Antara isi kandungan terjemahan Khutbah kali ini ialah seperti berikut:-
Dalam zaman ini, siapa yang lebih mengetahui ruh ISTA’IINUU BIS SHOBRI WAS SHOLAATI selain daripada pencinta sejati Rasulullah s.a.w?
Selepas pendakwaan dibuat, Hazrat Masih Mau’ud a.s berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan kekerasan, tetapi beliau a.s bukan sahaja mempamerkan ketenangan dan kesabaran, malah beliau juga menegaskan agar anggota Jemaat yang ada hubungan denganku hendaklah memperlihatkan contoh seperti yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w di mana para sahabat baginda s.a.w juga telah berusaha menjalani keadaan hidup seperti itu.
Kisah-kisah kesabaran dan ketenangan yang dipamerkan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s.
Hari ini Jemaat Ahmadiyah menjalani kehidupan dengan sabar dan doa, dan dengan kurnia-Nya Jemaat telah sampai di 198 buah negara. Dan setiap hari Jemaat ini meningkat maju, dan hari ini kita dapat melihat Ahmadiyah berada di mana-mana bahagian sudut dunia.
KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASIH AL-KHAMISaba
26 NOVEMBER 2010 / 26 NUBUAT 1389HS
20 Zulhijjah 1431HQ
Masjid Baitul Futuh, London
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Tasyahud, Ta’awudz dan surah Al-Fatihah.
Dalam khutbah yang lepas saya telah menjelaskan tentang sifat kesabaran yang agung dari sudut ajaran Rasulullah s.a.w, uswah atau contoh terbaik dari baginda dan beberapa misal dari para sahabat baginda. Akhlak yang tinggi ini, yang mana Rasulullah s.a.w telah mengarahkan kepada para sahabat agar melaksanakannya selain memperlihatkan contoh ini daripada diri baginda sendiri, itu adalah kerana perintah dari Allah Ta’ala di dalam Al-Qur’an iaitu WASTA’IINUU BIS SHOBRI WAS SHOLAATI. Orang-orang yang memerlukan pertolongan Allah Ta’ala dengan cara memperlihatkan kesabaran dan melalui doa-doa ialah mereka yang sempurna keimanan dan tawakkal kepada-Nya. Mereka yang kekal atas keyakinan bahawa Tuhan akan menolong kami disebabkan kesabaran dan keikhlasan tunduk memohon kepada-Nya. Dan siapa yang lebih tinggi keimanan dan keyakinan dalam hal ini selain dari Rasulullah s.a.w? Dan melalui Quwwat Qudsiah baginda, para sahabat juga telah dapat mencapai tingkatan ini. Sebab itu, dalam berbagai kesempatan, mereka telah melihat bagaimana bentuk pertolongan Allah Ta’ala ke atas mereka. Dan dalam zaman ini, siapa yang lebih mengetahui ruh ISTA’IINUU BIS SHOBRI WAS SHOLAATI selain daripada pencinta sejati Rasulullah s.a.w? Dan, inilah juga yang hendak diciptakan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s dalam diri para sahabat beliau. Dalam pelbagai ucapan dan tulisan, beliau a.s mengajarkan hal ini dalam diri anggota Jemaat agar dapat mengamalkan akhlak yang agung ini.
Jadi, hari ini Jemaat pencinta sejati Rasulullah s.a.w inilah yang sekarang memohon pertolongan Allah Ta’ala dengan memperlihatkan istiqomah dan kesabaran berdasarkan tarbiyat ini. Dan mereka tunduk hanya di hadapan Allah Ta’ala bagi mempersembahkan keadaan hati mereka. Dan bentuk amalan ini telah diperlihatkan oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s kepada kita, dan disebabkan tarbiyat itulah, keadaan ini kelihatan dalam diri anggota Jemaat sehingga hari ini sebagai bukti bahawa Jemaat tetap mengekalkan amalan yang agung ini. Selepas pendakwaan dibuat, Hazrat Masih Mau’ud a.s berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan kekerasan, tetapi beliau a.s bukan sahaja mempamerkan ketenangan dan kesabaran, malah beliau juga menegaskan agar anggota Jemaat yang ada hubungan denganku hendaklah memperlihatkan contoh seperti yang telah diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w di mana para sahabat baginda s.a.w juga telah berusaha menjalani keadaan hidup seperti itu.
Hari ini saya akan mempersembahkan di hadapan kamu semua berkenaan dengan beberapa peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Hazrat Masih Mau’ud a.s, bagaimana beliau telah memperlihatkan contoh kesabaran bermula dalam hal-hal yang kecil sehinggalah hal-hal yang begitu besar. Beliau juga menasihatkan kepada orang yang mengikutnya dan amat menegaskan agar mengamalkan sifat ini. Allah Ta’ala juga memberitahu melalui ilham berkenaan dengan sifat sabar ini; hendaklah sentiasa berpegang kepada kesabaran dan akhlak yang tinggi, apapun keadaan, bagaimanapun musuh cuba menghinakan dan berusaha untuk merugikan serta mencari-cari jalan untuk menghancurkan kamu, jangan pernah sesekali kamu hilang dari sifat sabar dan istiqomah ini. Mohonlah pertolongan daripada Allah melalui doa-doa dan nantikanlah pertolongan-Nya. Untuk hamba-hamba Tuhan, ujian dan musibat itu datang daripada Allah. Namun, hamba Allah itu hendaklah bersabar semata-mata kerana Allah. Di dalam Barahin Ahmadiyah, beliau menerima sebuah ilham berkenaan dengan hal ini. ALFITNATU HAAHUNAA FASHBIR KAMAA SHOBARA ULUL ‘AZMI. ALAA INNAHAA FITNATUM MINAL LOOHI LIYUHIBBA HUBBAN JAMMAN HUBBAM MINAL LOOHIL ‘AZIIZIL AKROMI. ‘ATHOO’AN GHOIRO MAJZUDJ. Di tempat ini ada fitnah. Jadi, bersabarlah sebagaimana orang-orang ulul azmi bersabar. Berhati-hatilah. Fitnah ini datang daripada Allah agar Dia mencintai dengan kecintaan yang sempurna. Kecintaan dari Tuhan itu amat terhormat dan amat mulia. Kurnia yang tidak pernah berakhir. (Barahin Ahmadiyah bahagian tiga, Rohani Khazain Jilid 1, halaman 609-610, nota kaki atas nota kaki nombor 3)
Jadi, sebelum mendakwakan kenabian dan sebelum mendapat perintah mengambil bai’at, beliau telah mendapat perintah daripada Allah agar bersabar, dan hal itu berlanjutan sehingga ke akhir hayat beliau.
