Friday, September 11, 2015

Daras Rohani Khazain Nombor 20

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Ada dua perkara yang perlu bagi seorang insan iaitu menghindari keburukan dan berlari menuju kebaikan. Dan kebaikan ada dua sudut. Pertama ialah meninggalkan keburukan dan yang kedua meningkat dalam kebaikan. Dengan hanya meninggalkan keburukan tidak menjamin seseorang menjadi sempurna selagi tidak ada usaha untuk meningkatkan kebaikan, yakni berusaha memberi kebaikan-kebaikan kepada orang lain. Dengan itu dapat diketahui sejauh mana perubahan yang dibuat, dan tahap ini hanya dapat dicapai sekiranya ada keimanan dan pengetahuan dalam sifat-sifat Allah. Selagi hal ini belum ada, maka insan tidak boleh selamat dari keburukan. Memberikan faedah kepada orang lain satu perkara yang sangat besar.

Kuasa raja dan undang-undang tentera India juga sangat ditakuti. Dan ramai orang yang tidak berani bertindak menentang mereka. Namun, kenapa orang begitu ramai berani melakukan perkara yang bertentangan dengan Ahkamul Hakimin (Hakim yang Paling Agung). Adakah alasan lain selain mengatakan bahawa mereka tidak percaya? Inilah salah satu asasnya.

Justeru itu, perlakuan menjauhi keburukan hanya akan dicapai sekiranya ada keimanan kepada Tuhan, kemudian tingkat yang kedua ialah mencari peraka-perkara yang telah dilakukan oleh hamba-hamba Tuhan yang terpilih. Hanya ada satu jalan yang telah menjadikan orang-orang suci  dan terpilih ini mendapat kurnia yang begitu banyak daripada Allah Ta’ala di dunia ini. Untuk mengetahui jalan tersebut ialah insan berusaha menilai apa yang Allah Ta’ala perlakukan terhadap dirinya?

Tingkat pertama ialah meninggalkan keburukan. Ia dapat dilihat melalui penjelmaan sifat Jalali Tuhan iaitu dia menjadi musuh kepada perbuatan buruk. Tingkat yang kedua ialah melalui penjelmaan sifat Jamali Tuhan. Tingkat terakhir ialah selagi tidak mendapatkan kekuatan dari Allah Ta’ala yang dikenali sebagai ruhul qudus menurut istilah Islam, maka tidak ada apa-apa yang berlaku. Ini adalah satu kekuatan yang diperolehi dari Tuhan kerana bersama-sama dengan itu hati mendapat ketenteraman. Dan fitratnya juga melahirkan rasa cinta kepada kebaikan yang dianggap oleh orang lain sebagai sukar dan berat dalam melakukannya. Dia berlari ke arah melakukan kebaikan itu dengan penuh keasyikan dan keseronokan.

Sebagaimana seorang kanak-kanak begitu suka makanan yang manis, demikian juga apabila ada hubungan dengan Allah Ta’ala dan ruh suci turun ke atasnya, maka kebaikan-kebaikan itu akan sama seperti minuman yang sangat lazat dan wangi. Keistimewaan dalam kebaikan-kebaikan itu akan kelihatan padanya dan dengan tidak disangka-sangka dia akan mendapatkannya. Membayangkan keburukan akan membuatkan dirinya menggeletar.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 466, cetakan Rabwah)

Daras Rohani Khazain Nombor 19

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah mendapat kedudukan tinggi, mereka bukanlah mendapatkan kedudukan tersebut dengan begitu mudah dan senang, malah mereka diuji dengan pelbagai situasi yang sangat berat, dan hanya melalui kesabaran sahaja ia dapat dilalui sehingga Allah Ta’ala memberikan mereka darjat yang tinggi.

Cuba lihat Nabi Ibrahim, berapa besar ujian yang beliau terima. Beliau memegang pisau di tangan untuk mengorbankan anaknya. Beliau sudah meletakkan pisau di leher anaknya tetapi di hadapannya adalah kambing. Ibrahim telah lulus dalam ujian itu. Tuhan juga telah menyelamatkan anaknya. Tuhan sangat gembira atas perlakuan Ibrahim. Semua ini kurnia Allah Ta’ala bahawa anak itu selamat. Jika tidak, Ibrahim memang hendak menyembelih anaknya. Sebab itu beliau telah mendapat julukan SADIQ.

