Saturday, February 11, 2012

Kisah-kisah Pengorbanan Harta dan Waqfe Jadid 2012



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
06 JANUARI 2012 / 06 SULH 1391HS
12 Safar 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur menilawatkan ayat berikut:-

LAN TANAALUL BIRRA HATTAA TUNFIQUU MIMMAA TUHIBBUUN. WAMAA TUNFIQUU MIN SYAI’IN FA INNALLAAHA BIHII ‘ALIIM (Ali Imran:93)

Terjemahan ayat ini ialah: Sekali-kali kamu tidak akan mencapai kebaikan yang sempurna, sebelum kamu membelanjakan sebahagian dari apa yang kamu cintai; dan apa pun yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya tentang itu Allah Maha Mengetahui.

Lafaz BIRR juga dikatakan sebagai kebaikan yang sangat agung dan BIRR juga bermaksud kebaikan yang sempurna – sebagaimana yang terdapat dalam terjemahan ayat tadi. Jadi, seorang mukmin yang hakiki, akan sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah Ta’ala dan mencapai tingkat kebaikan yang tertinggi kerana ia boleh mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Di dalam Al-Qur’an yang memberitahu bagaimana untuk mendekatkan diri kepada Allah, yang menjelaskan tentang kebaikan-kebaikan dan perlunya cenderung ke arahnya, di sana juga diterangkan tentang membelanjakan harta dan berbagai kemampuan yang ada di jalan Allah Ta’ala sebagai satu kebaikan. Dalam ayat ini juga menjelaskan bahawa berbelanja di jalan Allah Ta’ala itu satu kebaikan yang sangat besar. Dikatakan bahawa harta dan apa sahaja yang kamu cintai, jika dibelanjakan pada jalan Allah Ta’ala, maka itu adalah satu kebaikan yang sangat besar. Memang Allah Ta’ala akan memberi ganjaran terhadap kebaikan yang dibuat untuk mendapatkan keredhaan-Nya, tetapi ganjaran yang terbaik hanya akan diperolehi semasa mengorbankan benda yang terbaik pada jalan Allah. Dengan kata lain, Allah Ta’ala sangat mencintai mereka yang berusaha untuk mendapatkan kebaikan yang agung semata-mata kerana mencari keredhaan Allah, dan untuk memperolehinya, mereka tidak teragak-agak untuk memberikan apa yang paling berharga pada diri mereka.

Jadi, iman yang sejati, kebaikan yang sejati, dan pengorbanan yang paling besar hanya akan dapat diketahui apabila mengorbankan benda yang sangat dicintai. Untuk kekuatan iman dan keselamatan, setiap mukmin bersedia memberikan segala jenis pengorbanan setiap waktu. Untuk mendapatkan tingkat kebaikan yang besar juga sering difikirkan oleh seorang mukmin yang hakiki. Di dalam hadis ada tersebut bahawa semasa ayat ini turun, seorang sahabat – Abu Talhah radiallaahu anhu datang kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan berkata; saya hendak memberikan pada jalan Allah harta yang paling saya cintai iaitu Bairuhah. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sangat gembira dan bersabda: bagaimana kamu hendak membelanjakannya. (Bukhari Kitabut Tafsir bab Lan Tanaalul Birra Hattaa ...... hadis nombor 4554)

Ringkasnya, para sahabat sentiasa bersedia, yakni sebaik sahaja mendapat perintah untuk membelanjakan harta, maka kami akan menunjukkan keimanan, keikhlasan, kesetiaan dan pengorbanan. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam memberitahu bahawa orang yang berbelanja di jalan Allah layak mendapat kemuliaan. Dan mereka yang berjaya mencapai darjat ini, kita dapat melihat dalam diri para sahabat yang mana mereka berbelanja secara tersembunyi dan juga secara terang-terangan. Niat mereka berkorban juga Allah Ta’ala mengetahuinya, dan Allah sendiri yang memberi ganjaran kepada mereka yang tidak terhingga. Dari seorang yang bekerja biasa boleh menjadi kaya raya. Pengorbanan inilah yang menjadikan mereka semakin kuat dalam keimanan dan keyakinan. Mereka tidak ada rasa risau apabila hendak berbelanja di jalan Allah Ta’ala. Mereka itu sudah benar-benar memahami bahawa Allah Ta’ala akan memberi ganjaran kepada orang yang berbelanja pada jalan Allah. 700 kali ganda dan boleh lebih daripada itu. Allah Ta’ala tidak berhutang dengan sesiapa. Dan yang paling menonjol ialah quwwat qudsiah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam telah membuat perubahan yang sangat luar biasa dalam diri mereka. Mereka hanya berfikir; apa lagi usaha yang boleh dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Inilah matlamat mereka. Kehidupan para sahabat menjadi saksi akan perkara ini kerana mereka telah berjaya mendapat apa yang mereka inginkan.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda berkenaan dengan para sahabat:-
            “Adakah para sahabat mencapai darjat ini secara percuma tentang apa yang mereka telah perolehi. Untuk mendapatkan pangkat keduniaan banyak memerlukan perbelanjaan dan kesusahan, barulah satu pangkat dunia ditemui, yang belum tentu dapat memberikan ketenangan dan ketenteraman dalam hati. Kemudian, cuba bayangkan, gelaran RADIALLAAHU ANHUM yang memberi ketenangan dan ketenteraman hati, dan sebagai tanda keredhaan Maula Karim, adakah ia begitu mudah diperolehi? Sebenarnya keredhaan Tuhan yang menjadi sumber kegembiraan yang hakiki tidak akan dapat diperolehi selagi tidak menanggung kesusahan yang sementara. Tuhan tidak boleh ditipu. Sangat berberkat mereka yang tidak mempedulikan segala kesusahan demi mendapatkan keredhaan Ilahi kerana cahaya kegembiraan yang abadi dan kesenangan yang kekal dapat diperolehi oleh orang mukmin selepas kesulitan yang sementara itu berlalu. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 47, edisi 2003 cetakan Rabwah)

