TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
03 Januari 2014 / 03 Sulh 1393HS
Masjid
Baitul Futuh, London
----------------------------<<<>>>----------------------------
Tasyahud, Ta’awudz dan Surah
Al-Fatihah.
Pertama-tama saya
ingin mengucapkan mubarak untuk tahun baru kepada anda semua dan seluruh
orang-orang Ahmadi yang berada di mana sahaja. Saya juga ada menerima ucapan
mubarak daripada jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan Jemaat dan orang
perseorangan. Untuk semua saya mengucapkan mubarak serta dengan doa bahawa hanya
fadhal dari Allah Taala sahaja yang menjadikan tahun ini, tahun yang penuh
rahmat, fadhal dan berkat kepada kita. Dan doa ini menjadi suatu keyakinan bagi
setiap orang Ahmadi dan begitulah semestinya. Jika kita menginginkan kurnia,
berkat dan rahmat daripada Allah Taala dan kita tidak berdoa, maka ucapan
mubarak untuk tahun baru akan menjadi sebagai tradisi belaka, maka hal yang
seperti itu tidak akan membawa apa-apa faedah dan hanya ucapan tahun baru
seperti orang-orang duniawi.
Ucapan mubarak yang
kita ucapkan tidak akan berguna dan doa juga tidak akan membawa apa-apa hasil
jika tidak diiringi dengan kebaikan dan kebolehan yang telah Allah Taala
berikan kepercayaan kepada kita dan jangan sekali-kali kita melakukan
perkara-perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah Taala. Bagi menyambut tahun
baru, kita tidak hanya cukup dengan melakukan solat nafal berjamaah, jika solat
nafal yang dikerjakan tidak menimbulkan kesedaran dalam diri kita, bahawa kita
akan berusaha untuk mengerjakannya secara terus-menerus, bagi meningkatkan
standard ibadah kita menjadi yang terbaik dan setiap amalan yang dikerjakan
akan mendapat keredhaan Allah Taala.
Jika dua hari
sebelum menjelangnya tahun baru, pemikiran yang seperti ini kita laksanakan dan
kita saling mengucapkan mubarak antara satu dengan yang lain, maka anda akan
dihitung dalam kalangan orang yang akan mendapat kurnia, rahmat dan berkat
daripada-Nya. Semoga Allah Taala menjadikan pemikiran kita semua yang
sedemikian hendaknya. Pemikiran yang sedemikianlah yang membuatkan kehidupan
kita sebelum ini akan mendapat kurnia daripada Allah Taala.
Hanya dan hanya,
kurnia Allah Taala yang memberikan keihsanan dan nikmat, yang dengan keihsanan
dan nikmat tersebut menjadikan kita dapat merebahkan diri bersujud kepada-Nya.
Itulah yang menjadi tujuan kehidupan kita di dunia ini, yang telah Dia
beritahukan kepada kita. Oleh itu, inilah roh di sebalik penyeliaan ucapan
mubarak yang harus kita berikan.
Apabila kita
meninjau kembali tahun-tahun yang lalu, maka terdapat beberapa kesulitan yang
dihadapi oleh Jemaat. Tetapi juga, tidak terkira banyaknya kurnia yang Allah
Taala telah dilimpahkan kepada kita pada tahun 2013. Sehubungan dengan itu,
jika kita terus mengekalkan kurnia ini, maka kita haruslah berusaha menerapkan
kurnia tersebut dengan cara merendahkan diri, bekerja keras dan berdoa,
terutama bagi mereka yang banyak melibatkan diri dalam pengkhidmatan kepada
Jemaat. Orang-orang ini hendaklah memerhatikan bahawa untuk dapat menyerapkan
fadhal tersebut maka kita perlu banyak merendahkan diri, berdoa dan bekerja
keras.
Sepertimana yang
diketahui oleh setiap orang Ahmadi bahawa tujuan kita adalah untuk memajukan
misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, yang tugas tersebut ialah untuk
menyebarkan ajaran Islam ke seluruh dunia, yang tugas tersebut, telah diamanatkan
kepada beliau. Beliau juga ditugaskan untuk menyatukan orang-orang Muslim yang
telah terpecah-belah, begitu juga beliau ditugaskan supaya dunia dapat
mempercayai Tuhan Yang Esa dan menjadi orang-orang yang sujud kepada-Nya.
Dengan kurnia Allah Taala tugas ini telah diselenggarakan dengan baiknya oleh
Jemaat ini, yang mana Jemaat telah dapat mendirikan rumah-rumah misi,
masjid-masjid, pertablighan, menyediakan litratur-litratur, mempersiapkan muballigh-muballigh
dan murabbi-murabbi lalu dikirimkan ke medan tabligh. Semua tugas itu, dengan
kurnia Allah Taala Jemaat sedang melaksanakannya, seperti yang telah saya
katakan, menurut firman Allah Taala, tujuan kehidupan kita adalah untuk
beribadah kepada-Nya dan setiap individu Muslim menjadi kewajipan bagi dirinya
untuk mengerjakan solat berjamaah dan untuk solat berjamaah memerlukan
masjid-masjid dan tempat-tempat yang boleh mendirikan solat berjamaah.
Jelasnya, tidak
terkira banyaknya kurnia yang Allah Taala limpahkan kepada Jemaat pada tahun
lalu. Ini adalah satu kurnia yang amat besar bahawa kita telah diberikan taufik
untuk membina masjid-masjid di dunia ini. Walaupun Jemaat ada mendirikan masjid
di Eropah, Australia, Timur Jauh dan di beberapa tempat yang lain tetapi Jemaat
di Afrika dan India yang paling banyak mendapat taufik untuk mendirikan masjid
di negara mereka. Di dalam khutbah ini saya akan memberikan ulasan tentang
perkara tersebut.
Seperti yang telah
saya sebutkan sebelum ini, bahawa Jemaat Afrika dan India yang paling banyak
mendapat taufik untuk mendirikan masjid-masjid. Daripada 158 buah masjid yang
saya katakan, sebanyak 102 buah masjid yang baru telah dibina di Afrika dan di
India sebanyak 22 buah pondok yang dibina sebagai masjid untuk memenuhi
keperluan bagi tujuan orang-orang untuk beribadah. Dan di Afrika pula yang
sedang dibangunkan sebanyak 41 buah masjid. Seperti yang saya sebutkan sebelum
ini, bahawa pada tahun ini juga terdapat beberapa buah negara yang sedang dan
akan mendirikan masjid-masjid di tempat mereka.
