Thursday, June 16, 2011

Malfoozaat Jilid 1_01

MALFOOZAAT

HAZRAT MASEEH MAU’UD A.S


1891

Hazrat Abdul Karim Sahib r.a berkata:-

TUJUAN KEBANGKITAN

Saya masih ingat dan telah menulisnya dalam buku nota saya bahawa bertempat di Jalandhar, ada seseorang telah bertanya kepada Hazrat Aqdas Imam Sodiq, Hazrat Mirza Sahib a.s bahawa apa tujuan kebangkitan tuan ke dunia ini?

Beliau a.s menjawab: Tujuan kedatangan saya ialah supaya manusia maju dalam kekuatan keyakinan.

JENIS-JENIS IMAN

Ada satu perkara lagi yang terdapat dalam buku nota saya dan kejadian itu juga berlaku di tempat yang sama, Jalandhar. Seorang anggota jemaat kita, saudara Munsyi Muhammad Arora Sahib bertanya: Hazrat, ada berapa jenis iman? Jawapan beliau sangat halus dengan mengatakan: Iman ada dua jenis, tebal dan nipis. Iman yang tebal ialah mengamalkan segala ajaran agama, dan iman yang nipis ialah dengan mengikut di belakangku.

1895

Janab Mufti Muhammad Sodiq Sahib r.a menulis:-
Dalam tahun 1895, ketika saya bersama Hazrat Aqdas, waktu itu saya sangat berminat menulis kalimah-kalimah suci beliau di atas kertas dan sentiasa membawanya ke Lahore, kemudian memperdengarkannya dalam komiti mingguan di sana. ....... Jadi, apa yang saya ingat tentang hal itu, saya hendak persembahkan kepada para pemerhati, namun oleh kerana waktu itu belum ada sistem kalendar yang baik, sebab itu setiap perkara dipersembahkan tanpa tarikh.

BAI’AT DAN TAUBAH

Dalam ba’iat, kita hendaklah ketahui apa faedahnya dan kenapa ia perlu? Selagi nilai sesuatu benda itu kita tidak tahu, maka ia tidak berapa diambil perhatian. Misalnya, di dalam rumah seseorang, ada berbagai jenis barang, ada duit, ada kayu dan sebagainya. Jadi, cara memelihara semua barang-barang itu adalah bergantung kepada nilainya. Menyimpan kayu tidak sama dengan cara menyimpan wang, kayu dan barang yang senilai dengannya hanya akan diletakkan di penjuru rumah sahaja. Tetapi bagi barang yang berharga akan disimpan di tempat yang selamat. Begitu juga dalam bai’at, di dalamnya perkara yang besar ialah taubah, yang bermaksud rujuk atau kembali. Taubah dinamakan sebagai keadaan di mana insan meninggalkan maksiat, yang mana ia telah berhubungan dengannya selama ini, menganggapnya sebagai watan, atau seolah-olah ia telah mengatur kediamannya di situ. Maksud meninggalkan watan dan rujuk tersebut ialah memilih jalan kesucian. Sekarang, meninggalkan watannya amat sukar dan banyak kesulitan yang dihadapi. Apabila insan meninggalkan rumah, banyak kesulitan yang dihadapi, dan meninggalkan watannya terpaksa berpisah dari saudara mara, meninggalkan barang-barang seperti katil, lorong-lorong dan pasar-pasar lalu pergi ke negara baru, yakni tidak akan datang kembali ke negara asal. Inilah yang dinamakan taubah. Kawan maksiat itu lain dan kawan takwa itu lain. Perubahan ini dikatakan maut oleh ahli sufi. Mereka yang bertaubat, terpaksa melalui keadaan yang sukar, dan semasa taubat yang sebenar, ia akan berhadapan dengan kesukaran-kesukaran yang besar, tetapi Allah Ta’ala Maha Rahiim dan Maha Kariim, dia tidak akan mati selagi Tuhan belum memberikan ganjarannya. INNAL LAAHA YUHIBBUT TAUWAABIINA (Al-Baqarah:223), ayat ini mengisyaratkan bahawa dengan taubah itu dia akan menjadi miskin dan asing, sebab itu Allah Ta’ala sayang kepadanya, dan akan memasukkannya ke dalam jemaat orang-orang mulia. Kaum yang lain tidak menganggap Tuhan itu Maha Rahiim dan Maha Kariim. Orang Kristian beranggapan bahawa Tuhan itu zalim, tidak mengampunkan anak dengan sifat rahim ayah, keampunan hanya diberikan selepas mengorbankan nyawa anak. Sungguh satu kebodohan jika seorang anak dan ayah hanya berbeza dalam perkara itu. Dalam anak beranak, ia ada hubungan dalam akhlak dan adat. (Tetapi di sini sangat kosong), jika Allah Ta’ala tidak berlaku Rahiim, maka seorang insan tidak akan dapat hidup walau sesaat. Apabila dengan amalan insan yang dahulu, Dia telah menjadikan berbagai benda bermanfaat untuk mereka, adakah boleh terfikir untuk mengatakan bahawa Dia tidak menerima taubat dan amalan?