Hazrat Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a berkata; suatu kali dalam tahun 1898, Maulvi Muhammad Hussin Sahib telah menghantar risalah yang penuh dengan caci-maki kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s. Dalam laporannya menulis, ‘saya telah memuatkan keadaan ini dalam Al-Hakam 27 Julai 1898. Dia berkata bahawa hari ini sudah 30 tahun berlalu, sejak saya membaca tentang emosi, jiwa dan perhatian beliau terhadap Allah, maka dengan tidak disangka-sangka air mata saya menitis. (Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s oleh Maulana Ya’kub Ali Irfani Sahib, halaman 462-463)
Beliau a.s menjawab risalah yang penuh dengan caci-maki itu secara tenang dan emosi yang sabar. Tidak ada yang dapat meniru ketenangan dan kerendahan yang beliau perlihatkan umpama gunung yang tegak. Segala caci-maki tidak memberi pengaruh ke atas beliau. Tidak pernah beliau menjawab segala caci-maki dengan caci-maki. Ini juga menjadi bukti bahawa beliau mengamalkan ilham yang datangnya daripada Allah seperti yang terdapat dalam Al-Qur’an FASHBIR KAMAA SHOBARA ULUL ‘AZMI MINAR RUSUL (Al-Ahqaf:36). Sebenarnya ia datangnya daripada Tuhan, dan Tuhan itu jugalah yang mengurniakan beliau kesabaran dan emosi yang luar biasa seperti yang telah diberikan kepada rasul-rasul ulul azmi. Sebelum itu, Tuhan telah memberitahu beliau berkenaan dengan fitnah-fitnah yang akan menimpa, dan semua fitnah-fitnah itu telah terjadi dengan sempurna. Namun, semuanya tidak memalingkan langkah-langkahnya. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s dari Maulana Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a halaman 463-464)
Kemudian, Hazrat Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani menulis mengenai kejadian di sebuah tempat. Seingat saya, dalam satu jalsah, seorang pemimpin Brahmo sedang bertanya kepada beliau dan beliau memberikan jawapan. Dalam kejadian itu, ada seorang penentang yang berlidah kotor dan melakukan serangan yang menyakitkan hati terhadap diri beliau. Pemandangan itu ada di hadapan saya sekarang. Beliau meletakkan tangan di mulut, sebagaimana kebiasaan, beliau meletakkan sebahagian dari sudut pagri di sebelah mukanya. Beliau selalu meletakkan bahagian pagri di wajahnya atau kadang-kadang hanya meletakkan tangan ketika duduk. Beliau duduk senyap sambil mendengar caci-maki yang dibuat secara terus-menerus itu. Orang itu tidak berhenti bercakap. Beliau berada dalam keadaan seperti tidak ada yang berlaku apa-apa atau waktu itu suasana perbincangan begitu halus. Pemimpin Hindu itu cuba melarangnya tetapi orang itu tidak peduli. Beliau berkata; jangan cakap apa-apa kepadanya, biarkan dia bercakap. Akhirnya orang itu penat dan bangun lalu pergi dari situ. Pemimpin Hindu itu begitu terkesan dan berkata; tuan mempunyai mukjizat akhlak yang tinggi. Waktu itu, Huzur boleh sahaja mendiamkannya dan menghalaunya dari tempat itu. (yakni orang itu datang ke tempat Hazrat Masih Mau’ud a.s) Atau dengan satu isyarat sahaja orang itu boleh diberhentikan. Tetapi beliau telah membuktikan ketenangan dan kerendahan hati. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s dari Maulana Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a halaman 443-444)
Hazrat Syeikh Ya’kub Ali Irfani Sahib r.a menulis bahawa di Jalandhar, Mir Abbas Ali Sahib sedang membuat kritikan terhadap Hazrat Masih Mau’ud a.s. Hazrat Makhdumul Millat Maulvi Abdul Karim Sahib r.a juga wujud di majlis itu dan beliau sendiri yang menceritakan hal ini kepada saya. Maulana mengatakan bahawa saya melihat Mir Abbas Ali Sahib sedang mengkritik satu perkara. Hazrat Masih Mau’ud a.s menjawab dengan cara yang begitu lemah-lembut dan tenang. Semakin beliau a.s menjawab dengan cara lemah-lembut dan penuh rasa kecintaan, Mir Sahib pula yang semakin emosi sehingga keluar ucapan yang memalukan dan juga ucapan yang tidak hormat seperti ‘kau kau, aku aku’. Saya melihat bahawa dalam keadaan itu beliau a.s berkata; Tuan Mir Sahib! Tuan ikut saya dan tinggal bersama saya. Tuhan akan menzahirkan suatu tanda dan akan memimpin tuan dan sebagainya. Tetapi kemarahan Mir Sahib semakin bertambah. Maulvi Sahib mengatakan; Melihat kelembutan dan emosi beliau a.s menyebabkan saya tidak tahan dengan perbuatan Mir Abbas Ali Sahib. Saya tidak tahan dengan sikap melampau itu walaupun Hazrat Masih Mau’ud a.s tetap memperlihatkan ketenangan dan kesabaran. Maulvi Abdul Karim berkata; saya sudah lama menahan kemarahan dan menganggap diri sendiri sebagai penakut bahawa di hadapam saya Hazrat Masih Mau’ud a.s sedang diserang dan saya hanya berdiam diri. saya tidak lagi dapat menenangkan diri sehingga saya mengeluarkan suara yang keras kepadanya menyebabkan dia bangun melarikan diri. Hazrat Maulvi Sahib mengatakan bahawa Hazrat Masih Mau’ud a.s telah memperlihatkan ketenangan yang begitu luar biasa. Saya juga turut gembira kerana telah menzahirkan bahawa saya bukan penakut dengan hanya membiarkan orang mencaci kemuliaan beliau di hadapan saya walaupun saya tahu selepas itu bahawa sepatutnya Huzur teruja dengan emosi saya waktu itu. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s karya Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani halaman 444-445)
Maksudnya, tuntutan adab itu ialah saya harus berdiam diri sahaja duduk di hadapan Hazrat Masih Mau’ud a.s walaupun dalam hati dalam keadaan bergelora. Malah, ada beberapa kejadian di mana sahabat-sahabat Hazrat Masih Mau’ud a.s telah memperlihatkan emosi yang keterlaluan, lalu beliau menzahirkan kemarahan dan rasa tidak senang bahawa tidak seharusnya berkelakuan seperti itu terhadap orang lain.