Begitu juga
rumah-rumah misi, terdapat 121 buah rumah misi markas, daripada jumlah tersebut
77 buah rumah misi di Afrika dan 5 buah rumah misi di India. India adalah
sebuah benua yang besar, begitu juga di negara Afrika. Di sebelah timur dan
barat pula terdapat 6-8 buah negara yang Jemaat ini telah tersebar dan di situ
perkembangan Jemaat sedang maju dengan pesatnya. Seperti yang saya sebutkan
sebelum ini bahawa tugas kita adalah untuk menyebarkan ajaran Islam ke seluruh
dunia. Kita harus menyampaikan kecantikan ajaran Islam ke empat penjuru dunia,
supaya dunia mengetahui akan kecantikan ajaran Islam. Dan tugas itu, dengan
kurnia Allah Taala muballigh-muballigh kita sedang bekerja keras untuk tujuan
tersebut. Selain daripada itu, ketika saya mengadakan kunjungan ke beberapa
buah negara dan melalui kunjungan tersebut saya telah dapat memperkenalkan
Jemaat ini. Dengan cara yang seperti itu, ajaran Islam akan diketahui oleh
dunia dan melalui muballigh-muballigh kita juga Jemaat ini dapat diperkenalkan.
Dan ada beberapa negara, yang menjadi penulis kolumis di dalam akhbar dan
mereka menyiarkan khutbah-khutbah saya secara rutin di dalam akhbar-akhbar di
negara mereka. Dengan kurnia Allah Taala, melalui cara yang seperti ini amanat
Jemaat sedang tersebar dengan meluasnya.
Tentang kunjungan
saya, telah saya sampaikan sebelum ini. Kunjungan pertama telah saya sebutkan
bahawa kunjungan saya ke Amerika pada tahun lalu secara keseluruhan, kira-kira
12 juta lebih, orang-orang yang mendengar amanat Jemaat ini. Di Kanada, dua
buah bandar saya kunjungi dan 8.5 juta orang yang mendengar amanat Jemaat. Di
kedua-dua buah negara yang saya kunjungi itu, kira-kira 20 juta orang yang
mendengar amanat Jemaat. Ini semua adalah kurnia Allah Taala yang tidak
terhingga banyaknya, anugerah yang dilimpahkan, untuk menyampaikan amanat
Jemaat iaitu, dengan terbukanya jalan-jalan yang baru untuk kita sampaikan
amanat Jemaat ini kepada dunia.
Seperti yang telah
saya sebutkan sebelum ini, dengan lawatan saya ke beberapa buah negara banyak
jalan-jalan yang baru yang terbuka luas bagi menyampaikan amanat Jemaat. Dan
para muballigh telah banyak memainkan peranan dalam urusan tersebut. Bagi para muballigh
yang aktif dalam tugasnya, ia suatu yang istemewa, yang mana tugas yang
diberikan itu, mereka mampu untuk membawa tugas itu maju ke hadapan. Dan dengan
kurnia Allah Taala mereka memperolehi kejayaan yang besar. Begitu juga ketika
kunjungan saya sebanyak dua kali di Jerman. Pertama, ketika meletakkan batu asas
di beberapa buah masjid di Jerman dan kedua, iaitu menghadiri Jalsa Salana
Jerman yang ketika itu akhbar-akhbar, radio dan siaran televisyen telah
memberikan liputan meluas tentang perkembangan Jemaat ini, malah liputan itu
bukan sahaja disiarkan di negara Jerman tetapi siaran itu mendapat liputan yang
meluas di negara Austria dan Switzerland. Ketika kunjungan saya pada waktu itu,
kira-kira 4 juta orang yang menyaksikan program Jemaat di dalam televisyen.
Selain dua buah negara yang saya sebutkan di atas tadi, saya juga mengadakan
kunjungan ke Singapore, Australia, New Zealand dan Jepun. Dalam kunjungan
tersebut pihak media telah menyiarkan liputan tentang kunjungan saya dan
kira-kira 30 juta orang yang mengikuti perkembangan Jemaat semasa lawatan saya
ke negara-negara tersebut.
Ini semua adalah
kurnia daripada Allah Taala, jika semua urusan ini adalah usaha daripada
manusia, maka ia adalah suatu yang mustahil. Jika dari manusia ia seperti
berikut, iaitu ketika di Australia, Sekretari Kharijiyah kita mempunyai
hubungan dengan Press Media di sana.
Beliau telah
memberitahu kepada seorang wartawan akhbar yang mewakili sebuah wilayah untuk
mengadakan satu sesi wawancara dan ketika waktu yang telah ditetapkan bagi sesi
wawancara itu, tiba-tiba wartawan tersebut menyatakan bahawa dia tidak dapat
hadir dalam program tersebut. Tetapi lihatlah bagaimana Allah Taala telah
mengatur sedemikian rupa, setelah wartawan itu tidak dapat hadir, 15 minit
kemudian sebuah akhbar National, memberitahu bahawa dia sudah lama menunggu
bilakah saya akan ke Australia dan bilakah dia dapat datang untuk mengadakan
wawancara dengan saya. Dan dalam masa 15 minit kemudian, wartawan tersebut pun
tiba dan mengadakan wawancara dengan saya. Ini semua semata-mata kurnia
daripada Allah Taala yang memperlihatkan sokongan dan pertolongan daripada-Nya.
Sekretari Kharijiyah sedikit pun tidak menyangka bahawa secara tiba-tiba ada
pula seorang wakil dari sebuah akhbar National yang datang lalu dia menyiarkan
program tersebut di dalam akhbarnya.
Bagi Jemaat Jerman,
pertama kali dalam sejarah, bahawa televisyen national Jerman telah menyiarkan
berita tentang perkembangan Jemaat. Di Australia, televisyen national dan
international telah menyiarkan berita Jemaat seperti yang telah saya katakan
sebelum ini bahawa sebanyak 46 buah negara yang menerima berita tentang Jemaat.
Di New Zealand, televisyen national mereka telah menyiarkan berita tentang
perkembangan Jemaat, begitu juga siaran berbahasa Maori. Di Jepun sebuah
akhbar, yang pembacanya kira-kira 20 juta orang telah mewawancara dan
menyiarkannya di akhbar mereka, ketika lawatan saya ke Jepun. Dan bukan setakat
itu sahaja, malah wartawan itu telah mewawancara Missionary In-charge kita dan
sekali lagi mereka menyiarkan wawancara itu di akhbar mereka. Dengan kurnia
Allah Taala masjid yang pertama kali di bina di Jepun, berita itu pun mereka
siarkan di dalam akhbar. Dengan kurnia Allah Taala tempat berdirinya masjid
kita, kawasannya agak luas dan mempunyai sebuah dewan. Ketika dibina masjid
tersebut, kebetulan dewannya betul-betul menghadap ke kiblat, kerana itu
kedudukkannya tidak perlu diubah. Dengan terbinanya masjid itu dapat
memperkenalkan ajaran Islam melalui Jemaat kepada orang-orang Jepun. Seperti
apa yang saya katakan, bukan hanya perasmian masjid dan lawatan saya ke Jepun
yang dijadikan tumpuan oleh wartawan di sana tetapi wartawan mereka sekali lagi
datang untuk mengadakan wawancara dengan missionary in-charge kita dan sekali
lagi mereka menyiarkan di dalam akhbar, kerana timbul rasa senang dalam diri
mereka ketika mereka mengadakan wawancara dengan kita. Inilah kurnia Allah
Taala yang tidak dapat kita hitung.
