran dan Allah Ta’ala. … sebab itu sebelum mendustakan aku, pertama sekali renungkan dalam hati kamu dan tanyakan siapa yang kamu dustakan?

Bagaimana boleh terjadi mengingkari Hazrat Maseeh Mau’udas adalah bererti mengingkari Rasulullahsaw. Beliau menjelaskan:-
“Sabda Rasulullahsaw bahawa setiap 100 tahun, kemunculan mujaddid terpaksa didustakan. Dan juga sabda إمامكم منكم  menjadi dusta. Dan khabar kedatangan seorang Al-Maseeh pada era kebangkitan Kristian juga menjadi dusta, ini kerana fitnah itu sudah muncul tetapi yang sepatutnya datang tidak muncul. … saya katakan sekali lagi bahawa mendustakan saya bukan suatu hal yang mudah. Sebelum menuduh aku kafir, terlebih dahulu harus menjadi kafir. Sebelum menuduh aku sesat, terlebih dahulu harus mengakui kesesatan diri sendiri. Sebelum menuduh aku meninggalkan Quran dan Hadis, terlebih dahulu harus mengaku meninggalkan Quran dan Hadis. Namun, aku tidak akan meninggalkan Al-Quran malah aku membenarkan Al-Quran. Aku tidak sesat tetapi aku adalah Al-Mahdi, aku tidak kafir tetapi aku adalah وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ. Apa sahaja yang aku katakan, Tuhan telah menyatakan kepadaku bahawa itu benar. Orang yang yakin kepada Tuhan, yang mengakui kebenaran Al-Quran dan Rasulullahsaw, hujah ini cukup baginya dengan mendiamkan diri setelah merenungkan apa yang aku katakan. Tetapi bagi mereka yang berani dan tidak punya rasa takut, apa penawar untuk mereka? Tuhan sendiri yang akan menyedarkan mereka. … Kalau mereka menilai kedudukan saya dengan ketakwaan, maka hal ini cukup bahawa “adakah Tuhan sedang memberi kemajuan kepada saya atau menghapuskan saya?” Dari satu kampung yang kecil muncul seruan ini, sekarang telah berada lebih dari 200 buah Negara.

Satu kisah di Benin (Afrika) tahun 2012, seorang yang bernama Ibrahim telah baiat dan mula bertabligh kepada keluarganya. Dan melalui usahanya, tiga buah kampung telah menerima Ahmadiyah. Abangnya yang terganggu dengan Ibrahim, bersama dengan kawannya mula membuat kekacaun sehingga merancang untuk membunuhnya. Ibrahim melihat di dalam mimpi berkenaan dengan abang dan kawannya. Selepas tiga hari, kawan kepada abangnya telah jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia. Abangnya mula menuduh bahawa Ahmadiyah menggunakan ilmu hitam. Selepas itu Ibrahim mimpi abangnya mengukur saiznya pada sebatang pokok. Selepas beberapa hari isteri abangnya juga sakit dan meninggal dua hari sebelumnya. Anaknya juga menderita sakit. Abangnya berjumpa dengan (raja) ketua di daerah itu dan menyatakan Ibrahim menggunakan ilmu hitam. Raja itu meminta bayaran dan berjanji akan melakukan sesuatu. Setelah bayaran dibuat, Raja itu memanggil Ibrahim dan mula memarahi, meminta Ibrahim bertaubat. Jika tidak, maka kamu tidak akan hidup keesokan harinya katanya. Namun, Ibrahim menyatakan bahawa saya tidak boleh tinggalkan sebab ini adalah Islam yang sejati. Soal mati, itu ketentuan Allah Ta’ala. Akhirnya, keesokan harinya, raja yang mengaku sebagai tuhan di daerah itu telah lumpuh dan meninggal selepas dua hari berlalu. Selepas kematian raja itu, abangnya mahu berdamai dengan Ibrahim, dan orang kampung juga banyak yang menerima Islam Ahmadiyah. Inilah contoh pertolongan Allah Ta’ala ke atas jemaat Ilahi ini.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Lihat! Saya bersumpah atas nama Tuhan, ribuan tanda-tanda yang telah zahir untuk membenarkan aku, sedang zahir dan akan zahir. Kalau jemaat ini cuma ciptaan manusia biasa, maka sudah tentu pertolongan seperti ini tidak akan terjadi.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Sesuai dengan keadaan sekarang ini, di mana Rasulullahsaw sudah dipermain-mainkan, pendustaan terhadap ayat-ayat Allah sudah di luar batasan. Dalam keadaan seperti ini sudah tentu Allah Ta’ala mempersiapkan utusan-Nya sebagaimana sunnah-Nya. Inilah tanda agung akan kebenaran seorang nabi, rasul dan mujaddid ialah mereka muncul tepat pada masanya. Cuba tanya diri kamu dengan bersumpah atas nama Allah, adakah sekarang ini bukan masanya untuk dipersiapkan seorang pembaharu oleh Allah Ta’ala. … Kalau kami dan jemaat kami terkurung di dalam bilik pun pekerjaan itu akan berjalan. Dajjal akan mundur. … 

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Seandainya tidak ada sebarang dalil pun pada kita, namun melihat keadaan semasa, sepatutnya wajib untuk orang Islam keluar mencari sebab kenapa sehingga sekarang Al-Maseeh tidak muncul untuk mematahkan salib. Ini kerana pekerjaannya adalah mematahkan salib dan zaman ini menuntut kedatangannya. … juga memerangi golongan atheist, sebab itu dia dikatakan sebagai Al-Maseeh yang dijanjikan, jika para ulama memikirkan kebaikan manusia, sudah tentu mereka tidak berkelakuan menentang seperti sekarang. … mereka menulis fatwa berkenaan dengan kita, tetapi atas kehendak Allah, jemaat ini akan terus berkembang.”

Tindakan para penentang sebenarnya menjadi sarana tabligh kepada kita. Banyak orang menyatakan bahawa dengan adanya fatwa, dengan penentangan, mereka terdorong untuk mengambil tahu lebih mendalam tentang Ahmadiyah.

