Saturday, August 31, 2013
Thursday, July 11, 2013
Rahsia Kebangkitan Ummah - 14
KOMENTAR
Selari dengan peranan Al Quran
sebagai sebuah kitab syariat untuk sepanjang zaman, firman-firman Allah swt
yang berbentuk penjelasan dan perintah yang wajib diamalkan, pasti kekal terpelihara
bagi para umat mendatang hingga hari kiamat. Adalah tepat sekali bahawa dunia
baru yang dinisbahkan sebagai kemenangan Islam buat kali kedua adalah sesuatu
yang tidak dapat dinafikan sesuai dengan janji Allah swt kepada Rasulullah saw, “Dan
Kami tiada mengutusmu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta
alam” (Al Anbiyaa’ : 108) dan
“Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia
memenangkannya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath
: 29). Inilah tandanya zaman kegelapan Islam dan umatnya akan punah
dengan munculnya nilai-nilai murni kerohanian manusia ibarat tumbuhan yang
subur menghijau menjalar perlahan-lahan memenuhi permukaan bumi diiringi
bunga-bunga indah harum semerbak dan buah-buah ranum yang amat manis.
Persoalannya, siapakah yang akan mengembalikan nilai-nilai murni kerohanian
tersebut, sebab Rasulullah saw mahupun para sahabat sudah lama meninggalkan
dunia fana ini? Pembaca yang tidak boleh menerima fakta yang disampaikan dalam
buku ini, tanpa berfikir panjang akan mengatakan bahawa para “ulama” lah yang
bertanggunggjawab kerana mereka adalah “pewaris nabi-nabi”. Namun, tidak boleh
dinafikan bahawa sifat-sifat yang dimiliki majoriti ulama dari semenjak dahulu
hingga sekarang lebih menepati kekecewaan yang pernah dilahirkan oleh
Rasulullah saw sepertimana dalam sabdanya, “Akan ada dalam umatku
orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali kepada ulama mereka,
ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah r.a: dan
Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan
datang, satu zaman pada manusia di mana
tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang
akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya
akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah
akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi). Hakikat sebenar
yang dapat disaksikan ialah hanya segilintir dari umat Islam tergolong dalam
“ulama pewaris nabi-nabi”. Amat medukacitakan golongan ulama minoriti ini
sentiasa dijadikan korban oleh golongan ulama majoriti yang mana secara khusus
mereka mendapatkan gelaran dari Rasulullah saw yakni “...wujud PALING BURUK
di bawah kolong langit...” Golongan ulama majoriti ini terus memainkan
peranan mereka semenjak lebih dari 1,400 tahun hingga ke hari ini.
Sesiapa yang menerima Islam sebagai agamanya, maka
dia akan tergolong dalam firman Allah swt, “Kamu adalah umat yang terbaik
yang dilahirkan untuk manusia” (Ali ‘Imran : 111). Untuk
menjadi anggota dalam umat yang terbaik ini, sudah tentu orang tersebut
memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Allah swt, “Katakanlah, Jika kamu
benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mencintaimu” (Ali
‘Imran : 32). Inilah perintah yang
tidak boleh tidak, wajib dilaksanakan agar Allah swt mencintai umat Islam yakni
umat Islam dikehendaki mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dalam segala
amalan, dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. Jika seseorang telah
jatuh cinta, nyawa sendiri pun sanggup digadaikan demi kebahagiaan orang yang
dicintai, manakala orang yang dicintai, sebagai insan biasa, belum tentu dapat
memberikan kebahagiaan kepada orang yang sanggup berkorban nyawa untuknya.
Tidak ada persamaannya dalam hal mencintai Allah swt dengan mencintai seorang
insan membalas cinta itu dengan Dia, yakni Allah swt akan menjadi sahabat serta
pelindung dan Dia akan memberikan segala kebahagiaan dan kehormatan. Bandingkan
sahaja seseorang yang menjadi sahabat kepada seorang raja yang berkuasa, segala
macam kehormatan akan diberikan oleh sang raja kepadanya. Apakah sang raja
lebih hebat daripada Allah swt? Umat Islam saat ini dipandang hina kerana
mereka gagal mengikuti jejak langkah Rasulullah saw dan Allah swt seolah-olah
belum sanggup memberikan cintaNya kepada umat Islam... perhatikan dan renungkan
dengan sebaik-baiknya surah Ali ‘Imran : 32.
Dengan meninjau keadaan yang sedang melanda umat
Islam hari ini dapat digambarkan betapa proses kemenangan Islam mengharungi
hambatan yang amat hebat dari umat Islam sendiri. Kecenderungan Umat Islam
ialah berperikelakuan bertentangan dengan kehendak Al Quran dan sunnah Rasul
saw. Umat Islam begitu ketara keengganan mereka mengadoptasi segala amalan
Rasulullah saw dalam tata cara kehidupan seharian. Penyimpangan dari landasan
yang disediakan oleh Al Quran dan sunnah Rasul saw merupakan bukti nyata kepada
pelbagai kecamuk yang sentiasa menerjah umat Islam hingga terus hanyut dan
lemas dalam lembah kehinaan. Utusan Allah mengeluh, “Dan Rasul itu akan berkata, ‘Ya
Rabbi, sesungguhnya kaumku telah memperlakukan Al Quran ini sebagai sesuatu
yang telah ditinggalkan” (Al Furqaan : 31). Dipandang tidak bertemadun, ganas dan zalim oleh umat lain adalah satu
ciri yang sinonim dengan tingkah laku umat Islam masa kini. Prejudis di
kalangan umat Islam begitu menebal bukan sahaja terhadap penganut agama lain,
malahan sesama Islam. Pada hal Al Quran memberi nasihat, “Hai
orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik dengan suatu
berita, maka selidikilah agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum tanpa
mengetahui keadaannya, kemudian kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al
Hujuraat : 7). Sikap prejudis ini
menyebabkan umat lain terus berusaha untuk menjauh dari agama Islam dan umat
Islam pula berusaha untuk meninggalkan agama
Islam kerana beranggapan Islam penghalang besar kepada segala apa juga
yang ingin dicapai.
Para ulama memainkan peranan utama dalam membentuk
acuan umat Islam dalam pelbagai ragam yang mengaibkan, hal ini amatlah jelas
kebenarannya ekoran dari sikap mereka sepertimana tersebut dalam sabda
Rasulullah saw, “Akan
ada dalam umatku orang-orang yang kurang percaya diri, lalu manusia kembali
kepada ulama mereka, ternyata mereka itu kera-kera dan babi-babi”( HR Al Hakim
dalam Al Mustadrak dari Hazrat Abi Ummah
r.a: dan Kanzul-Umal, Juz XIV/38727). “Akan
datang satu zaman pada manusia, di mana
tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang
akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. ULAMAnya
akan menjadi wujud PALING BURUK di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah
akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga” (Baihaqi).
Setakat ini tidak ada sesiapa yang dapat membendung
kejahilan yang terus berleluasa, sehingga menyebabkan suatu hukum telah
dijelaskan dalam Al Quran digantikan dengan hukum baru yang kononnya juga
bersumberkan Al Quran. Contohnya, perhatikan sahaja dilema orang yang hatinya
sudah tidak melekat pada agama Islam dipaksa dengan memperkenalkan hukuman
bunuh jika meninggalkan agama Islam, dalam erti kata lain yang lebih
menjijikkan ialah istilah “murtad”. Allah swt Yang Maha Penyayang, berfirman
bahawa hamba-hamba ciptaanNya bebas memilih samada mahu beragama atau
sebaliknya, “Tiada
paksaan dalam agama, telah nyata perbezaan antara kebenaran dan kepalsuan” (Al
Baqarah : 257), “Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir,
kemudian beriman (pula) kemudian kafir lagi, kemudian bertambah tambah
kekafirannya, Allah tidak akan mengampuni mereka dan tidak menunjuki mereka
kepada jalan yang lurus” (An Nisaa’ : 138), “Dan sekiranya Tuhan engkau
memaksakan kehendakNya, nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak
beriman. Apakah engkau akan memaksa manusia hingga menjadi orang beriman? Dan
tidak seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah. Dan Dia menyebabkan
siksaanNya kepada orang yang tidak mahu mempergunakan akal” (Yunus : 100-101).
Beriman atau tidak berimannya seseorang itu bukanlah urusan sesiapa tetapi ia
adalah hak mutlak seseorang yang diberikan oleh Khaliknya. Keadaan lebih parah
lagi apabila utusan Tuhan
atau wali-wali suci Allah turut menjadi habuan oleh mereka yang dianggap orang
bijak atau lebih tepat lagi sebagai ulama oleh masyarakat. Mereka yang memiliki
kecintaan hakiki kepada Allah swt dan Rasul saw tidak akan pernah tenteram
hidupnya jika tidak meluruskan sesuatu yang menyimpang dari ajaran Al Quran.
Ekoran dari itu timbullah percanggahan pendapat di antara golongan minoriti dan
golongan majoriti, di sinilah letaknya tempat yang tepat sabda suci Rasulullah saw “Sesungguhnya
Islam itu mula-mula asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana
permulaannya maka dari itu berbahagialah bagi orang-orang yang asing” (Muslim,
Ibnu Majah, An-Nasa’i dan Kanzul Umal,JuzI/1192). Ajaran sebenar yang sudah
lama tidak diamalkan dianggap salah kerana tidak bersesuaian dengan amalan
semasa, yang menjurus kepada amalan bida’ah, malah itu pula yang dianggap
sebagai ajaran sebenar. Lantaran itu pihak
majoriti akan mengisytiharkan perang dengan menggunakan senjata paling ampuh
iaitu fitnah-memfitnah, kafir-mengkafir dan akhirnya menyebabkan kejadian
tragik iaitu bunuh-membunuh. Fenomena ini sudah menjadi lumrah dalam kehidupan
umat Islam semenjak kewafatan Rasulullah saw hingga ke hari ini.
Para bijak pandai termasuk
ulama memiliki minda yang sudah tercemar oleh gejala ketidakjujuran dan
kepentingan peribadi yang mendorong mereka melupakan ketaqwaan hakiki terhadap
Allah swt. Lihatlah apa yang pernah menimpa wali-wali suci Allah swt termasuk
empat Imam Mazhab. Firman Allah swt dan sunnah Rasul saw yang tidak selari
dengan kehendak lingkungan dalam mencapai kepentingan peribadi disembunyikan
ataupun diubahsuai menurut kehendak matlamat yang ingin dicapai. Musuh-musuh
Islam khasnya yang bergelar “Dajjal @ Ya’ juj Ma’ juj” memanfaatkan kesempatan
dari kepincangan yang sudah lama melumpuhkan nadi-nadi Islam. Umat Islam tidak
mengenal Dajjal meskipun pada hakikatnya mereka seolah-olah tidur sebantal
dengan Dajjal lantaran kejahilan yang membelenggu umat Islam. Keyakinan umat
Islam tentang Dajjal @ Ya’juj Ma’juj lebih menjurus kepada hikayat dan dongeng
yang tidak akan pernah menjadi kenyataan, bertentangan dengan ajaran Al Quran
dan sunnah Rasul saw yang menuntut kaedah logik dan realistik. Yang salah dalam
hal ini adalah umat Islam sendiri kerana membiarkan diri mereka dikemudi oleh
ulama yang berfikiran sempit ekoran penyakit malas mentelaah, merenung dan
berfikir. Apabila ulama mengatakan itu bukan ajaran Islam, kafir, sesat dan
sebagainya maka majoriti umat Islam pun serta-merta mengumandangkan irama yang
sama meskipun sumbang. Alasannya mudah sahaja, “Dia seorang ulama,
bertahun-tahun menuntut ilmu agama di unversiti Al Azhar, tidak mungkin dia
bercakap tidak benar.” Sememangnya, tidak mudah untuk menerima hakikat ini,
namun lembaran sejarah merakamkan betapa sikap para ulama berfikiran sempit
serta masyarakat yang buta hati telah menyebabkan layanan zalim yang amat berat
terpaksa ditanggung oleh Hazrat Imam Bukhari, Hazrat Imam Syafie, Hazrat Imam
Hanbali, Hazrat Imam Hanafi, Hazrat Imam Malik dan lain-lain para wali suci
Allah swt. Kezaliman seperti ini akan terus berulang-ulang menghiasi sejarah
Islam tanpa diketahui di mana titik penghujungnya.
