Monday, January 24, 2011

Lembaran Tarbiyat 16



RINGANKAN BEBAN SAUDARA YANG LEMAH

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Harus diketahui bahawa semua anggota jemaat itu tidak berada pada satu tahap yang sama. Adakah semua gandum akan keluar secara sama rata dari benih? Banyak juga bijian yang menjadi sia-sia, ada yang menjadi makanan burung, ada juga yang langsung tidak bermanfaat. Bagi yang ada kebolehan, ia tidak akan menjadi sia-sia. Jemaat yang disediakan untuk Tuhan juga adalah bersifat KAZAR’IN. Oleh sebab itu, atas dasar ini ia memerlukan peningkatan. Jadi, amalan ini harus dilaksanakan iaitu membantu saudara yang lemah dan menjadikan mereka kuat. Ada dua saudara, seorang daripadanya pandai berenang dan seorang lagi tidak pandai, yang manakah tindakan sesuai atas saudara yang pandai berenang itu? Adakah dia harus membantu atau membiarkan saudaranya tenggelam? Dia wajib menyelamatkan saudaranya daripada mati lemas. Sebab itu di dalam Al-Qur’an dinyatakan bahawa TA’AAWANUU ‘ALAL BIRRI WAT TAQWAA (Al-Maidah:3) Bantulah saudara yang lemah sama ada kelemahan dari segi amalan, keimanan dan kewangan. Berilah penawar atas kelemahan jasmani. Bukanlah satu jemaat di mana orang yang berkemampuan tidak memberi bantuan kepada mereka yang tidak mampu. Seharusnya golongan itu harus dibantu. Inilah yang telah diajarkan kepada para sahabat iaitu jangan mencerca apabila melihat kelemahan orang yang baru memeluk Islam kerana kamu juga sama seperti itu sebelumnya. Orang besar hendaklah mengkhidmati orang kecil dengan penuh kecintaan. Bukanlah satu jemaat sekiranya saling merampas di antara satu dengan yang lain. Dan apabila berkumpul bersama, mereka akan memperkatakan tentang saudara mereka yang miskin, memandang rendah dan benci terhadap saudara yang lemah dan miskin. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku, malah apa yang patut mereka lakukan ialah bergabung tenaga agar menjadi kuat dan bersatu. Ini akan mendatangkan semangat kecintaan dan berkat.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 263)

JEMAAT PERLU MENZAHIRKAN AMALAN

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Ingatlah bahawa jemaat ini tidak sama seperti keadaan orang-orang dunia iaitu merasa cukup dengan menyatakan kami sudah masuk dalam jemaat ini lalu tidak menghiraukan amalan seharian. Jangan menjadi seperti umat Islam kebanyakan yang apabila ditanya adakah kamu orang Islam? Mereka akan menjawab Alhamdulillah. Tetapi mereka itu tidak mendirikan solat dan tidak memuliakan tanda-tanda Allah. Jadi, aku tidak menginginkan dari kamu semua bahawa kamu melafazkan ikrar dari lidah tetapi tidak memperlihatkan suatu amalan, keadaan ini amat malang. Tuhan tidak suka perkara ini.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 264)

AJARAN KITA

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Di dalam buku Kisyti Nuh saya telah menulis tentang ajaran kita dan setiap dari kita hendaklah mengambil perhatian terhadapnya. Seharusnya setiap tempat hendaklah mengadakan jalsah untuk memperdengarkan perkara itu. Hantarkan kepada orang yang bersedia dan berkebolehan agar membacakannya, dan jika kamu sebarkan dengan cara seperti itu maka walaupun lima puluh ribu naskah belum tentu mencukupi. Dengan cara itu, penyebarannya juga akan terjadi dan kesatuan yang kita inginkan akan muncul dalam jemaat.” (Malfoozaat Jilid 2, halaman 314)

No comments:

Post a Comment