Monday, August 9, 2021

Makkah Al-Mukarramah


 Wahai anak-anak!

Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Manusia diajarkan tentang peradaban secara bertahap sehingga mencapai satu kedudukan di mana mereka dapat menyambut dan memahami ajarannya.

Tempat kelahiran baginda sallallaahu alaihi wasallam juga merupakan tempat yang terpilih dan sangat diberkati serta amat menakjubkan iaitu MEKAH.

Kenapa begitu? Ketika tempat ini dipilih, ia sangatlah terbiar, kering dan gersang, tidak ada air, tidak ada tumbuhan, tidak ada pokok dan tidak ada penduduk.

Cuba bayangkan bagaimana Allah memperlakukan tempat ini?

Kita tahu bahawa jika ada seseorang yang berpangkat besar hendak melawat suatu kawasan, maka tempat itu akan dipersiapkan dengan segala kemudahan, dihiasi dengan pelbagai kelengkapan yang indah, penduduk juga akan berkumpul untuk menyambutnya.

Begitulah juga Allah mempersiapkan tempat ini demi menyambut seorang nabi yang agung, pemimpin rohani yang sangat dikasihi oleh Tuhan. Kalau manusia yang bekerja saja pun kita dapat melihat kerja tangan mereka yang sangat baik, bayangkan jika Allah sendiri yang merancang, bagaimana sempurna dan hebatnya persiapan yang dibuat.

Tempat yang kering dan gersang ini dimakmurkan, orang ramai dikumpulkan, dan banyak lagi kemudahan yang Allah sediakan untuk persiapan kedatangan seorang pemimpin yang agung ini.

Ribuan tahun sebelum kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Nabi Ibrahim alaihissalam diutus ke dunia. Beliau mempunyai tiga orang isteri. Hazrat Sarah, Hazrat Hajar (puteri seorang penguasa Mesir) dan Hazrat Qaturah.

Ketika Nabi Ibrahim alaihissalam berusia lebih 80 tahun, beliau belum lagi dikurniakan anak. Namun beliau tetap berdoa kepada Allah dengan penuh keyakinan dan tidak putus asa.

Akhirnya, doa beliau dikabulkan dan Hajar telah mendapat khabar gembira dari Malaikat bahawa 'engkau akan mendapat anak dan nama anak itu Ismail'. Seiring dengan itu juga beliau diberikan khabar bahawa 'Aku akan kembangkan anak keturunan engkau sehingga tidak dapat dihitung banyaknya'.

Wahai anak-anak!

Dari keturunan Nabi Ismail alaihissalam, Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam telah lahir. Betapa agungnya Nabi Ismail alaihissalam. Ayahnya seorang nabi, ibunya seorang puteri penguasa Mesir, dan dari anak keturunan beliau juga lahir seorang nabi.

Mari kita telusuri sedikit sejarah Hazrat Hajar dan Nabi Ismail alaihissalam.

Hazrat Sarah tidak ada anak waktu itu. Dia telah mengatakan kepada Nabi Ibrahim alahissalam "keluarkan Hajar dan anaknya Ismail". Mendengar hal itu, Nabi Ibrahim alaihissalam sangat sedih sekali. Dari segi kudrat semulajadi, beliau sudah tua, dan baru sahaja mendapat anak. Mengeluarkan mereka dari rumah sudah semestinya satu hal yang sangat menyedihkan hati.

Namun, Allah memberikan ketenangan ke atas beliau. Allah Ta'ala mengatakan 'jangan risau, Aku hendak membentuk satu kaum dari keturunan Hajar. Kerana dia juga dari keturunan engkau'.

Nabi Ibrahim alaihisalam adalah seorang nabi yang sangat setia. Apa sahaja perintah Tuhan, walaupun kelihatan agak sukar dilaksanakan, menuruti perintah itu merupakan satu keutamaan. Demikian juga dalam hal ini, beliau telah menyediakan bekalan makanan dan bekas air. Beliau membawa Hazrat Hajar dan anaknya Hazrat Ismail yang masih kecil menuju arah yang telah diberitahu oleh Tuhan.

Setelah berjalan jauh dan memasuki tanah Arab di kota Hijaj, suatu lembah di Mekah, maka beliau yakin bahawa mereka sudah tiba di tempat yang dituju sesuai dengan perintah Allah. Di lembah yang gersang itu, tidak ada air, tidak ada tumbuhan, dan sudah tentu tidak ada penduduk kerana tidak ada sumber kehidupan. Walaubagaimana pun, Nabi Ibrahim alaihissalam meninggalkan mereka anak beranak di situ dengan penuh keberanian dan ketabahan. Beliau meletakkan barang bekalan dan mula berangkat meninggalkan mereka.

Apabila Hajar yang melihat suaminya berangkat pergi, dia mengekorinya dan berkata; "Kenapa tinggalkan kami di sini? Apa kesalahan kami sehingga kami diberikan hukuman begini?".

Nabi Ibrahim alaihissalam yang sangat sedih tidak dapat menjawab apa-apa. Namun, oleh kerana mendengar dan melihat isteri yang tidak tentu arah dalam kesedihan itu, beliau menoleh dan mengarahkan jari telunjuk ke atas langit. Akhirnya, wanita yang solehah itu dapat memahami bahawa semua ini merupakan perintah Tuhan.

Nampak tak anak-anak!

Moyang Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam memiliki kecintaan yang mendalam kepada Tuhan dan dia yakin bahawa pengorbanan pada jalan Allah tidak akan sia-sia. Akhirnya, dengan penuh tawakkal dia pergi ke arah anak yang ditinggalkan dan duduk di sebelahnya.

Nabi Ibrahim alaihissalam pun berdoa:-

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tandus dekat rumah Engkau yang suci. Wahai Tuhan kami! Supaya mereka dapat mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki berupa buah-buahan, supaya mereka selalu bersyukur." (Ibrahim:38)

Wahai anak-anak!

Peristiwa yang dihadapi oleh Hazrat Hajar dan Hazrat Ismail alaihissalam sangat menyedihkan. Setelah beberapa lama ditinggalkan, bekalan makanan dan minuman sudah kehabisan. Anak kecil itu mula merasa haus, Hazrat Hajar menjadi kebingungan lalu mencari air di sana sini tetapi tidak menjumpainya.

