Forum kebebasan agama dan hak asasi
manusia anjuran Pemuda PAS Lembah Pantai malam tadi berlangsung 'panas'
apabila wakil NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berdepan dengan
kritikan oleh penalis dan penonton yang menghadirinya.
Walaupun tiada kekecohan tercetus, Timbalan Presiden ISMA Aminuddin
Yahya diasak hebat dengan bidasan Pengarah Islamic Renaissance Front
(IRF) Dr Ahmad Farouk Musa, celahan hadirin yang tidak berpuas hati
dengan jawapan yang diberikannya serta soalan sinis penonton.
Sebagai penalis yang pertama, Aminuddin menjelaskan Islam memberi dan
mengiktiraf kebebasan dalam agama itu tetapi ia mesti terikat dengan
prinsip maqasid syariah (tujuan-tujuan agama), iaitu menjaga agama,
akal, keturunan, harta dan nyawa.
Katanya, ia berbeza dengan erti kebebasan yang diperkenalkan oleh Barat
bahawa keinginan manusia diberi keutamaan dan mengatasi segala-galanya,
seperti dalam fahaman humanisme.
"Keinginan manusia diberi keutamaan, dihormati dan selagi tidak
mengganggu orang lain. (Tetapi dalam Islam) jika seseorang itu buat
maksiat, hukuman tidak mengira siapa.
"(Jadi) istilah 'mengganggu' telah diputarbelit. Dengan maksudnya ganggu
(dari sudut) fizikal," katanya dalam forum bertajuk "Perjuangan Hak
Asasi Manusia: Antara Agama Tanpa Kebebasan dan Kebebasan Tanpa Agama".
Menurutnya lagi, kebebasan beragama, dengan bebas memeluk agama dan
kemudiannya menukarnya, adalah berasaskan pemikiran liberal, yang
dirujuknya sebagai cabang pemikiran agama baru yang cuba merosakkan
Islam dan kemanusiaan.
"Ini tragedi kepada Islam," kata sambil memberi contoh “hipokrasi”
Amerika Syarikat yang menerajui liberalisme dan membela demokrasi tetapi
masih tidak menutup penjara Guantanamo Bay.
Tepis celahan
Mempertahankan hujah termasuk menepis celahan seorang hadirin yang
bernama Siti Kassim seringkali menyampuk kerana tidak berpuas hati
dengan jawapannya, Aminuddin menegaskan Islam menyuruh umatnya melakukan
kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran.
Di samping itu, beliau juga mempertahankan tindakan kerajaan Malaysia
yang tidak menandatangani konvensyen di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB) yang mengiktiraf hak untuk murtad seperti yang dikaitkan dengan
Gabungan NGO Comango.
"Kena ada amar makruf nahi mungkar. Kita tidak boleh menafikan nahi
mungkar untuk menjaga agama. Kenapa kita nak biarkan ia berlaku. Mungkin
bala Allah akan datang. Ini keimanan yang tidak ada pada Barat,"
katanya.
Sementara itu, julung-julung kali sepentas dengan wakil ISMA - selepas
beberapa kali percubaan untuk mepertemukan bersama - Dr Ahmad Farouk
mengambil kesempatan itu untuk membidas "ketakutan" Isma berhubung isu
kebebasan beragama dalam hak asasi manusia.
Bercakap sebagai penalis yang ketiga, beliau menyifatkan gaya pemikiran
yang dilontarkan oleh Aminuddin sebagai "kepungan minda" apabila
menganggap Islam berdepan dengan pelbagai serangan dan ancaman.
"Membentuk kepungan minda adalah masalah utamanya sekarang ini. Apabila
ia (kebebasan beragama) dalam konteks hak asasi menjadi kalimah yang
begitu kotor," kata Ahmad Farouk.
Beliau turut membidas ketakutan ISMA berkaitan kebebasan beragama atau
kebebasan kesedaran yang difahami mereka bahawa umat Islam akan keluar
Islam secara berbondong-bondong.
"Kenapa ada pemikiran begini. Saya pakai komputer Macintosh dari dulu
sampai sekarang dan tidak boleh guna yang lain. Begitu juga dalam hak
(kebebasan) beragama, ia menjadi keyakinan kita.
Coke dan Pepsi
"Adakah ia (kebebasan beragama) semudah memilih Coke dan Pepsi. Tidak
semudah itu. Agama ada dalam diri kita dan (perlu memahaminya) dengan
keadaan sedar," katanya sambil menambah keyakinan dan keimanan dalam
hati "tidak boleh dipaksa-paksa" seperti cinta.
Menurutnya lagi, berdasarkan laporan media, kini ramai rakyat Eropah
khususnya di Great Britain dan Australia ramai memeluk Islam dan nampak
kepada keadilan Islam.
Sementara itu, ahli panel kedua Dr Zuhdi Marzuki mengambil 'jalan
selamat' apabila cuba mengelak daripada mengkritik kedua-dua pihak
dengan menyifatkan "memperjuangkan hak asasi adalah memperjuangkan
fitrah manusia".
Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan dengan mengupas tajuk forum itu
apabila menyatakan perjuangan hak asasi manusia adalah perjuangan supaya
manusia kembali kepada fitrah dan aturan alam semula jadi.
"Perjuangan hak asasi perlu kembali kepada fitrah manusia, (dan)
peraturan yang sesuai dengan konteks sosial dan natural law," katanya
yang juga ketua pegawai operasi Pusat Penyelidikan PAS.
"Hak asasi manusia perlu kembali kepada asas, bukan (kembali) dengan
peristiwa yang memalitkan Islam dengan perkara yang tidak sesuai.
Tafsiran yang lari daripada prinsip fitrah, maka kita akan lari dari
prinsip Islam," katanya lagi.
Forum itu selama hampir tiga jam bermula 8.20 malam diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya dihadiri kira-kira 100 orang.
No comments:
Post a Comment