TERJEMAHAN
KHUTBAH JUMAAT
HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISatba
21 SEPTEMBER 2012
/ 21 TABUK 1391HS
Masjid Baitul Futuh, Morden, London
----------------------------<<<>>>----------------------------
Setelah membaca
Tasyahud, Ta’awudz dan surah Al-Fatihah Huzur menilawatkan ayat berikut:
Dunia Islam
kebelakangan ini, di negara-negara Islam dan di negara-negara dunia yang ada
penduduk Islam, musuh-musuh Islam telah melakukan unsur-unsur yang sangat zalim
dan menyakitkan hati sehingga mengundang kemarahan. Memang orang Islam wajar
menjadi marah atas tindakan ini. Orang-orang Islam, tidak kira sama ada mereka
mengetahui kedudukan Rasulullah (saw) dengan sebenarnya atau pun tidak, mereka
semua sanggup untuk mati demi mempertahankan kemuliaan Rasulullah (saw).
Musuh-musuh Islam telah membuat satu filem menghujat berkenaan dengan
Rasulullah (saw) yang menzahirkan penghinaan terhadap Rasulullah (saw), dan
memang sifat semulajadi bahawa setiap umat Islam akan menjadi sedih dan marah.
Insan yang sangat
baik, yang merupakan rahmat bagi seluruh alam dan merupakan kekasih Allah
Ta’ala, insan yang berjaga malam memikirkan keadaan makhluk di sekelilingnya,
yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan makhluk dari kebinasaan,
dan disebabkan kesedihan yang teramat sangat, Tuhan telah berfirman kepadanya kenapa engkau meletakkan diri sendiri dalam
kesusahan hanya disebabkan orang-orang itu tidak mengenal Pencipta mereka?
Untuk orang yang
sangat berhati mulia, pembikinan filem yang mengandungi unsur penghinaan yang
sangat dalam seperti itu sememangnya menjadikan hati seorang Muslim berdarah,
terutama sekali kepada setiap Ahmadi Muslim, ia sangat menyakitkan kerana kita
adalah pengikut setia kepada pencinta sejati Rasulullah (saw), beliau telah
memberikan kita pengetahuan yang mendalam mengenai kedudukan Rasulullah (saw)
yang sangat agung. Jadi, hati kita seharusnya terbakar disebabkan perkara ini,
jantung kita juga seharusnya bagaikan disiat-siat. Kita banyakkan sujud kepada
Allah Ta’ala dengan harapan orang zalim ini diberikan hukuman yang menjadi
pengajaran untuk sepanjang zaman. Kita telah diberi pengetahuan oleh imam zaman
mengenai kecintaan kepada Rasulullah (saw) bahawa kita boleh berdamai dengan
ular-ular dan binatang buas di hutan, namun kita tidak akan berdamai dengan
orang yang menghina junjungan kita Rasulullah (saw) dan mereka yang tidak mahu
berpaling dari perbuatannya.
Hazrat Maseeh
Mau’ud (as) bersabda:-
“Orang
Islam adalah kaum yang sanggup memberikan nyawa demi kehormatan Nabi yang mulia
(saw). Dan dia merasa adalah lebih baik mati daripada berbaik hati atau
bersahabat dengan orang yang pekerjaannya siang dan malam hanya mengeluarkan
caci maki ke atas Rasulullah (saw) dan menyebut nama baginda yang mulia dalam
risalah, isytihar dan buku-buku mereka dengan panggilan yang begitu hina, juga
yang menyebut nama baginda dengan ucapan yang sangat buruk”.
Beliau (as)
bersabda lagi:-
“Ingatlah
bahawa orang-orang seperti itu tidak memberi manfaat kepada kaum mereka sendiri,
kerana jalannya penuh dengan duri. Dan saya mengatakan dengan sebenar-benarnya
bahawa mungkin saja kita boleh berdamai dengan ular-ular di hutan dan binatang
buas di padang pasir, tetapi kita tidak boleh berdamai dengan orang-orang yang
tidak berpaling dari terus memburuk-burukkan nabi Allah yang suci. Mereka
menyangka caci maki dan kata-kata kotor itu satu kemenangan, tetapi sebenarnya
setiap kemenangan itu datang dari langit”.