Dalam zaman ini, untuk mengislahkan dunia, untuk menjadikan dunia dekat kepada Tuhan, Allah Ta’ala telah mengutus Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Apabila beliau menjelaskan suatu kisah sahabat, ia menjadi uswah yang suci kepada kita – supaya kita berusaha mengikuti jejak langkah mereka.

Dan jika kita berusaha untuk itu, maka kita akan menjadi orang yang melakukan kebaikan yang hakiki dan mendapat keredhaan Allah Ta’ala. Kemudian, kita juga dapat melihat dalam sejarah Jemaat Ahmadiyah bahawa hasil daripada tarbiyat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, ribuan orang seperti ini dipersembahkan kepada dunia, iaitu mereka yang bersedia setiap masa untuk memberikan pengorbanan, dan disebabkan semangat keimanan dan semangat pengorbanan mereka, setiap hari jemaat semakin memperlihatkan kemajuan. Dalam zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga, mereka yang telah mendapat darjat sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, mereka sangat menyedari bahawa berkenaan dengan amanat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, pintu kebaikan itu sangat sempit.

Beliau bersabda:-
            “Pintu kebaikan itu sempit. Jadi, ingatlah hal ini dengan sebaik-baiknya bahawa dengan membelanjakan benda yang tidak berharga tidak akan menjadikan kamu termasuk di dalamnya. Ini kerana jelas dari nas ini; LAN TANAALUL BIRRA HATTAA TUNFIQUU MIMMAA TUHIBBUUNA (Ali Imran:93) selagi kamu tidak membelanjakan benda yang paling baik dan dicintai, maka kamu belum boleh mendapatkan darjat kebaikan dan kecintaan ini. (Malfoozaat Jilid 1, halaman 47, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Para sahabat iaitu sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, selepas mereka memahami akan hal ini, mereka sentiasa risau tentang tingkat pengorbanan. Mereka selalu memohon doa daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam agar dapat melakukan pengorbanan yang tinggi. Mereka terus berusaha dan terus melihat pemandangan Allah Ta’ala. Saya akan berikan satu dua contoh di sini.

Hazrat Sufi Nabi Bakhsy Sahib muhajir Qadian berkata: “Satu kali saya datang menghadiri Jalsah Salanah, lalu saya berkata bahawa saya hendak mengatakan sesuatu secara bersendirian dengan beliau. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata; masuklah ke dalam. Secara kebetulan tingkat terbuka dan bersama dengan saya ada beberapa orang yang masuk ke dalam. Saya berkata bahawa ayah mengatakan kita telah berikan anak pelajaran yang baik. Sejak mereka bekerja, mereka tidak memberikan apa-apa khidmat terhadap kita. Isteri mengatakan; nasib baik kamu menjadi Ahmadi, perhiasan yang saya miliki telah dijual. Bangga dengan ayahnya dan juga dengan isterinya. Kemudian seterusnya mengatakan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam; “dan saya lihat di sini, untuk mengkhidmati jemaat ini murid-murid tuan mengorbankan ribuan Rupee. doakan saya agar Allah Ta’ala mengurniakan gaji yang berganda-ganda supaya saya boleh berkhidmat kepada tuan”.

Dari satu arah keluhan dari seorang bapa bahawa walaupun sudah berpendidikan tetapi tidak memberikan khidmat. Isteri juga mengeluh – tidak membawa apa-apa sedangkan saya telah menjual semua barang perhiasan saya. Dan apabila saya melihat kebaikan di sini, yang sedang berlaku di sini, pengorbanan yang saya lihat dari orang-orang yang datang kepada tuan, datang memberikan ribuan Rupee, sebab itu doakan saya agar Allah Ta’ala juga memberi taufik kepada saya. Mendengar ucapan itu, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata; “sangat bagus, saya akan doakan. Tolong ingatkan selalu”. Jadi, dia berkata: “Waktu itu gaji saya hanya 55 Rupee sahaja. Apabila saya sampai di Lahore, saya menulis poskad sebagai peringatan”, yakni menulis surat untuk permohonan doa. “Pada waktu itu juga saya mendapat tawaran kerja dari Railway Uganda, 120 Rupee sebagai gaji dan 45 Rupee sebagai elaun. Apabila saya mendapat gaji pertama, saya meletakkan dengan segera di hadapan Huzur sebagai nazar yang pernah timbul dalam hati saya”. Selepas itu saya pergi ke Afrika, selama saya berada di sana, saya mendapat gaji tiga kali ganda, ini adalah mukjizat pengabulan doa beliau”. (Dipetik dari Register Riwayat Sahabah, ghair matbu’ah register number 15, halaman 105, Riwayat Hazrat Sufi Nabi Bakhsy Sahib)

