Tuesday, August 24, 2010

Bagaimana mengambil manfaat dari bulan Ramadhan


Satu keberuntungan kita ialah, dengan kurnia Allah sekali lagi kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang Mubarak.  Rasulullah s.a.w telah menetapkan bahawa bulan ini adalah SYAHRUN MUBAARAKUN, yakni bulan berberkat sehingga dikatakan sebagai SAIYIDUS SYAHUUR, iaitu penghulu segala bulan. Dalam bulan inilah amalan seorang insan diberi ganjaran sehingga 700 kali ganda. Bulan ini amat Mubarak dan juga bulan rahmat dan maghfirat. Jadi, kita seharusnya tahu bagaimana mengambil manfaat dari bukan Ramadhan Mubarak ini. Di sini ada diberikan beberapa tariqah (jalan atau cara) bagaimana untuk mengambil faedah daripadanya.

1.       Menunaikan Solat Secara Berjemaah

Al-Qur’an banyak kali menyentuh tentang seruan untuk solat berjemaah. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda bahawa pahala orang yang solat berjemaah adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Sebab itu, kita hendaklah berusaha untuk datang ke masjid bagi menunaikan solat secara berjemaah.

2.       Qiyamul Lail

Sepanjang bulan Ramadhan in harus diusahakan agar membuat Qiyamul Lail, menunaikan solat Tahajjud. Adalah satu sunnah Rasulullah s.a.w menunaikan solat Tahajjud sebanyak lapan rakaat dan tiga rakaat Witir dalam bulan Ramadhan dan bulan-bulan yang lain. Setiap insan hendaklah berusaha menunaikan solat Tahajjud walaupun masa begitu singkat kerana doa pada waktu ini mempunyai peluang yang besar untuk dikabulkan oleh Allah. Ini kerana waktu inilah yang paling sesuai untuk bertemu dengan Allah.

Di dalam hadir Tirmizi, hadis Qudsi, menyatakan bahawa setiap malam, apabila malam tinggal sebahagian sahaja lagi, maka Allah Ta’ala akan mengumumkan, “sesiapa yang memohon kepada-Ku, maka Aku akan kabulkan doa-doanya, sesiapa yang meminta kepada-Ku, maka Aku akan berikan, dan sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku, maka Aku akan ampunkan”.

Ada orang memberi alasan bahawa dia sudah penat bekerja pada waktu siang, sebab itu malam tidak dapat bangun untuk Tahajjud, sedangkan Allah Ta’ala menyakan bahawa kesibukan kerja itu tidak akan berakhir sampai bila-bila, malah akan berterusan dan semakin banyak pekerjaan. Oleh sebab itu kita hendaklah mahir dalam mengatur waktu, setidak-tidaknya dua rakaat setiap malam untuk Tahajjud pun sudah memadai, iaitu dengan bangun 10 minit lebih awal daripada waktu azan Subuh.

3.       Solat Tarawih

Oleh kerana dalam bulan Ramadhan telah diaturkan solat Tarawih, namun begitu, solat Tahajjud jangan ditinggalkan kerana manfaat atau kedudukan solat ini di sisi Tuhan amat mulia.

4.       Tilawat Al-Qur’an Karim

Ramadhan Mubarak dan Al-Qur’an Karim amat dalam hubungannya. Ini adalah kerana dalam bulan inilah Al-Qur’an mulai diturunkan. Dengan kata lain, bulan Ramadhan ini adalah bulan ulang tahun bagi Al-Qur’an. Oleh sebab itulah, dalam bulan Ramadhan ini hendaklah banyak membaca Al-Qur’an, banyak merenungkan pelajaran di dalamnya. Dan sesuai dengan sunnah Rasulullah s.a.w, kita seharusnya dapat menyempurnakan bacaan Al-Qur’an Karim sebanyak dua kali atau sekurang-kurang sekali.

5.       Berdoa, berdoa dan banyak berdoa

Tanpa diragukan lagi bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan pengabulan doa-doa. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Umar, Rasulullah s.a.w bersabda, “orang yang mengingati Allah akan diberi keampunan dan orang yang memohon daripada Allah tidak akan dibiarkan gagal”.

