Monday, February 1, 2010

Dusta - Dosa Besar (2)


Masih lagi berkenaan dengan syarat bai'at yang kedua.
Hazrat Ibnu Mas’ud(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: “Kebenaran membawa ke arah kebaikan, dan kebaikan menuju ke arah syurga. Jika insan selalu berkata benar, mereka akan ditulis sebagai siddiq. Manakala dusta membawa ke arah dosa, kejahatan dan kekejian, dan kejahatan dan kekejian itu menuju ke neraka. Jika insan selalu berkata dusta, mereka akan ditulis sebagai kazzab”. (Bukhari, Kitabul Adab, Bab Qoulul Laahu Ittaqullaah Wa Kunu Ma’as Shoodiqiin)
Hazrat Abdullah(ra) bin Umar bin ‘As(ra) meriwayatkan bahawa seseorang datang berjumpa Rasulullah(saw) dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah amalan syurga”? Rasulullah(saw) menjawab: “Berkata benar, apabila seorang hamba berkata benar, dia akan menjadi patuh, apabila sudah patuh, dia akan menjadi mukmin yang hakiki. Setelah menjadi mukmin yang hakiki, maka dia akan mendapat syurga sebagai ganjarannya”. Kemudian orang itu bertanya lagi: “Ya Rasulullah! Apakah amalan yang boleh membawa seseorang masuk ke dalam neraka”? Rasulullah(saw) menjawab: “Dusta, seseorang yang berkata dusta, dia menjadi ingkar, apabila sudah ingkar dia menjadi kufur. Sekiranya dia tetap dalam kekufuran, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka”. (Musnad Ahmad bin Hambal, Jilid 2, halaman 176, cetakan Beirut)
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata:-
“Al-Qur’an juga menyatakan dusta sebagai najis atau rijs sebagaimana yang terdapat dalam ayat Faztanibur Rijsa Minal Autsaani Waj Tanibuu Qoulaz Zuur, di sini diletakkan dusta seiring dengan berhala-berhala. Dan pada hakikatnya dusta juga adalah sejenis berhala. Sebabnya, kenapa meninggalkan kebenaran dan beralih kepada dusta? Sebagaimana di sebalik berhala-berhala itu tidak ada suatu hakikat kebenaran, demikian juga dusta, ia tidak mengandungi apa-apa. Keyakinan orang-orang yang berkata dusta akan berkurangan sehingga sekiranya dia berkata benar, timbul dalam hati jangan sampai ada campuran dusta di dalamnya. Jika orang yang berdusta mahu agar pendustaan mereka berkurangan, ia tidak berlaku dengan segera. Ia mengambil masa sehinggalah adat berkata benar menjadi kebiasaan mereka.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 350)
Hazrat Masih Mau’ud(as) berkata lagi:-
“Dari semua fitrat setiap insan, ada fitrat yang istimewa iaitu kebenaran. Jika insan tidak digerakkan oleh sesuatu keinginan nafsu, dia tidak ingin berkata dusta. Memilih untuk berdusta amat dibenci dalam hatinya. Inilah sebabnya apabila seseorang telah dapat dibuktikan pendustaannya, dia merasa tidak senang dan dipandang hina. Tetapi, keadaan tabi’i seperti ini belum termasuk dalam akhlak sebab anak-anak dan orang gila juga boleh berbuat seperti itu. Hakikatnya ialah, selagi insan belum terpisah dari keinginan-keinginan nafsu sendiri yang boleh menghalang kebenaran, selagi itulah kebenaran tidak akan bertahan. Ini kerana jika insan hanya berkata sesuatu yang benar ketika tidak berlaku apa-apa, tetapi apabila melibatkan soal kejatuhan maruah atau harta benda maka mereka berdusta dan mengelak dari mengatakan kebenaran, apa kelebihan yang dia miliki berbanding anak-anak dan orang gila? Tidakkah orang gila atau anak-anak pun boleh mengatakan kebenaran yang seperti itu? Di dunia ini, tidak ada seorang pun yang sengaja mahu berdusta tanpa dipengaruhi atau digerakkan oleh sesuatu. Jadi, orang yang meninggalkan kebenaran dalam masa-masa kritikal tidak boleh dikategorikan sebagai orang berakhlak. Memang berat untuk mengatakan kebenaran ketika nyawa, harta dan maruah dalam pertaruhan. Dalam hal ini, Tuhan mengajarkan di dalam Al-Qur’an:-
Terjemahannya:-
1.      Jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta (Al-Hajj:31)
2.      Dan janganlah saksi-saksi itu enggan memberi keterangan apabila mereka dipanggil (Al-Baqarah:283)
3.      Dan janganlah kamu menyembunyikan persaksian, barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya (Al-Baqarah:284)
1.      Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil kendatipun dia adalah kerabatmu (Al-An’am:153)
2.      Jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu (An-Nisa:136)
3.      Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil (Al-Maidah:9)
4.      Laki-laki dan perempuan yang benar (Al-Ahzab:36)
5.      Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran (Al-Ashr:3)
6.      Tidak memberikan persaksian palsu (Al-Furqan:73)
(Islam Usul Ki Filosofi, Rohani Khazain Jilid 10, halaman 360-361)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...