Kemudian, satu lagi sahabah, Hazrat Munsyi Zafar Ahmad Sahib melalui Miya Muhammad Ahmad Sahib menerangkan bahawa Choudry Rustam Ali Khan Sahib marhum yang sebelumnya seorang Inspector Railway. Gaji bulanannya adalah sebanyak 150  Rupee. Dia seorang yang mukhlis dan layak disebut-sebut dalam jemaat. Beliau hanya meninggalkan sebanyak 20 Rupee untuk kegunaan keluarganya, selebihnya diserahkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan ini adalah kebiasaan beliau. (Register Riwayat Sahabah, ghair matbu’ah register number 13, halaman 360, riwayat Hazrat Munsyi Zafar Ahmad Sahib)

Cuba lihat bagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam melahirkan keasyikan untuk berkorban mengkhidmati agama di dalam hati orang-orang miskin. Mereka selalu berkata - tidak ada pendapatan, sangat miskin, keluarga besar, anak-anak ramai, keperluan selalu tidak mencukupi. Namun, bagaimana mereka boleh melakukan pengorbanan?

Hazrat Qazi Qamaruddin Sahib menceritakan berkenaan dengan Sa’in Diwan Shah Sahib, kemudian menulis; “Saya kadang-kadang bertanya kepada Sa’in Sahib bahawa adakah tuan mempunyai tujuan yang khas untuk datang ke Qadian?” Ini kerana kampungnya selalu dilalui oleh Sa’in Sahib dan selalu juga bermalam di rumahnya. Sa’in Diwan Shah tinggal di Narrow Wall. Beliau pergi dan balik dengan berjalan kaki dari Narrow Wall dan Qadian yang jauhnya jika dari pertengahan pun, mungkin jarak yang paling kurang pun 100 batu. Berkata; “pergi ke Qadian ada tujuan yang khusus atau pun kerana suka berjumpa?” Sa’in Diwan Sahib berkata; “oleh kerana saya miskin, tidak dapat memberi canda, sebab itu saya pergi untuk mengatur katil di tempat tetamu supaya canda di maafkan atas saya”. (Register Riwayat Sahabah, ghair matbu’ah register number 2, halaman 96, riwayat Hazrat Qazi Qamaruddin Sahib)

Jadi, saya telah berikan dua tiga contoh. Inilah bentuk pengorbanan mereka, yang telah mendapat kurnia bergaul dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Dan riwayat seperti ini sangat banyak. Tetapi, disebabkan waktu, jadi saya hanya persembahkan beberapa sahaja daripadanya.

Saya juga hendak menyampaikan perkara yang seharusnya menjadikan hati kita tercetus rasa kesyukuran dan menjadikan kita lebih cenderung tunduk kepada Allah berbanding sebelumnya, kerana melalui Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, bendera Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkibar terus di seluruh dunia. Jemaat yang telah didirikan, tingkat pengorbanan di dalamnya, tingkat pengorbanan dalam membelanjakan harta yang sangat dicintai pada jalan Allah Ta’ala – ia tidak berakhir hanya pada zaman sahabat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sahaja, atau hanya berlanjutan sehinga satu dua keturunan sahaja, malah selepas 100 tahun pun, keadaan ini tetap kekal berkat kurnia Allah Ta’ala. Malah, orang-orang yang baru bergabung dengan jemaat pun, di berbagai negara, pengorbanan harta di jalan Allah Ta’ala ini ibarat satu medan perlumbaan.

Ketika dunia sibuk mengejar kemewahan dunia dan berbelanja untuk keduniaan, orang Ahmadi pula sibuk dalam memberikan pengorbanan di jalan Allah Ta’ala. Saya tahu bahawa pengorbanan Ahmadi inilah yang telah membuka mata dunia dan ini sudah cukup memadai untuk menjadi bukti kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Di Asia, Eropah, Afrika, Amerika, dan di mana sahaja, semangat pengorbanan seperti ini dapat dilihat. Mereka yang giat dalam melakukan pengorbanan, mereka itulah yang benar-benar memahami amanat Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Jadi, sekiranya kita terus berusaha mengutamakan agama di atas dunia, maka tidak ada musuh yang boleh menghancurkan kita. InsyaAllah.

Untuk menambahkan keimanan, saya akan persembahkan beberapa kisah tentang pengorbanan pada masa ini.

