Saturday, September 20, 2014

KASIH SAYANG DAN PERSAUDARAAN





TERJEMAHAN KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
27 Disember 2013 / 27 Fatah 1392HS
Masjid Baitul Futuh, London

----------------------------<<<>>>----------------------------

Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah.

Dengan kurnia Allah Taala pada hari ini, di Qadian sedang berlangsungnya Jalsa Salana. Sebahagian orang menyangka setelah partition Jalsa Salana yang diadakan di Qadian hanya untuk Jalsa Salana di India sahaja. Tetapi Qadian, adalah tempat lahirnya Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan dari Qadian-lah amanat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tersebar ke seluruh dunia, yang menjadi zaman pembaharuan kali kedua bagi umat Islam, maka Jalsa Salana di Qadian telah menjadi Jalsa Salana International.

Dengan kurnia Allah Taala hari ini, terdapat perwakilan daripada kira-kira 32-33 buah negara yang hadir di Jalsa Salana Qadian. Oleh itu, Qadian menjadi suatu tempat yang amat signifikan dan dengan diadakan Jalsa di sana juga, tempat tersebut menjadi suatu tempat yang amat penting dan berharga. Orang-orang Ahmadi yang bermastautin di sana dan orang-orang yang hadir untuk mengikuti Jalsa dari seluruh dunia juga akan menjadikan tempat ini suatu tempat yang penting dan berharga. Tetapi tempat itu, baru ternyata, akan menjadi suatu tempat yang signifikan, apabila orang-orang yang bermastautin di situ menjadikan tempat itu suatu tempat yang berharga dan bernilai. Apabila orang-orang yang menghadiri Jalsa ini mengetahui tujuan mereka datang ke Jalsa, siang dan malam mereka lalui dengan maksud, yang mana mereka telah mengikatkan baiat mereka kepada hamba sejati Nabi Muhammaad sallallahu alaihi wasallam dan Imam untuk zaman ini.

Umumnya, di mana sahaja Jalsa diadakan, suasana di dalam Jalsa tersebut akan memberikan kesan yang mendalam ke atas rohani mereka yang menghadiri Jalsa tersebut. Dan kesan kerohanian ini hanya dapat dirasakan oleh mereka yang mengalaminya. Tetapi Jalsa di Qadian, ada satu suasana kerohanian yang dapat kita rasakan. Bagi mereka yang hadir di dalam Jalsa dan setiap orang-orang yang mukhlis harus merasakan suasana kerohanian yang terdapat di Qadian, kerana kewujudan yang mesra dan bisikan angin yang terdapat di lorong-lorong Qadian mengingatkan kita dengan haruman rohani kepada hamba sejati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang dibangkitkan oleh Allah Taala.

Nasihat agama yang diberikan di tempat suci ini juga mempunyai ciri khas yang memberikan kesan yang mendalam di sanubari kita. Dan setiap hati orang-orang mukhlis harus merasainya, kerana bagi yang hadir di dalam Jalsa ini hendaklah memberikan tawajjuh, yang mana penceramah-penceramah memberikan ceramah untuk tarbiyyat dan ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh mereka hendaklah direnungi sepenuhnya kerana Jalsa ini adalah Jalsa yang telah diadakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Menurut saya, perkataan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pasti akan disampaikan oleh wakil saya ketika perasmian Jalsa nanti. Saya katakan begitu, kerana saya tidak dapat hadir di sana. Tetapi selalunya tujuan Jalsa diadakan akan disampaikan sewaktu perasmian Jalsa tersebut. Walau bagaimanapun harapan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam supaya setiap orang yang hadir dapat mengikuti Jalsa tersebut dengan penuh semangat.

Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, ramai wakil-wakil dari setiap negara yang datang ke Jalsa Qadian dan salah satu tujuan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam ialah supaya setiap individu Jemaat, selama mengikuti Jalsa ini hendaklah saling kenal-mengenal dan saling menjalinkan kasih sayang antara anggota Jemaat dengan penuh kecintaan. [Di ambil dari Majmuah Isytiharat Jilid 1, Halaman 281, Isytihar No 91, Cetakan Rabwah]          

Oleh itu, pada hari ini standard saling kenal-mengenal dan ikatan persaudaraan begitu luasnya, yang dapat disaksikan oleh kita di Qadian, yang tidak ada misalnya di tempat lain. Apabila kita melihat mereka yang datang ke Qadian, apakah mereka seorang pekerja biasa dari Amerika, Russia, Arab atau dari Eropah, ketika mereka berjumpa maka akan kelihatan suatu roh yang menjelma iaitu suatu ikatan persaudaraan orang-orang mukmin dan roh kebaikan ini harus diwujudkan. Jika di dalam hati terselit sifat keangkuhan maka semangat persaudaraan tidak akan terwujud. Setiap orang yang kaya dengan saudaranya yang miskin, samada ia mengenalnya atau tidak, samada ia melakukan hubungan yang baik atau tidak, samada ia memberikan kesenangan atau banyak memberikan rungutan, selagi semua penyakit ini tidak dihapuskan, selagi ada perbezaan antara kaya maupun miskin, tidak berusaha untuk menghapuskannya dan tidak menunjukkan contoh persaudaraan, maka bagi mereka yang hadir dan mendengar ceramah-ceramah di Jalsa ini, bagi orang yang seperti itu, ia tidak akan membawa apa-apa faedah bagi dirinya. Dan kedatangan mereka ke Jalsa akan menjadi sia-sia.

Persekitaran rohani di Qadian bagi orang-orang yang hatinya keras maka orang yang seperti itu akan kosong daripada kerohanian. Sehubungan dengan itu, tujuan Jalsa yang sebenar jika di ambil faedah dengan sempurna maka mereka yang hadir akan menganggap bahawa Jalsa itu adalah suatu pertemuan yang istimewa seperti yang disabdakan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Hapuskan perbezaan antara orang-orang kaya dan yang miskin, yang berkedudukan maupun yang tidak mempunyai kedudukan. Jika terdapat perselisihan faham maka dalam Jalsa ini, hendaklah perselisahan itu dijauhkan, seolah-olah perselisihan itu seperti tidak pernah wujud.

Bagi yang tinggal di Qadian pula, hendaklah seseorang itu memeriksa hati masing-masing. Hendaklah melihat diri masing-masing, bagaimana Allah Taala telah memberikan kesempatan kepada mereka yang tinggal di tempat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dilahirkan. Persekitaran yang ada di Qadian ketika ini, hendaklah sama seperti persekitaran yang wujud di zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dambakan. Dan untuk mengekalkannya anggota Jemaat harus berusaha memberikan tarbiyyat yang khusus ke arah tersebut, di mana Allah Taala telah memberikan kesempatan bagi mereka yang tinggal di Qadian dan dapat mengikuti Jalsa. Oleh itu, kesempatan dalam memberikan tarbiyyat hendaknya di ambil faedah sebanyak-banyaknya.

Oleh itu, setiap mereka yang datang dengan kecintaan dan persaudaraan hendaklah menegakkan ikatan persaudaraan, begitu juga setiap Ahmadi yang tinggal di Qadian hendaklah meninjau, apakah mereka berjaya melakukan perkara itu? Jika mereka berjaya membuat demikian maka keinginan duniawi mereka dapat mensucikan hati mereka dan diri mereka akan tertuju kepada hari akhirat dan akan timbul kefahaman dalam diri mereka. Setelah itu akan timbul rasa takut kepada Allah Taala dan tidak akan memikirkan kehidupan duniawi yang fana ini. Tetapi wal tanzur nafsun ma kaddamat ligad hendaklah setiap jiwa memperhatikan apa yang didahulukan untuk esok hari, akan berada di hadapan kita.