Hazrat Maseeh Mau’udas menjawab persoalan tentang kenapa jemaat ini perlu dengan bersabda:-
“Banyak orang mengkritik bahawa apa perlunya jemaat ini? Adakah kami tidak solat, tidak berpuasa? … kami juga mendirikan solat, kami juga berpuasa, kami juga mengamalkan wirid-wirid, kenapa jemaat ini membuat pecahan firqah baru lagi? … jadi, ingat dengan sebaik-baiknya bahawa ucapan ini hanyalah disebabkan tidak memahami dengan benar hakikat ini. Ini bukan pekerjaan saya, kalau ini adalah menjadi pecahan, maka Allah Ta’ala yang telah melakukannya. Ini kerana kekuatan iman telah menghilang. Dan Allah Ta’ala mahu iman yang hakiki ditiupkan melalui jemaat yang baru ini, kritikan seumpama itu tidak berasas.”

Jadi, Ahmadi jangan ada perasaan syak wasangka dalam perkara ini. Ia boleh membinasakan diri sendiri. Jangan hanya baiat secara zahir, tetapi dalami tujuan kita bai’at, jangan menjadi seperti umat Islam biasa, yang hanya melakukan amalan-amalan zahir, tetapi tidak ada buah daripada amalan mereka. Kelihatannya mereka juga mengamalkan amalan Islam, kalimah, solat, puasa, zakat dan sebagainya. Kalau mereka mukmin dan muttaqi, dan beramal saleh, mereka seharusnya tidak memusuhi kebenaran. Mereka seharusnya tidak mengeluarkan fatwa kepada kita, malah seharusnya berfikir jangan sampai kita ini melakukan sesuatu yang menjadikan Allah murka.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda lagi:-
“Rasulullahsaw telah memberikan khabar berkenaan dua fitnah di akhir zaman iaitu dalaman dan luaran. Fitnah dalaman ialah orang Islam tidak lagi kekal mengamalkan ajaran Islam dan mereka masuk perangkap syaitan, tidak ada lagi amal soleh, judi, zina, minuman keras, dan mereka keluar dari batasan yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka juga tidak mempedulikan larangan Allah. Mereka juga meninggalkan puasa dan solat. Perintah-perintah Tuhan tidak diendahkan. Hukum Al-Quran dipersendahkan. Fitnah luaran ialah serangan dibuat terhadap zat Rasulullahsaw yang suci, pelbagai usaha dibuat untuk menghina ajaran Islam. Sedaya upaya untuk menjadikan orang menerima ketuhanan Nabi Isa dan mengakui kepercayaan salib mereka. Untuk ini, Rasulullahsaw telah menetapkan khabar gembira untuk islah bagi fitnah dalaman dan luaran ini, bahawa seseorang akan dibangkitkan dari umat baginda yang akan mematahkan kepercayaan salib, sebab itu namanya Maseeh Ibnu Maryam. Dan juga untuk fitnah dalaman, yang akan membawa mereka ke jalan yang hakiki, sebab itu dinamakan Mahdi, dan ini juga yang diisyaratkan dalam ayat  وَآخَرِينَ مِنْهُمْ لَمَّا يَلْحَقُوا بِهِمْ.”

Jadi, kita yang telah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas, hubungan kita kepada Allah dan ketakwaan serta amalan kita hendaklah lebih baik daripada mereka yang lain. Jangan hanya baiat sekadar percaya jemaat ini benar, itu tidak cukup dan Allah tidak gembira dengannya. Usahakan menjadi baik, muttaqi, menjauhi segala kejahatan, siang dan malam banyakkan berdoa kepada Allah. Lembutkan lidah, banyak beristighfar, banyak berdoa dalam solat.

Amal soleh itu ialah di dalamnya langsung tidak ada kejahatan sedikitpun. Ingatlah dalam amalan sentiasa ada pencuri, iaitu sikap menunjuk-nunjuk, sombong, kejahatan, dan dosa-dosa yang menyebabkan amalan menjadi batil. Jadi, amal soleh juga tidak ada langsung pemikiran zalim, sombong, riak, takbur, dan tidak ada keinginan merampas hak orang lain. … dengan amal soleh akan menjauhkan seseorang daripada kesulitan-kesulitan di dunia.

Walaupun hanya ada seorang yang beramal soleh di sebuah rumah, maka rumah itu akan diselamatkan. … kamu telah bertaubat, sekarang Tuhan mahu melihat dengan taubat itu apa yang akan kamu lakukan untuk menyucikan diri kamu. Zaman ini Tuhan hendak membuat perbezaan melalui tingkat ketakwaan. Sekarang ini banyak orang meragui Tuhan, tetapi tidak melihat diri mereka sendiri. Padahal Allah Ta’ala itu Maha Pengasih dan Penyayang.

Ada orang yang langsung tidak sedar sedang melakukan dosa. Sebab itu ada sarana yang telah disediakan oleh Allah iaitu istighfar. Seorang insan hendaklah banyak beristighfar atas dosa yang dia tahu atau tidak tahu, yang zahir atau yang batin. Tangan, kaki, lidah, hidung, telinga, mata, dan sebagainya, yang boleh menggelincirka untuk melakukan dosa, untuk itu juga banyakkan istighfar.

Setiap Ahmadi hendaklah cenderung membaca doa Nabi Adam:-
{رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِين}

Juga selalu baca doa:-
Rabbii, kullu syaiin khaadimuka, Rabbi fahfaznii wanshurnii warhamnii.

Setiap Ahmadi hendaklah mengukur diri sendiri, giatkan diri dalam mendirikan solat, banyakkan membaca istighfar. Orang yang tidak menerima Hazrat Maseeh Mau’udas adalah golongan yang berdosa, tetapi kita yang telah beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’udas tetapi tidak melakukan perbaikan dalam diri sendiri, kita juga berdosa. Jadi, renungkan sedalam-dalamnya.

Semoga kita menjadi orang yang menghindarkan diri dari fitnah dalaman dan luaran. Menjadi orang yang menunaikan hak baiat yang hakiki.

Satu berita gembira iaitu akhbar al-Hakam, akan mula diterbitkan semula. Boleh dibaca melalui internet www.alhakam.org, dan ada aplikasi untuk mobile phone, apple dan android. Semoga Ahmadi dapat memanfaatkannya.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
24-03-2018

Teks penuh akan menyusul, sila berhubung dengan Tuan Maulana Abdul Latief Ahmad, Muballigh Jemaat Kota Kinabalu.