Pertama sekali saya ambil dari laporan Nazim Mal Sahib India berkenaan dengan Waqfe Jadid. Beliau menyatakan; saya dan Inspektor Waqfe Jadid melakukan kunjungan ke Kerala dalam rangka membuat bajet Waqfe Jadid. Apabila sampai, kami bertemu dengan seorang kawan yang mukhlis. Dia berkata, saya baru sahaja memulakan perniagaan barang perabot. Tolong tuliskan perjanjian Waqfe Jadid saya sebanyak 400,000 Rupee. selain itu, keuntungan yang saya dapat dari perniagaan ini akan saya potong untuk Waqfe Jadid sebanyak 10 peratus selain canda-canda yang lain. Dengan kurnia Allah, perniagaannya berkembang maju, dia telah memberitahu isterinya agar mengasingkan semua pembayaran untuk canda. Kemudian, apabila kiraan dibuat, jumlah canda Waqfe Jadid beliau ialah 550,000 Rupee. Dia berkata; untuk akan datang, sebagai ganti 10 peratus, saya akan berikan 25 peratus dari keuntungan untuk canda ini.

Kemudian, dari Inspektor Waqfe Jadid India juga mengatakan; dalam bulan Mac 2011, saya pergi ke Jemaat Ahmadiyah Bathari untuk mengumpul bajet Waqfe Jadid, di sana ada seorang wanita, apabila diberi galakan dan diperdengarkan tentang pengorbanan nyawa dan harta dari seorang Ahmadi dan wanita muslim, dia telah memberikan perjanjian senilai dengan gajinya sebulan. Dia seorang guru biasa, dan tidak mempunyai pendapatan yang membolehkannya menjalani kehidupan dengan mewah. Dia meletakkan janji sebanyak 5,000 Rupee iaitu senilai dengan gajinya sebulan. Kemudian saya sampai ke tempat di mana ayahnya tinggal. Dia merupakan ketua jemaat, maka saya beritahu kepadanya – anak perempuan tuan sangat luar biasa pengorbanannya. Ayahnya menangis kegembiraan lalu memanggil anak perempuannya yang sulung dan mengatakan kepadanya - adikmu telah melakukkan pengorbanan sebanyak 5,000 dan kamu lebih tua daripadanya, apa katamu? Dia menjawab; oleh kerana saya lebih tua daripadanya maka saya meletakkan jumlah 6,000 Rupee.

Cuba lihat, ramai yang bai’at setiap tahun dan bagaimana semangat pengorbanan mereka.

Amir Sahib Mali memberitahu – seorang anggota jemaat kita Tarabre Sahib bekerja di Union Counsel. Dia teratur dalam pembayaran canda dan giat dalam melakukan pengorbanan harta. Untuk suatu pekerjaan, satu kumpulan telah dibentuk yang melibatkan 32 orang pekerja dan dikatakan bahawa perlu bekerja selama sebulan tanpa cuti walaupun sehari. Setiap orang akan mendapat 100,000 Franc sebagai ganjaran. Jadi, semuanya telah sepakat. Namun, masih ada 6 hari lagi sebelum genap sebulan, Jalsah Salanah di daerah beliau akan di adakan. Pada mulanya hendak memohon kemaafan dari Jemaat kerana tidak dapat bergabung dalam Jalsah Salanah, namun hatinya membuat keputusan bahawa saya harus mengutamakan urusan agama. Pekerjaan Tuhan hendaklah diutamakan dan jika tidak dapat 100,000 Franc pun tidak mengapa. Jadi, dia membuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaan dan bertolak menghadiri Jalsah Salanah. Rakan-rakan yang lain sudah mula mengata – kenapa membazirkan duit? Seminggu kemudian, setelah kembali ke tempat kerja, mayor berkata: Kamu telah mengingkari perjanjian dan pergi begitu sahaja. Tetapi saya tidak tahu kenapa hati saya berkata bahawa kamu pergi kerana urusan Tuhan, sebab itu saya telah menyimpan untuk kamu sebanyak 100,000 Franc. Kemudian, naib mayor yang mengawasi pekerjaan itu juga memanggilnya lalu berkata: Walaupun kamu telah pergi, tetapi hati saya tetap berkata bahawa kamu harus mendapat duit itu, sebab itu saya simpan 100,000 Franc untuk kamu. Kemudian, incharge akaun juga memanggilnya ke pejabat dan menyerahkan 100,000 Franc kepadanya – kamu ambil ini tetapi jangan beritahu sesiapa. Semua pegawai itu berkata yang sama iaitu jangan beritahu sesiapa. Apabila saya bertanya kepada kawan-kawan yang lain, mereka tidak mendapat jumlah 100,000 Franc dengan tepat kerana ada sahaja potongan di sana-sini sedangkan saya pula yang mendapat 300,000 Franc tanpa sebarang potongan. Semua ini saya dapat kerana telah mengutamakan urusan agama. Pada masa itu juga dia mengeluarkan 20,000 Franc sebagai candah.

Satu lagi contoh di Gambia. Amir Sahib menulis satu hari seorang kawan Kuto Trawally Sahib datang ke pejabat saya dan hendak memberikan 1,000 dalasi sebagai candah. Dia berkata: Saya boleh berhutang dengan orang tetapi tidak mahu berhutang dengan Tuhan. Sebenarnya orang ini miskin dan termasuk dalam golongan yang memerlukan. Keluarganya susah dalam menjalani kehidupan harian. Tetapi, dalam soal pengorbanan harta, dengan penuh keitaatan tidak mahu ketinggalan dalam nizam ini. Setelah beberapa lama, dia memberitahu bahawa apabila dia memberikan 1,000 Dalasi sebagai candah, tidak lama kemudian dia mendapat jumlah yang lebih banyak daripada itu. Dia berkata, keimanan saya ialah apabila berkorban di jalan Allah Ta’ala, Tuhan akan membalasnya dengan kurnia yang besar.

