Wednesday, April 27, 2011

Kemenangan Unggul Bagi Jemaat Ilahi



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
04 MAC 2011 / 04 AMAN 1390HS
29 Rabiul Awwal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur menilawatkan ayat dari Surah Fatir:44-45. Selepas itu Huzur berkata:-

Terjemahan ayat ini ialah “Sebab, mereka bersikap sombong di bumi dan merencanakan tipu daya jahat. Tetapi tipu daya jahat itu tidak meliputi sesuatu selain meliputi si perencananya. Maka, tidakkah mereka menantikan sesuatu yang lain selain kebiasaan Allah memperlakukan orang-orang yang terdahulu? Maka sekali-kali tidak akan engkau dapatkan sesuatu perubahan dalam sunnah Allah; tidak pula sekali-kali engkau dapatkan sesuatu pergantian dalam sunnah Allah. Apakah mereka tidak pernah berjalan di muka bumi dan melihat betapa buruknya kesudahan orang-orang sebelum mereka? Padahal mereka itu lebih hebat dari mereka dalam kekuatan. Dan, tidak ada sesuatu pun yang menggagalkan Allah di seluruh langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, Maha Kuasa”.

Jika Maseeh Mau’ud a.s diutus oleh Allah Ta’ala dan kita kekal atas keyakinan dan keimanan ini bahawa beliau memang dari Tuhan, kerana kita melihat setiap saat ada sahaja pertolongan daripada Allah Ta’ala terhadap pengikut-pengikut beliau. Apa yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala terhadap beliau, kita telah melihat tentang kesempurnaannya. Dan perlakuan Allah Ta’ala ini menjadikan kita semakin bertambah yakin akan kebenaran beliau ini. Malah, selepas kewafatan beliau juga, perkara yang diperolehi daripada Allah dan yang telah disampaikan kepada jemaatnya, diberitahu kepada kita, itu pun kita dapat melihat tentang kesempurnaannya.

Jadi, disebabkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w, maka Allah Ta’ala telah mengurniakan maqam nubuat (kedudukan kenabian) kepada beliau. Tetapi kedudukan kenabian itu bukanlah kedudukan nabi yang membawa syariat, hanya sekadar zilli nabi (nabi bayangan) yang merupakan tangga menjadi ummati sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Kedudukan seperti ini hanya diberikan oleh Allah kepada Rasulullah s.a.w bahawa beliau sebagai ummati yang disebabkan kecintaan dan perhambaan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w, maka pangkat kenabian diberikan. Tetapi malang sekali, orang-orang Islam yang menentang kita, disebabkan kesilapan penjelasan kenabian oleh ulama-ulama dari firqah yang lain, maka mereka menentang bukan sekadar bersuara, malah setiap kali mendapat peluang dan di mana sahaja, mereka berusaha memberi kesusahan atau mencederakan orang-orang Ahmadi.

Sebenarnya, apabila jemaat semakin maju, semakin tersebar luas, maka dengan melihat kemajuan yang dicapai menjadikan para musuh berusaha menghentikan kemajuan jemaat dengan menggunakan pelbagai cara atau sarana kekuatan, lebih-lebih lagi mereka yang menganggap diri mereka mempunyai kekuatan. Dan kadang-kadang berlaku kepada orang yang lemah dalam keimanan, atau mereka yang kurang pengetahuan dan tarbiyat, para musuh berusaha untuk mengajak golongan ini jauh daripada kebenaran.

Oleh sebab itu, setiap Ahmadi hendaklah berusaha menambahkan ilmu pengetahuan agama, mereka hendaklah sedar bahawa saya ini apa? Saya ini  siapa? Kenapa saya dalam jemaat ini? Semua ini perlu diketahui agar dapat menjawab kepada para musuh yang cuba mempengaruhi mereka. Dan yang paling penting ialah berdoa memohon kepada Allah untuk diselamatkan keimanan dari tergelincir, sebab tanpa kurnia dari Allah Ta’ala, tidak terjamin keselamatan iman kita. Allah Ta’ala mengajarkan kita satu doa agar terhindar dari perkara-perkara yang boleh memesongkan akidah. ROBBANAA LAA TUZIGH QULUUBANAA BA’DA IDZHADAITANAA WAHAB LANAA MIL LADUNKA RAHMATAN INNAKA ANTAL WAHHAAB (Ali-Imran:9) yakni “Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau bengkokkan hati kami sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan berilah kami rahmat dari sisi Engkau, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”.

Jadi, keselamatan iman hanya boleh diperolehi melalui rahmat Tuhan. Sebab itu, seorang hamba yang lemah hendaklah sentiasa memohon kepada Allah pertolongan setiap masa. Beberapa orang menulis surat kepada saya: “Apa salahnya kalau tidak mengatakan Hazrat Maseeh mau’ud a.s sebagai nabi atau tidak menzahirkannya kepada orang ramai?” Perkara ini bukanlah perkara baru. Sejak dari zaman Hazrat Maseeh Mau’ud a.s lagi perkara ini selalu ditimbulkan, dengan alasan supaya penentangan itu akan berkurangan. Jadi, apa salahnya jika tidak menzahirkan hal ini?

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata di satu tempat:-
“Kenapa harus takut untuk menjelaskan tentang urusan samawi (yakni kenapa harus takut untuk menzahirkan tentang suatu perkara yang telah ditetapkan oleh Tuhan), dan sebarang jenis ketakutan tidak harus berada dalam diri orang yang benar. Cuba lihat tentang cara hidup para sahabat. Mereka pergi ke istana raja-raja, dan apa sahaja yang menjadi pegangan, tanpa ada perasaan takut mereka jelaskan dengan terang-terangan tanpa teragak-agak. Sebab itu mereka membenarkan ayat WALAA YAKHAAFUUNA LAUMATA LAA’IMIN (Al-Maidah:55). Saya menyatakan bahawa saya adalah nabi dan rasul. Tuhan yang bermukalimah dan bermukhatibah dengan seseorang yang mempunyai kelebihan berbanding orang lain, dan di dalamnya juga banyak khabar ghaib, orang itu dikatakan nabi. Dan penjelasan ini sempurna atas kami. Sebab itu saya seorang nabi. Namun, kenabian ini bukanlah pembawa syariat yang memansuhkan kitabullah. (Maksudnya adalah nabi yang tidak membawa syariat baru atau memperkenalkan satu kitab yang baru). Kami sendiri menganggap orang yang mengatakan seperti itu sebagai kufur. Justeru itu, jika saya tidak mengatakannya sebagai nabi, lalu perkataan apa yang saya harus beritahu yang boleh menandingi mulham-mulham (penerima ilham) yang lain?” (Malfoozaat Jilid 5, halaman 446-447, cetakan Rabwah)

Beliau berkata lagi:-
“Ilham boleh berlaku juga kepada orang lain, tetapi dengan menerima ilham yang begitu banyak, dan berkata-kata dengan Tuhan berkali-kali, inilah kedudukan seorang nabi, dengan penjelasan inilah saya adalah seorang nabi. Jika tidak, ilham pun diterima oleh orang lain”.

Jadi, inilah pengumuman terbuka dan sangat jelas daripada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dan ia sesuai dengan khabar ghaib Rasulullah s.a.w bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s adalah nabi. Rasulullah s.a.w bersabda bahawa di antara aku dan Maseeh Mau’ud, tidak ada nabi. (Sunan Abu Dawud Kitabul Malahim Bab Khurujud Dajjal Hadis Nombor 4324)

Jadi, apabila beriman kepada Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, maka dakwaan beliau sebagai seorang nabi juga harus diterima. Berkenaan dengan penentangan, itu memang lumrah bagi jemaat Ilahi sejak dahulu, sekarang dan akan datang. Dan penentangan itu merupakan tanda kebenaran jemaat Ilahi. Walau bagaimana besar dan kuatnya mana-mana kesultanan atau kerajaan sekalipun yang menentang, jemaat yang ditubuhkan oleh Allah Ta’ala akan terus berkembang maju. Pada hujungnya nanti, apabila semua kekuasaan berakhir atau mati, maka takdir Ilahi iaitu KATABAL LAAHU LA’AGHLIBANNA ANAA WA RUSULII (Al-Mujadalah:22) akan berlaku dan ini adalah keputusan daripada Allah bahawa Aku dan rasul-rasul-Ku pasti akan menang.

Dan semua pihak yang menentang dengan kesombongan, mereka sendiri akan terjerat oleh perbuatan sendiri. Orang yang beranggapan bahawa kumpulan kami, duniawi kami penguasa kami akan menjayakan misi kami menentang nabi dan jemaatnya, sebenarnya mereka sudah terlupa. Kejayaan yang pasti ialah jemaat-jemaat Ialhi. Setajam mana rencana dan skim-skim kamu dan kekuatan akal kamu, itu semua tidak akan dapat mengalahkan ketentuan Ilahi. Allah Ta’ala telah menjelaskan kepada orang-orang mukmin bahawa keputusan asas dan amalan Tuhan ialah WALAA YAHIIQUL MAKRUS SAIYI’U ILLAA BI AHLIHII (Fatir:44) yakni tetapi tipu daya jahat itu tidak meliputi sesuatu selain meliputi si perencananya. Memang berdasarkan kepada undang-undang Tuhan yang lain iaitu zaman pengorbanan juga akan dilalui, tetapi ia akan berakhir dengan kemenangan jemaat Ilahi, dan para musuh akan berhadapan dengan hukuman Tuhan. Inilah sunnah Tuhan yang tidak akan berubah sampai bila-bila. Sebagaimana Tuhan telah menghukum para penentang jemaat Ilahi pada zaman dahulu, demikian juga hari ini, Allah Ta’ala akan menghukum orang-orang yang menentang jemaat Ilahi zaman ini.