Segala yang terpapar di atas
juga merupakan tanda kebenaran Rasulullah saw sebagai utusan daripada Allah
swt. Lebih 1,400 tahun yang silam Rasulullah saw telah diberi kemampuan untuk
melihat keadaan umat Islam pada hari ini dan seterusnya menceritakannya kepada
para sahabat. Dengan kehendak Allah swt cerita-cerita tersebut kekal ke hari
ini sebagai sumber ilmu agar umat Islam memanfaatkannya semata-mata demi
kesejahteraan umat dari zaman ke zaman tetapi umat Islam gagal mengambil faedah
daripadanya. Pada masa yang sama Rasulullah saw juga mengemukakan formula bagi
mengatasi kemelut umat Islam hari ini. Perpecahan umat Islam dikhabarkan,
demikian juga cara penyatuan ummah diberitakan. Langkah utama berpegang teguh
kepada Al Quran dan sunnah Rasul saw kerana kedua-duanya menggariskan perintah
dan panduan walaupun menurut hati yang was-was sukar untuk dilaksanakan. Janji
Allah swt dan RasulNya berhubung dengan kebangkitan dan kegemilangan Islam dan
umatnya buat kedua kalinya pasti akan tiba masanya. Ianya bukan sekelip mata,
sebaliknya wajib melalui proses sesuai dengan ketetapan sunnatullah yakni
perjuangan dalam bentuk jihad Akbar, “melawan hawa nafsu” yang tentunya memakan
waktu yang panjang. Dalam janji tersebut
bukan peranan ulama yang diwar-warkan tetapi atas bimbingan Allah swt seorang
utusan daripada umat Rasulullah saw yang bergelar Imam Mahdi dan Nabi Isa as
(Isa Al Masih) diberikan kemampuan luar biasa menguasai Al Quran dan
mengamalkan sunnah Rasul saw. Dengan kemampuan luar biasa inilah umat manusia
dipanggil kepada Allah swt Yang Maha Pencipta. Pada waktu itu Imam Mahdi atau
Isa Al Masih dan pengikutnya akan berjuang dengan dalil Al Quran, ilmu,
mengorbankan masa, harta dan tenaga serta mempamerkan keindahan akhlak suci Rasulullah
saw kepada dunia.
Ahli sunnah wal jamaah sepakat
bahawa kedatangan Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah sesuatu yang pasti. Namun
sebagaimana umat Islam keliru dalam memahami “dajjal”, demikian juga halnya
dalam mengenali Imam Mahdi dan Isa Al Masih. Umat Islam disodorkan dengan
kepercayaan yang salah bahawa Imam Mahdi dan Isa Al Masih adalah dua peribadi
yang berbeza tetapi hadir pada waktu yang sama dan saling bantu membantu dalam
perjuangan memenangkan agama Islam atas agama lain. Menurut hukum logiknya dan
sealiran dengan sabda suci Rasulullah saw pemimpin dalam ummah hanya dibenarkan
satu penyandangnya. Kekeliruan tersebut jika dianalisa hanya berpunca dari
sifat kedegilan dan keengganan para ulama untuk menerima fakta sebenar. Sabda
Rasulullah saw begitu jelas lagi nyata bahawa orang yang digelar Imam Mahdi
adalah juga diberi gelaran sebagai Isa Al Masih. Tidak ada sesiapa yang tahu alasannya kenapa Imam Mahdi dan Isa
Al Masih mesti orang yang berbeza hingga sanggup mengenepikan Al Quran dan
sabda suci Rasulullah saw, kecuali para ulama berkenaan. Terdapat segelintir
ulama dengan berdasarkan kepada Al Quran berpendapat bahawa nabi Isa as dari
bani Israil sudah wafat, tetapi disebabkan bilangan mereka hanya sedikit maka
pendapat mereka tidaklah menjadi ikutan. Jika Al Quran menjelaskan Isa Al Masih
dari bani Israil sudah wafat, maka ada logiknya bahawa Isa Al Masih yang
dijanjikan kedatangannya di akhir zaman sudah sewajarnya dari umat Islam.
Kenapa perkara ini sukar diterima oleh umat Islam?
Dapat digambarkan dengan jelas
bahawa pendapat para ulama yang menjadi ikutan ramai bakal mengundang
penentangan hebat dari umat Islam terhadap Imam Mahdi atau Isa Al Masih apabila
tiba masanya diutus. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam surah Az Zukhruf: 58,
“Dan ketika Ibnu Maryam dijadikan misal (matsalan) lihatlah kaum engkau
bersorak menentang (yashiddun) kerananya.”
Makna kepada “... kaum engkau...” ialah umat Rasulullah saw
dan makna “...yashiddun...” jika dirujuk kamus bahasa Arab ialah tindakan
memprotes. Selain beranggapan nabi Isa as dari bani Israil yang masih hidup
di langit dan akan turun ke bumi apabila tiba masanya, umat Islam juga akan
terus menerus berada dalam kekeliruan apabila disuap dengan fahaman bahawa
tidak akan ada lagi nabi dan rasul diutus sesudah Rasulullah saw. Jika ini
berlaku maka penentangan hebat terhadap
Imam Mahdi atau Isa Al Masih akhir zaman tidak akan dapat dielakkan dan ini
menyebabkan kelancaran kadar had laju pencapaian misi kemenangan Islam di atas
agama-agama lain akan terhambat dengan teruknya. Oleh hal yang demikian boleh
disimpulkan bahawa akan berlaku fitnah-memfinah, kafir-mengkafir dan korban
nyawa ke atas kalangan pengikut Imam Mahdi atau Isa Al Masih sepertimana yang
berlaku ke atas pengikut Rasulullah saw. Kesimpulan ini adalah tepat apabila
diambil kira sabda Rasulullah saw, “Pasti akan datang di atas umatku sebagaimana yang
telah terjadi pada umat Israil, seperti sepasang sepatu, hingga kalau umat bani
Israil berzina dengan ibunya secara terang-terangan, maka umatku juga akan
berbuat demikian. Ketahuilah bahawa umat Israil telah berpecah-belah hingga 72
golongan (firkah) dan umatku akan berpecah belah hingga 73 golongan (firkah).
Kesemuanya akan menjadi bahan api neraka kecuali satu golongan. Para sahabat
bertanya, ‘golongan yang manakah itu wahai Rasul Allah?’, Rasulullah saw
bersabda, ‘golongan itu ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku
amalkan’” (Tirmidzi, Kitabul Imam dan Jamik Saghir Mesir). Dalam satu
jemaah (firkah) tersebut terdapat kehadiran Rasulullah saw dan para sahabat
yang bermaksud para anggota jemaah ini mengamalkan apa yang pernah diamalkan
oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Demikian juga segala cubaan dan kezaliman
yang pernah dilalui oleh Rasulullah saw dan para sababat akan diharungi oleh
para anggota jemaah yang dimaksudkan.
...73 firkah...golongan itu
ialah yang mengamalkan apa yang aku dan sahabatku amalkan.... hadis ini menggambarkan
bahawa dalam jemaah Imam Mahdi akan ada orang seperti Hazrat Abu Bakar yang
sanggup mengorbankan nyawa dan seluruh hartanya demi kepentingan agama Islam.
Demikian juga akan ada orang seperti ini, sanggup disiksa demi cintanya kepada
Rasulullah saw dan Islam.
Tanda kedatangan Imam Mahdi
atau Isa Al Masih begitu banyak sehingga boleh menimbulkan pelbagai persoalan
tetapi atas kehendak Allah swt ada satu tanda yang amat unik dan sesiapa pun
tidak mampu mengingkarinya jika tanda tersebut berlaku. Rasulullah saw
bersabda, ”Sesungguhnya bagi Mahdi kami ada dua tanda yang belum
pernah terjadi semenjak langit dan bumi diciptakan. Akan terjadi gerhana bulan
pada malam pertama, malam-malam gerhananya pada bulan Ramadhan dan akan terjadi
gerhana matahari pada hari pertengahan, hari-hari gerhananya pada bulan
Ramadhan itu juga.” (Darul Qutni, jilid II, halaman 65). Tidak
mustahil akan ada orang mempertikaikan hadis ini kerana sumbernya bukan dari
sahih sitah. Namun itu bukan isu yang mesti dipertikaikan, selagi belum berlaku
tanda tersebut biar berapa ramai orang yang mengaku Imam Mahdi, itu adalah
pengakuan palsu. Sebaliknya jika ada yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan
disertai dengan tanda unik ini, maka hadis tersebut adalah benar dan pengakuan
orang tersebut juga benar. Hadis ini sudah termaktub semenjak lebih 1,400 tahun
dan ianya mengaitkan satu fenomena alam diluar kemampuan manusia untuk
mengaturnya. Hadis yang dianggap palsu atau lemah akan menjadi sahih apabila
terbukti kebenarannya.
Imam
Mahdi atau Isa Al Masih adalah seorang utusan yang memikul tanggungjawab
mengembalikan kegemilangan Islam. Abad kedatangannya dapat diketahui apabila
dua sabda Rasulullah saw digabungkan bersama dengan firman Allah (As Sajdah
: 6). Rasulullah saw bersabda, “Akan terjadi nubuat sampai waktu yang disukai Allah
kemudian akan terjadi khilafat seperti dalam nubuat sampai waktu yang
dikehendaki Allah kemudian akan terjadi kerajaan yang zalim sampai waktu yang
disukai Allah kemudian akan terjadi khilafat di atas nubuat” – (Musnad Ahmad
bin Hanbal, Misykat),
“Abad
yang terbaik adalah abadku, kemudian akan hidup orang-orang di abad yang kedua,
kemudian lagi akan hidup orang-orang di abad ketiga, maka setelah itu kebenaran
akan hilang sirna dan akan meluaslah kekejaman-kekejaman, fenomena-fenomena dan
ketidak seragaman” – (Bukhari, jilid 2, halaman 186, cetakan Mesir).,
“Dia akan
mengatur peraturanNya dari langit sampai ke bumi, kemudian peraturan itu akan
naik kepada Dia dalam satu hari, yang hitungan lamanya seribu tahun menurut apa
yang kamu perhitungkan” – (As Sajdah : 6).
Berdasarkan kepada sabda
Rasulullah saw di atas, umat Islam melalui zaman pasang surut yang bertahap dan
di peringkat terakhir ialah akan terbentuk sistem khilafat. Jika diambil
sejarah umat Islam sistem khilafat yang diredhai Allah swt hanya akan terbentuk
setelah kewafatan seorang utusan yakni Rasulullah saw. Oleh itu adalah benar
jika Imam Mahdi seorang utusan Tuhan dan juga seorang yang berpangkat nabi dan
rasul lantaran gelaran yang disandang sebagai Nabi Isa akhir zaman, maka
penerus misinya adalah orang yang bergelar khalifah yang akan membentuk dan
memelihara sistem khilafat di mana umat Islam bernaung. Khalifatullah akan
terus mendapat bimbingan daripada Allah swt dalam memimpin ummah, inilah jalan
yang lurus menuju kebangkitan Islam kedua kalinya. Sememangnya tidak dinafikan
para ulama Islam sepakat bahawa di atas kehendak Allah swt pernah wujud sistem
khilafat yang berkesenambungan dalam empat era. Sehingga kini ianya tetap
menjadi model bagi umat Islam dalam usaha mereka untuk memenuhi hasrat bagi
menegakkan sistem khilafat untuk umat Islam masa kini. Usaha demi usaha
dilancarkan, namun kegagalan juga yang dihasilkan, sistem khilafat terus
menjadi impian yang tidak diketahui bila saatnya akan menjadi nyata.