Sunday, March 18, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 16-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
16-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, antara lain Huzur berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’udas dalam satu kesempatan menerangkan tentang kedudukan para sahabat Rasulullahsaw, beliau berkata: “Para sahabat yang mulia merupakan bukti tentang sirat Rasulullahsaw. Orang yang mensia-siakan bukti-bukti ini seolah-olah mereka mahu mensia-siakan nubuat Rasulullahsaw. Orang yang dapat menghargai Rasulullahsaw dengan cara yang sebenar ialah mereka yang menghargai para sahabat. Orang yang tidak menghargai para sahabat maka sudah tentu mereka tidak menghargai Rasulullahsaw. Pendakwaan mereka itu dusta jika mengatakan cinta Rasulullahsaw, sebab tidak mungkin boleh terjadi bahawa cinta kepada Rasulullahsaw tetapi bermusuhan dengan para sahabat.

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata lagi:-
“Para sahabat adalah satu jemaat suci, yang tidak pernah memisahkan diri dari Rasulullahsaw. Dan mereka juga tidak teragak-agak memberikan nyawa untuk baginda. Mereka begitu tenggelam dalam keitaatan, sehingga sentiasa bersedia setiap waktu menanggung kesulitan dan musibat.”

Inilah kedudukan para sahabat, setiap Ahmadi hendaklah merenungkannya. Uswah mereka, tingkat ibadat dan keitaatan mereka seharusnya menjadi contoh kepada kita semua dan berusaha menjadikan bahagian dalam kehidupan harian.

Seorang sahabi yang bernama Hazrat Abu Dujana Ansari, telah memeluk Islam sebelum Hijrah lagi, berasal dari Madinah. Ikut serta dalam perang Badar dengan semangat keberanian yang sangat luar biasa. Dalam perang Uhud juga beliau ikut serta di mana pada mulanya orang Islam yang menang, namun disebabkan umat Islam meninggalkan kawasan, orang kafir membuat serangan balik. Sahabi yang berdekatan Rasulullahsaw di antaranya Hazrat Abu Dujana. Dalam mempertahankan Rasulullahsaw, walaupun cedera parah namun tidak undur ke belakang.

Dalam riwayat lain, suatu kali Rasulullahsaw mengangkat pedangnya dan bertanya: “Hari ini siapa yang hendak menunaikan hak pedang ini?” Hazrat Abu Dujana Ansari maju dan berkata: “Saya berjanji saya akan menunaikan hak pedang ini”. Rasulullahsaw memberikan pedang itu kepadanya. Hazrat Abu Dujana bertanya kembali: “Ya Rasulullahsaw! Bagaimana hendak menunaikan hak pedang ini”. Rasulullahsaw menjawab: “Jangan tumpahkan darah orang Islam, dan jangan ada musuh kafir yang terselamat daripadanya”. Melihat semangat Hazrat Abu Dujana, Rasulullahsaw bersabda: “Dalam situasi biasa, berjalan seperti ini adalah dilarang. Tetapi dalam medan perang ini Allah Ta’ala menyukai semangat ini”.

Dalam perang Yamamah ketika menghadapi Musailamah kazzab, beliau telah syahid. Beliau begitu berani membuka pintu tembok. Beliau meminta sahabat yang lain agar melemparkan beliau dari tembok yang begitu tinggi hingga menyebabkan kakinya patah. Namun, dengan begitu berani berperang sehingga dapat membuka pintu tembok yang menyebabkan orang Islam berjaya masuk. Namun, berperang dalam keadaan itu telah menyebabkan beliau disyahidkan.

Ketika sakit, beliau berkata kepada sahabatnya: “Mungkin Allah Ta’ala menerima dua amalan saya. Satu, saya tidak mengumpat, tidak ghibat. Dan yang kedua ialah tidak ada rasa permusuhan dan dengki ke atas orang Islam.”

Hazrat Muhammad bin Muslamah seorang Ansari, dalam perang Uhud telah memperlihatkan keberanian yang sangat luar biasa bersama dengan Rasulullahsaw. Dalam satu kesempatan Rasulullahsaw memberikan pedangnya kepada Hazrat Muhammad bin Muslamah dan berkata: “Selagi perang dengan kaum Musyrikin berlanjutan, gunakan pedang ini. Tetapi apabila muncul satu zaman di mana orang Islam berperang sesama sendiri, patahkan pedang ini dan duduk di rumah sahaja sehinggalah kamu diserang atau kematian menjemput kamu.” Beliau telah beramal atas wasiyat ini dan berlaku selepas kesyahidan Hazrat Usmanra. Apapun, pedang itu telah dipatahkan dan membuat pedang kayu bagi menggantikannya. Ketika orang bertanya, beliau menjawab: “Pedang kayu itu dibuat supaya semangat tetap ada, dan saya telah menyempurnakan wasiyat Rasulullahsaw. Pedang kayu tidak akan mencederakan sesiapa.”

Beliau telah menghindarkan diri dari fitnah yang muncul selepas kesyahidan Hazrat Usmanra. Beliau selalu berkata: “Selagi fitnah tidak dijauhkan, saya akan memilih hidup di tempat yang terasing.” Inilah sahabat yang apabila berperang, sebabnya ialah agama yang diserang, dan Rasulullahsaw memerintahkan agar memerangi kaum musyrikin yang mahu menghapuskan agama. Selagi umat Islam mengikuti perintah itu, kekuatan mereka berkekalan dan sentiasa mendapat kemenangan. Tetapi disebabkan terpengaruh oleh orang munafik sehingga berperang sesama sendiri, walaupun pemerintahan berkekalan, namun sedikit demi sedikit umat Islam semakin lemah.

Hari ini kita melihat apa yang telah disabdakan oleh Rasulullahsaw menjadi kenyataan. Persengketaan sesama mereka begitu menyedihkan. Dan khabar ghaib yang lain juga iaitu selepas zaman kegelapan, muncul cahaya iaitu dengan datangnya Hazrat Maseeh Mau’udas. Mereka seharusnya menerima Imam Mahdi dan bersatu di dalam jemaat. Di situ ada berkatnya. Tapi, apa yang kita lihat mereka menumpahkan darah di negara sendiri.