Beberapa hari yang lepas di Indonesia, helah daripada mullah-mullah yang keras telah menyebabkan keputusan yang zalim dikeluarkan. Selepas itu para mullah ini menjadi semakin berani dan ulama-ulama dari berbagai tempat juga telah bersuara bahawa kenapa mereka harus ketinggalan? Jadi, mereka mengumumkan bahawa pada awal bulan Mac, mereka akan mengadakan protes besar-besaran di Jakarta sehingga ratusan ribu orang akan terlibat. Dan mereka membuat persediaan yang besar dengan tujuan menuntut bahawa Ahmadi harus dibubarkan secara menyeluruh. Jangan lagi menyebut diri mereka sebagai muslim, atau jika hendak menamakan diri sebagai muslim, marilah bergabung dengan kami. Jika tidak, kami akan terus bertindak sehingga kerajaan membuat keputusan ini atau kami tidak akan menggugat kedudukan Presiden.

Dan begitu besar perancangan yang disediakan sehingga Jemaat Indonesia pun berfikir bahawa tindakan, tunjuk perasaan dan penentangan mereka benar-benar besar. Tetapi Allah Ta’ala telah memberi sarana sehingga tunjuk perasaan yang dibuat tidak seperti yang digambarkan dan lebih awal bersurai daripada masa yang dijangkakan. Beberapa hari sebelum mereka keluar membuat tunjuk perasaan, Allah Ta’ala telah meletakkan dalam hati para ulama supaya mereka membuat perhimpunan yang besar di mana presiden pun turut hadir. Demikianlah Allah Ta’ala telah menyediakan sarana untuk menghadapi perancangan mereka. Apapun, kita harus berterima kasih kepada kerajaan kerana dapat membuat satu keputusan yang baik.

Di sini juga saya hendak menjelaskan bahawa sebagaimana peristiwa syahid beramai-ramai di Lahore banyak memberi gambaran keikhlasan dan kesetiaan anggota jemaat menyebabkan banyak yang bai’at di Afrika, demikian juga kejadian di Indonesia ini membuka jalan kepada orang-orang yang berfitrat baik untuk menerima hidayah.

Seorang Murabbi Sahib dari satu negara di Afrika menulis: Saya telah melihat kejadian di Indonesia menerusi internet, sangat memilukan. Saya menangis melihatnya. Secara kebetulan petang itu ada program tabligh. Saya telah merakam segala kejadian itu dan menjelaskan kepada para tetamu ghair Ahmadi agar menonton TV terlebih dahulu kemudian baru bercerita. Seiring dengan itu juga dijelaskan bahawa inilah kejadian-kejadian yang menimpa orang-orang Ahmadi.

Apabila saya menghidupkan rakaman itu, belum pun sampai seminit, seorang imam (di Afrika dipanggil ma’lam) berdiri tidak tentu arah lalu menangis dengan tangan berada di kepalanya. Dia berkata: Inikah orang Islam yang sanggup melakukan kezaliman dan kebinatangan? Inikah orangnya yang melakukan semua itu atas nama Rasulullah s.a.w? Saya bertaubat dari Islam yang seperti ini. Sekarang saya umumkan bahawa mulai hari ini saya adalah Ahmadi. Silakan ambil bai’at saya. Perbahasan dan majlis yang sepatutnya dibuat tidak dapat dilaksanakan kerana imam besar itu mendapat taufik untuk bai’at setelah melihat kejadian di Indonesia. Kemudian dia berkata: Saya juga berjanji, sebagai ganti tiga orang syahid ini, insyaAllah saya akan bawa tiga buah kampung ke dalam Ahmadiyah, hakiki Islam ini. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepadanya.

Justeru itu, musuh sama ada membuat perancangan secara senyap-senyap, atau secara berlembut atau membuat penentangan secara terbuka dengan tujuan agar pengikut nabi ini menjadi takut lalu berpaling dengan apa cara sekalipun, namun bagi orang yang mempunyai iman yang kuat, mereka tidak akan ketakutan, dan dengan perbuatan para musuh ini menjadikan orang-orang yang berfitrat baik terbuka minda dan kebenaran Ahmadiyah. Apa yang muballigh Ahmadiyah tidak dapat lakukan selama setahun, namun dengan penentangan para musuh, dalam sekelip mata sahaja orang-orang yang berfitrat baik cenderung bergabung dengan Jemaat Ahmadiyah. Jadi, siapa yang dapat menghalang pekerjaan Tuhan? Tetapi, orang-orang yang takbur itu tidak akan memahami hal ini. Firman Allah Ta’ala bahawa sunnah-Nya tidak akan berubah, satu ialah kemenangan di pihak nabi dan pengikutnya. Dan kedua ialah para musuh akan mendapat kehancuran.

Jadi, ini merupakan amaran daripada Allah Ta’ala bahawa orang-orang terdahulu yang menentang jemaat Ilahi telah menerima nasib buruk mereka, hari ini, Tuhan itu jugalah yang tetap memperlakukan musuh-musuh jemaat-Nya. Allah Ta’ala menyeru adakah kamu tidak menjelajah bumi ini, AWALAM YASIIRUU FIL ARDHI FAYANZURUU KAIFA KAANA ‘AAQIBATUL LAZIINA MIN QOBLIHIM WA KAANUU ASYADDA MINHUM QUWWAH (Fatir:45), kenapa kamu tidak mengukur ayat ini, apa nasib yang telah menimpa terhadap golongan-golongan yang telah dihancurkan oleh Allah.

Sekarang ini, dalam program TV, dalam risalah dan rumah-rumah peninggalan, semua memberitahu kepada kita berapa banyak kaum yang telah musnah akibat malapetaka, berapa banyak tempat yang tertanam dalam bumi. Malah zaman ini juga kita dapat melihat bahawa apabila datang gempa bumi, banyak tempat yang tertanam di bumi. Jadi, ini juga harus menjadi peringatan kepada mereka yang mahu diperingatkan. Dengan menyentuhnya di dalam Al-Qur’an, Allah Ta’ala memberi amaran terlebih dahulu kepada umat Islam supaya berfikir dalam melakukan sesuatu, jangan sampai apa yang telah menimpa bangsa terdahulu akan menimpa semula terhadap kamu. Tetapi, sangat sedih sekali, walaupun wujud amaran dan peringatan daripada Tuhan, umat Islam tetap lupa akan hal ini. Sedangkan Allah Ta’ala sudah jelas menyatakan bahawa sikap takbur kamu itu tidak akan membawa kebaikan apa-apa terhadap kamu. Allah Ta’ala berfirman WA KAANUU ASYADDA MINHUM QUWWAH bahawa sudah ramai orang-orang yang kuat sebelum kamu, yang lebih kuat daripada kerajaan kamu, dan penentangan mereka terhadap nabi-nabi Allah lebih keras berbanding kamu. Dan nabi-nabi langsung tidak ada kekuatan duniawi.

Tetapi, apabila pukulan Allah Ta’ala yang bergerak, atau apabila Allah Ta’ala hendak menghancurkan suatu kaum, maka semuanya hancur sama sekali. Allah Ta’ala menjelaskan di dalam Al-Qur’an tentang sunnah ini agar segala kekuatan, atau firaun dengan tentera-tenteranya setiap zaman dapat mengetahui bahawa pertama, mereka itu langsung tidak ada tandingan jika hendak menentang Kudrat Tuhan, dan kedua, walaupun pengikut sejati Tuhan itu lemah, tetapi Tuhan dalam sekelip mata sahaja boleh menjadikan mereka kuat kerana kekuatan Tuhan ada di sebalik mereka. Dan orang yang dianggap paling kuat, dalam satu waktu sahaja akan hancur musnah. Tidak ada yang tahu mereka dari mana dan di mana sudah? Jadi, para penentang jemaat Ilahi hendaklah sedar dan mengetahui hakikat ini bahawa jika memerangi orang yang datang dari Tuhan, samalah mereka memerangi Allah Ta’ala sendiri. Dan Tuhan itu adalah Tuhan yang telah menyatakan WAMAA KAANAL LAAHU LIYU’JIZAHUU MIN SYAI’IN FIS SAMAAWAATI WALAA FIL ARDHI yakni segala apa yang ada di langit dan di bumi ini tidak dapat mengalahkan Allah Ta’ala.

Jadi, adalah satu kebodohan jika ada suatu kaum di sesuatu tempat atau negara mengumumkan bahawa KAMI INI KUAT. KAMI AKAN HAPUSKAN ORANG YANG SEDIKIT INI. Jika dilihat dari sudut pandang dunia, memang bukan satu kebodohan, malah ia satu fikiran yang sangat benar kerana orang yang kuat dan pintar pasti akan unggul. Dan apabila kita melihat keadaan dunia hari ini, apabila timbul perkara mengenai Jemaat Ahmadiyah, apabila menyentuh tentang Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, walaupun mereka disebut sebagai mukmin, namun jika mereka menentang Jemaat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, bererti mereka menentang jemaat Ilahi. Jadi, di sini bukan lagi undang-undang dunia yang berjalan tetapi undang-undang Ilahi yang akan mencengkam mereka bahawa WAMAA KAANAL LAAHU LIYU’JIZAHUU MIN SYAI’IN FIS SAMAAWAATI WALAA FIL ARDHI, yakni tidak ada yang akan dapat melemahkan Allah Ta’ala.

Jadi, hal ini menjadi berita gembira buat kita, namun di samping itu ada tanggungjawab yang harus dilaksanakan iaitu mengadakan hubungan yang khusus dengan Allah Ta’ala. Berusaha bergabung dengan orang-orang yang Allah Ta’ala tunjukkan sunnah-Nya yang benar dalam golongan mereka. Berusahalah untuk meningkatkan nilai ibadat-ibadat, doa-doa dan amalan-amalan yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w dan juga apa yang telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s yang merupakan imam zaman ini. Jika kita telah memegang usul ini dengan benar, maka semua kekuatan-kekuatan tidak kira di Pakistan, Indonesia, Bangladesh atau di beberapa buah negara Arab, semuanya tidak ada nilai apa-apa di hadapan Tuhan. Allah Ta’ala telah menetapkan bahawa orang-orang yang bersama Allah akan menang. Jadi, para penentang hendaklah segera insaf dan cuba perbaiki diri, jika tidak maka takdir Allah akan tetap berlaku. Pada waktu itu tidak ada lagi uzur atau alasan yang boleh diterima. Apabila takdir Allah berlaku pada saat akhir, maka semua akan menjadi hancur.

