Wednesday, April 13, 2011

Doa Untuk Umat Muslim Seluruh Dunia



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
25 FEBRUARI 2011 / 25 TABLIGH 1390HS
22 Rabiul Awal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca tasyahud, ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Hari ini saya hendak menyeru ke arah satu doa yang hubungannya adalah dengan semua dunia Islam. Waktu ini kita dituntut untuk mengasihi umat Islam, dan seorang Ahmadi yang begitu cinta kepada Rasulullah s.a.w, dan memang sepatutnya demikian, mereka dituntut bahawa siapa pun yang membaca kalimah yang menghubungkan diri mereka kepada Rasulullah s.a.w, mereka yang mendakwakan diri sebagai orang Islam, atau siapa pun di negara-negara Islam yang bertindak di luar undang-undang, untuk mereka semua itu, seorang Ahmadi yang merupakan Islam yang hakiki harus mendoakan mereka. Kita yang sekarang ini telah menerima Imam Zaman, maka adalah satu kewajipan bagi kita untuk menzahirkan rasa kasih sayang kepada umat Islam. Apabila kita mengikrarkan dalam janji bai’at, yakni akan berbelas kasihan kepada makhluk Allah, maka amatlah perlu bagi kita untuk berbelas kasihan khasnya kepada umat Islam.

Kita tidak mempunyai kerajaan atau sarana duniawi yang membolehkan kita membantu umat Islam secara zahir, yakni pergi ke mana-mana negara Islam yang bergolak untuk membantu umat Islam. Jadi, yang mampu kita lakukan ialah berdoa, dan setiap Ahmadi di seru melaksanakan hal ini. Ataupun, jika seorang Ahmadi itu tinggal di negara-negara bergolak ini, atau merupakan penduduk negara berkenaan, masalah-masalah yang menimpa kebelakangan ini, selain kita berdoa, mana-mana Ahmadi yang ada hubungan dengan pemerintah atau ahli politik, mereka hendaklah menjelaskan perkara ini bahawa jangan hanya memikirkan kebaikan sendiri, mereka juga hendaklah memikirkan manfaat kaum.

Tetapi, kecuali dengan kehendak Allah, kebanyakan umat Islam, apabila mereka sudah mendapat tampuk pemerintahan, dan ahli politik sudah mendapat pangkat, mereka selalu lupa untuk menunaikan hak-hak hamba. Punca sebenar hal ini berlaku ialah mereka kurang memiliki ketakwaan. Mereka yang meng-hubungkan diri kepada Rasulullah s.a.w, mereka yang mendakwakan diri membaca Al-Qur’an, orang-orang inilah yang selalu melupakan perintah yang asas, iaitu perbezaan di antara kamu dengan orang lain adalah ketakwaan. Dan jika hal ini tidak ada, maka sudah pasti akan tenggelam dalam pemujaan terhadap dunia.

Walaupun dikatakan sebagai Muslim, walaupun menggunakan nama Islam, namun atas nama Islam mereka merampas hak Allah dan hak hamba. Kegilaan terhadap harta, pangkat dan kuasa telah menjadikan mereka mengenepikan perintah-perintah Allah, atau untuk menjaga harta dan memperkasakan pangkat atau kedudukan, mereka sanggup berasaskan kepada kuasa negara luar. Mereka lebih merasa perlu untuk menjaga kepentingan kuasa luar daripada memelihara kebaikan sesama warganegara dan umat Islam, dan jika keadaan memaksa, mereka sanggup berlaku zalim terhadap rakyat.

Kita juga dapat melihat bahawa disebabkan tamak terhadap harta, ada di antara orang-orang besar kerajaan yang mementingkan diri sendiri dengan berusaha memperbanyakkan khazanah simpanan sendiri. Berita yang kedengaran di luar memberitahu bahawa ada orang-orang besar yang telah mengeluarkan ratusan kilogram emas dan ada yang memenuhkan simpanan mereka. Ada juga yang menyimpan harta negara di Bank Swiss atas nama sendiri. Ada juga yang menyimpan harta yang tidak terkira banyaknya di negara-negara lain sedangkan rakyat di negaranya bertungkus- lumus untuk mendapatkan makanan.

Hal ini bukan hanya terjadi di negara-negara Arab. Misalnya di Pakistan, harga barang telah meningkat secara mengejut sehingga ramai orang yang sukar sekali untuk mendapatkan roti/makanan untuk satu hidangan. Tetapi orang-orang besar dan pemimpin pula membelanjakan harta rakyat sehingga ratusan ribu Pound untuk kegunaan sendiri dan untuk menghiasi kediaman mereka. Jadi, sama ada di Pakistan atau di Barat atau negara-negara di Afrika, di mana pemimpin-pemimpin Islam yang hanya mempunyai satu kitab panduan, satu syariat dan satu sunnah yang sehingga sekarang ini masih ada seperti keadaan asal, walaupun semua itu masih wujud, namun hak-hak Allah dan hak-hak hamba tidak dipedulikan.