Dari Sierra leon, seorang muballigh dari Makini menulis bahawa Kamara Sahib seorang Ahmadi yang mukhlis, namun lemah dalam kewangan. Apabila pergi ke kampungnya untuk mengutip canda Tahrik Jadid, dapat diketahui bahawa ada baki yang perlu dia lunaskan dan masa perjanjian juga hendak berakhir. Apabila sampai ke rumahnya, dia berkata; saya mempunyai duit yang cukup untuk membeli 20 cupak beras sahaja untuk kegunaan sehingga besok petang. Namun, saya persembahkan hal ini kepada tuan untuk menutupi baki perjanjian yang ada, dan saya sudah jelaskan kepada isteri dan anak-anak bahawa Tuhan akan mengatur makanan kita. Pada malam itu, saudara perempuannya dari kampung yang lain datang membawa sekarung beras sebagai hadiah untuk mereka.

Muballigh dari Ivory Coast memberitahu bahawa ada seorang Ahmadi baru – Harun Sahib yang berniaga telur di bandar Sandra. Apabila muallim muqami mencadangkan kepadanya agar mengambil bahagian dalam tarbiyat di Tarbiyat Centre, dia terus bersedia dan membawa seorang lagi kawannya. Kelas itu berjalan selama tiga bulan dan akan mendapat banyak pengetahuan tentang Ahmadiyah. Atas fikiran bahawa – saya dalam perjalanan atas urusan Tuhan, dengan tawakkal kepada Allah saya tinggalkan perniagaan ini kepada adik saya dengan harapan semoga Allah Ta’ala tidak membiarkan perniagaan ini menjadi sia-sia. Selepas sempurna tiga bulan, apabila dia balik, dia berkata: Saya sungguh hairan kerana keuntungan sangat luar biasa, yang mana jika saya ada pun keuntungan tidak seperti itu yang boleh dicapai. Kemudian dia meningkatkan candahnya dari 500 menjadi 1,000 Franc. Allah Ta’ala menambahkan lagi keuntungannya sehingga candahnya ditingkatkan menjadi 4,000 Franc setiap bulan. Dia bukan sahaja melibatkan diri dalam candah Tahrik Jadid dan Wakfe Jadid, malah almarhum ayahnya juga yang mungkin belum Ahmadi, namanya dia masukkan. Oleh kerana dia mubaiyin baru, sebab itu sudah pasti bahawa ayahnya belum Ahmadi.

Amir Sahib Burkina Faso memberitahu bahawa ada seorang mubaiyin baru di bandar Bubu bernama Traore Sulaiman Sahib. Dia berkata: Saya ada mendengar tentang kepentingan Waqfe Jadid dalam khutbah Jumaat, malam itu saya tidak dapat tidur kerana asyik berfikir bahawa Jemaat ini membuat pekerjaan yang besar-besar tetapi saya tidak melibatkan diri di dalamnya. Keesokan harinya dia menyerahkan 4,500 Franc sebagai canda Waqfe Jadid. Apabila malam tiba, keadaan tetap tidak tenteram, keesokan harinya, dia pergi lagi ke rumah misi dan memberikan 4,500 Franc sebagai tambahan. Dia berkata: barulah rasa tenang sekarang.

Muballigh Incharge dari Switzerland menulis bahawa ada seorang kawan Ahmadi Afrika – Idris Sahib yang berasal dari Nigeria bekerja dalam sebuah institusi antarabangsa. Apabila dia datang ke Switzerland, dia memberikan 9,000 Franc ke dalam akaun masjid bersama dengan nama dan nombor telefonnya. Saya menyangka ini adalah nama baru, dan kehairanan – siapa sebenarnya orang ini? Apabila berhubung melalui telefon, saya bertanya untuk apa tuan memberikan jumlah yang besar ini? Dia mengatakan – saya sudah tiga bulan di Switzerland, sebab itu saya hantarkan canda saya. Muballigh berkata – tiga bulan canda pun tidak akan sampai begitu banyak. Dia berkata: Enam bulan sebelumnya saya berada di negara yang tidak ada Ahmadi, sebab itu saya mengirimkan semua canda saya yang tertunggak dengan jumlah 9,000 Franc.

Inilah tingkatan iman mereka, memang manusia tidak tahu, tetapi Tuhan tahu akan jumlah yang sepatutnya mereka bayar, sebab itu mereka serahkan jumlah canda dengan betul.

Kemudian ada seorang Pakistani yang bekerja dalam sebuah syarikat di Switzerland. Dia telah berjanji untuk membayar canda sebanyak 5,000 Swiss Franc. Dia berharap mendapat bonus dari syarikat sebanyak 5,000. Tetapi, pada masa yang sama dia berfikir – kalau dapat bonus, kelengkapan peribadi juga harus dibeli. Kemudian, oleh kerana dia telah berjanji untuk memberikan jumlah yang sama, maka dia telah membuang keinginannya dan menjelaskan canda lebih dahulu. Selepas itu dia memberitahu bahawa Allah Ta’ala telah memberikan kurnia ke atasnya kerana telah diberikan bonus dua kali ganda daripada jumlah yang dijanjikan. Dengan itu, keinginan peribadinya juga dapat disempurnakan dan candah Waqfe Jadid juga dapat dilunaskan.

