Tuesday, March 30, 2010

Berusaha Mencapai Nur Rasulullah

Dalam menjelaskan kedudukan dan kesempurnaan nur Rasulullah s.a.w, Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata di suatu tempat: “Akal dan akhlak fadilah nabi yang maksum itu begitu sempurna, indah dan bercahaya sehingga sebelum ilham pun memang sudah tersedia cahayanya.” (Barahin Ahmadiyah, Bahagian 2, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 195, nota kaki nombor 11). Yakni, dari sudut akal dan dari sudut akhlak, baginda s.a.w menduduki tempat yang tidak ada batasannya. Dan dalam setiap perkara, setiap akhlak, setiap amal baginda s.a.w memiliki cahaya yang kelihatan dengan sendirinya. 

Al-Qur’an menyatakan NUURUN 'ALAA NUURIN (An-Nuur:36), yakni cahaya di atas cahaya. Hazrat Masih Mau’ud a.s menjelaskan berkenaan hal itu dengan berkata:- 
“Apabila diri Hazrat Khatamul Anbiya s.a.w terkumpul segala nur, maka di atas nur-nur itu ada satu lagi nur langit yang ada iaitu kewujudan Ilahi, dan dengan kewujudan nur itu maka diri Khatamul Anbiya itu menjadi Majma’ul Anwar”. (Barahin Ahmadiyah bahagian 2, Rohani Khazain jilid 1, halaman 195, nota kaki nombor 11). Yakni menjadi tempat berkumpul segala nur. 

Kemudian beliau a.s berkata: “Dalam Al-Qur’an, nama Rasulullah s.a.w adalah nur dan siraaj muniir.” (Barahin Ahmadiyah bahagian 2, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 196, nota kaki nombor 11) 

Dalam menjelaskan tentang siraaj muniir, Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:- 
"Meletakkan nama baginda sebagai pelita mempunyai hikmah yang begitu dalam, antaranya, dari satu pelita itu akan muncul ribuan dan jutaan pelita yang lain dan di dalamnya tidak ada kekurangan. Ia tidak seperti bulan dan matahari. Maksudnya ialah dengan mentaati dan mengikuti baginda s.a.w, ribuan dan jutaan insan akan mencapai tingkat itu dan ia tidak terbatas, malah akan berterusan tanpa henti. Ini adalah sunnatullah, iaitu dalam kegelapan yang begitu teruk, Allah Ta’ala akan memberikan ilmu dan makrifat kepada seseorang lalu mengutusnya, dan dalam kata-katanya ada pengaruh, dalam perhatiannya juga ada tarikan. Doa-doanya dikabulkan. Tetapi, mereka yang dapat ditarik, mereka yang dapat dipengaruhi adalah mereka yang terpilih. Lihat, Rasulullah s.a.w telah diletakkan nama siraajam muniira, tetapi adakah Abu Jahal mahu menerimanya?” (Malfoozaat Jilid 5, halaman 665, edisi baru) 

Hari ini, saya akan mempersembahkan beberapa hadis berkenaan dengan kedudukan nur Allah,  yang merupakan NUURUN 'ALAA NUURIN dan juga kecantikannya yang zahir, yang dengan itu kecantikan nur Rasulullah s.a.w akan kelihatan. Begitu juga saya akan jelaskan kedudukan baginda s.a.w dan beberapa doa yang diajarkan kepada umatnya untuk mengambil bahagian dalam nurnya. Dalam fikiran saya, selepas itu saya akan huraikan mengenai Hazrat Masih Mau’ud a.s dengan merujuk kepada perkara ini, tetapi hal ini sudah cukup banyak. Oleh sebab itu, ia tidak dapat dijelaskan hari ini. insyaAllah akan disampaikan pada masa akan datang.

