Monday, April 9, 2012

Malfoozaat Jilid 1_17


MALFOOZAAT JILID 1

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

RU’UB KETAKWAAN ITU BERPENGARUH ATAS ORANG LAIN

Perkara yang sebenarnya ialah ru’ub ketakwaan itu berpengaruh atas orang lain. Dan Tuhan tidak mensia-siakan orang Muttaqi. Saya telah membaca di dalam satu kitab bahawa Hazrat Saiyid Abdul Qadir Sahib Jailani yang tergolong sebagai orang besar, jiwanya sangat suci. Satu kali dia berkata kepada ibunya: Hatiku tawar dengan dunia. Aku berkeinginan untuk mencari seorang pembimbing yang dapat memberi jalan-jalan ketenangan dan kepuasan kepadaku. Apabila ibunya melihat bahawa sekarang ini bukan lagi pekerjaan kami, lalu akur dengan keputusannya dan berkata: Baiklah, saya akan lepaskan kamu. Selepas itu dia masuk ke dalam dan membawa 80 ringgit yang telah dikumpulkannya lalu berkata: Menurut syariat, daripada duit ini 40 untuk kamu dan 40 lagi untuk abang kamu. Sebab itu saya berikan kepada engkau sebagai bekalan. Kemudian dia memberikan 40 ringgit dan menjahit di bawah bahunya. Dia berpesan: Keluarkan hanya di tempat yang aman dan belanjakan apabila perlu sahaja. Saiyid Abdul Qadir Jailani Sahib berkata kepada ibunya: Berikan saya suatu nasihat. Ibunya menasihatkan: Anak! Jangan pernah berkata dusta kerana melaluinya banyak berkat. Mendengar hal itu beliau pun pergi. Secara kebetulan, di sebuah hutan yang beliau lalui, ada beberapa perompak yang selalu merampas harta orang musafir. Dari jauh, mereka terpandang Saiyid Abdul Qadir Jailani Sahib. Apabila dekat, mereka mendapati beliau hanya seperti seorang faqir. Seorang daripada mereka bertanya sambil ketawa: Ada apa-apa yang kamu miliki? Beliau yang baru sahaja mendengar nasihat yang segar iaitu jangan pernah berkata dusta, dengan segera beliau menjawab: Ya! Saya ada 40 ringgit di bawah bahu saya, ibu saya telah menjahitnya. Perompak itu menyangka dia bergurau. Apabila perompak lain bertanya, itu juga yang dijawabnya. Ringkasnya, semua perompak yang bertanya, beliau memberikan jawapan yang sama. Akhirnya beliau dibawa mengadap ketua perompak dan diceritakan bahawa itu sahaja perkataan yang diulang-ulang olehnya. Maka ketua mereka berkata: Cuba lihat kain yang dibawanya. Apabila diperiksa, memang ada 40 ringgit padanya. Mereka kehairanan dan berkata: Orang ini sungguh ajaib, kita tidak pernah jumpa orang seperti ini. Ketua itu bertanya kepadanya: Apa sebabnya kamu berterus-terang mengenai harta yang kamu miliki? Beliau menjawab: Saya dalam perjalanan mencari agama Tuhan. Sebelum bertolak ibu saya menasihatkan agar jangan pernah berkata dusta. Ini ujian saya yang pertama, kenapa saya harus berbohong. Mendengar hal itu, ketua perompak tersungkur menangis dan berkata: Ah! Saya tidak pernah sekalipun mengikut perintah Tuhan. Dia berkata kepada semua pencuri-pencuri yang ada di situ: Dengan kata-kata ini dan istiqomah yang dimiliki oleh orang ini, ia telah mengakhiri pekerjaan saya. Sekarang saya tidak boleh lagi bersama kamu dan saya bertaubat. Dengan itu juga, semua pencuri yang lain turut bertaubat. ...... Saya merasakan bahawa dalam “membina tugu pencuri-pencuri”, hal inilah yang saya fahami. Ringkasnya, Saiyid Abdul Qadir Jailani rahmatullah alaihi berkata bahawa orang pertama yang bai’at adalah pencuri.

