KEWAFATAN NABI ISA MENURUT AJARAN ISLAM
Jemaat Ahmadiyah adalah antara kelompok Islam yang mengakui bahawa Nabi Isa a.s telah wafat. Ini menyebabkan ramai umat Islam dan Kristian menyerang Jemaat Ahmadiyah kerana dianggap menyesatkan orang ramai dengan fahaman ini. Atas sebab inilah, lembaran ini akan memuatkan dalil-dalil bagi membuktikan kebenaran atas persoalan yang telah dibangkitkan.
Bermula dari keluaran ini, akan dibahas mengenai Nabi Isa a.s dan kewafatannya menurut ajaran Islam. Walaupun sesetengah orang Islam masih berpendapat bahawa Nabi Isa a.s tidak mati, dan menganggapnya hidup di atas langit, itu adalah pemahaman mereka sendiri terhadap ayat-ayat Al-Qur’an, namun Jemaat Ahmadiyah cuba menjelaskan bahawa Nabi Isa a.s telah wafat seperti manusia biasa. Pembaca harus mengikuti setiap keluaran lembaran ini untuk mengetahui keterangan-keterangan yang akan dipersembahkan. Lembaran ini akan memuatkan dakwaan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad berkenaan dengan Nabi Isa a.s, kepentingan memahami akidah hidup dan matinya Nabi Isa a.s, pengenalan ringkas tentang Nabi Isa a.s, pertentangan mengenai hidup dan kematian Nabi Isa a.s, dari mana datangnya akidah diangkat ke langit, misi Nabi Isa a.s, kewafatan Nabi Isa a.s dari dalil Al-Qur’an, kewafatan Nabi Isa a.s dari Hadis Nabi, kewafatan Nabi Isa a.s dari umat-umat terdahulu, bantahan terhadap soal hidupnya Nabi Isa a.s, dan juga kajian zaman moden ini mengenai Nabi Isa a.s.
DAKWAAN HAZRAT MASIH MAU’UD
Beliau a.s berkata: “Dia telah mengutus aku dan memberi ilham khas kepadaku yang menzahirkan bahawa Al-Masih Ibnu Maryam telah wafat. Ilham itu ialah; “Al-Masih Ibnu Maryam rasul Allah telah wafat, dan engkau datang dalam ciri-cirinya sesuai janji wakaana wa'dullaahi maf'ula, anta ma'ii wa anta 'alal haqqil mubiin, wa anta mushiibu wa mu'iinul lilhaqqi.” (Izalah Auham, Rohani Khazain, Jilid 3, halaman 402)
PENTINGNYA AKIDAH HIDUP DAN MATI NABI ISA a.s
1. Apabila terbukti dari Al-Qur’an bahawa Nabi Isa a.s wafat, maka menzahirkan dalil-dalil dan keterangan mengenainya wajib dikeluarkan.
2. Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata: “....... Tegaskan bahawa Al-Masih Ibnu Maryam sudah wafat, dan usahakan orang-orang Kristian berdiam diri dengan dalil-dalil. Apabila kamu telah dapat membuktikan bahawa Al-Masih Ibnu Maryam termasuk orang-orang yang telah wafat, ........ pada hari itu, anggaplah bahawa hari ini agama Kristian sudah hilang dari dunia”. (Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 402)
Beliau a.s berkata: “Ingatlah, untuk mengetahui siapa yang benar dan dusta di antara kita dan penentang kita, ujilah dengan persoalan hidup atau matinya Nabi Isa a.s. Jika memang terbukti bahawa Nabi Isa a.s masih hidup, maka segala dakwaan kita adalah dusta dan semua dalil-dalil menjadi sia-sia. Tetapi, jika memang terbukti dari Al-Qur’an Karim bahawa Nabi Isa a.s sudah wafat, maka penentang kita yang berdusta. Sekarang, hal itu ada di dalam Al-Qur’an, fikirkanlah” (Tohfah Goleriah, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 264)
No comments:
Post a Comment