Insan yang sempurna, yang namanya adalah Muhammad s.a.w, yang mana Allah Ta’ala telah berfirman: Wahai Muhammad s.a.w! Aku telah ciptakan dunia ini disebabkan engkau. Baginda s.a.w menjelaskan tentang nur baginda s.a.w sendiri. Satu riwayat dalam Mirqaatul Mafaatiih Syarah Misykat Kitabul Iman, Rasulullah s.a.w bersabda: Benda yang paling awal sekali diciptakan oleh Allah ialah cahayaku. (Mirqaatul Mafaatih Syarah Misykat Kitabul Iman, Al-Iman Bil Qadril Fashlis Tsaani Syarah Hadis Nombor 94, Jilid 1, halaman 270, nota kaki, cetakan Beirut, Lubnan 2001) 

Yakni, sejak dari mula lagi Allah Ta’ala telah membuat keputusan bahawa insan kamil yang diberikan nur, ia adalah nur yang tidak pernah diberikan atas sesiapa sebelumnya dan tidak juga selepasnya. Ia hanya diberikan kepada Rasulullah s.a.w. 

Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang rukya ibunya dengan bersabda: Ibuku pernah berkata; aku melihat dalam mimpi bahawa ada nur keluar dari dalam diriku sehingga menerangi negeri Syam. (Masnad Ahmad Bin Hambal Jilid 6, halaman 64, Masnad Utbah Bin Abdus Silmi, hadis nombor 17798, cetakan Beirut 1998) 

Maknanya, Allah Ta’ala telah memberikan khabar gembira kepada ibunya sehingga tersebar ke tempat-tempat yang jauh. Seorang ibu yang menjadi balu ketika melahirkan puteranya juga merasa sedih akan puteranya. Tetapi, Allah Ta’ala telah memberikan khabar gembira kepadanya bahawa anak itu tidak akan merasa kekurangan walaupun tidak ada ayah di sisinya, malah dia akan menerangi setiap insan. Dan hari ini kita dapat melihat bahawa rukya yang dilihat oleh ibunya telah menjadi sempurna. 

Berkenaan dengan Rasulullah s.a.w, terdapat satu riwayat daripada Hazrat Hasan Bin Ali r.a, dia berkata:-
“Aku bertanya daripada bapa saudaraku Hazrat Hind Bin Abi Halah berkenaan dengan ciri-ciri Rasulullah s.a.w. Beliau memberitahu tentang keadaan Rasulullah s.a.w dengan begitu indah, dan aku ingin beliau juga menceritakan tentang rupa paras Rasulullah s.a.w yang boleh menarik hati. Lalu beliau memberitahu bahawa perwatakan Rasulullah s.a.w ada ru’ub. Wajahnya bercahaya seperti bulan purnama.” (Syamail Nabi s.a.w bab Maa Jaa’a Fii Kholqi Rasuulillaahi s.a.w, hadis nombor 7, Urdu terjemah syai’ kardah Nur Foundation, Rabwah) 

Berkenaan dengan kecantikan Rasulullah s.a.w juga ada riwayat yang lain. Hazrat Jabir bin Samrah meriwayatkan; aku telah melihat Rasulullah s.a.w seperti bulan purnama. Baginda s.a.w memakai pakaian berwarna merah. Sekejap aku melihat kepada baginda s.a.w dan sekejap ke arah bulan. Menurutku, baginda s.a.w lebih indah dari bulan. (Syamail Nabi s.a.w bab Maa Jaa’a Fii Kholqi Rasuulillaahi s.a.w, hadis nombor 9, Urdu terjemah syai’ kardah Nur Foundation, Rabwah) 

Kemudian, dalam riwayat yang lain, Hazrat Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berkulit putih seolah-olah baginda s.a.w dijadikan daripada bulan. (Syamail Nabi s.a.w bab Maa Jaa’a Fii Kholqi Rasuulillaahi s.a.w, hadis nombor 11, Urdu terjemah syai’ kardah Nur Foundation, Rabwah) 

Dalam riwayat yang lain juga ada menerangkan tentang gambaran wajah Rasulullah s.a.w. Hazrat Ibnu Abbas r.a meriwayatkan: “Di antara gigi depan Rasulullah s.a.w ada ruang-ruang yang rapat, apabila baginda s.a.w bersabda, maka kelihatan nur daripada celah-celah giginya”. (Syamail Nabi s.a.w bab Maa Jaa’a Fii Kholqi Rasuulillaahi s.a.w, hadis nombor 14, Urdu terjemah syai’ kardah Nur Foundation, Rabwah) 