Kemudian, anak kecil itu semakin haus, kebimbangan Hazrat Hajar juga semakin tinggi. Hazrat Ismail semakin tidak tahan lagi, dia meraung-raung meminta air, Hazrat Hajar bangkit segera dan mengadap muka ke atas langit seolah-olah merayu-rayu kepada Tuhan. Lalu dia berlari ke sana ke mari mencari air.

Dia berlari menuju bukit Safa, kemudian turun lagi melihat anaknya, selepas itu berlari lagi menuju bukit Marwah dan melabuhkan pandangan sejauh yang mungkin dengan harapan ada sumber air atau sekurang-kurangnya kelihatan mana-mana kafilah supaya dia mendapat air untuk diberikan kepada anaknya yang sedang kehausan. Namun, tetap saja tidak kelihatan apa-apa.

Tanpa disedari, dia sudah berpusing sebanyak tujuh kali dalam kebingungan dengan memohon daripada Allah:-

"Ya Tuhan! Janganlah berikan kami sebarang ujian lagi. Kami ditinggalkan di sini semata-mata demi Engkau. Hanya Engkaulah yang boleh menolong kami dan menjauhkan kerisauan kami".

Akhirnya, pada pusingan yang ketujuh, dia mendengar satu suara:-

"Wahai Hajar! Tuhan telah mendengar engkau dan anak engkau".

Mendengar suara itu, Hazrat Hajar dengan segera berpusing dan berlari menuju anaknya. Apa yang dia lihat, di tempat hentakan kaki Hazrat Ismail alaihissalam ketika meraung kehausan, di tempat itu kelihatan lembap. Dia mengalihkan tanah lembap itu secepatnya lalu memancutlah air.

Dia segera memberikan air itu kepada Hazrat Ismail alaihissalam, dan dia sendiri juga meminumnya. Pada masa yang sama, dia memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadirat Ilahi walaupun masih kehairanan atas nikmat itu bagaimana ia berlaku. Dia melihat berkali-kali tempat air itu mengalir sedangkan sebelumnya tidak ada apa-apa.

Mata air itu secara perlahan-lahan semakin deras mengeluarkan air. Tanpa disengajakan keluar dari mulut Hazrat Hajar perkataan ZAMZAM yakni 'bertakunglah, bertakunglah', dan akhirnya sumber mata air itu dikenali sebagai ZAMZAM sehingga hari ini.

Kemudian Hazrat Hajar terfikir jangan-jangan air ini akan habis, lalu dia menyusun batu di sekelilingnya.

Diriwayatakan daripada Hazrat Abbas radhiallaahu anhu bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda:-

"Tuhan! Kasihilah Hajar, kerana jika dia tidak menahan air itu, sudah tentu ia menjadi sumber mata air yang mengalir."

Baginda juga bersabda:-

"Ketika menunaikan Haji, berlari di antara Safa dan Marwa merupakan satu tanda ingatan suci kepada Hazrat Hajar."

Wahai anak-anak!

Nampak tak perlakuan Allah Ta'ala ke atas orang-orang yang dikasihi. Air boleh muncul di kawasan gurun sahara. Jadi, sesiapa sahaja yang berkorban pada jalan Allah Ta'ala, maka setiap gerakan mereka itu akan disenangi oleh Allah dan menjadikan mereka sentiasa diingati oleh generasi seterusnya. Setiap orang di seluruh dunia mengingati mereka dan mendoakan kebaikan-kebaikan untuk mereka.

Syukur kepada Allah kerana telah memberikan air. Tetapi bagaimana pula dengan makanan? Hal ini pun telah diatur oleh Allah. Mari kita lihat bagaimana kejadian itu?

Dari Yaman, ada satu kabilah Jurhum sedang menuju Syam, mereka telah terlupa jalan sehingga tersesat. Ini berlaku berhampiran dengan Mekah dan berkumpul di situ. Suatu hari mereka melihat ada burung air berterbangan di udara sehingga menjadi hairan bagaimana burung air boleh berada di kawasan gurun ini. Apa burung-burung ini buat?

Ketua mereka berkata; "Kita sudah beberapa kali melalui kawasan ini, di sini tidak ada air. Tetapi bagaimana hari ini ada burung air di sini?" Semua sepakat untuk mengambil tahu. Beberapa orang pergi mengikuti burung itu. Akhirnya mereka melihat ada air sedang mengalir dan berdekatan dengan mata air itu terdapat seorang wanita bersama anak kecil.

Dengan segera mereka memberitahu ketua. Semua merasa gembira dan berlari menuju tempat itu. Mereka pun memang mencari air, lalu semuanya berpindah ke sana.

Kabilah Jurhum sangat menghormati Hazrat Hajar bila memikirkan tentang mukjizat itu. Ketua mereka berkata kepada Hazrat Hajar; "Kalau kamu izinkan, kami akan mendirikan khemah di sini." Hazrat Hajar yang kehairanan atas nikmat itu dengan segera memberikan izin. Itulah cara Allah Ta'ala menjadikan kesepian mereka berakhir. Ketua kabilah itu bernama Mudhad bin Amar Jurhumi. Kabilah inilah yang akhirnya mendiami Mekah.

 

 

Wahai anak-anak!

Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya bahawa air di kawasan gurun sahara itu sangat berharga. Setiap kafilah yang melalui kawasan itu, mereka hendaklah mendapatkan izin dari Hazrat Hajar untuk berhenti. Mereka juga akan memberikan makanan yang mereka miliki kepada Hazrat Hajar. Setelah mendapatkan air, mereka meneruskan perjalanan.

Beginilah cara Allah Ta'ala menyediakan makanan yang baik kepada Hazrat Hajar dan Hazrat Ismail. Kafilah datang dari pelbagai daerah yang jauh bersama makanan mereka. Cuba lihat Kudrat Allah Ta'ala, sejak kecil lagi Hazrat Ismail alaihissalam telah dijadikan pemilik sumber mata air di kawasan gurun itu.

Begitu ramai kafilah yang datang ke Mekah secara berterusan, dan disebabkan mata air itu, kafilah-kafilah merasa terhutang budi kepada Hazrat Hajar sehingga mereka begitu hormat kepadanya.

