KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
04 MAC 2011 / 04 AMAN 1390HS
29 Rabiul Awwal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur menilawatkan ayat dari Surah Fatir:44-45. Selepas itu Huzur berkata:-
Terjemahan ayat ini ialah “Sebab, mereka bersikap sombong di bumi dan merencanakan tipu daya jahat. Tetapi tipu daya jahat itu tidak meliputi sesuatu selain meliputi si perencananya. Maka, tidakkah mereka menantikan sesuatu yang lain selain kebiasaan Allah memperlakukan orang-orang yang terdahulu? Maka sekali-kali tidak akan engkau dapatkan sesuatu perubahan dalam sunnah Allah; tidak pula sekali-kali engkau dapatkan sesuatu pergantian dalam sunnah Allah. Apakah mereka tidak pernah berjalan di muka bumi dan melihat betapa buruknya kesudahan orang-orang sebelum mereka? Padahal mereka itu lebih hebat dari mereka dalam kekuatan. Dan, tidak ada sesuatu pun yang menggagalkan Allah di seluruh langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa”.
Jika Maseeh Mau’ud a.s diutus oleh Allah Ta’ala dan kita kekal atas keyakinan dan keimanan ini bahawa beliau memang dari Tuhan, kerana kita melihat setiap saat ada sahaja pertolongan daripada Allah Ta’ala terhadap pengikut-pengikut beliau. Apa yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala terhadap beliau, kita telah melihat tentang kesempurnaannya. Dan perlakuan Allah Ta’ala ini menjadikan kita semakin bertambah yakin akan kebenaran beliau ini. Malah, selepas kewafatan beliau juga, perkara yang diperolehi daripada Allah dan yang telah disampaikan kepada jemaatnya, diberitahu kepada kita, itu pun kita dapat melihat tentang kesempurnaannya.
Jadi, disebabkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w, maka Allah Ta’ala telah mengurniakan maqam nubuat (kedudukan kenabian) kepada beliau. Tetapi kedudukan kenabian itu bukanlah kedudukan nabi yang membawa syariat, hanya sekadar zilli nabi (nabi bayangan) yang merupakan tangga menjadi ummati sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Kedudukan seperti ini hanya diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w bahawa beliau sebagai ummati yang disebabkan kecintaan dan perhambaan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w, maka pangkat kenabian diberikan. Tetapi malang sekali, orang-orang Islam yang menentang kita, disebabkan kesilapan penjelasan kenabian oleh ulama-ulama dari firqah yang lain, maka mereka menentang bukan sekadar bersuara, malah setiap kali mendapat peluang dan di mana sahaja, mereka berusaha memberi kesusahan atau mencederakan orang-orang Ahmadi.
Sebenarnya, apabila jemaat semakin maju, semakin tersebar luas, maka dengan melihat kemajuan yang dicapai menjadikan para musuh berusaha menghentikan kemajuan jemaat dengan menggunakan pelbagai cara atau sarana kekuatan, lebih-lebih lagi mereka yang menganggap diri mereka mempunyai kekuatan. Dan kadang-kadang berlaku kepada orang yang lemah dalam keimanan, atau mereka yang kurang pengetahuan dan tarbiyat, para musuh berusaha untuk mengajak golongan ini jauh daripada kebenaran.
Oleh sebab itu, setiap Ahmadi hendaklah berusaha menambahkan ilmu pengetahuan agama, mereka hendaklah sedar bahawa saya ini apa? Saya ini siapa? Kenapa saya dalam jemaat ini? Semua ini perlu diketahui agar dapat menjawab kepada para musuh yang cuba mempengaruhi mereka. Dan yang paling penting ialah berdoa memohon kepada Allah untuk diselamatkan keimanan dari tergelincir, sebab tanpa kurnia dari Allah Ta’ala, tidak terjamin keselamatan iman kita. Allah Ta’ala mengajarkan kita satu doa agar terhindar dari perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah. ROBBANAA LAA TUZIGH QULUUBANAA BA’DA IDZHADAITANAA WAHAB LANAA MIL LADUNKA RAHMATAN INNAKA ANTAL WAHHAAB (Ali-Imran:9) yakni “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bengkokkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan berilah kami rahmat dari sisi Engkau, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”.