Seorang sahabi Hazrat Abu Ayub Ansari, ketika Rasulullahsaw ke Madinah, beliau beruntung kerana atas kehendak Allah, Rasulullahsaw tinggal di rumah beliau sehingga lebih enam bulan. Beliau melayan Rasulullahsaw dengan begitu luar biasa. Beliau makan daripada lebihan Rasulullahsaw dengan mencari bekas tangan Rasulullahsaw. Satu kali beliau tidak mendapati bekas tangan Rasulullahsaw dan bertanya. Rasulullahsaw menjawab: “Mulanya saya hendak makan, tetapi di dalamnya ada bawang merah dan bawang putih, saya tidak suka memakannya.” Hazrat Abu Ayub berkata: “Kalau huzur tidak suka, maka saya pun tidak akan memakannya lagi.” Inilah lambang cinta yang begitu menakjubkan.

Dalam perang Khaibar, seorang pemimpin Yahudi telah terbunuh, anak perempuannya Safia telah dibawa kepada Rasulullahsaw. Keesokan harinya, apabila Rasulullahsaw keluar untuk memimpin solat, baginda melihat Hazrat Abu Ayub berdiri di luar. Apabila ditanya, beliau menjawab: “Keluarga Safia yang telah terkorban, saya risau ada di antara keluarganya yang datang untuk membalas dendam.” Rasulullahsaw berdoa: “Ya Allah! Lindungilah sentiasa Hazrat Abu Ayub sebagaimana dia melindungi saya malam tadi.”

Kesan daripada doa itu, Hazrat Abu Ayub Ansari terlibat dalam banyak perang. Sehinggalah usia yang sudah tua dan sakit. Dalam pesan terakhir, beliau mahu dikuburkan di tempat musuh sejauh mana yang dapat dijejaki. Sebab itu kubur beliau ada di Turki.

Hazrat Abdullah bin Rawahah, seorang penyair yang terkenal. Beliau juga antara orang yang menyampaikan berita kemenangan perang Badar ke Madinah.

Dalam satu riwayat, ketika perang Mu’tah Rasulullahsaw menjadikan Zaid bin Haritsa sebagai penglima perang dan bersabda: “Kalau dia syahid, maka Jaafar bin Abi Talib gantinya, jika dia syahid, maka Abdullah bin Rawahah gantinya, kalau dia syahid, maka orang Islam boleh memilih siapa yang mereka sukai.”

Apabila sampai di Mu’tah, dapat dilihat bahawa jumlah musuh sangat ramai, Harqil dari Rom telah menghantar 200,000 orang tentera untuk memerangi orang Islam. Abdullah bin Rawahah mencipta syair-syair untuk menaikkan semangat tentera Islam waktu itu. Seramai 3000 orang Islam menghadapi 200,000 tentera musuh. Hazrat Abdullah bin Rawahah memang menginginkan syahid di medan perang. Hazrat Zaid bin Arqam menceritakan: “Satu malam saya mendengar Hazrat Abdullah bin Rawahah membaca syair ini dalam mengenang orang rumahnya (isterinya) kali ini aku tidak akan pulang ke rumah sampai bila-bila, pada petang hari Khamis ketika untaku bersedia menghadap jalan menuju medan jihad, kali terakhir kamu mendekatiku, keadaanmu begitu mubarak dan indah sekali, tidak ada aib atau cacat celanya, tetapi aku sudah berada di medan perang, dan aku tidak akan kembali lagi kepadamu.

Ketika Hazrat Jaafar disyahidkan, orang ramai memanggil Hazrat Abdullah bin Rawahah. Lalu beliau mara ke hadapan dengan suatu syair: Wahai jiwaku! Adakah kamu tidak akan berperang dengan sebegitu rupa, bahawa kamu akan serahkan nyawamu? Kamu sudah masuk dalam lembah kematian, syahid yang telah kamu harapkan dulu, sudah tiba masanya untuk kamu penuhi, jika kamu persembahkan nyawamu, mungkin kamu akan mendapat ganjaran kebaikan.

Beliau berperang sehinggalah beliau disyahidkan, namun sehingga ke titisan darah yang terakhir beliau terus menerus memberi semangat kepada tentera Islam agar terus maju membela sahabat-sahabat yang telah terkorban, sehingga orang Islam berperang dengan begitu bersemangat sekali.

Keistimewaan beliau yang diriwayatkan ialah setiap kali keluar rumah, beliau akan solat dua rakaat. Begitu juga setiap kali masuk ke dalam rumah, dua rakaat nafal akan dikerjakan terlebih dahulu. Beliau juga begitu taat sehingga Rasulullahsaw bersabda: Semoga Allah Ta’ala meningkatkan lagi semangat ketaatan yang kamu miliki. Beliau juga banyak mendirikan majlis-majlis ilmu.

Kita juga dapat membaca dalam sejarah dua orang adik beradik, Hazrat Muaz bin Harith bin Rafa’ dan Hazrat Muawwiz bin Harith bin Rafa’. Mereka berdua telah berjaya membunuh Abu Jahal. Tentera musuh tiga kali ganda jumlahnya. Kelengkapan mereka juga cukup. Tentera Islam sedikit dan serba kekurangan. Namun, semangat mereka dalam menegakkan tauhid begitu mendalam.

Hazrat Abdul Rahman bin Auf menceritakan bahawa ketika perang bermula, saya melihat di kiri dan kanan, saya dapati dua orang anak Ansari yang masih muda. Seorang bertanya: “Pakcik! Mana Abu Jahal yang banyak menyusahkan Rasulullahsaw ketika di Mekah? Aku akan berusaha membunuhnya.” Kemudian seorang lagi juga bertanya soalan yang sama. Abu Jahal waktu itu dijaga oleh pahlawan mereka. saya isyaratkan tangan menunjuk ‘itu Abu Jahal’. Mereka begitu laju membuat serangan terhadap Abu Jahal, akhirnya mereka berdua telah berjaya membunuh Abu Jahal walaupun mereka telah terkorban.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda:-
“Semangat para sahabat seperti inilah yang saya hendak lihat di kalangan anggota jemaatku. Beri keutamaan kepada Allah Ta’ala. … para sahabat mahu Allah Ta’ala redha terhada mereka, walaupun mereka hidup dalam kesulitan, … mereka memahami bahawa di sebalik kesulitan itu ada keredhaan Allah Ta’ala. … secara kesimpulannya, kita seharusnya sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala dan menjadikan hal itu sebagai tujuan sebenar kita. Segala usaha kita hendaklah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala walaupun terpaksa mengharungi kesulitan dan musibah. Keredhaan Ilahi lebih unggul berbanding dengan apa yang ada di dunia ini.”