Jadi, ketika negara lain berusaha untuk menyempurnakan hak-hak, umat Islam pula terus-menerus merampas harta orang-orang yang senegara dengannya. Bagaimana orang-orang itu dapat diyakini bahawa mereka menjalankan pemerintahan atas dasar ketakwaan? Sebaliknya orang-orang inilah yang boleh menjadi punca kerosakan dan rusuhan berlaku dalam negara. Atas dasar kekuatan, pemerintahan dapat bertahan untuk beberapa lama, tetapi itu tidak boleh menjadi sumber ketenangan untuk orang awam. Malah keadaan itu boleh menimbulkan tindakbalas yang nampaknya muncul secara mendadak, tetapi sebenarnya tidak berlaku secara tiba-tiba, malah ia ibarat lava yang mendidih dari dalam dan mula timbul di beberapa buah negara dan ada yang muncul tepat pada masanya. Apabila lava ini meletus, ia juga mampu menghancurkan mana-mana kekuatan dan kekuasaan yang ada. Dan oleh kerana tindakbalas seperti itu tidak dijangka dan orang-orang yang dizalimi bertindak terhadap orang-orang yang berbuat kezaliman, maka mereka sanggup menggunakan segala kekuatan yang ada untuk membebaskan diri mereka. apabila orang-orang yang dizalimi itu berjaya, maka orang-orang itu pula kemudian menjadi zalim.

Sebab itu saya menyeru kepada setiap Ahmadi untuk mendoakan dunia Islam. Kita berharap sebelum hal ini terjadi di mana setiap negara mengalami keadaan ini lalu kezaliman berulang lagi dalam siri yang baru, mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi akal kepada pemerintah dan juga orang awam, dan juga agar mereka mendapat taufik untuk berjalan atas landasan ketakwaan.

Jika dalam diri pemimpin Islam itu ada ketakwaan atau ada keimanan yang hakiki, maka pemimpin yang menjalankan pemerintahan dalam bentuk sistem beraja, atau ahli-ahli politik yang menjalankan pemerintahan atas nama Republik, mereka semua akan memikirkan hak-hak orang awam. Kemudian negara-negara Islam yang merupakan sebuah sistem pemerintahan, ia bukan hanya sekadar nama malah mereka akan saling tolong-menolong antara satu dengan yang lain atas tuntutan keadilan, dan bukannya untuk kepentingan peribadi mereka pergi membantu golongan yang suka membuat kerosakan di dunia. Jika ada ketakwaan yang hakiki maka dunia Islam mempunyai satu kemampuan yang harus diakui oleh dunia. Di benua Asia adalah satu bahagian yang sangat besar, dan di benua yang lain juga ada bahagian negara-negara Islam. Tetapi di dunia, semua negara-negara ini dikenali sebagai negara-negara miskin atau dikenali sebagai negara-negara sedang membangun, dan ada juga yang disebut sebagai negara maju.

Beberapa negara yang mempunyai kekayaan hasil minyak, ia juga adalah kerajaan yang kuat. Bajet mereka, hutang yang mereka berikan kepada negara lain, pertolongan yang mereka berikan kepada negara-negara miskin, atau bajet bantuan yang mereka keluarkan khas kepada negara-negara miskin, benangnya/kuncinya ada pada orang lain. Disebabkan tidak ada rasa takut kepada Tuhan, disebabkan takut kepada manusia sebagai ganti takut kepada Tuhan, disebabkan kejahilan dan ketidaktahuan, dan juga disebabkan manfaat untuk peribadi, mereka tidak dapat menggunakan harta dengan cara yang sepatutnya iaitu memajukan industri di negara mereka sendiri dan tidak juga dapat memajukan hasil pertanian mereka, sedangkan negara-negara Islam berkemampuan untuk mengeluarkan hasil pertanian disebabkan musim yang pelbagai.

Negara-negara Islam sebenarnya mempunyai pelbagai kekuatan dan sarana serta khazanah pengetahuan yang boleh membuat perubahan. Namun, oleh kerana kepentingan dan tumpuan mereka berlainan, sebab itu tidak boleh berbuat apa-apa. Akhirnya, ahli sains negara-negara Islam dan golongan cendekiawan pergi ke negara-negara maju kerana di sana mereka dipergunakan dengan betul. Di negara-negara Islam, mereka tidak dipandang, tidak diberi kemudahan. Jika mereka melangkah sedikit ke hadapan untuk maju, maka orang-orang besar atau pegawai-pegawai kerajaan akan menghentikan usaha mereka demi kepentingan peribadi. Di negara-negara Islam, sebagai contoh Malaysia, ia dianggap sangat maju dan dari segi teknologi pula ia semakin ke hadapan, tetapi negara-negara maju menggolongkannya dalam negara-negara sedang membangun. Apapun, inilah sebabnya bahawa takwa sudah hilang. Jika hendak maju, kita hendaklah mengenali sesuatu dengan cara yang sepatutnya.

