Hazrat Mirza Ghulam Ahmad menulis:
Kedudukan Al-Qur’an Yang Tinggi
Aku mendengar
bahawa beberapa orang di antara kamu ada yang sama sekali menolak hadis. Jika hal itu benar
maka mereka itu sangat keliru. Aku tidak mengajarkan yang demikian, malah aku
mengajarkan bahawa untuk memberi petunjuk kepada kamu, Tuhan telah memberikan
kepada kamu:-
(1) Pertama sekali
ialah Al-Qur’an yang mengutarakan Keesaan, Kegagahan, dan Keagungan Tuhan di
dalamnya, dan juga memutuskan masalah pertentangan pendapat yang ada di
kalangan Yahudi dan Nasrani.
Demikian
juga Qur’an Syarif melarang kamu agar jangan memuja apa pun selain Allah, baik
berupa benda, manusia, haiwan, matahari, bulan, dan bintang-bintang lain atau pun
diri sendiri. Karena itu berhati-hatilah, jangan biarkan kaki berjalan walau
selangkah pun ke arah perkara yang bertentangan dengan ajaran Tuhan dan petunjuk
Qur’an Syarif. Aku berkata dengan sebenar-benarnya kepada kamu bahawa
barangsiapa yang mengabaikan walaupun satu daripada 700 hukum Ilahi di dalam
Al-Qur’an, itu bererti dia telah menutup pintu
keselamatan baginya dengan tangan sendiri.
Jalan
keselamatan yang hakiki telah dibuka oleh Qur’an Syarif sahaja, sedangkan yang
lain semuanya itu hanya bayangan
semata-mata. Oleh kerana itu, pelajarilah
Al-Qur’an Syarif dengan pemikiran
yang mendalam, dan cintailah ia dengan kecintaan yang tidak pernah kamu
berikan kepada sesiapa pun kerana, sebagaimana Tuhan berfirman kepadaku ALKHOIRU KULLUHUU FIL QUR’AN yakni
segala kebaikan-kebaikan terletak di dalam Al-Quran, hal itu memang benar. Sayang
sekali orang-orang yang lebih mengutamakan barang lain di atasnya.
Sumber
segala kejayaan dan keselamatan kamu terletak di dalam Al-Qur’an Syarif. Tidak
satu pun dari keperluan-keperluan rohani
bagi kamu yang tidak terdapat di dalam Al-Qur’an Syarif. Pada Hari Kiamat,
Al-Qur’an yang akan menjadi saksi sama ada keimanan kamu benar atau dusta. Dan selain
Al-Qur’an, tidak ada satu kitab pun di bawah kolong langit yang dapat
memberikan petunjuk secara langsung. Tuhan telah berlaku sangat baik kepada
kamu kerana menganugerahkan sebuah kitab seperti Al-Qur’an ini.
Aku
berkata dengan sebenar-benarnya kepada kamu bahawa Kitab yang telah dibacakan kepada kamu, seandainya ia dibacakan
kepada orang Kristian, sudah pasti mereka tidak akan binasa. Nikmat dan petunjuk yang diberikan kepada kamu ini, jika ia diberikan
kepada kaum Yahudi menggantikan Taurat, maka banyak dari firqah-firqah mereka
yang tidak akan memungkiri Hari Kiamat. Jadi, hargailah nikmat yang dilimpahkan kepada kamu ini. Nikmat ini sangat berharga sekali. Jika Al-Qur’an tidak
diturunkan, maka dunia ini hanya kelihatan seperti segumpal daging yang
menjijikkan. Sesungguhnya Al-Qur’an Syarif adalah satu kitab yang tidak ada
tandingannya dalam soal memberi hidayat.