Saya hendak menyampaikan beberapa sabda Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, beliau berkata:-
“Tuhan akan mematahkan kesombongan para maulvi yang sombong dan akan memperlihatkan kepada mereka bagaimana Dia membantu orang-orang yang lemah dan bagaimana Tuhan memperlakukan penjahat-penjahat. Insan yang jahat berkata bahawa saya akan menang dengan perancangan dan kepandaian saya dan saya akan memadamkan kebenaran dengan rencana saya. Tuhan pula dengan Kudrat dan Kekuatan-Nya berkata bahawa wahai penjahat, siapa yang mengajarkan kepada engkau untuk berhadapan dengan-Ku? Bukankah kamu itu pernah berada dalam rahim dalam bentuk titisan yang lemah? Adakah kamu berkuasa untuk menghalang kehendak-Ku?” (Karamatus Shodiqin Rohani Khazain Jilid Nombor 7 halaman 67)

Kemudian beliau bersabda lagi:-
“Perkara ini selalu terjadi bahawa orang yang dicintai Tuhan dan hamba yang setia, kesiddiqan mereka boleh mencapai suatu tahap yang tidak mampu dilihat oleh orang-orang yang buta dunia. Sebab itu, apabila para maulvi bangkit menentang mereka, sebenarnya bukan berhadapan dengan mereka tetapi dengan Tuhan. Bagaimana mungkin terjadi bahawa orang yang dilahirkan oleh Tuhan dengan tujuan yang agung, di mana melaluinya Tuhan hendak membuat perubahan besar dalam dunia, adakah orang itu akan dapat dihancurkan semata-mata oleh beberapa orang jahil, degil dan orang-orang yang tidak setia? Jika dua perahu bertembung, di atas satu perahu ada seorang Raja yang adil, mulia dan berfitrat baik bersama dengan pegawai-pegawainya. Di atas perahu yang kedua ada beberapa tukang kasut dan lain-lain yang jahat. Pada masa itu, untuk menyelamatkan satu kapal, salah satu kapal mesti dimusnahkan bersama-sama dengan muatannya sekali. Jadi, apa penyelesaian yang terbaik harus dibuat? Adakah harus memusnahkan kapal yang ada Raja adil tersebut atau menghancurkan kapal yang ada orang bawahan itu?

Saya berkata dengan sebenar-benarnya bahawa kapal raja itu akan cuba diselamatkan sebaik mungkin dan kapal yang ada orang bawahan itu akan dimusnahkan tanpa teragak-agak lagi. Dan dengan kemusnahan kapal itu akan menggembirakan mereka kerana dapat menyelamatkan seorang Raja Adil yang sangat diperlukan, kematian seorang raja bererti satu alam akan mati. Jika cuma tukang kasut yang mati, ia tidak mengganggu pengurusan dunia. Jadi, ini jugalah sunnah Ilahi, apabila ada satu kelompok berdiri untuk menentang rasul-rasul-Nya, walaupun mereka mendakwakan diri sebagai orang yang baik, Tuhan akan menghancurkan mereka, dan tetap akan sampai masa untuk kehancuran mereka kerana Dia tidak mahu tujuan-Nya mengutus rasul itu akan menjadi sia-sia kerana hal itu bertentangan dengan matlamat-Nya. Sebabnya jika jemaat-Nya hancur, siapa di bumi yang akan menyembah-Nya?

Dunia hanya melihat jumlah yang banyak dan beranggapan bahawa jumlah yang banyak itu mesti di pihak yang baik. Dan orang bodoh pula berfikir bahawa mereka semua itu berkumpul di ribuan dan ratusan ribu masjid-masjid, adakah ini jahat? Tetapi Tuhan tidak melihat kepada jumlah yang banyak tetapi melihat kepada hati. Dalam diri hamba Tuhan yang khas mempunyai nur kecintaan Ilahi dan kebenaran dan kesetiaan. Jika saya boleh jelaskan, pasti saya akan jelaskan tetapi apa yang saya boleh jelaskan? Sejak dunia ini wujud, tidak ada nabi atau rasul yang dapat menjelaskan rahsia ini. Hamba-hamba Tuhan yang setia rebah di istana Ilahi dan kita tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan situasi berkenaan”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain, Jilid 20, halaman 71-72)

Jadi, ribuan usaha keras dilakukan oleh para penentang, namun ia tidak memberi kesan kepada kemajuan beliau sedikitpun. Sebab itu, setiap rancangan mereka, Tuhan akan membalikkan atas diri mereka sendiri. Dan sehingga hari ini kita dapat melihat perkara ini berlaku. Dan selagi kita kuat dalam keimanan maka kita akan terus melihat kemajuan jemaat. Semoga Allah Ta’ala terus-menerus memberi kita semua taufik.

Kemudian beliau berkata lagi:-
“Ini adalah kesalahan mereka dan memang malang sekali jika mereka menginginkan kehancuran saya. Saya adalah pohon yang telah ditanam sendiri oleh Pemilik yang hakiki. Orang yang hendak menebang saya, mereka sebenarnya hanya ingin menempah nasib yang telah menimpa Qarun dan Yahuda Iskariot dan Abu Jahal. .....”.

Bersabda lagi:-
“..... wahai manusia! Yakinlah bahawa ada satu Tangan yang setia bersama saya sehingga akhir. Jika wanita-wanita dan lelaki-lelaki kamu dan pemuda-pemuda kamu dan orang-orang tua kamu dan yang kecil dan yang besar, semuanya bersatu untuk berdoa bagi kehancuran saya, sehingga dengan banyaknya kamu bersujud menyebabkan hidung kamu kecut dan tangan menjadi kebas, Tuhan tetap tidak akan mendengar doa kamu, dan tidak akan berhenti selagi misi-Nya belum tercapai. Jika di kalangan manusia tidak ada yang bersama saya, maka malaikat Tuhan yang akan bersama-sama dengan saya. Dan jika kamu menyembunyikan kesaksian maka ada masanya batu yang akan memberi kesaksian terhadap saya. Jadi, janganlah zalim terhadap diri sendiri. Wajah orang pendusta lain dengan wajah orang yang benar. Tuhan tidak akan meninggalkan suatu urusan tanpa ada penyelesaian. Saya mengirimkan laknat atas kehidupan yang penuh dengan bohong dan penipuan. Juga terhadap mereka yang disebabkan takut kepada makhluk, sanggup mengenepikan urusan Khalik”. (Arba’in Nombor 3, Rohani Khazain Jilid 17 halaman 399-400)

Berkata lagi:-
“Wahai sekalian manusia! Dengarlah bahawa ini adalah khabar ghaib dari Tuhan yang telah menciptakan bumi dan langit. Dia akan menyebarkan jemaat ini ke seluruh negara dan ia akan unggul melalui hujah-hujah dan dalil-dalil di atas semua. Hari itu akan tiba dan sangat dekat bahawa di dunia ini hanya akan tinggal satu agama sahaja yang akan dikenang dengan penuh penghormatan. Tuhan akan memberi berkat yang luar biasa ke atas jemaat ini. Dan setiap orang yang berfikir untuk menghapuskannya tidak akan berjaya. Dan kejayaan ini akan berlangsung selamanya sehingga kiamat. Jika sekarang kamu mentertawakan saya, apa kerugian yang saya dapat? Ini adalah kerana tidak ada seorang nabi pun yang tidak ditertawakan. Jadi, memang Maseeh Mau’ud akan ditertawakan sebagaimana Allah berfirman Ta’ala YAA HASRATAN ‘ALAL ‘IBAADI MAA YA’TIIHIM MIR RASUULIN ILLAA KAANUU BIHII YASTAHZI’UUN (Yaa Sin:31). Ini menjadi satu tanda dari Tuhan bahawa setiap nabi akan ditertawakan, tetapi seseorang yang datang dari langit dan disokong oleh malaikat, siapa yang akan mentertawakannya?

Jadi, dengan dalil inipun orang yang berakal akan dapat memahami bahawa fikiran Maseeh Mau’ud turun dari langit adalah dusta. Ingatlah bahawa tidak ada yang akan turun dari langit. Semua penentang kita yang masih hidup sekarang ini akan mati dan tidak ada seorang pun yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Kemudian anak-anak mereka yang tinggal ini pun akan mati dan tidak ada seorang yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Kemudian anak-anak kepada anak-anak mereka pun akan mati dan tidak ada seorang yang akan melihat Isa bin Maryam turun dari langit. Selepas itu Tuhan akan menimbulkan dalam hati mereka perasaan risau bahawa zaman keunggulan salib sudah berlalu dan dunia sudah berubah wajah, tetapi Isa anak Maryam belum lagi turun dari langit sehingga sekarang. Maka orang yang berakal mula bosan dengan akidah itu dan sekarang abad ketiga sejak hari ini belum sempurna bahawa orang yang menunggu Isa, sama ada orang Islam atau orang Krsitian, mereka sangat kecewa dan mulai berfikir untuk meninggalkan akidah dusta ini, maka di dunia hanya ada satu mazhab dan satu pemimpin. Aku datang untuk menyemai benih, maka benih itu telah aku tanam dengan tanganku, sekarang ia akan membesar dan akan berkembang dan tidak ada yang akan dapat menghalangnya”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain Jilid 20, halaman 66-67)

Jadi, kita telah melihat kebenaran tentang kalam Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, kita juga telah melihat perlakuan Allah Ta’ala terhadap beliau. Hari ini, sesuai dengan janji Allah Ta’ala negara-negara di Asia, di pulau-pulau, di Eropah, di Amerika dan tanah Afrika yang subur dan yang tandus, amanat Ahmadiyat telah tersebar ke seluruh tempat itu. Dan ia bukan hanya tersebar luas, malah ia semakin berkembang pesat dan maju di sana. Setiap pengorbanan setiap Ahmadi menjadi sarana untuk kita mencapai tingkat seterusnya. Jadi, untuk menjadikan kita mendapat bahagian dalam kurnia ini, kita perlu memperkuatkan iman melalui doa-doa lebih banyak berbanding sebelumnya. Keadaan dunia yang semakin cepat berubah, insyaAllah ia akan memperlihatkan keagungan jemaat Ahmadiyah. Namun, untuk itu amat perlu banyak berdoa. Kita harus melihat keadaan diri kita sendiri. Jadi, dalam hari-hari ini khasnya, banyakkan berdoa, banyakkan berdoa, giatkan diri dalam berdoa. Semoga Allah menyembunyikan kelemahan kita dan jangan sampai ada amalan yang kita lakukan menyebabkan kita terhindar dari melihat kemajuan jemaat.