Jadi, keselamatan iman hanya boleh diperolehi melalui rahmat Tuhan. Sebab itu, seorang hamba yang lemah hendaklah sentiasa memohon kepada Allah pertolongan setiap masa. Beberapa orang menulis surat kepada saya: “Apa salahnya kalau tidak mengatakan Hazrat Maseeh mau’ud a.s sebagai nabi atau tidak menzahirkannya kepada orang ramai?” Perkara ini bukanlah perkara baru. Sejak dari zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s lagi perkara ini selalu ditimbulkan, dengan alasan supaya penentangan itu akan berkurangan. Jadi, apa salahnya jika tidak menzahirkan hal ini?
Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata di satu tempat:-
“Kenapa harus takut untuk menjelaskan tentang urusan samawi (yakni kenapa harus takut untuk menzahirkan tentang suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Tuhan), dan sebarang jenis ketakutan tidak harus berada dalam diri orang yang benar. Cuba lihat tentang cara hidup para sahabat. Mereka pergi ke istana raja-raja, dan apa sahaja yang menjadi pegangan, tanpa ada perasaan takut mereka jelaskan dengan terang-terangan tanpa teragak-agak. Sebab itu mereka membenarkan ayat WALAA YAKHAAFUUNA LAUMATA LAA’IMIN (Al-Maidah:55). Saya menyatakan bahawa saya adalah nabi dan rasul. Tuhan yang bermukalimah dan bermukhatibah dengan seseorang yang mempunyai kelebihan berbanding orang lain, dan di dalamnya juga banyak khabar ghaib, orang itu dikatakan nabi. Dan penjelasan ini sempurna atas kami. Sebab itu saya seorang nabi. Namun, kenabian ini bukanlah pembawa syariat yang memansuhkan kitabullah. (Maksudnya adalah nabi yang tidak membawa syariat baru atau memperkenalkan satu kitab yang baru). Kami sendiri menganggap orang yang mengatakan seperti itu sebagai kufur. Justeru itu, jika saya tidak mengatakannya sebagai nabi, lalu perkataan apa yang saya harus beritahu yang boleh menandingi mulham-mulham (penerima ilham) yang lain?” (Malfoozaat Jilid 5, halaman 446-447, cetakan Rabwah)
Beliau berkata lagi:-
“Ilham boleh berlaku juga kepada orang lain, tetapi dengan menerima ilham yang begitu banyak, dan berkata-kata dengan Tuhan berkali-kali, inilah kedudukan seorang nabi, dengan penjelasan inilah saya adalah seorang nabi. Jika tidak, ilham pun diterima oleh orang lain”.
Jadi, inilah pengumuman terbuka dan sangat jelas daripada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dan ia sesuai dengan khabar ghaib Rasulullah s.a.w bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s adalah nabi. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa di antara aku dan Maseeh Mau’ud, tidak ada nabi. (Sunan Abu Dawud Kitabul Malahim Bab Khurujud Dajjal Hadis Nombor 4324)
Jadi, apabila beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, maka dakwaan beliau sebagai seorang nabi juga harus diterima. Berkenaan dengan penentangan, itu memang lumrah bagi jemaat Ilahi sejak dahulu, sekarang dan akan datang. Dan penentangan itu merupakan tanda kebenaran jemaat Ilahi. Walau bagaimana besar dan kuatnya mana-mana kesultanan atau kerajaan sekalipun yang menentang, jemaat yang ditubuhkan oleh Allah Ta’ala akan terus berkembang maju. Pada hujungnya nanti, apabila semua kekuasaan berakhir atau mati, maka takdir Ilahi iaitu KATABAL LAAHU LA’AGHLIBANNA ANAA WA RUSULII (Al-Mujadalah:22) akan berlaku dan ini adalah keputusan daripada Allah bahawa Aku dan rasul-rasul-Ku pasti akan menang.