Beberapa orang sudah mulai tinggal menetap di situ. Daripada khemah, ia telah bertukar menjadi rumah yang kekal. Dengan adanya air, kurma pun juga mulai tumbuh di gurun. Tumbuh-tumbuhan juga mulai teratur. Janji Allah Ta'ala iaitu "Aku akan menjadikan tempat ini makmur", sebab itulah sarana-sarana lain juga telah dipersiapkan. Secara perlahan-lahan akhirnya Mekah menjadi bandar yang masyhur. Mereka yang baru datang sangat memuliakan pemilik mata air iaitu Hazrat Hajar.

Hazrat Ismail membesar di dalam persekitaran orang-orang dari Kabilah Jurhum. Dengan perwatakan beliau yang suci dan fitrat yang baik, ramai orang terpengaruh. Bahasa Hazrat Ismail adalah Ibrani, namun disebabkan bergaul dengan kabilah itu menyebabkan Hazrat Ismail juga telah menguasai bahasa Arab. Ini menjadikan bahasa Arab digunakan di Mekah.

Anak-anak sekalian!

Sebenarnya Mekah mendapat berkat yang hakiki adalah disebabkan Kaabah. Allah Ta'ala berfirman di dalam Al-Quran:-

"Sesungguhnya rumah pertama yang didirikan untuk faedah manusia adalah yang di Bakkah, yang penuh dengan berkat dan petunjuk bagi seluruh alam." (Ali Imran:97)

Antara kelebihan Kaabah adalah pengorbanan Hazrat Ismail. Ketika beliau berusia lebih kurang 13 tahun, terdapat satu kisah yang sangat masyhur ialah ketika Hazrat Ibrahim menerima perintah dari Tuhan untuk mengorbankan anaknya Ismail. Dan apabila mereka sudah bersedia melakukannya, Allah Ta'ala menghalangnya dan memerintahkan agar menyembelih binatang.

Korban yang dilakukan ketika menunaikan ibadat Haji, itu adalah untuk menyegarkan ingatan kita terhadap peristiwa itu. Setiap tahun jutaan orang yang melakukan korban ini setiap kali Eidul Adha semata-mata demi memperingati semangat mereka.

Jadi, cuba bayangkan apabila Allah Ta'ala telah berjanji bahawa "Aku akan berikan berkat dan keturunan engkau tidak akan dapat dihitung". Bagaimana perlakuan Allah dalam menyempurnakan janji-Nya.

Apabila Hazrat Ismail meningkat remaja, beliau telah bernikah dengan anak perempuan ketua Kabilah Jurhum (Mudhadh bin Amar). Dengan perkahwinan itu mereka mendapat 12 orang anak. Senarainya ada disebutkan di dalam kitab Injil (Kejadian 25:13)

Senarai anak-anak keturunan Hazrat Ismail adalah seperti berikut:-

1. Nebayot           2. Kedar               3. Adbeel

4. Mibsam            5. Misyma            6. Duma

7. Masa                8. Hadad              9. Tema

10. Yetur              11. Nafish            12. Kedma

Dari keturunan ini telah membentuk kabilah-kabilah. Atas nama mereka itu ada nama kaum mereka yang mana dengan peredaran masa, ada beberapa perubahan dari segi nama.

Anak-anak Hazrat Ismail tersebar ke seluruh Arab, Palestin dan Yaman. Kebanyakan orang di Mekah yang dikenali sebagai Quraish adalah berasal dari keturunan Kedar.

Anak-anak sekalian!

Hazrat Ismail alaihissalam adalah penguasa pertama di Mekah kerana beliau yang menjaga Kaabah. Beliau juga pemilik mata air Zamzam dan disebabkan air Zamzam, penduduk mula menempati sekitar itu. Kemudian, dalam kehidupan beliau juga anak-anak keturunannya telah mendapat kemajuan.

Kabilah yang datang ke Mekah untuk air Zamzam, mereka telah melihat Hazrat Ismail alaihissalam dan anak-anaknya melakukan tawaf rumah yang suci itu. Maka, mereka juga akhirnya mengikuti amalan itu. Mereka mempersembahkan kesulitan dan berdoa di hadapannya agar terhindar dari kesusahan, lalu doa mereka terkabul. Akhirnya Kaabah menjadi masyhur. Kaabah yang begitu terkenal telah menjadikan Mekah bandar yang maju dan makmur.

Dengan itu, seluruh kabilah Arab melakukan tawaf sepanjang tahun di Kaabah dan lebih-lebih lagi pada musim Haji. Bukan hanya dari Arab, malah dari kejiranan Arab dan tempat yang jauh juga mereka datang kerana mendengar Kaabah yang masyhur itu. Dari situlah bermulanya perniagaan di Mekah.

Mekah telah menjadi begitu terkenal pada zaman Hazrat Ismail alaihissalam. Beliau juga sendiri telah menyaksikan anak-anaknya membesar dan mendapat kemajuan. Akhirnya panggilan Ilahi telah sampai ke atas beliau iaitu beliau pergi menghadap Ilahi ketika berusia 137 tahun.

Anak sulung Hazrat Ismail alaihissalam iaitu Nebayot telah dijadikan sebagai penerus beliau. Pada zaman beliau, keagungan Rumah Allah telah menjadi begitu terkenal. Salah satu sebab yang diberitahu oleh ahli sejarah ialah datuk Hazrat Ibrahim alaihissalam berasal dari Ur di bandar Babil dan neneknya berasal dari Mesir. Dengan itu, dari kedua-dua tempat kafilah-kafilah datang dan berhenti di Mekah menjalankan perniagaan. Melalui perniagaan itulah Mekah semakin terkenal. Kafilah itu datang samada dengan niat berniaga atau untuk melakukan tawaf di Kaabah, namun mereka akan membawa gembalaan. Dengan cara itu, Mekah menjadi tempat mengumpul harta yang banyak, membantu mempersiapkan kemudahan orang-orang haji dan juga orang miskin.

Selepas Nebayot meninggal dunia, datuknya iaitu Mudhadh bin Amar Jurhumi dijadikan sebagai penjaga Kaabah. Dengan itu kerajaan Mekah telah beralih dan dipimpin oleh kabilah Jurhum. Kerajaan ini berlanjutan sehingga 660 tahun.

Anak-anak sekalian!