Demikian juga muballigh kita di Benin menulis: Seorang muallim pergi mengumpul bayaran Tahrik Jadid, Abdul Latif Sahib memberikan 3,100 Franc dan berkata: Tolong doakan supaya Allah memberikan pendapatan yang lebih agar dapat membayar candah lebih banyak. Dengan kurnia Allah, dalam minggu itu juga Latif Sahib memanggil muallim itu dan memberikan tambahan canda sebanyak 7,000 Franc. Dia menceritakan: Pada hari saya berikan tuan 3,100 Franc itu, dalam hari yang sama seorang pesakit telah memberikan saya sebanyak 34,000 Franc pada mulanya, tetapi selepas itu dia memohon dana untuk perjalanan balik sebanyak 3,000. Dengan tidak semena-mena, dalam hati saya berkata bahawa Allah Ta’ala telah memberikan saya 10 kali ganda dari canda yang diberikan. Sebagai ganti dari 3,100 dia mendapat 31,000. Sebab itu saya tambahkan 7,000 lagi.

Begitu juga di Liberia, muballigh kita menulis bahawa ketika kunjungan ke suatu tempat di sana ada seorang anak kecil berusia lapan tahun, suka membuat pekerjaan yang kecil-kecil seperti mengambil air, mengangkat beg dan sebagainya. Dia juga giat mengkhidmati muballigh-muballigh. Kerana tertarik, murabbi sahib memberi hadiah kepadanya sebanyak lima Dollar Liberian, dan ia satu jumlah yang sangat biasa di sana. Selepas solat, apabila murabbi sahib menyeru kepada anggota supaya menjelaskan perjanjian Tahrik Jadid dan sangat menegaskan agar anak-anak juga dilibatkan sama, maka anak yang tadi itu bangun dan berbisik kepada ayahnya – saya juga hendak membayar canda dan saya ada duit. Ayahnya berkata: Kalau ada duit, berikan kepada saya. Anak itu pun memberikan lima Dollar Liberian sebagai candanya. Anak-anak lain yang melihat semangat anak itu pun turut terpengaruh dan mula meminta duit dari ibu bapa mereka untuk membayar candah.

Muballigh di Kyrgyzstan menulis bahawa ada seorang mubaiyin baru, Zameer Sahib – bai’at lebih kurang tiga tahun. Pada tahun 2008, ada arahan untuk mengumpul bajet bagi melaksanakan sambutan 100 tahun Jubli Khilafat. Pada waktu itu gajinya sebanyak 66 Dollar, negara itu negara miskin. Apabila muballigh Basyarat Ahmad Sahib meminta agar beliau menuliskan jumlah perjanjian untuk sambutan itu, dia meletakkan 46 Dollar sebagai janji. Setelah mendapat gaji, dia terus menuju rumah misi kerana katanya jika dia balik ke rumah terlebih dahulu, pasti akan terpakai. Dengan itu, untuk keperluan rumah, dia simpan hanya 20 Dollar sahaja. Allah Ta’ala menerima keikhlasannya. Tidak lama kemudian dia mendapat pekerjaan tambahan dan menerima lebih kurang 150 Dollar tambahan. Sekarang ini, sejak tiga bulan lepas dia bekerja di sebuah syarikat luar negara, dengan kurnia Allah Ta’ala juga gajinya sekarang ini 770 Dollar. Dia juga sekarang ini telah berwasiyat. Semasa menyerahkan borang wasiyat, murabbi sahib mengatakan bahawa untuk canda, sebagai ganti 1/16, sekarang ini adalah 1/10 yang akan dipotong. Dia menjawab: Sejak saya bai’at sehingga sekarang, saya telah memberikan canda dengan kadar 1/10.

Demikian juga di Kyrgyzstan ada seorang wanita yang baru bai’at – Jildiz Sahibah. Sangat mukhlis. Baru lebih setahun bai’at. Namun, masih belum membayar canda. Apabila dia diberitahu berkenaan dengan canda dan dijelaskan tentang kepentingannya, serta canda-canda yang wajib dibayar dan canda yang boleh dibayar mengikut kemahuan sendiri, dengan segera dia bangun dan keesokan harinya, dia hendak berjumpa dangan presiden. Presiden mengatakan: Saya ada kerja yang hendak dilakukan di suatu tempat. Namun dia berkeras hendak berjumpa segera. Setelah berjumpa, dia menyerahkan sebanyak 15,000 Kyrgyz Som untuk canda. Apabila ditanya kenapa begitu banyak, dia menjawab bahawa itu adalah canda untuk setahun.

Inilah keikhlasan mereka, semangat mereka dalam melakukan pengorbanan di jalan Allah Ta’ala. Selepas menceritakan semua ini, saya hendak mengumumkan permulaan tahun baru Waqfe Jadid.