Berusahalah supaya mendapatkan keredhaan Allah Taala dan untuk mendaptakan kebaikan ukhrawi, perlihatkan ketaatan dan ketakwaan ketika menjalani kehidupan di dunia ini, jangan sibuk memikirkan hal-hal duniawi serta tidak ada perasaan takut kepada Allah Taala. Hendaklah mengikat janji baiat dengan dispilin, jangan hanya kelihatan cantik berikrar di mulut. Apakah timbul rasa takut dengan Allah Taala dan memiliki hati yang lembut atau berlaku zalim, dan mempunyai akhlak yang buruk dan memiliki hati yang jahat. Apakah dapat memperlihatkan kerendahan diri atau ada sifat takabur, yang membuat dirimu berjalan dengan keangkuhan atau kebenaran yang menyebabkan dirimu tampak menawan atau kedustaan yang mengelapkan, yang membuatkan kemarahan Allah Taala. Hendaknya misi agama Maseeh Muhammadi disempurnakan atau tenggelam kerana kesilauan duniawi sehingga terlupa tujuan hidup yang sebenar. Oleh itu, perhatikan amalan kita apakah ma kaddamad ligad telah meletakkan kita di hadapan?

Oleh itu, Jalsa selama tiga hari ini, adalah suatu perkara yang harus di tinjau dan berusaha mengamalkan hari yang terbaik ini, menurut apa yang Allah Taala redhai. Hari yang memberikan kesan rohani antara satu dengan yang lain. Begitu juga mereka yang mengerjakan solat tahajjud berjamaah maupun secara individu dapat merasakan suasana yang istimewa ini. Mereka yang diberikan taufik untuk berdoa di tempat-tempat sujud Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pasti dengan tidak sabar-sabar, hati mereka untuk berdoa. Tanpa disedari mereka telah menyebarkan suatu suasana rohani dalam diri mereka.

Oleh itu, selama tiga hari ini, ambillah faedah sebanyak-banyaknya dan jangan ada seorang Ahmadi pun, yang pulang tanpa mendapatkan apa-apa faedah tujuan ia datang ke Jalsa ini. Begitu juga mereka yang tinggal di Qadian, jangan ada di antara mereka, selama tiga hari ini tidak melakukan pembaikan dalam diri mereka. Ada suatu perkara yang harus diingat, iaitu jika seseorang itu dapat melakukan perubahan dalam dirinya atau telah melakukannya maka perubahan yang dilakukan itu hendaklah tetap berkekalan.

Perkara ini akan dapat dilakukan apabila setiap orang menyimpan satu iradah yang teguh dalam dirinya bahawa perubahan suci yang kami akan lakukan ini akan kami tegakkan sepanjang hidup kami. Iradah yang dilakukan ini, iaitu setelah kami mendengar ceramah-ceramah dan ilmu pengetahuan yang disampaikan bukan sahaja untuk menambah ilmu pengetahuan atau ilmu pengetahuan yang kami perolehi hanya untuk sementara sahaja, ia harus berusaha supaya ilmu pengetahuan yang di sampaikan akan berkekalan berada di dalam dirinya. Dan iradah yang kita lakukan ini hendaklah dilakukan dengan teguh bahawa kita bukan di antara mereka yang apabila disuruh melakukan sesuatu perkara, lain pula yang dilakukan.