Sebab itu Allah Ta’ala berfirman: YAA AIYUHAL LAZIINA AAMANUS BIRUU (Ali Imran:201) Sabar itu muncul seperti satu titik, dan kemudian ia membentuk bulatan sehingga meliputi semua yang lain. Akhir sekali ia juga boleh memberi kesan ke atas penjahat. Sebab itu insan jangan membiarkan ketakwaan terlepas dari tangan, dan tegakkan langkah-langkah pada jalan ketakwaan. Ini kerana pengaruh Muttaqi itu pasti berkesan dan ru’ubnya juga boleh lahir dalam hati penentang.

JUZ-JUZ KETAKWAAN  

Ketakwaan ada banyak juz-juz. Menghindarkan diri dari sombong, sikap pentingkan diri sendiri dan harta yang haram juga adalah takwa. Orang yang menzahirkan akhlak yang cantik, musuh juga boleh menjadi kawan. Allah Ta’ala berfirman: IDFA’ BILLATI HIYA AHSAN yakni tolaklah keburukan dengan lebih baik (Al-Mu’minuun:97)

Sekarang, cuba fikirkan apa yang diajarkan dalam petunjuk ini? Dalam petunjuk ini, Allah Ta’ala bertujuan bahawa jika musuh mengeluarkan caci-maki sekalipun, jangan menjawabnya dengan caci-maki, tetapi bersabarlah atas hal itu. Akibatnya nanti musuh sendiri akan mengatakan yang baik mengenai kamu dan mereka sendiri yang akan merasa malu dan segan. Dan hukuman ini lebih baik daripada hukuman yang boleh kamu berikan kepada mereka. Seseorang boleh sahaja sampai ke tahap membunuh atas perkara itu, tetapi itu bukan tuntutan insaniat dan kehendak ketakwaan. Berakhlak mulia adalah satu mutiara yang boleh memberi kesan ke atas sejahat atau seliar mana sekalipun seseorang insan.

Orang fasiq yang melawan para nabi terutama sekali mereka yang menentang nabi kita yang mulia Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, mereka beriman tidak berasaskan kepada mukjizat, dan mereka tidak juga terpengaruh dengan mukjizat dan keajaiban. Malah, mereka itu mengakui kebenaran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam apabila melihat akhlak fadilah yang baginda tunjukkan. Mukjizat akhlak mampu melakukan sesuatu yang tidak boleh diberikan oleh mukjizat kekuatan. Inilah yang dimaksudkan dengan ALISTIQOOMATU FAUQAL KARAMAH yakni istiqomah itu mengatasi karamah. Cubalah sendiri dan lihat bagaimana istiqomah memperlihatkan karisma. Orang kurang memberi perhatian terhadap karamah terutama sekali zaman sekarang ini. Tetapi, apabila diketahui bahawa seseorang itu mempunyai akhlak yang baik, maka kecenderungan kepadanya akan muncul. Hal ini tidak tersembunyi. Sasaran akhlak yang terpuji juga berpengaruh atas mereka yang melihat berbagai jenis tanda-tanda, namun tetap tidak mendapat ketenangan atau kepuasan. Sebenarnya, ada beberapa orang yang hanya beriman apabila melihat mukjizat yang zahir atau hal-hal yang ajaib, dan ada juga yang beriman setelah melihat kebenaran dan makrifat. Tetapi, kebanyakan orang yang punca hidayat dan ketenangan mereka ialah melalui akhlak fadilah dan kecenderungan.

MUKJIZAT NABI KITA YANG MULIA sallallaahu alaihi wasallam.

Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam memiliki setiap jenis keajaiban dan mukjizat. Keagungan apa yang harus kita persembahkan mengenai Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam? Ke arah mana pun kita labuhkan pandangan, kita akan dapati mukjizat yang tidak terkira. Berbagai jenis mukjizat yang agung boleh kita perolehi. Berbagai jenis mukjizat terkumpul pada diri baginda sallallaahu alaihi wasallam. Misal keajaiban yang zahir ialah seperti syaqqul qamar dan lain-lain, ada juga mukjizat-mukjizat yang lain yang melebihi tiga ribu jumlahnya. Mukjizat mengenai makrifat dan hakikat ada tersedia di dalam Qur’an Syarif yang sentiasa segar dan baru setiap masa. Dan dari segi mukjizat akhlak, peribadi baginda sendiri membenarkan ayat INNAKA LA’ALAA KHULUQIN AZIIM yakni sesungguhnya engkau benar-benar memiliki akhlak yang agung (Al-Qalam:5). Qur’an Karim menyatakan kemuliaan baginda dalam ayat INKUNTUM FII RAIBIM MIMMA NAZZALNAA ‘ALAA ‘ABDINAA FA’TUU BISUURATIM MIM MITSLIHII yakni jika kamu dalam keraguan tentang apa yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami, maka buatlah satu Surah yang semisalnya (Al-Baqarah:24). Mukjizat ini adalah rohani. Sebagaimana memberikan dalil mengenai WAHDANIYAT, demikian juga insan tidak mempunyai kekuatan untuk menceritakan mengenai hikmat, kecantikan dan keindahan dan penyampaiannya. Di tempat lain dikatakan: LA INIZ TAMA’ATIL INSU WAL JINNU ‘ALAA AIYA’TU BIMITSLIN HAZAL QUR’AANI LAAYA’TUUNA BI MITSLIH yakni seandainya berhimpun manusia dan jin untuk mendatangkan yang semisal Al-Qur’an ini, tidaklah mereka akan sanggup mendatangkan yang sama seperti ini (Bani Israil:89)

KEINDAHAN PENYAMPAIAN QUR’AN MAJID

Ringkasnya, berkenaan dengan mukjizat rohani, jangan ada sesiapa yang berfikiran bahawa ini adalah kesilapan fikiran dan pandangan orang Islam. Hari ini, bukan sahaja mereka yang bersandarkan kepada fitrat semulajadi, malah mereka yang menentang fitrat semulajadi juga tidak mengakui bahawa keindahan penyampaian bukan mukjizat Qur’an Syarif. Sayyid Ahmad juga telah keliru dan dia tidak mengakui keindahan penyampaiannya sebagai mukjizat. Apabila kita cuba kenang kembali, maka sangat sedih bahawa Sayyid Ahmad mengingkari mukjizat. Beliau sama sekali tidak mengakuinya sebagai mukjizat. Ini kerana beliau berkata bahawa seorang yang berdarjat biasa atau orang yang berdarjat tinggi juga boleh dijadikan sebagai nazir. Tetapi malangnya dia tidak mengetahui bahawa orang yang membawa Qur’an Majid mempunyai keagungan YATLUU SUHUFAN MUTAHHARATAN FIIHAA KUTUBUN QAIYIMAH yakni yang membacakan lembaran-lembaran suci, yang di dalamnya ada perintah-perintah abadi (Al-Baiyinah:3,4) yakni suatu kitab yang mempunyai segala kitab dan segala kebenaran. Maksud kitab dan makna yang umum adalah suatu perkara baik yang menurut tabi’i insan ia dianggap boleh dipatuhi.

QUR’AN MAJID KITAB LENGKAP

Qur’an Syarif mengandungi segala hikmat dan makrifat. Ia tidak mengandungi sebarang perkara yang sia-sia sebagai isinya. Tafsir setiap perkara dilakukan olehnya sendiri dan setiap jenis sarana keperluan ada di dalamnya. Dari setiap sudut, ia mempunyai tanda-tanda. Jika ada yang mengingkari suatu perkara di dalamnya, maka kita bersedia untuk membuktikan dan memperlihatkan kemuliaannya. Hari ini banyak serangan dibuat terhadap tauhid dan kewujudan Ilahi. Pihak Kristian juga sangat giat melakukan serangan dan tulisan. Tetapi, apa yang mereka katakan dan tulis, sebenarnya ia menulis berkenaan dengan Tuhan Islam. Bukan berkenaan dengan tuhan yang mati, yang disalib dan yang lemah. Kita berkata dengan lantangnya bahawa orang yang menulis mengenai kewujudan Allah Ta’ala, pada akhirnya dia akan tunduk kepada Tuhan yang telah dipersembahkan oleh Islam. Ini kerana dalam setiap helaian Al-Qur’an, tanda-Nya dapat ditemui dan keadaan tabi’i manusia menyatakan tentang Tuhan berkenaan. Ringkasnya, apabila ada insan yang bangkit berbuat seperti itu, dia sebenarnya bangkit ke medan Islam. Ini juga satu kemuliaan yang agung.