Kemudian, nur baginda s.a.w tidak hanya untuk orang sendiri, malah setiap orang yang berfitrat baik dapat melihatnya. Hazrat Abdullah bin Salam berkata; “Apabila Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, ada panggilan bahawa Rasulullah s.a.w sudah datang. Saya juga bersama dengan yang lain pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. Setelah saya melihat dengan penuh teliti ke arah wajah Rasulullah s.a.w, saya dapat mengetahui bahawa wajah ini bukan wajah seorang penipu”. (Sunan Tirmizi, Kitabul Qiyyamatu War Raqaiq, bab 107/42 hadis 2485) 

Sebagaimana yang telah Hazrat Masih Mau’ud a.s katakan bahawa baginda s.a.w dinamakan pelita. Dan dari satu pelita, ribuan pelita lain akan bercahaya. Dunia telah melihat bahawa semasa hayat baginda s.a.w, ratusan ribu pelita telah mengeluarkan cahaya. Dan cahaya ini tersebar terus sehingga hari ini. Allah Ta’ala juga memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang mendapat cahaya ini, mereka yang rajin beribadat dan juga mereka yang beramal soleh, bahawa mereka itu semua akan mewarisi syurga. 

Rasulullah s.a.w bersabda: Aku akan dapat mengenali orang-orang yang mendapat nur itu. Penjelasan mengenainya terdapat dalam sebuah riwayat. 

Abdurrahman bin Jabir berkata; saya mendengar dari Abu Zar dan Abu Darda bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: pada hari kiamat, di antara sekalian umat-umat, aku akan dapat mengenal umatku. Para sahabat bertanya, Ya Rasulullah s.a.w! Bagaimana tuan dapat mengenal umat tuan? Bersabda; aku akan mengenali mereka kerana mereka akan diberikan kitab pada tangan kanan mereka, dan disebabkan banyak sujud, ada tanda pada wajah yang menjadikan aku kenal mereka, dan aku juga mengenali mereka dengan nur yang berada di hadapan mereka. (Masnad Ahmad bin Hambal, Jilid 7 halaman 275, Masnad Abu Darda, hadis 22083, cetakan Beirut 1998) 

Allah Ta’ala memberitahu tentang tanda-tanda ahli syurga yakni nur akan berada di hadapan mereka. 

Berkenaan dengan orang yang sujud atau orang-orang Mukmin, Al-Qur’an menyatakan bahawa ada nur pada wajah mereka. (Al-Fath:30). Yakni, kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.

Jadi, oleh kerana banyak melakukan sujud dan sentiasa bersedia untuk mendapatkan keredhaan Allah setiap masa, dan juga disebabkan usaha untuk mendapatkan keredhaan-Nya, maka nur ini akan berada di hadapan mereka yang melakukan amal soleh dan mereka yang rajin beribadat. 

Maknanya, Rasulullah s.a.w juga menggolongkan orang-orang yang mahukan keredhaan Allah dan mereka yang luar biasa dalam ibadat termasuk dalam umat. Oleh sebab itu, setiap Ahmadi hendaklah memikirkan hal ini sedalam-dalamnya. 

Berkenaan dengan meningkatkan nilai ibadat untuk mendapatkan nur ada tersebut dalam satu riwayat. Hazrat Buraidah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Berilah khabar gembira kepada orang yang berjalan ke arah masjid dalam keadaan gelap bahawa pada hari kiamat nanti adan nur yang sempurna. (Sunan Abu Dawud, Kitabus Sholaat, Bab Maa Jaa’a Fil Masyi Ilas Sholaati Fiz Zulaam, hadis 561) 

Maksudnya, ada khabar gembira kepada mereka yang datang ke masjid pada waktu solat Subuh dan Isyak dengan menanggung kesulitan akibat kegelapan. Di satu tempat Rasulullah s.a.w juga menyatakan dengan begitu keras terhadap orang yang tidak mahu datang berjemaah di masjid pada waktu Subuh dan Isyak. Jadi, inilah orang-orang yang mendapat nur disebabkan mengikuti perintah Rasulullah s.a.w dan menginginkan keredhaan Allah. 

Kemudian, berkenaan dengan keampunan dan syafaat yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w, ia satu perkara yang penting. Ada satu riwayat mengenainya. 

