Monday, April 12, 2010

Isu Pembuangan Bayi


Isu hangat di Malaysia yang sering dipekatakan di TV dan media masa sekarang ini adalah kes pembuangan bayi, sehingga akhbar melaporkan bahawa Selangor mencatat jumlah tertinggi dalam kes yang amat menyakitkan hati ini. lihat http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/4/7/mstar_berita/20100407151341&sec=mstar_berita.

Mana tidaknya, orang yang melakukan perbuatan sedemikian rupa lebih teruk daripada binatang, kalau  kita lihat binatang, ia akan berusaha melindungi anak yang ia lahirkan daripada serangan musuh walaupun ia tahu membahayakan dirinya. Apa yang penting baginya, anak yang dia telah lahirkan, melindunginya adalah tanggungjawabnya.

Kenapa kes ini boleh terjadi? Banyak faktor yang dikemukakan oleh pelbagai pihak.

Shahrizat berkata, antara punca berlakunya masalah pembuangan bayi apabila mangsa, wanita hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga, khuatir dihukum sekiranya masyarakat umum mengetahuinya dan bayi yang dilahirkan cacat.

Kurang pendidikan agama, tiada pengetahuan mengenai khidmat bantuan sokongan seperti khidmat kaunseling dan perkhidmatan perlindungan untuk diri dan anak, bapa kepada bayi yang dilahirkan ghaib dan tidak mahu bertanggungjawab selain wanita pendatang asing tanpa izin takut diusir apabila meminta pertolongan, katanya.

Kemana perginya nilai kasih sayang sebagai seorang insan, sebagai seorang manusia, asyraful makhluqaat, makhluk yang terbaik kerana dikurniakan otak dan minda? Kemana perginya naluri seorang wanita yang bergelar ibu?

Pergaulan Bebas

Sebenarnya isu begini timbul sekiranya tidak ada kawalan terhadap perlakuan anak-anak, ibu bapa tidak memperhatikan aktiviti harian anak-anak sehingga mereka bebas berbuat apa sahaja yang mereka rasakan seronok tanpa memikirkan akibat-akibat di kemudian hari.

Dan juga, inilah akibat daripada perlanggaran hukum-hukum yang telah diajarkan oleh Allah Ta'ala di dalam Al-Qur'an. Tidak mungkin seseorang yang benar-benar ikhlas mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya akan terjebak dalam hal-hal yang kritikal seperti ini.

Allah telah memerintahkan manusia lelaki dan wanita untuk menjauhi keburukan. Lelaki lebih awal mendapat arahan berbanding wanita untuk menundukkan pandangan. Dan oleh kerana lelaki lebih nakal dan kurang rasa malu berbanding wanita, sebab itu wanita juga diperintahkan untuk menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Walau bagaimanapun, disebabkan fitrat seorang lelaki, adalah lebih baik bagi kaum wanita agar jangan memperlihatkan kecantikan mereka agar dapat terhindar dari pandangan lelaki yang dibuat tanpa ada rasa takut.

Inilah yang diajarkan dalam Islam. Setiap insan diajarkan bagaimana menghindari keburukan. Keburukan ini atau amalan pergaulan bebas ini mungkin akibat pengaruh Barat yang penyebarnya adalah TV dan media masa. Ada masyarakat Barat yang tidak merasa malu menzahirkan perbuatan buruk mereka. Saya pasti,  setiap dari kita pun memang banyak mendengar tentang cara hidup bebas yang diamalkan di Barat, tidak kira samada dari segi cara makan, cara berpakaian dan cara pergaulan.

Seperti orang-orang Eropah yang tegas dalam menyuarakan ‘jangan bertudung’, ini adalah sama sekali tidak sesuai. Kebebasan wanita seperti ini adalah akar perbuatan yang memalukan. Lihat keadaan akhlak rakyat negara-negara yang mengamalkan kebebasan seperti ini. Jika dengan kebebasan dan ‘jangan bertudung’ ini telah menimbulkan perasaan malu, dan ramai yang telah menjadi suci, maka kita akan akur bahawa kita salah anggap terhadap mereka. Tetapi keadaan ini memang amat jelas apabila ada lelaki dan gadis muda, juga ada kebebasan dan tidak bertudung, lihat betapa bahayanya hubungan di antara mereka. Pandangan berahi dan keinginan yang kuat akan menewaskan kebanyakan insan.