HAKIKAT DOSA DAN TAUBAH

Hakikat dosa bukanlah Allah yang menciptakannya, kemudian memberi keampunan setelah beribu-ribu tahun berlalu. Sebagaimana pada lalat itu ada dua sayap. Satu daripadanya membawa penawar dan satu lagi racun. Insan pun ada dua ‘sayap’, satu ialah maksiat dan satu lagi taubah yakni kerisauan. Inilah hakikatnya bahawa sekiranya ada seseorang yang memukul hambanya dengan teruk, selepas itu dia akan rasa menyesal. Seolah-olah ‘sayap’ itu bekerja serentak. Bersama-sama dengan racun itu ada penawar. Sekarang, soalan yang timbul ialah kenapa racun itu dicipta? Jadi, jawapannya ialah walaupun ia racun, tetapi jika ia dijadikan penawar, maka ia akan bertindak sebagai penawar. Jika dosa tidak ada, maka racun kesombongan akan bertambah dalam diri insan sehingga memusnahkan diri. Dengan taubat, ia boleh diselamatkan. Dosa boleh menyelamatkan insan dari malapetaka sombong dan riak. Jika nabi s.a.w yang maksum itu beristighfar sebanyak 70 kali, kita seharusnya bagaimana? Mereka yang suka dengan dosa itu tidak akan bertaubat, tetapi mereka yang kenal bahawa dosa itu adalah dosa, mereka itulah yang akhirnya akan meninggalkan dosa itu.

Ada dalam hadis, apabila insan berkali-kali menangis di hadapan Allah memohon keampunan, akhirnya Tuhan berfirman; “Kami telah ampunkan kamu, sekarang terserah kepada kamu apa yang kamu mahu lakukan”. Maksudnya, hatinya telah diubah dan dia sudah mengetahui bahawa dosa itu buruk. Sebagaimana seseorang melihat beruang memakan kotoran lalu dia merasa jijik untuk turut sama memakannya, demikian juga insan tidak akan melakukan dosa jika Tuhan telah mengampunkannya. Orang Islam jijik dengan daging khinzir, sedangkan ribuan orang tetap sahaja melakukan pekerjaan yang juga haram dan dilarang. Jadi, di sinilah hikmat di mana diberikan satu contoh yang menjijikkan dan diberi kefahaman bahawa dengan cara demikianlah seorang insan membenci perbuatan dosa.

DOA ADALAH PENAWAR

Orang yang berbuat dosa, dengan memikirkan bahawa dosanya banyak, dia seharusnya jangan meninggalkan doa. Doa adalah penawar. Akhirnya nanti, dia akan melihat hasil daripada doa-doa tersebut bahawa dosa telah menjadikannya kelihatan buruk. Orang yang tenggelam dalam maksiat dan kecewa dari berdoa dan tidak cenderung untuk bertaubat, pada akhirnya dia akan mengingkari nabi dan pengaruh-pengaruhnya.

TAUBAT ADALAH BAHAGIAN BAI’AT

Inilah hakikat taubat (seperti yang dijelaskan di atas) dan kenapa ia dikatakan sebagai bahagian bai’at? Sebenarnya, insan selalu dalam kelalaian, apabila dia bai’at atas tangan orang yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai wujud yang membuat perubahan, maka sebagaimana pokok yang diletakkan pokok tumpang, maka ciri-cirinya akan berubah. Demikian juga melalui tumpangan itu, kurnia dan cahaya muncul (sepertimana yang terdapat dalam diri orang yang mendapat perubahan) dengan syarat hubungan itu hendaklah benar, bukan seperti dahan yang kering. Dengan menumpang dan menjadi dahan pokok itu, maka semakin kuat hubungan yang ada, semakin tinggilah manfaatnya.

BAI’AT IKUT-IKUTAN TIDAK BERMANFAAT

Bai’at secara ikut-ikutan sahaja tidak bermanfaat. Bai’at seperti itu sukar untuk memperolehi bahagian. Orang hanya akan mendapat bahagian dalam bai’at apabila meninggalkan wujudnya, lalu dia bersama-sama dengan penuh kecintaan dan keikhlasan. Orang munafik di zaman Rasulullah s.aw, disebabkan mereka tidak berhubungan dengan sepenuh hati, akhirnya keimanan mereka dengan sendirinya jadi lenyap, kecintaan dan keikhlasan yang sejati tidak lahir dalam diri mereka, sebab itu LAA ILAAHA ILLALLAH secara zahir sahaja tidaklah berguna. Jadi, mengembangkan hubungan ini adalah amat perlu. Jika hubungan ini tidak dikembangkan dan tidak berusaha, kesulitan yang dilaluinya tidak memberi faedah. Hubungan kecintaan dan keikhlasan hendaklah dikembangkan. Sedapat yang mungkin, berdampinglah selalu dengan orang-orang suci, dalam tariqah (cara hidup) dan iktikad (keyakinan). Nafsu menjanjikan bahawa umur amat panjang, itu adalah penipuan. Umur tidak dapat dijangka. Sebab itu, bersegeralah menuju kepada kebaikan dan ibadat. Buat selalu muhasabah diri dari pagi sehingga petang.

