Saiyidina Hazrat Khalifatul
Maseeh Al-Khamis telah memulakan khutbah Jumaat pada 11 Julai 2014 dengan
menilawatkan ayat Al-Quran dari surah Al-Baqarah ayat 186.
Selanjutnya Huzur
berkata:-
“Ayat yang ditilawatkan
tadi dan dikaitkan dengan bulan Ramadhan memberitahu tentang hubungan berkat di
antara Al-Quran dan bulan Ramadhan. Sebab itu, orang yang hendak meningkatkan
keimanan, hendak menyebarkan Al-Quran di seluruh dunia, hendak mendapatkan
qurub atau kedekatan kepada Allah dan hendak mendengar lafaz “FA INNII QORIIBUN”,
maka mereka hendaklah menunaikan hak puasa dengan memahami sebenar-benarnya
hubungan Ramadhan dan juga Al-Quran. Dan apa yang sebenarnya ialah,
bersama-sama dengan puasa hendaklah membaca Al-Quran dan memahaminya.
Dalam bulan Ramadhan,
Al-Quran mula diturunkan. Malaikat Jibril setiap tahun akan turun dalam bulan
Ramadhan berjumpa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam untuk mengulangi
ayat-ayat Al-Quran yang sudah diturunkan. Dan pada tahun kewafatan Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam, ia diulangi sebanyak dua kali. Jadi perkara ini
member perhatian kepada kita supaya dalam bulan Ramadhan ini, kita berusaha
mengkhatam Al-Quran sekurang-kurangnya sekali dan berusaha memahaminya
ajarannya.
Di dalamnya ada Furqan
(pembeza) dan juga dalil jelas untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.
Orang yang beramal padanya akan mencapai darjat yang tinggi dari segi amalan,
rohani, dan keyakinan serta menjadikan mereka lebih menyerlah dalam masyarakat.
Jadi, hendaklah sentiasa ingat perkara-perkara yang selalu dilupakan. Inilah
kitab yang sangat sempurna dan tidak ada terdapat di mana-mana tandingannya.
Huzur menyampaikan
tentang ketinggian Al-Quran, kepentingannya dan kewajipan kita dengan
mempersembahkan petikan dari Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda:-
“Al-Quran adalah satu
kitab yang terbukti lebih agung dari semua kitab-kitab atau lembaran-lembaran
yang terdahulu. Sejauh mana kalam-kalam yang lain tidak dapat mencapainya
seperti kesempurnaan nubuwat yang berakhir pada Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam, demikian juga kesempurnaan kalam-kalam berakhir pada Al-Quran.
Baginda sebagai Khatamun Nabiyyin dan kitab baginda sebagai Khatamul Kutub. Tinggalkanlah
kitab-kitab lain dan bacalah siang dan malam kitab Allah ini. Anggota jemaat
kita seharusnya sibuk dengan Al-Qur’an, memberi perhatian serius sepenuh hati,
dengan itu nanti kejayaan akan dapat dimiliki. Di hadapan nur itu, kegelapan
akan menghilang. Dalaman seorang insan boleh diperbaiki dan diubah melalui
ibadat solat yang juga merupakan doa sebenar.”
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda:-
“Al-Quran adalah sebuah
kitab yang berkat dan buahnya sentiasa segar, sebab itu sentiasalah membaca
Al-Qur’an dan berdoa, serta berusaha untuk beramal sesuai dengan ajaran
Al-Quran. … Inilah perkara yang sebenarnya bahawa apa sahaja yang telah
diajarkan oleh Allah di dalam Al-Quran, selagi manusia tidak sepenuhnya
mengikuti perintah-perintah Al-Quran, maka tidak akan ada kemajuan yang dapat
diperolehi. Kemajuan dan hidayat hanya boleh diperolehi dengan beramal atas
perintah Al-Quran”.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda:-
“Allah Ta’ala telah
memberikan ihsan yang sangat besar untuk kamu dengan mengurniakan kitab seperti
Al-Quran ini. Jadi, hargailah nikmat ini kerana ia sangat bernilai”.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda:-
“Ketika sedang
menilawatkan Al-Quran, apabila tiba di tempat yang menyentuh tentang rahmat
maka mohonlah rahmat Allah. Apabila membaca ayat tentang azab atas suatu kaum,
maka mohonlah perlindungan dari azab Allah Ta’ala”.
Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam bersabda:-
“Ajaran yang perlu
untuk kamu ialah jangan tinggalkan Al-Quran ibarat barang yang tidak digunakan.
Orang yang memuliakan Al-Quran akan mendapat kemuliaan di atas langit. Untuk
manusia di muka bumi ini, tidak ada kitab lain melainkan Al-Quran. Sekarang ini
untuk manusia, tidak ada rasul atau pemberi syafaat selain daripada Rasulullah
sallallaahu alaihi wasallam.
Huzur berkata:- Semoga
dalam bulan Ramadhan ini kita mendapat kurnia dari berkat Al-Quran yang penuh
khazanah penting. Amin.
No comments:
Post a Comment