Al-Qur’an
boleh menjadikan seseorang itu suci dalam masa seminggu jika dia tidak
berpaling secara zahir mahupun batin. Al-Qur’an Syarif boleh menjadikan kamu seperti para nabi jika kamu tidak
lari daripadanya. Selain Al-Qur’an Syarif, kitab mana lagi yang mengajarkan doa
sejak awal lagi kepada pembacanya dan diberikan harapan seperti dalam ayat dari
Surah Al-Fatihah yakni “Tunjukilah
kami pada jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri
nikmat atas mereka”. (Al-Fatihah:6,7)
Yakni,
tunjukkanlah kepada kami jalan-jalan
nikmat yang telah diperlihatkan kepada orang-orang dahulu iaitu nabi, rasul, siddiq,
syahid, dan soleh. Oleh karena
itu, tingkatkan keberanian kamu
dan jangan menolak seruan Al-Qur’an Syarif, bahawa Dia bukan hanya hendak memberikan
nikmat-nikmat seperti yang diberikan kepada orang dahulu, malah Tuhan beriradah
untuk memberikan lebih banyak nikmat lagi kepada kamu.
Tuhan
telah menciptakan kamu untuk menjadi pewaris
dalam menerima kekayaan rohani
dan jasmani, dan sampai Hari
Kiamat kekayaan-kekayaan
tersebut tidak akan diwariskan kepada orang lain.
Tuhan
sekali-kali tidak akan memahrumkan (meluputkan) kamu dari nikmat wahyu, ilham, mukalimah
(berkata-kata) dan mukhatibah
(berkata-kata). Dia akan menyempurnakan terhadap kamu semua nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada
orang-orang yang dahulu itu. Akan tetapi barangsiapa yang berdusta atas nama Tuhan dengan cara
yang salah dan mengatakan bahawa wahyu
Ilahi telah turun kepadanya padahal tidak demikian, atau mengatakan
bahawa ia telah mendapat kemuliaan
bermukalimah (berkata-kata) dan bermukhatibah (berkata-kata) padahal tidak demikian, maka dengan
bersaksikan Allah dan para malaikat-Nya aku berkata bahawa orang itu akan binasa, sebab dia telah berdusta dan menipu atas nama Khaliq-Nya (pencipta-Nya).
Kedudukan Penjelasan Sunnah
(2) Petunjuk yang kedua bagi kaum Muslimin
ialah Sunnah, yaitu segala amal
(perbuatan) Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang diperlihatkan sebagai
penjelasan dari hukum-hukum
(peraturan) Qur’an Syarif. Sebagai contoh, walaupun secara zahir Al-Qur’an
tidak menjelaskan tentang jumlah rakaat dalam tiap-tiap solat fardu lima waktu,
iaitu berapa rakaat dalam solat Subuh dan solat-solat yang lain, akan tetapi Sunnah Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam membuat semuanya menjadi jelas.
Janganlah
keliru dengan mengatakan bahawa Sunnah
dan hadis itu sama, sebab hadis dikumpulkan sesudah 100-150
tahun kemudian, sedangkan Sunnah
itu wujud bersamaan dengan Qur’an Syarif. Selepas Al-Qur’an, Sunnah menempati
tempat kedua terbesar dalam ihsan Tuhan kepada manusia. Kewajipan Tuhan dan
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam hanya ada dua perkara iaitu Tuhan
menurunkan Al-Qur’an kepada makhluk-makhluk-Nya melalui firman dan baginda memberitahu
sesuai dengan kehendak-Nya.
Inilah
tanggungjawab undang-undang Tuhan. Manakala Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam pula bertanggungjawab memperlihatkan kalam (firman) Tuhan secara
amalan dan memberi kefahaman yang sebenar kepada manusia. Jadi, Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam memperlihatkan firman dalam bentuk amalan dengan
begitu indah, dan dengan amalan yakni sunnah baginda, segala kesulitan manusia
dapat diselesaikan.
Adalah
tidak tepat jika mengatakan bahawa menyelesaikan masalah bergantung kepada
hadis kerana sebelum wujudnya hadis, Islam
telah berdiri di muka bumi. Adakah boleh kita katakan bahawa selagi
hadis belum wujud, orang Islam tidak mengerjakan solat atau membayar zakat,
atau tidak mengerjakan haji, ataupun mereka tidak mengenal halal dan haram?