Beliau (as)
bersabda lagi:-
“Berkat
ucapan seseorang yang menggunakan bahasa yang suci boleh memenangi hati orang
lain. Tetapi fitrat seorang yang kotor, dia tidak mempunyai apa-apa kemahiran
selain daripada melahirkan huru hara, kerosakan dan perpecahan ...........”
Bersabda lagi:-
“Pengalaman
juga memberi kesaksian bahawa akibat buruk dari orang yang berkata buruk adalah
tidak baik. Kemegahan Tuhan akhirnya akan memperlihatkan suatu pekerjaan kepada
orang-orang yang dikasihinya”. (Chasymae Ma’rifat Rohani Khazain Jilid 23,
halaman 385-387)
Dalam zaman ini, seiring
dengan akhbar-akhbar dan isytihar, banyak lagi media-media lain yang digunakan
pada jalan yang tidak betul. Jadi, orang-orang yang sangat degil ini sedang
berperang dengan Tuhan sendiri. InsyaAllah mereka akan tertangkap. Disebabkan
kedegilan dan perasaan tidak malu, mereka terus melakukan perbuatan zalim
mereka.
Pada tahun 2006,
ada orang yang berfitrat jahat di Denmark telah membuat gambar Rasulullah (saw)
dengan sangat buruk. Waktu itu, selain memberitahu tindakan yang seharusnya
kita perlihatkan, saya juga mengatakan bahawa orang-orang zalim ini tidak akan
berhenti. Mereka tidak akan berubah walau dengan apa cara sekalipun, walaupun
dengan cara seperti umat Islam lain lakukan terhadap mereka sekarang ini, malah
pada masa akan datang juga golongan seperti ini akan muncul berterusan. Dan
kita dapat melihat bahawa kezaliman mereka tidak akan berhenti, malah akan
perlahan-lahan melakukan sesuatu yang lebih teruk lagi.
Jadi, inilah
kekalahan mereka dalam menghadapi Islam dan melakukan keburukan atas nama
kebebasan. Sebagaimana Hazrat Maseeh Mau’ud (as) katakan bahawa ingatlah bahawa orang seperti itu tidak
memberi manfaat kepada kaum mereka sendiri. Suatu hari nanti akan terbuka,
akan jelas kepada mereka bahawa keburukan yang mereka buat hari ini menjadi
kerugian kepada kaum mereka, akan jelas mereka ini mementingkan diri sendiri
dan zalim. Mereka hanya mengikut hawa nafsu sendiri sahaja.
Sekarang ini ahli
politik dan golongan lain menzahirkan amalan kebebasan, dan kadang-kadang
bercakap atas pihak sendiri dan kadang-kadang bercakap atas pihak orang Islam.
Tetapi ingatlah bahawa sekarang ini dunia telah menjadi global village, jika
suatu kejahatan tidak dikatakan sebagai kejahatan, maka keamanan akan musnah di
negara berkenaan, azab Allah Ta’ala pun berada pada sudut yang lain lagi.
Ingatlah kata-kata
imam zaman ini bahawa setiap kemenangan
itu datang dari langit dan langit telah memutuskan bahawa Rasul yang sedang
kamu persendakan itu, dia yang akan membawa dunia ke arah keunggulan. Dan
kemenangan seperti yang Hazrat Maseeh Mau’ud (as) katakan; menakluk hati manusia. Ini kerana ada kesan daripada ucapan yang
suci. Ucapan yang suci tidak memerlukan kekerasan, ataupun keburukan dijawab
dengan keburukan. Kata-kata dan ucapan buruk yang telah dimulai oleh mereka,
insyaAllah akan hilang dengan segera. Kemudian, selepas kehidupan ini mereka
akan berhadapan dengan Tuhan.