Hazrat Maulvi Abdul Karim Sahib r.a menjelaskan bahawa suatu hari ada seorang Hindustan yang menganggap dirinya seorang yang banyak merantau, luas pemandangan dan tahu tentang semua perkara. Dia datang ke masjid kita dan mengkritik tentang dakwaan yang dibuat oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s, hanya dengan perbualan yang singkat dia mengatakan; dakwaan tuan itu dusta. Dia selalu mengatakan bahawa dakwaan tuan itu palsu dan sudah banyak saya lihat penipu seperti ini. (na’uzubillah) Saya waktu itu sudah menggerak-gerakkan leher mendengar ucapan yang mengarut. Namun, dahi beliau langsung tidak berkerut, beliau hanya duduk dengan begitu tenang mendengar kata-kata itu dan memulakan ucapan dengan penuh lemah-lembut.
Bagaimana pun pedihnya ucapan, risalah atau puisi seseorang, beliau tidak pernah menzahirkan kebencian. Tidak semasa mendengar dan tidak juga selepas mendengar. Tidak juga menyebut tentang orang itu dalam suatu majlis. Beberapa orang yang tidak penyabar akan menyebut-nyebut kisah yang baru berlangsung dengan pelbagai penzahiran. Tetapi, Hazrat Masih Mau’ud a.s langsung tidak menyentuhnya walaupun hanya dengan isyarat. (Dipetik daripada Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s, Maulana Abdul Karim Sahib Sialkoti, halaman 44, penerbit Abul Fazal Mahmud, Qadian)
Kemudian Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani mengatakan bahawa peristiwa pada 29 Januari 1904 ada disentuh mengenai perhinaan terhadap Hazrat Masih Mau’ud a.s dalam sebuah akhbar. Beliau mengatakan bahawa kita hendaklah bersabar. Apa yang cacian itu boleh lakukan? Beliau berkata; demikian jugalah orang-orang pada zaman Rasulullah menghina baginda s.a.w, baginda s.a.w selalu bersabda; apa yang saya harus lakukan dengan penghinaan mereka. Allah Ta’ala telah meletakkan nama saya Muhammad(s.a.w). Berkata lagi; demikian juga Allah Ta’ala telah mengutusku dan Allah Ta’ala berfirman mengenaiku YAHMADUKALLAAHU MIN ARSYIHI yakni Allah Ta’ala memuji engkau dari Arasy-Nya, dan ini ada dalam Barahin Ahmadiyah. (Dipetik daripada Hazrat Masih Mau’ud a.s karya Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani halaman 450)
Kemudian Hazrat Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a menulis bahawa Hazrat Masih Mau’ud a.s diserang dengan kata-kata yang kotor bukan sahaja secara berdepan dan tidak merasa cukup dengan membuat rancangan untuk menyerang beliau, malah fatwa membunuh dan perancangan terhadapnya belum dianggap cukup. Fatwa untuk membunuh juga ada. Rancangan untuknya juga ada. Usaha juga dilaksanakan dan dalam akhbar dan surat-surat penuh dengan caci-maki. Dan itu belum lagi cukup, banyak surat-surat layang yang dikirimkan kepada beliau yang tidak ada setem. Mereka menghantar surat melalui pos tanpa setem, jika itu terjadi, maka orang yang ditujukan itu yang harus membayar wang sekiranya hendak mengambil surat tersebut. Dan Hazrat Masih Mau’ud a.s pula yang mengeluarkan belanja untuk menerima surat-surat mereka sedangkan di dalamnya bemula dari awal sehingga akhir, ia penuh dengan caci-maki yang begitu kotor. Beliau hanya membaca sekali imbas dan berdoa untuk orang-orang jahat itu lalu memasukkannya ke dalam beg. Maulvi Muhammad Hussin Batalwi waktu itu sangat memusuhi beliau. Dan dia tidak merasa puas hati dengan itu malah dia mengambil Sa’adullah Ludhianwi, Ja’far Zatli dan beberapa sahabatnya menjadi penolong. Mereka mencuba berbagai cara untuk memberi penghinaan, tetapi orang-orang yang dipilih oleh Tuhan sentiasa diberi ketenangan dengan INNII MUHIINUN MAN ARAADA IHAANATAKA dan melalui kehidupan mereka dengan penuh kesabaran atas tulisan-tulisan yang kotor itu. Satu kali dalam tahun 1898 Maulvi Muhammad Hussin Sahib telah menghantar sebuah risalah yang penuh dengan caci-maki kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s. Dia menulis bahawa ‘saya telah memuatkan di dalam Al-Hakam pada 27 Julai 1898. Hari ini seperti juga 30 tahun dahulu, apabila merenungkan semangat yang dimiliki oleh Hazrat Masih Masu’ud a.s dan kecenderungannya kepada Allah, maka air mata saya akan mengalir dengan tidak disangka-sangka. Dalam syairnya dia menulis, DIL MEIN IK DARD UTHA ANGKHON MEIN ANSU BHAR AE, BEITHE BEITHE KIYA JANIYE HAMEIN KIYA YAD AYA, yakni dengan mengingati peristiwa lampau menyebabkan air mata saya menitis.
