Friday, January 30, 2015

Ringkasan Khutbah - 23 Januari 2015


Dalam khutbah yang lepas Huzur telah menjelaskan tentang bagaimana semangat kecintaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Dengan memetik riwayat daripada Hazrat Muslih Mau’ud radhiallahu anhu beliau berkata; “Satu kali Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berada di stesen Lahore atau Amritsar dan kebetulan di situ datang Pandit Lekhram lalu memberi salam kepada beliau. Namun, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak mempedulikannya sedikitpun. Beliau akhirnya berkata dengan penuh semangat kepada para sahabat; dia tidak ada perasaan malu kah? Dia menghina Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam lalu dia datang kepada saya untuk memberi salam.” Dari kisah ini kita dapat mengambil kesimpulan betapa tingginya penghormatan beliau ke atas Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Kemudian di Lahore ada satu pertemuan Arya. Atas jemputan mereka, beberapa anggota jemaat juga turut hadir. Penganjur acara itu menjanjikan bahawa tidak akan ada ucapan yang merendahkan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Namun, mereka tidak menepati janji di mana mereka telah memburuk-burukkan nama Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Apabila Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam mendapat tahu tentang perkara itu, beliau berkata kepada para sahabat yang turut serta dalam majlis itu dengan penuh semangat; Kenapa kamu terus duduk di sana? Di mana semangat kecintaan kamu waktu itu untuk berbuat demikian? Kenapa kamu tidak bangkit sahaja meninggalkan majlis seperti itu?

Kemudian Huzur juga menceritakan berkenaan dengan khabar ghaib Deputy Abdullah Atham yang mana kesempurnaannya menjadi tanda yang sangat agung buat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Kemudian para muballigh Kristian juga telah cuba mempermainkan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dengan membawa orang buta, pekak dan orang cacat. Mereka mengatakan bahawa “Al-Maseeh boleh menyembuhkan penyakit-penyakit ini, jadi tuan perlihatkan kepada mereka bahawa tuan boleh menyembuhkannya”. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjawab; “saya tidak mendakwakan sedemikian rupa. Di dalam kitab kamu ada tertulis bahawa jika kamu mempunyai iman walaupun sedikit lalu kamu mengatakan kepada gunung untuk bergerak, maka ia akan bergerak, dan juga mukjizat yang aku perlihatkan kamu pun boleh melakukannya. Jadi, jangan minta dari saya perkara ini tetapi sekarang ada orang buta, pekak dan cacat di sini, jika kamu ada iman walau sebesar biji sawi, maka perlihatkanlah bahawa kamu boleh menyembuhkannya”. Mendengar ucapan beliau para muballigh itu dengan penuh rasa malu menarik-narik ketiga-tiga orang itu agar meninggalkan tempat berkenaan.

Kemudian berkenaan dengan kes di makhkamah atas masalah pos penghantaran. Dalam mengikuti perbicaraan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda; “Ini adalah satu permisalan yang sangat kecil dalam soal berpaksi atas kebenaran. Orang-orang yang sanggup meninggalkan perkataan yang benar untuk mendapatkan manfaat peribadi, mereka harus mengukur diri sendiri. Orang-orang yang mencari pelindungan dalam suatu negara (asylum seeker) atau suatu syarikat yang ingin mendapatkan insuran, mereka menggunakan jalan yang tidak betul, orang-orang seperti ini juga hendaklah muhasabah diri mereka masing-masing. Menggunakan jalan salah untuk mendapatkan manfaat duniawi tidak mencerminkan kecantikan seorang Ahmadi”.

Huzur juga menjelaskan bahawa sepanjang khutbah berlangsung, bercakap atau melarang orang lain bercakap adalah dilarang kerana khutbah adalah bahagian daripada solat Jumaat, sebab itu jangan berkata-kata semasa khutbah disampaikan. Anak-anak di rumah juga hendaklah diberi kefahaman mengenai hal ini sejak awal-awal lagi. Tarbiyat haruslah dimulakan sejak umur masih kanak-kanak.

(Roznamah Alfazl, 27 Januari 2015)


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...