Allah swt
berfirman, “Allah telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang
beriman dan beramal saleh, Dia pasti akan menjadikan mereka itu
khalifah-khalifah di muka bumi ini, sebagaimana Dia telah menjadikan mereka itu
khalifah dari antara orang-orang yang sebelum mereka...” (An Nuur : 56).
Seiring dengan sunnahtullah, menjadikan umat manusia ”beriman” adalah tugas
Allah swt melalui perantaraan utusanNya dan setelah benih iman yang ditanam bercambah dengan subur, tingkah laku
”beramal saleh” akan terhasil sebagai buah dari iman. ”Beramal saleh” ini
akan menyebar luas tanpa henti dengan
pupukan dan siraman rohani dari seorang khalifatullah. Ekoran dari itu, tidak
ada cara berkesan jika Islam dan umatnya hendak diletakkan di atas agama-agama lain kecuali mengamalkan perintah
Al Quran dan sunnah Rasul. Kembali kepada Al Quran dan Sunnah Rasul bermakna
akan terhapuslah segala sifat buruk umat Islam, kekeliruan dan kesalahfahaman
dalam memahami serta mengamalkan perintah Al Quran dan Rasul. Natijahnya ”Iman
dan Amal Saleh” akan lahir dalam dada dan amal perbuatan umat Islam, CINTA
Allah swt akan mencucuri umat Islam, segala syarat bagi tegaknya sistem
khilafat dan negara Islam yang sudah lama diidamkan akan terpenuhi. Kesimpulan yang boleh diambil
ialah dari isyarat yang disajikan oleh Al Quran dan sabda suci Rasulullah saw
dan didukung pula oleh Sejarah Islam ternyata tidak akan ada sesiapapun yang
diberi kemampuan untuk membentuk sistem khilafat kecuali orang yang meneruskan
misi seorang nabi sebaik sahaja kewafatannya. Inilah yang berlaku ke atas
Hazrat Abu Bakar ra yang mengambil alih tampuk pimpinan umat Islam dengan
menaiki takhta khilafat di atas persetujuan sebulat suara umat Islam sebaik
sahaja Rasulullah saw wafat dan diteruskan oleh Hazrat Umar ra, Hazrat Othman
ra dan Hazrat Ali ra. Jika umat Islam mengimpikan pimpinan seorang khalifah dan
sebuah negara aman makmur di bawah naungan syariat Islam maka hakikat
sebenarnya hendaklah diterima dengan hati yang lapang bahawa tidak ada jalan
pintas kecuali melalui berkah kedatangan seorang nabi. Oleh itu persediaan
sewajarnya, khasnya dari segi kemantapan spiritual memenuhi perintah Al Quran
dan Rasulullah saw wajib ada dalam diri setiap muslim bagi menyambut kedatangan
orang yang bergelar Imam Mahdi atau Nabi Isa dari kalangan umat Islam itu
sendiri. Mengenang kembali kecenderungan umat Islam yang lebih suka melakukan
keingkaran terhadap perintah Tuhan dan Rasul mereka, ngeri untuk dibayangkan
betapa hebatnya tentangan bakal dihadapi oleh Imam Mahdi atau Nabi Isa as.
Gejala ini tidak dapat dielakkan kerana orang hebat seperti Rasulullah saw,
seorang guru dunia juga tidak terlepas, apa lagi Imam Mahdi atau Nabi Isa as
yang hanya merupakan seorang anak murid Baginda Rasulullah saw. Kebangkitan
Islam untuk kedua kalinya samada cepat atau perlahan bergantung sepenuhnya
kepada persepsi umat Islam berhubung kewafatan Nabi Isa as bani Israil. Imam
Mahdi dan sistem khilafat tertumpu kepada kedatangan Isa Al Masih yang
dijanjikan di akhir zaman dari umat Rasulullah saw. Umat Islam yang menanti
kedatangan Isa Al Masih bani Israil akan memusuhi dan berusaha menghalang
segala rencana bagi memajukan agama Islam dan umatnya yang dilaksanakan oleh
Isa Al Masih dari umat Rasulullah saw, ini adalah satu kepastian. Mereka yang
menentang bermakna menentang Allah dan RasulNya, pasti kecundang serta berada
dalam kerugian kerana Allah swt berfirman, “Dialah yang
mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar supaya Dia
memenangkanNya atas sekalian agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi” (Al Fath
: 29) dan ”Allah
telah menetapkan, ’Aku dan rasulKu pasti akan menang,’ sesungguhnya Allah itu
Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (Al Mujadilah : 22).
Negara
Islam akan wujud apabila hadir seorang khalifatullah di kalangan umat Islam.
Khalifatullah akan menaiki takhta apabila perginya seorang utusan Allah swt setelah
menyempurnakan tugasnya memanggil umat manusia kembali sujud kepada Allah swt.
…SEGALA PUJI BAGI ALLAH RABB
SEKALIAN ALAM…
Semoga Para
Pembaca Memihak Kepada Allah swt Dan RasulNya
SILA EMAIL
SEGALA KOMEN DAN PENDAPAT
Email :
rahsia.ummah@gmail.com
Rahsia Kebangkitan Ummah - 13
NEGARA ISLAM
Definisi
Negara Islam
Kebanyakan ulama dalam
membincangkan teori pembentukan negara Islam ini bersumberkan Hadith dan sirah
Rasulullah saw serta para Khulafa Rasyidin. Al Qur’an tidak menyebut secara
jelas tentang pembentukan negara Islam yang dimimpikan oleh umat Islam hari
ini. Namun demikian para ulama berusaha untuk memahami ayat-ayat yang ada
kaitan dengan persoalan ini seperti kekuasaan Allah, undang-undang, nubuwah,
ketaatan, khalifah, umat dan sebagainya untuk dijadikan asas teori kepada
pembentukan negara Islam yang mereka maksudkan. Pada hakikatnya takrif dan
ciri-ciri negara Islam merupakan perkara yang tidak disepakati oleh para ulama
dan tidak ada nas yang qat’i dalam perkara ini. Mereka tidak sependapat tentang
ciri-ciri dalam menentukan identiti sebenar negara Islam. Oleh yang demikian
persoalan ini tertakluk dalam perkara ijtihad. Justru itu, ruang amat terbuka
luas untuk memilih serta mengadaptasi pendapat yang lebih sesuai dengan
keperluan dan kepentingan umat sesuai dengan zaman.
Dalam membahas konsep negara
Islam, Dr. Abd. Halim El Muhammady dari Fakulti Undang-Undang Universiti
Kebangsaan Malaysia, memberi kesimpulan bahawa Malaysia adalah sebuah negara
Islam berdasarkan kepada majoriti penduduknya beragama Islam, keamanan yang
dinikmati, perlaksanaan sebahagian besarnya undang-undang Islam dan kepimpinan
negara dikuasai oleh orang Melayu beragama Islam. Ini adalah pendapat seorang
cendekiawan muslim dalam negara Malaysia yang kemungkinannya juga tidak
dipersetujui oleh orang lain. Pandangan Abu Yusuf pula negara Islam ialah
negara yang melaksanakan hukum Islam meskipun dalam negara berkenaan terdapat
orang bukan Islam. Sebaliknya sesebuah Negara yang tidak melaksanakan
undang-undang Islam bukanlah sebuah negara Islam walaupun rakyat dalam Negara
tersebut adalah umat Islam. Sayyid Qutb
dalam Fi Zilal Al Qur’an (Dibawah Naungan Al Qur’an) ketika membahas persoalan
ini berpendapat bahawa negara Islam adalah negara yang melaksanakan
undang-undang Islam dan berhukum pada syariat Islam sama ada semua rakyatnya
muslim atau muslim dengan ahli zimmah. Manakala al-Rafii dalam kitab Fath
al-Aziz mengatakan bahawa tidak disyaratkan negara Islam itu majoriti rakyatnya
harus beragama Islam tetapi memadai kekuasaan dipegang oleh orang Islam.
Menurut Abu Hanifah pula negara Islam berasaskan kepada majoriti penduduknya
beragama Islam, pemimpin tertinggi beragama Islam dan terdapat rasa keamanan
yang dinikmati oleh rakyat. Kenyataan ini disokong oleh ulama semasa seperti
Yusuf al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhayli dan Muhammad Abu Zahrah. Ini bermakna
garis penentu ciri-ciri negara Islam bukanlah bergantung kepada pelaksanaan
hukum hudud-qisas semata-mata. Selanjutnya Abu Hanifah membezakan di antara
negara Islam dan negara musuh berdasarkan rasa keamanan yang dinikmati
rakyatnya. Apabila umat Islam merasa berada dalam keadaan aman dan dapat menjalankan
aktiviti-aktiviti keagamaan dengan bebas, maka Negara tersebut termasuk dalam
kategori negara Islam. Sebaliknya, jika tidak ada rasa aman untuk umat Islam,
maka Negara tersebut masuk kategori dar al-Harb. Berdasarkan kepada pandangan
Abu Hanifah ini, para fuqaha membuat kesimpulan bahawa definisi negara Islam
dan bukan Islam itu boleh dipandang dari dua sudut. Pertama, negara Islam
hendaklah diasaskan di atas dasar pelaksanaan sepenuhnya shariat Islam. Kedua,
rakyat muslim dalam sesebuah negara mestilah merupakan komposisi majoriti
dengan keamanan dapat dikecapi dalam semua aktiviti kehidupan dan pengamalan
ibadah yang dituntut. Pandangan yang kedua ini mengambil kira perlaksanaan
shariat Islam dalam keadaan tidak sepenuhnya tetapi perlaksanaannya ditentukan
oleh pihak yang memegang tampuk pemerintahan pada kadar yang dirasakan perlu,
sesuai atau selari dengan tuntutan keadaan pada ketika itu. Dalam erti kata
lain, cara mengolah dalam menegakkan sebuah Negara Islam adalah bergantung
kepada keperluan dan kebijaksanaan pemerintah bersama rakyat, asalkan
prinsip-prinsip asas dapat diterapkan dalam sistem pemerintahan sebagaimana
seharusnya sebuah negara yang adil dan makmur. Adakah Malaysia sebuah negara
Islam?
