Wednesday, April 13, 2011

Tajdid Agama Adalah Perlu



Seseorang bertanya, “adakah perlu setiap abad itu datang seorang mujaddid?”

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata:-
“Memang perlu bahawa setiap permulaan abad itu seorang mujaddid datang. Beberapa orang cuba mengkritik apabila mendengar perkara ini lalu mengatakan; ‘sekiranya setiap abad itu datang seorang mujaddid, maka senaraikan nama-nama mereka’.

Jawapan pertama yang saya berikan kepada mereka ialah menyenaraikan nama-nama mujaddid itu bukanlah pekerjaan saya, sepatutnya tanyakan perkara ini kepada Rasulullah s.a.w kerana baginda s.a.w yang telah memberitahu bahawa setiap abad itu datang seorang mujaddid. Semua orang tersohor mengakui hadis ini. Syah Waliullah Sahib juga mengakuinya bahawa hadis ini adalah dari Rasulullah s.a.w, dan dalam kitab-kitab hadis yang ada, hadis ini tertulis di dalamnya. Tidak ada yang terfikir untuk membuangnya atau mengatakan ‘seharusnya hadis ini dikeluarkan saja’. Dengan itu, kenapa harus menuntut daripadaku senarai nama mujaddid yang telah lepas.

Perkara yang dihubungkan kepada Rasulullah s.a.w, jika ia tidak bertentangan dengan Al-Qur’an, saya akan mengakuinya. Sila tanyakan kepada mereka itu sama ada hadis ini palsu? Pertama sekali keluarkan ia, dan jika rasa ragu-ragu, maka tuntutan takwa di sini ialah sekurang-kurangnya menurut hadis, anggaplah juga saya termasuk golongan yang ragu-ragu. Amat menghairankan sekali, hadis kamu ragui tetapi saya kamu dustakan. Ini bukan cara ketakwaan. Jika dianggap hadis palsu, maka pendustaan secara sengaja yang dikaitkan dengan Rasulullah s.a.w itu adalah perbuatan terlaknat. Tugas pertama sekali ialah para ulama harus mengeluarkannya, tetapi saya tegaskan bahawa hadis ini sahih. Sudah masyhur bahawa setiap abad ada mujaddid. Nawab Siddiq Hasan Khan dan yang lain telah menyenaraikan 13 nama mujaddid, namun saya tidak menganggap itu perkara yang perlu. Itu bukan ukuran tentang kesahihan hadis tersebut malah Al-Qur’an sendiri yang menjadi saksi kebenarannya. Hadis itu adalah penjelasan daripada ayat INNAA NAHNU NAZZALNAZ DZIKRA WA INNAA LAHUU LAHAAFIZUUN (Surah Al-Hijr:10). Seabad adalah kiraan secara umum bagi umur manusia. Sebab itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam satu hadis bahawa tidak ada yang hidup selepas seratus tahun. Jadi, sebagaimana seabad itu masa kematian bagi tubuh, maka dalam hal rohani juga ada maut sedemikian. Sebab itu selepas seabad, akan lahir zuriat yang baru. Sebagaimana kebun yang kelihatan subur menghijau, tiba saatnya ia menjadi layu dan kering, kemudian akan tumbuh lagi pokok-pokok dalam siri yang baru. Demikianlah ia berterusan. Orang-orang tersohor wafat dalam masa seratus tahun, selepas itu, Tuhan akan menjadikan satu siri yang baru lagi. Jadi, seiring dengan pemeliharan terhadap Al-Qur’an, maka hadis ini juga akan terus berlanjutan.

Baju yang dipakai juga perlu dicuci. Atas cara ini, sunnatullah akan terus berjalan untuk menyegarkan zuriat yang baru bahawa setiap abad datang mujaddid. Jadi, saya tidak dapat menyenaraikan mujaddid-mujaddid sebelumnya. Saya bertanggungjawab pada abad ini. Oleh kerana saya menganggap bahawa ia adalah hadis yang sahih, dan disokong oleh Al-Qur’an, maka jika mereka ini mengatakannya palsu dan perlu dikeluarkan dari kitab-kitab hadis, maka saya akan berdoa kepada Tuhan, dan saya pasti Tuhan akan mendengar doa saya, dan dari kasyaf juga saya boleh beritahu nama-nama mereka. Tetapi, jika hadis ini bukan dusta sesuai dengan apa yang mereka sendiri yakini, maka takutlah kepada Tuhan dan beramallah pada ayat LAA TAQFU MAA LAISA LAKA BIHII ‘ILMUN (Bani Israil:37) dan jangan mencari-cari helah yang bukan-bukan.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 86)

Lembaran Tarbiyat 06 / 2011

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...