Dan semua pihak yang menentang dengan kesombongan, mereka sendiri akan terjerat oleh perbuatan sendiri. Orang yang beranggapan bahawa kumpulan kami, duniawi kami penguasa kami akan menjayakan misi kami menentang nabi dan jemaatnya, sebenarnya mereka sudah terlupa. Kejayaan yang pasti ialah jemaat-jemaat Ialhi. Setajam mana rencana dan skim-skim kamu dan kekuatan akal kamu, itu semua tidak akan dapat mengalahkan ketentuan Ilahi. Allah Ta’ala telah menjelaskan kepada orang-orang mukmin bahawa keputusan asas dan amalan Tuhan ialah WALAA YAHIIQUL MAKRUS SAIYI’U ILLAA BI AHLIHII (Fatir:44) yakni tetapi tipu daya jahat itu tidak meliputi sesuatu selain meliputi si perencananya. Memang berdasarkan kepada undang-undang Tuhan yang lain iaitu zaman pengorbanan juga akan dilalui, tetapi ia akan berakhir dengan kemenangan jemaat Ilahi, dan para musuh akan berhadapan dengan hukuman Tuhan. Inilah sunnah Tuhan yang tidak akan berubah sampai bila-bila. Sebagaimana Tuhan telah menghukum para penentang jemaat Ilahi pada zaman dahulu, demikian juga hari ini, Allah Ta’ala akan menghukum orang-orang yang menentang jemaat Ilahi zaman ini.
Beberapa hari yang lepas di Indonesia, helah daripada mullah-mullah yang keras telah menyebabkan keputusan yang zalim dikeluarkan. Selepas itu para mullah ini menjadi semakin berani dan ulama-ulama dari berbagai tempat juga telah bersuara bahawa kenapa mereka harus ketinggalan? Jadi, mereka mengumumkan bahawa pada awal bulan Mac, mereka akan mengadakan protes besar-besaran di Jakarta sehingga ratusan ribu orang akan terlibat. Dan mereka membuat persediaan yang besar dengan tujuan menuntut bahawa Ahmadi harus dibubarkan secara menyeluruh. Jangan lagi menyebut diri mereka sebagai muslim, atau jika hendak menamakan diri sebagai muslim, marilah bergabung dengan kami. Jika tidak, kami akan terus bertindak sehingga kerajaan membuat keputusan ini atau kami tidak akan menggugat kedudukan Presiden.
Dan begitu besar perancangan yang disediakan sehingga Jemaat Indonesia pun berfikir bahawa tindakan, tunjuk perasaan dan penentangan mereka benar-benar besar. Tetapi Allah Ta’ala telah memberi sarana sehingga tunjuk perasaan yang dibuat tidak seperti yang digambarkan dan lebih awal bersurai daripada masa yang dijangkakan. Beberapa hari sebelum mereka keluar membuat tunjuk perasaan, Allah Ta’ala telah meletakkan dalam hati para ulama supaya mereka membuat perhimpunan yang besar di mana presiden pun turut hadir. Demikianlah Allah Ta’ala telah menyediakan sarana untuk menghadapi perancangan mereka. Apapun, kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana dapat membuat satu keputusan yang baik.
Di sini juga saya hendak menjelaskan bahawa sebagaimana peristiwa syahid beramai-ramai di Lahore banyak memberi gambaran keikhlasan dan kesetiaan anggota jemaat menyebabkan banyak yang bai’at di Afrika, demikian juga kejadian di Indonesia ini membuka jalan kepada orang-orang yang berfitrat baik untuk menerima hidayah.
Seorang Murabbi Sahib dari satu negara di Afrika menulis: Saya telah melihat kejadian di Indonesia menerusi internet, sangat memilukan. Saya menangis melihatnya. Secara kebetulan petang itu ada program tabligh. Saya telah merakam segala kejadian itu dan menjelaskan kepada para tetamu ghair Ahmadi agar menonton TV terlebih dahulu kemudian baru bercerita. Seiring dengan itu juga dijelaskan bahawa inilah kejadian-kejadian yang menimpa orang-orang Ahmadi.