Ada satu lagi kabilah iaitu Kabila Khaza'ah, ia juga bercita-cita untuk menjadi pemimpin Mekah. Mereka telah berperang dengan Kabilah Jurhum. Namun, niatnya bukan hanya untuk kuasa, tetapi kekayaan yang terdapat di Kaabah itu menarik minatnya. Hal itu tidak disukai oleh Allah.

Apa yang Allah Ta'ala perlakukan? Pemimpin Kabilah Jurhum telah membuat keputusan bahawa 'kita tidak akan serahkan kekayaan Kaabah dan mata air itu'. Akhirnya dia telah memasukkan khazanah Kaabah itu ke dalam mata air, kemudian menutupnya dengan tanah. Sebab itu mata air suci yang menjadi punca kemakmuran Mekah itu telah hilang.

Apabila Kabilah Khaza'ah memasuki Mekah, mata air itu telah hilang. Pemimpinnya menjadi sangat hairan. Mereka berusaha mencari tetapi tidak menjumpainya. Pada zaman itu terdapat kebiasaan menggali perigi, dengan itu mereka mendapat sedikit air.

Selang beberapa lama, keagungan Mekah dan kemasyhuran Kaabah tetap seperti biasa. Mekah telah menjadi pusat keagaaman untuk seluruh agama sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah Ta'ala dan perkembangannya juga semakin kelihatan. Kabilah ini menguasai Mekah selama lebih kurang 500 tahun.

Namun, kabilah ini tidak ada hubungan dengan Hazrat Ismail alaihissalam atau keturunannya. Dan kita semua tahu bahawa nikmat ini adalah kurnia Allah Ta'ala ke atas pengorbanan Hajrat Hajar dan juga Hazrat Ismail dan seterusnya ke atas anak-anaknya. Sebab itu, sudah pasti kehendak Allah Ta'ala yang akan berlaku, kerana waktu kelahiran wujud yang sangat agung (Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam) pun sudah semakin hampir, maka nikmat ini, kekayaan ini, kerajaan ini dan kemuliaan ini akan diberikan kepada mereka yang sepatutnya layak.

Dari sudut lain, dalam Kabilah Quraisy lahir seorang yang bernama Qushay bin Kilab. Dikhabarkan bahawa beliau lahir pada tahun 500 Masihi. Apabila menjelang remaja, dia terfikir bahawa hak ini sepatutnya milik nenek moyang dan anak-anak mereka. Tetapi, kerana dia miskin, dia tidak berani berhadapan dengan pemimpinnya kerana Kabilah Quraisy bertebaran di seluruh Arab.

Dia mendapat satu jalan. Dia datang ke Mekah dan berkahwin dengan puteri Khulail iaitu Hibba. Hibba merupakan anak perempuan tunggal bapanya. Sebab itu kerajaan telah beralih kepadanya setelah kewafatan ayahnya bersama semua warisan. Secara tidak langsung, warisan itu juga diperolehi oleh Qushay bin Kilab. Dengan perlahan-lahan, dia mula merancang untuk mengambil semula hak mereka sehingga timbul perbalahan, namun belum ada keputusan.

Kedua-dua pihak menugaskan seseorang sebagai peguam. Akhirnya Qushay bin Kilab telah dijadikan sebagai pemimpin Mekah dan penjaga Kaabah.

Sebagai manusia biasa, mungkin kita terfikir bahawa semua ini terjadi secara kebetulan. Namun, ini bukanlah kebetulan tetapi merupakan perancangan yang telah dibuat oleh Allah Ta'ala.

Apabila Allah Ta'ala melihat bahawa waktu kelahiran utusan yang agung itu semakin tiba, maka Dia telah memberikan hak sebenar kekuasaan itu kepada mereka yang sepatutnya. Itu semua dibuat untuk menyambut keadatangan tamu yang agung itu nanti.

Selepas itu, Mekah dikuasai oleh Kabilah Quraisy. Walaupun bandar Mekah sebenarnya sudah maju, namun waktu itu hanya bangunan Kaabah sahaja yang bersifat kekal, selebihnya bersifat sementara. Orang yang datang tinggal di Mekah, mereka tidak membuat bangunan kekal hanya disebabkan Kaabah.

Qushay bin Kilab seorang yang matang dan mahir dalam kepengurusan. Dia telah memanggil semua suku dari Kabilah Quraisy untuk menetap di Mekah. Untuk memelihara Kaabah, dengan meninggalkan beberapa ruang kosong yang luas, dia telah membina bangunan kediaman yang kekal untuk Kabilah Quraisy supaya tidak ada kabilah lain yang dapat membuat banguan mereka di situ.

Anak-anak sekalian!

Sebelum ini kita telah ceritakan tentang peralihan kerajaan Mekah kepada Kabilah Quraisy. Maka, dengan itu penjagaan Kaabah juga menjadi tanggungjawab Quraisy. Jadi, sekali lagi Allah Ta'ala telah memakmurkan Mekah dengan keturunan Hazrat Ismail alaihissalam. Siapa yang memerintah Mekah, maka dia jugalah yang menjaga Kaabah. Dan orang yang menjaga Kaabah, dia jugalah ketua kabilah dan merupakan hakim di Mekah. Seluruh Tanah Arab menghormati kabilah ini.

Qushay bin Kilab telah mengatur Quraisy dengan baik sekali. Dia telah memperkenalkan sistem pemerintahan yang teratur di Mekah. Beberapa jawatan penting telah diberikan kepada pelbagai kabilah-kabilah. Dia juga membina Counsel Hall yang dipanggil Darul Nadwah untuk mengadakan perbincangan.

150 tahun sebelum kelahiran pewaris yang hakiki iaitu kekasih Allah, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, satu sistem suara majoriti telah terbentuk di mana suara seorang tidak akan bebas. Dalam hal ini Qushay bin Kilab telah memainkan peranan yang sangat penting. Dia mepunyai enam orang anak, yang paling sulung ialah Abdul Dar. Dia telah dijadikan penerus oleh ayahnya, yakni tugas penjagaan Kaabah telah diberikan kepadanya. Manakala bidang pentadbiran pula diberikan kepada anaknya yang bernama Munaf.