Selama lawatan saya
kira-kira 182 juta orang yang mengikuti perkembangan Jemaat, samada di radio
dan di televisyen. Begitu juga terdapat 1088 akhbar dan melalui akhbar
tersebut, kira-kira 160 juta orang yang membaca perkembangan Jemaat di dalam
akhbar yang disiarkan itu. Maka lihatlah bagaimana kurnia dan ihsan Allah
Taala, bagaimana Dia telah mengatur sedemikian rupa sehingga amanat Islam dan
Ahmadiyyah yang hakiki dapat di sampaikan kepada dunia.
Melalui Media Massa jutaan orang yang
menyaksikan amanat dan perkembangan Jemaat. Seorang pegawai atasan televisyen broadcast Ghana telah mulai mengambil
program dari M.T.A. untuk disiarkan di televisyen Ghana. Ketika acara Jalsa
Salana di Ghana tahun 2013 seluruh program acara Jalsa disiarkan melalui
satelit dan selain negara Ghana, negara-negara yang lain pun mendapat siaran
tersebut. Oleh itu, lihatlah bagaimana luar biasanya jalan yang dibuka oleh
Allah Taala untuk menyampaikan amanat Islam ini. Pelbagai respon yang saya
terima, yang membuatkan hati mereka tersentuh. Orang-orang bijak-pandai seperti
ahli politik dan pembuat dasar negara, apabila mereka mengetahui ajaran Islam
yang hakiki yang dibawa oleh Jemaat, mereka rasakan ajaran yang diperolehi itu
seperti baru bagi mereka. Sedangkan ajaran tersebut bukanlah suatu ajaran yang
baru. Bagi pandangan mereka perkara tersebut suatu yang sangat mengkagumkan,
mereka menyatakan rupanya masihh ada lagi ajaran Islam seperti ini pada masa
kini. Oleh itu, lihatlah betapa banyaknya kurnia yang dianugerahkan Allah Taala
yang Jemaat perolehi dari pelbagai sudut.
Sebahagian perangai
orang-orang munafik mulai menceritakan perkara yang tidak baik tentang Jemaat.
Jemaat ini memperoleh kemajuan melalui seseorang atau mereka mempersoalkan
kenapa wang Jemaat digunakan dengan cara yang membazir? Sebenarnya, orang-orang
yang seperti ini memang wujud di dalam Jemaat tetapi sebenarnya untuk
menyampaikan amanat Jemaat ini tidak memerlukan seseorang manusia pun.
Semua urusan yang
dilakukan itu adalah kurnia Allah Taala dalam menyampaikan amanat Jemaat bukan
untuk membazirkan wang Jemaat, bukan seperti orang-orang yang menyebarkan
khabar angin tanpa usul-periksa. Jadi orang-orang yang seperti ini, anggota
Jemaat perlu berhati-hati. Seperti yang saya sebutkan tadi bahawa pekerjaan ini
bukanlah usaha daripada manusia tetapi pekerjaan itu adalah semata-mata kurnia
daripada Allah Taala. Jika Allah Taala tidak meredhai, bagaimanapun kita
berusaha untuk melakukan pekerjaan itu, maka usaha itu tidak akan pernah
tercapai. Malah ketika saya mengadakan lawatan di pelbagai tempat dan saya
perhatikan kebanyakkan anggota Jemaat memiliki semangat yang tinggi untuk
bertemu dengan saya. Tetapi orang-orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi
mereka sedikit pun tidak mempunyai perasaan seperti itu. Dan disebabkan ada
sesuatu perkara, saya menolak untuk berjumpa dengan mereka dan setelah itu
orang-orang ini berkali-kali mendesak supaya saya dapat berjumpa dengan mereka.
Dengan perbuatan mereka itu, orang-orang Jemaat menjadi saksi akan perkara
tersebut. Oleh itu, jangan sekali-kali mempunyai anggapan bahawa melalui orang
tertentu amanat Jemaat baru dapat di sampaikan, pemikiran yang seperti itu
adalah pemikiran yang tidak benar sama-sekali. Semua urusan itu adalah kurnia
Allah Taala yang dijanjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa ‘Aku akan sampaikan tablighmu ke seluruh
pelusuk dunia’, bukannya dari seseorang yang menyampaikan amanat tersebut.
Oleh itu, setiap
orang Ahmadi haruslah ingat bahawa kita tidak mengharapkan apa-apa dari
orang-orang duniawi dan dari pemimpin-pemimpin dunia dan kami pun tidak
memerlukan daripada mereka. Kita hanya bergantung harap dengan zat Allah Taala,
Dia-lah Pelindung dan Dia-lah Penolong, yang telah memperlihatkan kemajuan yang
luar biasa di hadapan kita semua.
Melihat akan
kemajuan Jemaat di Afrika, para ulama dan pemimpin-pemimpin mereka mulai merasa
cemburu dan kesal. Mereka mulai menunjukkan rasa tidak senang hati kerana dunia
telah berkumpul di bawah bendera Allah Taala dan Rasulullah sallallahu alaihi
wasallam. Malah dalam fikiran mereka, menyatakan bahawa melalui Jemaat
Ahmadiyyah orang-orang mulai menjadi Muslim yang hakiki. Di Afrika, beberapa
hari yang lalu, orang-orang ini, mereka berusaha untuk menghalang perkembangan
Jemaat.
Mereka menyatakan,
apa yang sudah terjadi, semua orang telah menjadi Muslim melalui Jemaat
Ahmadiyyah. Kami inginkan supaya Islam disebarkan dengan kekerasan dan
kekejaman dan orang-orang ini pula menjadi Muslim lalu mereka menjauhkan segala
fitnah dan kekacauan. Inilah yang sedang berlaku ke atas pemimpin-pemimpin
duniawi yang banyak terdapat duri yang tajam begitu juga para ulamanya.
Seorang muballigh
kita di Togo menceritakan, beliau telah berkunjung ke sebuah tempat yang
bernama Ayakope dan orang-orang Nou Mubayyin berkata, sebelum ini ada
sekumpulan orang-orang Muslim telah datang ke sini dan memberikan kami makanan
dan barang-barang lalu mereka berkata, bahawa kami mengajak anda semua untuk
menerima Islam. Lalu kami berkata kepada mereka anda datang ke sini untuk
membawa kami masuk ke dalam Islam atau untuk menyogok kami? Kami sekali-kali
tidak akan melakukan perkara seperti itu kerana diri kami telah menjadi Jemaat
Ahmadiyyah dan Jemaat telah melakukan tabligh kepada kami dan sebelumnya lagi
kami telah menerima Islam. Dan kami tidak memerlukan sogokan daripada anda.
