Tuesday, March 16, 2010

Muslim Tanpa Islam

Hazrat Mirza Tahir Ahmad, Khalifah Keempat Jemaat Ahmadiyah Muslim, dari semasa ke semasa mempelawa orang ramai dari pelbagai bangsa dan agama untuk mengajukan pelbagai persoalan serta isu-isu yang menarik perhatian mereka. Berikut adalah jawapan bagi soalan yang telah dikemukakan dalam sesi soal jawab yang diadakan pada tahun 1995 di Jerman oleh orang-orang keturunan Albania dari Bosnia.

Penyoal
Mengapakah orang-orang Ahmadi tidak diberi hak untuk mengerjakan ibadah Haji?

Hazrat Mirza Tahir Ahmad
Siapakah yang anda fikir telah merampas hak orang-orang Ahmadi- Allah atau manusia?

Penyoal
Manusia

Hazrat Mirza Tahir Ahmad
Jadi, anda hendaklah mengajukan pertanyaan ini kepada mereka, Allah telah memberi kami hak untuk mengerjakan ibadah Haji. Kami beriman kepada Allah, beriman kepada Rasulullah(saw), kalimah kami adalah sama, kami solat, membayar zakat, berpuasa, dan kami percaya kepada ibadah Haji. Jadi, atas kuasa siapakah orang-orang ini telah mengambil hak kami? Anda seharusnya bertanya kepada mereka kenapa bertindak demikian?

Walaubagaimanapun, saya tahu mengapa anda mengajukan soalan ini? Para Ulama yang memberitahu anda bahawa orang Ahmadi bukan Muslim, sebab itu mereka telah melarang orang Ahmadi untuk menunaikan ibadat Haji. Jika jawapan itu munasabah, anda harus bertanyakan kepada mereka, adakah Rasulullah(saw) itu Muslim atau tidak? Dengan jelas mereka akan menjawab, "sudah tentu Rasulullah(saw) adalah orang Islam yang pertama". Kemudian anda tanyakan lagi bahawa siapakah orang pertama dalam sejarah hidup manusia yang dilarang mengerjakan ibadat Haji? Jawapan mereka seharusnya ialah Rasulullah(saw), apabila berada di Hudaibiya, Baginda telah dilarang secara paksa dari mengerjakan Haji oleh orang kafir Mekah. Jadi, orang Ahmadiyah yang berserta dengan Rasulullah(saw) dalam hal ini, dengan itu siapakah para ulama untuk campurtangan?

Ulama dan para Mullah datang secara senyap kepada anda dari belakang kami apabila kami tiada. Kenapa mereka tidak datang dan bersemuka dengan saya secara terang-terangan? Saya akan memberi mereka peluang untuk mengatakan apa sahaja diikuti dengan jawapan dari saya dan anda akan membuat penilaian samada mereka berkata bohong ataukah kami? Saya boleh membuktikan dari Al-Qur'an dan Hadis bahawa mereka telah menabur fitnah mengenai Ahmadiyah dan anda secara senyap mempercayainya kerana tidak tahu mengenai kami.

Di samping itu juga, anda kurang pengetahuan mengenai Islam. Hanya segelintir dari kalangan anda yang ada pengetahuan mengenai Islam. Anda mendengar kata-kata ulama dan mempercayainya. Ini tidak adil! Anda adalah orang yang berpengalaman dan mempunyai akal fikiran sendiri. Anda adalah orang-orang yang berilmu. Mengapa tidak mendengar dari pihak yang lain sebelum membuat keputusan?

Ibadah Haji bukanlah satu-satunya persoalan. Ia merangkumi persoalan yang lebih luas lagi. Saya tahu ulama-ulama telah menerbitkan bahan-bahan bacaan dan menulis buku-buku dan telah mendekati anda dan membisikkan di telinga anda kata-kata yang menentang kami. Apa yang mereka katakan adalah ringkas sekali bahawa kami ini, orang-orang Ahmadi bukan Muslim, jadi jangan ikut Ahmadiyah. Anda perlu bertanya; kenapa? Jawapan mereka adalah "kerana Arab Saudi telah mengisytiharkan Ahmadiyah sebagai bukan Muslim, Pakistan juga telah membuat pengisytiharan yang sama. Sebab itu kami dan orang-orang Islam yang lain juga berpendapat sama iaitu orang-orang Ahmadiyah bukan Islam".