Negara
Madinah – Model Negara Islam Dalam Sejarah Silam
Keghairahan untuk mendirikan
sebuah Negara Islam di kalangan segelintir umat Islam pada hari ini sudah
sampai ke kemuncaknya. Mereka mempunyai tanggapan bahawa Negara Madinah
merupakan sumber yang seratus peratus menepati keperluan dalam mendukung
kehendak yang meluap-luap untuk mendirikan sebuah Negara Islam. Benarkah
Madinah sebuah Negara Islam? Jika ditinjau dari sudut pandangan yang cukup
sederhana seperti yang diketengahkan oleh Abu Hanifa, sememangnya Madinah di
bawah pimpinan Rasulullah saw dan dilanjutkan oleh Khulafa Rashidin adalah
sebuah Negara Islam. Namun untuk mengaplikasi corak pemerintahan Negara Madinah
ke atas sebuah Negara dan masyarakat yang jauh lebih maju seperti hari ini
tidak mungkin mencapai kejayaan serta merta. Rasulullah saw yang memulakan
pemerintahan di Madinah dengan nilai-nilai Islamik adalah melalui satu proses
evolusi di mana masyarakat yang menjadi pelengkap kepada Negara Madinah pada
masa itu telah melalui proses tarbiyah secukupnya secara bertahap yang dilaksanakan
sendiri oleh Rasulullah saw. Hukum syariat Al Qur’an diturunkan secara
berperingkat dan demikian juga dengan tarbiyah yang dilaksanakan oleh
Rasulullah saw terhadap para sahabat adalah secara bertahap sesuai dengan
turunnya Al Qur’an secara berperingkat. Akhirnya apabila Rasulullah saw
memerintahkan lencong ke kiri, mereka akan ke kiri, lencong ke kanan mereka
akan ke kanan tanpa soal. Mereka mencintai Rasulullah saw dan Allah swt serta
agama Islam melebihi diri mereka sendiri, rata-rata mereka sanggup berkorban
apa sahaja demi agama Islam. Justru itu timbullah rasa ketaatan yang luar biasa
terhadap kepimpinan sehingga pelaksanaan syariat Islam di Madinah tidak
menghadapi tentangan dari Umat Islam. Berbeza dengan situasi hari ini, mereka
yang berwawasan dan beranggapan sebagai pejuang agama Islam begitu ketara
keghairahannya untuk mengimplementasi syariat Islam dengan cara mendadak tanpa
mempedulikan majoriti umat yang hanya Islam pada nama dan kekafirannya lebih
menyerlah menutupi ketaqwaan terhadap Allah swt.
Konsep Negara Madinah
menggambarkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berjaya sesuai dengan zamannya
diterajui seorang pemimpin agung dalam serba serbinya. Seorang pemimpin
berstatus nabiyullah yang dibimbing serta dibantu secara langsung oleh Allah
swt. Negara Madinah pada masa itu amat spesifik serta mempunyai karakteristik
yang istimewa berbanding dengan zaman yang serba maju pada hari ini. Negara
Madinah yang hingga saat ini masih menjadi rujukan paling sahih bagi perjuangan
politik umat Islam, ternyata masih belum cukup memenuhi kriteria bagi sebuah
negara moden. Hari ini terdapat kepelbagaian elemen-elemen yang amat kompleks
menyelubungi sesebuah Negara. Contohnya, sesebuah Negara hari ini memerlukan
sistem ketenteraan meliputi udara, darat dan laut yang professional, sistem
informasi dan komunikasi yang serba canggih, sistem pengurusan sampah, sungai,
bangunan yang berkesan dan sebagainya. Piagam Negara Madinah yang dirintis oleh
Rasulullah saw tidak mampu menyediakan instrumen lengkap bagi mengendalikan
sebuah negara Islam di zaman yang bergerak pantas dalam segala bidang pemodenan
dan tambahan pula dihuni oleh masyarakat yang serba serbinya jahiliyah.
Ringkasnya, seorang ulama dan pimikir Islam tersohor di zaman ini, Jamal Albana
dalam bukunya berjodol Runtuhnya Negara Madinah, Islam Kemasyrakatan Versus
Islam Kenegaraan menjelaskan bahawa pada dasarnya negara Madinah hanyalah
sebuah model yang berunsurkan pemerintahan Islam.
Menyentuh kemampuan Rasulullah
saw mentadbir sesebuah negara sepertimana Madinah yang cukup sederhana tidaklah
bermakna jika ada kesempatan Rasulullah saw akan gagal mentadbir sebuah negara
serba moden seperti dewasa ini. Wajib diyakini amalan Rasulullah saw
mendahulukan Al Qur’an yang penuh hikmah, lengkap dengan panduan yang sempurna
disertai dengan keredhaan daripada Allah swt, beliau saw pasti mampu
menyelesaikan apa jua kemelut permasalahan. Personaliti dan kapasiti Rasulullah
saw dan para sahabat adalah kunci kejayaan kepada aspirasi menegakkan sebuah
negara Islam. Namun personaliti dan kapasiti serupa tidak pernah muncul dalam
umat Islam sesudah Rasulullah dan para Khulafa Rasyidin. Kemampuan umat Islam dalam menerajui
pemerintahan cukup sekadar mencerminkan kegopohan, tergesa-gesa dan tidak
berhemah. Konsekuensinya, hingga saat ini negara Islam yang diimpikan hanya
menzahirkan mimpi ngeri. Berkait rapat dengan situasi ini, amat menyedihkan,
sistem pemerintahan negara Madinah yang telah menempah kejayaan itu mula pudar
setelah kewafatan Rasulullah saw. Khulafa Rasyidin berhempas pulas
mempertahankan kedaulatan Negara yang diteguhkan oleh tangan Rasulullah saw
sendiri agar tidak tumbang. Malangnya titik hitam mula memperlihatkan nodanya
dengan jelas dalam lembaran sejarah Negara Islam di zaman kekhalifahan Hazrat
Uthman ra. Akhirnya runtuhlah Negara Islam yang dibangun oleh Rasulullah saw
secara total apabila golongan yang dikuasai oleh hawa nafsu sarakah berjaya
mensyahidkan Hazrat Ali ra. Mereka yang terlibat dan bertanggungjawab di atas
keruntuhan Negara Islam tersebut pernah menerima tarbiyah secara langsung
daripada Rasulullah saw iaitu seorang utusan Tuhan yang penuh berwibawa tanpa
ada tandingannya. Namun itulah kenyataannya, setelah kewafatan Rasulullah saw,
kecenderungan umat Islam dari masa lampau hingga ke hari ini amat jelas untuk
tidak taat kepada pemimpin, berpecah belah membentuk kelompok dan saling
bermusuhan sesama sendiri.
Negara Ideal
Dari Sudut Al Qur’an
Dalam Islam, konsep dasar
adalah kedaulatan terhadap alam semesta yang dimiliki Allah swt dan umat
manusia pula sebagai hambaNya diberikan kekuasaan sebagai satu amanah dalam
beberapa segi untuk mengendalikan dunia dan seisinya. Dalam merealisasikan
konsep ini, pemimpin dan warga yang dipimpin hendaklah bergerak dalam satu arah
tuju yang sama serta saling bekerjasama dalam mencapai tujuan tersebut.
Meskipun penjelasan terperinci tentang cara mewujudkan sesebuah negara Islam
tidak diterangkan, namun Al Qur’an menetapkan beberapa sasaran yang wajib
disempurnakan dalam mewujudkan sesebuah negara Islam tanpa mengenepikan
norma-norma yang telah digariskan dan dituntut oleh Sang Pencipta Yang Maha
Berkuasa ke atas alam maya ini. Sebuah negara ideal dari sudut pandangan Islam
adalah negara yang mempunyai kesatuan universal, kebebasan berfikir dan bersuara,
mencapai matlamat dalam mempromosi dan memelihara keamanan serta kerjasama
semata-mata demi kesejahteraan ummah keseluruhannya tanpa mengira agama dan
bangsa. Ummah hendaknya membentuk satu warga negara yang taat kepada satu
pimpinan yang bergelar Khalifah sebagai ketua negara. Khalifah melaksanakan
tugasnya memelihara agama Allah dan mempastikan kesejahteraan yang lahir dari
satu kehendak serta matlamat seluruh ummah. Jika konsep ini berjaya diwujudkan
maka inilah negara Islam yang paling ideal serta diredhai Allah swt. Namun
konsep ini jugalah yang telah lebih seribu tahun hilang musnah dari kehidupan
umat Islam dan usaha demi usaha untuk mengembalikannya hanya membuahkan
kekecewaan, gagal satu per satu.
Pimpinan
Dalam Sebuah Negara Islam
Al Qur’an memaparkan dua jenis
negara yang mempunyai objektif dan etika yang sama tetapi berbeza dari segi
skop kekuasaan dan cara-cara pembentukannya. Pertama ialah sebuah negara yang
paling unggul dipimpin oleh seseorang yang mampu melaksanakan kuasanya dengan optimal
dalam bidang merangkumi sekular dan spiritual. Allah swt berfirman, “Allah
telah menjanjikan kepada orang-orang dari antara kamu yang beriman dan berbuat
amal saleh, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka itu khalifah-khalifah dari
antara orang-orang yang sebelum mereka; dan Dia akan meneguhkan bagi mereka
agama mereka, yang telah Dia redhai bagi mereka; dan nescayalah Dia akan
memberikan mereka keamanan dan kedamaian sebagai pengganti sesudah ketakutan
mencengkam mereka. Mereka akan menyembah kepada Ku, dan mereka tidak akan
mempersekutukan sesuatu dengan Daku. Dan barangsiapa ingkar sesudah itu, mereka
itulah orang-orang yang derhaka” (An Nuur: 56).
Sebuah negara yang diredhai
Allah swt mestilah dipimpin oleh seorang yang bertaraf khalifatullah sesuai
dengan janji Allah swt dalam Al Qur’an kepada umat Islam yang bertaqwa dan
beramal saleh. Menduduki jawatan Khalifah adalah melalui proses pemilihan, dia
boleh dipilih secara langsung atau dicalonkan oleh khalifah yang bakal
digantikan (apabila setelah wafat) dengan persetujuan rakyat seperti mana yang
berlaku ke atas proses pemilihan khalifah kedua iaitu Hazrat Umar ra.
Khalifah yang dipilih oleh rakyat
dijanjikan pertolongan dari Allah swt selagi institusi khilafat yang
diterajuinya sentiasa berada dalam lingkungan yang digariskan oleh Al Qur’an.
Jawatan khalifah adalah bagi jangka waktu sepanjang hayat, seorang khalifah
tidak boleh dengan sendirinya melepaskan atau diminta melepaskan jawatan
kekhalifahannya. Khalifah adalah terikat sepenuhnya dengan prinsip-prinsip dan
undang-undang Allah swt. Oleh itu khalifah mestilah menyerahkan seluruh masa,
tenaga dan kemampuan untuk mengkhidmati rakyat. Khalifah bertanggungjawab
menentukan polisi dan dasar-dasar pentadbiran sebuah kerajaan dan melaksanakannya
setelah mendapatkan nasihat dan pandangan dari badan perwakilan yang dipilih
bagi pihak rakyat, perkara ini diisyaratkan dalam Al Qur’an, “Dan oleh
kerana rahmat dari Allah lah maka engkau bersikap lemah-lembut terhadap mereka
dan jika sekiranya engkau kasar, keras hati, nescaya mereka akan cerai berai
dari keliling engkau. Maka maafkanlah mereka dan mintalah ampunan (dari Allah)
bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka (dalam urusan yang penting) dan
apabila engkau telah menetapkan suatu maksud, bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal” (Ali Imran: 160).
Negara jenis yang kedua ialah
pemimpinnya mewakili rakyat dengan tanggungjawab yang sama seperti Khalifah
tetapi dari segi tempoh pemerintahannya, skop dan batas kekuasaannya adalah
tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan pada waktu perlantikannya
dan syarat-syarat tersebut mestilah dipatuhi dan dipelihara oleh yang telah
terpilih sebagai pemimpin yang mewakili rakyatnya. Bagi rakyat pula adalah
terikat sama dalam memberikan amanah kepada orang yang dipilih sebagai
perwakilan rakyat sepertimana juga telah digariskan oleh Al Qur’an, “Sesungguhnya
Allah memerintahkan kepada kamu supaya menyerahkan amanat-amanat itu kepada
yang berhak menerimanya dan apabila kamu mengambil suatu keputusan di antara
manusia supaya kamu memutuskan dengan adil. Sesungguhnya itulah yang paling
baik anjuran Allah kepada mu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Maha Melihat”
(An Nisaa: 59).