TAHAJJUD

Jika semua manusia menjalani seluruh kehidupan mereka untuk duniawi sahaja, apa bekalan mereka untuk akhirat?

Bangunlah waktu tahajjud dan tunaikanlah dengan sepenuh hati. Solat pertengahan selalu menjadi ujian bagi orang yang bekerja. Allah Ta’ala adalah Raaziq, solat hendaklah ditunaikan menurut waktunya. Zuhur dan Asar boleh dijamak sekali-sekala. Allah Ta’ala tahu bahawa akan ada manusia yang lemah, sebab itu kemudahan ini diletakkan. Tetapi, kemudahan ini tidak boleh dilakukan dengan jamak tiga waktu solat.

TANGGUNG KESULITAN KERANA ALLAH

Apabila seseorang diberi hukuman dalam pekerjaan atau suatu urusan lain, maka jika menanggung kesusahan semata-mata kerana Allah, itu sangat indah. Orang yang menghadapi kesulitan demi mempertahankan kebenaran, mereka itu sangat dicintai orang lain. Dan inilah pekerjaan para nabi-nabi dan orang-orang siddiq.

Orang yang menanggung kerugian duniawi semata-mata kerana Allah, maka Tuhan tidak akan membiarkan mereka malah akan memberikan ganjaran yang sempurna.

INSAN JANGAN HENDAKNYA MUNAFIK

Insan hendaklah menjauhi sifat munafik. Misalnya, jika seorang Hindu (sama ada seorang hakim atau pegawai) mengatakan bahawa Ram dan Rahiim itu sama, pada masa itu jangan terikut-ikut. Allah Ta’ala tidak melarang dari berlaku sopan. Jawablah dengan sopan santun. Bukanlah satu kebijaksanaan jika mengadakan perdebatan yang menimbulkan emosi dan pergaduhan yang tidak bermanfaat. Jangan pernah menyembunyikan kebenaran. Dengan mengakui ucapan mereka menyebabkan seorang insan menjadi kafir. Jagalah kemuliaan Allah Ta’ala. Dalam agama kita, tidak ada satu pun yang bertentangan dengan adab sopan.

ISLAM DIZALIMI

ISLAM, Islam itu sentiasa dizalimi. Sebagaimana pertengkaran yang terjadi di kalangan dua orang bersaudara, maka saudara yang lebih tua akan bertindak menzalimi saudaranya yang lebih muda kerana merasa dia lebih terhormat disebabkan kemuliaan dan kelahirannya yang lebih awal. Dia menganggap kelahirannya mendahului saudaranya yang lebih muda menjadikannya lebih banyak mendapat hak, sedangkan hak mereka berdua adalah sama. Demikianlah yang terjadi pada Islam. Islam datang selepas semua agama muncul. Islam telah memberitahu semua kesalahan agama-agama lain. Dan sebagaimana yang biasa berlaku, orang jahil akan menjadi musuh kepada penasihat, sebab itu semua agama menjadi marah kerana dalam hati mereka masih menganggap ada keagungan. Insan akan menjadi takbur disebabkan jumlah mereka, kedewasaan mereka dan juga harta mereka yang melimpah. Rasulullah s.a.w adalah miskin, kecil dan kelompok yang baru. Sebab itu pada peringkat awal, mereka tidak menerimanya. Kebenaran itu selalu dizalimi.

ISLAM ADALAH MUHSIN BAGI KAUM-KAUM LAIN

Islam adalah agama yang begitu suci sehingga tidak membenarkan kata-kata yang buruk terhadap pendiri agama yang lain. Agama-agama lain begitu cepat mengeluarkan kata-kata penghinaan. Cuba lihat kaum Kristian, betapa banyaknya kata-kata penghinaan yang mereka lemparkan terhadap Rasulullah s.a.w. Seandainya Rasulullah s.a.w hidup pada waktu ini, maka baginda tidak akan mengeluarkan suatu ucapan dengan memikirkan kebesaran duniawi, malah akan mempamerkan cara yang sangat baik. Amir Kabul dan Sultan Rom adalah ummati Rasulullah s.a.w, mereka tidak menghina kedua-dua orang ini atau tidak berlaku kurang sopan terhadap mereka. Tetapi, apabila nama Rasulullah s.a.w yang disebut, maka dengan segera mereka memperdengarkan ribuan penghinaan. Islam adalah muhsin bagi kaum-kaum yang lain iaitu memerdekakan setiap nabi dan kitab-kitab, sebaliknya Islam pula yang dizalimi. Inti Islam adalah LAA ILAAHA ILLALLAH, ia tidak terdapat dalam agama yang lain.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 1-5)


Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(15.06.2011)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...