Di dalam Taurat tertulis bahawa Allah Ta’ala berfirman: Wahai Ibrahim! Lihatlah bintang-bintang di atas langit, adakah engkau dapat menghitungnya? Demikian jugalah keturunan engkau tidak akan terkira banyaknya. Hanya waktu kesusahan yang sedikit perlu dilalui dan ia telah berlalu. Sebagai gantinya, betapa banyak nikmat yang diterima. Sekarang ini semua Quraisy, Yahudi dan kaum-kaum yang lain menisbatkan diri mereka sebagai keturunan Ibrahim. Hanya beberapa waktu kesusahan dilalui dan ia telah berakhir, kemudian betapa besar nikmat yang diperolehi daripada Allah Ta’ala.”

(Malfoozaat Jilid 5, halaman 416-417, cetakan Rabwah)

Daras Rohani Khazain Nombor 18

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Ingatlah dengan sebaik-baiknya, jika laknat Tuhan tidak bersama-sama dengan laknat manusia, maka ia tidak memberi apa-apa kesan. Jika Tuhan tidak berkehendak untuk menghapuskan kita, maka kita tidak akan dapat dihapuskan oleh sesiapa. Tetapi, jika Tuhan yang menjadi musuh bagi kita, maka tidak ada sesiapa yang boleh memberi perlindungan kepada kita.

Bagaimana kita boleh menjadikan Allah Ta’ala redha dan bagaimana Allah boleh bersama-sama dengan kita? Dalam perkara ini, saya berkali-kali mendapat jawapan bahawa segala-galanya adalah melalui TAQWA.

Jadi, wahai saudara-saudaraku! Berusahalah untuk menjadi orang bertakwa. Tanpa amalan, semua ucapan tidak menggambarkan apa-apa, dan tanpa keikhlasan pula tidak ada amalan yang diterima. Jadi, takwa itu ialah menghindari segala kekurangan-kekurangan dan melangkahkan kaki ke arah Allah Ta’ala dan bertekad untuk melaksanakan sekecil-kecil jalan ketakwaan.

Pertama sekali lahirkan perasaan rendah diri, berfikiran bersih dan ikhlas dalam hati. Dan dengan cara yang sebenar-benarnya berusahalah menjadi seseorang yang berhati lembut, selamat dan miskin. Benih setiap kebaikan dan kejahatan akan mula lahir dari dalam hati. Jika hati kamu bersih dari perasaan jahat, maka lidah kamu juga akan bersih dari kejahatan, demikian juga mata kamu dan anggota badan yang lain.

Setiap cahaya atau kegelapan juga akan mula muncul dari dalam hati dan secara perlahan-lahan akan melingkari semua anggota badan. Jadi, timbanglah sentiasa hati kamu. Sebagaimana seorang pemakan ‘pan’, dia akan menggerakkan pan dalam seluruh mulutnya dan akan membuang keluar sisanya. Demikian juga kamu hendaklah sentiasa melihat segala fikiran tersembunyi, adat tersembunyi, emosi tersembunyi dan keistimewaan tersembunyi dalam hati, sebaik sahaja kamu dapati ada fikiran, adat, atau keistimewaan yang perlu ditolak, maka buanglah ia keluar, jangan sampai ia mengotorkan seluruh hati kamu dan menjadikan kamu terbuang.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 547,548)

Daras Rohani Khazain Nombor 17

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

“Nasihat untuk saudara-saudara yang masuk bai’at dalam jemaat ini,

Wahai saudara-saudaraku yang masuk bai’at dalam jemaatku! Semoga Tuhan memberi taufik kepada saya dan kamu akan semua perkara yang Dia redhai. Hari ini kamu masih sedikit dan dipandang hina, dan ada juga musibat yang menimpa kamu sesuai dengan sunnatullah sejak dahulu lagi. Mungkin ada usaha dari setiap penjuru untuk menghapuskan dan menghinakan kamu. Dan banyak ucapan-ucapan yang terpaksa kamu dengari. Dan semua mereka yang menyusahkan kamu sama ada dengan lidah atau tangan, mereka beranggapan telah menolong Islam. Dan kamu juga akan menghadapi musibat dari langit supaya kamu diuji dari pelbagai sudut.