Abdul Dar tidak sama seperti ayahnya, dia kurang mahir dalam bidang pengurusan. Sebab itu dia tidak dapat melakukan tugasnya sebaik yang mungkin. Selepas itu, anaknya pula yang menggantikannya.

Abdul Munaf telah dikurniakan empat orang anak. Keempat-empat mereka memiliki kebolehan seperti datuk mereka. Selepas Abdul Manaf wafat, anak-anaknya iaitu Abd Syams, Mutalib, Hashim dan Naufal ingin mengambil alih pengurusan Kaabah daripada anak-anak bapa saudara mereka iaitu Abdul Dar. Hampir sahaja perang berlaku di antara mereka, mujur orang ramai meleraikan dan sesuai dengan persetujuan, mereka mendapat tugas untuk menguruskan para haji. Mereka sepakat menugaskan Hashim untuk melaksanakan tanggungjawab itu. Beliau seorang yang tampan, dan matang dalam menguruskan masalah-masalah serta berkebolehan. Dia telah memberikan khidmat yang sangat baik kepada para haji, dia mengambil keperluan makanan dan tempat tinggal daripada kabilah dan diberikan kepada para haji yang miskin.

Satu kali terjadi kemarau panjang di Mekah sehingga ramai yang kebuluran. Hashim sangat bersedih, dia membawa hartanya ke Syam dan memenuhkan unta dengan karung roti untuk dibawa ke Mekah. Dan unta yang digunakan itu pula disembelih untuk dijadikan makanan bersama roti. Orang ramai diberikan makanan sehingga kenyang. Sehingga beberapa lama, orang Mekah mendapat makanan yang banyak. Mereka mula menamakannya sebagai Hashim, nama sebenar beliau ialah Amar.

Hashim yang sangat mulia ini adalah moyang Nabi Kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Perniagaan Mekah dengan Yaman dan Syam adalah terjadi melalui beliau.

Wahai anak-anak sekalian!

Hashim telah berkahwin dengan seorang wanita dari Bani Najar iaitu daripada Kabilah Khazraj di Madinah. Dari segi kebaikan, kebolehan dan kecantikan tidak ada yang dapat menandingi isterinya. Selepas beberapa lama, Hashim bersama isterinya bertolak menuju Syam, dalam perjalanan itulah Hashim telah meningal dunia. Walaubagaimana pun, anaknya telah lahir dan diberi nama Syaibah.

Syaibah bersama ibunya menetap lebih kurang lapan tahun di Madinah. Saudara kepada Hashim iaitu Mutalib, apabila mendengar berita tentang anak saudaranya, maka dia telah datang ke Madinah dan membawa Syaibah ke Mekah.

Anak-anak tahu tak siapa Syaibah?

Syaibah itu adalah datuk kepada Nabi kita Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Syaibah sebelumnya tinggal di Madinah, namun kehendak Allah Ta'ala telah membawanya ke Mekah.

Sebelum kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, Kabilah-kabilah Mekah dan Madinah diikat dengan persaudaraan. Mungkin kita semua biasa mendengar bahawa datuk Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah Abdul Mutalib. Tidak ada yang kenal dengan Syaibah.

Sebenarnya, apabila Mutalib membawa masuk Syaibah ke Mekah, maka orang ramai melihat bahawa seorang anak yang tampan dan pintar ikut bersama dengan Mutalib. Quraisy menyangka Mutalib membawa hamba. Sebab itu penduduk Mekah memanggil Syaibah sebagai Abdul Mutalib, yakni hamba Mutalib.

Abdul Mutalib waktu itu masih kanak-kanak, sebab itu tanggungjawab menjaga Kaabah dan mengkhidmati para haji dilakukan oleh Mutalib. Apabila Abdul Mutalib semakin besar dan bapa saudaranya juga telah meninggal dunia, maka dia berhasrat untuk mengambil tugas itu. Tetapi bapa saudaranya Naufal telah menguasainya.

Abdul Mutalib mempunyai tiga orang saudara lagi tetapi semuanya tidak berkebolehan membantu abang mereka. Beliau telah meminta bantuan dari kabilah. Namun, kerana cara itu juga tidak memberi apa-apa manfaat, sebab itu dia telah mengadu kepada datuknya di Madinah bahawa bapa saudaranya tidak memberikan warisan kepadanya, sebab itu mohon bantuan.

Datuknya telah menghantar 80 orang ke Mekah. Sewaktu rombongan ini sampai, Naufal berapa di dalam Masjidil Haram. Dia menjadi ketakutan dan memberikan hak penjagaan Kaabah kepada Abdul Mutalib.

Cuba anak-anak bayangkan bahawa apabila orang Mekah sendiri tidak memberikan hak yang sepatutnya, maka Allah Ta'ala telah menghantar orang dari Madinah. Ini satu isyarat untuk penduduk Mekah bahawa Mekah ini adalah untuk wujud yang dikasihi oleh Allah dan juga pelajaran untuk orang Madinah bahawa bila perlu, mereka ada tanggungjawab untuk membantu memelihara tanah yang suci itu.

Abdul Mutalib seorang yang tampan dan gagah. Beliau juga mahir dalam bahasa Arab. Beliau terkenal dengan sifat yang lemah lembut dan mulia. Sesiapa sahaja yang melihatnya pasti akan tertawan. Beliau juga sama seperti Hazrat Ibrahim alaihissalam iaitu beribadat kepada Tuhan yang Esa. Beliau sangat membenci minuman keras dan amalan menanam anak perempuan hidup-hidup. Beliau menasihati anak-anaknya agar menghindari perbuatan zalim dan memberontak. Disebabkan perwatakan beliau itu, Quraisy sangat menghormati beliau. Mereka juga bersedia untuk menjadikannya sebagai ketua.

Abdul Mutalib mempunyai 10 orang anak. Anak yang paling bongsu ialah Abdullah, dan Abdullah ini adalah ayah kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Wahai anak-anak sekalian!

Allah Ta'ala sudah berkehendak bahawa wujud yang terkasih akan lahir dari keluarga ini. Sebab itu rahmat diturunkan sebanyak-banyaknya ke atas keturunan ini. Mata air zam-zam yang telah lama terkubur dan hilang, Allah Ta'ala mahu ia muncul semula. Abdul Mutalib mendapat mimpi di mana kedudukan mata air itu yang sebenarnya, setelah digali maka muncullah ia bersama dengan khazanah yang disemburnyikan di dalamnya. Dengan kejadian itu, Abdul Mutalib selaku datuk Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam semakin mendapat kemuliaan dan penghormatan di pandangan Quraisy.