Ayat yang telah
saya tilawatkan tadi, Allah Ta’ala menyeru kepada tanggungjawab setiap mukmin bahawa
kewajipan kamu ialah bersalawat dan mendoakan
keselamatan atas rasul itu. Segala caci maki dan persendaan dari
musuh-musuh Islam tidak akan mengurangkan kemuliaan dan keagungan Rasulullah
(saw). Nabi ini begitu agung sehingga Allah Ta’ala dan para malaikat turut
bersalawat ke atasnya. Pekerjaan orang mukmin ialah membasahkan bibir
masing-masing dengan salawat. Dan apabila musuh-musuh melakukan lebih banyak
keburukan, maka kita juga hendaklah bersalawat lebih banyak berbanding
sebelumnya.
ALLAAHUMMA SHOLLI ‘ALAA MUHAMMADIN WA ‘ALAA AALI MUHAMMADIN
KAMAA SHOLLAITA ‘ALAA IBROOHIIMA WA ‘ALAA AALI IBROOHIIMA INNAKA HAMIIDUM
MAJIID. ALLAAHUMMA BAARIK ‘ALAA MUHAMMADIN WA ‘ALAA AALI MUHAM MADIN KAMAA
BAAROKTAA ‘ALAA IBROOHIIMA INNAKA HAMIIDUM MAJIID.
Inilah salawat dan
inilah nabi yang dijanjikan akan kemenangan di dunia.
Jadi, sejauh mana
seorang Ahmadi Muslim menzahirkan kesedihan dan kemarahan terhadap perbuatan
jahat mereka, di sana juga mereka hendaklah memberi perhatian dalam usaha
menghentikan orang-orang berkenaan di negara masing-masing. Dari sudut dunia,
seorang Ahmadi hendaklah berusaha memberi kefahaman kepada dunia akan perkara
yang sebenarnya. Perlihatkan juga keindahan sirah Rasulullah (saw). Zahirkan
kecantikan contoh Rasulullah (saw) melalui amalan kamu masing-masing dan ajaran
Islam dan contoh teladan dari Rasulullah (saw) hendaklah dipersembahkan kepada
dunia dalam bentuk amalan. Tetapi, pada masa yang sama juga hendaklah memberi
perhatian dalam salawat terhadap Rasulullah (saw). Lelaki, wanita, anak muda
dan tua, masing-masing hendaklah memperbanyakkan salawat ini. Jadikan amalan
kamu sebagai contoh dari ajaran Islam. Inilah tindakbalas yang seharusnya kita
persembahkan kepada dunia.
Selebihnya,
berkenaan dengan nasib orang-orang zalim ini, Allah Ta’ala telah memberitahu
dalam ayat kedua bahawa orang yang memberi kesusahan kepada Rasul Allah, atau
pada zaman ini mereka menyakiti hati orang-orang mukmin yang hakiki dengan
menyerang peribadi Rasulullah (saw), mereka itu akan berdepan sendiri dengan
Allah Ta’ala. Di dunia ini Allah Ta’ala melaknat mereka dan disebabkan laknat
itu, mereka akan terus melakukan perbuatan-perbuatan yang kotor. Dan selepas
mereka mati, Allah Ta’ala telah menetapkan azab yang pedih kepada mereka. Dalam
menjelaskan perkara ini, Hazrat Maseeh Mau’ud (as) bersabda bahawa nasib orang yang bermulut jahat ini adalah
tidak baik. Jadi, orang ini dilaknat oleh Allah di dunia ini, dan selepas
mati akan mendapat azab yang sangat pedih.
Kepada umat Islam
yang lain, mereka juga seharusnya memperlihatkan tindakbalas yang sepatutnya
sesuai dengan ajaran Allah Ta’ala, iaitu penuhkan negara, daerah dan
persekitaran masing-masing dengan salawat.
Tindakbalas yang
tidak memberi manfaat ialah seperti membakar harta benda negara atau membunuh
rakyat negara sendiri, atau pun membuat rusuhan dan tunjuk perasaan sehingga
memaksa pihak polis untuk melepaskan tembakan ke atas rakyat senegara dengan
mereka.