Apa sahaja ilmu yang kita perolehi haruslah melekat berterusan dalam kehidupan kita. Sentiasalah fiman Allah Taala ini berada di hadapan kita: “Hai Orang-orang beriman! Mengapakah kamu menyatakan apa-apa yang kamu tidak kerjakan”.[Al Saff:3] Oleh itu, apabila hal ini telah diberikan tawajjuh maka tujuan kedatangan ke Jalsa akan menjadi sempurna. Tujuan tersebut akan berkekalan lebih lama, yang untuk mendapatkannya, kita telah mengambil baiat dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dengan demikian kita akan mendapat berkat yang berkekalan, dengan Jalsa yang kita hadiri ini. Maka akan terarahlah untuk meningkatkan amalan kita dan akan meninjau jauh ke dalam diri kita. Barulah dapat menegakkan kebaikan di hadapan anak-anak kita, yang akan menjadi sumber inspirasi dalam mendidik anak-anak kita itu. Barulah akan terkesan, bimbingan yang diberikan kepada orang-orang bawahan kita, serta pertablighan yang dilakukan sudah semestinya akan menjadi hak milik kita sepenuhnya.

Oleh itu, ini adalah suatu tugas yang amat berat yang setiap di antara kita perlu disempurnakan. Tetapi untuk mencapainya, daripada melihat ketidak matangan kita, lebih baik kita melihat hakikat sebenar apa yang kita inginkan. Untuk mendapatkan makrifat Ilahi, kita perlu merasakan keresahan dengan meletakkan leher di hadapan Allah dan Rasul-Nya. Apabila kita memperlihatkan contoh ketaatan yang tidak berbelah bahagi walaupun di hadapan kita berdiri sebuah tembok, kita seharusnya tidak akan memberikan pelbagai alasan di dalam diri kita. Suatu matlamat, baru akan tercapai apabila ajaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, harapan dan keinginan yang didambakan oleh beliau dijadikan keutamaan, serta kita memperlihatkan contoh teladan dalam kebenaran dan ketaatan yang diinginkan oleh beliau. Apa yang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam harapkan dan inginkan?

Beliau bersabda, Seiringkanlah tutur kata dan perbuatanmu seperti yang diperlihatkan oleh para sahabat dalam kehidupan mereka, dalam mempamerkan kebenaran dan kerendahan hati. Sentiasalah meletakkan di hadapan contoh seperti Hazrat Abu Bakar r.a. [Malfuzat, Jilid 1, Halaman 248, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]

Oleh itu, apabila kita merenungi akan hal ini, kita akan dapat melihat suatu keajaiban, contoh yang diperlihatkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan Hazrat Abu Bakar r.a. Apabila Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mendapat ilham daripada Allah Taala bahawa baginda telah di angkat sebagai nabi maka Hazrat Abu Bakar r.a. tanpa banyak soal, beliau r.a. telah beriman kepada baginda sebagai utusan Allah Taala. [Dala’il Al Nubuat, Jilid 1, Halaman 24, Bab Dala’il Al Nubuat Abu Bakar, Daru-ul- Kutub, Beirut 2002]

Apabila Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam menyatakan untuk kepentingan agama baginda memerlukan candah, maka orang-orang mukmin diperintahkan untuk mengorbankan harta mereka, maka Hazrat Abu Bakar r.a. telah menyerahkan seluruh hartanya di hadapan baginda. [Sharah Al ilamatu Al zirakani, jilid 4, Halaman 69, Bab Khazwah Tabuk, Cetakan Daru-ul-Kutub Al Ilmiah, Beirut 1996]

Apabila Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda, disebabkan kezaliman yang telah dilakukan oleh orang-orang kafir, maka aku memerintahkan kaum Muslim untuk berperang, membalas kembali kekerasan dengan mengangkat pedang melakukan perlawanan terhadap pihak musuh. Tetapi apabila baginda memutuskan supaya perdamaian Hudaibiyah dilaksanakan, maka baginda telah mengubah keputusannya supaya jangan melakukan peperangan, sebaliknya diadakan perdamaian bagi kedua belah pihak. Ketika baginda membuat keputusan itu, para sahabat merasa amat kecewa kerana pihak lawan ketika itu telah mengalami kekalahan dan mengapa pula baginda mengubah keputusannya? Tetapi bagi Hazrat Abu Bakar r.a. setelah mendengar keputusan baginda supaya diadakan perdamaian maka beliau r.a. menyatakan bahawa baginda telah membuat keputusan yang tepat. [Di ambil dari Sahih Bukhari, Kitab Al Jazayatu wa’al mua’datu, Bab Muna Hadis 3182]