Semoga Allah Ta’ala memberikan kita semua taufik ke arah itu.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
16-03-2018

Sunday, March 11, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 09-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
09-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Antara lain Huzur berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’udas menceritakan tentang pengorbanan para sahabat Rasulullahsaw, kedudukan mereka dan nikmat-nikmat yang telah diberikan oleh Allah Ta’ala. Hazrat Abu Bakar telah menyerahkan segala hartanya pada jalan Allah Ta’ala. Namun, Allah Ta’ala telah menjadikannya sebagai penguasa Arab, Islam kembali dihidupkan dalam siri yang baru dan telah menguasai Arab yang murtad.

Semangat yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullahsaw tidak diperolehi misalnya dalam kehidupan para nabi-nabi sebelumnya.

Selagi manusia menuju kepada Tuhan tanpa meninggalkan keinginan-keinginan duniawi, mereka tidak akan mendapat hasil apa-apa malah sebaliknya merugikan diri sendiri. Namun, jika mereka bersedia meninggalkan segala keinginan-keinginan dan tujuan duniawi mereka, maka Allah Ta’ala akan memberikan kurnia atas mereka, tetapi dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kematian dan sanggup menghadapi kesusahan pada jalan Allah.

Dunia adalah fana, namun orang yang mendapat kebahagiaan di dunia adalah mereka yang berada pada jalan Allah Ta’ala. Mereka yang sanggup meninggalkan segala-galanya untuk Allah, mereka itulah yang akan mendapat kemuliaan di dunia yang tidak diperolehi oleh orang-orang duniawi walaupun mereka berusaha keras ke arah itu.

Berkat Quwwat Qudsiah Rasulullahsaw, kecintaan para sahabat ke arah dunia telah dipalingkan ke arah Allah Ta’ala. Pengorbanan dan kesetiaan para sahabat Rasulullahsaw juga tidak dapat dilihat misalnya dalam kehidupan nabi-nabi sebelumnya.

Hazrat Abad, seorang sahabi Ansar telah syahid pada usia 35 tahun. Ibadat dan tilawat Al-Quran beliau diriwayatkan oleh Hazrat Aishahra. Ketika beliau beribadat suatu malam sehingga kedengaran oleh Rasulullahsaw suara beliau menilawatkan Al-Quran, maka Rasulullahsaw telah mendoakan “semoga Allah mengasihi Hazrat Abad”. Beliau pernah bermimpi melihat langit terbelah dua dan beliau masuk ke dalamnya, dari mimpi itu beliau yakin bahawa beliau akan mendapat nikmat kesyahidan. Beliau syahid dalam perang Yamamah, di mana beliau dengan penuh keberanian dalam peperangan itu sehingga wajahnya tidak dikenal pasti kesan daripada pedang. Namun, disebabkan ada tanda pada badannya akhirnya jasad beliau dapat dipastikan.

Satu kafilah daripada Bani Amar meminta agar menghantar wakil untuk bertabligh kepada orang-orang mereka. Namun, Rasulullahsaw risau akan keselamatan mereka, tetapi ketua kafilah berani bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan mereka. Hazrat Aram telah dilantik sebagai ketua rombongan. Apabila mendekati kawasan mereka, Hazrat Aram dapat mengetahui ada sesuatu yang tidak kena. Dan memang itu yang berlaku di mana Hazrat Aram dan para sahabat yang lain telah disyahidkan. Seramai 70 orang telah syahid pada waktu itu dan kejadian itu telah diberitahu oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullahsaw. Kerana begitu sedih sekali, selama 30 hari berturut-turut Rasulullahsaw mendoakan kehancuran kaum Bani Amar yang telah berlaku zalim dan kesyahidan 70 orang itu dikatakan kesyahidan yang agung.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda berkenaan dengan kecintaan yang hakiki akan menjadikan seseorang itu sanggup menghadapi segala kesulitan dan kesakitan yang dilalui. Cuba lihat para sahabat Rasulullahsaw ketika kehidupan di Mekah. Ada sahabat yang ditangkap dan dizalimi, bukan hanya kaum lelaki, kaum wanita juga dizalimi dan menghadapi penentangan yang begitu keras. Ada seorang sahabi yang ditangkap, ketika tangannya dipotong dia berkata; aku berwuduk. Kemudian ketika kepalanya diserang, dia berkata; aku sujud. Akhirnya meninggal dunia. Waktu itu dia berdoa kepada Allah agar memberi khabar ini kepada Rasulullahsaw. Jibril memberitahu kejadian itu kepada Rasulullahsaw di Madinah waktu itu. Inilah lambang kecintaan yang hakiki, mereka sanggup menderita.

Inilah tanda seorang mukmin iaitu mereka bersedia dan sanggup dibunuh. Demikian juga apabila seseorang diberikan pilihan samada memilih menjadi Nasrani ataupun dibunuh. Jadi, kalau orang itu memilih sanggup dibunuh, maka mereka adalah mukmin hakiki, namun jika sebaliknya maka mereka itu adalah orang yang ingkar. Kalau tidak merasai kelazatan, bagaimana para sahabat nabi itu sanggup melaluinya? Mereka sanggup menghadapi segala kesulitan yang ada. Mereka adalah golongan yang berbuat kebaikan, mereka dizalimi dan menghadapi kezaliman itu dengan penuh ketakwaan.

Bukan seperti hari ini kita melihat, ada golongan yang melakukan kezaliman, bila terbunuh mereka mengatakan bahawa mereka telah mencapai tingkat kesyahidan, padahal mereka adalah pembuat kezaliman. Para sahabat dahulu berusaha menghapuskan kezaliman dan bukannya menyebarkan perbuatan zalim.

Hazrat Abdullah bin Amar, seorang sahabi Ansar. Ketika hendak pergi ke medan perang Uhud, dia berpesan kepada anaknya, selepas saya meninggal, jaga saudara perempuan kamu dan bayar hutang kepada seorang Yahudi setelah kebun kurma mengeluarkan hasil. Inilah lambing kecintaan dan takwa kepada Allah, kesucian dan menunaikan hak. Dia gembira kerana akan mendapat darjat syahid. Tidak ada perasaan takut bahawa dia ada anak perempuan yang harus dijaga. Dia menasihati anak lelakinya dan juga bayar hutangnya. Begitulah tawakkal kepada Allah.