Apabila saya menghidupkan rakaman itu, belum pun sampai seminit, seorang imam (di Afrika dipanggil ma’lam) berdiri tidak tentu arah lalu menangis dengan tangan berada di kepalanya. Dia berkata: Inikah orang Islam yang sanggup melakukan kezaliman dan kebinatangan? Inikah orangnya yang melakukan semua itu atas nama Rasulullah s.a.w? Saya bertaubat dari Islam yang seperti ini. Sekarang saya umumkan bahawa mulai hari ini saya adalah Ahmadi. Silakan ambil bai’at saya. Perbahasan dan majlis yang sepatutnya dibuat tidak dapat dilaksanakan kerana imam besar itu mendapat taufik untuk bai’at setelah melihat kejadian di Indonesia. Kemudian dia berkata: Saya juga berjanji, sebagai ganti tiga orang syahid ini, insyaAllah saya akan bawa tiga buah kampung ke dalam Ahmadiyah, hakiki Islam ini. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepadanya.
Justeru itu, musuh sama ada membuat perancangan secara senyap-senyap, atau secara berlembut atau membuat penentangan secara terbuka dengan tujuan agar pengikut nabi ini menjadi takut lalu berpaling dengan apa cara sekalipun, namun bagi orang yang mempunyai iman yang kuat, mereka tidak akan ketakutan, dan dengan perbuatan para musuh ini menjadikan orang-orang yang berfitrat baik terbuka minda dan kebenaran Ahmadiyah. Apa yang muballigh Ahmadiyah tidak dapat lakukan selama setahun, namun dengan penentangan para musuh, dalam sekelip mata sahaja orang-orang yang berfitrat baik cenderung bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah. Jadi, siapa yang dapat menghalang pekerjaan Tuhan? Tetapi, orang-orang yang takbur itu tidak akan memahami hal ini. Firman Allah Ta’ala bahawa sunnah-Nya tidak akan berubah, satu ialah kemenangan di pihak nabi dan pengikutnya. Dan kedua ialah para musuh akan mendapat kehancuran.
Jadi, ini merupakan amaran daripada Allah Ta’ala bahawa orang-orang terdahulu yang menentang jemaat Ilahi telah menerima nasib buruk mereka, hari ini, Tuhan itu jugalah yang tetap memperlakukan musuh-musuh jemaat-Nya. Allah Ta’ala menyeru adakah kamu tidak menjelajah bumi ini, AWALAM YASIIRUU FIL ARDHI FAYANZURUU KAIFA KAANA ‘AAQIBATUL LAZIINA MIN QOBLIHIM WA KAANUU ASYADDA MINHUM QUWWAH (Fatir:45), kenapa kamu tidak mengukur ayat ini, apa nasib yang telah menimpa terhadap golongan-golongan yang telah dihancurkan oleh Allah.
Sekarang ini, dalam program TV, dalam risalah dan rumah-rumah peninggalan, semua memberitahu kepada kita berapa banyak kaum yang telah musnah akibat malapetaka, berapa banyak tempat yang tertanam dalam bumi. Malah zaman ini juga kita dapat melihat bahawa apabila datang gempa bumi, banyak tempat yang tertanam di bumi. Jadi, ini juga harus menjadi peringatan kepada mereka yang mahu diperingatkan. Dengan menyentuhnya di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala memberi amaran terlebih dahulu kepada umat Islam supaya berfikir dalam melakukan sesuatu, jangan sampai apa yang telah menimpa bangsa terdahulu akan menimpa semula terhadap kamu. Tetapi, sangat sedih sekali, walaupun wujud amaran dan peringatan daripada Tuhan, umat Islam tetap lupa akan hal ini. Sedangkan Allah Ta’ala sudah jelas menyatakan bahawa sikap takbur kamu itu tidak akan membawa kebaikan apa-apa terhadap kamu. Allah Ta’ala berfirman WA KAANUU ASYADDA MINHUM QUWWAH bahawa sudah ramai orang-orang yang kuat sebelum kamu, yang lebih kuat daripada kerajaan kamu, dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi Allah lebih keras berbanding kamu. Dan nabi-nabi langsung tidak ada kekuatan duniawi.