Inilah contoh yang diinginkan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terhadap Jemaatnya. Jika standard ini ditampilkan ke hadapan maka harapan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bagi menegakkan standard yang seperti ini akan dapat disempurnakan. Jika kita tidak dapat menyempurnakan keinginan dan harapan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam di dalam Jalsa ini, maka ia boleh menyebabkan keresahan dan kemarahan beliau alaihissalam [Majmu’ah Istiharat, Jilid 1, Halaman 360, Istihar No 117, Cetakan Rabwah]

Oleh itu, pada hari ini jika kita mengetahui tujuan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dibangkitkan, maka setiap ucapan yang beliau alaihissalam sampaikan, kita harus menyatakan Labbaik. Kita harus berusaha untuk mencipta revolusi rohani di dalam diri kita dan untuk mencapainya ia memerlukan suatu kekuatan dan semangat seperti yang diperlihatkan oleh para sahabat ketika di Perang Hunain. Kerana tanpa semangat seperti itu kita tidak akan dapat terlepas daripada perkara yang sia-sia, tidak akan terlepas daripada ketamakan duniawi, tidak akan mampu memberikan islah terhadap diri kita, tidak akan dapat memahami roh Jalsa yang sebenar, tidak akan dapat memahami tujuan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dibangkitkan malah tidak akan mengetahui roh yang hakiki iaitu bagaimana semangat untuk berkhidmat kepada Islam.

Kenapa Perang Hunain yang menjadi topik di sini? Perang Hunain telah menjadi satu sejarah yang besar dalam Islam, kerana ketika itu orang-orang Muslim pertama kalinya mereka telah bersedia untuk berperang dengan pihak musuh dan tentera Muslim ketika itu, jumlah mereka lebih banyak daripada pihak musuh. Tetapi tentera Muslim yang mengambil bahagian untuk pergi ke medan perang, umumnya mereka tidak memiliki dan memahami roh pengorbanan yang sebenar. Mereka tidak terbiasa dengan roh pengorbanan seperti itu. Ketika 4000 ribu panah dilancarkan ke arah tentera Muslim, tiba-tiba mereka yang imannya agak lemah, mereka telah bertempiaran melarikan diri. Ketika itu yang berada di medan perang hanya tinggal 12 orang sahabat, termasuk Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Baginda sedikit pun tidak berganjak dari tempatnya. Disebalik konspirasi ini, terdapat suatu hikmah iaitu kembali semula dan berkumpul bersama-sama dengan tentera Muslim. Di dalam peperangan inilah, baginda bersabda, utusan Tuhan tidak melarikan diri dari medan perang dan Hazrat Abbas r.a. ada bersama baginda ketika itu, lalu baginda memerintahkan Hazrat Abbas supaya memanggil orang-orang Ansar. Baginda menyuruh Hazrat Abbas r.a. memanggil mereka kerana Hazrat Abbas r.a. memiliki suara yang tinggi. Lalu Hazrat Abbas r.a. pun menyeru mereka, sambil berkata, Hai kaum Ansar! Utusan Allah telah memanggil kalian.