Hazrat Uqbah r.a bin Amir Juhni meriwayatkan; aku mendengar Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila Allah menghimpunkan golongan awwalin dan akhirin, dan di antara mereka ada pemisah. Apabila selesai dari membuat keputusan, maka orang-orang Mukmin berkata; Tuhan kami telah membuat keputusan atas kami, siapakah yang dapat memberi syafaat untuk kami di sisi Tuhan kami. Kemudian mereka berkata, pergilah kepada Adam kerana Allah sendiri yang telah menciptakannya dan bercakap sendiri kepadanya. Mereka pergi kepada Adam dan berkata; silakan tuan pergi kepada Tuhan kami untuk memberi syafaat bagi kami. Adam berkata; pergilah kepada Nuh. Mereka pergi kepada Nuh dan mereka akan disuruh pula pergi kepada Ibrahim. Mereka pergi kepada Ibrahim, lalu Ibrahim menyuruh mereka pergi kepada Musa. Mereka pergi kepada Musa, dan Musa mengarahkan mereka pergi kepada Isa, lalu Isa pula berkata; saya perintahkan kamu agar pergi kepada nabi kamu yang ummi. Baginda bersabda; kemudian mereka pergi berjumpa saya, lalu Allah memberi izin kepadaku untuk berdiri di sisi-Nya. Kemudian, dari tempat dudukku akan keluar wangian yang tidak pernah dihidu oleh sesiapa, sehinggalah saya tiba di hadapan Tuhan. Kemudian, Allah memberi izin kepadaku untuk memberi syafaat dan memenuhkan rambut di kepalaku sehingga kuku di kaki dengan nur. Pada waktu itu orang-orang kafir akan berkata kepada iblis; orang-orang Mukmin telah mendapat wujud yang boleh memberi syafaat atas mereka, engkau juga bangkitlah dan beri syafaat atas kami kerana engkaulah yang menyesatkan kami. Baginda s.a.w bersabda; dia bangkit dan dari tempat duduknya keluar bau busuk yang amat sangat dan tidak pernah dihidu oleh sesiapa pun sebelumnya. Kemudian dia ditolak ke neraka. Pada waktu itu dia berkata: (Ibrahim:23) dan berkatalah syaitan tatkala perkara hisab telah diselesaikan. “sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadamu janji yang benar, dan akupun telah menjanjikan kepadamu tetapi aku menyalahinya. (Sunan Darmi Ktabul Raqaa’iq baab Fis Syafaa’ati hadis 2806) 

Jadi, inilah kedudukan nur Rasulullah s.a.w yang melebihi nabi-nabi yang lain. Dan syafaat hanya dibenarkan ke atas diri baginda s.a.w. Ribuan salawat dan salam atas baginda s.a.w yang mana, dengan menghubungkan diri atas baginda s.a.w, maka dunia dan akhirat kita menjadi lurus. 

Dalam satu riwayat, Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila waktu Subuh, setiap dari kamu hendaklah mengatakan; Kami telah Subuh dan semua kerajaan Allah telah melakukan Subuh kepada Allah yang merupakan Pemelihara sekalian alam. Ya Allah! Aku inginkan kebaikan hari ini daripada-Mu, dan aku memohon kemenangan dan pertolongan daripadanya, dan aku juga inginkan nur dan berkat serta hidayatnya, dan aku juga minta perlindungan-Mu daripada kejahatan yang tersembunyi dan kejahatan yang akan datang selepasnya. Dan apabila waktu petang, kita juga hendaklah mengulangi kalimat ini. (Sunan Abu Daud, kitabul Adab, bab Maa Yaquulu Izaa Asbaha, hadis 5084). 

Jadi, untuk mendapatkan nur, untuk menginginkan keredhaan Ilahi, dan untuk meluruskan dunia dan akhirat, kita hendaklah banyak berdoa. Dan, cara yang terbaik untuk mendapatkannya ialah seperti yang telah diterangkan dalam hadis sebelumnya, iaitu banyak melakukan ibadat, ibadat waktu malam, hati yang penuh dengan ketakwaan, dan juga kewajipan solat pada waktu siang. 

Dalam satu riwayat, untuk mendapatkan nur, untuk mendapat bahagian dari nur baginda s.a.w, untuk mengekalkan ketauhidan Allah dalam hati yang mana tanpanya, cahaya Tuhan kita tidak akan dapat, Rasulullah s.a.w telah memberi nasihat perkara ini kepada kita. 

