Sunday, January 25, 2015

Ringkasan Khutbah - 19 Disember 2014


Merujuk kepada serangan di Peshawar Pakistan di mana satu sekolah telah diserang dengan begitu buas dan ganas sehingga mengorbankan anak-anak yang maksum, Huzur dalam khutbahnya berkata:

            “Kejadian ini satu contoh keganasan yang sangat buruk sehingga meremang bulu roma mendengarnya. Kejadian ini boleh menjadikan manusia merintih dan ketakutan. Orang yang memiliki perikemanusiaan yang sedikitpun menzahirkan kesedihan dan kekecewaan mereka.”

“Kita sebagai Ahmadi yang memiliki perikemanusiaan yang tinggi, yang sentiasa bersedia setiap masa mengkhidmati kemanusiaan. Jika ada sahaja kejadian seperti ini berlaku, maka hati kita menjadi tidak tenteram. Kejadian ini telah memberi kesan kepada diri saya sepanjang hari dan berdoa kepada Allah Ta’ala agar membersihkan Negara ini dari orang zalim dan penjahat, malah saya berharap semua Negara-negara Islam bersih dari orang-orang seperti ini.”
           
“Kejadian ini juga telah menyegarkan kembali luka lama yang telah menimpa orang-orang Ahmadi. Pesta darah seperti telah menimpa kita empat tahun setengah yang lepas ketika Baituz Zikir di Lahore telah diserang pada tahun 2010. Kejadian seperti ini dan kezaliman yang menimpa kita, bukan sahaja kerajaan malah orang awam juga merasa ia tidak perlu diberi perhatian. Tetapi kita sebagai Ahmadi yang memiliki perikemanusiaan, apatah lagi mereka adalah bangsa kita, sudah pasti ia sangat menyentuh hati.”

            “Semoga Allah mengampunkan dan merahmati mereka dan memberikan kesabaran dan semangat kepada ibu bapa mereka.”
           
“Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga dalam peperangan sangat menekankan agar jangan mengangkat pedang ke atas wanita dan anak-anak yang bukan Islam.”

Kejadian keganasan dan kezaliman ini hampir berlaku di setiap Negara-negara Islam. Bukan sahaja Pakistan malah Iraq, Syam dan Libya serta Negara-negara lain juga menghadapinya. Mereka bukan sahaja sekadar berperang secara zahir, malah turut merosakkan generasi masa mendatang. Mereka semakin jauh dari agama.

Semua serangan-serangan seperti ini bertentangan dengan Islam. Agama yang hakiki adalah kasih sayang dan persaudaraan.

Al-Quran melarang perbuatan zalim, Islam mengajarkan keadilan, taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan berselisih sesama sendiri, ia boleh menyebabkan hati menjadi keras dan semangat menjadi hilang. Banyakkan bersabar, Allah Ta’ala bersama dengan orang-orang yang sabar.

Selagi tidak berusaha untuk berlaku adil dengan musuh, selagi tidak berusaha mengikat tali persaudaraan, selagi kerajaan tidak memperhatikan rakyatnya, dan selagi rakyat tidak patuh kepada kerajaan, dan selagi tidak ada ketakutan kepada Allah Ta’ala, selagi itulah kezaliman seperti ini tidak akan berakhir.  

Semangat perikemanusiaan telah ditanamkan dalam diri kita oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Beliau bersabda bahawa berlembutlah dengan orang-orang mukmin. Jadi, letakkan perkara ini di hadapan. Setiap orang hendaklah muhasabah diri masing-masing, sejauh mana dia berperikemanusiaan kepada saudaranya.

Kasihilah hamba-hamba-Nya, jangan berbuat zalim sama ada dengan tangan, lidah atau sebagainya, berusahalah untuk kebaikan semua makhluk, jangan sombong, jangan mencaci sesiapa, jalankan kehidupan dengan cara miskin, lemah lembut, bersangka baik, dan berperikemanusiaan agar kamu di terima di sisi Allah.

Tuhan menginginkan agar kamu berlaku adil dengan semua manusia.

Huzur berkata:
            “Kezaliman yang berlaku di Pakistan ini sesungguhnya sangat menyedihkan hati kita.  Untuk menghentikan segala kezaliman dan peperangan ini  Allah Ta’ala telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sesuai dengan janji-Nya, dan sebagai gantinya akan dilaksanakan dengan kasih sayang. Alangkah baiknya orang ramai memahami perkara ini.

Huzur berkata:
            “Doakanlah untuk Pakistan dan Negara-negara Islam yang lain. Semoga Allah mendirikan keamanan di semua Negara-negara Islam di dunia.

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...