Berita dan media
yang sampai ke luar, dari situ dapat diketahui bahawa kebanyakan orang-orang
yang berfitrat baik di Barat menzahirkan perasaan tidak suka akan tindakan
seperti ini. Orang yang bukan Muslim tetapi ada perasaan kemanusiaan dalam diri
mereka, di Amerika dan di sini juga membenci perbuatan itu. Tetapi, mereka yang
ada leadership, pada satu arah mengatakan bahawa hal itu tidak betul, dan pada
arah yang lain mereka bersetuju atas dasar kebebasan. Hal ini tidak seharusnya
berlaku. Undang-undang berkenaan dengan kebebasan bukan satu kitab langit. Saya
juga telah menjelaskan di Amerika dalam satu ceramah bahawa, undang-undang yang
dibuat oleh orang-orang dunia boleh mengandungi kesalahan. Satu undang-undang
digubal disebabkan suatu perkara kerana manusia tidak mengetahui perkara ghaib.
Tetapi Tuhan itu adalah ‘AALIMUL GHAIB (mengetahui perkara ghaib), dalam
undang-undang yang dibuat oleh-Nya tidak mengandungi sebarang kelemahan. Jadi,
jangan menganggap undang-undang kamu itu sempurna, bahawa tidak ada bantahan di
dalamnya dan tidak ada perubahan di dalamnya. Ada undang-undang kebebasan,
tetapi tidak terdapat dalam undang-undang mana-mana negara, tidak ada pada
charter (piagam) UNO bahawa seseorang
tidak boleh sesuka hati (bebas) mempersendakan agama lain. Tidak ada
tertulis bahawa tidak dibenarkan untuk
mencemuh orang yang dimuliakan dalam agama lain sehingga merosakkan keamanan
dunia, menimbulkan perasaan benci, dan menjadikan jurang perpecahan di antara
kaum dan agama semakin luas.
Jadi, jika hendak
membuat undang-undang kebebasan, maka silakan buat undang-undang kebebasan
untuk seseorang tetapi jangan membuat undang-undang yang mempermainkan perasaan
orang lain.
Antara punca UNO
tidak berjaya ialah mereka menganggap telah membuat sesuatu yang sangat besar
walaupun undang-undang yang mereka buat tidak berhasil. Cuba lihat
undang-undang Tuhan, Allah Ta’ala berfirman: Jangan mencemuh sembahan-sembahan orang lain kerana boleh merosakkan
keamanan dalam masyarakat. Jika kamu cemuh sembahan mereka, maka disebabkan
ketidaktahuan, mereka akan menggunakan kata-kata yang tidak betul mengenai
Tuhan kamu yang Maha Kuat sehingga menjadikan kamu sedih, kebencian akan
bertambah, pertengkaran dan pergaduhan akan terjadi, huru-hara akan berlaku
dalam negara.
Jadi, inilah ajaran
cantik yang dipersembahkan oleh Tuhan Islam, Tuhan bagi dunia dan alam ini.
Tuhan itu juga yang memberikan pelajaran ini, iaitu bersama dengan ajaran yang
sempurna, Dia juga menghantar Rasulullah (saw) ke dunia ini untuk memperbaiki
orang dunia dengan penuh kecintaan dan kasih sayang, Tuhan yang memberi gelaran
kepada baginda (saw) RAHMATUL LIL ‘AALAMIIN (rahmat atas sekalian alam)
sehingga menjadi rahmat atas semua makhluk.
Jadi, orang-orang
terpelajar di dunia, golongan pemerintah dan ahli politik hendaklah berfikir: Adakah dengan tidak menekan beberapa orang
jahat ini kamu semua tidak terlibat dalam perbuatan ini? Orang-orang awam
dunia juga fikirkan: Tidakkah kamu
terlibat dalam menghancurkan keamanan dunia dengan memberikan sokongan kepada beberapa
ulat yang mempermainkan perasaan pengikut agama lain dan yang tenggelam dalam
kekotoran dunia ini?
Kami sebagai Ahmadi
Muslim tidak akan melepaskan sekecil-kecil peluang untuk mengkhidmati dunia.
Ketika Amerika memerlukan darah, tahun lepas kami Ahmadi telah memberikan 12,000
pain darah. Dan sekarang ini kami sedang berusaha mengumpulkannya. Kebelakangan
ini sedang berjalan. Saya katakan kepada mereka bahawa kami Ahmadi Muslim sanggup memberikan darah untuk memberi kehidupan
kepada orang lain dan kamu pula, disebabkan perbuatan kamu dan sokongan kamu ke
atas perbuatan orang yang menghujat, kamu telah menjadikan hati kami berdarah.