Tetapi, apabila pukulan Allah Ta’ala yang bergerak, atau apabila Allah Ta’ala hendak menghancurkan suatu kaum, maka semuanya hancur sama sekali. Allah Ta’ala menjelaskan di dalam Al-Qur’an tentang sunnah ini agar segala kekuatan, atau firaun dengan tentera-tenteranya setiap zaman dapat mengetahui bahawa pertama, mereka itu langsung tidak ada tandingan jika hendak menentang Kudrat Tuhan, dan kedua, walaupun pengikut sejati Tuhan itu lemah, tetapi Tuhan dalam sekelip mata sahaja boleh menjadikan mereka kuat kerana kekuatan Tuhan ada di sebalik mereka. Dan orang yang dianggap paling kuat, dalam satu waktu sahaja akan hancur musnah. Tidak ada yang tahu mereka dari mana dan di mana sudah? Jadi, para penentang jemaat Ilahi hendaklah sedar dan mengetahui hakikat ini bahawa jika memerangi orang yang datang dari Tuhan, samalah mereka memerangi Allah Ta’ala sendiri. Dan Tuhan itu adalah Tuhan yang telah menyatakan WAMAA KAANAL LAAHU LIYU’JIZAHUU MIN SYAI’IN FIS SAMAAWAATI WALAA FIL ARDHI yakni segala apa yang ada di langit dan di bumi ini tidak dapat mengalahkan Allah Ta’ala.
Jadi, adalah satu kebodohan jika ada suatu kaum di sesuatu tempat atau negara mengumumkan bahawa KAMI INI KUAT. KAMI AKAN HAPUSKAN ORANG YANG SEDIKIT INI. Jika dilihat dari sudut pandang dunia, memang bukan satu kebodohan, malah ia satu fikiran yang sangat benar kerana orang yang kuat dan pintar pasti akan unggul. Dan apabila kita melihat keadaan dunia hari ini, apabila timbul perkara mengenai Jemaat Ahmadiyah, apabila menyentuh tentang Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, walaupun mereka disebut sebagai mukmin, namun jika mereka menentang Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, bererti mereka menentang jemaat Ilahi. Jadi, di sini bukan lagi undang-undang dunia yang berjalan tetapi undang-undang Ilahi yang akan mencengkam mereka bahawa WAMAA KAANAL LAAHU LIYU’JIZAHUU MIN SYAI’IN FIS SAMAAWAATI WALAA FIL ARDHI, yakni tidak ada yang akan dapat melemahkan Allah Ta’ala.
Jadi, hal ini menjadi berita gembira buat kita, namun di samping itu ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan iaitu mengadakan hubungan yang khusus dengan Allah Ta’ala. Berusaha bergabung dengan orang-orang yang Allah Ta’ala tunjukkan sunnah-Nya yang benar dalam golongan mereka. Berusahalah untuk meningkatkan nilai ibadat-ibadat, doa-doa dan amalan-amalan yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w dan juga apa yang telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s yang merupakan imam zaman ini. Jika kita telah memegang usul ini dengan benar, maka semua kekuatan-kekuatan tidak kira di Pakistan, Indonesia, Bangladesh atau di beberapa buah negara Arab, semuanya tidak ada nilai apa-apa di hadapan Tuhan. Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa orang-orang yang bersama Allah akan menang. Jadi, para penentang hendaklah segera insaf dan cuba perbaiki diri, jika tidak maka takdir Allah akan tetap berlaku. Pada waktu itu tidak ada lagi uzur atau alasan yang boleh diterima. Apabila takdir Allah berlaku pada saat akhir, maka semua akan menjadi hancur.