Sahil bin Muaz r.a meriwayatkan daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; Sesiapa yang membaca permulaan dan akhir daripada surah Al-Kahfi, maka ia akan menjadi nur dari kaki sehingga kepalanya. Dan sesiapa yang membaca keseluruhan surah, maka untuknya nur di antara langit dan bumi. (Masnad Ahmad bin Hambal, Jilid 5, halaman 374, Masnad Muaz bin Anas, hadis 15711, cetakan Beirut 1998) 

Dalam satu hadis, untuk menghindari fitnah dajjal, Rasulullah s.a.w menyeru agar membaca 10 ayat permulaan surah Al-Kahfi, dan 10 ayat terakhir surah Kahfi. (Masnad Ahmad bin Hambal, Jilid 8, halaman 890, 896, Masnad Abu Darda Uwaimir, hadis 28066-28092, cetakan Beirut, Lubnan 1998) 

Fitnah dajjal ialah mengingkari ketauhidan Allah. Dan sekarang, fitnah ini begitu keras berlaku. Disebabkan hal inilah kita harus banyak merenungkan ayat ini. Kita harus banyak menghindari kesyirikan yang disebarkan oleh dajjal ini. Kita juga hendaklah berusaha meningkatkan nilai ibadat kita untuk memelihara ketauhidan kita kepada Allah. Isi kandungan ayat ini juga hendaklah kita renungkan. Jika hendak mengekalkan ketauhidan Ilahi dalam hati, kita hendaklah mengambil bahagian dalam nur Allah Ta’ala. Dan nur itu ada pada diri Rasulullah s.a.w yang merupakan insan yang sempurna. Hanya dengan membaca sahaja tidak akan menjadikan kita mendapat bahagian dalam nur itu. Kita hanya akan mendapat nur itu dengan cara mengikuti uswah Rasululullah s.a.w, iaitu bagaimana cara untuk menegakkan tauhid Ilahi. 

Kemudian baginda s.a.w juga mengajarkan umat bagaimana menghindari fitnah dan kerosakan, bagaimana menjadikan masyarakat yang cantik, dan bagaimana memastikan diri dan anak keturunan mendapat nur. 

Dalam satu riwayat ada disebutkan, Hazrat Abdullah Bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w selalu mengajarkan kami kalimat-kalimat, dan kalimat-kalimat itu tidak sama seperti waktu mengajarkan tasyahud. Kalimat itu ialah; Ya Allah! Kumpulkanlah kebaikan atas hati kami, berilah sarana keamanan di antara kami, perlihatkan jalan-jalan keselamatan pada kami, selamatkan kami dari kegelapan, pimpinlah kami ke arah cahaya, hindari kami dari perkara-perkara buruk dan fitnah, samada hubungannya dengan yang zahir dan batin. Ya Tuhan kami! Berilah berkat atas telinga kami, mata kami, hati kami, dan berilah juga berkat atas isteri-isteri kami dan anak-anak kami, dan tunduk dan menjadi rahmat untuk kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Menerima Taubat, Maha Pengasih, jadikanlah kami orang yang mensyukuri nikmat dan memuji serta menerimanya, dan sempurnakanlah nikmat itu atas kami. (Sunan Abu Daud, kitabus Sholaat, bab Tasyahud, hadis 969) 

Dan, nikmat yang paling besar untuk seorang Mukmin ialah kekal atas agama, beramal soleh, beribadat kepada Allah, menunaikan hak-hak-Nya. Untuk itu, setiap Mukmin hendaklah berusaha mendapatkannya. 