Jadi, inilah amalan
kami sebagai Ahmadi Muslim dan amalan sebagai Muslim yang hakiki. Dan
orang-orang yang menganggap mereka mengekalkan keadilan, di antara mereka juga
ini yang diamalkan.
Orang-orang Islam
pula dituduh melakukan kesalahan. Dari satu sudut mungkin betul, orang Islam
melakukan tindakbalas yang salah kerana membuat kehancuran, membakar, membunuh
orang yang tidak berdosa, memukul dan sebagainya, semuanya adalah salah.
Tetapi, menghina dan mempersendakan nabi-nabi Allah Ta’ala juga satu kesalahan
dan dosa besar.
Beberapa hari yang
lepas dalam risalah France, muncul lagi kartun yang sangat buruk berbanding
sebelumnya. Orang-orang dunia ini tahu segala-galanya tentang dunia tetapi
mereka tidak tahu bahawa dunia ini adalah sarana kehancuran bagi mereka.
Saya juga hendak
mengatakan di sini bahawa di dunia ini ada banyak kerajaan Islam. Dan banyak
juga kawasan yang di bawah pemerintahan Islam. Banyak juga negara-negara Islam
yang diberikan oleh Allah kurnia semulajadi dan pelbagai sarana kekayaan.
Negara-negara Islam juga bahagian daripada UNO. Al-Qur’an yang merupakan kitab
kehidupan yang sempurna untuk orang yang mempercayainya dan juga untuk orang
yang sekadar membacanya. Tetapi, kenapa kerajaan Islam tidak berusaha untuk
menzahirkan keindahan ajarannya kepada dunia? Kenapa tidak dilaksanakan? Kenapa
tidak persembahkan kepada dunia bahawa menurut ajaran Al-Qur’an, mempersendakan
dan mempermainkan perasaan penganut agama lain dan menghina nabi-nabi Allah
juga adalah satu kesalahan dan dosa yang besar? Dan untuk keamanan dunia ini,
ia harus dimasukkan dalam piagam keamanan UNO bahawa tidak dibenarkan mana-mana penduduk suatu negara anggota mempermainkan
perasaan penganut agama lain. Tidak boleh menggunakan dasar kebebasan yang
diberikan untuk merosakkan keamanan dunia.
Tetapi, sangat
sedih sekali kerana ini yang terjadi sejak dahulu lagi bahawa mana-mana negara
Islam tidak pernah berusaha bahawa semua nabi-nabi, Rasulullah (saw) dan setiap
nabi yang ada, kemuliaan mereka hendaklah dijelaskan kepada dunia dan setiap
penduduk dunia di berbagai negara harus mengakuinya. Namun, mereka juga sama
seperti UNO yang tidak dapat membuat keputusan dalam setiap perkara. Apa piagam
keamanan yang telah mereka laksanakan sebelumnya?
Tetapi, sekurang-kurangnya
satu perkara akan dapat direkodkan. OIC, Organisation of Islamic Countries
telah wujud, tetapi melalui pertubuhan ini juga belum ada usaha keras yang
menjadikan Islam dipandang hormat di dunia. Ahli politik di negara-negara Islam
berusaha untuk memenuhi kehendak mereka sendiri. Jika ada usaha keras dari
pemimpin-pemimpin kita, maka sudah pasti tindakbalas yang salah seperti yang
berlaku sekarang ini tidak akan terjadi sebagaimana yang sedang berlaku di
Pakistan dan negara-negara lain. Orang awam juga pasti tahu bahawa pemimpin kita yang akan menyelesaikan
perkara ini, mereka akan berusaha untuk itu. Untuk mengekalkan kemuliaan dan
kehormatan Rasulullah (saw) dan untuk mengekalkan kemuliaan dan kehormatan
semua para nabi, mereka akan bangkit dalam perbahasan-perbahasan dunia sehingga
dunia harus menerima bahawa apa yang mereka katakan itu benar dan yang hakiki.