Tertulis bahawa 25 Julai 1898, ketika Muhammad Walad Cau Ghatta dari Hamwaghar daerah Sialkot telah menghantar sebuah risalah daripada Maulvi Muhamad Hussin Sahib kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s. Beliau menulis suatu ayat di atas risalah itu dan mengembalikannya kepada pembawa risalah tersebut. Dan jawapan yang beliau tulis itu telah dibacakan kepada hadirin oleh Maulana Abdul Karim Sahib r.a dan semua yang hadir telah mengucapkan Amin. Jawaban Hazrat Masih Mau’ud a.s adalah RABBI IN KAANA HAAZAR RAJULU SHOODIQAN FII QOULIHII FA AKRIMHU WA IN KAANA KAAZIBAN FAKHUZHU. AMIN. Surat yang dihantar kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s, jawapannya diberikan oleh beliau dan menghantarnya kembali iaitu ‘wahai Tuhanku! Jika orang ini benar dalam pengakuannya seperti dalam kitab ini, maka jadikanlah dia terhormat. Dan jika dusta maka hanya Engkaulah yang akan berurusan dengannya. Amin. Beliau tidak menulis lebih daripada itu. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s karya Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani, halaman 462-463)
Hazrat Mirza Bashyir Ahmad Sahib berkata: “Choudry Hakim Ali Sahib memberitahu saya bahawa pernah satu kali Hazrat Sahib memberikan satu ceramah atau khutbah dalam masjid besar, tiba-tiba ada seorang Sikh masuk ke dalam masjid dan berdiri di hadapan lalu mengeluarkan ucapan menghina kepada beliau dan anggota jemaat beliau. Orang itu datang terus sahaja mengeluarkan caci-makinya dan Hazrat Sahib pula hanya berdiam diri sambil mendengar ucapan orang itu. Pada masa itu beberapa orang sudah tidak boleh duduk diam dan jika ada izin daripada Hazrat Sahib, pasti orang itu parah dikerjakan mereka. Tetapi, kerana takut kepada beliau, maka mereka juga turut mendiamkan diri. Apabila orang itu sudah keterlaluan dalam kata-katanya maka beliau berkata: “Silakan dua orang tangkap dia dengan sopan dan bawa keluar, jangan berkata apa-apa kepadanya. Jika orang itu tidak juga pergi maka bawa dia kepada Hakim Ali seorang askar”. (Siratul Mahdi Jilid Awal halaman 257-258, riwayat nombor 281 edisi baru, cetakan Rabwah)
Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib r.a meriwayatkan bahawa Hafiz Rosyen Ali Sahib r.a memberitahu bahawa ketika persediaan untuk pembinaan Minaratul Masih maka orang-orang Qadian datang membuat aduan kepada pegawai kerajaan dengan menyatakan bahawa pembinaan menara itu akan menjadikan rumah kami terdedah. Maka seorang deputy kerajaan datang ke Qadian dan bertemu Hazrat Masih Mau’ud a.s di bilik yang berdekatan dengan Masjid Mubarak. Waktu itu, orang yang membuat aduan itu pun turut hadir bersama. Hazrat Sahib mendengar ucapan daripada deputy itu tadi, kemudian beliau berkata kepada deputy itu; ‘ini Budha Mal duduk di sini, silakan tuan bertanya kepadanya bahawa sejak dari kanak-kanak sehingga sekarang, adakah pernah terjadi bahawa di mana ada peluang untuk berbuat kebaikan lalu saya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk membuat kebaikan? Yakni, apa sahaja peluang untuk berbuat kebaikan, pasti saya akan menyempurnakan tanggungjawab saya. Dan tanyakan juga kepadanya bahawa adakah pernah terjadi di mana mereka berpeluang untuk memberikan kesusahan kepada saya dan mereka telah berhenti atau kurang memberi kesusahan? Yakni setiap kali ada peluang, mereka tidak akan melepaskan peluang untuk memberi kesakitan kepada beliau dan sebagai tindakbalas perbuatan mereka, Hazrat Masih Mau’ud a.s tidak akan melepaskan peluang untuk berbuat kebaikan sekiranya ada kesempatan. Hafiz Sahib menjelaskan bahawa saya melihat kepada Budha Mal waktu itu dan dia hanya tunduk malu dan meletakkan kepalanya di antara dua lututnya, manakala wajahnya kelihatan pucat dan langsung tidak berkata apa-apa. (Siratul Mahdi Jilid Awal, halaman 138-139, riwayat nombor 148, edisi baru, cetakan Rabwah)
Di hadapan suatu kebenaran, apabila sedang saling berhadapan di antara satu dengan yang lain, maka walaupun kebenaran itu sedikit tetapi pasti pihak yang salah tidak dapat berkata apa-apa. Para musuh kita hari ini langsung tidak ada akhlak dalam diri mereka.
Hazrat Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani meriwayatkan bahawa 13 Februari 1903 seorang doktor datang dari Lukhnow dengan menyatakan bahawa dia berasal dari Baghdad dan sudah lama tinggal di Lukhnow. Dia juga menjelaskan bahawa beberapa orang telah memintanya untuk berjumpa dengan Hazrat Masih Mau’ud a.s untuk menanyakan beberapa perkara. Kemudian terjadi soal jawab antaranya dengan Hazrat Masih Mau’ud a.s, kadang-kadang soalannya berbentuk menguji, menghina dan tidak masuk akal. Hazrat Masih Mau’ud a.s tidak peduli dengan semua itu dan hanya menjawab setiap persoalannya. Dalam bidang penulisan, dia bertanya bahawa beliau mendakwa dalam bahasa Arab tidak ada yang lebih fasih selain beliau. Hazrat Masih Mau’ud a.s menjawab; Ya! Saya menyatakan bahawa Allah Ta’ala telah mengajarkan saya bahasa Arab. Orang itu bertanya lagi; maaf kerana kurang adab, tetapi dari lidah tuan huruf Qoof tidak dapat dikeluarkan dengan jelas. Syeikh Sahib mengatakan bahawa saya ada di majlis itu. Caranya bertanya sangat menyakitkan sehingga kami sendiri tidak dapat bertahan. Tetapi disebabkan sifat kelembutan, beliau hanya berdiam diri. Hazrat Sahibzada Maulana Abdul Latif juga tidak dapat menahan diri. Dia juga duduk dalam majlis itu dan terjadi sedikit pertengkaran di antaranya dengan orang itu. Namun Hazrat Masih Mau’ud a.s dapat melarang murid yang sangat mencintainya. Orang itu berkata kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s bahawa mendengar penghinaan dan cacian adalah warisan para nabi-nabi. Hazrat Aqdas menjawab; kami pun juga tidak marah. (Dipetik dari Siratul Mahdi bahagian 1, halaman 138-139, riwayat nombor 148, edisi baru cetakan Rabwah).