Kemudian, baginda s.a.w juga mengajarkan satu lagi doa. Taus meriwayatkan bahawa dia mendengar daripada Ibnu Abbas, apabila Rasulullah s.a.w berdiri untuk sholat Tahajjud, baginda membaca doa ini; Ya Allah! Hanya Engkau yang layak mendapat kepujian. Hanya Engkaulah yang mengekalkan apa yang ada di langit dan bumi serta segala yang ada di dalamnya. Hanya Engkaulah yang layak mendapat pujian. Hanya Engkaulah yang menguasai kerajaan di langit dan bumi serta segala apa yang ada di dalamnya. Hanya Engkau yang layak mendapat kepujian. Engkaulah nur yang ada di langit dan bumi serta apa yang ada di dalamnya. Hanya Engkau yang layak mendapat kepujian. Engkaulah pemilik langit dan bumi serta segala apa yang ada di dalamnya. Hanya Engkau yang layak mendapat kepujian. Engkau benar, dan janji Engkau adalah benar, perjumpaan dengan Engkau benar, kata-kata Engkau benar, syurga itu benar, neraka itu benar, nabi-nabi benar dan Muhammad s.a.w adalah benar, dan kewujudan kiamat itu benar. Ya Allah! Aku memusatkan perhatian kepada Engkau, aku beriman kepada Engkau, aku bertawakkal kepada Engkau, tunduk kepada Engkau, aku berperang atas pertolongan Engkau, dan aku hanya menunggu keputusan daripada Engkau. Oleh itu, ampunkanlah kesalahan yang telah aku lakukan dan yang akan aku lakukan, samada yang aku lakukan secara tersembunyi atau secara terang-terangan. Engkau yang paling Awal dan Engkau jugalah yang paling Akhir. Tidak ada yang layak disembah selain Engkau. (Bukhari, Kitabut Tahajjud, bab Tahajjud Bil Lail, hadis 1120) 

Jadi, kesucian jiwa dan untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala menuntut satu peperangan dengan syaitan. Rasulullah s.a.w bersabda mengenai syaitan baginda, bahawa ia telah menjadi Muslim. Apabila baginda s.a.w membaca doa ini dengan penuh harapan, maka sebagai seorang Islam yang biasa, seharusnya kita membaca doa ini dengan begitu berharap. Dan doa-doa ini serta peperangan dengan syaitan hanya boleh kita lakukan dengan pertolongan Allah Ta’ala. Dan peperangan yang perlu dibuat dengan syaitan oleh manusia, ia tidak akan terdaya tanpa bantuan daripada Allah Ta’ala. Pertolongan Allah hanya akan diperolehi sekiranya menjadi orang yang tunduk kepada-Nya, apabila menunaikan hak-hak-Nya, apabila berusaha untuk mendapatkan nur-Nya. Jadi, mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi taufik kepada setiap mukmin untuk tujuan ini. 

Dalam satu riwayat yang lain, ada lagi doa yang dijelaskan. Hazrat Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang ditimpa suatu kesusahan dan kesedihan, maka bacalah kalimat ini; Ya Allah! Aku adalah hamba-Mu, anak kepada seorang wanita yang juga hamba-Mu. Rambut di kepalaku adalah milik-Mu, perintah-Mu yang berjalan atas diriku, dan Qada’ serta Qadar-Mu berlaku atas diriku dengan keadilan. (aku tahu Engkau tidak berlaku zalim atas diriku, apa pun yang menimpa diriku adalah disebabkan hukuman atas perbuatan dosaku, jika ada ganjaran pun itu adalah disebabkan perbuatanku yang mengikuti perintah-Mu dan juga disebabkan kurnia-Mu. 

Apapun, Allah Ta’ala tidak berlaku zalim. Allah Ta’ala dengan jelas mengatakan bahawa Aku tidak zalim. Rahmat Allah Ta’ala begitu luas, tetapi Allah Ta’ala tidak pernah berlaku zalim atas hamba-hamba-Nya, takdir yang berlaku atas diriku adalah berdasarkan keadilan). Aku memohon dengan semua nama-nama sifat-Mu yang telah Engkau beritahu sendiri atau yang telah Engkau ajarkan kepada makhluk Engkau, atau yang telah Engkau turunkan dalam Kitab juga aku memohon. Atau dari ilmu ghaib yang Engkau beri fadilat, aku juga memohon melaluinya. (Insan tidak mengetahui semua sifat Tuhan, sebab itu berdasarkan ilmu ghaib yang dianggap baik, aku juga memohon melaluinya) iaitu jadikan hatiku penuh dengan Al-Qur’an, jadikan nur bagi dadaku, dan jadikan ia sebagai sarana untuk menjauhkan kesedihan dan ketakutanku. Apabila dia memohon doa ini, maka Allah Ta’ala akan menjauhkan kesedihan dan ketakutannya, kemudian menggantikannya dengan keselesaan dan ketenangan. 