Kedudukan Hadis Sebagai
Penyokong
(3) Petunjuk jalan
yang ketiga tentu saja Hadis,
sebab hadis telah menjelaskan berbagai masalah mengenai Sejarah Islam, keadaan
akhlak dan permasalahan Fiqah. Dan faedah daripada Hadis yang sangat besar
ialah hadis menjadi pengkhidmat kepada Al-Qur’an dan juga Sunnah.
Jika
ada orang yang tidak diberikan pengetahuan tentang Al-Qur’an, maka dalam
keadaan ini hadis menjadi pemutus kepada Al-Qur’an sebagaimana Yahudi
memperkatakan mengenai hadis-hadis mereka, tetapi kita menyatakan bahawa hadis
adalah pengkhidmat kepada Al-Qur’an dan Sunnah, dan memang jelas bahawa
keagungan tuan lebih terserlah dengan adanya orang suruhan. Al-Qur’an adalah
firman Tuhan dan Sunnah adalah amal (perbuatan) Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam, dan hadis merupakan saksi penyokong kepada Sunnah. Na’uzubillah, adalah salah jika
mengatakan bahawa Hadis menjadi hakim atas Al-Qur’an.
Jika memang Al-Qur’an perlu kepada hakim,
maka hakim itu adalah Al-Qur’an sendiri. Hadis yang
menempati kedudukan ‘mengagak atau menjangka’ sama sekali tidak boleh menjadi
hakim, ia hanya boleh berfungsi sebagai penguat bukti atau keterangan. Qur’an
Syarif dan Sunnah telah melakukan semua tugasnya yang sebenar, dan hadis hanya menyokong dalil,
bagaimana hadis boleh menjadi hakim atas Al-Qur’an?
Al-Qur’an
dan Sunnah memberi hidayat (bimbingan) pada zaman itu, sedangkan hadis yang
diperkatakan belum pun ada nama dan tanda-tandanya.
Jadi,
jangan mengatakan hadis menjadi hakim atas Qur’an, sebaliknya katakanlah bahawa
hadis adalah penyokong kepada Qur’an dan Sunnah.
Ringkasnya,
Sunnah menzahirkan keinginan Al-Qur’an. Sunnah bermaksud jalan yang telah
diletakkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam secara amalan atas para
sahabat. Sunnah bukanlah suatu
hal yang ditulis dalam kitab-kitab 100 atau 150 tahun kemudian, tetapi yang
sedemikian itu adalah Hadis. Dan Sunnah bermaksud keadaan amalan yang baik,
yang ditanamkan dalam diri ribuan umat Islam sejak awal-awal lagi. Walaupun
kebanyakan Hadis bermartabat spekulasi (mengagak atau menjangka) ia juga boleh
diterima jika suatu perkara tidak
bertentangan dengan Qur’an
Syarif dan Sunnah, dan
tetap menunjang Qur’an Syarif
dan Sunnah, serta di dalamnya terdapat khazanah yang banyak mengenai
masalah-masalah Islamiah.
Jadi,
perbuatan tidak menghargai hadis
menandakan seolah-olah memotong salah satu anggota badan Islam. Tetapi, jika
ada sebuah hadis yang
bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, juga bertentangan dengan hadis lain
yang sesuai dengan Al-Qur’an, atau misalnya ada hadis yang bertentangan dengan Sahih Bukhari, maka hadis tersebut tidak patut diterima, sebab kalau hadis tersebut diterima, itu bererti menolak Qur’an Syarif dan menolak
semua hadis-hadis yang sesuai
dengan Qur’an Syarif.
Aku
maklum, bahawa tidak ada seorang pun dari antara orang-orang yang bertakwa akan
berani mempercayai hadis
semacam itu, yang bertentangan dengan Al-Qur’an, Sunnah dan hadis-hadis lain
yang sesuai dengan Al-Qur’an.
Walaubagaimanapun,
hargailah hadis dan ambillah
faedah daripadanya, sebab sumbernya
berasal dari Rasulullah sallallaahu
alaihi wasallam, dan selagi Qur’an Syarif dan Sunnah tidak mendustakannya kamu juga tidak
harus mendustakannya, malah kamu harus disiplin bahawa tidak ada gerak dan diam
kamu dalam suatu perkara, atau kamu melakukan dan tidak melakukan sesuatu
kecuali kamu mempunyai hadis yang menyokong perbuatan kamu.