Terdapat satu lagi kejadian yang terkenal dengan nama Ashabul Fiil. Gabenor Yaman bernama Abrahah menyerang Mekah dengan niat untuk menjatuhkan Kaabah. Apabila tiba berdekatan Mekah, askar-askar Abrahah telah mencuri unta-unta Abdul Mutalib. Abrahah memanggil ketua Quraisy untuk menimbulkan rasa takut. Abdul Mutalib meminta pendapat dari semua ketua-ketua. Semua tahu bahawa bukan mudah untuk berhadapan dengan tentera yang begitu banyak. Akhirnya mereka sepakat untuk tidak berperang.

Abdul Mutalib pergi menemui Abrahah. Dengan kepintaran dan perwatakan Abdul Mutalib, Abrahah kagum dengannya. Abrahah berpendapat bahawa Abdul Mutalib akan memohon agar jangan merobohkan Kaabah. Apa yang terjadi, Abdul Mutalib hanya berkata "kembalikanlah unta-unta saya, tentera tuan telah mencuri unta-unta saya". Abrahah menjadi marah "bagaimana kamu menjadi ketua Quraisy, kamu tidak peduli dengan Kaabah langsung dan hanya memikirkan unta-unta kamu". Abdul Mutalib berkata "aku pemilik unta-unta ini sebab itu saya ambil peduli, tetapi rumah itu juga ada pemiliknya, Dia sendiri yang akan menjaganya".

Inilah wahai anak-anak semangat yang dimiliki oleh Abdul Mutalib. Dari kisah ini pun jelas kepada kita betapa tingginya keyakinan beliau kepada Wujud Tuhan. Dia yakin Tuhan sendiri akan menjaga rumah-Nya. Dan kita tahu melalui sejarah bahawa Tuhan telah menghancurkan tentera Abrahah dan melindungi rumah-Nya. Kejadian ini berlaku beberapa tahun sebelum kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Disebabkan kisah ini juga datuk Rasulullah semakin dihormati dan Mekah semakin terkenal di Tanah Arab. Kemuliaan Kaabah juga semakin bersinar dari empat penjuru. Bani Hasyim di dalam Kabilah Quraisy mendapat kedudukan yang baik di setiap tempat.

 

 

Anak-anak sekalian!

Kita dapat melihat perlakuan Allah Ta'ala mengembalikan tiga nikmat kepada Hazrat Ismail alaihissalam dan keturunannya iaitu air Zamzam, Kaabah dan kerajaan Mekah. Ini membuktikan bahawa Allah Ta'ala memang menjaga kegemilangan ketiga-tiga nikmat ini untuk Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang tercinta. Zamzam, Kaabah dan Mekah merupakan lambang kegemilangan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Wahai anak-anak!

Mekah juga dikatakan sebagai pusatnya dunia. Bahasa Arab yang digunakan di Mekah juga menjadi ibu segala bahasa. Bandar di mana Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam lahir menjadi pusat dunia. Bahasa baginda juga menjadi terpancarnya bahasa-bahasa lain di dunia. Zat baginda juga menjadi tujuan utama penciptaan alam semesta. Akhlak baginda menjadi cerminan sifat Allah. Perwatakan baginda sangat terpuji. Kecantikan baginda dihiasi dengan Nur Ilahi. Kewujudan baginda sangat dicintai Allah.

Semua ini telah menjadi titik pusat. Ketentuan Tuhan menjadikan tempat ini dikunjungi dan orang ramai mengelilinginya. Sebelum kelahiran baginda lagi, Mekah memang sudah terkenal, tambahan lagi setelah kelahiran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, ia semakin bertambah terkenal. Ini telah menjadikan doa-doa Nabi Ibrahim telah terkabul.

Masih ingatkah apa doa Nabi Ibrahim alaihissalam?

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tandus dekat rumah Engkau yang suci. Wahai Tuhan kami! Supaya mereka dapat mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki berupa buah-buahan, supaya mereka selalu bersyukur."

Tujuan doa ini dipanjatkan agar beliau tidak dianggap sebagai orang yang terhindar dari nikmat dunia. Jangan sampai terfikir bahawa disebabkan berkhidmat untuk rumah Allah ini, segala nikmat-nikmat dunia tidak mendapat bahagian, malah apa yang berlaku adalah sebaliknya. Segala jenis buah-buahan yang baik telah dikurniakan oleh Allah di sana. Ini juga mengisyaratkan bahawa dengan meninggalkan segala sesuatu untuk Allah, maka mereka juga akan diberikan kurnia oleh Allah.

Para jemaah haji menjadi saksi tentang hal ini, Nabi Ibrahim tidak meminta makanan, tetapi memohon buah-buahan yang sifatnya tidak tahan lama, yakni akan menjadi rosak selepas beberapa lama dituai. Tapi, yang pasti nikmat itu belum diberikan pada waktu itu.

Pada musim haji, tebu dari India, anggur dan delima dari Taif, anggur dari Itali sangat terkenal di sleuruh Eropah. Namun, dari segi kelazatan tidak dapat menandingi buah yang terdapat di Mekah. Demikian juga delima dari Kabul dan Kandahar sangat terkenal di dunia, tetapi delima di Mekah tetap tidak dapat ditandingi.

Semua ini terjadi adalah kerana lahirnya seorang wujud suci di dunia ini. Namanya adalah MUHAMMAD yang menjadikan semua orang begitu cinta dan hanyut ketika melakukan tawaf. Dulu juga tawaf dilakukan, hari ini juga manusia melakukan tawaf dengan melaungkan suara Labbaikalla Humma Labbaik, Labbaika Laa Syariika Laka Labbaik.

Bagi yang sudah mendapat taufik mengunjungi rumah Allah ini, itu adalah satu kelebihan yang Allah Ta'ala berikan kepada mereka. Semoga yang belum lagi menjejakkan kaki di Makkah Al-Mukarramah, banyaklah berdoa, mudah-mudahan atas dasar cinta kita pada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam akan membawa kita ke sana.