Awal Januari adalah permulaan tahun baru Waqfe Jadid dan berakhirnya tahun ke-54. Sekarang adalah tahun ke-55 dan laporan datang dari berbagai tempat. Dari Afrika dan beberapa tempat yang lambat menghantar, ia tidak termasuk dalam jumlah yang saya berikan di sini. Jumlah kutipan ialah melebihi 4,693,000 Pound dan melebihi 510,000 Pound berbanding tahun lepas. Alhamdulillah.

Seperti biasa, Pakistan di tangga pertama walaupun di sana memang keadaan huru-hara, namun pengorbanan anggota Jemaat tidak berkurangan. Allah Ta’ala sentiasa memberikan berkat yang tidak terhingga dalam harta benda mereka. Kedua Amerika, ketiga UK, Wakalat Mal menyangka UK tempat kedua, tetapi Amerika menghantar laporan yang terakhir meninggalkan UK sedikit di belakang. Ia cuma beza 11,000 Pound. Namun begitu, pertambahan jumlah di UK juga sangat membanggakan. Semoga Allah Ta’ala memberikan berkat dalam harta para pembayar canda ini. Ekonomi di sini pun tidak berapa baik, kemudian banyak lagi perbelanjaan yang lain, perhatian terhadap pembinaan masjid juga sangat menggalakkan. Dalam Tahrik Jadid dan Waqfe Jadid di UK juga sangat menggalakkan. Kebenaran ayat HATTAA TUNFIQUU MIMMAA TUHIBBUUN sangat difahami oleh mereka. Lajnah di UK juga sangat giat melakukan pengorbanan.

Tangga keempat ialah Jerman. Kelima adalah Kanada, kemudian India tangga keenam, ketujuh Autralia, kelapan Indonesia, seterusnya Belgium dan Switzerland tangga kesepuluh. Dalam pertambahan matawang tempatan, tangga pertama ialah India sebanyak 36%, Belgium walaupun kecil namun ia melompat jauh mencecah 30%. Kemudian Australia, UK dan Indonesia.

Dari segi kutipan perkapita yang tertinggi pula, tangga pertama Amerika, kemudian Switzerland, UK, Belgium dan Ireland.

Lima jemaat terbaik yang membuat kutipan Waqfe Jadid di Afrika ialah Ghana, Nigeria, Mauritius, Burkina Faso dan Uganda.

Pembayar canda Waqfe Jadid yang bertambah tahun lepas ialah sebanyak 90,000 orang. Jumlahnya sekarang mencecah 690,000 orang. Dan di dalamnya masih banyak peluang. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat menekankan hal ini bahawa kebiasaan membayar canda harus dimulakan sejak awal lagi terutama sekali di Afrika, mereka masih terlalu banyak peluang. Wakalat Mal akan memberikan target dan ia harus dicapai, walaupun bayaran dalam jumlah yang kecil, ia harus ditekankan. Pertambahan jumlah banyak berlaku di Nigeria. Nigeria, Sierra Leon, Burkina Faso, Senegal, Benin, Uganda dan tempat lain telah berusaha keras. Untuk Ghana, saya telah nyatakan hal ini, namun mereka tidak berusaha lebih keras.

Dari segi pembayaran canda orang dewasa di Pakistan, tangga pertama ialah Lahore, kemudian Rabwah dan Karachi.

10 wilayah yang terbaik di Pakistan ialah Sialkot, Rawalpindi, Islamabad, Faisalabad, Seikhopura, Sargodha, Gujranwalah, Umarkot, Gujrat dan Bahawal Nagar.

Kutipan Atfal pula, tangga pertama ialah Lahore, Karachi dan Rabwah.

Kedudukan kutipan Atfal mengikut wilayah ialah pertama sekali Sialkot, Rawalpindi, Islamabad, Faisalabad, Seikhopura, Gujranwalah, Umerkot, Sargodha, Narrow Wall, dan Gujrat.

Lima yang terbaik di Amerika ialah Los Angeles Inland Empire, Silicon Valley, Detroit, Chicago dan Seattle.

Di UK, 10 jemaat yang terbaik ialah Raynes Park, New Malden, Worcester Park, Masjid Fazal, West Croydon, Birmingham West, Leamington Spa, Manchester South, Gillingham dan Southall.

Lima wilayah yang terbaik di UK ialah South, Midlands, London, Islamabad dan Middlesex.

Di Jerman, lima wilayah yang terbaik ialah Hamburg, Frankfurt, Gross Gerau, Darmstadt dan Wiesbaden.

Di Jerman, 10 yang terbaik ialah Rouder Mark, Cologne, Flower Haim, Neuss, Neda, Fulda, Fredburg, Roadbago, Mahdi Abad, Hanoi.

Lima Jemaat Kanada yang terbaik ialah Peace Village, Rexdale, Weston South, Woodbridge dan Edmonton.

Dalam Daftar Athfal di Kanada, lima yang terbaik ialah Weston South, Peace Village South, Weston North, Durham dan Hamilton North.

Di Jemaat India, pertama sekali Kerala, Tamil Nadu, Jammu Kashmir, Andhra Pradesh, West Benggal, Karnatak, Punjab, Orissa, Uttar Pradesh, Maharashtra dan Delhi.