Jemaat telah mengajarkan tentang kecantikan Islam kepada kami begitu juga
Jemaat telah mengajar anak-anak kami cara mendirikan solat dan mengaji Al
Quran, sebab itu kami tidak memerlukan sogokan dari anda dan bawalah kembali
barang-barang yang anda berikan kepada kami ini. Islam yang anda bawa, kami
tidak sudi menerimanya. Kami hanya menerima Islam hakiki yang dibawa oleh Nabi
Muhammad sallallahu alaihi wasallam, yang tabligh itu, seperti yang pada masa
kini yang dibawa oleh Jemaat Ahmadiyyah, yang membuatkan keimanan kami kepada
Allah Taala menjadi semakin meningkat. Dan pada masa sekarang masjid pun telah
dibina untuk Nou Mubayyin.
Begitu juga seorang
muballigh dari Niger menceritakan, sebuah bandar di Barnikoni, terdapat sebuah
kampung bernama Botoro, ketika diadakan pertablighan di kampung tersebut,
dengan kurnia Allah Taala seluruh kampung di situ telah baiat dan masuk ke
dalam Jemaat. Sejurus itu, Jemaat telah mengajar Yassarnal Quran kepada
anak-anak di kampung tersebut dan Jemaat juga telah mengadakan refreshing course untuk para imam di
situ, begitu juga Jemaat telah mengadakan kelas tarbiyyat untuk mereka. Apabila
berita ini diketahui oleh seorang Maulvi Wahabi maka dia pun membawa sekumpulan
Maulvi ke kampung tersebut dan mereka mulai menyebarkan fitnah dalam ceramah
mereka, dengan menyatakan bahawa orang-orang Ahmadi adalah kafir, oleh itu
kalian hendaklah keluar dari Jemaat Ahmadiyyah, kerana kami akan membina masjid
dan masjid tersebut akan diberikan kepada kalian.
Setelah mendengar
ucapan para Maulvi itu, ketua kampung di situ, dia memberitahu kepada para
Maulvi yang datang ke kampungnya bahawa semenjak saya dilahirkan dalam Islam
dan umur saya sekarang sudah berada di hujung usia, saya tidak pernah melihat
anak-anak di kampung ini membaca Al Quran dan membicarakan tentang Islam tetapi
berkat daripada Jemaat Ahmadiyyah yang datang ke sini, anak perempuan saya
boleh mendengarkan kepada saya doa-doa dan membaca hadis-hadis di hadapan saya.
Oleh kerana anda sekalian, kerana anda pertama kali datang ke kampung ini
dengan melakukan keributan, maka kali ini saya maafkan anda semua tetapi jika
sekali lagi anda datang ke kampung ini dan membuat keributan maka kaum lelaki
yang berada di kampung ini akan membelasah kalian semua.
Apabila para Maulvi
tadi mendengar ancaman tersebut, mereka mulai rasa ketakutan dan tanpa
berlengah lagi, mereka ambil kenderaan lalu beredar dari kampung itu.
Seorang muballigh
dari Burkinafaso menceritakan sebuah daerah Banfura, Jemaat Niankara, di sana
anggota Jemaatnya seramai 210 orang yang baiat pada tahun ini. Di kampung itu
terdapat dua buah keluarga yang mengikuti ajaran Ansari Deen. Mereka ini
mendesak supaya orang-orang Jemaat meninggalkan ajaran Jemaat dan masuk ke
dalam firkah Ansari Deen. Tetapi orang-orang Jemaat di situ tidak memperdulikan
mereka malah orang-orang Jemaat di situ berkata, bahawa melalui pertablighan
dan tarbiyyat Jemaat-lah kami merasa ketenangan dan kami tidak akan berpisah
dengan Jemaat ini dan bukan menuju kepada kegelapan. Dan orang-orang Jemaat di
situ, mereka juga membayar candah secara dawam.
Begitu juga Jemaat
kita di Benin, sebuah kampung yang
bernama Kodjromede. Ada seorang yang bernama Karim yang telah baiat, tetapi 2-3
bulan kemudian setelah dipengaruhi oleh para Maulvi, dia mulai melakukan
penentangan terhadap Jemaat. Suatu kali mu’alim kita memberitahu kepada Amir
Jemaat bahawa orang yang telah keluar daripada Jemaat tadi, dia telah
mengeluarkan bahasa yang kesat lalu Amir Jemaat berkata kepada mu’alim itu, ia
tidak menjadi masalah. Allah Taala telah berjanji jika ada orang yang murtad
maka Allah Taala akan menggantikan dengan satu Jemaat yang lebih besar. Dan
pada hari yang sama juga, mu’alim dan Amir Jemaat telah pergi ke sebuah
kampung Akonopey, di kampung itu rajanya
juga sebagai sebagai ketua kampung di situ dan kami telah bertabligh dengannya
dan setelah ditablighi, raja itu pun telah masuk ke dalam Jemaat. Kemudian di
sebuah kampung di Waga, kebetulan kami berjumpa dengan dua orang di kampung itu
dan mereka memberitahu supaya kami datang ke kampungnya dan bertabligh di sana,
maka setelah solat Maghrib kira-kira 32 orang telah masuk ke dalam Jemaat
setelah kami bertabligh dan menerangkan tentang Jemaat kepada mereka. Maka di
kampung itu berdirilah sebuah Jemaat yang baru. Dan orang yang murtad tadi,
sebenarnya atas sesuatu masalah dia dikehendaki oleh polis, maka orang itu
telah pergi keluar dari kampung tersebut.
Kemudian muballigh
in-charge dari Nigeria menceritakan, di daerah Cameroon sebuah tempat yang bernama Foumban,
orang-orang Muslim di situ, majoritinya adalah orang-orang kejam. Pertama kali
telah diadakan Jalsa Yaumi Khilafat. Seperti biasa pada tahun-tahun yang lalu,
kumpulan tabligh dari Pakistan datang ke Cameroon dan mereka menjadikan Jemaat
sebagai sasaran mereka. Berita tentang Jalsa Yaumi Khilafat telah disiarkan
secara langsung di televisyen dan radio dan berita itu sampai ke pengetahuan
mereka, maka seramai 24 orang-orang tabligh bersama 10 orang dari Kenya, 15
dari Cameroon dan Chad telah sampai di sempadan. Di daerah itu majoriti di
antara mereka adalah orang-orang Jemaat. Imam dan Naib Imam di daerah itu juga,
3 tahun yang lalu telah menerima Jemaat. Kumpulan tabligh yang datang ke daerah
itu telah berhubung dengan mu’alim kita. Mu’alim inilah yang telah menanam
benih Jemaat di daerah tersebut dengan menyampaikan ajaran Jemaat dari rumah ke
rumah. Ketika orang-orang tabligh itu ingin berjumpa dengan mu’alim itu di
rumahnya, isteri mu’alim tersebut memberitahu bahawa beliau telah keluar. Oleh
itu, orang-orang tabligh tadi mereka telah pergi ke masjid pusat Jemaat dan di
masjid pusat, dengan kurnia Allah Taala masjidnya sangat besar lalu orang-orang
tabligh itu pun berjumpa dengan ketua Imam di situ dan mereka memberitahu
bahawa kami ingin mengadakan tabligh. Lalu Imam itu berkata, masjid ini
dimiliki oleh Jemaat, jika anda ingin menyampaikan tabligh tetapi kalau tabligh
yang anda sampaikan bertentangan dengan ajaran Jemaat, saya tidak akan izinkan
anda bertabligh di masjid ini, kerana dengan kurnia Allah Taala kami semua di
sini adalah Ahmadi Muslim. Oleh itu, anda tidak diizinkan dan anda semua boleh
pergi dari sini. Malah ketika itu, laporan kepada polis juga telah di buat dan
mereka pun telah di usir dari daerah itu.