Berkenaan dengan semangat pengorbanan dan kesyahidan Hazrat Amar, dia berjalan kepincangan kerana sakit kaki. Sebab itu dalam perang Badar, anaknya tidak mengizinkannya. Tetapi ketika perang Uhud, dia berkata anaknya, “dalam apa keadaan sekalipun saya mesti ikut serta”. Ketika berjumpa Rasulullahsaw, beliau menzahirkan supaya ikut serta dalam peperangan dan berkeinginan syahid di medan perang. Akhirnya Rasulullahsaw memberikan izin. Beliau banyak berdoa agar syahid di medan perang. Dan itu yang terjadi, dalam perang Uhud beliau telah disyahidkan.

Inilah sahabi yang penuh dengan keyakinan, mereka sentiasa bersedia untuk mempersembahkan jiwa mereka pada jalan Allah.

Hazrat Abu Talha seorang sahabi Ansar, dalam perang Badar beliau telah memperlihatkan kehebatannya dalam menggunakan panah. Dalam perang Uhud, beliau menjadi perisai kepada Rasulullahsaw. Tanpa ada perasaan takut, beliau melakukan khidmatnya dalam perang dengan penuh semangat keberanian. Semuanya dilakukan semata-mata untuk meraih keredhaan Allah Ta’ala.

Para sahabat telah mempersembahkan diri mereka laksana ternakan yang siap untuk dikorbankan. Para sahabat telah menyerlahkan sifat-sifat para nabi dari segi kebenaran dan kesetiaan. Bukan hanya pengetahuan tetapi memperlihatkan dari segi amalan mereka.

Cuba lihat Hawari Nabi Isaas. Ada yang sanggup menjual Nabi Isa dengan harga 30 Rupee. Al-Quran menerangkan kepada kita bahawa pengikut nabi Isaas ragu akan kebenarannya.

Kelompok para sahabat sangat luar biasa, penuh dengan keyakinan, dengan keyakinan itu mereka sanggup memberikan harta mereka, dan disebabkan keyakinan itu juga mereka sanggup menyerahkan jiwa mereka. Sentiasa mencari jalan bagaimana menzahirkan kecintaan mereka kepada Rasulullahsaw.

Hazrat Abdullah bin Amar meminta anaknya Hazrat Jabir membawa makanan kepada Rasulullahsaw. Setelah balik, Hazrat Abdullah bertanya, apa kata Rasulullahsaw. Hazrat Jabir berkata bahawa Rasulullahsaw bertanya: Jabir, adakah kamu bawa daging?. Maka Hazrat Abdullah telah menyembelih kambing dan memasaknya lalu menghantarkannya kepada Rasulullahsaw.

Para sahabat pada awalnya juga menghadapi kesulitan dalam melakukan tabligh. Ada anak yang masuk Islam, keluarga yang lain tidak. Keluarga terdekat mengganggu.

Anak Hazrat Amar memeluk Islam terlebih dahulu daripadanya. Anaknya sukar melakukan tabligh sebab tidak mahu mendengarnya. Ayahnya seorang musyrik, dan disebabkan tidak ada jalan lain, maka anaknya mengangkat patung di rumahnya dan dibuang dalam sampah. Keesokan harinya ayahnya mencari dan membawanya kembali ke rumah. Malam itu anaknya melakukan lagi perbuatan tersebut. Ayahnya begitu marah, kalau tahu siapa yang berbuat begitu kepada patung itu maka dia akan dihukum. Suatu hari, Hazrat Amar membersihkan dan menghias patung itu dan meletakkan pedang di sisi patung tersebut. Dan berkata: saya tidak tahu siapa yang berbuat kepada kamu, sekarang ini ada pedang, kamu sendiri yang jaga diri kamu”. Besoknya, patung itu hilang lagi dan mendapati ia terikat pada bangkai seekor anjing. Hazrat Amar berpikir, dengan pedang di sisi pun tidak boleh menjaga diri, bagaimana kamu menjaga saya. Dan kalau kamu tuhan yang benar, tidak mungkin kamu boleh terikat pada bangkai seekor anjing. Akhirnya Hazrat Amar memeluk Islam.

Berkenaan dengan hubungan Hazrat Ubay dengan Allah Ta’ala, ada tercatat dalam Bukhari. Satu kali Rasulullahsaw berkata kepadanya; Perintah Allah kepadaku supaya memperdengarkan Al-Quran kepadamu. Hazrat Ubay kehairanan; Benarkah Allah Ta’ala menyebut namaku untuk diperdengarkan Al-Quran. Rasulullahsaw menjawab; Ya, namamu disebut. Lantas Hazrat Ubay menangis kegembiraan.

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata bahawa peningkatan itu adalah bertahap, sebab itu para sahabat juga meningkat secara bertahap. Akhirnya para sahabat telah mencapai apa yang dunia tidak capai, dan melihat apa yang dunia tidak dapat melihatnya.

Hazrat Maseeh Mau’udas berkata bahawa apabila kita merenungkan zaman para sahabat mereka itu begitu lurus dan bersih. Hati mereka bersinar disebabkan cahaya kalam Ilahi dan benar-benar bersih dari segala kotoran jiwa. Mereka bukan hanya berpaling dari pemujaan berhala, mereka telah melihat Tuhan, begitu hanyut dalam keredhaan Ilahi. Rasulullahsaw umpama satu badan dan para sahabat umpama anggota badan itu.

Semoga kita semua dapat mengetahui kedudukan para sahabat dan dapat mencontohi keikhlasan dan kesetiaan mereka.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
10-03-2018

Tuesday, March 6, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 02-03-2018


Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
02-03-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Antara lain Huzur berkata:-

Dalam Islam, menzahirkan akhlak yang baik dalam setiap peringkat, dengan orang di dalam lingkungan dan di luar lingkungan adalah satu tuntutan. Tidak ada satu pun sekecil-kecil perkara dalam soal akhlak yang tidak dijelaskan dalam ajaran Islam. Tidak ada agama yang dapat menandingi pelajaran Islam dalam soal akhlak. Namun, apa yang sangat menyedihkan ialah orang Islam yang seharusnya menjadi contoh dalam penzahiran akhlak yang cantik ini, sebaliknya telah memberikan gambaran yang sangat buruk di mata orang ramai. Ini kerana amalan mereka bertentangan dengan apa yang mereka ucapkan.