Akhir sekali, ada berita sedih. Saya akan memimpin solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat ini iaitu jenazah Mukarram Tarari Marzuki Sahib Al-Ma’ruf Imam Idris. Berasal dari Morocco. Beberapa hari sebelum ini beliau meninggal dunia dalam usia 75 tahun. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.

Beliau bai’at dalam tahun 2002 dan Amir Sahib menulis bahawa rombongan kami pergi mengunjungi mereka. Ada majlis tabligh yang besar. Beliau seorang imam dan banyak ilmu. Saya hendak berjumpa dengannya. Dia cuba menghindarkan diri, dia tidak mahu percaya. Sebagaimana ulama yang keras, dia juga sama. Namun, suatu hari ada perhimpunan tabligh, kami duduk di sana. Sekretari Am berkata bahawa untuk bercakap dengannya sama seperti mengetuk batu di kepala. Lepaskan dia. Saya bangun dan pergi kepadanya lalu menyerahkan buku I’jazul Maseeh dan berkata, baca buku ini. Selepas beberapa hari, dia datang dan berkata; saya hendak bai’at.  Dengan kurnia Allah Ta’ala beliau bai’at dan bergabung dengan jemaat. Dalam keluarga, hanya dia seorang sahaja Ahmadi. Sebelum bai’at, beliau aktif dalam Komiti Aimah Strasburg di France. Beliau juga selalu memberikan khutbah di masjid-masjid. Semua imam-imam memuji akan kebolehan dan keimanan beliau, tetapi apabila orang ramai sudah mengetahui bahawa dia Ahmadi, semua menjadi penentang terhadapnya sehingga dia meninggalkan pekerjaan imam.

Pertemuan saya dengannya pertama kali di Jalsah France dalam tahun 2003. Tahun lepas, apabila saya pergi ke France, beliau sangat lemah dan sakit kuat. Saya berkunjung ke Strasburg dan beliau datang ke sana. Beliau berkata kepada Tuan Amir; tuan selalu mengingatkan saya agar datang ke London untuk mulaqat dengan Khalifatul Maseeh, namun doktor tidak membenarkan saya berjalan jauh dan saya sangat lemah. Tetapi lihat sekarang, bagaimana Allah Ta’ala mengatur sehingga Khalifatul Maseeh datang sendiri bertemu dengan saya. Beliau sangat cinta kepada khilafat. Beliau menulis Al-Qur’an dengan tangan sendiri, apabila saya berkunjung ke Strasburg, beliau mengatakan bahawa jika sudah selesai, saya hendak hadiahkannya kepada tuan. Apabila ada gerakan candah untuk masjid di Strasburg, berapa pun yang ada waktu itu beliau serahkan semuanya. Semoga Allah mengampuni beliau dan ditempatkan pada kedudukan yang tinggi. Anak-anak dan keluarga beliau yang lain adalah bukan Ahmadi, mudah-mudahan Allah membuka pintu hati mereka untuk menerima kebenaran Ahmadiyah.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali,
Beaufort, Sabah
27 April 2011
barahin.ahmadi@gmail.com

Monday, April 25, 2011

Penghormatan Terhadap Syed Daud Muzaffar Syah Sahib


KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
11 MAC 2011 / 11 AMAN 1390HS
06 Rabiul Akhir 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Selepas membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bersabda: “Apabila kita melihat kembali di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat, kita akan dapat mengetahui bahawa mereka itu hidup sangat lurus dan sederhana. Jika suatu pinggan dicuci lalu digilap dengan bersih, maka akan muncul corak di atasnya, lalu makanan yang bersih diletakkan di dalamnya, inilah misal keadaan mereka. Jika seorang insan sangat bersih seperti ini, dan bersinar menjadi seperti pinggan yang bercorak, maka Allah Ta’ala akan meletakkan makanan kurnia di atasnya. Tetapi, sekarang ini berapa ramai manusia yang sanggup menjadi seperti itu”. (Al-Badar Jilid 2, nombor 23, tarikh 26 Jun 1903, halaman 177, column 1)

Ada lagi riwayat lain mengenainya yang versinya terdapat dalam akhbar yang lain. Dengan menjadikan pinggan sebagai misal; beliau bersabda: “Sebagaimana pinggan itu bersih, demikian juga hati para sahabat, di mana dengan sinaran cahaya Kalam Ilahi, mereka benar-benar suci dari kekotoran insani. Mereka membenarkan ayat QOD AFLAHA MAN ZAKKAAHA (As-Syams:10)”. (Al-Hakam Jilid 7, nombor 24 tarikh 30 Jun 1903, halaman 10, column 2)

Jadi, inilah revolusi yang telah diciptakan oleh Rasulullah s.a.w dalam diri mereka yang penuh dengan permusuhan dan kebencian. Dan permusuhan itu bukan hanya bertahun-tahun tetapi berlanjutan terus-menerus dari keturunan demi keturunan. Tetapi, setelah beriman, dan disebabkan keasyikan kepada Rasulullah s.a.w, mereka telah berusaha untuk menjadi hamba yang sempurna. Mereka membaca Al-Qur’an, memahami dan mengamalkannya, dan dengan cahaya Kalam Ilahi itu, hati mereka telah diterangi seperti pingan yang bercorak.

Mungkin orang-orang di sini atau beberapa orang tidak mengetahui bagaimana kilauan pinggan. Dalam zaman lampau, pinggan diperbuat daripada logam, selepas beberapa lama, ia perlu dicorakkan. Orang Pakistan dan India mungkin tahu bagaimana corak yang dimaksudkan, terutama sekali petugas Langar Khana semasa jalsah salanah kerana kuali akan dicorak terlebih dahulu. Untuk membuat corak itu, pinggan itu akan diletakkan dalam api, kemudian dicampurkan bahan kimia di atasnya. Kemudian akan kelihatan bersinar seperti perak.

Tujuan saya menjelaskan bahawa Hazrat Maseeh Mau’ud a.s memberi misal seperti pinggan yang digilap, ini bukanlah usaha yang biasa dilakukan, malah setelah ia dibersihkan, ia dimasukkan ke dalam api. Banyak proses yang dilalui, banyak amalan yang dialami. Ringkasnya, apabila insan mencapai kedudukan itu atau hendak mencapainya, apabila mendapat nur dari Kalam Ilahi yang sebenar, maka dari satu kesusahan, dari satu kerja keras atau kesulitan, barulah insan mencapai kejayaan di mana Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang mensucikan diri mereka telah berjaya.

Apabila berlaku tazkiyah nafs atau sedang berusaha melakukan tazkiyah nafs, ia memerlukan satu kerja keras. Pada zaman ini, untuk mempertemukan akhirin dengan golongan terdahulu, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dibangkitkan bagi membersihkan kotoran-kotoran dan mengisikannya kembali dengan nur Ilahi. Dalam sahabat-sahabat beliau, kita telah melihat perkara ini. Mereka menjalani kehidupan yang penuh dengan nur ketakwaan. Jadi, amalan inilah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah.

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata:-
Kamu seharusnya tahu apa yang dikatakan tazkiyah nafs. Jadi, ingatlah bahawa setiap Muslim hendaklah bersedia menyempurnakan hak-hak Allah dan hak-hak hamba. Sebagaimana lidah mengucapkan WAHDAHUU LAA SYARIIK dan memahami zat serta sifat Allah, ia juga hendaklah diperlihatkan melalui amalan dan mempamerkan kasih sayang terhadap sesama makhluk Allah. Jangan menyimpan rasa permusuhan, hasad dan dengki terhadap sesama saudara.  Dan hindari sama sekali perbuatan ghibat mengenai orang lain. Tuhan berfirman agar kamu dapat bersatu seperti satu wujud, dan apabila kamu sudah menjadi satu wujud, maka dapat dikatakan bahawa kamu telah melakukan penyucian terhadap jiwa-jiwa kamu”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 407, edisi baru)

Berkata lagi:-
Orang-orang yang mendapat kehidupan syurga di dunia ini adalah mereka yang telah mengamalkan ayat QOD AFLAHA MAN ZAKKAAHA (As-Syams:10). Apabila insan berhasil mendapat mafhum dan isi sebenar ibadatnya, maka Tuhan akan mengurniakan nikmat dan kemuliaan kepadanya yang sentiasa berterusan. Dan nikmat-nikmat yang akan diperolehi selepas mati, yang boleh dirasai, sekarang ini dapat diperolehi secara rohani di dunia”. (Al-Hakam Jilid 6, nombor 26, tarikh 24 Julai 1902, halaman 9, column 3)

Jadi, inilah tujuan yang sebenar kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s pada zaman ini, yakni melakukan perubahan rohani yang benar-benar suci. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi taufik kepada setiap Ahmadi untuk memahami hakikat ini. Amat beruntung mereka yang telah memahami hakikat ini lalu mereka berusaha untuk melakukan perubahan dalam jiwa mereka dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa para sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s telah mengikuti contoh para sahabat Rasulullah s.a.w dengan membuat perubahan yang suci, kemudian berusaha mengekalkan hal itu dalam generasi penerus mereka. Juga amat beruntung keturunan-keturunan yang telah meneruskan perubahan suci golongan yang terdahulu daripada mereka.