6.       Zikir Ilahi, Taubah, Istighfar dan Salawat

Sepanjang bulan Ramadhan, insan seharusnya banyak melakukan zikir Ilahi dan beristighfar, tetapi kelihatan bahawa insan lebih suka bercerita ke sana sini daripada memberi tumpuan terhadap zikir Ilahi. Rasulullah s.a.w bersabda; “permisalan orang yang melakukan zikir Ilahi dengan orang yang tidak melakukan zikir Ilahi adalah ibarat orang hidup dan orang mati”.

Rasulullah bersabda: “saya beristighfar setiap hari sehingga melebihi 100 kali”. (Bukhari)

Kemudian bersabda lagi: “Orang yang menjadikan istighfar satu kebiasaan, Allah akan memberikan sarana yang luas, segala kesulitan, kesedihan, dan kerisauan akan dihapuskan, dan mereka akan diberikan rezeki yang mereka sendiri tidak sangka-sangka”. (Abu Daud)

7.       Banyak bersedekah

Di dalam bulan Ramadhan juga menyeru agar memperhatikan orang miskin supaya memastikan mereka mendapat apa yang mereka perlukan. Rasulullah s.a.w seorang insan yang paling dermawan, tidak pernah seseorang peminta sedekah akan balik dengan tangan kosong. Dan apabila Ramadhan tiba, sifat dermawan ini akan kelihatan lebih terserlah lagi. Jadi, perhatikanlah orang-orang miskin dan orang yang memerlukan di sekitar kita. Pastikan mereka juga dapat bergembira seperti kita.

8.       Zakat Fitrah

Rasulullah s.a.w telah mewajibkan fitrah ini ke atas setiap Muslim sama ada anak-anak, orang tua, lelaki dan wanita, mereka hendaklah membayar fitrah. Ini boleh mensucikan puasa seseorang. Secepat yang mungkin, fitranah harus dibayar agar segera dapat diagihkan kepada orang yang memerlukan, supaya mereka juga dapat meraih kegembiraan dalan Hari Raya.

9.       10 Malam Terakhir, Iktikaf

Rasulullah s.a.w akan menghabiskan masa dengan zikir Ilahi semasa beriktikaf, oleh sebab itu, mereka yang mendapat taufik untuk beriktikaf hendaklah mencontohi Rasulullah s.a.w. Setiap waktu mereka harus disibukkan dengan zikir Ilahi, Taubah dan istighfar, salawat, doa-doa, ibadat dan banyak membaca Al-Qur’an serta nafal-nafal yang lain. Harus banyak berdoa demi kemenangan Islam, untuk orang-orang Islam, untuk orang-orang miskin dan ibu-ibu tunggal. Dan yang paling penting ialah seorang yang beriktikaf harus dapat membuat perubahan suci dalam dirinya.

10.   Lailatul Qadar

Di dalam Al-Qur’an dijelaskan bahawa malam qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Setiap orang yang tidak mendapat peluang untuk membanyakkan amalan dalam awal-awal Ramadhan itu, maka apabila tiba 10 malam terakhir Ramadhan, mereka perlu berusaha memperbanyakkan amalan di situ dengan tujuan mencari Lailatul Qadar. Rasulullah s.a.w bersabda; “Sesiapa yang dapat mengerjakan semua solat sejak mulai bulan Ramadhan sehingga akhir, maka mereka telah mendapat bahagian besar dalam Lailatul Qadar.”

11.   Aidil Fitri

Setelah Ramadhan berlalu, maka Allah Ta’ala telah memberikan hadiah berupa solat Aidil Fitri kepada orang-orang Mukmin. Semua lapisan manusia terlibat di dalamnya. Kegembiraan menyambut Aidil Fitri ini adalah hasil amalan yang telah dibuat sepanjang bulan Ramadhan.

Mudah-mudahan kita semua mendapat taufik untuk mengambil manfaat daripadanya.

  

No comments:

Post a Comment