Oleh itu jelaslah bahawa
kesejahteraan ummah adalah juga terletak pada rakyat untuk menentukannya kerana
rakyat sendiri diberi tanggungjawab untuk menyerahkan amanah kepada orang yang
sepenuhnya layak menerima amanah. Pada masa yang sama terdapat teguran untuk
orang yang diberikan amanah bahawa apabila tiba kepada membuat keputusan di
antara manusia mestilah dibuat dengan seadil-adilnya. Oleh itu terdapat dua
tanggungjawab yang perlu berjalan serentak yakni tanggungjawab rakyat memilih
orang yang layak diberikan amanah dan tanggungjawab pemimpin (orang yang
menerima amanah). Kedua-dua pihak iaitu rakyat dan pemimpin sentiasa
diperhatikan oleh Allah swt dan mereka mempunyai peranan masing-masing dan
kedua-duanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt atas segala apa
yang mereka lakukan. Dalam menunaikan tanggungjawab, seorang pemimpin dalam
sesebuah negara Islam tidak tertakluk kepada proses kehakiman berhubung dengan
apa yang dilakukannya dalam menunaikan tanggungjawab semata-mata demi negara
dan rakyat. Walau bagaimanapun segala perkara yang dilakukannya di atas
kepentingan peribadi, dia tidak terlepas dari proses perundangan.
Karakter
Seorang Pemimpin Islam
Seorang pemimpin wajib
menyedari bahawa segala tanggungjawab yang dilaksanakannya bagi sebuah negara
Islam adalah tertakluk kepada roh keislaman dan dia mesti berani menerapkan
perlaksanaannya dalam semua institusi pemerintahan dan pentadbiran. Pemerintah
yang diamanahkan kuasa kepadanya bertanggungjawab memastikan keamanan dapat
dinikmati oleh rakyatnya. Agama Islam telah menetapkan pemimpin sebuah negara
adalah sama seperti seorang pengembala yang mampu melindungi dan menjaga
seluruh binatang ternakannya dari segala macam musibah dan bahaya, serta mampu
menyediakan segala keperluan bagi menjamin kesejahteraan binatang ternakannya.
Pengembala yang baik memastikan ternakannya tidak merayau-rayau tidak tentu
arah, melindunginya dari ancaman serigala, memberi makanan dan kandang yang
secukupnya dan melindunginya daripada wabak penyakit. Analogi seorang pemimpin
dalam sesebuah negara Islam adalah seperti seorang pengembala yang menjamin
seluruh rakyatnya bebas dari konflik, huru hara, gangguan dan penindasan,
selamat dari ancaman dan serangan dari luar, menyediakan segala keperluan
intelektual dan material. Untuk memastikan kemampuan seorang pemimpin
benar-benar memenuhi kriteria seperti seorang pengembala dengan komitmen yang
tinggi, Al Qur’an telah menetapkan garis panduan yang wajib dipatuhi dan
disempurnakan.
Tidak pula kurang pentingnya,
seorang pemimpin mestilah berjiwa rakyat dan rendah hati sepertimana yang
dipercontohkan oleh Hazrat Umar ra. Dalam satu kejadian Hazrat Umar ra semasa
era kekhalifahan beliau secara kebetulan melihat seorang ibu bersama tiga orang
anak di luar kota Madinah tidak mempunyai bahan makanan selama dua hari. Dengan
segera Hazrat Umar ra kembali ke Madinah untuk mengambil bahan keperluan
makanan dengan memikulnya sendiri untuk diberikan kepada ibu tersebut. Seorang
hamba memprotes agar dia sendiri yang memikul bahan makanan tersebut tetapi
Hazrat Umar ra menolak sambil berkata, “Tidak dapat dinafikan engkau memang
boleh mengangkat barang-barang ini tetapi siapa yang akan mengangkat beban saya
di hari akhirat kelak?” Selanjutnya Hazrat Umar ra memikul bahan makanan itu
sendiri dan memberikannya kepada ibu berkenaan sambil ibu tadi mengucapkan
syukur di atas kebaikannya dan berkata, “Engkau lebih sesuai menjadi khalifah
daripada Umar, dia tidak tahu tentang keperluan rakyatnya.” Hazrat Umar ra
menjawab dengan lembut dan senyuman, “Baiklah ibu, mungkin Umar tidaklah
seburuk seperti yang ibu sangkakan”. Masih adakah seorang pemimpin muslim
seperti Umar ra?
Faktor
Penentu Kejayaan Negara Islam
Sebuah negara Islam yang
berada di bawah pimpinan seseorang yang bertaqwa kepada Allah swt, pemimpin itu
mesti mampu bertindak dan mewujudkan keperluan-keperluan bagi menjamin
kesejahteraan negara dan warganya. Dalam hal yang berkaitan meskipun tidak
dengan terperinci, Al Qur’an menggariskan beberapa faktor yang perlu dijadikan
panduan dan iktibar agar sebuah negara Islam yang hakiki dapat ditegakkan.
Negara Islam merupakan sebuah negara yang mampu memenuhi segala keperluan
warganya dari segi keamanan, hubungan sosial dan perkembangan ekonomi yang
mantap, pendidikan rohani dan jasmani yang maju. Berikut adalah beberapa
saranan dan larangan yang disediakan oleh Al Qur’an dan wajib diterapkan dalam
merangka dasar-dasar negara dan mesti diimplimentasikan agar sebuah negara
Islam yang ideal dapat ditegakkan. Bagi menjamin tercapainya matlamat ini,
pemimpin dan rakyat wajib berganding bahu dalam kesepakatan yang padu.
Keperluan
Asas Rakyat
Keperluan
asas bagi kehidupan rakyat seperti pakaian dan makan minum mesti disediakan,
ini adalah ketetapan minima bagi sebuah negara Islam dalam mewujudkan
organisasi sosial yang harmoni seperti mana firman Allah swt, “Sesungguhnnya
telah ditetapkan bagimu, bahawa engkau tidak akan kelaparan di dalamnya dan
pula engkau tidak akan telanjang dan bahawa engkau tidak akan dahaga di
dalamnya dan tidak pula akan disengat panas matahari” (Thaahaa: 119-120).
Rasulullah
saw sejak dari awal lagi telah menekankan dan memperlihatkan contoh bahawa
Negara Islam bertanggungjawab menyediakan keperluan rakyatnya dalam bidang
pendidikan. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Rasulullah saw sendiri telah
mengumumkan kepada setiap tawanan perang Badar yang tahu membaca dan menulis
boleh membebaskan dirinya dengan mengajar 10 orang kanak-kanak muslim. Tindakan
Rasulullah saw ini telah diteruskan oleh para khalifahnya dan telah menyebabkan
dalam waktu yang singkat para penunggang unta padang pasir yang pernah dihina
oleh bangsa Iran dan Byzantium menjadi guru-guru dunia.
Keamanan dan
Pertahanan
Keamanan
negara hendaknya terjamin dengan sokongan sistem pertahanan yang tidak dapat
diatasi oleh musuh, sentiasa dalam kondisi dan tahap memuaskan sepertimana
disarankan oleh Al Qur’an, "Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah
dan atasilah lawan dalam kesabaran dan berjaga-jagalah dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu
memperoleh kemenangan”(Ali Imran: 201).
Mewujudkan
keamanan dan keselamatan sudah sewajarnya menjadi matlamat yang perlu dicapai
dan sentiasa dipelihara secara berterusan kerana ianya amat penting bagi
menjamin kemajuan serta perkembangan moral, spiritual dan material. Ungkapan
“ISLAM” sendiri membawa makna keselamatan dan penyerahan, ini boleh diertikan
bahawa untuk mencapai keselamatan mestilah melalui penyerahan secara total
kepada Allah swt dengan melaksanakan perintahNya. Di antara sifat-sifat Allah
swt, Al Qur’an menyatakan Dia adalah sumber keselamatan dan pemberi
keselamatan, “Dialah Allah, dan tiada tuhan selain Dia, Maha Berdaulat Yang
Maha Suci, Sumber segala keselamatan, Pelimpah keamanan, Maha Pelindung, Maha
Perkasa, Maha Penakluk, Maha Agung, Maha Suci Allah dari apa yang mereka
persekutukan dengan Dia (Al Hasyr: 24).
Segala
usaha dan aktiviti yang cenderung kepada mengganggu keamanan adalah ditolak
oleh Al Qur’an, “Dan janganlah kamu berbuat kerusuhan di bumi sesudah
ditertibkan keadaannya dan serulah Dia
dengan perasaan takut dan penuh harapan. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat
kepada orang-orang yang berbuat kebajikan (Al A’raaf: 57). “Dan kepada kaum
Midian Kami utus saudara mereka Syu’aib, maka ia berkata: Hai kaum ku sembahlah
Allah dan ingatlah akan hari terakhir dan janganlah kamu melakukan
ketidakadilan di bumi sambil menimbulkan kerusuhan” (Al Ankabuut: 37), “…
setiap kali mereka menyalakan api untuk perang, Allah memadamkannya. Dan mereka
berusaha membuat kerusuhan di bumi dan Allah tidak menyukai orang-orang perusuh”
(Al Maa’idah: 65), “Dan carilah dalam apa yang telah Allah berikan kepada mu,
rumah akhirat itu; dan janganlah engkau melupakan nasib engkau di dunia ini.
Dan berbuatlah kebajikan sebagaimana Allah telah berbuat baik terhadap engkau;
dan janganlah engkau menimbulkan kerusuhan di bumi ini. Sesungguhnya Allah
tidak mencintai orang-orang yang berbuat kerusuhan (Al Qashash: 78).
Satu
golongan menguasai golongan lain atau seseorang menguasai orang lain samada
dalam ruang lingkup lokal atau global boleh menjadi satu sumber yang berpotensi
untuk mengganggu keamanan dan ini tidak dibenarkan dalam Islam. Allah swt tidak
suka melihat umat manusia hidup berpecah belah disebabkan oleh satu suku
menguasai puak lain. Jika keadaan ini berlaku Allah swt akan membantu dan
mengangkat bangsa yang teraniaya
disebabkan dikuasai dan ditindas. Perkara ini dijelaskan oleh Al Qur’an
sepertimana yang berlaku ke atas Fir’aun kerana caranya memperlakukan bani
Israil “Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi
dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari
mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat
kerosakan. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di
bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka
orang-orang yang mewarisi (bumi), dan akan Kami teguhkan kedudukan mereka di
muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman berserta
tenteranya apa yang sering mereka khuwatirkan dari mereka itu” (Al Qashash: 5-7). Akhirnya Fir’aun bersama
pengikutnya menerima hukuman yang amat dahsyat sebagai teladan kepada generasi
akan datang sepertimana firman Allah, “Dan Kami memungkinkan Bani Israil
melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir'aun dan bala tenteranya, kerana
hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga bila Fir'aun itu telah hampir
tenggelam berkatalah dia: ‘Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan
yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah
diri (kepada Allah). Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya
kamu telah derhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat
kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan jasad mu supaya kamu boleh
menjadi pelajaran bagi orang-orang yang di masa akan datang sesudahmu dan
sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami”
(Yunus: 91-93). Al Qur’an mengisyaratkan bahwa yang kuat atau yang lemah
bukanlah ukuran yang menunjukkan bahawa seseorang itu lebih hebat atau lemah.
Al Qur’an menekankan bahawa dalam proses jatuh dan bangkitnya sesebuah negara
atau bangsa, yang lemah pada hari ini akan menjadi kuat di masa akan datang.