 

 

 

Disediakan oleh

 

Salahuddin Bin Syed Ali

Selangor, Malaysia

08 Ogos 2021

 

 

Wednesday, April 14, 2021

Daras Ramadan (02)

 Kepentingan dan Keberkatan Puasa

 Allah Ta’ala berfirman:-

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah: ayat 184]

Diriwayatkan oleh Hazrat Abu Hurairahra bahawa Rasulullahsaw bersabda; “Allah Azza Wa Jalla berfirman: Setiap amalan anak Adam itu untuknya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk-Ku dan Aku akan memberikan ganjarannya.” (Maksudnya, sebagai balasan atas kebaikannya, Aku akan memberikan kunjungan-Ku kepadanya). Allah Taala berfirman bahawa Puasa itu adalah perisai, maka janganlah (seseorang yang sedang berpuasa) mengucapkan ucapan yang kotor, dan janganlah bertindak bodoh, dan jika ada orang yang sewenang-wenang merebut haknya atau mencelanya, maka katakan, ‘Saya sedang puasa’. Demi Zat yang nyawa Muhammad di Tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi, ini adalah disebabkan dia melakukannya demi Allah Taala). Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya.

Betapa beberkatnya ibadah puasa ini sehingga setiap pergerakan dan diamnya orang yang berpuasa itu bertukar menjadi ibadah. Jadi, Rasulullahsaw bersabda: “Diamnya orang puasa adalah ibadah. Tidurnya orang puasa adalah ibadah, doanya dikabulkan dan ganjaran pahala bagi amal ibadahnya dilipatgandakan.” (Kanzul Ummal)

Daripada Abu Ayyub al-Ansarira, meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda:

"Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal (kecuali hari pertama Aidilfitri), itu sama seperti berpuasa selama setahun. (kerana satu puasa menyamai 10 pahala, oleh itu 36 puasa menyamai 360 pahala)."

Hazrat Khalifatul Masih Ke-IVra bersabda: Orang-orang yang meninggalkan puasa ini mereka tidak dapat bayangkan kebaikan-kebaikan apa yang telah mereka terlepas. Mereka tidak dapat menahan lapar untuk beberapa hari, mereka tidak dapat menahan beberapa peraturan untuk beberapa hari, mereka telah terlepas nikmat yang sangat besar.

Rasulullahsaw bersabda: Barangsiapa yang meninggalkan walaupun satu puasa tanpa sebarang keuzuran dan sakit, maka berpuasa seumur hidup pun tidak boleh menggantikannya.”

Hazrat Aqdas Maseeh Mau’udas bersabda: Perkara ketiga di dalam rukun Islam ialah puasa. Orang ramai juga tidak menyedari hakikat puasa. Puasa bukan hanya sekadar berlapar dan menahan dahaga, malah satu daripada hakikat dan kesannya dapat diketahui melalui pengalaman. Di dalam fitrah manusia, semakin sedikit makan, semakin banyak ia dapat menyucikan diri dan semakin meningkat kekuatan melihat kasyaf. Keinginan Tuhan Yang Maha Esa adalah supaya seseorang itu mengurangkan satu makanan dan menambah makanan yang lain. Orang yang berpuasa harus selalu ingat bahawa ini tidak bererti dia hanya berlapar, tetapi dia harus sibuk dalam mengingati Allah untuk meraih Tabattul dan Inqita’. Oleh itu, tujuan dari puasa ialah manusia meninggalkan satu roti yang hanya menyuburkan tubuh dan memperoleh roti lain yang menjadi sumber ketenangan dan kepuasan bagi jiwa dan mereka yang berpuasa hanya untuk Tuhan dan bukan sebagai ritual semata-mata harus berterusan di dalam memuji dan memuliakan Allah Taala serta bertahlil (membaca Laa ilaha illAllah). Agar mereka memperoleh makanan yang lain. (Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas Jilid 1 ms. 440)

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk berpuasa dan meraih keberkatan-keberkatannya dengan sebanyak yang mungkin. Amin.

Tuesday, April 13, 2021

Daras Ramadan (01)

Kepentingan dan Keberkatan Bulan Ramadan

Allah Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran:-

“Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata mengenai petunjuk dan Furqan. Maka barangsiapa di antaramu hadir pada bulan ini hendaklah ia berpuasa di dalamnya, tetapi barangsiapa sakit atau dalam perjalanan, maka berpuasalah sebanyak bilangan itu pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan itu dan supaya kamu mengagungkan Allah, kerana Dia telah memberi petunjuk kepadamu dan supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: ayat 186]

Hazrat Salman Al-Farisira meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullahsaw: “Wahai Rasulullah! Bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka”. Maka Rasulullahsaw menjawab: “Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman.” Ramadan ialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (pengampunan) dan akhirnya pembebasan dari api neraka. Dan orang yang meringankan beban pekerjanya dan memberi tugas yang sedikit kepadanya, Allah Taala akan mengampunkan dosa orang tersebut dan membebaskannya dari api neraka.

Hazrat Khalifatul Masih As-Salisrh bersabda: Bulan Ramadan ialah himpunan lima ibadah yang utama. Yang pertama ialah puasa, kedua perhatian terhadap mendirikan solat. Kemudian Qiyamullail yakni mendirikan solat nafal di malam hari. Ketiga menilawatkan ayat Al-Quran sebanyak yang mungkin. Keempat kemurahan hati dan kelima menyelamatkan diri daripada gejolak nafsu. Himpunan kelima-lima ibadah yang utama itu disebut ibadah bulan Ramadan. (Khutbah Nasir, 2/954)

Suatu ketika Rasulullahsaw bersabda: “Berilah perhatian yang khusus kepada bulan Ramadan kerana ia adalah bulan Allah yang sangat mulia dan penuh keberkatan. Dia telah membiarkan kamu selama sebelas bulan yang di dalamnya kamu makan dan minum dan dapatkan apa sahaja yang kenikmatan yang kamu inginkan, namun dia telah mengkhususkan satu bulan.” (Majma’ Az-Zawaid)

Bagindasaw bersabda: Apabila bulan Ramadan tiba maka pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup dan syaitan diikat. (Bukhari)

Beliausaw bersabda: Orang yang bangun di malam hari pada bulan Ramadan dengan niat memperoleh pahala maka segala dosa-dosanya yang lalu diampunkan. Hazrat Anasra meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda: Bulan Ramadan dinamakan sebagai Ramadan kerana ia membakar dosa-dosa sehingga menjadi debu.