Keadaan sekarang ini sangat membimbangkan. Dikatakan bahawa seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Satu anggota terasa sakit, maka bahagian lain turut terasa sakit. Al-Qur’an juga menyatakan hal ini INNAMAL MU’MINUUNA IKHWATUN (Al-Hujurat:11) yakni setiap mukmin itu adalah bersaudara. Tetapi berita yang diterima dari beberapa negara seperti Mesir dan negara lain menyatakan bahawa kerajaan membuat keputusan untuk menghadapi orang awam, tetapi bukan setakat itu sahaja malah orang awam diperlagakan. Orang yang menyebelahi kerajaan diberikan senjata. Walaupun rakyat sesama rakyat yang berperang, tetapi kerajaan yang berperanan di dalamnya. Jika negara Islam menyatakan mereka berdasarkan sistem pemerintahan Republik, maka selagi rakyat tidak menzahirkan penentangan secara kekerasan, selama itu kerajaan harus bertahan. Tetapi, menurut khabar yang diterima, kerajaan telah bertindak sehingga mengorbankan ratusan nyawa.

Dari satu segi mereka meniru cara pemerintahan Republik Barat, tetapi di segi yang lain mereka langsung tidak dapat bertahan, dan akibatnya orang Islam berlaku zalim atas orang Islam yang lain. Jika hendak meniru cara Republik, maka seharusnya dapat bertahan. Cara pemerintah negara-negara Islam yang sepatutnya dilaksanakan, itupun tidak dibuat. Tidak ada usaha untuk memperbaiki. Hal ini terjadi beberapa minggu lepas di Mesir, Tunisia atau di Libya. Atau kekerasan terjadi sejak begitu lama di Afghanistan dan Pakistan sehingga memburukkan nama Islam. Semua ini menafikan semangat persaudaraan yang diajarkan bahawa orang Islam diperintahkan untuk saling bersaudara. Dan punca semua ini berlaku ialah seperti yang telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s iaitu “waktu ini takwa sama sekali telah hilang”. (Malfoozaat Jilid 3, halaman 22, edisi baru, cetakan Rabwah)

Jadi, untuk menegakkan kembali kemurnian Islam waktu ini, untuk menciptakan keamanan dalam negara, dan untuk menciptakan kerjasama antara rakyat dan pemerintah, takwa sangat diperlukan, yang mana tidak ada seorang pun yang memberi perhatian terhadapnya. Hanya ada satu cara yang boleh dilakukan iaitu bertaubat dan istighfar, tunduk di hadapan Allah. Berusaha mencari jalan ketakwaan. Apabila melihat ZAHARAL FASAADU FIL BARRI WAL BAHRI (Ar-Rum:42) yakni kerosakan terjadi di daratan dan lautan, apa sebenarnya yang harus dicari? Hal itu juga disebut dalam Al-Qur’an.

Rasulullah s.a.w juga menjelaskan dengan terbuka tentang perkara ini bahawa satu-satunya cara bagi menjauhkan kerosakan ini ialah beriman kepada Maseeh dan Mahdi zaman ini di mana Rasulullah s.a.w berkirim salam atasnya. Jika tidak cenderung ke arah ini, maka akan tenggelam dalam ketamakan terhadap dunia. Ini menyebabkan islah atau perbaikan tidak terjadi, malah kegelapan demi kegelapan yang dialami. Untuk mendapatkan ketakwaan, tidak ada lagi cara yang ada selain daripada tunduk atau berhubung dengan Allah Ta’ala. Dan hubungan dengan Allah itu hanya akan diperolehi jika mengikuti petunjuk yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan Allah Ta’ala.

Beberapa hari yang lepas, ada seseorang yang mencetak dari satu website dan menghantar kepada saya, tulisan itu dalam bahasa Inggeris. Mungkin penulis ini dari sebuah organisasi Islam, dia menyatakan tentang keadaan semasa pemimpin Islam, dengan keadaan yang terjadi sekarang ini, bagaimana nanti keadaan pada masa akan datang kelak?

Dia menulis bahawa orang Islam di seluruh dunia bergembira apabila melihat saudara-saudara mereka di Mesir dan Tunisia berjihad menuntut kebebasan daripada pemerintah yang zalim. Kita hendak memberi buah fikiran berkenaan dengan ini. Perkara pertama yang dia tulis bahawa adalah jelas dan kita semua menjadi saksi di mana waktu ini Islam perlu bersuara untuk menentang pemerintah yang zalim. Kejadian di Mesir dan Tunisia memberitahu kepada dunia bahawa pemerintah yang jahat boleh disingkirkan.

Kemudian, terhadap media di Barat dia juga memberi gambaran dengan menulis bahawa mereka menggunakan pelbagai istilah dalam menentang Islam sehingga Islam kelihatan satu mazhab yang sangat menakutkan.