Begitu juga para
Maulvi dari Pakistan telah berkumpul di Afrika Selatan. Seramai 20 kumpulan
Maulvi telah datang ke Afrika Selatan. Begitu juga para Maulvi yang datang dari
Delhi, India, Arab Saudi dan sekumpulan lagi orang-orang tempatan, atas nama Judicial Counsel, mereka mengadakan
persidangan untuk menentang Jemaat.
Dari Sierra Leone
juga ada laporan bahawa ramai para tabligh Mullah yang datang dari Pakistan,
Mesir dan Mullah yang belajar di Universiti Al Azhar dan pelajar-pelajar dari
Sierra Leone yang menuntut di Arab Saudi, yang mendapat pembiayaan dari Arab
Saudi dan dari situlah ratusan orang yang datang ke Sierra Leone. Menurut
laporan setiap pesawat yang tiba ke Sierra Leone pasti ramai para Mullah mereka
yang datang ke Sierra Leone. Dan mereka akan pergi ke bandar-bandar dan ke
kampung-kampung, menghasut orang awam supaya menentang ajaran yang di bawa oleh
Jemaat dan juga ajaran Syiah. Seharusnya mereka menjalankan tabligh tetapi
sebaliknya mereka hanya menyebarkan fitnah dan membuat kekacauan. Malah ketika
ini ada sebuah persidangan Afrika-Arab, mereka telah menyalurkan wang yang
sangat besar untuk negara Afrika, terutamanya di negara Sierra Leone, tujuanya
adalah untuk pembangunan dan membuka sekolah-sekolah di Sierra Leone. Berita
mengenai hal itu di siarkan di akhbar-akhbar bahawa mereka akan membangunkan
sekolah-sekolah di sana tetapi sebagaimana mereka berjanji akan membangunkan
sekolah-sekolah dan peruntukan untuk pembangunan yang diberikan tidak pernah
sampai kepada mereka. Jika sampai pun mereka akan makan wang itu sesama mereka.
Inilah Insya Allah Taala, mereka semua akan menerima balasannya nanti.
Jika diperhatikan
di mana sahaja Jemaat memperoleh kemajuan, di situ pasti ada kurnia daripada
Allah Taala, tapi para musuh juga dengan gencarnya melakukan penentangan
terhadap Jemaat. Walaupun penentangan yang mereka lakukan, penentangan itu
tidak pernah mematahkan semangat kita dan kita tidak memikirkan hal itu dan
memang tidak perlu memikirkannya. Kegagalan mereka, akhirnya telah tertulis dan
telah ditakdirkan. Tetapi apa yang kita fikirkan ialah bahawa di masa yang akan
datang juga Allah Taala akan menjadi pewaris kurnia bagi kita dan untuk
menghadapi para musuh pula keimanan kita semakin bertambah kuat. Kita akan
berusaha untuk menyempurnakan misi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjadi
yang terbaik daripada sebelumnya, dengan lebih banyak memanjatkan doa-doa, mengirimkan
salawat dan beristighfar, semoga Allah Taala sentiasa memperlihatkan rahmat-Nya
kepada kita dan memperluaskan kurnia-kurnia-Nya kepada kita. Dan perbuatan
makar (rencana jahat) yang dilakukan oleh para musuh akan berbalik semula,
menimpa diri mereka dan setiap penentangan yang mereka lakukan, penentangan itu
akan diterbangkan ke udara. Semoga Allah Taala menurunkan lebih banyak lagi
kurnia kepada kita daripada sebelumnya.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda, Allah Taala memberikan kekuatan di dalam doa. Allah
Taala berkali-kali memberitahu kepadaku melalui ilham bahawa apa sahaja yang
berlaku adalah melalui doa. Senjata kita adalah doa selain doa tiada senjata
yang dimiliki oleh diriku. [Sirat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dari Hazrat
Shiekh Ya’kub Ali Irfani Sahib, Halaman 518-519]
Hari ini adalah
bulan Januari bagi minggu pertama dan ia adalah tahun baru bagi perjanjian
Waqfe Jadid untuk tahun 2014. Melalui Allah Taala juga Waqfe Jadid ini wujud
dan sedang dilaksanakan oleh Jemaat. Saya akan dihuraikan ulasannya dan ini
semua adalah kurnia Allah Taala, melalui candah ini, wangnya digunakan untuk
pertablighan, membina masjid-masjid dan digunakan untuk perkara-perkara penting
yang lain. Oleh itu, tentang perkara ini, saya akan menerangkan lebih lanjut
lagi. Seperti yang kita ketahui gerakan Waqfe Jadid sebelumnya hanya
diperuntukkan di Pakistan sahaja. Tetapi di masa Hazrat Khalifatul Maseeh Rabi,
beliau telah melancarkan gerakan ini ke seluruh dunia. Hazrat Khaliaftul Maseeh
Rabi, melancarkan gerakan ini supaya Jemaat di Afrika dan India dapat
memperluaskan tugas-tugas Jemaat. Seperti yang saya beritahu bahawa dalam masa
satu tahun negara Afrika dan India telah dapat mendirikan masjid-masjid dan
rumah-rumah misi, dan ada juga rumah-rumah misi yang Jemaat telah membelinya.
Selain daripada itu melalui pertablighan dengan kurnia Allah Taala banyak
orang-orang yang berfitrat baik telah masuk dan menerima Jemaat Ahmadiyyah,
yakni Islam hakiki iaitu berkat taufik yang dianugerahkan oleh Allah Taala.
Tidak ketinggalan
juga orang-orang Ahmadi yang tinggal di negara-negara Afrika dan India, mereka
juga telah melakukan pengorbanan menurut kemampuan mereka masing-masing,
walaupun disebabkan kemiskinan mereka tidak mampu untuk memberikan dalam jumlah
yang banyak untuk memenuhi segala pengorbanan. Oleh kerana itu, dari
negara-negara yang kaya sangat membantu dalam gerakan ini supaya wang yang
diperolehi itu dapat dibelanjakan untuk negara-negara Afrika dan India. Tetapi
seperti yang saya sebutkan sebelum ini, walaupun mereka berada di paras
kemiskinan tetapi semangat pengorbanan mereka sangat luar biasa.