Kemudian di
negara-negara Barat dan berbagai sudut dunia juga ramai orang Islam yang
tinggal menetap, dari sudut agama dan jumlah, Islam di tempat yang kedua. Jika
mereka berjalan sesuai dengan perintah Allah Ta’ala, maka mereka akan menjadi
terkuat dalam segala segi. Selepas itu, musuh-musuh Islam tidak akan berani
menyakiti hati umat Islam lagi.
Selain di
negara-negara Islam, dalam setiap negara juga umat Islam dalam kuantiti yang
ramai. Di Eropah, terdapat jutaan umat Islam penduduk Turki. Bukan hanya di
seluruh Eropah malah di setiap negara-negara Eropah ada jutaan penduduk.
Demikian juga bangsa Islam lain ada yang tinggal di sini. Umat Islam datang dari
Asia. Mereka juga tinggal di UK, di Amerika, dan Kanada. Ada juga yang tinggal
di setiap bahagian Eropah. Jika mereka semua ini membuat keputusan bahawa undi
mereka hanya diberikan kepada pemerintah yang mengambil berat soal agama, yang
penzahiran mereka bukan hanya di mulut sahaja malah mereka harus menzahirkannya
dalam bentuk amalan, dan mereka juga akan melaknat orang-orang yang melakukan
perbuatan menghujat, membuat filem-filem dan sebagainya, maka dalam
pemerintahan dunia ini akan muncul golongan yang menzahirkan penentangan
terhadap perbuatan yang tidak betul.
Sebenarnya, jika
umat Islam memahami kedudukan mereka, di dunia ini boleh terjadi satu revolusi
yang besar. Mereka boleh menyuarakan agar dibuat satu undang-undang untuk
memelihara kehormatan agama di dalam negara masing-masing. Tetapi, malang
sekali mereka tidak cenderung ke arah ini. Jemaat Ahmadiyah yang cuba bersuara,
mereka pula bersatu menentangnya dan mereka telah memperkuatkan tangan
musuh-musuh. Mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi akal kepada pemimpin-pemimpin
Islam, ahli politik dan para ulama agar mereka membina kekuatan diri, mengenal
kedudukan mereka, dan cenderung kepada ajaran sendiri.
Orang-orang yang
mengkritik Rasulullah (saw) dengan kritikan kotor, dengan tuduhan dan membuat
filem, atau mereka yang bekerja di dalamnya, akhlak mereka yang sebenar ada
dalam media, maklumat mengenai mereka boleh diperolehi dari media berkenaan.
Dikatakan bahawa orang yang paling berperanan ialah Qibti Kristian yang tinggal
di Amerika, namanya Nakula Basseley Nakoula yang digelar sebagai Sam Bacile.
Apa yang dikatakan mengenainya ialah dia mempunyai latar belakang jenayah, dia
seorang pesalah. Dia pernah dipenjarakan pada tahun 2010.
Orang kedua yang
mengarah filem ini ialah pengarah filem pornografi. Pelakon-pelakonnya pula ada
yang diambil dari pelakon filem pornografi. Jadi, inilah keadaan perangai
mereka. Dan batasan filem pornografi tidak dapat dijangkau oleh manusia. Begitu
kotornya mereka, ada pula keinginan untuk mengkritik wujud yang keagungan
akhlaknya diakui sendiri oleh Allah Ta’ala.
Sesungguhnya mereka
telah membuat sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan Allah Ta’ala. Demikian
juga sponsor filem itu tidak akan terlepas dari mendapat azab Allah Ta’ala. Di
kalangan mereka ada seorang Paderi Kristian yang telah membuat usaha untuk
membakar Al-Qur’an bagi mengejar kemasyhuran yang murah. ALLAAHUMMA MAZZIQHUM KULLA MUMAZZAQ WASHHIQHUM TASHIIQA
Ada juga media yang
cuba mengkritik mereka dan juga turut mengkritik tindakan umat Islam. Memang
patut, cara yang tidak betul harus dikritik, tetapi lihat juga siapa yang
memulakan perkara ini.