Tetapi, jika:-
(1)
Ada suatu hadis yang memang jelas
bertentangan dengan penjelasan Al-Qur’an, maka kamu hendaklah risau untuk
mengikuti hadis itu, mungkin kamu di pihak yang salah. Dan jika bantahan itu
belum selesai, maka hadis itu hendaklah disingkirkan kerana ia bukan dari
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.
(2)
Dan jika ada suatu hadis itu
lemah, tetapi Al-Qur’an sesuai dengannya, maka terimalah hadis itu kerana
Al-Qur’an mengakui kebenarannya.
(3)
Jika ada suatu hadis yang
menyentuh tentang suatu khabar ghaib, tetapi di sisi para Muhaddis ia adalah
lemah, dan pada zaman kamu atau zaman sebelumnya ia telah terjadi dengan nyata,
maka akuilah kebenaran hadis itu dan anggaplah muhaddis itu silap dan pendusta
kerana menganggap hadis itu lemah dan palsu. Banyak hadis seperti itu yang
mengandungi khabar ghaib, dan di kalangan para muhaddis pula ia dianggap majruh
(tidak sempurna), maudhu’ (dibuat-buat) atau dho’if (lemah).
Jadi,
jika di antara hadis-hadis itu terjadi dengan nyata dan kamu mengatakan “tinggalkan dan kami tidak mahu terima kerana
ini hadis dho’if atau perawinya tidak boleh dipercayai”, maka dalam keadaan
itu kamu sendiri yang tidak beriman kerana menolak hadis yang telah terjadi dengan
nyata sekali.
Cuba
bayangkan jika terdapat ribuan hadis seperti itu dan di sisi para Muhaddis
semuanya dho’if, sedangkan ribuan khabar ghaib itu terjadi dengan nyata, adakah
kamu juga akan mengatakannya sebagai dho’if lalu menafikan ribuan tanda atau bukti
mengenai Islam. Jika kamu berbuat demikian, maka kamu boleh dianggap sebagai
musuh Islam. Allah Ta’ala berfirman: yakni “Dia tidak akan menzahirkan khabar
ghaib-Nya kepada sesiapa pun kecuali kepada Rasul yang Dia redhai.”
Jadi,
khabar ghaib ini perlu diberikan kepada siapa jika bukan kepada rasul yang
sebenar? Adakah dalam keadaan seperti ini bukan satu bentuk keimanan bahawa
suatu hadis yang dianggap dho’if adalah salah para muhaddis? Atau kita terpaksa
mengatakan bahawa Tuhan telah salah kerana membenarkan suatu hadis yang
dianggap dho’if?
(4)
Jika ada hadis yang dianggap
dho’if, dan ia tidak bertentangan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, malah ia sejalan
dengan ajaran Al-Qur’an, maka hadis itu boleh diguna pakai.
Akan
tetapi hendaknya kamu berhati-hati dalam mengikuti hadis-hadis tersebut, sebab
ada banyak hadis-hadis yang maudhu’
(dibuat-dibuat) yang telah mendatangkan fitnah
ke dalam agama Islam. Setiap firqah berpegang kepada hadis yang sesuai dengan akidah masing-masing,
sehingga dalam hal solat yang begitu jelas dan mutawatir (tetap) pun, dengan
adanya hadis-hadis berkenaan menyebabkan timbul pelbagai cara melaksanakan
solat.
Ada
yang menyebut lafaz ‘amin’ dengan suara nyaring, ada juga yang mengucapkannya
perlahan. Ada yang membaca Fatihah
di belakang imam, ada pula yang
menganggapnya boleh merosakkan solat. Ada yang melipat kedua tangannya di atas
dada sedangkan yang lainnya meletakkan di atas pusat. Penyebab dari perbedaan
ini sesungguhnya berpunca dari hadis-hadis, firman Allah: yakni “Tiap-tiap golongan
bergembira dengan apa yang ada pada mereka”. (Ar-Rum:33)
No comments:
Post a Comment