Saya hendak menyampaikan beberapa sabda Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, beliau berkata:-
“Tuhan akan mematahkan kesombongan para maulvi yang sombong dan akan memperlihatkan kepada mereka bagaimana Dia membantu orang-orang yang lemah dan bagaimana Tuhan memperlakukan penjahat-penjahat. Insan yang jahat berkata bahawa saya akan menang dengan perancangan dan kepandaian saya dan saya akan memadamkan kebenaran dengan rencana saya. Tuhan pula dengan Kudrat dan Kekuatan-Nya berkata bahawa wahai penjahat, siapa yang mengajarkan kepada engkau untuk berhadapan dengan-Ku? Bukankah kamu itu pernah berada dalam rahim dalam bentuk titisan yang lemah? Adakah kamu berkuasa untuk menghalang kehendak-Ku?” (Karamatus Shodiqin Rohani Khazain Jilid Nombor 7 halaman 67)
Kemudian beliau bersabda lagi:-
“Perkara ini selalu terjadi bahawa orang yang dicintai Tuhan dan hamba yang setia, kesiddiqan mereka boleh mencapai suatu tahap yang tidak mampu dilihat oleh orang-orang yang buta dunia. Sebab itu, apabila para maulvi bangkit menentang mereka, sebenarnya bukan berhadapan dengan mereka tetapi dengan Tuhan. Bagaimana mungkin terjadi bahawa orang yang dilahirkan oleh Tuhan dengan tujuan yang agung, di mana melaluinya Tuhan hendak membuat perubahan besar dalam dunia, adakah orang itu akan dapat dihancurkan semata-mata oleh beberapa orang jahil, degil dan orang-orang yang tidak setia? Jika dua perahu bertembung, di atas satu perahu ada seorang Raja yang adil, mulia dan berfitrat baik bersama dengan pegawai-pegawainya. Di atas perahu yang kedua ada beberapa tukang kasut dan lain-lain yang jahat. Pada masa itu, untuk menyelamatkan satu kapal, salah satu kapal mesti dimusnahkan bersama-sama dengan muatannya sekali. Jadi, apa penyelesaian yang terbaik harus dibuat? Adakah harus memusnahkan kapal yang ada Raja adil tersebut atau menghancurkan kapal yang ada orang bawahan itu?
Saya berkata dengan sebenar-benarnya bahawa kapal raja itu akan cuba diselamatkan sebaik mungkin dan kapal yang ada orang bawahan itu akan dimusnahkan tanpa teragak-agak lagi. Dan dengan kemusnahan kapal itu akan menggembirakan mereka kerana dapat menyelamatkan seorang Raja Adil yang sangat diperlukan, kematian seorang raja bererti satu alam akan mati. Jika cuma tukang kasut yang mati, ia tidak mengganggu pengurusan dunia. Jadi, ini jugalah sunnah Ilahi, apabila ada satu kelompok berdiri untuk menentang rasul-rasul-Nya, walaupun mereka mendakwakan diri sebagai orang yang baik, Tuhan akan menghancurkan mereka, dan tetap akan sampai masa untuk kehancuran mereka kerana Dia tidak mahu tujuan-Nya mengutus rasul itu akan menjadi sia-sia kerana hal itu bertentangan dengan matlamat-Nya. Sebabnya jika jemaat-Nya hancur, siapa di bumi yang akan menyembah-Nya?
Dunia hanya melihat jumlah yang banyak dan beranggapan bahawa jumlah yang banyak itu mesti di pihak yang baik. Dan orang bodoh pula berfikir bahawa mereka semua itu berkumpul di ribuan dan ratusan ribu masjid-masjid, adakah ini jahat? Tetapi Tuhan tidak melihat kepada jumlah yang banyak tetapi melihat kepada hati. Dalam diri hamba Tuhan yang khas mempunyai nur kecintaan Ilahi dan kebenaran dan kesetiaan. Jika saya boleh jelaskan, pasti saya akan jelaskan tetapi apa yang saya boleh jelaskan? Sejak dunia ini wujud, tidak ada nabi atau rasul yang dapat menjelaskan rahsia ini. Hamba-hamba Tuhan yang setia rebah di istana Ilahi dan kita tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan situasi berkenaan”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain, Jilid 20, halaman 71-72)
Jadi, ribuan usaha keras dilakukan oleh para penentang, namun ia tidak memberi kesan kepada kemajuan beliau sedikitpun. Sebab itu, setiap rancangan mereka, Tuhan akan membalikkan atas diri mereka sendiri. Dan sehingga hari ini kita dapat melihat perkara ini berlaku. Dan selagi kita kuat dalam keimanan maka kita akan terus melihat kemajuan jemaat. Semoga Allah Ta’ala terus-menerus memberi kita semua taufik.
Kemudian beliau berkata lagi:-
“Ini adalah kesalahan mereka dan memang malang sekali jika mereka menginginkan kehancuran saya. Saya adalah pohon yang telah ditanam sendiri oleh Pemilik yang hakiki. Orang yang hendak menebang saya, mereka sebenarnya hanya ingin menempah nasib yang telah menimpa Qarun dan Yahuda Iskariot dan Abu Jahal. .....”.