Berkenaan dengan perkara ini, Hazrat Muslih Mau’ud r.a. ada menerangkan secara terperinci, kenapa baginda menyeru kepada kaum Ansar? Sebenarnya banyak sebabnya, kenapa kaum Ansar yang menjadi keutamaan baginda? Salah satu sebabnya ialah, kekalahan tersebut disebabkan, sebahagian kaum Ansar di Mekkah, mereka lebih dekat dengan kaum Muhajirin. Baginda menyebut kaum Ansar, secara tidak langsung menegur orang-orang Islam Mekkah yang menyangka bilangan mereka ramai dan tidak perlu bergantung kepada rakan mereka, yang menyebabkan mereka mengalami kekalahan. Baginda memanggil kaum Ansar, sebenarnya kaum Ansar, mereka berkata, ketika kami mendengar Hazrat Abbas r.a. memanggil kami bahawa utusan Tuhan telah memanggil kami, sebelumnya pun kami telah berusaha untuk kembali semula ke medan perang tetapi tiba-tiba suara yang kami dengar sepertinya kami telah di pukau, yang mana secara tiba-tiba ada suatu kekuatan yang mengalir dalam tubuh kami dan orang-orang yang lari dari medan perang, telah kembali semula bersama-sama senjata menuju ke medan perang. Lalu berkata, kami telah tiba dan kami menyatakan Labbaik kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. [Tarikh-ul- Hunain, Jilid 2, Halaman 102-103, Bab Zikir Ghazwa Hawazan, Cetakan Beirut]

Seruan Labbaik seperti itulah yang harus dimiliki oleh kita pada hari ini. Pada hari ini juga Allah Taala telah mengutus hamba sejati kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang memanggil kita untuk memberikan tawajjuh bagi meningkatkan amalan kita. Sepertimana tujuan aku datang ke Jalsa supaya dapat membawa suatu perubahan. Hari-hari yang dilalui selama Jalsa ini, hendaklah dilalui dengan banyak melakukan zikir Ilahi dan dapat mendekatkan diri kepada Allah Taala. Melepaskan segala ketidaktaatan dalam diri kita. Hari ini, seorang Imam Zaman, seorang Muslih dan pengikut setia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang diutus sebagai nabi yang datang untuk memperbaiki amalan kita, maka kita hendaklah menyambut seruan Labbaik kepadanya. Ini adalah suatu kewajipan, tujuan kita berkumpul bersama-sama. Ketika ini kita bukan dipanggil berjihad dengan pedang tetapi adalah berjihad dengan diri kita sendiri. Jihad yang seperti inilah yang akan dapat mengibarkan bendera Islam dengan jayanya ke seluruh dunia.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini bahawa kita hendaklah menegakkan standard kecintaan dan persaudaraan, hendaklah memanjat tangga ketaatan dan ketakwaan, carilah jalan untuk merendahkan diri. Setiap amalan kita memerlukan kebenaran. Untuk pertablighan Islam perlu menzahirkan pengorbanan jiwa, harta dan waktu. Perlu membasahkan lidah kita dengan banyak berzikir Ilahi, perlu berusaha untuk mendapatkan kedekatan kepada-Nya melalui standard ibadah yang tertinggi. Oleh itu, mereka yang mengikuti Jalsa di Qadian selama tiga hari ini, ambillah faedah sebanyak-banyaknya atau di mana sahaja Jalsa yang sedang diadakan seperti Jalsa yang diadakan di bahagian pantai barat Amerika, Mali, Niger, Nigeria, Senegal, Ivory Coast dan di setiap tempat yang sedang mengadakan Jalsa, ambillah kesempatan ini sebanyak-banyaknya. Di sini saya ingin mengambil petikan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan disampaikan kepada anda semua, yang dengan petikan itu dapat memberikan panduan kepada kita seperti yang diinginkan oleh utusan Tuhan ini.

