Monday, October 11, 2010

Lembaran Tarbiyat 05


TIGA PERINGKAT ILMU

“Terdapat tiga peringkat ilmu, iaitu ilmul yaqin, ainul yaqin, dan haqqul yaqin. Sebagai contoh, apabila melihat asap dari jauh, timbul di fikiran bahawa ada api, itu dinamakan ilmul yaqin. Apabila melihat sendiri dengan mata, maka keyakinan bahawa ia adalah api menjadi lebih jelas, ini dikatakan ainul yaqin. Kemudian, apabila meletakkan tangan di atas api tersebut dan terasa terasa panas, maka telah yakin sepenuhnya bahawa api memang wujud, ini dikatakan haqqul yaqin. Betapa malangnya insan yang tidak mendapat tempat di antara ketiga-tiga tingkat ilmu tadi”.

“Allah Ta’ala berfirman dalam Al-Qur’an WALLAZIINA JAAHADU FIINAA LANAHDIYAN NAHUM SUBULANA (Al-Ankabut:70) yakni ‘mereka yang bermujahadah pada jalan Kami, maka Kami akan menunjukkan jalan-jalan Kami kepada mereka’. Ini adalah janji Allah, dan dari sudut yang lain ada pula doa diajarkan iaitu IHDINAS SHIROOTAL MUSTAQIIM (Al-Fatihah:6). Jadi, setiap insan harus memberi perhatian dalam solat masing-masing terhadap doa-doa ini.”

“Jangan sampai terjadi kita dibangkitkan dari alam ini dalam keadaan buta. Firman Allah Ta’ala: MAN KAANA FII HAAZIHII A’MAA FAHUWA FIL AAKHIRATI A’MAA (Bani Israil:73) yakni ‘sesiapa yang buta di dunia ini, maka di akhirat pun dia juga buta’.  (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

SIAPA YANG BUTA?

“Maksud buta ialah mereka yang kosong daripada pengetahuan tentang makrifat dan kelazatan rohani. Seseorang yang kebetulan lahir di rumah orang Islam, maka dia dikatakan Muslim. Seseorang yang lahir dalam keluarga Kristian, maka dia dikatakan Kristian. Inilah sebabnya orang-orang seperti itu tidak menghormati Tuhan, Rasul dan Al-Qur’an. Kecintaannya kepada agama juga boleh dipertikaikan. Kehidupannya dilalui dengan penghinaan terhadap Tuhan dan Rasul. Sebabnya ialah orang-orang seperti itu tidak mempunyai mata rohani, tidak ada kecintaan terhadap agama.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

MUTTAKI

“Dalam permulaan surah Al-Baqarah ada ayat HUDALLIL MUTTAQIIN (Al-Baqarah:3), seolah-olah Tuhan telah membuat persediaan untuk memberi, yakni kitab ini dijanjikan boleh menyampaikan insan ke tahap kesempurnaan. Maksudnya, Kitab ini bermanfaat bagi mereka yang bertakwa dan yang  bersedia untuk mendengar nasihat.” (Malfoozaat Jilid 1, halaman 13)

UJIAN ITU PERLU

“Lihatlah keadaan para nabi-nabi, adalah silap jika mengatakan bahawa dengan pergi kepada seorang wali, maka orang itu akan menjadi wali dengan tiba-tiba. Allah Ta’ala berfirman: AHASIBAN NAASU AIYUT RAKUU AIYAQUULUU AAMANNAA WAHUM LAA YUFTANUUN (Al-Ankabut:3). Selagi insan tidak diuji, tidak diletakkan dalam fitnah, bagaimana mungkin dia boleh menjadi wali”. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 14)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...