CABARAN QUR’AN MAJID

Jika ada insan yang mengingkari mukjizat ini, kita hanya akan menguji mereka dari satu sudut, yakni jika ada manusia tidak mengakui Qur’an Karim sebagai kalam Tuhan, maka dalam zaman yang terang dan era Sains sekarang ini, seorang pendakwa menulis mengenai dalil-dalil kewujudan Tuhan dan bertentangan dengan itu kita menulis dan memperlihatkan semua dalil-dalil dari Qur’an Karim. Dan jika orang itu menulis dalil-dalil mengenai tauhid Ilahi, maka semua dalil-dalil itu juga kita boleh keluarkan dari Qur’an Karim dan perlihatkan. Kemudian mereka yang menulis dan mendakwakan dalil-dalil yang tidak terdapat dalam Qur’an Karim, atau menulis atas dalil-dalil kebenaran dan ajaran suci itu menurut fikiran mereka tidak terdapat di dalam Qur’an Karim, maka kita akan memperlihatkan secara jelas kepada orang itu bahawa Qur’an Syarif mendakwakan FIIHAA KUTUBUN QAIYIMAH yakni yang di dalamnya ada perintah-perintah abadi (Al-Baiyinah:4) dan itu sangat jelas dan benar. Dan jika mereka hendak menulis berkenaan dengan dalil-dalil mazhab yang asli dan sesuai dengan fitrat, maka kita akan memperlihatkan bukti-bukti kemuliaan Qur’an Karim dari setiap sudut, dan memberitahu mereka bahawa semua kebenaran dan ajaran yang suci terdapat di dalam Qur’an Karim.

Ringkasnya, Qur’an Karim adalah satu kitab yang mengandungi setiap jenis makrifat dan rahsia-rahsia, tetapi untuk mendapatkannya saya katakan sekali lagi bahawa ia memerlukan quwwat qudsiah itu. Allah Ta’ala berfirman: LAA YAMASSUHUU ILLAL MUTAHHARUUN yakni yang tiada orang dapat menyentuhnya kecuali mereka yang disucikan (Al-Waqi’ah:80)

Demikianlah, dalam soal keindahan penyampaian tidak ada yang dapat menandinginya. Misalnya, meninggalkan tertib Surah Fatihah seperti yang ada sekarang ini lalu menggunakan suatu tertib yang lain, maka makna yang tinggi dan maksud agung yang terdapat dalam tertib surah ini tidak mungkin dapat dijelaskan oleh tertib yang lain. Cubalah ambil suatu surah. Sama ada QUL HUWAL LAAHU AHAD. Begitu lembut dijelaskan tentang makrifat dan hakikat, ia tidak dapat diberikan oleh orang lain. Ini juga merupakan kemuliaan Qur’an. Saya hairan apabila ada orang-orang bodoh yang mengatakan bahawa Hariri dan Saba’ tidak ada bandingannya, dan demikian juga mereka hendak menyerang Qur’an Karim yang tidak ada tandingannya itu. Adakah mereka itu langsung tidak faham bahawa pertama, penulis Hariri tidak pernah menyatakan ia tidak ada tandingan, dan kedua, penulis Hariri sendiri mengakui keindahan penyampaian Qur’an Karim. Selain itu, para penentang tidak meletakkan kebenaran dalam fikiran mereka, malah mereka meninggalkan hal itu dan hanya menumpukan perkataan kitab itu sahaja, sedangkan ia kosong dari hak dan hikmat.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 49-53)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(08.04.2012)

No comments:

Post a Comment