Hazrat Abdullah bin Mas’ud r.a berkata bahawa ada ditanya: Ya Rasulullah s.a.w! Tidakkah kami perlu mengingatinya? Rasulullah s.a.w bersabda: mengapa tidak? Sesiapa pun yang ada mendengar, seharusnya dia mesti ingat. (Masnad Ahmad bin Hambal, Jilid 2, halaman 47, Masnad Abdullah bin Mas’ud, hadis 3712, cetakan Beirut, 1998) 

Dulu, saya pernah sentuh dalam satu khutbah bahawa Allah Ta’ala, Rasul-Nya, dan Al-Qur’an Karim adalah nur yang mana, melaluinya boleh selamat daripada serangan syaitan. Jadi, dalam doa ini, maksud daripada memohon agar hati dipenuhi dengan Al-Qur’an Karim ialah supaya Allah memberi taufik untuk membacanya, mengamalkannya, dan memahaminya. Dan apabila kita renungkan doa ini lalu membaca Al-Qur’an Karim, berusaha memahaminya dan mengamalkannya, jelas bahawa apapun amalan, biasanya ia adalah cenderung untuk menyempurnakan hak-hak Allah dan berusaha untuk menyempurnakannya, dan juga akan cenderung menyempurnakan hak-hak hamba serta akan berusaha menunaikan hak-hak hamba. Tingkat ibadat akan bertambah dan (Ar-Ra’d:29) ketenangan hati akan dapat dicapai. Ia juga akan mengeluarkan kita dari kesulitan. 

Ada lagi satu riwayat. Hazrat Ibnu Abbas r.a meriwayatkan: apabila Rasulullah s.a.w menunaikan solat pada waktu malam, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w membaca doa ini. Ya Allah! Aku memohon rahmat-Mu yang khas, yang melaluinya Engkau memberi hidayat kepada hatiku, berguna untukku dan menghalang aku daripada melakukan keburukan, serta mempertemukan aku dengan apa yang telah hilang, angkatlah darjat mereka yang berhubungan denganku, sucikanlah amalanku dengan rahmat Engkau, berikanlah aku hidayat dan berikanlah apa yang aku inginkan, dan juga aku memohon rahmat yang boleh menyelamatkan aku dari keburukan. Ya Allah! Kurniakanlah juga kepadaku keimanan dan keyakinan yang berkekalan, yang tidak akan mengalami kekufuran di dalamnya. 

Cuba lihat kedudukan Rasulullah s.a.w dengan mengatakan ‘kurniakanlah juga kepadaku keimanan dan keyakinan yang berkekalan, yang tidak akan mengalami kekufuran di dalamnya”. Bagaimana seharusnya kita membaca doa ini? 

Berikanlah juga rahmat yang menjadi penyebab kebaikan dunia dan akhirat kepadaku. Ya Allah! Aku inginkan kejayaan dalam setiap penyelesaian. Aku juga menginginkan kehidupan seperti orang-orang syahid, orang-orang yang peramah dan orang-orang yang baik, juga aku memohon kejayaan dan pertolongan atas musuh-musuh. Ya Maula! Aku hadir di hadapan-Mu membawa hajat-hajatku. Sekiranya fikiranku dalam kekurangan dan caraku yang lemah, aku tetap mengharapkan rahmat-Mu. 

Wahai Pemutus segala urusan dan Pemberi ketenangan pada setiap hati! Aku memohon kepada-Mu agar menyelamatkan aku dari azab neraka seperti mana Engkau menyelamatkan insan di lautan yang bergelora. Selamatkan juga aku dari suara kehancuran dan fitnah kubur. Ya Tuhanku! Kurniakan juga kepadaku atas apa yang aku tidak terfikir, dan atas urusan yang aku tidak pohon, tetapi Engkau pernah janjikan untuk kebaikan hamba-hamba-Mu. Ya Tuhan sekalian alam! Aku memohon kebaikan dari rahmat-Mu. Ya Allah! Yang teguh hubungan dan Pemilik hidayat! Aku memohon keamanan pada hari kiamat, dan aku mohon syurga-Mu, bersama-sama dengan mereka yang hadir begitu dekat di istana Engkau, bersama dengan orang yang ruku’ dan sujud dan orang yang menyempurnakan janji. Sesungguhnya Engkau amat Pengasih dan Penyayang. Engkau melakukan apa yang Engkau inginkan. Ya Allah! Jadikanlah kami penunjuk ke arah hidayat, yang bukan kami sendiri sesat dan bukan juga yang menyesatkan. Jadikan kami orang yang memberikan amanat keselamatan kepada orang-orang tersayang dan kawan-kawan. 