Waktu ini saya hendak menceritakan berkenaan dengan orang yang sangat mulia kerana telah mengharumkan nama sahabi. Tazkiyah nafs yang disentuh secara khas oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dapat kita lihat dalam diri orang mulia ini. Saya juga sangat dekat dengan beliau ini. Beliau adalah cucu kepada dua sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Beberapa hari sebelum ini, beliau telah wafat. Beliau adalah Hazrat Syed Daud Muzaffar Syah Sahib. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa datuk beliau adalah sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud a.s iaitu Hazrat Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib yang terkenal dengan ketakwaan, kesucian, kesederhanaan, merendah diri dan sangat menyempurnakan hak-hak hamba dan hak-hak Allah Ta’ala. Mengenai beliau ini, Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib mempunyai riwayat seperti berikut ini:-

“Hazrat Syed Abdussattar Syah Sahib mengatakan kepada saya bahawa suatu kali Khalifah Awal r.a sakit kuat. Hal ini berlaku semasa beliau tinggal di kediaman Huzur. Huzur memberi sedekah kambing-kambing, waktu itu saya ada di sana, (yakni Doktor Abdussattar Syah Sahib). Malam itu saya di samping Hazrat Khalifah Awal dan memberi minum ubat kepadanya. Waktu Subuh, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s datang. Hazrat Khalifah Awal berkata: Huzur! Tuan Doktor berjaga di samping saya semalaman dan menjaga ubat-ubat saya dengan teratur. Huzur sangat gembira dan bersabda; Kami juga ingin seperti dia. Ini adalah gerbang syurga. Kata-kata ini diulang beberapa kali.” (Siratul Mahdi, Jilid Awal Bahagian 3, halaman 545, riwayat 563)

Hazrat Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib yang merupakan datuk kepada Syed Daud Muzaffar Syah Sahib, beliau sangat tenang dan penyabar. Banyak sudah riwayat mengenai beliau dijelaskan. Beliau pernah bertabligh kepada seseorang, duduk di dalam masjid, waktu itu beliau bekerja sebagai Sivil Surgeon di Hospital Kerajaan. Pada zaman itu, kerja sebagai Sivil Surgeon sangat dihormati. Apabila perbahasan mengenai kebenaran dan dakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dengan orang tadi, maka orag itu sangat marah lalu mengambil segumpal tanah dan membaling ke atas kepala beliau. Namun, tanah keras itu tepat di dahi beliau sehingga berdarah. Tanpa berkata apa-apa, beliau memegang dahi yang berdarah itu dan terus pergi ke hospital. Lukanya dibalut, dan pada masa yang sama juga orang yang telah mencederakannya menyedari bahawa; apa yang saya telah lakukan? Beliau ini seorang pegawai besar, polis akan datang dan saya akan ditangkap. Dia sangat ketakutan. Namun, selepas beberapa lama Hazrat Doktor Sahib kembali dengan luka berbalut dan berkata kepada orang tadi; saya berharap kemarahan awak sudah sejuk. Mari kita berbual kembali. Pada masa itu, orang tadi berkata; saya yang berkelakuan buruk, saya harus meminta maaf daripadanya, keadaan saya sangat luar biasa dengan perasaan malu dan juga takut”. (Dipetik daripada kitab ‘Hazrat Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib’ halaman 62, karya Ahmad Tahir Mirza, terbitan Majlis Khuddamul Ahmadiyah Pakistan)

Inilah contoh kesabaran yang Doktor Sahib telah tunjukkan walaupun beliau mempunyai hak untuk bertindak balas. Hanya orang yang benar-benar telah membuat perubahan suci dapat menunjukkan akhlak yang tinggi seperti ini. Benar-benar melakukan tazkiyah nafs. Inilah dia Hazrat Doktor Abdussattar Syah Sahib yang merupakan datuk kepada Syed Daud Muzaffar Syah Sahib. Dan Syed Daud Muzaffar Syah Sahib pula anak kepada Hazrat Hafiz Syed Mahmudullah Syah Shahib, anak kedua Doktor Sahib.

Berkenaan dengan orang-orang ini, Hazrat Doktor Hasymatullah Khan Sahib yang merupakan doktor peribadi Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani r.a, beliau menulis dalam sebuah karangan: “Anak keempat dari pasangan yang suci ini (yakni Hazrat Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib dan isterinya) iaitu Hazrat Hafiz Syed Mahmudullah Syah Sahib adalah sangat mulia. Beliau bukan sahaja mempunyai keasyikan dan kecintaan yang khas kepada Allah, malah beliau juga penasihat yang baik. Hubungan kecintaannya sangat luas. Memuliakan orang tua dan menyayangi orang muda adalah ciri khas beliau. Doa beliau ialah agar anak-anaknya juga menjadi anak yang baik.” (yakni kedua-dua anak beliau iaitu Syed Daud Muzaffar Syah Sahib dan Syed Mas’ud Mubarak Syah Sahib.

Berkenaan dengan Syed Daud Muzaffar Syah Sahib, beliau menulis: “Dalam dirinya ada satu ciri menarik, di mana dalam pernikahannya, Hazrat Muslih Mau’ud telah memberikan puterinya dan Allah Ta’ala telah mengurniakan mereka enam orang cahaya mata.” (Al-Fazal Rabwah 3 Februari 1962, rujukan kitab ‘Hazrat Syed Mahmudullah Syah Sahib’, halaman 60, karya Ahmad Tahir Mirza, terbitan Majlis Khuddamul Ahmadiyah Pakistan)

Sebagaimana yang ditulis oleh Doktor Sahib, anak Hazrat Syed Mahmudullah Syah Sahib yang menjadi menantu kepada Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani ialah Syed Daud Muzaffar Syah Sahib yang banyak meniru orang tuanya dalam soal menyempurnakan huququllah dan huququl ibad. Sibuk dalam ibadat, cinta kepada Al-Qur’an dan merendah diri. Dan sentiasa menghormati setiap orang adalah ciri khas beliau. Malah beliau juga sangat menghormati saudara-saudara kepada isterinya lebih-lebih lagi kerana mereka anak-anak kepada Hazrat Muslih Mau’ud r.a. Kadang-kadang terjadi perselisihan faham dengan kerabat terdekat, namun apabila beliau melihat bahawa keadaan bertambah buruk, beliau akan cuba menyelesaikannya dengan adab sopan sehingga masalah selesai atau beliau hanya berlalu meninggalkan tempat berkenaan. Dan saya juga telah melihat di dalam keluarga Hazrat Maseeh Mau’ud a.s terutama sekali anak-anak beliau, dan dalam generasi selepasnya juga sangat beliau hormati dengan begitu menakjubkan. Ini adalah kerana mereka ada hubungan darah dengan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Kadang-kadang beliau sangat menghormati orang lain yang sehingga saya merasa tidak padan apa yang beliau lakukan, atau melebihi dari kadar yang sepatutnya. Tetapi, tuntutan kebaikan beliau menyatakan bahawa adalah perlu memperlihatkan akhlak yang sebaik-baiknya.

Syed Daud Muzaffar Syah Sahib dan isterinya Saiyida Amatul Hakim Begum Sahiba adalah pasangan yang telah ditentukan oleh Allah. Mereka berdua sering berlumba-lumba dalam menunjukkan akhlak yang terbaik. Biasanya kita dapat melihat dalam kehidupan rumah tangga, kadang-kadang timbul perselisihan mengenai perbelanjaan, kenapa beli ini? Kenapa beli itu? Tetapi dalam pasangan ini tidak ada kecenderungan terhadap duniawi. Saya melihat mereka selalu memikirkan bagaimana untuk membantu golongan yang memerlukan. Jika suami telah menolong seseorang, maka isteri akan menyatakan harus menolong lebih daripada itu. Jika isteri telah menolong seseorang maka suami akan berkata; kalau saya ada harta yang lebih, pasti saya turut membantu. Hazrat Syed Daud Muzaffar Syah Sahib sendiri menyatakan bahawa Saiyida Amatul Hakim Begum Sahiba yang wafat lapan atau sembilan tahun lebih awal, dia selalu muncul dalam mimpi dan berkata; bantu orang miskin berkenaan, bagi sedekah kepada orang berkenaan, dan Syah Sahib terus melaksanakannya. Berapapun harta yang ada, mereka akan belanjakan, dan ramai orang berkata bahawa jika mereka mempunyai ribuan wang pun, mereka akan belanjakan ribuan wang. Mereka tidak pernah merasa risau apa yang akan tinggal pada mereka.

Apabila saya mengurus tanah mereka, maka sebagaimana kebiasaan tuan tanah ialah setiap tahun, selepas menuai hasil gandum dan beras, mereka akan mengumpulkan perbelanjaan untuk rumah. Pada tahun pertama, apabila saya bertanya kepada Saiyida Amatul Hakim Sahiba tentang berapa banyak gandum yang mereka perlukan, maka dia menyatakan bahawa 120 man. Saya menjawab bahawa: saya rasa untuk perbelanjaan rumah puan paling banyak sekitar 20, 25 atau 30 man sahaja. Dia menjawab: inilah jumlah yang saya perlukan kerana banyak orang miskin yang hendak saya berikan gandum. Mereka menyara bekalan gandum beberapa keluarga sehingga setahun. Inilah sifat peribadi mereka.

Syed Daud Muzaffar Syah Sahib mempunyai banyak keistimewaan. Beliau adalah suami kepada saudara ibu saya dan juga mertua saya. Keistimewaan beliau dan juga isterinya saya sengaja tidak huraikan kerana mereka adalah keluarga terdekat. Saya telah melihat mereka dalam keadaan demikian sejak zaman kanak-kanak lagi. Pendiam, banyak berdoa, suka dengan anak-anak, gembira bila berjumpa, hormat dengan orang lain dan bersih dari segala perkara keduniaan. Ada seorang menulis dengan tepat bahawa Syed Daud Muzaffar Syah Sahib sangat menarik, pendiam, tenggelam dalam berdoa dan setiap waktu bibirnya basah dengan doa-doa. Banyak membantu orang yang dalam kesusahan dan sangat asyik dalam melakukan ibadat.