Dia menulis lagi: Sedangkan orang-orang ini tidak bersedia menerima nizam khilafat sebagaimana yang digambarkan dalam Al-Qur’an dan Hadis sebagai satu nizam kehidupan.

Kemudian berkata lagi: Kita melihat bahawa propaganda untuk menjadikan hati benci terhadap cara hidup Islam telah bermula sejak 10 tahun lepas. Ada serangan terhadap pardah yakni burkah, penghinaan terhadap Al-Qur’an dan Rasulullah s.a.w serta syariatnya, yang mempunyai pengaruh dari kehidupan sehari-hari sehingga ke peringkat dewan politik.

Kemudian berkata lagi: Oleh kerana dalam pemerintahan Islam, kedudukan khilafat atau kerajaan berlandaskan Islam merupakan asas utama, sebab itu ia merupakan nyawa dalam agama kita. Dengan itu, dalam Islam boleh terbentuk kesatuan sebagaimana kesatuan yang boleh dilaksanakan oleh negara-negara seperti Mesir, Gaza dan Sudan.

Kemudian berkata lagi: Kerajaan berlandaskan Islam hanyalah khilafat yang tegas melihat atau memantau para pemerintah, di mana pemerintah yang dipilih bertanggungjawab terhadap pemerintahan. Mengatur keadilan dan kebebasan media. Mengangkat kedudukan wanita sebagai ibu, isteri dan saudara. Tidak membezakan warna kulit, hitam atau putih. Tidak ada diskriminasi dalam soal mazhab atau pegangan, dan hanya satu undang-undang atas orang kaya atau miskin. Menyediakan kepada orang awam makanan, pakaian dan rumah. Inilah jalannya yang jika dilaksanakan dan diikuti, maka umat akan sekali lagi dapat menyebarkan nur kemuliaan akhlak dan rohani Islam.

Kemudian dia juga menegaskan kepada umat Islam, lakukanlah sesuatu untuk nizam Islam dan suarakan penentangan terhadap nizam duniawi. Usahakan agar dapat menubuhkan Khilafat kerana tanpanya, tidak akan ada perubahan dalam umat Islam.

Inilah ringkasan yang dia cuba sampaikan. Untuk menyatukan umat Islam, untuk menegakkan keadilan, untuk menyebarkan keamanan di dunia, semuanya boleh tercapai melalui khilafat yang dapat memandu pada landasan yang sebenar. Dalam menyentuh tentang hak pemerintah dan rakyat serta seruan untuk melaksanakannya, itu hanya boleh terlaksana melalui suara khilafat.

Penulis ini memang menulis satu perkara yang benar, tetapi fikiran disebaliknya adalah salah. Jalan yang dia beritahu iaitu rakyat harus bangun untuk menubuhkan nizam khilafat, itu adalah salah sama sekali. Memang tidak diragukan lagi bahawa kehidupan umat Muslim terletak pada khilafat. Maka, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa orang itu telah mengakui keadaan umat Islam dan memberitahu cara terbaik. Namun untuk mencapainya bukanlah pekerjaan manusia. Adakah Khilafat Rasyidah terjadi hasil usaha manusia? Keadaan yang sangat kritikal dan tidak tenteram itu Allah Ta’ala telah meletakkan sesuatu dalam hati orang-orang Mukmin untuk menjadikan Hazrat Abu Bakar Siddiq r.a sebagai khalifah. Jadi, khilafat itu adalah inayat dari Tuhan. Ia merupakan kurnia untuk orang-orang beriman. Rasulullah s.a.w memberi khabar berkenaan dengan Khilafat Rasyidah bahawa ia akan berlangsung dalam tempoh tertentu. Selepas itu, zaman selepasnya adalah zaman kezaliman. Kemudian, ada satu harapan seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an iaitu WA AAKHARIINA MINHUM LAMMAA YAL HAQUU BIHIM (Al-Juma’ah:4), dan penjelasan Rasulullah s.a.w berkenaan dengan ayat ini ialah kebangkitan Maseeh dan Mahdi yang berasal dari Parsi dan bukan Arab. Kedudukannya adalah hamba kepada Rasulullah s.a.w dan mendapat darjat kenabian yang tidak membawa syariat. Jadi, jika umat Islam hendak berusaha menubuhkan khilafat, jadikanlah perkara ini sebagai panduan asas.