Apapun, sebagaimana
yang telah saya katakan bahawa nasib malang umat Islam berlaku kerana tidak ada
kepemimpinan di kalangan umat Islam. Walaupun mereka mendakwakan diri mencintai
rasul, namun mereka semakin jauh. Memang dakwaan itu ada, tetapi pengetahuan
agama tidak ada. Dari segi keduniaan pun semakin lemah, satu negara Islam tidak
menegur sepenuhnya kepada negara Islam yang lain. Jika menegur pun, media tidak
memberi perhatian kepadanya kerana sangat tidak menarik. Dan jika memang ada
pun khabar mengenai negara Islam yang memberi kritikan maka yang tertulis ialah
lapan billion umat Islam berbuat tindakan seperti anak kecil. Selagi tidak ada
yang mengawal mereka, maka tindakan mereka ke sana dan ke mari, yakni mereka
bertindak seperti anak kecil. Dengan perkara ini pun ada kutukan, tetapi
hakikat yang sebenar juga telah menjadi jelas. Sekarang pun seharusnya umat
Islam merasa malu.
Orang yang mata
agamanya buta, yang tidak tahu akan kedudukan para nabi, yang hanya diam
walaupun melihat kedudukan nabi Isa dijatuhkan, akan kelihatan atas mereka
penzahiran umat Islam untuk Rasulullah (saw) disamakan seperti tindakan anak
kecil. Tetapi, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa dalam tahun 2006,
saya telah menegaskan bahawa beri
perhatian atas perkara ini dan jadikan satu usaha keras bahawa pada masa akan
datang tidak akan wujud lagi keberanian untuk membuat perkara menghujat seperti
ini.
Alangkah baiknya
negara Islam dapat mendengar dan kepada mereka yang boleh sampai perkara ini,
setiap Ahmadi berkewajipan untuk menyampaikannya. Duduk setelah membuat
sokongan selama beberapa hari tidak akan menyelesaikan perkara ini.
Kemudian, ada juga
cadangan dari suatu tempat, ramai orang memberikan cadangan demi cadangan.
Cadangan itu ialah supaya setiap wakil dari umat Islam di seluruh dunia bersatu
membuat petition. Alangkah baiknya
kalau wakil-wakil umat Islam yang mempunyai kedudukan antarabangsa memikirkan
perkara ini, fikirkan kemungkinan yang boleh berlaku, mungkin ia berhasil,
paling tidak akan terfikir jalan keluar yang lain. Sampai bila hendak melihat
perbuatan jahat ini, dan sampai bila hendak melakukan kerosakan dan kehancuran
atas perkara ini? Ia tidak akan memberi pengaruh ke atas negara-negara Barat
atau tidak juga memberi kesan ke atas orang yang membuatnya.
Jika di
negara-negara ini ada terjadi serangan ke atas orang yang tidak bersalah atau
memberi ancaman atau berusaha untuk membunuh, atau menyerang kedutaan, itu
adalah cara yang bertentangan dengan ajaran Islam. Islam sama sekali tidak
mengizinkan perbuatan tersebut. Malah, cara ini hanya akan memberi kritikan ke
atas diri Rasulullah (saw) yang tidak pada tempatnya.
Jadi, kekerasan
bukanlah cara yang sepatutnya. Cara untuk menjawabnya ialah seperti yang saya
telah sampaikan iaitu memperbaiki amalan dan mengirimkan salawat dan doa
keselamatan ke atas nabi yang memberi jalan keselamatan ke atas manusia. Dan
untuk usaha dunia, negara-negara Islam hendaklah bersatu. Di negara-negara
Barat, orang-orang Islam hendaklah menggunakan kuasa undi mereka. Jadi, setiap
Ahmadi di mana pun berada hendaklah berjalan atas landasan ini dan usahakan
kawan-kawan ghair turut beramal atas perkara ini. Gunakan kekuatan dan kuasa undi
masing-masing. Kemudian, persembahkan kepada dunia kemuliaan Rasulullah (saw).
Hari ini mereka
sibuk dengan slogan kebebasan. Mereka bising bahawa di dalam Islam tidak ada
amalan kebebasan dan contohnya di negara-negara Islam, penduduknya tidak mendapat
kebebasan. Jika tidak dapat, maknanya itu nasib malang negara berkenaan kerana
tidak mengamalkan ajaran Islam. Islam
tidak ada kaitan dengan perkara itu. Dari Sejarah kita mendapat tahu bahawa ada
orang yang bercakap keterlaluan dan kurang sopan dengan Rasulullah (saw),
walaupun begitu Rasulullah (saw) hanya memperlihatkan kesabaran dan ketabahan
dalam menghadapi kejadian-kejadian seperti itu, dan tidak ada bandingannya di
dunia ini. Saya berikan beberapa contoh di sini.