Beberapa ciri khas beliau dan perlakuan Allah Ta’ala terhadap beliau akan saya jelaskan, tetapi saya hendak beritahu terlebih dahulu berkenaan dengan keluarga dari sebelah ibu. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa datuknya sebelah ibu iaitu Hazrat Maulvi Syed Sarwar Syah Sahib r.a juga adalah sahabi yang mulia. Beliau lama berkhidmat sebagai mufti dalam jemaat. Masa mendirikan solat yang lama dan khusyuk banyak disentuh mengenai beliau. Ada orang menulis berkenaan dengan Syed Sarwar Syah Sahib r.a bahawa Hazrat Maulvi Sahib pernah sekali berdiri di suatu sudut mengerjakan solat sunat atau nafal dengan sangat lama. Dia menyatakan bahawa waktu sudah berlalu lama sehingga timbul tanda tanya dan saya pergi melihat bagaimana beliau mengerjakan solat? Apabila orang tadi mendekati beliau, dia mendengar beliau membaca IYYAA KANA’BUDU WA IYYAA KANAS TA’IIN (Al-Fatihah:5) secara perlahan-lahan dan berulang-kali sehingga begitu lama. Hazrat Syed Sarwar Syah Sahib juga selalu memimpin solat berjemaah, menjadi imam dan ketika solat berjemaah juga beliau selalu memanjangkan solatnya. Apapun, sebagaimana yang telah saya katakan tadi bahawa Syed Daud Muzaffar Syah Sahib adalah cucu beliau ini.

Dalam doa-doa, dalam akhlak yang agung, Syed Daud Syah Sahib telah mewarisinya dari kedua-dua belah keturunannya. Tidak semua yang dapat mengikut jejak langkah orang-orang tua mereka yang terdahulu, namun Syed Daud Muzaffar Syah Sahib telah menunjukkan kebolehannya. Apabila ada orang membuat permohonan doa dari mereka ini, maka mereka tidak akan berhenti berdoa sehingga orang tadi datang sendiri memberitahu hasil doa mereka. Saya sendiri tahu dan ada juga yang menulis surat kepada saya bahawa apabila ada orang membuat permohonan doa, jika tidak diberitahu tentang hasil daripada doa, maka mereka akan terus-menerus memohon doa sehingga berbulan-bulan dan bertahun-tahun. Jika ada orang yang berbuat kebaikan untuk mereka, maka mereka akan mendoakan orang berkenaan dengan menyebut nama mereka. Mana-mana doktor yang mengkhidmati mereka juga banyak didoakan. Sebelum Mukarram Doktor Nuri Sahib datang ke Rabwah, setiap kali datang ke Rabwah dan dipanggil untuk berjumpa dengan Syed Daud Muzaffar Syah Sahib untuk urusan pemeriksaan kesihatan, selepas itu beliau akan mendoakannya. Mudah-mudahan Allah Ta’ala terus memberikan hasil dari berkat doanya kerana Doktor Sahib sangat berguna kepada manusia. Begitu juga dengan Doktor Abdul Khaliq Sahib, beliau selalu datang memeriksa kesihatannya. Syed Daud Muzaffar Syah Sahib telah lama menderita penyakit hati. Beberapa kali terjadi di mana kesihatan beliau terganggu, maka Doktor Khaliq Sahib yang selalu datang segera. Doktor Khaliq Sahib menulis surat kepada saya; setiap kali saya datang untuk memeriksa kesihatan beliau atau beliau sendiri masuk ke hospital, beliau selalu berkata kepada saya bahawa; Doktor Sahib! Doakanlah agar jangan sampai saya tidak lagi dapat berdoa dan beribadat, dan juga agar kesudahan saya baik.

Allah Ta’ala telah memberikan kesudahan yang baik kepada beliau, ada beberapa orang yang diperlihatkan dalam mimpi tentang perkara ini. Beberapa hari sebelumnya, sepupu beliau melihat bahawa Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi’ r.h datang dan Syed Daud Muzaffar Syah Sahib dibawa pergi. Mimpi beliau sangat panjang, namun ringkasnya dia melihat bahawa Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani r.a mengkhususkan sebuah kerusi untuk beliau. Seorang wanita yang beliau tidak berapa kenal juga melihat dalam mimpi bahawa beliau sangat mulia dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan. Dia juga melihat bahawa isteri beliau Saiyida Amatul Hakim Begum Sahiba berada di satu tempat yang sangat tinggi dalam keadaan sangat gembira dan berkata; kamu pun datanglah ke sini. Kemudian ada satu suara malaikat atau Tuhan mengatakan; belum sampai masanya dia datang kerana ada yang dia perlu doakan.

Tenggelam dalam doa-doa dan ibadat adalah hasil tarbiyat daripada datuknya sebelah ayah dan hasil pergaulan dengan datuknya sebelah ibu. Beliau banyak bersama datuknya sebelah ayah. Pada akhir umur Hazrat Syed Doktor Abdussattar Syah Sahib, apabila sudah sangat lemah, beliau tidak dapat datang ke masjid, namun beliau mengatur solat berjemaah di rumah dan menyuruh Syed Daud Muzaffar Syah Sahib menjadi imam. Pada waktu itu umur beliau baru 17 tahun. Berkenaan dengan hal ini, Syed Daud Muzaffar Syah Sahib sendiri menulis; “dalam umur terakhir Hazrat Syah (yakni Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib), saya banyak memimpin solat bersama mereka terutama sekali solat Jumaat. Beliau memang sangat disiplin dalam solat berjemaah. Semasa sihat, beliau menunaikan solat lima waktu di masjid, apabila sudah lemah dalam berjalan, maka beliau melakukan solat berjemaah di rumah. Beliau menyediakan ruang solat di rumahnya dan membina satu pondok menyerupai masjid dalam kebunnya. Di sana solat Maghrib berjemaah diadakan, ini menyebabkan kawan-kawannya turut datang berjemaah. Selepas solat maghrib, biasanya Hazrat Syah Sahib akan memperdengarkan nazam Hazrat Maseeh Mau’ud a.s”. Syah Sahib menulis lagi; “Pernah sekali saya memimpin solat Jumaat, saya pergi menuju Masjid Aqsa. Ketika balik, Hazrat Syah marah. Dia berkata: kenapa tidak memimpin solat untuk saya? Jika ayah kamu datang, saya akan laporkan kepadanya”. (yakni ayah beliau Syed Mahmudullah Syah Sahib berada di Afrika ketika itu). Tidak lama selepas itu Syah Sahib (yakni Hazrat Doktor Syed Abdussattar Syah Sahib) wafat.

Mari kita lihat bagaimana perlakuan Allah kepada beliau.

Syed Daud Muzaffar Syah Sahib tidak cenderung kepada dunia. Sebab itu tidak mempunyai harta dunia yang mewah. Namun, apa sahaja yang ada tetap disyukuri. Dan dari harta yang mereka miliki itu ada bahagian untuk orang miskin dan yang memerlukan, dan kadang-kadang mereka memberi pertolongan kepada orang yang memerlukan dalam jumlah yang lebih banyak daripada pemberian orang kaya. Seorang menantu yang tinggal bersama mereka (isteri kepada anaknya Suhaib) berkata: apabila ada suatu wang diperolehi, beliau menyerahkan urusan kira-kira kepada saya kerana penglihatan beliau sudah agak lemah dalam usia yang sudah lanjut. Beliau akan mengatakan; pertama sekali asingkan jumlah wasiyat, kemudian bahagian anak-anak yatim, kemudian bahagian pelajar-pelajar miskin dan bahagian untuk pesakit-pesakit yang tidak mampu mendapatkan rawatan. Setelah semua bahagian itu diasingkan, maka apa yang tinggal mereka simpan untuk kegunaan sendiri. Mereka juga banyak mengeluarkan wang dalam pengorbanan-pengorbanan jemaat, Waqfe Jadid, Tahrik Jadid dan lain-lain. Anak-anaknya memberitahu bahawa pernah beberapa kali beliau bertanya: ada apa-apa kerisauan? Jika tidak diberitahu di hadapan beliau, pasti ada ketikanya beliau sendiri bertanya: adakah kamu tidak disulitkan oleh orang ini? Keadaan yang ditanya memang benar, dan selain Allah Ta’ala siapa lagi yang memberitahu kepadanya hal ini. Melalui doa-doa, akhirnya semua menjadi baik. Menantunya menulis: saya juga mempunyai beberapa kesulitan, beliau memberitahu di hadapan saya berkenaan dengan setiap kesulitan yang saya alami sedangkan saya tidak pernah menzahirkan kesulitan saya kepada sesiapa pun. Kemudian beliau berdoa sehinggalah kesulitan itu berubah menjadi mudah.

Beliau juga sangat cinta kepada AL-Qur’an. Beliau membaca beberapa juz setiap hari sekurang-kurangnya lima atau enam juz, dan kadang-kadang tujuh atau lapan juz sehari. Ini menyebabkan banyak bahagian Al-Qur’an yang beliau hafal. Pernah sekali dalam bulan Ramadhan beliau berkata: penglihatan saya semakin kabur, mata saya terbeban, ini menyebabkan saya sangat kesulitan kerana tidak dapat membaca Al-Qur’an dengan sebaik-baiknya. Saya berkata; kalau susah begitu pun, mesti ada satu atau dua juz sehari yang dibaca. Beliau menyahut; tidak! Sekarang ini saya masih boleh menghabiskan tiga atau empat juz sehari. Inilah keasyikan beliau terhadap Al-Qur’an.