Ada satu riwayat, Hazrat Huzaifah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Nubuat (kewujudan Nabi) akan tetap bersama kamu selama yang dikehendaki Allah, kemudian akan diangkat oleh Allah, selepas itu khilafat yang berlandaskan kenabian akan terjadi dan ia berlangsung selama ia dikehendaki Allah, kemudian nikmat itu akan diangkat kembali, kemudian akan muncul zaman raja-raja yang zalim yang akan berlanjutan selama ia dikehendaki Allah, selepas itu ia akan diangkat oleh Allah, selepas itu muncul zaman pemerintahan hasil rampasan kuasa dan akan berlanjutan selama dikehendaki Allah dan akan berakhir, kemudian bangkit kembali nikmat zaman khilafat yang berlandaskan kenabian, kemudian Baginda s.a.w senyap. (Musnad Ahmad Bin Hambal Jilid 6, halaman 285, Masnad Nu’man Bin Basyir hadis 18596, Alimul Kitab Beirut 1998)

Jadi, khilafat itu datangnya dari kasih sayang Allah, bukan atas usaha rakyat dalam melawan kerajaan. Adakah di setiap negara akan berdiri khilafat? Jika benar terjadi, atas firqah mana umat Islam hendak bersatu? Dalam solat, setiap firqah tidak menerima firqah yang lain menjadi imam. Jadi, caranya hanya ada satu sahaja iaitu mereka harus menerima Maseeh Mau’ud a.s, kemudian mengakui khilafat yang berjalan selepas beliau. Inilah khilafat yang menjadi jawapan terhadap orang-orang yang suka melakukan kekerasan bahawa kekerasan tidak akan dapat menubuhkan khilafat. Khilafat ini tidak berdiri hasil daripada seorang Muslim menembak dan membunuh muslim yang lain, tetapi ia lahir atas kasih sayang Allah Ta’ala. Dan khilafat yang diperolehi kasih sayang dan pertolongan-Nya, maka ia bukan hanya menjamin keamanan sesama Islam, tetapi seluruh dunia ini akan terjamin keselamatannya. Pemerintah akan diseru untuk melakukan keadilan dan keimanan, manakala rakyat pula diseru untuk beriman dan menyempurnakan tugas yang telah diberikan dengan bersungguh-sungguh.

Jadi, Jemaat Ahmadiyah sentiasa sama sejak dari dahulu, hari ini juga demikian, apabila melihat kerosakan di dunia, hanya satu sahaja keadaan yang dipersembahkan iaitu berusaha untuk menjadi umat yang terbaik, berkumpul pada satu tangan, menjauhkan hari dari ketakutan terhadap dunia dan menjadi jaminan keamanan, kasih sayang dan kecintaan. Luruskanlah dunia dan akhirat kamu dengan melahirkan hubungan dengan Tuhan. Tetapkanlah diri kamu atas keyakinan bahawa sekarang ini Tuhan juga berkata-kata atas sesiapa yang dikehendaki-Nya supaya kedudukan umat yang terbaik sentiasa memperlihatkan keagungannya. Namun, semua ini hanya akan terjadi dengan menghubungkan diri dengan Imam Zaman. Inilah caranya untuk memperbaiki keadaan umat Islam.

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata:-
            “Hamba yang lemah ini diutus untuk pekerjaan ini, iaitu perintah-perintah dalam Al-Qur’an Syarif dapat dijelaskan ...”. (Izalah Auham, hissah Awal, Rohani Khazain jilid nombor 3, halaman 103)

Kemudian berkata lagi:-
            “... saya berkata dengan sebenar-benarnya bahawa mereka yang dihidupkan melalui tangan Maseeh telah meninggal dunia, tetapi orang yang minum minuman dari tanganku yang diberikan kepadaku, mereka tidak akan mati. Perkara-perkara kehidupan yang aku katakan dan hikmat yang keluar dari mulutku, jika ada yang dapat mengatakannya setanding dengannya, maka fahamilah bahawa aku bukan datang dari Tuhan. Tetapi jika hikmat dan makrifat ini menjadi sumber kehidupan kepada hati yang telah mati dan tidak dijumpai di tempat lain, maka tidak ada alasan bahawa kamu mengingkari sumber mata air ini yang telah dibuka dari atas langit dan tidak ada yang dapat menutupnya di bumi. Jadi, janganlah tergesa-gesa untuk menentang, dan jangan libatkan diri kamu dalam tuduhan yang tidak berasas sebagaimana Tuhan berfirman dalam  surah (Bani Israil:37) [yakni ‘dan janganlah engkau ikuti apa yang tentang itu engkau tidak mempunyai ilmu. Sesungguhnya telinga dan mata dan hati, semuanya akan ditanya mengenai hal itu’]. Jangan keterlaluan dalam berburuk sangka dan berfikiran kotor, jangan-jangan kamu akan terperangkap atas kata-katamu ...”. (Izalah Auham, Hissah Awal, Rohani Khazain jilid nombor 3, halaman 104)