Anda juga harus bertanya selanjutnya; apa lagi sebabnya? Mereka akan menjawab bahawa mereka tidak mengizinkan orang-orang Ahmadi itu mengucapkan dua kalimah Syahadat, Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur Rasuulullah (Tiada Tuhan yang disembah selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah). Mereka akan menerangkan jika orang-orang Ahmadi mengucapkan kalimah ini, mereka akan dihukum. Mereka akan berkata; Pergilah ke Pakistan, dan lihatlah berapa ramai orang-orang Ahmadi yang telah dipukul dan dipenjarakan atas kesalahan hanya mengucap dua kalimah syahadat, Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadar Rasuulullah. Mereka akan mengatakan lagi orang-orang Ahmadi ini bukan Muslim, kerana itu mereka tidak boleh mengucap kalimah syahadat.

Apalagi yang anda boleh tanya selanjutnya? Mereka akan memberitahu, "kami telah melarang mereka membina masjid-masjid. Kami telah melarang mereka dari melaungkan azan. Kami telah melarang mereka dari berkelakuan seperti orang-orang Islam. Kami telah melarang mereka mengucapkan Assalaamualaikum (sejahtera atas kamu). Bagaimana mereka (orang-orang Ahmadi) ini boleh dianggap Muslim sedangkan kami telah mencegah mereka dari semua perbuatan yang berunsurkan Islam. Inilah yang diberitahu oleh para ulama kepada anda.

Mereka selanjutnya akan berkata kepada anda, jika anda pergi ke Pakistan, anda akan dapat melihat dengan sendiri bagaimana mereka menghukum orang-orang Ahmadi kerana mengucapkan Kalimah Syahadat Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadur Rasuulullah, serta membelasah dan memenjarakan mereka (Ahmadi). Dan lagi, orang-orang Ahmadi yang memberi salam dengan mengucapkan Assalaamualaikum kepada orang lain akan diheret ke balai polis, dibelasah dan dipenjara kerana mahkamah keadilan telah memutuskan bahawa sekarang ini, orang-orang Ahmadi yang mengucapkan dua kalimah syahadat Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadur Rasuulullah adalah satu jenayah yang boleh membawa hukuman mati. Jika seseorang Ahmadi mengucapkan dua kalimah syahadat Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadur Rasuulullah, dia boleh dibunuh di tengah jalan atau dihukum mati di mahkamah.

Apabila anda mendengar semua ini, anda seharusnya bertanyakan kepada mereka, TIDAKKAH semua ini membuktikan bahawa orang-orang Ahmadi mengucap kalimah yang sama seperti orang-orang Islam yang lainnya? TIDAKKAH ia membuktikan bahawa orang-orang Ahmadi mengerjakan solat dan melaungkan azan yang sama seperti orang-orang Islam yang lain? TIDAKKAH semua ini membuktikan bahawa orang-orang Ahmadi beriman kepada tuntutan mengerjakan ibadat Haji seperti orang-orang Islam yang lain? TIDAKKAH INI SEMUA MEMBUKTIKAN BAHAWA ORANG-ORANG AHMADI JUGA ADALAH ORANG ISLAM?

Oleh kerana merekalah yang telah menghalang orang-orang Ahmadi dari menjalankan kewajipan sebagai orang Islam, maka perbuatan ulama inilah yang bertentangan dengan ajaran Islam! Adakah seseorang yang menghalang orang lain dari mengerjakan solat boleh dianggap benar? Adakah dia seorang Muslim? Jika seseorang membina masjid demi untuk menyembah Allah di dalamnya, dan orang lain datang dan merobohkannya serta menghalang orang-orang lain dari beribadah di masjid tersebut, adakah orang itu boleh dianggap Muslim? Adakah dia dianggap Muslim dan orang yang dihalangnya itu bukan Muslim? Jika inilah jawapannya, maka saya ingin mengajak anda kepada sejarah awal Islam. Siapakah yang telah dilarang mengucap Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadur Rasuulullah? Mereka adalah Rasulullah (saw) sendiri dan para pengikutnya. Mereka diheret di jalan-jalan di Mekah, titisan darah mereka menjadi bukti hingga hari ini. Ada juga kaum wanita yang ditusuk dengan lembing hingga mati kerana mengucapkan dua kalimah syahadat ini.

Jadi, adakah kejadian yang menimpa diri Rasulullah dan para sahabatnya menjadikan mereka ini bukan Islam? Mereka dilarang dari melaungkan azan, mereka dilarang mendirikan masjid-masjid, masjid-masjid mereka diserang dan dirobohkan. Mereka dilarang mengerjakan solat. Bukan sahaja orang biasa, malah Rasulullah(saw) sendiri pun dilarang mengerjakan solat. Di dalam Al-Qur'an ada disebutkan dalam surah Al-Alaq ayat 10-12. iaitu; tahukah kamu tatkala hamba-Ku yang sempurna, Muhammad(saw) berdiri untuk mengerjakan solat, mereka datang dan menghalangnya dari mengerjakan solat. Mengikut sejarah awal Islam, apabila ada orang mengaku bahawa mereka adalah orang Islam, mereka akan dibelasah dan ini berlaku walaupun di hadapan Ka'abah.