Dan lagi, keadaan di mana terdapat sistem menutup aurat pun terjadi perbuatan yang memalukan, adakah dalam suasana kebebasan begitu tidak akan berlaku apa-apa? Maksudnya, walaupun sudah berusaha menjaga segala tatatertib berpakaian, namun keburukan tetap sahaja berlaku, jadi, apalagi kalau memang  cara hidup yang begitu bebas dan tanpa sekatan, sudah pasti lebih banyak keburukan boleh terjadi.

Kalau isu pergaulan bebas, kita selalu menuding jari masyarakat Barat. Itu ajaran mereka dan anggapan mereka itulah lifestyle yang bertamadun. Itupun sudah cukup menjadikan hati kita bergetar melihat perbuatan mereka.

Tetapi, yang paling menyayat hati kita ialah ada juga beberapa wanita Islam juga yang terperangkap dengan perkara yang kompleks seperti ini. Ada wanita yang mengatakan bahawa ‘kalau anak saya tidak memakai tudung, dan dia pakai jeans atau jenis pakaian yang lain, jangan kata apa-apa terhadap dia, dia amat bersopan santun kerana dia tidak berkawan rapat dengan lelaki. Biar dia bebas, dia lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk.’

Dalam tidak sedar, inilah satu didikan yang memberi kerosakan kepada anak-anak. Jika hari ini mereka tidak berkawan, esok boleh saja berkawan. Kalau hari ini tidak berbuat keburukan, mereka akan mengambil faedah dari kebebasan itu dan akan terjerat dalam keburukan. Jika mereka bebas, tahu mana baik dan buruk, dan mereka bebas dari hal ini, iaitu tidak patuh terhadap arahan Islam atau tuntutan Al-Qur’an, maka seterusnya mereka bebas juga dari agama, bebas dari peraturan agama. DAN DARI SITULAH PERMULAAN CARA HIDUP BEBAS, bebas berbuat apa sahaja, halal haram tidak lagi dipedulikan, muhrim bukan muhrim tidak lagi jadi ukuran.

Jadi, nasihat kepada ibu bapa, perhatikan anak-anak jika mahu selamat. Memerhatikan di sini bukan hanya dengan mengurung anak-anak di rumah, tidak boleh berjalan dengan mana-mana kawan, dan kita sudah merasa puas apabila anak-anak duduk di rumah. Sebenarnya itu belum lagi cukup. Dunia sekarang tidak ada sempadan, semua perkara boleh tembus ke dalam bilik anak-anak. Penggunaan Internet, Telefon Bimbit, ini semuanya adalah faktor. Perhatikanlah anak-anak kita secara menyeluruh. http://barahinahmadi.blogspot.com/2009/09/how-to-safeguard-our-youth.html.

Seharusnya, apabila mendengar berita-berita ini, hati kita gementar, dan sebagai ibu bapa harus banyak berdoa, dan di samping usaha yang gigih dalam memperhatikan atau mengawai anak-anak, kita serahkan mereka kepada Allah yang maha Melihat dan Maha berkuasa. Kita muhasabah diri, jangan sampai akibat kelemahan kita dalam menunaikan perintah Tuhan, kita diuji dengan ujian yang begitu berat. Jangan sampai anak-anak yang kita sayangi dirompak kesucian mereka daripada kita.

Dunia sekarang sudah lain, ia lain dari zaman kita dan zaman ibu bapa atau datuk nenek kita yang dahulu. Dunia sekarang sudah begitu mencabar yang memaksa kita agar lebih banyak tunduk di hadapan Tuhan jika mahu kita dan anak keturunan kita selamat. Banyak beristighfar, banyak berdoa, banyak bersalawat dan banyak memperbaiki diri adalah antara resepi untuk kebahagian hidup. Dan yang paling penting ialah, apapun yang kita lakukan, ia mendapat keredhaan Allah Ta'ala.

No comments:

Post a Comment