Kemudian berkata lagi:-
            “... wahai orang Islam! Jika kamu beriman kepada Tuhan dan Rasul-Nya dengan hati yang suci dan kamu menunggu pertolongan Tuhan, maka yakinlah bahawa pertolongan Tuhan sudah tiba. Dan pekerjaan ini bukan dari seorang manusia, dan tidak juga seorang manusia telah membuat perancangan terhadapnya, tetapi inilah waktu Subuh yang semakin terang, yang mana ia telah dikhabarkan dalam tulisan yang suci itu. Tuhan ingat kepada kamu ketika saatnya benar-benar memerlukan. Hampir sahaja kamu tergelincir ke dalam lembah, tetapi dengan tangan kasih sayang-Nya, kamu diangkat. Jadi, bersyukurlah dan bergembiralah bahawa hari yang segar bagi kamu sudah muncul. Tuhan tidak akan mensia-siakan kebun agama-Nya yang telah disirami dengan darah orang-orang suci. Dia sama sekali tidak mahu Islam menjadi seperti agama-agama lain yang hanya tinggal kisah-kisah, yang langsung tidak ada berkat di dalamnya. Dia akan memancarkan cahaya ketika kegelapan hampir bermaharajalela”. (Izalah Auham, Hissah Awal, Rohani Khazain Jilid nombor 3, halaman 104 dan 105, Computerised Edition)

Jadi, rahmat Allah Ta’ala telah menzahirkan nur yang hakiki kepada kita kerana mengutus Khalifatullah yang membawa kembali iman dari bintang Tsuraiya ke bumi, dan sesuai dengan keimanan kita bahawa khabar ghaib Rasulullah s.a.w telah sempurna. Selepas beliau, khilafat yang berlangsung juga adalah menurut khabar ghaib baginda s.a.w. Dan berkenaan dengan nizam khilafat ini sebagaimana Rasulullah s.a.w katakan, kita juga telah membaca hadis itu, beliau a.s berkata “apabila aku pergi, maka Tuhan akan menghantar kudrat kedua kepada kamu yang akan bersama kamu selama-lamanya”. (Risalah Al-Wasiyat, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 305)

Dan hal ini sebagaimana yang telah saya katakan Rasulullah s.a.w telah menyatakannya. Jadi, seorang Ahmadi hendaklah me-nyampaikan amanat ini sedapat yang mungkin, bahawa jika kehidupan kamu berdasarkan kepada khilafat, maka inilah seperti yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. Untuk mencapainya, tidak perlu melakukan kekerasan, tidak perlu melepaskan peluru. Dan ini adalah nikmat daripada Allah terhadap orang-orang yang taat, dan bukannya dengan usaha atau gerakan dari orang awam. Jadi, kemarilah menjadi bahagian dalam nizam Ilahi ini, dan jadikanlah umat muslim ini lebih kuat. Inilah jalannya bagi orang-orang yang mempunyai keimanan yang sempurna kepada Allah. Inilah jalannya jika hendak menzahirkan kecintaan dan ketaatan kepada Rasulullah s.a.w secara hakiki. Mudah-mudahan orang Islam memahami asas ini, dan sebagai ganti menghulurkan tangan dan kaki ke sana ke mari, adalah lebih baik berjalan di atas landasan yang telah Allah Ta’ala beritahu.

Apapun, ini merupakan satu cara yang mereka sendiri katakan bahawa inilah keadaannya, dan ini merupakan cara rohani yang perlu dimiliki oleh umat muslim bagi menarik kurnia-kurnia Tuhan. Setiap kesempatan yang ada, Ahmadi diseru untuk menyediakan sarana kehidupan dengan menerima Maseeh Wa Mahdi.

Tetapi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa Ahmadi diseru untuk berdoa dan berusaha memberi kefahaman kepada dunia. Doakan agar Allah Ta’ala mengurniakan pemimpin kepada setiap negara Islam, seorang yang waras, yang menegakkan keadilan dan yang ada rasa takut terhadap Allah. Sehingga sekarang, setiap jenis kerisauan atau yang sekarang ini walaupun ia kelihatan tenteram, kita melihat bahawa semua pemimpin hanya memikirkan manfaat sendiri, dan pemimpin yang dicalonkan pun kelihatan sama keadaannya. Wajah pemimpin itu sahaja yang berubah, tetapi cara yang dilakukan tetap sama.

Apabila pemberontakan dari orang awam yang terjadi sekarang ini maka, raja yang zalim juga bersuara untuk menentang mereka. Jika pada awalnya dijangka bahawa harta benda tidak akan dimusnahkan atau tidak akan melibatkan nyawa. Sekarang, setiap negara sudah tidak selamat dari semua ini. Kekuatan apakah yang ada disebaliknya? Adakah keamanan yang cuba diciptakan atau hanya sekadar merampas kerusi atau hanya menyebarkan huru-hara? Arab Saudi yang merupakan kerajaan yang kuat, melihat kepada tindakan dari orang awam di negera-negara berdekatan dengannya, ia mengumumkan bahawa mereka akan memberikan lebih banyak kemudahan kepada orang awam.