Umar mengisytiharkan dirinya Muslim dan beliau telah dipukul. Mereka yang lain juga menerima nasib yang sama. Abu Zaf Gifari misalnya telah dibelasah hampir mati. Kesalahan mereka hanyalah kerana memeluk Islam. Orang-orang kafir berkata kepada orang-orang Islam bahawa mereka (orang Muslim) boleh menggelarkan diri mereka dengan panggilan apa sahaja asalkan jangan dengan perkataan Muslim. Orang-orang Islam yang dahulu telah dilarang membina masjid dan mengerjakan haji.

Inilah yang berlaku kepada orang-orang Islam yang terdahulu. Anda seharusnya bertanyakan kepada para ulama ini, "adakah benar mereka yang telah dilarang untuk melakukan semua ini dari golongan Islam? Jika anda mempunyai rasa hormat terhadap kemuliaan Rasulullah(saw) dan para sahabatnya, anda seharusnya mengusir mereka kerana mereka telah mengajak anda ke jalan orang-orang kafir Mekah, musuh Islam dan bukan menunjuk ke arah jalan yang dibawa oleh Rasulullah(saw). Hal ini sangat jelas sekali, namun saya hairan atas kecetekan fikiran anda . Anda telah menerima dalam diam-diam apa sahaja yang telah dikatakan oleh para ulama ini.

Banyak masjid-masjid orang Ahmadi di Pakistan yang telah dimusnahkan. Mereka telah menutup banyak masjid-masjid orang-orang Ahmadi, mereka telah melarang secara paksa orang-orang Ahmadi melalui undang-undang dari pergi ke Masjid untuk beribadah, dan mereka merasa bangga dengan tindakan mereka itu. Mereka menyiarkannya dalam surat khabar. Ia bukan sesuatu yang memalukan mereka. Mereka sama sekali tidak ada perasaan malu dengan melakukan jenayah-jenayah ini. Mereka menyiarkan dalam akhbar dengan rasa bangga. Sedangkan di dalam Al-Qur'an dinyatakan: Siapakah yang lebih dahsyat dari seorang penjenayah selain mereka yang cuba mengosongkan masjid-masjid serta menghalang orang-orang lalu dan pergi ke Masjid untuk beribadah'. Adakah anda percaya kepada Al-Qur'an yang telah meletakkan mereka antara manusia yang paling kejam sekali kerana mereka menghalang orang-orang dari pergi ke Masjid-masjid dan mereka telah memusnahkan masjid-masjid.

Mereka memusnahkan masjid-masjid kami di Pakistan untuk menunjukkan bahawa mereka adalah orang Islam yang terlebih baik. Bagaimana pula dengan masjid Babari di India apabila ia telah dimusnahkan oleh penganut-penganut Hindu? Mengapa mereka membantah hal itu? Jika dengan memusnahkan masjid di Pakistan, mereka menjadi Muslim yang terlebih baik, mengapa tidak menganggap penganut-penganut Hindu itu sebagai "Muslim yang terlebih baik" apabila mereka merobohkan masjid di India? Pada hal penganut-penganut Hindu itu telah mengikuti jejak langkah mereka- contoh yang terbaik dari orang-orang Islam Pakistan! Mereka sepatutnya memuji panganut-penganut Hindu itu dan berkata: "Syabas kepada penganut-penganut Hindu! Dengan memusnahkan masjid, kamu telah menjadi Muslim yang terlebih baik dari Muslim yang lainnya", Namun hal ini memang tidak masuk akal sama sekali.

Akhir sekali saya akan mengetengahkan kepada nada bukti-bukti dari Al-Qur'an yang akan menghilangkan keraguan dalam fikiran anda bahawa para ulama ini mewakili syaitan dan bukannya Allah. Mereka yang datang kepada anda dan menyuruh anda menjauhkan diri dari orang-orang Ahmadi, mereka adalah dari golongan syaitan dan adalah musuh-musuh Rasulullah(saw). dan saya akan buktikan dari Al-Qur'an. Tetapi, sebelum itu saya ingin bertanya sesuatu. Apabila orang-orang Bosnia, Albania atau orang-orang Islam yang lainnya yang berada di Eropah pergi ke pub-pub dan minum arak, adakah para ulama Arab Saudi atau ulama anda sendiri atau ulama Pakistan pernah datang kepada anda dengan berkata, "demi Tuhan! Jangan melakukan ini semua kerana ia bertentangan dengan Islam". Apabila mereka pergi ke gereja-gereja dan menjadi orang Kristian, pernahkah anda membaca buku-buku dari Arab Saudi memberi amaran tentang neraka Jahannam? Pernahkah mereka menyeru kepada anda "Jangan memeluk agama Kristian, jangan hancurkan keimanan anda"? Apabila anda tidak lagi beriman kepada Allah, adakah mereka mempedulikan anda? Pernahkah mereka berkata kepada anda, inilah tanda-tanda kewujudan Allah. Marilah mendapatkan bukti-bukti kewujudan Allah dari kami? Tidak! Tiada apa yang akan berlaku walau apapun tindakan yang anda lakukan. Selagi anda berada jauh dari Tuhan dan dekat kepada syaitan, mereka senang hati. Mereka puas hati bahawa tiada apa yang dianggap salah dalam keIslaman anda.