Di sini adalah penzahiran kelembutan yakni ‘saya tidak marah dengan apa yang dikatakan. Maulvi Sahib berbuat seperti itu kerana emosinya, dan saya telah melarangnya. Dia menulis lagi; apabila diserang dengan perkataan Qoof, maka Hazrat Masih Mau’ud a.s menjawab bahawa saya bukan berasal dari Lukhnow yang membolehkan lidah saya sama seperti orang Lukhnow. Saya orang Punjabi. Hazrat Musa juga dikritik tentang hal seperti ini WALAA YAKAADU YUBIINU (Az-Zukhruf:53) dan di dalam hadis juga ada dijelaskan berkenaan dengan Mahdi bahawa lidahnya kelat. Sejak Hazrat Sahibzada Abdul Latief Sahib meriwayatkan kejadian ini maka Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata kepada anggota jemaat yang duduk di situ bahawa: mengikut pendapat saya, jika ada tetamu yang datang, walaupun mereka bertindak sehingga sanggup melakukan kezaliman dalam bentuk ucapan maki-makian, mereka hendaklah dibiarkan kerana bukan termasuk dalam pengikut. Apa hak kita untuk meminta mereka beradab sopan seperti yang kita tuntut dari para pengikut? Ini juga dianggap sebagai ihsan iaitu bercakap lemah-lembut terhadap mereka. Rasul Tuhan s.a.w bersabda bahawa ada hak orang yang berkunjung atas kamu. Saya beranggapan bahawa jika sedikit sahaja tetamu mengalami kesulitan, maka ia termasuk dalam maksiat. Sebab itu saya mahu tuan duduk diam kerana kita diperintahkan untuk mempamerkan kelemah-lembutan. Kalimah kita adalah satu. Jangan sampai tidak dapat memahami sesuatu itu sebagai hak mereka. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s, karya Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a halaman 451-453)
Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib r.a berkata bahawa Mir Syafi’ Ahmad Sahib Muhaqqiq Delhi menjelaskan kepada saya melalui surat bahawa apabila kali terakhir Hazrat Masih Mau’ud a.s pergi dan tinggal di Lahore maka saya pada hari-hari tersebut adalah pekerja Khuwajah Kamaluddin Sahib dan mengambil kotak surat Hazrat Sahib untuk diserahkan kepadanya. Di dalamnya ada dua tiga surat yang tidak senonoh, yakni biasanya penuh dengan caci-maki, dan untuk mengambil surat itu harus membawar wang. Saya mengambil surat-surat yang tidak senonoh itu dan menyerahkan kepada Hazrat Sahib dan Hazrat Sahib membayar wang kepada saya untuk surat tersebut. Suatu hari saya menerima surat layang itu di hadapan Khuwajah Sahib, maka Khuwajah Sahib melarang saya dari mengambil surat itu. Saya berkata bahawa setiap hari saya mendapat surat seperti itu dan menyampaikannya kepada Hazrat Sahib, beliau tidak pernah melarang saya. Walaubagaimanapun, Khuwajah Sahib tetap berkeras melarang saya agar jangan pernah lagi mengambil surat seperti itu. Apabila saya menyampaikan surat kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s, saya menyatakan kepada beliau: Huzur! Hari ini Khuwajah Sahib melarang saya dengan keras agar jangan mengambil surat layang. Huzur cuba perintahkan saya sama ada perlukah saya berlari untuk mendapatkan surat itu? Huzur tersenyum dan berkata; surat layang itu tidak ada isi selain caci maki. Dan surat itu adalah surat yang tidak bernama. Jika mereka menulis alamat, maka boleh juga dijelaskan kepada mereka tetapi mereka nampaknya takut jangan sampai ia melanggar undang-undang. Sedangkan kita tidak berhajat untuk membuat sebarang aduan. Bermula dari hari itu, saya tidak lagi mengambil sebarang surat layang. (Dipetik dari Siratul Mahdi Jilid Awal, bahagian 2, riwayat nombor 455, halaman 434, edisi baru cetakan Rabwah)
Hazrat Sahibzada Mirza Basyir Ahmad Sahib menulis bahawa Rasul Bibi Sahibah janda Hafiz Hamid Ali Sahib menjelaskan kepada saya melalui Maulvi Abdurrahman Sahib Jat Maulvi Fazil bahawa kadang-kadang Mirza Nizamuddin menetapkan orang jahat untuk menghina Hazrat Masih Mau’ud a.s, ini adalah bapa saudara beliau yang juga merupakan musuh Islam. Sebab itu beberapa kali orang itu akan mengeluarkan caci maki sepanjang malam di luar rumah Hazrat Masih Mau’ud a.s dengan mengeluarkan kata-kata kotor dengan cara menjerit-jerit. Apabila waktu makan sahur, beliau mengatakan kepada neneknya, berikan dia sedikit makanan, mungkin dia sudah penat mengeluarkan makian sepanjang malam, mungkin lehernya sudah kering. Dia mengatakan bahawa saya berkata kepada Hazrat Sahib kenapa hendak memberi kepada orang yang jahat itu. Beliau menjawab; jika kita berbuat jahat Tuhan akan melihat, dan kita tidak seharusnya memperlihatkan apa-apa. (Siratul Mahdi jilid 2, bahagian 4, riwayat nombor 1130, halaman 20, edisi baru, cetakan Rabwah)