Apa pun, keadaan yang berlaku sekarang ini menyebabkan beberapa kekuatan sedang teruja. Boleh dikatakan bahawa mereka sedang membuat perancangan untuk turun ke lapangan bersama dengan segala sarana. Satu pihak, orang itu berusaha meyakinkan kuasa-kuasa besar ini bahawa “kamu telah melihat hamba-hamba kamu sebelumnya, sekarang ini giliran kami pula”. Atau juga penguasa-penguasa sebelumnya telah meletakkan beberapa orang di hadapan pujaan-pujaan mereka yang datang dengan janji bahawa polisi pemerintahan tetap seperti itu dan kepentingan kamu akan dipelihara. Dengan perubahan wajah, orang awam menjadi gembira, atau untuk beberapa ketika mereka merasa tenteram. Tetapi fikiran yang bermain di benak mereka dan kesedaran yang muncul dalam diri mereka, menzahirkan bahawa cara seperti itu tidak lagi berkekalan, dan kemungkinan kerisauan ini akan berterusan.

Perkara kedua yang menakutkan ialah, bahawa dari keadaan ini orang-orang yang suka melakukan keganasan atas nama agama akan mengambil kesempatan, malah sedang mengaut keuntungan. Memang pada permulaan, mereka ini mengatakan akan melakukan keadilan, tetapi akhirnya lain yang mereka perbuat sehingga mendatangkan satu zaman yang berbahaya buat orang Islam di seluruh dunia. Kuasa-kuasa besar akan menjadikan hal itu sebagai sebab untuk menghapuskan orang Islam. Kuasa-kuasa besar tidak senang hati jika tempat mereka mengaut keuntungan terlibat dalam perkara ini. Kuasa-kuasa besar ini boleh bangkit kembali secara senyap-senyap atau perang dingin boleh bangkit secara perlahan-lahan. Kesannya, pelbagai kesulitan dan kerisauan akan tersebar.

Pada masa ini, beberapa negara-negara dunia ketiga yang miskin, atau dapat dikatakan sebagai negara-negara Islam, kerosakan dalaman negara adalah disebabkan campurtangan kuasa-kuasa besar untuk manfaat sendiri. Dan sebagaimana yang telah saya katakan bahawa berita yang menyedihkan dari pemimpin-pemimpin negara-negara Islam ialah tidak menunaikan hak untuk memelihara kebaikan kaum dan negara. Disebabkan sikap sombong dan takbur serta untuk manfaat sendiri, mereka menjadi bahan permainan kuasa lain, kemudian mullah yang memang jauh dari ketakwaan, kumpulan ini lebih berbahaya daripada ahli politik. Mereka ini berbahaya kepada keamanan negara dan dunia. Keadaan ini menyeru kepada kita untuk merasa risau dan banyak berdoa. Untuk merampas kuasa, untuk merampas segala sarana, setiap mereka yang kuat hendak meletakkan kaki mereka di sana. Dalam dunia Islam, ada serangan terhadap kekuatan dalaman dan luaran iaitu siapa yang akan merampas terlebih dahulu atas perkara-perkara tersebut, yang menyebabkan orang awam yang hidup menderita. Negara hanya mendapat kemajuan yang sedikit, namun kaum atau kekuatan yang mementingkan diri sendiri telah membawa mereka menuju kemunduran.

Berkenaan dengan Iraq, suatu masa dahulu pernah di banggakan bahawa ia dapat menandingi negara-negara maju di Eropah, namun sejak 20 tahun kebelakangan ini, huru-hara, kerosakan dan peperangan telah menjadikannya musnah. Dan jika kita lihat dan bandingkan terutama sekali dengan negara-negara Arab yang lain dan dengan beberapa negara-negara Afrika yang ada hubungan dengan Arab, Iraq adalah yang paling banyak huru-hara dan tidak aman. Pemimpin-pemimpin Islam hendak menunjukkan kuasanya. Rakyat di kedua-dua pihak kelihatan ditipu. Jika ahli politik ada keimanan, jika pemimpin negara ada keinginan untuk memberi kebaikan kepada rakyat dan memelihara hak mereka, maka sudah tentu huru-hara tidak akan berlaku, kelompok yang suka melakukan kekerasan juga tidak akan berpeluang berbuat sesuka hati, dan tidak juga kuasa-kuasa luar dapat mengambil faedah dengan cara yang salah.

Ringkasnya, kezaliman yang sedang berlaku di setiap tempat sekarang ini sebenarnya boleh membawa dunia ke arah kehancuran. Jika takwa yang hakiki tidak hadir, keadilan tidak ditegakkan, maka kalau bukan hari ini, esok akan berlaku kehancuran yang sangat dahsyat. Dan punca utamanya boleh disebabkan oleh beberapa negara Islam.