Tatkala anda menyahut seruan Mahdi yang telah dilantik oleh Allah, tiba-tiba mereka terasa seperti disiksa. Mereka seolah-olah terbakar dalam kemarahan dan merasa geram serta berkata, 'jangan mendekati mereka (orang-orang Ahmadi)." Apakah yang disebutkan dalam Al-Qur'an mengenai perkara ini? Siapakah yang menyuruh mereka datang kepada anda dan melarang anda menjadi orang Ahmadi? Siapakah yang telah memimpin mereka untuk menyekat jalan yang menuju kepada Ahmadiyah? Saya akan memberitahukan anda apa yang terkandung dalam Al-Qur'an mengenai hal ini.

Allah Ta'ala berfirman bahawa ketika Adam(as) dilantik oleh Allah, syaitan/iblis tidak mahu tunduk kepada Adam dan berkata bahawa dia lebih baik dari Adam. Jadi, mengapa harus mengikut Adam? Apabila Allah menolak kemahuannya dan mahu menghumbankannya ke neraka, syaitan/iblis berkata:

iblis berkata:  "Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat)". (Surah Al-A'raf ayat 14)

iaitu, "Ya Allah, berilah aku masa hingga hari kebangkitan, hari kiamat, berikan aku waktu, jangan menghukum aku, jangan musnahkan aku dahulu. Biarkan aku melakukan sesuatu sehinga dunia kiamat sebelum manusia dibangkitkan semua". Apa yang akan dilakukannya?

iblis berkata lagi: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan aku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus". (Surah Al-A'raf ayat 16)

iaitu, "kerana Engkau telah mendapati aku sesat dari jalan yang lurus, maka aku akan menghalang manusia dari menuju jalan-Mu, dari sampai kepada-Mu. Aku akan bisikkan ke telinga mereka". Kemudian apa yang akan dia lakukan? Selanjutnya Al-Qur'an menyatakan:

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta kiri mereka,; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (Al-A'raf ayat 17)

iaitu dia berkata, "Ya Allah, aku akan menghampiri mereka dari kanan, dari kiri, dari depan dan dari belakang mereka. Untuk apa? "untuk menghalang mereka dari datang kepada-Mu dan dari menyahut seruan pesuruh-pesuruh yang telah Engkau angkat. Ini akan menjadi tugasku saat ini. Jadi, tidakkah anda mengenai orang-orang ini sekarang? Apabila anda menuju ke arah syaitan dan anda tahu cara-cara menuju ke arahnya, dengan tidak mengerjakan solat, tidak membaca Al-Qur'an, tidak membayar zakat, meminum arak dan dalam erti kata lain, hidup secara bebas, yakni tidak beriman kepada Tuhan sama sekali. Apabila anda melakukan semua itu, mereka tidak peduli kerana anda menuju kepada keburukan, yakni jalan yang mereka tidak pernah halang. Mereka hanya menghalang jalan kepada Allah. Inilah janji syaitan yang akan dilakukannya. Mengapa anda tidak sedar bahawa mereka inilah yang menghalang ke jalan Allah dan bukan ke jalan keburukan? Mereka hanya menghalang satu jalan iaitu jalan menuju Allah.

Sekarang saya akan mencadangkan kepada anda satu ujian yang anda boleh cuba terhadap mana-mana ulama yang akan memberikan jawapan yang sama dengan apa yang saya berikan. Anda boleh jumpa mereka dan katakan bahawa anda telah mencuri, melakukan zina, minum arak, makan babi, merompak harta orang lain, memberi dan menerima rasuah. Ringkasnya, anda telah melakukan semua yang dilarang dalam Islam, tetapi anda mempunyai satu kebencian, yakni benci dengan Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian. Adakah anda dianggap Muslim atau tidak? Mereka berkata: Alhamdulillah, anda seorang Muslim yang hebat, anda adalah orang Islam yang terbaik.

1 comment:

  1. Pihak Ahmadiyya menjemput sesiapa yg hendak kemukakan segala persoalan tentang keberadaan Ahmadiyya. ahmadiyya nak MUZAKARAH TERBUKA bukan cakap dari belakang je untuk mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat..apa yang kita sampaikan akan diadili oleh Allah swt kelak di Akhirat

    ReplyDelete

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...