Bersabda lagi:-
“..... wahai manusia! Yakinlah bahawa ada satu Tangan yang setia bersama saya sehingga akhir. Jika wanita-wanita dan lelaki-lelaki kamu dan pemuda-pemuda kamu dan orang-orang tua kamu dan yang kecil dan yang besar, semuanya bersatu untuk berdoa bagi kehancuran saya, sehingga dengan banyaknya kamu bersujud menyebabkan hidung kamu kecut dan tangan menjadi kebas, Tuhan tetap tidak akan mendengar doa kamu, dan tidak akan berhenti selagi misi-Nya belum tercapai. Jika di kalangan manusia tidak ada yang bersama saya, maka malaikat Tuhan yang akan bersama-sama dengan saya. Dan jika kamu menyembunyikan kesaksian maka ada masanya batu yang akan memberi kesaksian terhadap saya. Jadi, janganlah zalim terhadap diri sendiri. Wajah orang pendusta lain dengan wajah orang yang benar. Tuhan tidak akan meninggalkan suatu urusan tanpa ada penyelesaian. Saya mengirimkan laknat atas kehidupan yang penuh dengan bohong dan penipuan. Juga terhadap mereka yang disebabkan takut kepada makhluk, sanggup mengenepikan urusan Khalik”. (Arba’in Nombor 3, Rohani Khazain Jilid 17 halaman 399-400)
Berkata lagi:-
“Wahai sekalian manusia! Dengarlah bahawa ini adalah khabar ghaib dari Tuhan yang telah menciptakan bumi dan langit. Dia akan menyebarkan jemaat ini ke seluruh negara dan ia akan unggul melalui hujah-hujah dan dalil-dalil di atas semua. Hari itu akan tiba dan sangat dekat bahawa di dunia ini hanya akan tinggal satu agama sahaja yang akan dikenang dengan penuh penghormatan. Tuhan akan memberi berkat yang luar biasa ke atas jemaat ini. Dan setiap orang yang berfikir untuk menghapuskannya tidak akan berjaya. Dan kejayaan ini akan berlangsung selamanya sehingga kiamat. Jika sekarang kamu mentertawakan saya, apa kerugian yang saya dapat? Ini adalah kerana tidak ada seorang nabi pun yang tidak ditertawakan. Jadi, memang Maseeh Mau’ud akan ditertawakan sebagaimana Allah berfirman Ta’ala YAA HASRATAN ‘ALAL ‘IBAADI MAA YA’TIIHIM MIR RASUULIN ILLAA KAANUU BIHII YASTAHZI’UUN (Yaa Sin:31). Ini menjadi satu tanda dari Tuhan bahawa setiap nabi akan ditertawakan, tetapi seseorang yang datang dari langit dan disokong oleh malaikat, siapa yang akan mentertawakannya?
Jadi, dengan dalil inipun orang yang berakal akan dapat memahami bahawa fikiran Maseeh Mau’ud turun dari langit adalah dusta. Ingatlah bahawa tidak ada yang akan turun dari langit. Semua penentang kita yang masih hidup sekarang ini akan mati dan tidak ada seorang pun yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Kemudian anak-anak mereka yang tinggal ini pun akan mati dan tidak ada seorang yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Kemudian anak-anak kepada anak-anak mereka pun akan mati dan tidak ada seorang yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Selepas itu Tuhan akan menimbulkan dalam hati mereka perasaan risau bahawa zaman keunggulan salib sudah berlalu dan dunia sudah berubah wajah, tetapi Isa anak Maryam belum lagi turun dari langit sehingga sekarang. Maka orang yang berakal mula bosan dengan akidah itu dan sekarang abad ketiga sejak hari ini belum sempurna bahawa orang yang menunggu Isa, sama ada orang Islam atau orang Krsitian, mereka sangat kecewa dan mulai berfikir untuk meninggalkan akidah dusta ini, maka di dunia hanya ada satu mazhab dan satu pemimpin. Aku datang untuk menyemai benih, maka benih itu telah aku tanam dengan tanganku, sekarang ia akan membesar dan akan berkembang dan tidak ada yang akan dapat menghalangnya”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 66-67)
Jadi, kita telah melihat kebenaran tentang kalam Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, kita juga telah melihat perlakuan Allah Ta’ala terhadap beliau. Hari ini, sesuai dengan janji Allah Ta’ala negara-negara di Asia, di pulau-pulau, di Eropah, di Amerika dan tanah Afrika yang subur dan yang tandus, amanat Ahmadiyat telah tersebar ke seluruh tempat itu. Dan ia bukan hanya tersebar luas, malah ia semakin berkembang pesat dan maju di sana. Setiap pengorbanan setiap Ahmadi menjadi sarana untuk kita mencapai tingkat seterusnya. Jadi, untuk menjadikan kita mendapat bahagian dalam kurnia ini, kita perlu memperkuatkan iman melalui doa-doa lebih banyak berbanding sebelumnya. Keadaan dunia yang semakin cepat berubah, insyaAllah ia akan memperlihatkan keagungan jemaat Ahmadiyah. Namun, untuk itu amat perlu banyak berdoa. Kita harus melihat keadaan diri kita sendiri. Jadi, dalam hari-hari ini khasnya, banyakkan berdoa, banyakkan berdoa, giatkan diri dalam berdoa. Semoga Allah menyembunyikan kelemahan kita dan jangan sampai ada amalan yang kita lakukan menyebabkan kita terhindar dari melihat kemajuan jemaat.