Maulvi Abdul Karim Sahib r.a meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah menyentuh mana-mana musuh dalam majlis-majlis dan jika perlu pun beliau tidak menggunakan kata-kata yang buruk. Ini adalah dalil yang jelas bahawa dalam hati beliau tidak ada api yang boleh menyalakannya. Jika tidak, maka sebagaimana kesusahan yang diberikan oleh kaum dan perbuatan yang diperlihatkan oleh maulvi-maulvi maka jika beliau sama seperti orang-orang dunia yang tenggelam siang dan malam akan menyebut-nyebut mereka dengan cara berpura-pura. Mereka sentiasa risau sekiranya dalam perniagaan mereka mengalami gangguan. Cacian keji yang pernah diberikan oleh orang musyrik Mekah kepada Rasulullah s.a.w tidak ada tandingannya. Tetapi saya menyatakan atas nama Tuhan bahawa semua tulisan yang kotor ini tidak akan memberi gangguan apa-apa. Di dalam tulisan beliau ada menyentuh berkenaan dengan orang yang berbuat keburukan, namun jangan beranggapan bahawa beliau memikirkannya siang dan malam hanya disebabkan beliau menyentuh mereka di dalam kitab-kitabnya. Ini tidak pernah terjadi. Ia ibarat majistret yang telah membuat keputusan atau hukuman tentang suatu perkara, maka selepas itu ia tidak ada lagi hubungan apa-apa. Dia berbuat seperti majistret atau pegawai yang menyelesaikan suatu kewajipan mereka, maka selepas itu tidak ada lagi apa-apa hubungan. Inilah keadaan beliau, apabila merasakan perlu ditulis dalam kitab-kitabnya, maka beliau akan tulis, kemudian tidak lagi menyentuhnya dalam mana-mana majlis. Beliau tidak ada permusuhan peribadi dengan sesiapa, dan dalam tulisan beliau menidakkan yang batil dan membenarkan yang hak adalah kerana Allah, tidak lebih dari itu. Jiwa beliau tidak termasuk di dalamnya. Suatu hari beliau pernah berkata: saya dapat mengawal jiwa saya dan Tuhan telah menjadikan jiwa saya sebagai Islam bahawa jika ada yang duduk di hadapan saya selama setahun dan terus-menerus menghina dan mencaci dengan seburuk-buruk penghinaan dan cacian, maka akhirnya dia sendiri yang malu. Selepas itu dia terpaksa menyatakan bahawa dia tidak boleh menggerakkan kaki saya. (Dipetik dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s oleh Maulana Abdul Karim r.a Sahib Sialkoti halaman 51-52, terbitan Abul Fazal Mahmud Qadian)
Hazrat Miya Basyir Ahmad Sahib r.a menulis bahawa kebanyakan kawan lama jemaat kita kenal dengan Mirza Imamuddin Sahib dan Mirza Nizamuddin Sahib iaitu bapa saudara Hazrat Masih Mau’ud a.s. Kedua-dua orang ini menjadi penentang keras Hazrat Masih Mau’ud a.s disebabkan tidak ada pegangan agama dan pengaruh keduniaan, malah mereka berdua juga musuh Islam yang nyata. Satu kali mereka pernah menarik sebuah tembok untuk menutup jalan di hadapan rumah Hazrat Masih Mau’ud a.s berdekatan Masjid Mubarak. Peristiwa ini sangat masyhur. Disebabkan hal itu, perjalanan ke masjid menjadi terhalang. Ada beberapa anggota jemaat yang terhalang dan merasa kesulitan, mereka seolah-olah terperangkap. Ini menyebabkan mereka mengambil pandangan dari sudut undang-undang dan perbicaraan mengenai hal ini berjalan dalam tempoh yang panjang. Akhirnya dengan khabar daripada Allah Ta’ala, Hazrat Masih Mau’ud a.s telah menang dalam kes ini dan tembok itu diruntuhkan. Wakil dari pihak Hazrat Masih Mau’ud a.s telah bertindak tanpa pengetahuan beliau dengan meminta Mirza Imam Din Sahib dan Nizam Din Sahib membayar segala perbelanjaan dan semua harta mereka disita sedangkan tidak ada apa-apa harta yang dimiliki oleh mereka. Walaupun dengan adanya permusuhan apabila mendapati keputusan memihak kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s akhirnya mereka menulis surat bahawa kenapa menghinakan kami dengan tembok itu walaupun ada hubungan saudara. Hazrat Masih Mau’ud a.s mendapat tahu perkara itu lalu beliau amat marah kepada wakilnya dengan mengatakan; bila masa pula saya menyuruh agar hal ini dibicarakan? Tarik kembali hal ini dan menghantar jawapan menyatakan agar jangan risau. Tidak akan ada permasalahan tembok, semua ini berlaku tanpa pengetahuan saya. (Dipetik dari Sirat Taiyibah Hazrat Mirza Basyir Ahmad r.a Sahib MA, halaman 59-60, cetakan Zia’ul Islam Press Rabwah)
Hazrat Khalifatul Masih Tsani r.a menulis berkenaan riwayat itu bahawa Hazrat Masih Mau’ud a.s memberitahu melalui ilham atau mimpi pada waktu Isyak bahawa beban ini amat berat atas mereka dan disebabkan itu keluarganya berada dalam kesusahan. Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata bahawa saya tidak didatangi mengantuk. Sebab itu beliau dengan segera menghantar seseorang untuk pergi memberitahu bahawa semua perbelanjaan telah dimaafkan, dan tidak ada lagi sebarang halangan dan sebagainya yang akan dibuat. (Petikan daripada Tarikh Ahmadiyat Jilid 2, halaman 81, cetakan Rabwah)
Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib r.a menulis. Saya menyatakan bahawa dalam zaman Hazrat Sahib terutama sekali hari-hari permulaan, orang-orang Qadian banyak menyakiti anggota jemaat. Mirza Imam Din Sahib, Mirza Nizam Din Sahib dan sebagainya banyak memberi kesusahan kepada orang awam Qadian. Mereka mengapi-apikan orang-orang Sikh agar menyusahkan orang-orang Ahmadi khasnya dan orang-orang yang datang berjumpa Hazrat Masih Mau’ud a.s umumnya. Mereka bukan sahaja menyakiti melalui ucapan malah mereka juga turut menyusahkan secara fizikal sehingga ke tahap memukul. Jika ada Ahmadi muhajir yang terlupa lalu membuang air di tanah orang Sikh kerana pada waktu itu belum ada pengurusan tandas yang baik, maka mereka akan memaksa Ahmadi itu untuk memungut kembali najis dengan tangan dan ada juga beberapa kali orang Ahmadi yang dipukul. Jika ada Ahmadi yang mengambil tanah dari sebuah tasik, maka mereka akan