Wednesday, February 1, 2017

Didikan dan Tarbiyat Anak

Dalam surah al-Mukmin para Malaikat mendoakan orang-orang mukmin:

"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Mukmin:8)

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda:-

"Tidak ada hadiah yang lebih bernilai dari tarbiyat yang terbaik yang datang daripada seorang bapa terhadap anaknya." (Tarmizi)

"Hormatilah anak-anakmu dan perbaiki akhlak dan adab mereka." (Ibnu Majah)

Semua ibu bapa menginginkan anak keturunan, tetapi tidak semua ibu bapa memberikan perhatian terhadap tarbiyat yang terbaik untuk anak-anak. Ada juga yang tidak berdoa untuk anak-anak mereka. Sepatutnya mereka berdoa kepada Allah dalam setiap solat untuk kebaikan anak-anak mereka. Ada juga ibu bapa yang mengajarkan adat-adat yang buruk kepada anak-anak mereka. Ada juga ibu bapa yang melihat adat buruk di kalangan anak-anak, mereka langsung tidak risau dan tidak memberikan amaran. Akibatnya, semakin lama anak-anak semakin berani melakukan kesalahan dan keburukan.

Ibu bapa seharusnya berusaha untuk memperbaiki anak-anak mereka dan jangan membiarkan kebaikan dan kesolehan dalam diri tidak diturunkan atau diwariskan kepada anak-anak mereka. Jadikan kebaikan dan kesolehan ibu bapa berterusan sehingga kiamat.

Jika tarbiyat dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka ada jaminan keamanan dalam masyarakat, akan ada semangat di dalam diri anak-anak untuk melakukan pengorbanan.

Kita melihat ada anak lelaki yang tidak sekolah, tidak bekerja. Ibu bapa beranggapan, Allah telah berikan rezeki biarlah mereka makan dari hasil pendapatan kami. Tetapi, adakah mereka tidak terfikir bahawa Tuhan menjadikan dunia ini hanya untuk makan minum? Seorang raja pun tidak akan mahu melihat anaknya dalam keadaan seperti itu. Jika memang ada anak seperti itu, yang tidak mahu melakukan pekerjaan dan hanya membuang masa, maka secara perlahan-lahan akan membunuh kerohanian anak tersebut dan menuju ke arah kehancuran.

Tempat didikan yang paling baik ialah seorang ibu. Sebab itu kaum ibu harus berusaha memberi didikan yang sempurna. Kalau 50% dari seluruh kaum ibu dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik, maka sudah pasti akan wujud jaminan akan keselamatan anak keturunan dalam dunia ini. Anak-anak akan ramai yang cenderung kepada Tuhan.

Jadi, kaum ibu dan anak-anak wanita hendaklah menyedari tanggungjawab bahawa bukan hanya mereka sahaja yang perlu menjauhi hasutan syaitan, malah mereka juga hendaklah memastikan anak keturunan mereka jauh daripada perangkap syaitan.

Seorang wanita yang mengandungkan anak dalam rahimnya, seorang ibu yang menjaga anak dipangkuannya dan membesar bersamanya, seorang ibu yang memberikan tarbiyat terhadap anak-anak sebelum melepaskan anak-anak mereka ke persekitaran di luar rumah, supaya anak-anak tahu apa yang baik dan apa yang buruk.

Seorang ibu tahu apa yang perlu diberitahu kepada anak-anak tentang akhlak yang baik selain daripada menunaikan hak Allah. Seorang ibu boleh membisikkan di telinga anak-anak sejak dari kecil tentang hakikat tujuan mereka diciptakan ke dunia ini.

Inilah tanggungjawab setiap wanita dan ibu-ibu. Terutama sekali dalam era atau persekitaran zaman sekarang yang semakin pantas menuju kehancuran. Maka, tentunya tanggungjawab ini semakin besar. Apalagi apabila anak-anak sudah mencapai umur 12-13 tahun, yang mana mereka sudah ada rakan-rakan di luar rumah.

Dalam zaman moden yang penuh dengan serangan syaitan ini menuntut satu tugas yang sangat besar, yang tidak kalah besarnya berjihad di jalan Allah. Sebab itu pernah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ditanya oleh seorang wanita, 'kami ini tidak dapat pergi ke medan perang, adakah kami juga akan mendapat pahala jihad hanya dengan menjaga rumah dan memberi tarbiyat kepada anak-anak'? Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam menjawab: 'sesungguhnya inilah jihad kamu, dan kamu akan mendapat ganjaran seperti jihad'.

Cuba lihat betapa tingginya kedudukan yang diberikan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam terhadap wanita. Jadi, sebenarnya wanita boleh, iaitu wanita boleh memberikan didikan agama dan akhlak yang kuat terhadap keturunan mereka.

Sebaliknya, kaum yang tidak memberi perhatian terhadap perkara ini, maka kerosakan akan mula melanda, baik di rumah, baik di sekolah, baik di persekitaran dan di mana sahaja anak-anak itu berada.

Secara kesimpulan, perhatian terhadap didikan dan tarbiyat anak-anak harus dimulakan. Perhatikan anak-anak, jawab pertanyaan mereka dengan bijaksana sekiranya mereka membawakan sesuatu isu dari luar yang bertentangan dengan akhlak yang baik. Kadang-kadang anak-anak lebih selesa dengan ibu dalam dalam berkongsi suatu isu. Jadi, dengar dengan teliti ucapan mereka dan jangan berlebihan dalam bersangka baik bahawa 'zaman kamu zaman kanak-kanak, berseronoklah. Dengan tindakan itu nanti mereka akan merasa selesa dengan persekitaran luar. Perhatian mereka akan lebih cenderung kepada dunia berbanding agama.

Ibu atau wanita lebih banyak masa dengan anak-anak. Jadi, beri perhatian lebih dalam didikan agama. Dalam berdoa juga, selain berdoa untuk kemajuan sekolah, pekerjaan dan keduniaan, doakan juga untuk kemajuan rohani mereka.

Semoga ibu-ibu diberi kemajuan dalam kerohanian untuk memastikan kemajuan rohani dalam anak keturunan.

>>>>>>>>>><<<<<<<<<< 

Penyusun:

Islah Deen - Mekah al-Mukarramah

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...