Jadi, dengarkanlah waktu ini bahawa jalan kejayaan dan kemenangan kamu bukanlah kamu menggunakan mantiq yang kosong atau kamu menjawab penghinaan musuh dengan penghinaan dari kamu, atau kamu menjawab caci maki dengan caci makian juga. Ini kerana, jika kamu telah menggunakan jalan ini maka hati kamu akan menjadi keras, dan yang ada pada kamu hanyalah ucapan-ucapan yang boleh mengundang kebencian Tuhan dan memandang kamu dengan pandangan jijik. Jadi, jangan berbuat seperti itu sehingga kamu mengumpul dua jenis laknat iaitu satu dari manusia dan satu lagi dari Tuhan.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, halaman 546,547)

Daras Rohani Khazain Nombor 16

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Atas hamba yang lemah ini dizahirkan dalam sebuah rukya tentang makna matahari terbit dari sebelah Barat, iaitu negara-negara Barat yang sejak dahulu lagi hidup dalam kegelapan, kekafiran dan kesesatan, mereka akan disinari dengan cahaya kebenaran dan mereka akan mendapat bahagian daripada Islam. Dan saya telah melihat bahawa saya berdiri di atas mimbar di sebuah bandar London dan dalam bahasa Inggeris saya menyampaikan ceramah tentang kebenaran Islam dengan penuh semangat. Selepas itu saya banyak menangkap burung-burung yang duduk di atas pepohonan, dan warna mereka ialah putih, mungkin sama seperti merpati. Jadi, saya memberikan ta’birnya bahawa jika bukan saya, pasti tulisan-tulisan saya yang akan sampai kepada mereka. Dan banyak orang-orang Inggeris yang akan mendapatkan kebenaran. Sebenarnya, sehingga hari ini berkenaan dengan negara-negara Barat sangat kurang diberikan kefahaman akan kebenaran ini, seolah-olah Allah Ta’ala memberikan pengetahuan agama ini hanya kepada orang-orang Asia sahaja dan pengetahuan tentang keduniaan diberikan sepenuhnya kepada orang Eropah dan Amerika. Nabi-nabi juga sejak dari awal sehingga akhir kebanyakan mereka di bahagian Asia dan kesempurnaan wali-wali diberikan kepada mereka. Sekarang ini Tuhan berkehendak memberikan pandangan rahmat-Nya ke atas orang-orang ini.”

(Izalah Auham, Rohani Khazain Jilid 3, Halaman 376,377)

Daras Rohani Khazain Nombor 15

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-

Semua mazhab (agama) yang tidak dapat mempersembahkan sarana keyakinan adalah mazhab palsu. Semua agama yang tidak dapat memperlihatkan Tuhan melalui keyakinan adalah agama palsu. Semua agama yang hanya mengajarkan kisah-kisah dongeng dan hikayat-hikayat lama juga adalah palsu. Sekarang ini Tuhan tetap sama seperti dahulu. Sekarang pun Kudrat-Nya masih tetap berlaku sama seperti dahulu. Sebagaimana dahulu Dia berkuasa memperlihatkan tanda-tanda, sekarang pun tetap memperlihatkan tanda-tanda-Nya.

Oleh karena itu, mengapakah kamu merasa gembira atau puas hati hanya dengan mendengar kisah-kisah sahaja? Agama itu adalah agama yang sudah rosak jika mukjizatnya tinggal kisah-kisah sahaja, khabar ghaibnya juga tinggal kisah semata-mata. Suatu jemaat dianggap sudah rosak sekiranya Tuhan tidak lagi turun atas mereka dan tetap tidak suci melalui keyakinan dan tangan Tuhan.

Sebagaimana seorang insan yang tertarik apabila melihat sarana kelazatan dirinya, demikian juga mereka boleh mendapatkan kelazatan rohani melalui keyakinan sehingga tertarik kepada Tuhan. Dan kecantikannya dibuat begitu indah sehingga semua benda lain kelihatan tidak berharga dan harus ditolak.

Manusia benar-benar akan bebas dari dosa hanya apabila mengetahui dengan penuh keyakinan tentang kekuasaan Tuhan dan adanya hari pembalasan dari Tuhan. Kejahilan atau ketidaktahuan itu akar dari kelancangan dan keberanian untuk berbuat dosa. Orang yang mengambil suatu bahagian dari makrifat Ilahi, dia tidak akan bertindak lancang.

Apabila seorang pemilik rumah mengetahui bahawa banjir besar sedang menuju ke rumahnya atau di sekitar rumahnya api sedang menyala-nyala dan tinggal sedikit masa lagi akan membakar rumahnya, maka dia tidak akan tinggal di dalam rumahnya.