Kalau orang-orang Islam berdoa seperti ini, dan berdoa dengan niat yang suci, mereka pasti akan mendapat taufik untuk menerima imam zaman mereka. 

Dan menjadi tanda peperangan kepada musuh-musuh Engkau. Jadikanlah kami penyampai amanat keselamatan kepada orang-orang yang Engkau kasihi dan menjadi tanda kepada musuh-musuh Engkau. Dan kami tenggelam dalam kecintaan terhadap Engkau, mencintai orang-orang yang mencintai Engkau, dan kami bermusuhan dengan para penentang dan musuh-musuh Engkau semata-mata kerana Engkau. Ya Allah! Inilah permohonan kami, mengabulkannya adalah kehendak Engkau. Ya Allah! Inilah doa kami, usaha kami dan pekerjaan kami, dan kami hanya bertawakkal kepada Engkau. Ya Allah! Lahirkanlah nur dalam hati untukku, terangilah juga kuburku, berilah nur di hadapan dan di belakangku. Berikanlah nur dalam pendengaranku, berikanlah nur pada penglihatanku, berikanlah nur pada rambutku, berikanlah nur pada kulit-kulitku, berikanlah nur pada dagingku, penuhilah nur dalam darahku, dan juga berikanlah nur pada otakku, berikan juga nur pada tulangku. Ya Allah! Lahirkanlah dalam hatiku nur yang agung, kemudian berikanlah nur itu kepadaku. Jadikanlah nur padaku dari kepala sehingga kaki. Maha suci zat yang tetap teguh dengan kehormatannya yang memberikan pakaian kemuliaan. Maha suci Zat yang tidak patut ada wujud yang harus dimuliakan selain Dia. Maha suci Wujud yang pemberi kurnia dan nikmat. Maha Suci Pemilik kehormatan dan kemuliaan. Maha suci Dia yang Maha Gagah dan Amat Mulia. (Sunan Tirmizi, Kitabud Da’wat, bab 30, hadis 3419) 

Semoga Allah memberikan kefahaman yang sebenar dalam melakukan doa ini. Semoga kita mendapat nur daripada Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Seluruh tubuh badan baginda s.a.w adalah nur, tetapi lihat bagaimana perasaan baginda s.a.w dalam berdoa. Doa ini sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w agar umat baginda s.a.w, orang-orang Mukmin memohon doa dan berusaha menjadikan seluruh tubuh mereka sebagai nur. Berusaha berjalan atas uswah baginda s.a.w. Menunaikan hak Allah Ta’ala. Menyempurnakan hak makhluk Allah. Baginda s.a.w amat menginginkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w mendapat cahaya dari nur itu. 

Semoga Allah memberikan kita taufik agar semua yang kita lakukan diredhai Allah Ta’ala. Dan juga kita akan mengutamakan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w melebihi yang lain. Dan kebaikan yang diinginkan oleh Rasulullah s.a.w terhadap umatnya dapat kita sempurnakan. Juga kita menjadi orang yang menyempurnakan hak-hak umat seperti yang diharapkan oleh baginda s.a.w supaya kita sentiasa menjadi pewaris kurnia-kurnia-Nya. 

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Aku melihat kurnia Tuhan yang luar biasa dalam bentuk nur pergi kepada Rasulullah s.a.w, kemudian masuk ke dalam dada Rasulullah s.a.w, selepas itu ia keluar daripadanya dengan begitu banyak cabang-cabang dan tiba di setiap bahagian-bahagian yang berhak mendapat nur itu”. (Al-Hakam, tarikh 28 Februari 1903, Jilid 7, bilangan 8, halaman 7, kolum nombor 1) 

Dan siapa yang berhak sebenarnya? Mereka itu ialah yang menunaikan huquuqullah dan juga menyempurnakan huquuqul ibaad. 

Semoga Allah memberikan kita semua taufik, mudah-mudahan dada kita juga dapat menarik nur yang telah keluar dari dada Rasulullah s.a.w.

Terjemahan Khutbah Imam Jemaat Ahmadiyah Muslim
22 Januari 2010

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...