Ketika rumah suadaranya yang lebih tua sedang dibina di Rabwah, beliau selalu bertanya kepada anak-anak setakat mana sudah pembinaan yang dibuat? Satu hari beliau berkata kepada menantunya yang paling muda: Allah Ta’ala memperlihatkan kepadaku rumah itu. Kemudian beliau memberitahu pelan rumah berkenaan, di sini ada bilik, ini pelannya. Tanpa diberitahu, gambaran yang beliau berikan adalah tepat.

Beliau juga banyak berdoa terhadap tugas jemaat yang diberikan oleh jemaat kepada anak-anaknya. Selain menjadi menantu beliau, saya juga ada hubungan yang sangat rapat. Beliau banyak berdoa untuk diri saya dan untuk pekerjaan jemaat saya. Dan selepas khilafat, hubungan saya dengannya menjadi rapat lagi kerana beliau lebih banyak berdoa untuk saya. Beliau banyak berdoa untuk kejayaan jalsah, ceramah dan sebagainya. Inilah wujud yang sangat kelihatan hasil doanya.

Di tempat kami tinggal, beberapa khuddam dari ahli keluarga diberi tugasan untuk berjaga malam. Ketika itu, keadaan agak teruk dalam tahun 1974. Terutama sekali tahun 1984, keadaan menjadi lebih teruk sehingga ada giliran berjaga malam. Semasa berjaga, anak-anak muda biasa minum cai/teh, maka disebabkan itu, rumahnya sentiasa terbuka. Anak-anak muda datang dan membuat cai di dapur lalu pergi. Apabila beliau melihat hal itu, beliau sendiri bangun tengah malam untuk membuat cai dan meletakkannya di atas meja agar anak-anak tidak lagi kesulitan membuat cai, mereka hanya perlu datang mengambilnya dan membawa pergi ke tempat bertugas. Oleh kerana beliau selalu awal tidur, maka beliau juga akan dapat bangun awal. Masa tidur pun sangat kurang. Bangun tahajjud, membuat cai untuk diri sendiri dan untuk mentuanya, sekaligus mengejutkan mereka untuk tahajjud. Apabila anaknya yang kecil masuk jamiah, beliau selalu mengejutkan anaknya untuk tahajjud secara teratur, dengan lafaz; bangunlah minum cai dan dirikanlah tahajjud.

Sejak dari zaman muda lagi, hubungan beliau dengan Allah Ta’ala tetap serupa. Beliau pernah tinggal di Sindh. Banyak kejadian-kejadian yang berlaku, seorang anak perempuannya menulis bahawa di sana ada banyak ular dan binatang yang lain. Pada waktu itu banyak penduduk yang membuka kawasan baru menyebabkan ular banyak yang keluar, terutama sekali ular yang berbisa. Suatu hari beliau bercerita; pada suatu hari saya kurang sihat dan merasa hendak mengerjakan solat Subuh di rumah sahaja, tetapi dengan satu kuasa ghaib menegaskan; jangan! Pergilah ke masjid kerana tidak jauh. Ketika balik ke rumah, dua orang anaknya sedang tidur di atas katil, beliau melihat ada seekor ular hitam cuba naik ke atas tempat tidur mereka, beliau dengan segera memukulnya. Kalau beliau ini juga tidur, mungkin ular itu boleh memberi bahaya kepada anaknya.

Syed Daud Muzaffar Syah Sahib dan saudaranya Syed Mas’ud Mubarak Syah Sahib berlajar di Government College Lahore. Mereka lulus B.A di sana. Kemuliaan dan disiplin mereka menyebabkan mereka masyhur di kalangan kakitangan dan juga pelajar. Beliau terkenal di kolej itu bahawa tidak ada yang lebih baik selain beliau. Pernah sekali kawannya cuba berbuat jahat, dia mengambil suatu barang warden asrama atau superintendent dan menyembunyikan di bilik beliau. Pihak pengurusan dengan segera bertindak memeriksa setiap bilik. Apabila sampai di bilik mereka, dikatakan bahawa tidak mungkin ada di sini, kedua-dua beradik ini sangat baik. Apabila mereka balik ke bilik, benda itu ada di sana hingga merasa risau bahawa sekarang harus berkata benar, tetapi terfikir bahawa kawannya akan diambil tindakan, bagaimana supaya tidak dikenakan tindakan? Apabila pemeriksaan selesai, dengan segera mereka mengambil benda itu lalu meletakkan di hadapan bilik superintendent. Mujur juga tidak diselidik lagi hal itu kerana pihak pengurusan tahu tentang kemuliaan mereka berdua, padahal orang yang disyaki patut mendapat hukuman.

Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa setelah lulus B.A dari Government College, atas gerakan daripada Hazrat Muslih Mau’ud r.a, beliau menulis surat untuk Waqaf Zindegi dalam tahun 1944. Dalam surat kepada Hazrat Muslih Mau’ud r.a beliau menulis; saya berkali-kali melihat tuan di dalam mimpi, sebab itu saya hendak waqafkan hidup saya dan juga mendorong saudara saya agar turut sama mewaqafkan hidup. Akhirnya kedua-dua mereka telah mewaqafkan kehidupan. Atas dasar M N Syndicate, Hasrat Muslih Mau’ud r.a menghantar beliau ke Tanah Sindh. Beliau lama di sana. Kemudian beliau berkhidmat di Wakalat Tabsyir selama 11 tahun dari 1982 hingga 1993. Beliau selalu datang ke pejabat tepat pada masanya. Tidak banyak bercakap. Beberapa orang mempunyai kebiasaan duduk berbual-bual kosong. Pegawai atasannya ada yang lebih muda dari beliau, ada juga keluarga terdekat, namun beliau sentiasa menunjukkan semangat itaat yang sempurna. Tidak pernah membantah jika ada tugasan yang banyak. Muballigh kita di sini, Laiq Tahir Sahib menulis surat kepada saya bahawa ketika saya sebagai Naib Wakilut Tabsyir, beliau menjalankan tugas dengan sempurna dan sangat hormat kepada orang lain. Begitu tinggi penghormatan beliau sehingga saya merasa segan. Beliau tidak pernah menzahirkan rasa bangga diri bahawa saya menantu Hazrat Muslih Mau’ud atau ipar kepada dua khalifah. Beliau kuat berdoa, bibirnya sentiasa basah dengan doa-doa. Beliau insan yang berwatak malaikat. Beliau menghormati dan memuliakan orang miskin sama seperti orang kaya. Beliau tidak mengutamakan orang kaya di atas orang miskin dalam suatu perkara yang benar. Oleh kerana beliau menjadi orang kepercayaan Hazrat Muslih Mau’ud, maka ada beberapa orang yang cuba menjatuhkan beliau. Walaupun beliau berhak untuk membalas atas tuntutan sebagai seorang manusia dan izin dari segi perundangan, namun beliau lebih suka menyerahkan hal itu kepada Allah Ta’ala. Dan saya telah melihat orang-orang yang menentang beliau, apabila kedapatan, maka mereka pergi ke rumah Hazrat Syah Sahib untuk memohon maaf, dan Syed Daud Muzaffar Syah Sahib sentiasa memaafkan mereka. Beliau tidak pernah menyatakan bahawa; kamu telah merugikan saya, bagaimana saya boleh melepaskan kamu?

Inilah orang mulia yang telah Hazrat Maseeh Mau’ud a.s katakan tidak menyimpan rasa permusuhan, hasad dan benci, malah orang yang jahat sekalipun, apabila memohon maaf, dengan penuh lemah-lembut mereka itu dimaafkan. Inilah orang-orang yang boleh dikatakan sebagai orang yang telah membuat tazkiyah nafs dengan cara yang sebenarnya. Di sini saya hendak bacakan beberapa bahagian dari isi kandungan khutbah nikah yang dibacakan oleh Hazrat Muslih Mau’ud r.a supaya generasi akan datang menyedari perkara ini. Hazrat Muslih Mau’ud r.a telah menikahkan empat orang anaknya, satu di antaranya adalah isteri Syed Daud Muzaffar Sahib. Beliau memulakan khutbahnya seperti berikut:-

“Wujud yang paling berharga di dunia ini adalah Rasulullah s.a.w. Disebabkan melalui peredaran zaman dan pertukaran keadaan, beberapa benda tidak lagi dihargai sebagaimana yang berlaku pada zamannya dan bersama-sama dengan pengetahuannya. Apabila Rasulullah s.a.w dibangkitkan, keadaan dunia pada zaman itu tidak dapat digambarkan oleh manusia masa sekarang. Seandainya Rasulullah s.a.w tidak dibangkitkan ke dunia, maka maksud daripada agama yang difahami hari ini adalah seperti memuja beberapa orang, memuja kuburan dan memuja patung-patung. Akhlak tidak akan dapat diperolehi di dunia, mazhab dianggap bukan satu perkara yang harus diusahakan bersungguh-sungguh, dan sangat tidak mungkin bahawa insan akan mengadakan hubungan dengan Tuhan. Malah, hal-hal seperti itu dianggap bukan pegangan. Tidak akan memelihara hak orang lain. Wanita-wanita akan terus mendapat status hamba sepanjang hidup mereka. Penyembahan berhala akan berleluasa. Ada halangan menuju kepada Tuhan, wujud amalan perhambaan di dunia, wujud pemimpin yang zalim dalam urusan jual beli. Ringkasnya, keadaan dunia bukan seperti yang kita lihat hari ini. ..........”

Selepas itu saya tinggalkan beberapa bahagian. Seterusnya beliau berkata:-
“.......... dalam ungkapan dan perkara yang manusia katakan di dunia, di antaranya ada yang mencapai tingkat ucapan orang suci yang agung seperti mana yang Hassan katakan berkenaan dengan Rasulullah s.a.w KUNTAS SAWAADA LINAAZIRII FA’AMIYA ‘ALAIYAN NAAZIRU, MAN SYAA’A BA’DAKA FALYAMUT FA’ALAIKA KUNTU UHAADZIRU. Pada waktu kewafatan Rasulullah s.a.w Hazrat Hassan r.a berkata, KUNTAS SAWAADA LINAAZIRII. Engkau adalah mata hitamku untuk melihat, FA’AMIYA ‘ALAIYAN NAAZIRU. Namun, bersama-sama dengan kewafatan engkau hari ini aku kembali menjadi buta. MAN SYAA’A BA’DAKA FALYAMUT. Sekarang, siapa pun yang meninggal selepas engkau, silakan. FA’ALAIKA KUNTU UHAADZIRU. Aku hanya bimbang atas kewafatan engkau seorang, aku tidak kisah atas kematian orang lain.