Rasulullahsaw telah memperlihatkan akhlak dalam amalan baginda, banyak umat Islam mendakwa cinta kepada Rasulullahsaw, tetapi malang sekali amalan mereka sangat bertentangan dengan ajaran Rasulullahsaw. Sehingga menyebabkan orang bukan Islam menuding jari ke atas Islam dan perbuatan mereka.

Sebab itu, semua kejadian ini hendaklah menjadi pengajaran untuk anggota Ahmadi agar menilai keadaan akhlak masing-masing, jika tidak, maka tidak ada faedahnya kita dikatakan sebagai Ahmadi.

Cuba lihat kehidupan Rasulullahsaw. Baginda tidak mahu dalam bergurau pun boleh menyakiti hati orang lain. Baginda sendiri menasihati isteri-isteri baginda, juga menasihati anak-anak tentang akhlak, misalnya anak yang membaling batu ke atas pokok buah orang lain, baginda larang kerana ia boleh merosakkan dan menjadikan sia-sia buah yang masih mentah jika jatuh ke atas tanah.

Baginda juga menasihatkan seorang anak yang makan dengan gelojoh supaya makan dengan tenang dan mulakan dengan Bismillah, makan dengan tangan kanan, dan makan apa yang ada di hadapannya.

Begitu juga dusta dan kebenaran. Baginda menasihatkan seorang wanita yang memanggil anaknya dengan menjanjikan sesuatu, jika memang tidak ada niat untuk memberikan sesuatu, maka itu juga termasuk perbuatan dusta.

Baginda juga pernah menasihatkan seseorang bahawa jika kamu susah meninggalkan semua keburukan secara serentak, maka tinggalkan dahulu perbuatan dusta.

Baginda menasihatkan tentang dosa besar iaitu syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa dan dusta serta kesaksian yang palsu. Berulang kali baginda menyatakan “dusta dan kesaksian palsu” segingga para sahabat berkeinginan supaya Rasulullahsaw berdiam diri.

Begitu juga tentang ajaran akhlak dan kesabaran. Satu kali ada seorang Badwi membuang air kecil di dalam masjid, dengan segera orang yang melihat berusaha menghalangnya. Baginda bersabda “biarkan dia dan siram tempatnya membuang air”. Lalu baginda bersabda bahawa “kamu diciptakan untuk memberi kemudahan kepada orang lain, bukan menyusahkan”. Akhirnya Badwi tersebut sentiasa menyebut sikap lemah lembut Rasulullahsaw.

Hari ini kerajaan Islam, ulama dan kumpulan-kumpulan, semuanya memberikan kesulitan di dunia. Rasulullahsaw menasihatkan bahawa kalau mahu mengetahui keadaan diri kamu, kamu berbuat baik atau jahat, maka perhatikan apa kata jiran kamu.

Ketinggian akhlak hanya dapat diketahui jika kamu menganggap kamu adalah pengkhidmat bangsa dengan segala kebolehan yang ada.

Dalam Fatah Mekah juga, Rasulullahsaw telah memberikan kemaafan, malah terhadap musuh peribadi pun.

Hazrat Maseeh Mau’udas bersabda: Allah Ta’ala berfirman kepada nabi kita Muhammadsaw, INNAKA LA’ALA KHULUQIN AZIIM, sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang agung. Sesuai dengan ini, semua jenis akhlak dimiliki oleh Rasulullahsaw. Dermawan, keberanian, keadilan, kasih sayang, ihsan, kebenaran, ketenangan, pemaaf, penyabar dan lain-lain. Sesuai dengan masa dan tempatnya, akhlak ini dapat dilihat dengan penuh keagungan.

Untuk melihat akhlak yang tinggi, dalam menghadapi ujian, perlu memperlihatkan ketenangan dan kesabaran semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Dan dalam keadaan senang dan mendapat kurnia juga, memperlihatkan kerendahan hati, mengekalkan keadilan, ini juga panzahiran akhlak yang tinggi. Kedua-dua keadaan ini telah diperlihatkan oleh Rasulullahsaw.

Akhlak yang tinggi hanya dapat dilihat dalam kedua-dua keadaan iaitu ketika susah dan senang. Rasulullahsaw memang untuk menyempurnakan akhlak, sebab itu kehidupan baginda terbahagi dua, satu kehidupan Makki dan sebahagian lagi Madani. Walaupun dengan begitu banyak kesulitan dan penentangan di Mekah, namun, baginda tetap memperlihatkan ketenangan dalam menyampaikan amanat Allah. Kemudian, dalam kehidupan Madani, ketika para penentang dari Mekah itu dapat ditangkap, dan Rasulullahsaw mempunyai kekuatan untuk membalas dendam, namun baginda telah memaafkan mereka semuanya.

Ada orang yang kelihatan seorang dermawan, namun kadang-kadang menjadi marah hanya disebabkan perkara kecil. Adakalanya sudah memberi, namun pada masa yang sama juga ketika marah, kebaikan yang dibuatnya akan dilupakan. Ada juga yang nampaknya lembut tetapi bakhil. Ada yang kelihatan merendah diri, tetapi dalam masa yang lain, hilang perasaan itu. Memang tidak semua sifat dapat dikumpul, namun harus mencontohi Rasulullahsaw.

Contoh yang paling agung ialah Rasulullahsaw. Ketika sulit akhlak baginda kelihatan dengan begitu agung, dan ketika senang dan ada kekuatan, akhlak baginda juga dapat dilihat dengan penuh keindahan. Akhlak Rasulullahsaw merupakan satu mukjizat yang sangat agung. Dunia mengakuinya dan tidak ada yang dapat menandinginya.