Muballigh kita dari
Guinea Conakry menulis, seorang pemuda Ahmadi yang bernama Muhammad
menceritakan bahawa tarikh perkahwinannya telah ditetapkan tetapi wang untuk
perbelanjaan perkahwinan belum mencukupi, dari mana sumber yang boleh
diperolehi. Pihak wanita pula sudah mulai menunjukkan rasa putus harapan. Dan
ketika itu pula, candah sedang ditagih daripada setiap anggota dan pemuda yang
akan melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi itu telah memberikan wang
yang dia simpan untuk perkahwinan itu untuk membayar candah. Ketika tunangnya mengetahui
hal itu, dia mulai ribut, menunjukkan rasa tidak senang. Dia menyatakan kepada
pemuda itu, apa yang telah engkau lakukan? Wang yang sedikit itupun engkau
telah berikan untuk candah. Lalu pemuda itu berkata kepada tunangnya, dengan
kurnia Allah Taala, aku seorang yang beriman dan yakin akan keberadaan Tuhan.
Engkau jangan merasa risau, Allah Taala pasti akan menolong kita. Orang yang
membelanjakan hartanya di jalan-Nya, Dia tidak akan mensia-siakannya. Dia
memberitahu bahawa pada hari esok, ketika dia pergi kerja, wang yang sudah lama
tertunggak yang belum dia perolehi, tiba-tiba pada hari itu dia mendapat wang
tunggakannya itu.
Apabila petangnya
dia pulang ke rumah dengan membawa wang itu, orang-orang di rumah merasa
terperanjat bagaimana Allah Taala dengan begitu cepat memberikan kurnia-Nya.
Kemudian,
perhatikanlah, bagaimana orang-orang seperti ini berkorban dengan senang hati
dan dengan kerelaannya.
Di Benin, muballigh
kita menulis, pada tahun pertama di daerah Cotanou di kawasan Atlantik, hujan
turun dengan lebatnya, membuatkan seluruh tanaman menjadi musnah dan
mengakibatkan orang-orang di daerah itu kebuluran. Seluruh tanaman ditenggelami
air dan mereka tidak memiliki apa-apa untuk dimakan, apalagi untuk membayar
candah. Melihat keadaan yang sudah gawat itu, maka mereka menulis surat kepada
saya untuk didoakan supaya keadaan dapat pulih semula. Salah seorang anggota
Jemaat di situ membuat keputusan, dia menyatakan bahawa kita masih mampu
membayar candah ketika tanaman kita tidak ditenggelami air tetapi sekarang
semuanya sudah musnah. Tetapi kali ini, kita sediakan sebidang tanah dan tanah
itu kita letakkan atas nama Jemaat lalu di atas tanah itu, tanamlah apa sahaja
dan hasil daripada tanaman tersebut kita berikan candah kepada Jemaat. Maka
orang-orang di situ mulailah menanam tanaman di atas tanah Jemaat tadi. Begitu
berkatnya Allah Taala berikan sehingga mereka mampu membayar candah sebanyak
11,800 Francs.
Begitu juga seorang
wanita dari Gambia berkata, apabila orang yang mengutip candah datang ke
rumahnya, lalu dia berkali-kali masuk ke dalam rumah dan mengambil berapa
sahaja wang daripada setiap anak-anaknya untuk diberikan candah lalu
anak-anaknya pun ikut mengambil di kantung, yang berisi berapa sahaja duit di
kantung itu, untuk dibayarkan candah. Muballigh menceritakan, wanita itu
berkata, kenapa kita harus tinggal di belakang demi untuk mendapatkan pahala.
Begitulah Allah Taala menanamkan dalam hati anak-anak itu tentang kepentingan
candah.
Seorang lagi wanita
nou mubayyin dari Gambia, dia pergi keluar untuk mendapatkan sabun untuk
mencuci pakaiannya tetapi dalam perjalanan dia mendapat tahu bahawa perjanjian
untuk pembayaran candah sedang dilaksanakan dan setiap orang diminta untuk
membayar berapa sahaja yang termampu. Maka setelah wanita itu mendengar
pengumuman itu, maka wang yang dia mahu beli sabun untuk mencuci pakaiannya,
dia berikan untuk candahnya lalu dia berkata, sabun yang dia ingin beli tadi,
Tuhan yang akan memberikannya. Lihatlah, bagaimana rencana Allah Taala, selepas
dua hari kemudian tiba-tiba muncul seorang tetamu yang datang ke rumahnya dan
membawa satu kotak sabun sebagai hadiah.
Begitu juga seorang
wanita di Benin, dengan secara sembunyi-sembunyi memperlihatkan kebaikannya dan
selalu mengambil bahagian dalam tugas agama. Beliau mempunyai kebiasaan dalam
membayar candah dan pada awal tahun apabila mendengar sahaja pengumuman
perjanjian candah, maka beliau akan mengingat kurnia yang Allah Taala
anugerahkan kepadanya dan beliau memberikan candah sebanyak 100,000 Francs. Dan
apabila pengutip candah tadi, memberitahu kepadanya bahawa kami pun sedang
menunggu pembayaran candah daripada salah seorang anak perempuannya yang
berjanji akan membayar candah, mendengar kata-kata orang itu, maka wanita itu
langsung memberikan 30,000 Francs untuk anak perempuannya. Lihatlah, bagaimana
kepribadian orang yang seperti ini, dia sanggup meninggalkan keinginan
peribadinya dan menganggap membayar candah, adalah suatu yang lebih penting.
Begitu juga muballigh
kita di Tanzania menulis, bagi yang belum memberikan candah apabila mereka
mendengar peringatan itu, mereka langsung memberikan candah mereka, sedangkan
keperluan mereka yang lain lebih banyak, tetapi mereka meletakkan keperluan
yang lain itu di belakang dan mereka langsung memberikan perhatian terhadap
pembayaran candah.
Amir Jemaat Mali
menulis, apabila Muallim kita Abdul Kadir mengumumkan tentang gerakan candah
dan memberitahu tentang kepentingan serta berkatnya, seorang imam di situ dia
sangat miskin, untuk membeli basikal pun dia tidak mampu. Imam itu bertanya,
berapa yang perlu saya bayar untuk candah? Lalu Muallim Sahib berkata, seberapa
sahaja yang Tuhan berikan taufik kepada tuan, itulah yang tuan harus bayar. Muallim
itu berkata lagi, usahakan, berapa pun yang tuan berikan daripada tidak ada.
Lalu imam itu member sebanyak 1,000 Francs. Imam itu berkata kepada dirinya,
jika benar dengan membayar candah akan mendapat berkat maka daripada berbasikal
alangkah baiknya jika dapat motosikal? Dan setelah enam bulan berlalu,
bagaimana Allah Taala memberikan taufik kepadanya untuk membeli motosikal dan
daripada candahnya 1000 Francs sebelum itu dan sekarang dia telah membayar
menjadi 65,000 Francs.