Jadi, seandainya kamu mengatakan bahawa kamu yakin akan kewujudan hari pembalasan daripada Tuhan, maka bagaimanakah kamu berani tetap dalam keadaan kamu yang berbahaya itu? Oleh itu, bukalah mata kamu, dan lihatlah hukum Tuhan yang terdapat di seluruh dunia. Janganlah jadi seperti seekor tikus yang keinginannya selalu menyorok ke bawah, malah jadilah kamu burung merpati yang gemar melayang-layang terbang bebas di angkasa.

(Kisyti Nuh, Rohani Khazain Jilid 19, halaman 67,68)

Daras Rohani Khazain Nombor 14

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihis salam bersabda:-

“Sesiapa yang diletakkan oleh Allah dalam kesusahan di dunia ini dan juga mereka yang menanggung kesusahan untuk Allah Ta’ala, maka mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah Ta’ala di akhirat. Dunia ini adalah tempat mengembara, bukannya tempat menetap. Jika ada seseorang mengumpul segala sarana untuk bergembira, itu bukanlah kegembiraan sebenar. Semua kesenangan dan kesulitan akan berlalu, selepas itu akan menuju satu tempat yang kekal abadi. Orang yang dalam kehidupan sementara ini melihat suatu kekurangan dalam penciptaan insan lalu menganggapnya itu adalah hasil dosa-dosa dan perbuatan dalam kehidupan yang lepas, mereka sebenarnya melakukan kesilapan. Tidakkah mereka tahu bahawa kehidupan akhirat adalah satu kehidupan yang agung? Kepada sesiapa yang Allah Ta’ala letakkan kekurangan dalam penciptaan seseorang dan juga orang-orang yang meletakkan diri mereka sendiri dalam kesusahan semata-mata meraih keredhaan Allah Ta’ala, kedua-dua golongan ini akan mendapat ganjaran di akhirat kelak. Dunia ini adalah tempat menyemai dan juga satu peluang untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala.

Ada orang yang berusaha menggembirakan Allah Ta’ala melalui amalan mereka, dan ada juga yang meletakkan diri mereka dalam kesusahan semata-mata untuk menggembirakan Allah Ta’ala. Ada seseorang yang memiliki dua pengkhidmat. Seorang daripadanya melakukan pekerjaan atau perjalanan setiap hari di mana dia mendapat kemudahan pengangkutan, perjalanan yang terlindung dari cahaya terik matahari serta banyak kesenangan. Seorang lagi perlu melalui tempat-tempat yang tidak ada kemudahan pengangkutan, perlu berjalan kaki di bawah matahari yang panas. Tetapi dia tahu bahawa semakin susah yang dihadapi, semakin banyak ganjaran yang akan diberikan. Jadi, apa yang perlu dipertikaikan untuk perjalanan kedua-dua pengkhidmat itu? Demikian juga orang yang cacat, buta, lumpuh, miskin, faqir dan sebagainya, semua mereka yang diciptakan oleh Allah dalam keadaan seperti itu, sekiranya mereka di akhirat nanti akan mendapat ganjaran masing-masing, maka apa perlunya menganggap ia akibat dosa lampau dan membuat kritikan atas kehidupan yang hakiki. Kesusahan yang telah Allah Ta’ala berikan, ia adalah untuk mendapatkan pahala, kerana Allah Ta’ala Maha Penyayang dan pastinya ada sahaja jalan untuk Allah Ta’ala memberikan ganjaran. Jadi, orang yang lumpuh, buta dan sebagainya, kekurangan-kekurangan dalam ciptaan itu akan mendapat ganjaran pada hari kiamat nanti.

Mungkin juga hal ini terjadi di mana ada seorang yang lahir dalam rumah golongan bangsawan. Semua kemudahan dan kesenangan ada tersedia, namun tetap sahaja mempunyai kesulitan dan kesusahan yang dialami. Dan ada juga seorang yang hidupnya hanya dengan meminta-minta, kadang-kadang mereka mendapat kegembiraan yang mungkin tidak dirasai oleh orang yang kaya. Tidak terdapat di mana-mana perintah untuk orang kaya agar mereka hidup berseronok semahunya, tetapi perintah yang ada ialah mereka harus beribadat seperti orang miskin. Apapun, dunia ini hanya beberapa hari sahaja, apa yang manusia tahu tentang berapa panjang usia yang diberikan pada mereka?”

(Malfoozaat Jilid 4, halaman 72-73)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...