Beliau bersabda, Jemaat bersama-sama bersatu dalam kecintaan. Telah beberapa kali aku menyatakan sebelum ini bahawa bersama-samalah bersatu dan berjamaah. Inilah yang Allah Taala ajarkan kepada orang-orang Muslim bahawa hendaklah mempercayai Tuhan Yang Esa, jika tidak melakukan demikian maka dirimu akan terkeluar dari atmosfera. Dalam mendirikan solat hendaklah berdiri saling bersentuhan supaya sama-sama bersatu. Ia seperti kekuatan elektrik dari satu kebaikan mengalir kebaikan yang lain. Jika berlaku pertelingkahan maka alangkah malangnya orang yang seperti itu. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda, jalinkan rasa saling mencintai antara satu dengan yang lain dan salinglah mendoakan, dengan sembunyi-sembunyi, jika seseorang berdoa dengan sembunyi-sembunyi maka malaikat akan berkata, untuk dirimu juga aku akan melakukan demikian. Lihatlah! Bagiamana tingginya kedudukan tersebut. Jika doamu tidak dikabulkan maka malaikat akan mengabulkannya. Aku menasihatkan dan ingin kukatakan bahawa janganlah sekali-kali melakukan pertentangan. Aku datang ke dunia membawa dua perkara, pertama, hendaklah bertekad kepada Tauhid dan kedua, hendaklah menjalinkan hubungan kasih sayang antara satu dengan yang lain. Perlihatkan contoh seperti itu, yang apabila orang-orang ghair melihatnya ia adalah suatu perkara yang mulia. Inilah bukti bagi para sahabat yang dilahirkan. [Ali Imran:104] Ingatlah, perdamaian suatu yang mengagumkan. Anda bukan daripada Jemaatku, selagi anda tidak melakukan apa yang disenangi olehmu, disenangi juga oleh saudaramu. Orang yang seperti itu akan ditimpa musibah dan akhir kehidupannya suatu yang tidak baik...

Ingatlah! Dendam kesumat adalah salah satu tanda kedatangan Imam Mahdi dan apakah tanda itu belum lagi sempurna? Pasti akan sempurna. Kenapa anda tidak mahu bersabar. Selagi penyakit dengki tidak dihapuskan, selagi itu penyakit tersebut tidak akan pergi. Daripada wujudku Insya Allah akan terdapat orang-orang soleh dalam Jemaat ini. Apa yang menjadi musuhnya penyatuan? Bakhil, angkuh dan bongkak….. orang-orang seperti ini akan dipisahkan daripada Jemaat kerana tidak dapat mengawal dirinya daripada sifat-sifat tersebut. Selagi seseorang itu tidak memperlihatkan contoh yang baik, aku memberitahu di sini, bukanlah untuk mengkritik dirimu. Orang yang seperti ini, yang terdapat dalam Jemaatku yang tingkah-lakunya tidak sesuai dengan keinginanku, ia seperti ranting yang kering, jika tukang kebun tidak memotong ranting tersebut maka apa yang akan terjadi? Apabila ranting yang kering tinggal bersama-sama ranting yang hijau dan kedua-dua ranting itu, sama-sama mendapat bekalan air, tetapi ranting yang kering tidak sama seperti ranting yang hijau malah ranting yang kering boleh membawa jangkitan kepada ranting yang lain. Oleh itu takutlah! Orang seperti itu tidak boleh tinggal bersamaku selagi dirinya belum disembuhkan. [Malfuzat, Jilid 1, Halaman 336, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]
                
Allah Taala berfirman: [Ali Imran:56] Ini adalah suatu hadiah yang dijanjikan, yang akan mendapat pertolongan melalui Ibnu Maryam tetapi aku memberikan khabar suka bahawa atas nama Al Maseeh akan datang pula Ibnu Maryam yang Allah Taala akan memberikan khabar suka kepadanya. Renungilah, bagi sesiapa yang ingin mempunyai hubungan denganku seperti yang telah dijanjikan, apakah dirimu masih lagi berada di tingkat nafsu amarah? Sama-sekali tidak. Bagi mereka yang telah berjanji dengan Allah Taala dan tidak menganggap perkataanku sebagai suatu kisah berlaka, maka ingatlah dan dengarlah dengan hatimu, aku sekali lagi menyatakan bagi mereka yang mempunyai hubungan denganku, yang hubungan itu bukan suatu hubungan yang biasa tetapi ia suatu hubungan yang istimewa. Dan hubungan itu bukan setakat hubungan dengan diriku tetapi ia akan mencapai hingga ke Qurub Ilahi.