merampas bakul dan mengeluarkan buruh itu dari situ. Jika ada Ahmadi yang bercakap di hadapan, maka selain mengeluarkan ucapan-ucapan yang mencaci, mereka juga bersedia untuk mencederakan. Setiap hari ada sahaja aduan yang sampai kepada Hazrat Masih Mau’ud a.s tetapi beliau selalu mengatakan agar bersabar. Beliau sentiasa memberi nasihat bahawa dengarkan saja cacian mereka, mereka mungkin memukul, tetapi bersabarlah. Beberapa Ahmadi yang beremosi datang kepada Hazrat Sahib dan menyatakan bahawa Huzur, cukup dengan memberi izin kepada kami untuk menghadapi mereka, kami akan meluruskan mereka. Huzur mengatakan; jangan, bersabarlah. Seorang muhajir yang baru dari Kabul, Syed Ahmad cuba menzahirkan kesulitannya dan meminta izin untuk membalas, dia seorang pemarah. Hazrat Sahib berkata: Cuba lihat; jika hendak hidup dengan aman dan sabar maka tinggallah di sini, tetapi jika hendak bergaduh dan tidak boleh bersabar, pergilah ke Kabul. Dan disebabkan ajaran itulah beberapa orang Ahmadi terhormat yang tidak dapat bersabar atas perkara-perkara kecil, mereka terpaksa menghadapi kesulitan di tangan orang-orang yang hina. Tetapi, satu kejadian yang berlaku secara kebetulan ketika seorang Ahmadi yang miskin sedang mengambil lumpur dari sebuah tasik untuk rumahnya, maka orang Sikh telah datang serombongan dengan membawa kayu lalu merobohkan rumahnya. Pada mulanya orang Ahmadi itu cuma menghindarkan diri, tetapi apabila kumpulan itu bertindak memukul orang yang tidak bersalah dan menghancurkan rumah-rumah, maka beberapa Ahmadi telah bertindak melawan sehingga pihak lawan ramai yang cedera dan akhirnya penceroboh itu melarikan diri. Itulah kejadian pertama yang menzahirkan kepada orang ghair Ahmadi di Qadian bahawa orang-orang Ahmadi tidak takut kepada mereka tetapi takut kepada imamnya. Kemudian, polis telah membuat penyiasatan dan mendapati bahawa Ahmadi telah dizalimi dalam kejadian itu kerana orang ghair Ahmadi telah membuat kumpulan yang membawa kayu untuk menghancurkan rumah-rumah Ahmadi. Walaupun pihak lawan, tetapi pihak polis terpaksa melaksanakan undang-undang. Apabila orang-orang itu melihat bahawa tidak ada lagi cara lain, maka orang mereka pergi mendapatkan Hazrat Masih Mau’ud a.s dan berkata; kami telah bersalah, tolong maafkan kami. Hazrat Masih Mau’ud a.s telah memaafkan mereka. (Petikan dari Siratul Mahdi bahagian 1, Jilid Awal riwayat nombor 140, halaman 129-131 cetakan Rabwah)
Hazrat Ya’kub Ali Sahib Irfani r.a menulis bahawa dari Mirath, Ahmad Hussin Syoukat telah melancarkan satu akhbar Syakhnae Hind. Orang ini menggelar dirinya sendiri sebagai Mujaddid Al-Sinnatul Masyriqiyah, yakni Mujaddid Bahasa-bahasa Timur. Dalam penentangan terhadap Hazrat Masih Mau’ud a.s, dia telah menerbitkan dalam akhbarnya dengan berbagai bentuk penentangan. Dengan itu ia telah menyentuh hati anggota Jemaat khasnya kepada jemaat di Mirath kerana dari sana keluar tulisan-tulisan yang kotor. Kejadian itu berlaku pada 2 Oktober 1902. Presiden Jemaat Mirath, Tuan Syeikh Abdurrasyid Sahib seorang tuan tanah dan peniaga yang terhormat datang berkunjung lalu berkata kepada Hazrat Aqdas: saya bercadang hendak membawa ke muka pengadilan atas penghinaan yang dibuat oleh Syahkhae Hind. Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata: pengadilan Tuhan cukup bagi kita. Adalah termasuk dalam dosa jika kita membelakangkan rencana Tuhan. Oleh sebab itu, perlu bagi kita untuk bersabar dan tenang. (Petikan dari Sirat Hazrat Masih Mau’ud a.s tulisan Syeikh Ya’kub Ali Sahib Irfani halaman 113-114)
Kemudian, Hazrat Mirza Basyir Ahmad Sahib menulis satu nasihat Hazrat Masih Mau’ud a.s kepada anggota Jemaat. Mufti Muhammad Sadiq Sahib menjelaskan kepada saya bahawa satu kali Philosopher Miyan Alah Din Sahib Arif telah mengeluarkan ucapan yang menyakitkan sehingga menyebabkan Maulvi Abdul Karim Sahib marah lalu menampar Philosopher itu. Philosopher itu menjadi bertambah kencang dan mula mengatakan yang hal-hal tidak patut sehingga beberapa orang memukulnya dengan teruk. Dia bangun dan mula menangis dan meraung di suatu sudut. Suaranya begitu kuat sehingga kedengaran ke telinga Hazrat Masih Mau’ud a.s. Beliau a.s datang ke masjid sebelum Maghrib dan kelihatan wajahnya dalam kemarahan. Di dalam masjid itu beliau berlegar-legar. Pada waktu itu Hazrat Maulvi Abdul Karim Sahib ada di situ. Beliau a.s berkata: memukul orang dengan cara seperti itu satu perbuatan yang tidak disukai, itu satu amalan yang buruk. Maulvi Sahib cuba menjelaskan berkenaan dengan ucapan dan kelakuan philosopher itu. Beliau amat marah dan berkata: Apapun hal ini tidak patut. Apabila ada utusan Tuhan di kalangan kamu, maka kamu tidak sepatutnya bertindak mengikut pendapat sendiri, seharusnya kamu bertanya kepada saya. Dengan ucapan itu, Maulvi Sahib menangis dan meminta maaf kepada Huzur. Kemudian, semua orang yang memukul philosopher itu memohon maaf kepadanya dan cuba menggembirakannya, malah tertulis bahawa dia diberi minum susu dan sebagainya. (Petikan dari Siratul Mahdi bahagian 2, Jilid Awal riwayat nombor 437, halaman 394-395 cetakan Rabwah)
Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Wahai sekalian manusia! Dengarkanlah bahawa khabar ghaib daripada Tuhan yang telah menjadikan langit dan bumi ini, Dia akan menyebarkan Jemaat ini di seluruh negara, dan hujah dan dalil-dalil akan menjadikannya unggul. Hari itu akan datang malah amat dekat bahawa di dunia ini hanya ada satu sahaja mazhab yang akan diingat dengan penuh kehormatan. Tuhan akan memberikan berkat dan kehormatan yang tidak terhingga ke atas mazhab dan jemaat ini, dan setiap orang yang berfikir akan kehancurannya akan mengalami kegagalan. Kejayaan ini akan berlanjutan sehingga hari kiamat. Jika hari ini kamu mentertawakan saya, apa kerugian daripadanya? Ini kerana tidak ada seorang nabi pun yang tidak pernah ditertawakan. Jadi, memang wajar jika Masih Mau’ud pun turut ditertawakan. Allah Ta’ala berfirman YAA HASRATAN ‘ALAL ‘IBAADI MAA YA’TIIHIM MIR RASUULIN ILLAA KAANUU BIHII YASTAHZI’UUN (Yaa Sin:31) Jadi, ini adalah tanda daripada Tuhan bahawa setiap nabi itu akan ditertawakan. Tetapi, orang yang datang dari langit dan disertai oleh malaikat, siapa yang dapat mentertawakannya”. (Ini adalah gambaran orang ghair Ahmadi, Hazrat Isa a.s tidak turun dari langit dan turun dengan meletakkan tangannya di bahu malaikat. Jika ada yang begitu pun, siapa yang dapat mentertawakannya?) “Jadi, dengan dalil inipun orang yang berakal akan dapat memahami bahawa turunnya Masih Mau’ud dari langit adalah satu fikiran yang tidak benar. Ingatlah bahawa tidak ada yang akan turun dari langit. Semua penentang kita yang masih hidup sehingga sekarang, semuanya akan meninggal dan tidak ada yang akan melihat bahawa Isa bin Maryam turun dari langit. Kemudian, keturunan demi keturunan mereka juga akan meninggal dunia, tetapi tidak ada yang akan dapat melihat bahawa anak Maryam turun dari langit. Lalu, Tuhan meletakkan perasaan risau dalam hati mereka bahawa zaman keunggulan salib sudah berlalu dan dunia sudah berubah bentuk, namun Isa anak Maryam tidak turun dari langit sehingga kini. Akhirnya, orang-orang yang berakal mulai bosan dengan akidah itu. Dan sejak hari ini sehingga tiga abad hal ini tidak akan sempurna sehingga orang-orang yang menunggu kedatangan Isa sama ada orang Islam atau Kristian, mereka menjadi putus harapan lalu meninggalkan akidah dusta ini, dan di dunia ini hanya akan ada satu mazhab dan satu pemimpin. Aku datang untuk menyemai benih. Jadi, benih itu telah aku tanam dengan tanganku dan sekarang ia akan membesar dan berkembang, dan tidak ada yang akan dapat menghalangnya”. (Tazkiratus Syahadatain, Rohani Khazain Jilid 20 halaman 66-67)
Sekarang orang yang mengatakan kepada Ahmadi, mengkritik Ahmadi sehingga orang-orang yang lemah terikut-ikut dengan apa yang mereka katakan yakni sampai bila kamu perlu bersabar? Saya juga telah menyentuhnya dalam khutbah yang lepas. Tidak tahu kenapa mereka begitu risau tentang kita? Fikirkanlah diri sendiri dan fikirkanlah apa akibatnya tentang diri sendiri, jangan sampai merosakkan diri sendiri. Hazrat Masih Mau’ud a.s tidak mengatakan bahawa kesulitan dan penentangan ini akan hilang dalam masa terdekat dan Ahmadi di seluruh dunia akan unggul dalam masa tiga puluh tahun atau empat puluh tahun atau 100 tahun, malah apa yang dikatakan ialah mulai hari ini sehingga 300 tahun hal ini belum sempurna. Rujukan tentang perkara ini ada dalam buku Tazkiratus Syahadatain yang ditulis dalam tahun 1903, yakni 107 tahun dahulu. Dan hari ini Jemaat Ahmadiyah menjalani kehidupan dengan sabar dan doa, dan dengan kurnia-Nya Jemaat telah sampai di 198 buah negara. Dan setiap hari Jemaat ini meningkat maju, dan hari ini kita dapat melihat Ahmadiyah berada di mana-mana bahagian sudut dunia. Kemajuan ini telah menyebabkan musuh menjadi tidak tenteram. Penentangan yang semakin bertambah ini, musuh-musuh yang semakin bertambah ini, perancangan untuk menghapuskan Jemaat ini, semuanya adalah kerana mereka melihat bahawa Jemaat semakin hari semakin berkembang. Jadi, benih yang telah ditanam oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s ini, beliau a.s sendiri telah mengatakan bahawa ia akan berkembang dan berbuah. Namun, undang-undang alam menyatakan bahawa tumbuhan yang menghijau pun mempunyai ranting-ranting yang rapuh, dan pemilik kepada pokok itu akan memotong dan membuangnya, dan ia tidak akan mempengaruhi buah atau bunganya. Jadi, pokok yang telah ditanam oleh Hazrat Masih Mau’ud a.s ini, ia akan bertambah subur dengan siraman sabar dan doa-doa, dan isyaAllah ia akan berbunga dan berbuah. Dan dahan yang tidak mengambil faedah dari siraman air itu, ia akan menjadi seperti dahan yang kering dan akan terpotong atau dipotong. Oleh sebab itu, dalam keadaan-keadaan ini di mana penentangan semakin hangat dan bertambah banyak, malah di Afrika yang sudah berkurangan, ia telah kembali muncul, mohonlah pertolongan dengan sabar dan doa-doa agar menjadi pohon yang subur. Mudah-mudahan Allah memberi kita semua taufik untuk itu.
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Saladdin Syed Ali,
Sabah.
Untuk teks penuh, silakan email saya di
No comments:
Post a Comment