Dari segi penerimaan di India, pertama sekali Kalikat, Kerala, Kinanur Town, Qadian, Haiderabad, Koemtabur, Kolkata, Chennai, Bangalore, Rishi Nagar dan Karuna Gopillai.

Mudah-mudahan semua mereka yang telah mengambil bahagian dalam canda Waqfe Jadid ini diberikan berkat oleh Allah atas harta benda mereka, dan sebagaimana yang telah saya katakan, hari ini saya umumkan permulaan tahun baru Waqfe Jadid, semoga Allah memberi kurnia untuk berkorban lebih banyak berbanding sebelumnya agar mendapat lebih banyak berkat. Dan kewangan jemaat yang ada, semoga Allah memberi berkat di dalamnya. Dalam keadaan dunia sekarang ini, adalah satu kurnia Allah atas jemaat kerana dapat meneruskan program-program yang dirancang. Sebab itu banyakkan berdoa agar harta benda terus diberkati.

Akhir sekali, selepas solat Jumaat ini, saya akan memimpin satu solat jenazah, iaitu jenazah orang yang kita muliakan, penyair yang terkenal Muhtaram Abdul Mannan Nahid Sahib anak kepada Hazrat Khawajah Muhammad Din Sahib yang merupakan sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Permulaan Januari yang lepas, beliau wafat dalam usia 93 tahun. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.

Mannan Sahib lahir dalam keluarga terhormat di Kashmir pada tahun 1919. Nama ayah beliau Khawajah Muhammad Din, dan Hazrat Munsyi Muhammad Ismail Sahib Silakoti yang merupakan sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam adalah datuk beliau. (Dipetik dari Sil Gham, Penerbit MTA International, halaman Title Page Number 4.

Hazrat Maulana Abdul Karim Sahib Sialkoti radiallaahu anhu adalah bapa saudara kepada ibu Nahid Sahib – Muhtaramah Hakim Bibi Sahibah, dan ibunya dijaga di rumah beliau. Oleh kerana tinggal di Qadian, sebab itu selalu datang berkunjung ke rumah Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Oleh sebab itu jugalah ibunya telah mendapat kasih sayang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan Hazrat Amma Jaan. (Dipetik dari Harian Al-Fazal, Jilid 62-97, nombor 3, tarikh 4 Januari 2012 halaman 8)

Mukarram Nahid Sahib adalah seorang penyair yang terkenal seperti beberapa anggota jemaat yang lain. Nazam dan ghazalnya sangat mendalam. Beliau mula mendapat pendidikan di Sialkot. Dalam tahun 1940, beliau mengambil B.A di Punjab Universitiy, dalam tahun 1941, beliau telah mendaftar untuk mengambil M.A tetapi telah mendapat pekerjaan sebelumnya memasukinya. Sebab itu beliau berhenti belajar. (Dipetik dari Syu’ara-e’Ahmadiyat, Salim Shah Jahanpuri Sahib, halaman 644, penerbit Abul Arif, Cetakan Syarif Sanz Karachi, edisi pertama)

Dan, dalam tahun 1942, dalam Military Accounts semakin bertambah dan dari mahkamah ini, dalam tahun 1978, beliau tamat pengkhidmatan sebagai Deputy Controllers of Military Accounts. Beliau banyak berkhidmat di berbagai tempat. (Dipetik dari Daerah Rawalpindi Tarikh Ahmadiyah, halaman 535. Tulisan Khawajah Manzur Sodiq Sahib, cetakan Black Arrow Printers Lahore 2004)

Di mana pun beliau berada, selalu mengambil bahagian dalam pekerjaan jemaat. Seorang yang sangat lemah lembut dan merendah diri. Penyair yang bagus. Beliau sangat beradab ketika bercakap. Beliau berhati mulia. Dia pernah datang ke sini sebanyak dua kali. Beliau selalu mengambil bahagian dalam bersyair, ketika zaman Khalifah Keempat dan juga sekarang ini.

Beliau berusaha untuk mengamalkan syarat-syarat bai’at. Beliau sangat menonjol dalam soal amanah dan keagamaan. Disiplin dalam solat dan puasa, teratur dalam tahajjud. Kasih kepada orang miskin dan sangat pemaaf. Sangat hormat kepada para khalifah dan orang-orang mulia dalam jemaat. Sangat taat kepada khalifah Ahmadiyah. Beliau layak dikatakan sebagai golongan saf awwal dalam soal kesetiaan. Giat mengambil bahagian dalam berbelanja di jalan Allah. Beliau seorang yang sangat sederhana. Semoga Allah meninggikan darjatnya.

Isteri beliau telah meninggalkannya terlebih dahulu dan tidak ada sebarang anak. Beliau memelihara seorang anak angkat. Mudah-mudahan anak yang beliau pelihara sentiasa kekal atas jejak langkah beliau. Dengan kurnia Allah Ta’ala, beliau mendapat taufik untuk mengkhidmati jemaat. Semoga Allah Ta’ala terus memberikan taufik kepada anak beliau dengan keikhlasan dan kesetiaan.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
11.02.2012

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...