Thursday, February 22, 2018

Khulasah Khutbah Jumaat 16-02-2018

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Khulasah Khutbah Jumaat
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
Hazrat Khalifatul Maseeh al-Khamisatba
16-02-2018 (Masjid Baitul Futuh London)

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Seorang mukmin yang mendakwakan diri beriman kepada Allah hendaklah sentiasa merenungkan bahawa Allah Ta’ala memerintakan manusia untuk beribadat sebagaimana firman-Nya Wamaa Kholaqtal Jinna Wal Insa Illaa Liya’buduun, yakni Kami telah menjadikan jin dan manusia untuk beribadat. Kemudian Allah Ta’ala juga mengajarkan bagaimana cara beribadat yang mana di dalamnya ada penzahiran gerakan-gerakan dan juga bacaan doa-doa (zikir). Dalam solat, kedua-dua perkara ini ada.

Namun, hendaklah ingat bahawa selain daripada solat, mengingati Allah dalam kesempatan yang lain juga adalah tanggungjawab seorang mukmin. Al-Quran banyak mengajarkan doa-doa yang merujuk kepada nabi-nabi yang mana kita boleh baca dalam solat dan ketika sedang berjalan.

Hari ini saya akan jelaskan tentang satu doa yang juga merupakan satu sunnah daripada Rasulullahsaw. Dan bukan hanya bagindasaw sendiri mengamalkannya, malah mengajak para sahabat agar turut mengamalkannya.

Dalam satu riwayat ada dinyatakan bahawa Rasulullahsaw setiap kali hendak tidur, bagindasaw akan membaca ayat Kursi, surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Naas sebanyak tiga kali dan meniupkan pada tangannya lalu tangan disapukan ke bahagian kepada dan tubuh badan yang lain yang dapat dijangkau oleh tangannya. Setiap muslim hendaklah mengamalkan sunnah ini, dan sebagai Ahmadi khasnya hendaklah lebih cenderung ke arah amalan ini.

Berkenaan dengan ayat Kursi, saya telah jelaskan dalam dua khutbah sebelum ini. Hari ini saya hanya akan huraikan berkenaan dengan kelebihan membaca ketiga-tiga surah terakhir Al-Quran ini.

Hazrat Aishahra meriwayatkan bahawa setiap kali Rasulullahsaw hendak tidur pada waktu malam, bagindasaw akan membaca Qul Huwal Laahu Ahad, Qul A’uzu Birabbil Falaq dan Qul A’uzu Birabbin Naas lalu menghembuskan pada tangan dan menyapukan tangannya pada muka dan pada tubuh badan yang dapat dijangkau ketika berbaring. Bagindasaw melakukannya sebanyak tiga kali. Amalan itu dilakukan setiap malam dan ketika bagindasaw dalam keadaan sakit pun amalan itu tidak pernah ditinggalkan. Dan Hazrat Aishahra sangat memahami akan berkat daripada amalan tersebut.

Hazrat Uqbah bin Amir berkata; saya bertemu Rasulullahsaw, bagindasaw maju dan memegang tangan saya dan bersabda; Hai Uqbah! Tidakkah kamu mahu aku beritahukan kepadamu tentang tiga surah terbaik yang telah diturunkan di dalam Taurat, Zabur, Injil dan Quran? Uqbah berkata; kenapa tidak ya Rasulullahsaw. Kemudian bagindasaw membaca Qul Huwal Laahu Ahad, Qul A’uzu Birabbil Falaq dan Qul A’uzu Birabbin Naas lalu bersabda bahawa wahai Uqbah! Jangan sekali-kali lupa, jangan ada malam berlalu di mana kamu tidak membaca surah-surah ini. Uqbah berkata: sejak Rasulullahsaw bersabda seperti itu, saya tidak pernah meninggalkan amalan ini.