Perundangan
dan Kehakiman
Sistem
perundangan dan kehakiman adalah satu badan yang bebas dalam menyelesaikan apa
juga konflik atau permasalahan yang timbul. Dalam bidang perundangan Rasulullah
saw sendiri memperlihatkan contoh dengan penubuhan badan kehakiman sebaik
sahaja beliau saw menerima pucuk pimpinan di Madinah dan Hazrat Umar ra telah
dilantik sebagai salah seorang hakim dan Rasulullah saw juga seringkali
bertindak sebagai seorang hakim. Al Qur’an mewajibkan umat Islam memenuhi
keperluan bidang kehakiman dalam menyelesaikan pertelingkahan dan tidak boleh
ada perasaan tidak akur dalam diri orang yang diadili terhadap keputusan atau
hukuman yang dijatuhkan, “Tidak! Demi Rab engkau, mereka tidak beriman
sebelum mereka jadikan engkau sebagi hakim dalam setiap perselisihan yang
terjadi di antara mereka, kemudian mereka tidak merasakan suatu keberatan dalam
hati mereka tentang apa yang telah engkau putuskan serta mereka tunduk
setunduk-tunduknya” (An Nisaa’: 66). Disamping itu Al Qur’an menganjurkan
agar sistem keadilan ditunjang dengan memberikan kesaksian yang benar belaka, “Dan
orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka melalui
sesuatu hal yang sia-sia, mereka berlalu dengan sikap yang agung” (Al Furqan:
73) dan lebih tegas lagi Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang
beriman jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan dan jadilah kamu
saksi kerana Allah, walaupun terhadap diri mu sendiri atau ibu bapa dan kaum
kerabat. Baik ia itu kaya atau miskin, maka Allah lebih memperhatikan keduanya.
Kerana itu janganlah kamu turutkan hawa nafsu, agar kamu dapat berlaku adil.
Dan jika kamu menyembunyikan atau mengelakkan (kesaksian itu), maka
(ketahuilah) sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”
(An Nisaa’: 136).
Dalam
rangka yang luas ini, negara Islam bebas membuat perundangan dan
melaksanakannya selagi ianya sesuai dengan kondisi, zaman dan masih diperlukan
oleh rakyat. Al Qur’an memberikan kelonggaran dan tidak menggalakkan segala
sesuatu berhubung perundangan mesti melalui bantuan wahyu kerana perundangan
seperti itu terbatas dan boleh membebankan, Allah swt menegur “Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah kamu tanyakan tentang hal-hal yang
sekiranya diterangkan kepada mu, akan menyusahkan kamu; dan jika kamu tanyakan
hal-hal itu, ketika Al Qur’an sedang diturunkan, tentu akan diterangkannya
kepada mu, Allah (sengaja) telah membiarkan hal-hal itu. Dan Allah Maha
Pengampun dan Penyantun” (Al Maa’idah: 102).
Hendaknya
dipastikan kesemua pihak samada seorang Islam, masyarakat Islam atau negara
Islam, dilarang tunduk kepada provokasi
untuk membenci seseorang sehingga terjadi tindakan yang tidak adil ke atas
orang tersebut, sesuai dengan firman Allah swt, “Wahai orang-orang yang
beriman! Hendaklah kamu berdiri teguh di jalan Allah dan menjadi saksi dengan
adil, dan janganlah permusuhan suatu kaum mendorong kamu untuk bertindak tidak
adil. Berlakulah adil, itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan (Al
Maa’idah: 9).
Jangan
Mengamalkan Rasuah
Memberi
dan menerima suapan adalah ditegah, petugas-petugas dalam kerajaan wajib
melaksanakan tugasnya dengan penuh saksama, ditegah sama sekali jika ada pihak
yang cuba merosakkan proses pemerintahan dan pentadbiran dengan jalan rasuah.
Perkara ini ditegah oleh Allah swt dalam firmanNya, “Dan janganlah kamu
makan harta benda dari antara mu dengan jalan salah dan jangan pula kamu
menghulurkannya (sebagai suapan) kepada petugas-petugas (pemerintah) supaya
kamu dapat memakan sebahagian dari harta-benda orang lain dengan cara tidak
sah, pada hal kamu mengetahuinya” (Al Baqarah: 189)
Peranan
Rakyat
Tarbiyah
menyeluruh wajib disampaikan kepada rakyat yang beragama Islam agar mereka
faham dan memainkan peranan dalam memberikan kesetiaan penuh kepada pemerintah
sepertimana Allah swt berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah
kepada Allah dan taatlah kepada rasulNya, dan kepada orang-orang yang memegang
kekuasaan di antaramu. Dan jika kamu berselisih mengenai sesuatu, maka
kembalikanlah hal itu kepada Allah dan rasulNya, jika kamu memang beriman
kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan
lebih baik akibatnya.” (An Nisaa’: 60).
Dari
sudut hak dan tanggungjawab rakyat yang bukan beragama Islam dalam sebuah
negara Islam adalah terikat dengan perjanjian dan persetujuan yang dimeterai.
Segala sesuatu tertakluk kepada syarat-syarat yang telah diterima bersama,
tidak dibenarkan berlaku diskriminasi dalam semua perkara khasnya yang tidak
berkaitan dengan agama.
Kebebasan
Beragama
Dalam
soal kepercayaan dan keyakinan pula Al Qur’an telah menjelaskan dengan
sejelas-jelasnya bahawa tidak ada paksaan dalam agama, “Tidak diperkenankan
sesuatu paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah nyata bezanya kebenaran dari
kesesatan; dan ketahuilah, barangsiapa dengan kehendak sendiri menyanggah
ajakan syaitan dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang
pada suatu pegangan yang sangat kuat, yang tak akan putus. Dan Allah Maha
Mendengar, Maha Mengetahui” (Al Baqarah: 257), “Dan katakanlah, ‘Inilah
kebenaran dari Rabmu; maka barangsiapa menghendaki, maka berimanlah, dan
barangsiapa menghendaki maka ingkarlah.’ Sesungguhnya Kami telah menyediakan
bagi orang yang membuat aniaya itu api yang mengepung mereka dari empat
penjuru…” (Al Kahfi: 30).
Memaksakan
agama Islam agar diterima oleh orang yang bukan beragama Islam adalah sesuatu
yang bercanggah dengan ajaran Al Qur’an. Keinginan Rasulullah saw agar semua
orang menerima agama Islam amat dalam sehingga menyebabkan kesedihan yang amat
sangat dalam diri beliau saw. Lantaran itu Rasulullah saw berulang kali ditegur
dan dihiburkan oleh Allah swt, sepertimana firmanNYa, “Maka engkau
membinasakan dirimu kerana sangat bersedih hati memikirkan mereka, mengapa
mereka tidak beriman kepada keterangan ini” ( Al Kahfi : 7). “Boleh jadi engkau
akan membinasakan dirimu sendiri disebabkan kedukacitaan, mengapa mereka tidak
mahu beriman” (Asy Syur’araa’: 4). “… maka janganlah engkau membinasakan diri
mu kerana kesedihan mengenai mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa
yang mereka perbuat” (Al Faathir: 9).
Dalam
negara Islam, hak asasi termasuk kebebasan pengamalan dan penyebaran setiap
agama adalah dijamin bagi umat Islam dan bukan Islam. Allah swt memberi
kebebasan kepada umat manusia samada mahu beriman ataupun ingkar. Allah swt
Yang Maha Berkuasa amat mudah bagiNya menjadikan seluruh umat manusia agar
beriman tetapi dalam hal keimanan Allah swt memberikan kebebasan kepada setiap
individu untuk memilih, “Dan sekiranya Allah engkau memaksakan kehendakNya,
nescaya semua orang yang ada di bumi akan serentak beriman. Apakah engkau akan
memaksa manusia hingga menjadi orang beriman?” (Yunus: 100), Memaksa orang
lain untuk menerima Islam bermakna ingkar kepada perintah Allah swt berkaitan
kebebasan beragama. Namun adalah tanggung jawab setiap muslim untuk menyeru
umat manusia kepada kebenaran dengan cara berhemah, “Serulah kepada jalan
Rab engkau dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan hendaknya
berdialoglah dengan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Rab
engkau lebih mengetahui siapa yang telah sesat di jalanNya; dan Dia mengetahui
pula siapa yang telah mendapat petunjuk” (An Nahl: 126).
Islam
adalah agama yang tidak bersikap monopoli tetapi menitik beratkan tolak ansur
di kalangan penganut pelbagai agama dan menganjurkan semangat hormat
menghormati di antara satu dengan lain. Islam memupuk semangat persaudaraan dan
persahabatan berasaskan kejujuran sebagaimana firman Allah swt, “Sesungguhnya
orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, Shabiin dan orang-orang
Nasrani barangsiapa (di antara mereka
benar-benar) beriman kepada Allah dan hari kemudian dan beramal saleh, maka
tidak akan ada ketakutan menimpa mereka pada hari yang akan datang dan tidak
pula mereka berdukacita tentang yang sudah-sudah” (Al Maa’idah: 70). Di
samping itu penganut agama lain diseru untuk bersatu atas dasar prinsip
persamaan sepertimana Allah swt berfirman, “Katakanlah, ‘Hai ahli kitab!
Marilah kepada satu kalimat yang sama di antara kami dan kamu, bahawa kita
tidak menyembah melainkan Allah, dan tidak pula kita persekutukan Dia dengan
barang apa pun, dan sebahagian kita tidak mengambil yang lainnya menjadi Tuhan
selain Allah’, tetapi jika mereka berpaling, maka katakanlah, ‘jadi saksilah
bahawasanya kami ini orang-orang muslim
yang patuh pada Allah” (Ali ‘Imraan: 65).
Hubungan
Antara Bangsa-bangsa
Dalam
hubungan antara bangsa, sebuah negara Islam mesti memelihara dengan sedaya
upaya polisi dan tindakan yang sudah disepakati bersama. Di antara punca
konflik antarabangsa adalah disebabkan oleh polisi dan tindakan berbeza
daripada tujuan asal yang dijanjikan dan akhirnya menimbulkan perasaan tidak
puas hati dan hilang kepercayaan. Perasaan buruk sangka terhadap sesebuah
negara akan semakin menebal apabila tindakan yang diambil tidak lagi selaras
dengan polisi dan matlamat yang ditetapkan serta dipersetujui. Perlakuan
seperti ini akan melahirkan situasi yang cukup serius untuk membahayakan
hubungan antarabangsa. Al Qur’an menegaskan agar memelihara serta melaksanakan
perjanjian yang sudah dipersetujui, “Hai orang-orang yang beriman!
Mengapakah kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan? Adalah sesuatu yang
paling dibenci di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu
kerjakan” (Ash Shaf: 3-4).
Al
Qur’an sentiasa menyeru untuk memelihara tanggungjawab dalam menunaikan
perjanjian yang telah dipersetujui dan dimeterai, “Wahai orang-orang yang
beriman, patuhi segala perjanjianmu…” Al Maa’idah: 2). Setiap apa jua
tanggungjawab yang diletakkan ke atas bahu seorang muslim mestilah dilaksanakan
dengan sebaiknya semata-mata kerena Allah swt, ini melambangkan sifat kejujuran
dan ketaqwaan seorang muslim. Oleh sebab itu Allah swt berfirman, “Dan
sempurnakanlah perjanjian dengan Allah, apabila kamu telah mengadakan suatu
perjanjian, dan janganlah kamu melanggar sumpah-sumpah setelah diteguhkanNya,
pada hal telah kamu jadikan Allah sebagai jaminanmu. Sesungguhnya Allah
mengetahui apa yang kamu kerjakan” (An Nahl: 92).
Di
antara bangsa-bangsa, Islam menggalakkan kekukuhan dan kestabilan sesebuah
Negara yang menitik beratkan pemeliharaan keamanan global, “Dan janganlah
kamu berkelakuan seperti perempuan, yang memutus-mutuskan benangnya menjadi
berpotong-potong setelah ia memintalnya dengan kuat, dengan menjadikan sumpah
mu sebagai cara penipuan di antara mu, takut jangan-jangan suatu kaum akan
menjadi lebih kuat daripada kaum yang lain. Sesungguhnya, Allah menguji kamu
dengan itu dan pada hari kiamat Dia akan menjadikan jelas kepadamu apa yang
kamu telah berselisih di dalamnya. Dan Jika Allah menghendaki nescaya Dia pasti
akan menjadikan kamu sekalian satu kaum sahaja, akan tetapi Dia membiarkan
orang yang menghendaki kesesatan itu tersesat, dan memberi petunjuk kepada
orang yang menghendakinya; dan nescaya kamu akan ditanya tentang apa yang telah
kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadikan sumpah-sumpah mu sebagai cara
penipuan di antara kamu; maka kaki mu akan tergelincir setelah tegak berdiri
dengan kukuhnya, dan akan kamu rasakan kejahatan itu, kerana kamu dengan
berbuat demikian telah memalingkan muka orang dari jalan Allah, dan bagimu ada azab yang sangat besar” (An Nahl: 93-95).