Begitu juga di
Haryana, India, seorang Ahmadi budgetnya sebanyak 12,000 Rupees, apabila
diberitahu tentang kepentingan candah, dia menyatakan bahawa gajinya sebanyak
50,000 Rupees sebulan. Oleh itu, dia menyediakan wang untuk membayar candah
menurut budgetnya. Maka sejak dari itu, dia mulai membayar candah secara dawam.
Di India, Inspektor
Waqfe Jadid menulis, seorang guru wanita di Jamu Kashmir, dari seluruh daerah
di situ, candah Waqfe Jadid, wanita itulah yang paling besar jumlahnya.
Daripada pendapatannya dia membuat satu kaedah, apabila budget baru Waqfe Jadid
diterima dari Khalifah, dia akan menetapkan budget untuk pembayaran candahnya.
Dan apabila perjanjian diminta daripadanya maka dia akan memberikan lebih
daripada perjanjiannya, yang dia telah tetapkan sebelum itu. Dan dia adalah
orang-orang yang paling awal dalam senarai pembayar candah. Dan pada tahun ini,
dia telah memberikan sebanyak 20,000 Rupees bagi pihak suaminya yang telah
meninggal.
Kemudian Inspektor
Waqfe Jadid menulis, Jemaat di Asnoor, seorang yang bernama Khawaja Sahib,
setiap kali datang untuk mengambil candah daripadanya, dia pasti akan
menceritakan kisah-kisah tentang kemajuan yang dia perolehi. Kali ini ketika Inspektor
Waqfe Jadid datang kepadanya, dia menceritakan bahawa saya banyak belajar
daripada peniaga-peniaga yang miskin dan mereka berlumba-lumba untuk bersaing
dengan saya dalam perniagaan. Dan saya berdoa semoga mereka pun mendapat
kemajuan. Tetapi alangkah baiknya jika mereka pun bersaing dalam pembayaran
candah. Dia memberitahu, ketika barang-barangnya tiba di bazar, walaupun harga
menurun pada hari itu, maka Allah Taala sendiri yang menyediakan harga yang
baik untuk saya.
Tidak terkira
banyaknya para wanita dan lelaki yang telah memberikan pergorbanan harta dan
yang memang memahami akan kepentingan membayar candah. Mereka bukan bergantung
harap pertolongan daripada orang-orang dari luar tetapi mereka sendiri yang
berkorban dan berusaha untuk berdiri di atas kaki sendiri. Daripada kisah ini,
dapat diketahui bagaimana semangat orang-orang Ahmadi dalam pengorbanan, yang
telah diajarkan dalam Al Quran tentang pengorbanan kepada kita. Dan tentang
kepentingan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ada mengemukakan untuk kita
pada zaman ini.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda, manusia sangat mencintai harta dunia, dengan itu menurut
ta’bir rukya ada tertulis, jika seseorang melihat hatinya dikeluarkan dan
diberikan kepada seseorang maka ta’birnya, dia akan diberikan harta. Kerana
itu, untuk memperoleh ketakwaan yang hakiki dan iman, Allah Taala berfirman
LANTANALUL BIRRA HATTA TUNFIQUU MIMMA TUHIBBUN yakni, sekali-kali kamu tidak
akan mencapai kebaikan yang sempurna, sebelum kamu membelanjakan sebahagian
dari apa yang kamu cintai. [Ali Imran:93] kerana dengan mempunyai rasa simpati
kepada orang lain melibatkan juga pengorbanan harta, tanpa berbuat demikian
maka keimananmu tidak akan sempurna. Selagi seseorang itu tidak mahu berkorban
bagaimana dia dapat memberikan faedah kepada orang lain. Dan ayat LANTANALUL
BIRRA HATTA TUNFIQUU MIMMA TUHIBBUN ayat inilah yang memberi pelajaran kepada
kita. Dengan membelanjakan harta di jalan Allah Taala adalah suatu tanda
ketakwaan seseorang itu. Ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyeru
tentang pengorbanan maka Hazrat Abu Bakar r.a. segera hadir dan mempersembahkan
segala harta di rumahnya di hadapan baginda. [Malfuzat Jilid 1, Halaman
367-368, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]
Semoga Allah Taala
menganugerahkan berkat ke atas orang-orang yang telah memberikan pengorbanan
dan memberi berkat kepada mereka yang telah memahami tentang roh pengorbanan.
Pada hari ini, saya
akan kemukakan pengorbanan Waqfe Jadid tahun lalu, iaitu bagi tahun yang ke 56.
Dan bagi tahun yang ke 57, iaitu tahun 2014 juga akan saya kemukakan.
Bagi tahun yang
lalu, iaitu tahun yang ke 56, dengan kurnia Allah Taala jumlah yang terkumpul
adalah sebanyak 5,484,000 Pounds. Dan jumlah itu melebihi sebanyak 466,000
Pounds pada tahun lalu. Dan pada tahun ini negara United Kingdom menduduki
tempat yang pertama. Kedudukan United Kingdom di tempat pertama yang ingin saya
katakan kerana pada tahun lalu negara Pakistan berada di tempat yang pertama.
Jadi pada tahun ini
Pakistan berada di tempat yang kedua, kemudian tempat ketiga adalah Amerika,
keempat Jerman, kelima Kanada, keenam India, ketujuh Australia, kelapan
Indonesia, kesembilan Timur Tengah dan kesepuluh adalah Belgium.
Dengan kurnia Allah
Taala, pada tahun ini United Kingdom dapat menggumpulkan jumlah yang tinggi.
Semoga Allah Taala memberkati bagi mereka yang telah memberikan pengorbanan.
Kali ini Amerika dan Jerman ketinggalan di belakang. Mereka perlu berusaha
lebih jika mereka ingin mendapatkan tempat yang pertama dan mereka perlu
berusaha untuk mengekalkannya kerana untuk mereka melompat, kelihatannya mereka
harus melompat lebih tinggi lagi.
Jumlah peserta yang
ikut membayar Waqfe Jadid adalah seramai 1,044,720 orang. Daripada jumlah
tersebut nou mubayyin dari negara Afrika yang paling banyak mengambil bahagian
dalam gerakan ini. Tetapi di masa akan datang perlu diambil perhatian terutama
bagi negara Afrika, walaupun mereka memberikan sebanyak 10 Pence, nama-nama
mereka perlu disenaraikan supaya kita dapat mengetahui jumlah sebenar
orang-orang yang membayar candah Waqfe Jadid.
Penambahan jumlah
yang terkumpul yang paling banyak, adalah dari negara Nigeria, Ghana dan
Mauritius. Kedudukan tiga teratas bagi Waqfe Jadid bagi wilayah-wilayah di
Pakistan, iaitu tempat pertama adalah Lahore, kedua Rabwah dan ketiga Karachi.
Pembahagian bagi daerah pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi,
Islamabad, Faisalabad, Sargodha, Gujranwala, Gujrat, Multan, Narowal dan
Haideabad.