Jadi, ini satu perkara yang sangat perlu dirisaukan. Semoga Allah memberi petunjuk kepada dunia Islam ke arah melakukan keadilan dan ketakwaan. Perintah Al-Qur’an ialah mengamalkan WA TA’AAWANUU ALAL BIRRI WAT TAQWA (Al-Maidah:3) yakni tolong-menolong dalam perkara kebaikan. Sekiranya orang awam berdiri atas dasar ketakwaan untuk menolong, jika menjalinkan hubungan dengan jiran atas dasar kebaikan, jika mereka menyempurnakan hak-hak hamba atas dasar ketakwaan, maka keamanan akan muncul dan negara akan menuju kemajuan. Tetapi, apa yang kita dapat saksikan sekarang ini, perintah Al-Qur’an WA TA’AAWANUU ALAL BIRRI WAT TAQWA (Al-Maidah:3) tadi itu tidak kelihatan, sebaliknya yang kelihatan di mana-mana ialah ZAHARAL FASAADU FIL BARRI WAL BAHRI (Ar-Rum:42).

Keadaan ini, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa hanya melalui doa sahaja kita boleh perbaiki, atau hanya dapat menyuarakan kepada kelompok-kelompok yang terhad. Jadi, hanya Ahmadi sahaja yang boleh menjamin keamanan dunia sekarang ini. Hari ini dunia sangat mengetahui segala cara-cara duniawi, tetapi Ahmadi yang melihat tanda-tanda Tuhan yang Hidup, yang berasaskan kepada zat Allah, yang melihat penzahiran Kudrat Tuhan, yang berusaha menanamkan rasa takut dalam hati kepada Allah, sebab itu segala-galanya bagi Ahmadi ialah tunduk di hadapan Allah.

Ada seorang Profesor Benggali datang berjumpa saya beberapa hari yang lepas. Dia bertanya, apa jaminan bahawa Jemaat Ahmadiyah tidak akan bertindak melampau kepada kelompok lain sekiranya telah menjadi majoriti? Atau adakah Jemaat Ahmadiyah tidak akan merampas hak kelompok lain?

Saya menjawab kepadanya; jika majoriti itu terjadi disebabkan menaklukkan hati, jika amanat disebarkan dengan kasih sayang sebagai ganti kekerasan, ia tidak akan berbuat kezaliman malah tetap menyebarkan kasih sayang. Ia berlatarbelakangkan takwa kepada Allah. Ia berlatarbelakangkan keredhaan Allah. Ia memberi dan menerima pertolongan atas dasar kebaikan. Kemudian nizam Khilafat Rasyidah yang adil itu dikekalkan. Ia menyempurnakan hak-hak dan bukan merampas hak orang lain. Dan jika kerajaan pun yang bai’at kepada Khilafat, mereka akan diseru ke arah menyempurnakan hak-hak dan jangan merampas hak orang lain. Dan sebagai seorang manusia, mungkin akan melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, tetapi jika ada ketakwaan, ia juga akan dapat diperbaiki.

Walaupun atas arahan para ulama atau atas ketakutan duniawi menyebabkan orang-orang Islam dalam kelompok yang besar menzalimi orang-orang Ahmadi, namun orang-orang Ahmadi waktu ini sangat prihatin sehingga ada beberapa surat saya terima bahawa mereka hairan melihat keadaan umat Islam. Jadi, tugas kita ialah dalam apa keadaan sekalipun, kita harus memikirkan umat Islam, membantu mereka dan mendoakan mereka, dan ini akan sentiasa kita lakukan. InsyaAllah.

Di akhir ini, saya kembali menyatakan kepada semua Ahmadi yang tinggal di negara-negara Arab atau yang ada hubungan dengan ahli-ahli politik atau pemimpin-pemimpin kerajaan-kerajaan Islam, jelaskan kepada mereka bahawa jika kamu tidak sedar, jika kamu tidak berusaha untuk menjalankan keadilan dan ketakwaan, jika kamu tidak keluar dari cengkaman para mullah, jika kamu tidak memperhatikan kumpulan-kumpulan yang suka membuat kekacauan, maka para mullah akan benar-benar berusaha untuk merampas beberapa negara atas nama agama. Kemudian, atas nama agama juga akan muncul akibat yang sangat dahsyat dan akan memandu orang awam ke arah kegelapan. Atas nama agama juga, satu firqah akan berlaku zalim ke atas firqah yang lain. Kemudian mereka akan bertindak sesuka hati kerana merasa sudah berkuasa. Kemudian, atas nama keamanan, kamu akan memberikan mereka lesen untuk bertindak, yang kemudian akan menimbulkan lebih banyak kekacauan, akan ramai nyawa terkorban, harta benda juga akan musnah. Dan dapat diyakini bahawa belenggu perhambaan akan terjadi. Dan yang paling menggerunkan ialah semua ini boleh mencetuskan perang dunia yang besar.

Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberikan kasih sayang-Nya, memberi petunjuk kepada pemimpin-pemimpin Islam, memberi kefahaman dan melahirkan rasa ketakutan kepada Tuhan dalam hati mereka.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali,
Lingkungan, Sabah.

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...