Perjanjian
yang disepakati mestilah mengikat perpaduan bangsa-bangsa agar lebih kuat,
mewujudkan kerjasama yang harmoni dan adil. Al Qur’an memberi teguran keras
perjanjian yang sudah dipersetujui tidak boleh dicemari oleh godaan dalam
memenuhi keinginan dan kepentingan peribadi, “Dan janganlah kamu menukar
perjanjian Allah dengan harga yang murah. Sesungguhnya apa yang ada di hadhirat
Allah itulah yang lebih baik bagi mu, jika kamu mengetahui” (An Nahl: 96).
Dalam menunaikan syarat-syarat dan terma-terma di bawah perjanjian yang sudah
dipersetujui merupakan tanggungjawab spiritual dan moral yang pasti memberikan
manfaat berkekalan serta mendapat ganjaran daripada Allah swt, “Apa yang ada
pada mu itu akan punah, dan apa yang ada pada Allah itu akan kekal. Dan nescaya
orang-orang yang bersabar akan kami beri ganjaran yang lebih baik dari apa yang
telah mereka kerjakan” (An Nahl: 97).
Satu
elemen yang sering menimbulkan konflik dan mencemari perjanjian yang sudah
dimentrai ialah kekaburan bahasa yang digunakan untuk menjelaskan terma-terma
dan syarat-syarat perjanjian. Masalah ini jika tidak ditangani dengan betul
sudah tentu akan menjurus kepada kesalahfahaman, tuduh-menuduh, pertelingkahan,
kontroversi dan implikasi negatif mengotori maksud serta matlamat perjanjian
yang dimeterai. Sehubungan itu Al Qur’an menjelaskan dengan seterang-terangnya
ungkapan-ungkapan mudah dan ringkas mestilah digunakan. Dalam hal ini bagi
mereka yang terlibat akan diberkati Allah swt dan segala kelemahan mereka Allah
swt sendiri akan memperbaikinya, “Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah
kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang mudah dan jujur. Dia akan
memperbaiki amal-amal mu bagi mu dan akan mengampuni dosa-dosa mu. Dan
barangsiapa taat kepada Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya ia akan meraih
kemenangan besar” (Al Ahzab: 71-72).
Kemungkinan
memang boleh berlaku satu pihak ingkar terhadap perjanjian yang telah
dimeterai. Apabila satu pihak sudah dikenal pasti didapati melanggar perjanjian
maka sebuah Negara Islam boleh menarik balik persetujuan dari perjanjian tersebut.
Namun hal penarikan diri ini pun bersyarat dengan mempastikan terlebih dahulu
bahawa di sebelah pihak tidak menanggung kerugian serta tidak timbul prejudis.
Selagi tidak terbukti dengan nyata salah satu pihak melanggar perjanjian, maka
pihak lain ditegah sama sekali membatalkan perjanjian yang dimaksudkan, wajib
dielakkan tindakan ketenteraan terhadap pihak yang melakukan perlanggaran jika
belum terbukti nyata.
Notis
pemberitahuan dengan jangka waktu yang secukupnya perlu disampaikan kepada
pihak yang dianggap melakukan perlanggaran dengan menjelaskan bahawa pihak yang
setia kepada perjanjian tidak lagi
terikat dengan perjanjian dengan memberikan alasan-alasan yang munasabah dan
jitu. Dengan cara ini memungkinkan langkah-langkah sewajarnya dapat diambil
dengan menyelesaikan masalah salah faham yang timbul atau memperbaharui
perjanjian lama atau mewujudkan perjanjian baru jika ini difikirkan langkah
yang terbaik. Di samping itu juga notis pemberitahuan dapat mengelakkan pihak
yang menyebabkan perlanggaran daripada kondisi kelam kabut serta terperanjat
dan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran bakal penarikan diri dari
perjanjian oleh pihak yang memajukan notis pemberitahuan tadi, “Dan jika
engkau khuatir akan pengkhianatan dari suatu kaum, maka kembalikanlah
perjanjian itu secara jujur; sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang
yang khianat” (Al Anfaal: 59).
Adalah
tanggungjawab negara Islam mempastikan wujud penyelesaian pertelingkahan yang
aman dan adil, “Sesungguhnya segenap orang mukmin itu bersaudara. Maka
adakanlah perdamaian di antara saudara-saudara mu, dan bertakwalah kepada Allah
supaya kamu mendapat rahmat” (Al Hujuraat: 11). Jika ada beberapa Negara
Islam atau di antara kelompok-kelompok Islam berada dalam konflik dan gagal mencapai
titik perdamaian setelah usaha demi usaha dilaksanakan maka adalah menjadi
tanggungjawab Negara Islam lain bertindak mengatur penyelesaian berdasarkan
kepada keadilan bagi pihak-pihak yang terlibat. Jika ada pihak yang tidak
berminat dengan penyelesaian adil yang ditawarkan maka Negara-negara Islam yang
berkecuali hendaklah bersatu mencari jalan dan melaksanakannya agar Negara atau
kelompok berkenaan akur dengan keputusan yang telah ditawarkan walaupun cara
paksaan perlu dilakukan.
Negara
Islam yang mengambil bahagian dalam penyelesaian tidak boleh menyimpang dari
isu sebenar berhubung dengan punca pertelingkahan. Perkara-perkara yang tidak
berkaitan dengan punca pertelingkahan dilarang disentuh dan dibincang. Apabila
kedua-dua belah pihak bersetuju menerima penyelesaian yang ditawarkan, ianya
hendaklah dengan serta merta berkuat kuasa tanpa bertangguh lagi. Negara-negara
Islam dilarang membangkitkan hal-hal yang tidak bersangkutan seperti meminta
ganti rugi atau imbuhan ke atas usaha-usaha mereka mencari dan melaksanakan
penyelesaian dan juga mengambil kesempatan demi kepentingan diri. Pengadilan
atau penyelesaian yang dicadangkan oleh Negara-negara Islam yang mengambil
bahagian adalah sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap perintah Allah swt. Menolak
atau membiarkan pertelingkahan antara dua buah Negara Islam berlarutan tanpa
penyelesaian merupakan perlanggaran yang nyata terhadap perintah Allah, “Dan
kalau dua golongan orang-orang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan
antara keduanya. Kemudian jika sesudah salah satu daripadanya menyerang yang
lain, maka perangilah pihak yang menyerang hingga kembali kepada perintah
Allah. Kemudian kalau dia telah kembali, damaikanlah antara keduanya menurut
keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai
orang-orang yang berlaku adil” (Al Hujuraat: 10).
Berburuk
sangka adalah wabak penyakit yang boleh mencetuskan kehancuran yang sukar
dibendung. Al Qur’an memberi amaran agar jangan berburuk sangka terhadap
tindakan yang dilakukan oleh orang atau bangsa lain kerana ini boleh
menimbulkan keadaan yang amat bahaya, Allah berfirman, “Hai orang-orang yang
beriman, jauhilah banyak berprasangka (kecurigaan), karena sebagian dari
prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang lain dan
janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka
memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik
kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
Taubat lagi Maha Penyayang” (Al Hujuraat: 13). Di samping itu, menyebarkan
propaganda samada bersumber dari perancangan rapi ataupun andaian boleh
menyebabkan akibat yang merugikan dalam hubungan antarabangsa. Al Qur’an
memberikan amaran kepada umat Islam agar berhati-hati dalam hal seperti ini.
Setiap berita yang diperolehi hendaklah ditapis dan diteliti terlebih dahulu
sepertimana firman Allah swt, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang
kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar
kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui
keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu” (Al Hujuraat:
7)
Kecenderungan
menyebarkan pelbagai bentuk berita termasuk yang mengganggu dan menyakitkan
hati masyarakat adalah sesuatu yang dilarang. Dalam hal ini terdapat amaran
Allah, “Dan apabila saja datang kepada mereka suatu hal mengenai keamanan
atau ketakutan, mereka menyebarkannya; pada hal jika mereka kembalikan hal itu
kepada rasul dan kepada orang-orang yang memegang kekuasaan di antara mereka,
tentulah diketahui hakikatnya oleh orang-orang yang suka menyelidikinya. Dan
sekiranya tidak kerana kurnia Allah di atas mu dan rahmatNya nescaya kamu akan
mengikuti syaitan, kecuali hanya sedikit” (An Nisaa’: 84). Firman Allah swt
ini bukan sahaja menegah penyebaran berita buruk atau palsu, malahan memberikan
penegasan kepada berita yang melibatkan keselamatan masyarakat, mengganggu
fikiran dan menyakitkan minda hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa berkenaan
agar dapat dipertimbangkan dengan saksama samada berita tersebut sesuai untuk
disebarkan demi kebaikan umum masyarakat atau sebaliknya.
Dapat
disaksikan ada golongan-golongan yang bercakap dengan penuh menyakinkan dan
boleh diterima akal dengan menggunakan nama Allah swt bagi menunjukkan tujuan
dan maksud mereka adalah ikhlas tetapi sebenarnya mereka terus berusaha
memprovokasi bagi menyebabkan permusuhan dengan membesar-besarkan perbezaan dan
pertelingkahan di kalangan masyarakat. Mereka sentiasa memanipulasi keadaan dan
kesempatan agar terjadi suasana tidak aman dan rakyat menghadapi penderitaan
dan kesukaran. Dalam Al Qur’an Allah swt memberi amaran tentang wujudnya
golongan yang berkelakuan seperti ini, “Dan di antara manusia ada yang
ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan waktu berkata-kata dia
menggunakan nama Allah sebagai saksi (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia
adalah penentang yang paling degil. Dan apabila dia berkuasa, dia berkeliaran
di bumi untuk mengadakan kerusakan di dalamnya, dan merosakkan sawah ladang dan
makhluk, dan Allah tidak menyukai kebinasaan (Al Baqarah : 205-206)
Sama
juga halnya dari segi eksploitasi harta kekayaan seperti eksploitasi ke atas
ekonomi yang dilakukan oleh seseorang atau sesebuah negara pasti akan menuju kepada
penguasaan dan penjajahan ke atas kaum lain yang pasti akan mengancam keamanan.
Al Qur’an menegaskan larangan ke atas eksploitasi tersebut atau eksploitasi
terhadap hak milik orang lain kerana tidak memberikan manfaat dan akibat yang
baik. Pada dasar untuk perkembangan sebuah ekonomi yang makmur serta kekal lama
adalah berdasarkan kepada eksploitasi bagi kepentingan serta perkongsian
bersama dan adil. Al Qur’an memberikan teguran, “Dan janganlah kamu tujukan
kedua matamu (dengan iri hati) kepada apa yang telah Kami berikan kepada
golongan-golongan dari mereka, sebagai keindahan kehidupan dunia untuk Kami
cobai mereka dengan itu. Dan karunia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih
kekal (Thaahaa: 132).
