Friday, July 30, 2010

Larangan Membunuh Tanpa Asas

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Larangan membunuh tanpa asas




Tindakan membunuh sesama Islam tanpa alasan yang benar adalah peristiwa hitam yang terjadi dalam sejarah Islam dari zaman ke zaman. Dewasa ini ia muncul dengan tajuk keganasan, terorisme atau militanisme yang dikaitkan dengan agama Islam.
Ia menjadi suatu isu besar yang turut mempengaruhi imej dan hubungan Islam dan agama-agama lain. Walaupun kita faham tidak semua label pengganas benar tetapi kita juga tidak dapat menafikan memang ada dalam kalangan penganut Islam, mereka yang bertindak ganas di luar kerangka hukum Islam.
Dalam memperjuangkan apa yang mereka rasa benar, mereka boleh sampai menghalalkan darah sesama Islam dan mengisytiharkan jihad perang tanpa hak terhadap mereka yang tidak sealiran.
Menyedari bahaya ini, Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib An Tusohhah menyambung perbahasan isu takfir dengan larangan mencaci dan membunuh sesama Islam.
Beliau menegaskan bahawa membenci, memutuskan hubungan dan memusuhi kaum Muslimin itu adalah haram. Mencaci seseorang Muslim adalah suatu kefasikan dan membunuhnya tanpa alasan yang benar, adalah suatu kekufuran apabila dia menghalalkan perbuatan tersebut.
Sebagai bukti tegahan dalam permasalahan ini, memadailah diingat hadis melibatkan Khalid ibn al Walid r.a ketika diutuskan kepada kaum Bani Jazimah untuk mengajak mereka kepada Islam. Apabila beliau sampai, mereka pun menemuinya.
Lalu Khalid r.a berkata kepada mereka: "Masuklah kalian ke dalam Islam!" Mereka menjawab: "Kami adalah kaum Muslimin". Khalid ibn Walid berkata, "(Jika begitu) letakkanlah senjata kalian dan turunlah (dari bukit itu)". Mereka menjawab, "Tidak! Demi Allah, tidak ada sesuatu yang terjadi setelah meletakkan pedang, melainkan pembunuhan. Kami masih belum berasa aman denganmu dan orang-orang yang bersamamu."
Khalid berkata dengan tegas: "Tidak ada keamanan bagi kalian kecuali jika kalian turun (dari bukit itu)."
Setelah mendengar ancaman itu, sebahagian mereka pun turun manakala sebahagian yang lain berpecah.
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa, ketika Khalid sampai kepada kaum Jazimah, mereka menyambutnya dengan baik.
Lalu Khalid r.a berkata: "Siapakah kalian? Sudah Muslim, atau masih kafir?"
Mereka menjawab: "Kami adalah Muslimin. Kami telah mendirikan solat, kami juga membenarkan kenabian Nabi Muhammad SAW, kami telah membangunkan beberapa buah masjid di halaman rumah kami, dan melaungkan azan di dalamnya."
Dalam satu lafaz, mereka tidak mengatakan, Aslamna (kami telah masuk Islam), tetapi menyebut Soba'naa! Soba'naa! (Kami telah meninggalkan agama kami dahulu, kami telah meninggalkannya)".
Kemudian Khalid berkata kepada mereka: "Mengapa kalian masih menyandang pedang?"
Mereka menjawab: "Sesungguhnya di antara kami dan sebahagian orang-orang Arab ada permusuhan. Kami takut, jikalau kalian adalah mereka. Maka kami pun tetap menyandang pedang."
Khalid r.a berkata: "(Sekarang) letaklah pedang kalian." Mereka akhirnya meletakkan senjata.
Kemudian Khalid berkata kepada angkatan tenteranya: "Tawanlah mereka". Maka sebahagiannya ditawan, sebahagian lagi diikat dan kemudian dibahagi-bahagikan di antara sahabat-sahabatnya.

1 comment:

  1. Saya teringat kejadian serangan pengganas terhadap dua masjid Jemaat Ahmadiyah di Lahore, Pakistan pada 28 Mei yang lepas dan yang telah mengorbankan nyawa seramai lebih 90 orang.

    Apa salahnya Ahmadiyah? kenapa orang begitu benci sehingga sanggup menumpahkan darah.

    Ahmadiyah tidak pernah bercita-cita merebut kuasa, tidak pernah mengambil hak orang lain.

    Alangkah baiknya semua umat Islam membaca artikel di atas dengan penuh penghayatan.

    ReplyDelete

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...