Hazrat Muslih Mau’ud r.a berkata:-
“Keagungan makna syair ini dapat diketahui apabila orang tidak mempedulikan bahawa pembaca syair ini adalah orang buta. Jika orang yang membacakan syair ini adalah orang yang mempunyai penglihatan, maka ia dianggap satu syair lucu. Tetapi, oleh kerana syair ini keluar dari mulut orang buta, maka hakikatnya menjadi lain. Yakni, Hazrat Hassan mendakwakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w masih hidup, walaupun penglihatan saya tidak ada, tetapi saya dapat melihat. Orang menganggap saya buta kerana tidak mempunyai mata yang boleh melihat, tetapi saya merasakan diri saya tidak buta kerana melalui Rasulullah s.a.w saya dapat melihat dunia, dan sekarang pun orang menganggap saya masih tetap sama, sedangkan saya bukan lagi seperti dulu. Dahulu saya boleh melihat, kemudian menjadi buta. Rasulullah s.a.w yang merupakan wujud yang paling berharga di dunia ini, namun atas undang-undang Tuhan, baginda juga satu hari nanti akan berpisah dari dunia ini. ......”.

Kemudian, beliau meneruskan lagi:-
“..........Apapun, dengan kewafatan Rasulullah s.a.w, sebagaimana yang Hassan katakan MAN SYAA’A BA’DAKA FAL YAMUT FA’ALAIKA KUNTU UHAAZIRU. Hal ini jelas atas setiap insan bahawa tidak ada yang kekal di dunia ini. .......... di dunia ini tidak ada seorang insan pun yang akan kekal selamanya, dan di dunia ini juga tidak ada seorang insan pun yang akan hidup selamanya. Dalam keadaan ini, kejayaan seseorang insan adalah berdasarkan apabila dia meninggalkan generasi penerusnya. Jika penerus orang mati ini lahir, maka kesedihan orang yang mati akan terpadam dengan sendirinya, dan insan beranggapan bahawa jika ini adalah kehendak dari Pencipta kita, jadi kenapa kita harus bersedih dengan keterlaluan? Itu adalah bertentangan dengan akal dan tanda-tanda junun. ..........”  

Kemudian, dalam memberitahu tentang peristiwa Raja Abbasi, beliau berkata:-
“....... satu kali seorang Raja Abbasi pergi berjumpa dengan seorang yang sangat alim. Ketika sampai, orang itu sedang mengajar di hadapan murid-muridnya. Raja itu berkata, tunjukkan kepada saya seseorang dari murid engkau, saya hendak mengujinya. Orang alim itu memanggil seorang dari muridnya. Raja bertanya dan murid itu menjawab dengan begitu baik sekali. Mendengar hal itu, Raja berkata MAA MAATA MAN KHOLLAFA MITSLAKA. Orang yang meninggalkan penerus seperti engkau ini tidak pernah mati kerana orang yang mengekalkan ilmunya sudah tersedia. Tubuh badan seseorang manusia tidak bernilai. Sebagaimana tubuh badan seorang pencuri, itu jugalah tubuh badan orang yang baik. Tulang seorang pencuri, begitu jugalah tulang seorang yang baik. Perbezaan hanyalah akhlak pencuri itu buruk dan akhlak seorang lagi itu baik. Dalam diri pencuri itu tidak ada kerohanian dan dalam diri seorang lagi itu memiliki kerohanian yang tinggi. Jadi, bagaimana seseorang itu dikatakan mati sekiranya kerohanian dan akhlak yang baik itu tetap ada? ...... Jadi, semua kejayaan tetap ada sekiranya di belakang insan itu ada penerus. Inilah yang perlu diusahakan oleh suatu kaum. Inilah yang apabila diperolehi oleh suatu kaum, maka itu adalah kurnia yang sangat besar. Sehingga sekarang ini dunia belum merasai bahawa semua kejayaan bukanlah melalui kemenangan-kemenangan tetapi bergantung kepada keturunan. Jika keturunan akan datang tetap dalam akhlak yang baik, maka kaum itu tidak akan mati, malah akan tetap hidup. Dan jika keturunan akan datang tidak baik, maka segala kemenangan akan menjadi sia-sia. .........”.

Kemudian beliau berkata lagi:-
“Jadi, kemajuan kaum berdasarkan kepada kemajuan generasi akan datang. Sebab itu kita sangat bertegas dalam perkara ini bahawa dalam generasi akan datang, kita meninggalkan penerus yang baik, yang akan memajukan Islam dan jaminan masa depan Islam. Hal ini paling banyak dicapai melalui pernikahan. Dan melalui pernikahan itu akan lahir generasi yang baru. Sebab itu pernikahan sangat penting bagi kehidupan seorang insan. Inilah sebabnya Rasulullah s.a.w memerintahkan agar melakukan istikharah dalam nikah dan berfikir secara mendalam, dan mengajarkan agar jangan mengikut emosi atau nafsu semata-mata. Baginda s.a.w bersabda bahawa melaui pernikahan itu seharusnya boleh mendapatkan anak-anak yang baik dan suka melakukan pengorbanan. Kemudian bersabda lagi bahawa semua keburukan adalah berpunca dari keinginan hanya untuk mendapat anak dan menjaga kebesaran sahaja, yang mana hasil daripada menjaga kebesaran itu menyebabkan mereka hilang dari ruh agama dari dalam diri mereka. Allah Ta’ala berfirman dalam Al-Qur’an bahawa seseorang itu tidak beriman jika hanya menjaga martabat anak sahaja dan tidak patuh kepada perintah agama. Orang yang beriman ialah mereka yang memastikan anak-anak patuh kepada agama. Orang yang memastikan anak-anak mereka patuh kepada agama, maka anak-anak keturunan mereka tidak akan rosak kerana kerosakan itu berpunca dari menjaga kebesaran. Jadi, dalam Islam, satu perkara yang sangat penting ialah pernikahan. Sebagaimana asas sesebuah bangunan itu dikorek dan dipotong, jika asasnya tidak kukuh, maka bangunan akan roboh. Demikian juga jika dalam pernikahan itu tidak difikirkan secara mendalam dan banyak berdoa, maka pernikahan itu boleh menjemput kehancuran. Seolah-olah perkara yang sepatutnya menggembirakan, namun akhirnya menjadi satu hal yang berbahaya ........”.

Kemudian beliau berkata lagi:-
“...... dalam pernikahan anak-anak, kadang-kadang saya tidak memperhatikan perkara ini bahawa mereka bernikah dengan orang kaya atau orang senang, dan saya selalu menasihatkan anggota jemaat bahawa anggota jemaat cenderung ke arah ini iaitu mereka dapat menjumpai pasangan yang hidup senang dan kaya raya. Kami juga jumpa jodoh yang seperti itu, namun kami menolak supaya kedudukan kami sentiasa terpelihara”. (Al-Fazal 6 April 1945, halaman 1-3, Khutbah Mahmood jilid nombor 3, ucapan pada 30 Mac 1945, halaman 580-587)

Setiap orang hendaklah berkahwin sesuai dengan kedudukan masing-masing.

Jadi, usul ini juga hendak saya jelaskan. Dalam perkahwinan juga hal ini timbul, saya berfikir perlu untuk menjelaskannya kerana banyak masalah besar yang timbul di kalangan kita. Mudah-mudahan ahli keluarga Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dan anggota jemaat memperhatikan perkara ini dalam perkahwinan, bahawa perkara asas ialah agama, dan tujuan seorang Ahmadi ialah mengadakan hubungan dengan Allah dan mengkhidmati agama. Dunia juga harus tunduk kepada agama. Agama tidak seharusnya tunduk kepada dunia. Hal inilah yang Hazrat Muslih Mau’ud r.a katakan iaitu sarana kehidupan bangsa untuk hidup selama-lamanya. Apabila setiap kali dalam jemaat ada seseorang yang baik meninggal dunia, terutama sekali anggota jemaat dari ahli keluarga Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, apabila ada ahli keluarga mereka meninggal dunia, maka dengan meletakkan kebaikan-kebaikan dan hubungan terhadap Allah, seharusnya mereka mempunyai satu cara berfikir yang baru. Dunia ini hanya sementara dan akan berakhir. Kehidupan yang kekal ialah mencapai keredhaan Allah. Mudah-mudahan Allah memberikan kita semua taufik untuk itu.

Empat orang anak lelaki Hazrat Syed Daud Muzaffar Syah Sahib berkhidmat dalam jemaat dari pelbagai lapangan. Tiga orang anak perempuan, satu daripadanya adalah isteri saya, dan dua yang lain bernikah dengan orang Waqaf Zindegi. Mudah-mudahan Allah mengurniakan mereka anak-anak yang maju dalam agama dan dunia. Dua anak lelaki yang bukan Waqaf Zindegi, tetapi dengan kurnia Allah mereka mengikuti jejak langkah ayah mereka. Ada saja lapangan dalam jemaat tempat mereka berkhidmat. Mudah-mudahan semua anak-anak beliau serta dengan anak-anak keturunan mereka ini sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah dan doa-doa beliau berpengaruh atas diri mereka. Begitu juga terhadap anak-anak orang yang kita muliakan, anak-anak para sahabat, kita mengharapkan agar mereka sentiasa memperlihatkan contoh-contoh kebaikan ayahanda dan datuk mereka. Mudah-mudahan Allah memberi taufik kepada mereka.

Selepas Solat Jumaat nanti saya akan memimpin Solat Jenazah Ghaib untuk Syed Daud Muzaffar Syah Sahib.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali,
25 April 2011
barahin.ahmadi@gmail.com


Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...