Hukum Hudud
Hudud
dari segi bahasa bermaksud menahan atau mencegah, apabila dikaitkan
dengan perundangan yang disentuh dalam Al Qur’an dan sunnah Rasulullah saw maka
ianya akan tertuju kepada hukuman yang adil bermotifkan pencegahan terhadap
sesuatu kesalahan yang dilakukan. Oleh itu ianya wajib dilaksanakan dengan
berpandukan Al Qur’an dan juga sunnah Rasulullah saw, jika tidak terdapat dalam
sunnah dan Al Qur’an juga tidak menetapkan penjelasan terperinci maka pihak
berwajib hendaklah memikirkan cara hukuman yang paling sesuai semata-mata
kerana keadilan dan perlaksanaan perintah Al Qur’an. Al Qur’an amat sedikit
menyentuh tentang kesalahan-kesalahan kerana ini bagi menggalakkan Negara Islam
mengenali kesalahan-kesalahan itu dan mencari jalan untuk menanganinya. Di
antara jenayah dan hukuman yang dijelaskan oleh Al Qur’an adalah seperti
berikut:
Mengenai
jenayah pembunuhan Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman,
diwajibkan atas kamu pembalasan yang setimpal (qishaash) berkenaan dengan
orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan
hamba, dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat sebahagian
keampunan dari pihak saudaranya, hendaklah ahli waris yang terbunuh menuntut
cara yang patut, dan hendaklah (yang diberi keampunan) membayar (diat) kepada
yang memberi keampunan dengan cara yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu
adalah suatu keringanan dan rahmat dari Rab mu. Barangsiapa yang melampaui
batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih. Dan dalam peraturan
pembalasan ini adalah kehidupan bagi mu, hai orang-orang yang berakal supaya
kamu terpelihara” (Al Baqarah: 179-180).
Mengenai
jenayah zina Allah berfirman, “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang
berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali
deraan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk
(menjalankan) keputusan Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan
orang-orang yang beriman” (An Nuur: 3), “Dan orang-orang yang menuduh
wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat
orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali
dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan
mereka itulah orang-orang yang fasik” (An Nuur: 5).
Sebelum hukum Al
Qur’an turun, Rasulullah saw berhukum kepada kitab Torat iaitu dengan merejam
penzina hingga mati. Kenapa ada negara Islam yang melaksanakan hukum zina
dengan merejam pesalah hingga mati?
Mengenai
jenayah mencuri Allah berfirman, “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang
mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka
kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha
Bijaksana” (Al Maa’idah: 39).
Hukuman
bagi mencuri adalah potong tangan dan secara praktiknya hukuman hanya
dilaksanakan kepada kejadian yang benar-benar ekstrim. Misalnya seseorang yang
menjadikan amalan hidupnya mencuri tanpa alasan yang munasabah sehingga
berulangkali dijatuhkan hukuman tetapi tetap juga melakukan kesalahan mencuri,
dalam keadaan seperti ini memungkin justifikasi memotong tangan sebagai
hukuman. Dalam kondisi sebaliknya, walaupun makna primari ialah potong tangan
tetapi makna sekondari wajib diberikan pertimbangan kerana ianya selari dengan
idiom bahasa Arab iaitu membatasi atau menghalang aktiviti pesalah yang
melakukan kesalahan mencuri yakni seperti ditangkap, dibicara dan dipenjara.
Oleh itu hukuman potong tangan dalam kategori makna sekondari wajib terlebih
dahulu dilaksanakan sebelum hukuman potong tangan bagi kesalahan yang
benar-benar serius dijatuhkan.
Dari Mana
Modelnya Negara Islam Malaysia?
Usaha menegakkan Negara Islam
tidak akan dapat dilaksanakan selagi kondisi umat Islam hari ini dihiasi sifat
jahiliyah belum berjaya dibersihkan dengan air keimanan. Masyarakat hari ini
meskipun bertamadun tinggi dan beragama Islam adalah lebih jahil dari
masyarakat Jahiliyah di zaman Rasulullah saw. Segala maksiat yang pernah muncul
di zaman umat-umat terdahulu menjadi amalan umat manusia hari ini termasuklah
umat Islam sendiri. Lantaran itu, jika hendak direalisasikan pelaksanaan
syariat Islam dalam sesebuah Negara pada hari ini, orang yang paling di hadapan
menentang adalah umat Islam sendiri disebabkan dalam dada umat Islam secara
majoritinya kosong dari petunjuk. Oleh itu dada mereka perlu diisi terlebih
dahulu dengan cahaya keimanan barulah hukum hudud-qisas yang berteraskan
syariat Islam secara menyeluruh dapat dipraktikkan demi sebuah Negara Islam.
Umat Islam di zaman Rasulullah saw secara amnya tidak melakukan sesuatu yang
melanggar prinsip hukum dan ini bukanlah didorong oleh beratnya hukum hudud
atau takut kepada hukum hudud yang dilaksanakan Rasulullah saw semata tetapi
pada hakikatnya mereka takut kepada Allah swt. Berat atau ringan hukuman ke
atas sebarang kesalahan biasanya dapat diatasi oleh keinginan berkobar-kobar
untuk mencapai suatu tujuan dengan cara yang bertentangan dengan kehendak
agama. Contohnya, hukuman bagi pesalah yang mengedar dadah di Malaysia amat
berat yakni hukum gantung sampai mati, namun pengedaran dadah terus juga
berleluasa disebabkan keghairahan yang meluap-luap untuk mendapatkan ganjaran
dengan cepat, singkat dan lumayan. Oleh itu adalah tidak tepat jika salah satu
daripada alasan untuk mendirikan sebuah Negara Islam agar hukum hudud dapat
dilaksanakan sepenuhnya bagi membendung gejala negatif di zaman jahiliyah moden
ini. Perlaksanaan tarbiyah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah saw hendaklah
dijadikan keutamaan dan dijayakan terlebih dahulu sebelum hukum hudud dapat
diimplementasikan sepenuhnya. Proses tarbiyah ini pula hendaklah dilaksanakan
secara bertahap dan dengan penuh kesabaran sepertimana Rasulullah saw pernah
mentarbiyah para sahabat yang majoritinya berasal dari zaman jahilliyah kerana umat
Islam hari ini hanya Islam pada nama dan jauh lebih jahil.
Para pejuang yang bersandarkan
kepada politik begitu gigih dalam usaha mereka untuk mendirikan Negara Islam.
Timbul pertanyaan, mampukah mereka memberi jaminan bahawa dalam konteks
Malaysia, Negara Islam akan dapat ditegakkan dengan perlaksanaan sepenuhnya
hukum hudud tanpa ada konsekuensi memudaratkan umat? Sejarah membuktikan bahawa
usaha untuk menegakkan Negara Islam menurut definisi para pemimpin Islam hari
ini membuahkan padah yang amat menyedihkan. Turki, Iran dan Sudan adalah contoh
beberapa negara yang pernah berusaha tetapi gagal dalam melakukan eksperimen
mendirikan sebuah Negara Islam. Misalnya di Sudan, impian untuk mewujudkan
sebuah Negara Islam bukan sahaja menemui kegagalan malahan kosekuensinya bukan
sedikit nyawa menjadi korban. Negara-negara yang dipimpin oleh umat Islam dan
penduduknya juga majoriti beragama Islam mempunyai sistem pemerintahan yang
lebih rusak daripada sistem pemerintahan yang ada di Eropah dan Amerika. Di negara-negara
berkenaan terdapat amalan penindasan, pengekangan kebebasan, krisis ekonomi,
rasuah, inflasi, kemiskinan yang keterlaluan dan seribu satu macam masalah.
Akibatnya masyarakat dunia termasuk ada di antara umat Islam sendiri mempunyai
tanggapan bahawa negara Islam tidak
membawa kemakmuran malahan sebaliknya kemunduran dan tidak produktif,
memberikan hambatan kepada seseorang untuk menjadi seorang muslim yang baik. Sejarah
menjadi saksi bahawa bermula dari era kekhalifahan Hazrat Uthman ra hingga kepada
era Hazrat Ali ra konflik berdarah mula memperlihatkan coraknya dan setelah itu
disusuli ratusan tahun lamanya lahir kekuasaan demi kekuasaan monarki oleh
raja-raja Islam yang tamak kuasa tidak sunyi dari konflik perebutan kuasa
menjurus kepada peperangan. Oleh itu
tidak hairanlah jika ramai umat Islam lebih cenderung kepada negara sekular
yang berkiblatkan Amerika dan Eropah sebagai negara yang menjanjikan kemajuan
yang lebih progresif tanpa memaksakan ajaran dan hukum agama, malahan
menyediakan ruang neutral yang amat luas terhadap agama. Mereka beranggapan
negara sekular dinilai sebagai sebuah negara yang ideal, tidak memusuhi atau
mendukung suatu agama. Fenomena ini terbukti kebenarannya yakni semakin neutral
sikap sesebuah negara terhadap agama maka semakin banyak kemungkinan bagi
warganya untuk menjadi seorang yang lebih bersifat toleran, berkompromi serta
agamis dan hasilnya akan bertaqwa kepada Allah swt.
Jika Malaysia yang sedang
mengharungi kemajuan pesat menuju negara maju hendak dijadikan sebuah negara
Islam, timbul satu pertanyaan berkaitan dengan negara Islam yang manakah hendak
dijadikan model contoh? Belum ada mana-mana negara pernah menikmati kejayaan
dalam menegakkan sebuah negara Islam dan dengan mengamati kemampuan pakar-pakar
dari kalangan umat Islam samada dari latar belakang pendidikan agama atau
sekular, sama sekali tidak ada bayangan bahawa mereka memiliki kemampuan untuk
menegakkan sebuah negara Islam, lebih-lebih lagi dengan warga berbilang kaum
yang majoritinya terdiri dari mereka yang tidak takutkan Allah swt. Jalan
pintas untuk menegakkan negara Islam yang aman makmur khasnya melalui
perjuangan politik masih samar-samar dan sempit. Mereka yang gerun dengan
wawasan mewujudkan negara Islam akan terus melatah dengan pelbagai usaha bagi
memusnahkan benih-benih negara Islamik sebelum sempat mengambil ruang untuk
bercambah. Jika negara-negara lain gagal dalam usaha mereka untuk menegakkan
negara Islam, apakah dalam kondisi yang ada sekarang di Malaysia boleh
ditegakkan sebuah negara Islam dengan jayanya? Jika umat Islam berhasrat untuk
mendirikan sebuah negara Islam yang berjaya dan moden maka umat Islam hendaknya
memberi pertimbangan wajar kepada nasihat Yusuf al-Qaradawi. Beliau pernah
menasihatkan umat Islam agar berusaha untuk mendalami serta mengembangkan
kefahaman, pemikiran, hukum-hukum dan kaedah-kaedah khususnya berkaitan dengan
fiqh politik yang tidak pernah dibahas dengan lebih mendalam di masa lampau.
Islam tidak menetapkan format tertentu dalam menegakkan sebuah negara Islam,
aspek signifikan yang dituntut oleh Islam ialah sebuah pemerintahan yang
berlandaskan ketaqwaan kepada Allah swt dan mampu melahirkan keharmonian ummah
tanpa mengorbankan aspek kehidupan lain. Harapan tetap ada meskipun memakan
waktu yang lama yakni langkah pertama yang amat penting perlu dilaksanakan
adalah terlebih dahulu dan wajib dijadikan keutamaan ialah proses tarbiyah ala
Rasulullah saw. Jika program tarbiyah ini berjaya dilaksanakan di kalangan umat
Islam, dengan sendirinya negara Islam akan tumbuh subur di bumi Malaysia.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Makkah Al-Mukarramah
Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...
-
Sebagai Umat Islam yang tahu kedudukan FITNAH yang lebih dahsyat dari membunuh, maka seharusnya berfikir sebelum mengeluarkan sesuatu kenyat...
-
Kuliyah Mazhab Akidah Dunia Islam Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Kesesatan Golongan Qadiani/ Ahmadiah Para sarjana Islam di India ...
-
Pada 3 ogos yang lepas, ada artikel tentang Jemaat dimuatkan dalam Kosmo, mungkin mereka berbangga kerana dapat menulis tentang isu ini, apa...