Berkenaan dengan kepentingan membaca surah Al-Ikhlas, di dalam satu hadis diriwayatkan oleh Hazrat Abu Saeed Khudri bahawa ada seseorang yang berkali-kali membaca Qul Huwal Laahu Ahad. Apabila waktu pagi, beliau pergi membuat aduan kepada Rasulullahsaw berkenaan dengan perbuatan orang tersebut. Rasulullahsaw bersabda: Demi Tuhan yang nyawaku dalam genggaman-Nya, surah ini menyamai satu pertiga Al-Quran.

Hazrat Abu Saeed Khudri menjelaskan bahawa Rasulullahsaw pernah bersabda; adakah di antara kamu yang mampu membaca satu pertiga Al-Quran dalam satu malam? Para sahabat terkejut dan menjawab; Ya Rasulullahsaw! Bagaimana mungkin kami dalam melakukannya? Bagindasaw bersabda lagi bahawa surah Al-Ikhlas itu menyamai satu pertiga daripada Al-Quran.

Berkenaan dengan surah Al-Ikhlas yang menyamai satu pertiga Al-Quran, terdapat satu riwayat Sahih Muslim, Hazrat Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw bersabda; berkumpullah kamu, aku akan perdengarkan bacaan satu pertiga daripada Al-Quran. Apabila semua berkumpul, Rasulullahsaw keluar dan menilawatkan Qul Huwal Laahu Ahad, selepas itu bagindasaw masuk ke dalam rumah kembali. Ada yang berfikir mungkin ada wahyu yang turun, sebab itu Rasulullahsaw masuk ke dalam rumah. Tidak lama selepas itu Rasulullahsaw keluar dan bersabda: Saya sudah katakan bahawa saya akan bacakan satu pertiga daripada Al-Quran. Jadi, dengarkan dengan sebaik-baiknya bahawa surah Al-Ikhlas menyamai satu pertiga bahagian Al-Quran.

Kenapa Rasulullahsaw menyatakan bahawa ia menyamai satu pertiga bahagian Al-Quran? Sebabnya ialah dalam surah itu mengajarkan dengan begitu terang dan jelas tentang ketauhidan dan seruan untuk menegakkan ajaran tersebut. Hanya dengan merenungkan ajaran dalam surah tersebut barulah seorang insan dapat menegakkan ajaran tauhid. Dan orang itu akan mendapat petunjuk untuk mengamalkan setiap perintah yang terdapat di dalam Al-Quran. Jadi, jangan membayangkan bahawa sudah membaca surah Al-Ikhlas lalu membuat kesimpulan telah membaca satu pertiga daripada Al-Quran. Pengajarannya ialah baca surah itu dan renungkan, selanjutnya beramal atas perintah Allah. Walaupun dalam berbagai riwayat memang dijelaskan seperti itu, yang mana seolah-olah menunjukkan bahawa dengan membaca beberapa ayat sahaja, maka disimpulkan telah membaca keseluruhan Al-Quran.

Sedangkan tujuan Rasulullahsaw menjelaskan hal seperti itu ialah supaya manusia merenungkan ajaran dalam ayat tersebut dan cenderung untuk beramal dan menegakkanya. Al-Quran itu sendiri sebenarnya mengajarkan tentang ketauhidan. Sebab itu setiap insan hendaklah berusaha dan berdoa.

Hazrat Aishahra meriwayatkan bahawa Rasulullahsaw menghantar seseorang mengikuti suatu peperangan yang mana orang tersebut memimpin solat di kalangan mereka. Namun, dalam setiap bacaan, beliau mengakhirinya dengan Qul Huwal Laahu Ahad. Apabila telah kembali, maka hal itu disampaikan kepada Rasulullahsaw. Rasulullahsaw meminta sahabat tanyakan kenapa berbuat seperti itu? Lalu dijawab bahawa di situ ada sifat Rahman Allah Ta’ala, sebab itu saya suka membacanya. Maka mendengarkan hal itu Rasulullahsaw berkata; beritahukan kepadanya bahawa Allah Ta’ala juga suka kepadanya.