Tiada yang lebih yang dapat aku katakan bahawa engkau adalah orang-orang yang istimewa yang bersama-sama dengan ‘Makmur Minallah’. Oleh itu, dengarlah perkataannya dengan telinga hati dan bersedialah untuk mengamalkan seluruh perintahnya, supaya anda bukan di antara orang-orang yang setelah berikrar, mengingkari janji yang telah diucapkan maka keingkarannya itu ia telah membeli azab yang abadi. [Malfuzat Jilid 1, Halaman 64-65, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]

Ingatlah selalu akan nasihat ini, yang hendaknya seruan ini harus diperhatikan oleh kita orang-orang Jemaat. Ketika aku mengingat akan perkara ini, fikiranku  tertuju kepada perkara ini, bahawa kadang-kadang orang begitu kuat ikatannya dengan hal-hal duniawi, sebahagian pula dengan kecantikan yang dimiliki, yang lain pula lebih mementingkan kaum-kerabat atau hartanya dan sebahagian lagi pula dengan kekuasaan dan kekuatan mereka tetapi mereka ini tidak sedikit pun memperdulikan dirinya dengan perintah-perintah Ilahi. Sedangkan Dia sendiri berfirman [Al Hujurat:14] Yakni, Sesungguh-nya, yang paling mulia di antaramu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antaramu.

Inilah Jemaat yang mutaki. Tuhan akan memuliakan seseorang yang bertakwa dan membinasakan mereka yang tidak bertakwa. Keadaan mereka seperti itu suatu keadaan yang nazak dan mereka yang mutaki dan yang tidak mutaki tidak boleh berada dalam satu tempat, yang pastinya mereka yang mutaki akan berdiri kukuh di tempatnya dan yang buruk akan dibinasakan. Dia yang lebih mengetahui siapa yang mutaki di pandangan-Nya. Oleh itu, perkara ini suatu yang menakutkan. Beruntunglah mereka yang mutaki dan buruklah nasib mereka yang berada bawah laknat-Nya. [Malfuzat Jilid 2, Halaman 177, Edisi 2003, Cetakan Rabwah]

Semoga kita semua diberikan taufik untuk memahami tujuan kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Semoga mendapat taufik untuk meningkatkan amalan kita dan kita hendaklah ingat bahawa amanat yang disampaikan ini bukan hanya untuk mereka yang mengikuti Jalsa sahaja tetapi amanat ini ditujukan kepada setiap orang-orang Ahmadi.

Di sini saya ingin memberikan perhatian bahawa bagi setiap orang Ahmadi di mana sahaja di dunia, Jalsa yang beberkat yang sedang berlangsung di tempat Maseeh Muhammadi tinggal, hendaklah menumpukan doa yang khusus terutama untuk diri sendiri, mereka yang tinggal di Qadian, yang menghadiri Jalsa begitu juga negara-negara yang sedang mengadakan Jalsa di tempat masing-masing, jangan lupa doa yang khusus untuk mereka, begitu juga doakan untuk mereka yang menghadapi kesulitan dan penderitaan. Mereka yang dilanda kesulitan ini disebabkan mereka telah baiat dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam Imam untuk zaman ini. Semoga Allah Taala menjauhkan segala kesulitan yang mereka hadapi, terutama di negara Pakistan, Indonesia, Syria dan di beberapa negara lain. Semoga Allah Taala memberikan kemudahan kepada orang-orang Ahmadi di tempat yang saya sebutkan tadi. Semoga mereka diberikan ruang kebebasan dan ini suatu perkara yang amat penting yang harus ditampilkan demi persaudaraan. Semoga Allah Taala menganugerahkan taufik kepada kita semua.

----------------------------<<<>>>----------------------------

Penterjemah

Abdul Latief Ahmad
Kota Kinabalu, Sabah

11 September 2014

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...