Akhir sekali, ada berita sedih. Saya akan memimpin solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat ini iaitu jenazah Mukarram Tarari Marzuki Sahib Al-Ma’ruf Imam Idris. Berasal dari Morocco. Beberapa hari sebelum ini beliau meninggal dunia dalam usia 75 tahun. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.
Beliau bai’at dalam tahun 2002 dan Amir Sahib menulis bahawa rombongan kami pergi mengunjungi mereka. Ada majlis tabligh yang besar. Beliau seorang imam dan banyak ilmu. Saya hendak berjumpa dengannya. Dia cuba menghindarkan diri, dia tidak mahu percaya. Sebagaimana ulama yang keras, dia juga sama. Namun, suatu hari ada perhimpunan tabligh, kami duduk di sana. Sekretari Am berkata bahawa untuk bercakap dengannya sama seperti mengetuk batu di kepala. Lepaskan dia. Saya bangun dan pergi kepadanya lalu menyerahkan buku I’jazul Maseeh dan berkata, baca buku ini. Selepas beberapa hari, dia datang dan berkata; saya hendak bai’at. Dengan kurnia Allah Ta’ala beliau bai’at dan bergabung dengan jemaat. Dalam keluarga, hanya dia seorang sahaja Ahmadi. Sebelum bai’at, beliau aktif dalam Komiti Aimah Strasburg di France. Beliau juga selalu memberikan khutbah di masjid-masjid. Semua imam-imam memuji akan kebolehan dan keimanan beliau, tetapi apabila orang ramai sudah mengetahui bahawa dia Ahmadi, semua menjadi penentang terhadapnya sehingga dia meninggalkan pekerjaan imam.
Pertemuan saya dengannya pertama kali di Jalsah France dalam tahun 2003. Tahun lepas, apabila saya pergi ke France, beliau sangat lemah dan sakit kuat. Saya berkunjung ke Strasburg dan beliau datang ke sana. Beliau berkata kepada Tuan Amir; tuan selalu mengingatkan saya agar datang ke London untuk mulaqat dengan Khalifatul Maseeh, namun doktor tidak membenarkan saya berjalan jauh dan saya sangat lemah. Tetapi lihat sekarang, bagaimana Allah Ta’ala mengatur sehingga Khalifatul Maseeh datang sendiri bertemu dengan saya. Beliau sangat cinta kepada khilafat. Beliau menulis Al-Qur’an dengan tangan sendiri, apabila saya berkunjung ke Strasburg, beliau mengatakan bahawa jika sudah selesai, saya hendak hadiahkannya kepada tuan. Apabila ada gerakan candah untuk masjid di Strasburg, berapa pun yang ada waktu itu beliau serahkan semuanya. Semoga Allah mengampuni beliau dan ditempatkan pada kedudukan yang tinggi. Anak-anak dan keluarga beliau yang lain adalah bukan Ahmadi, mudah-mudahan Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima kebenaran Ahmadiyah.
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Salahuddin Syed Ali,
Beaufort, Sabah
27 April 2011
barahin.ahmadi@gmail.com
No comments:
Post a Comment