Pernah juga terjadi perbahasan di kalangan para sahabat bahawa semua benda telah diciptakan oleh Allah Ta’ala, tetapi siapa yang menciptakan Allah Ta’ala? Bagindasaw bersabda bahawa apabila kamu mendapati ada orang seperti itu maka bacalah Qul Huwal Laahu Ahad sehingga habis. Kamu akan tahu bahawa tidak ada yang menciptakan Allah Ta’ala.

Ada seseorang mengadu kepada Rasulullahsaw hidupnya sangat miskin. Rasulullahsaw mengajarkan bahawa setiap kali kamu masuk ke dalam rumah, ucapkanlah salam walaupun tidak ada orang di rumah dan baca sekali Qul Huwal Laahu Ahad. Selepas itu orang berkenaan telah mengamalkan apa yang Rasulullahsaw beritahu dan berkat ajaran itu, Allah Ta’ala telah memberikan sarana kepadanya sehingga dia telah menjadi orang yang senang dan dapat membantu orang disekelilingnya. Dari kisah ini mengajarkan kepada kita bahawa orang yang menegakkan ajaran tauhid, mereka akan diberikan petunjuk oleh Allah dalam kehidupan mereka.

Di dalam hadis juga diriwayatkan bahawa orang yang membaca Qul Huwal Laahu Ahad sebanyak 50 kali atau 100 kali, maka Allah Ta’ala akan memberikan ganjaran syurga kepada mereka dan mengharamkan api.

Inilah Tuhan kita yang Maha Berkuasa. Bukan anak kepada sesiapa dan tidak menjadi bapa kepada sesiapa.

Ada hadis yang meriwayatkan tentang manfaat membaca ketiga-tiga ayat ini. Hazrat Uqbah meriwayatkan ketika bersama Rasulullahsaw dalam satu perjalanan perang, Rasulullahsaw bersabda; Hai Uqbah! Bacalah. Setelah tiga berkata demikian, maka Rasulullahsaw membaca ketiga-tiga surah sehingga akhir ayat dan berkata; barangsiapa yang membaca ketiga-tiga surah ini, mereka akan berada dalam perlindungan Allah Ta’ala.

Berkenaan dengan Surah Qul A’uzu Birabbil Falaq dan Qul A’uzu Birabbin Naas, banyak riwayat menerangkan bahawa surah ini boleh mengundang perlindungan Allah Ta’ala. Rasulullahsaw juga menasihatkan agar membacanya setiap kali hendak tidur dan setelah bangun tidur.

Sekarang ini para ulama semakin parah dalam mengapi-apikan orang Islam untuk terus menentang Jamaat. Begitu juga sekarang ini golongan yang tidak bertuhan, mereka juga semakin aktif bersuara. Jadi, kita hendaklah mengamalkan amalan Rasulullahsaw ini untuk memohon perlindungan dari fitnah-fitnah yang semakin berleluasa.

Orang Islam semakin lupa amalan Rasulullahsaw ini sehingga mereka tidak selamat dari fitnah-fitnah. Jadi, kita hendaklah semakin cenderung membaca doa ini. Memohon perlindungan dari was-was syaitan. Jangan hanya lakukan untuk diri sendiri tetapi libatkan juga anak-anak supaya mereka sentiasa terpelihara.

Berdoalah sentiasa agar kita tetap kekal atas cahaya yang telah kita dapatkan dalam jamaat ini. Semoga kita sentiasa berada dalam perlindungan Allah sebagai Rab kita yang hakiki. Kita juga hendaklah sentiasa membersihkan dalaman kita dari segala kotoran.

Jangan lupa untuk mengamalkan apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullahsaw ini. Semoga kita semua mendapat taufik untuk beramal padanya.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Disediakan oleh:

Salahuddin bin Syed Ali
Jamia Ahmadiyya International Ghana
16-02-2018

No comments:

Post a Comment