Semoga Allah Taala memberi taufik kepada kita semua untuk meraih segala keberkatan di bulan Ramadan yang penuh beberkat ini. (Amin)

Saturday, November 21, 2020

Tafsir Surah Al-Lahab

Binasalah kedua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia! Tidak memberi manfaat kepadanya hartanya dan apa yang dia usahakan. Segera ia akan masuk api yang menyala-nyala. Dan juga isterinya akan menjadi pemikul kayu bakar. Sekeliling lehernya akan ada tali dari sabit yang dipintal. (Terjemahan Al-Quran Jamaat Indonesia) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan dia juga telah binasa. (Barahin Ahmadiyah Bahagian 4, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 609, catatan nota kaki nombor 3) 

Tangan Abu Lahab telah binasa dan dia juga turut binasa. … maksud Abu Lahab di sini ialah orang yang menyalakan api fitnah di kalangan umat Islam dan orang yang beragama Islam dituduh kafir, dan dia juga menyebelahi orang Kristian. Oleh kerana perbuatannya menyalakan api permusuhan dan hendak meletakkan umat Islam dalam keadaan tertipu, sebab itu dikatakan sebagai Abu Lahab, kerana Lahab bermaksud api. Oleh kerana api fitnah itu muncul dari orang yang disentuh dalam khabar ghaib itu, sebab itu ia menjadi bapa kepada api, lalu menjadilah Abu Lahab. Sejauh mana yang saya tahu di sini Abu Lahab yang dimaksudkan ialah Muhammad Husain Batalwi, tetapi Allah yang lebih mengetahui. Ini kerana dia telah berusaha untuk menyalakan api fitnah. (Ziaul Haq, Rohani Khazain Jilid 9, Halaman 293,294) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab (ketika dia menulis fatwa ini) dan dirinya juga telah binasa. … di dalam ilham itu perkara yang membenarkan ayat pertama surah Tabbat ini diletakkan ke atas orang yang membuat serangan pertama terhadap Maseeh Mau’ud Tuhan dengan pengkafiran dan juga penghinaan. Dalil ini menerangkan bahawa Al-Quran menyentuh tentang Abu Lahab dalam surah ini, selain ia menjadi musuh kepada Rasulullahsaw, ia juga membawa maksud musuh kepada Maseeh Mau’ud. Dan tafsir ini terbuka melalui ilham ini. … sebab itu tafsir ini sangatlah benar dan bebas daripada perkara yang dibuat-buat. … ringkasnya, ayat Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba yang merupakan surah keempat terakhir dalam juz terakhir, sebagaimana ia menjadi dalil ke atas musuh-musuh yang jahat kepada Rasulullahsaw, demikian juga ia menjadi isyarat ke atas musuh-musuh Maseeh Mau’ud yang banyak memberikan kesusahan. … kesimpulannya ialah Tabbat Yadaa Abii Lahab yang muncul di akhir Al-Quran, ia menjadi tafsir kepada ayat Maghdhuubi Alaihim yang berada pada awal Al-Quran kerana beberapa ayat Quran menjadi syarah atau penjelasan bagi ayat Al-Quran yang lain. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 215-217) 

Ayat pertama dari surah Tabbat iaitu Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba mengisyaratkan kepada golongan penjahat yang mengkafirkan, mendustakan dan menghina Ahmad Mahdi. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 215-217) 

Doa Ghairil Maghdhuubi Alaihim yang bermaksud golongan yang akan memberikan kesusahan kepada Maseeh Mau’ud, dan bertentangan dengan doa itu, di akhir Al-Quran terdapat ayat Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Tohfah Golerwiyah, Rohani Khazain, Jilid 17, halaman 218) 

Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, yakni tangannya tidak berdaya lagi, dan dia sendiri juga hancur yakni menuju ke lembah kesesatan. (Nuzulul Maseeh, Rohani Khazain, Jilid 18, halaman 531) 

Madhi juga boleh membawa maksud mudhari’, malah di tempat-tempat yang mana pada pandangan yang berkata-kata itu suatu perkara yang pasti akan berlaku, maka di situ tempat mudhari’ akan diletakkan madhi supaya perkara itu dapat dizahirkan secara pasti akan kejadiannya. Contoh seperti ini banyak terdapat di dalam Quran sebagaimana firman Allah … Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Barahin Ahmadiyah, Bahagian 5, Rohani Khazain Jilid 21, halaman 159) 

Tuhan telah menyampaikan khabar ghaib yang agung di berbagai tempat di dalam Al-Quran dengan menggunakan kata ‘madhi’, sebagai contoh Tabbat Yadaa Abii Lahabiu Watabba. (Barahin Ahmad, Bahagian 5, Rohani Khazain, Jilid 21, halaman 170) 

Kedua-dua tangan Abu Lahab telah binasa dan dia sendiri juga sudah binasa. (Majmu’ah Isytiharat, Jilid 2, halaman 58, nota kaki) 

Di dalam surah Tabbat ini, ia mengisyaratkan kepada fitnah Ghairil Maghdhuubi Alaihim. (Al-Hakam, Jilid 6, nombor 8, tarikh 28 Februari 1902, halaman 4) 

Apabila melihat di dalam mimpi membaca ayat Tabbat Yadaa Abii Lahab maksudnya ialah ‘mendapat keunggulan di atas mana-mana musuh’. (Al-Badar, Jilid 1, nombor 11, tarikh 9 Januari 1903, halaman 84) 

Di dalam Al-Quran Abu Lahab itu adalah umum dan bukannya khusus. Ia bermaksud seseorang yang memiliki sifat mengapi-apikan di dalam dirinya. Demikian juga dengan ayat Hammaa Latal Hatab, ia bermaksud wanita histeria yang menyalakan api, yakni wanita jahat yang membesar-besarkan keburukan di kalangan orang ramai. (Al-Hakam Jilid 2, nombor 2, tarikh 6 Mac 1898, halaman 2) 

(Tafsir Hazrat Maseeh Mau’udas, Jilid 8, halaman 409-411)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...