Daftar Athfal bagi
Jemaat besar pula, tempat pertama, adalah Lahore, Karachi dan Rabwah. Daftar
Athfal bagi wilayah pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi. Dan bagi
yang baligh pula tempat pertama adalah Sialkot, Rawalpindi, Islamabad,
Faisalabad, Sargodha, Gujrat, Narowal, Multan Nankana Sahib.
Bagi keseluruhan 10
teratas Jemaat-jemaat besar di United Kingdom, tempat pertama adalah Birmingham
West, Gillingham, Raynes Park, Masjid Fazal, Worcester Park, Hounslow North,
Wimbledon, Bradford South, Balham dan New Malden. Bagi daerah pula, tempat
pertama adalah Middlesex, South London, Midlands dan North-East. Daftar bagi
Jemaat-jemaat kecil, tempat pertama adalah Spen Valley, Bromley&Lewisham,
Devon&Cornwall dan Northampton.
Bagi Jemaat Amerika
pula 10 teratas tempat pertama adalah Los Angeles Inland Empire, Silicon
Valley, Detroit, Seattle, Los Angeles East, Central Jersey, Silver Spring,
Central Virginia, Dallas dan Boston.
Bagi Lokal Jemaat
Jerman 5 teratas, tempat pertama adalah Hamburg, Frankfurt, Gross Grau,
Darmstad dan Wiesbaden. 10 Kutipan terbanyak bagi Jemaat Jerman, tempat pertama
adalah Rotenburg, Nida, Freiburg, Mainz, Fulda, Neuss, Raven, Harpstedt,
Kyllurg, Hannover dan Cologne.
Empat Jemaat
terbesar teratas bagi Kanada adalah, Calgary, Peace Village, Vaughan dan
Vancouver. Bagi Jemaat kecil pula adalah Edmonton, Durham, Ottawa, Saskatoon
South dan Milton.
Keseluruhan bagi
Jemaat India adalah Kerala, Jammu Kashmir, Andhra Pardesh, Tamil Nadu, West
Bengal, Urissa, Karnatak, Qadian Punjab, Maharastra, Delhi dan Uttar Pardesh.
Penerimaan terbanyak bagi negara India adalah Keralai, Calicut, Noot Town,
Hyderabad, Qadian, Calcutta, Chenai, Bengardi, Bangalore, Rishi Nagar,
Partarmaparam, Mihtutum dan Krinak. Semoga Allah Taala menerima pengorbanan
mereka hendaknya.
Selepas solat
nanti, saya akan memimpin solat jenazah, iaitu Mukarram Yusuf Lateef Sahib,
dari Boston, Amerika. Beliau telah meninggal dunia pada 23 Disember 2013,
berusia 93 tahun. Inna lillaahi wa inna
ilaihi rajiun.
Beliau dilahirkan
pada 9 Oktober 1920 di Tennessee, Boston. Setelah beliau membaca buku Hazrat Maseeh
Mau’ud alaihissalam dan Hazrat Muslih Mau’ud r.a. pada tahun 1948 beliau telah
mendapat taufik untuk baiat. Beliau seorang Ahmadi, African-American. Beliau
selalu menyatakan adalah suatu tanggungjawab bagi saya untuk baiat. Jika saya
tidak berbuat demikian maka saya akan tergolong sebagai orang yang berpaling
kepada Tuhan dan kebenaran. Beliau memperoleh ijazah kedoktoran dan sebagai
profesor yang mengajar di pelbagai Universiti. Beliau juga menulis pelbagai
buah buku termasuk autobiografi beliau. Disebabkan kemasyhuran beliau,
akhbar-akhbar di Amerika menyiarkan tentang kewafatannya. Ketika Presiden
Clinton menjemput beliau ke White House dan walaupun beliau seorang
African-American tetapi beliau datang dengan memakai Shalwar Kameez [Pakaian
tradisi Pakistan]. Beliau memenangi Award
dalam bidang beliau, menyerupai hadiah Nobel
Prize. Disebabkan beliau seorang Ahmadi, beliau tidak ada kompromi dalam
soal agama. Beliau banyak menulis mengenai muzik tetapi tempat-tempat yang ada
jual alkohol beliau tidak akan hadir di situ. Beliau telah mendapat taufik
mengerjakan Haji dan Umrah ke tanah suci. Sekretari Maal berkata, setiap bulan
apabila beliau menerima cek, pertama sekali beliau akan membayar candah dan
berkata, sebagaimana dahulu saya yakin, ketika saya baiat, begitu juga sekarang
bahawa Ahmadiyyah adalah suatu jalan kebenaran. Dan inilah jalan yang dilalui
oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Saya begitu yakin bahawa sesiapa
yang mengikuti jalan ini maka ia tidak akan binasa dan saya yakin, dengan
mengikuti jalan ini saya dan keluarga saya akan mendapat keselamatan. Dan
keimanan saya menyatakan bahawa melalui Ahmadiyyat seluruh manusia diajarkan
untuk bersaudara.
Beliau juga
berkesempatan melawat ke Qadian dan Rabwah. Pada tahun lalu beliau
berkesempatan juga datang ke Jalsa, London. Beliau sangat cinta dengan Khilafat.
Beliau juga pernah berjumpa dengan Hazrat Khalifatul Maseeh Salis r.a.,
Khalifatul Rabi r.a. dan dengan saya juga. Ketika beliau datang ke Jalsa,
London, beliau dalam keadaan sakit dan duduk di kerusi roda. Seorang yang baik
dan berdisiplin. Dawam dalam mengerjakan solat Jumaat. Seorang yang merendahkan
diri, menunjukkan kasih sayang dengan penuh hormat dan seorang yang mukhlis.
Selain dengan orang-orang Ahmadi, beliau juga menunjukkan kerendahan diri
dengan orang-orang yang bukan Jemaat. Beliau mendapat taufik memegang beberapa
jawatan dalam Jemaat dalam tempoh yang panjang. Beliau sangat minat dengan
Da’wat llallah. Beliau akan memberikan risalah-risalah dengan jiran-jiran,
saudara-mara dan kawan-kawannya. Di poketnya sentiasa ada risalah-risalah yang
boleh dibahagi-bahagikan kepada orang-orang dan di dalam kapal terbang pun
beliau akan memberi risalah-risalah kepada orang-orang yang berada di dalam
pesawat. Beliau menerbitkan dengan biaya sendiri buku Falsafat Ajaran Islam,
buku tarbiyyat untuk anak-anak dan buku untuk orang-orang buta. Beliau seorang
Musi, beliau meninggalkan seorang isteri, bernama Aisya Lateef dan seorang
anak, Mukaram Yusuf Lateef Sahib. Semoga Allah Taala memberikan kesabaran dan
keteguhan kepada mereka dan dapat meneruskan kebaikan yang dilakukan oleh
beliau.
----------------------------<<<>>>----------------------------
Penterjemah
Abdul Latief Ahmad
Kota Kinabalu, Sabah
11 September 2014
No comments:
Post a Comment