Seorang yang pemarah, apabila mereka meninggalkan sikap itu dan mula memperlihatkan kelemah-lembutan, merendah diri, maka itu satu karamah. Jika seorang yang kedekut, mereka berubah menjadi dermawan, maka itu juga satu karamah. Demikian juga jika meninggalkan sikap mementingkan diri sendiri, lalu mengamalkan sikap mengutamakan orang lain, maka itu juga karamah. Ringkasnya, semua orang mahukan karamah yang faedahnya sangat banyak. Ini kerana ramai juga orang yang hanya dengan melihat akhlak yang baik, mereka mendapat petunjuk menerima kebenaran.

Akhlak ada dua jenis. Satu ialah yang dipersembahkan oleh pendidikan moden hari ini. Ketika berjumpa lidah mereka mengucapkan perkara-perkara yang baik sedangkan dalam hati penuh dengan perasaan munafik dan hasad. Jenis yang kedua ialah perasaan perikemanusiaan dalam hati. Tidak ada munafik dalam hati, berlaku adil, menyatakan yang benar, berbuat baik, memperlihatkan kasih sayang laksana akhlak seorang ibu kepada anaknya.

Hidup tidak dapat dijangka, sebab itu tingkatkan solat dan kebaikan-kebaikan. Hazrat Maseeh Mau’udas berkata bahawa akhlak menjadi kunci kepada kebaikan. Orang yang tidak memperbaiki akhlaknya, maka mereka akan menjadi rosak dan tidak ada kecenderungan untuk melakukan kebaikan. Seorang insan hanya akan memberi manfaat kepada orang lain jika mereka mempunyai akhlak yang baik. Ibu segala kebaikan ialah akhlak.

Ada orang apabila melihat sahaja peminta sedekah datang, langsung menyergah mereka sedangkan itu dilarang dalam hadis. Tidak perlu memberi apa-apa komen tentang apa yang mereka buat, tanggungjawab kita ialah jika ada sesuatu yang diberikan, maka berikanlah. Akhlak menginginkan supaya jangan menjadi marah atas kedatangan mereka.

Untuk ibu bapa yang bukan Ahmadi, malah menjadi penentang, Hazrat Maseeh Mau’udas menasihatkan supaya banyak berdoa untuk mereka. Perlihatkan akhlak yang baik supaya mereka dapat mengakui kebenaran. Siapa tahu melalui anak itu ibu bapa mendapat petunjuk. Islam tidak menjadi penghalang untuk mengkhidmati ibu bapa. Jadi, mereka hendaklah dikhidmati dengan sepenuh hati.

Akhlak juga menjadi pembeza antara insan dan haiwan. Haiwan, apa sahaja yang datang di hadapan, semuanya akan di makan. Haiwan tidak tahu berapa banyak yang dimakan, tidak tahu halal atau haram, mereka hanya tahu makan. Misalnya kerbau, dia tidak tahu dia sedang makan dari kebun orang lain. Jadi, seorang insan mesti memperhatikan perkara ini, misalnya dalam soal harta anak yatim, jangan memakan hak mereka dengan cara yang tidak benar. Orang yang tidak memberi perhatian terhadap hak Allah, tidak cenderung beribadat, itu juga bukan akhlak. Begitu juga jika tidak memperhatikan hak orang lain, merampas atau memberikan kerugian kepada harta orang lain, itu juga bertentangan dengan akhlak. Amat sedikit orang yang memperhatikan perkara ini.

Orang-orang Sufi mengatakan dalam diri manusia ada banyak akhlak razilah, akhlak buruk, banyak jin. Apabila ia keluar, maka akan terus keluar. Tetapi jin yang paling terakhir keluar ialah takbur, dan ia hanya dapat dikeluarkan melalui mujahadah dan doa. Banyak orang yang menzahirkan mereka merendah diri tetapi ada sahaja takbur. Ada takbur dari segi harta dengan merasa mereka lebih kaya berbanding orang lain, ada yang takbur dari segi keturunan dengan merasa keturunan mereka adalah golongan terhormat, dan ada juga yang takbur dari segi ilmu dengan merasa lebih bijak dari orang lain, malah jika ada orang melakukan kesilapan dalam memberitahu sesuatu, mereka langsung mengata yang kurang baik di hadapannya. Semua ini harus dihindari.

Meninggalkan akhlak akan menjadikan mereka cenderung ke arah kejahatan dan mendapat dosa. Taufik ke arah kebaikan tidak muncul dalam hatinya. Misalnya seorang lelaki yang berzina, dia tidak merasai bagaimana perasaan suami wanita berkenaan. Kalau orang itu tahu apa akibat atau kesan daripada perbuatannya, sudah tentu dia tidak akan berani melakukan perbuatan buruk itu.

Seorang yang mencuri, penjahat ini tidak ada perasaan untuk meninggalkan sedikit pun bagi keluarga yang miskin itu. Kita dapat melihat kadang-kadang usaha orang miskin mengumpulkan harta dalam beberapa tahun menjadi musnah dalam sekelip mata sahaja. Kalau tidak buta dari akhlak, sudah tentu tidak akan mencuri. Kita dapat membaca dalam berita, ada pemuda yang dipukul kerana mencuri barang kemas. Kalau akhlak lurus, kenapa musibat ini muncul?

Anggota Ahmadi harus memperlihatkan contoh akhlak yang sempurna kepada jiran tetangga. Ia satu karamat untuk kita. Tidak ada anak yang mahu mencemarkan nama bapanya. Begitu juga seseorang yang masuk dalam mana-mana kumpulan, maka dia hendaklah berusaha memperhatikan akhlaknya supaya tidak memberi nama yang buruk kepada kumpulan yang dimasukinya. Selagi insan tidak berusaha ke arah melakukan kebaikan, maka tidak akan dapat perubahan. Allah Ta’ala tidak akan mengubah nasib suatu kaum selagi tidak berusaha mengubah nasib mereka sendiri, ini adalah sunnatullah.

Semoga Allah memberikan kita taufik ke arah meninggikan kebaikan dan akhlak masing-masing. Tetapi bukan menunjuk-nunjuk kepada dunia malah semata-mata mendapatkan keredhaan Allah. Kita mesti banyak berdoa untuk perubahan akhlak. Fikiran kita ialah jangan disebabkan kita, jemaat mendapat nama yang buruk, malah sebaliknya kita menjadi penyebar ajaran Islam yang cantik ini dan dunia mendapat pengaruh yang baik. Untuk itu, mohon pertolongan sebanyak-banyaknya daripada Allah.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
02-03-2018

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...