Hazrat Jabir bin
Mut’am meriwayatkan; dia berkata bahawa pernah sekali dia bersama Rasulullah
(saw) dan ada juga teman-teman yang lain. Baginda balik dari Hunain, orang
Badwi mengikut baginda, mereka meminta-minta dari baginda sehingga menjadikan
baginda terpaksa pergi ke arah satu pokok Babul untuk mengelakkan mereka hingga
menyebabkan duri-duri pokok itu terkena selimut baginda. Rasulullah (saw)
berhenti dan bersabda; berikan selimut saya, jika pada saya ada unta sebanyak
pokok-pokok yang ada di hutan ini, saya akan bahagi-bahagikan di antara kamu
sehingga kamu tidak mengatakan saya seorang kedekut, pembohong dan keras hati.
(Sahih Bukhari, Kitabul Fardhul Khamsa bab Maa Kaanan Nabiyyu (saw) Yut’a
Mu’allafatu Quluubuhum Waghairuhum, hadis no. 3148)
Ada satu lagi
riwayat Hazrat Anas (ra) meriwayatkan; saya bersama Rasulullah (saw) dan
baginda memakai selimut yang mempunyai tepi yang tebal. Seorang badwi menarik
selimut baginda dengan begitu kuat sehingga leher baginda ada bekas selimut
itu. Kemudian dia berkata; Hei Muhammad! (saw) dari harta yang telah
dikurniakan Allah kepada engkau, muatkan ke atas dua ekor untaku ini kerana
engkau tidak memberikan harta dari kepunyaanmu dan bukan juga dari kepunyaan
ayahmu. Pada mulanya baginda hanya berdiam diri, kemudian bersabda: ALMAALU
MAALUL LAAHI WA ANAA ‘ABDUHU, yakni harta ini adalah milik Allah dan aku hanya
hamba-Nya. Mahukah kesulitan yang menimpa aku akan ditimpakan kepada engkau.
Orang badwi itu berkata: Jangan. Rasulullah (saw) bersabda: kenapa tidak boleh
titimpakan kepada engkau? Orang badwi itu berkata: Ini kerana tuan tidak akan
memberikan balasan yang buruk atas keburukan yang menimpa engkau. Mendengar
itu, Rasulullah (saw) tersenyum. Kemudian Rasulullah (saw) mengarahkan agar
untanya yang satu diletakkan air dan unta kedua diletakkan buah kurma.
(As-Syifa Li Qazi Abbas juz Awal halaman 74, bab Tsani Fii Takmiilul Laahi
Ta’ala. .... Darul Kutubul Ilmiah Beirut 2002)
Inilah kesabaran
dan ketabahan Rasulullah (saw) bukan hanya kepada orang sendiri, malah juga
terhadap para musuh. Inilah ketinggian akhlak yang dimiliki oleh Rasulullah
(saw), pemurah, penyabar dan lapang dada. Kritikan yang ditimbulkan itu
sebenarnya atas sebab kejahilan dan tanpa ilmu. Mereka cuba mengkritik atas
insan yang bertaraf Rahmatul Lil Alamin, rahmat bagi sekalian alam dengan
mengatakan baginda sebagai keras dan seumpamanya.
Kemudian, ada juga
kritikan terhadap Al-Qur’an. Saya juga mendengar ada di dalam filem berkenaan.
Saya tidak melihatnya, tetapi saya mendengar dari ucapan orang bahawa berkenaan
dengan Al-Qur’an itu juga, sepupu Hazrat Khadijah iaitu Waraqah bin Nuafal,
tempat Hazrat Khadijah membawa Rasulullah (saw) waktu pertama kali mendapat
wahyu, dia menulis dan memberikannya. Orang-orang kuffar juga pada masa
kehidupan Rasulullah (saw) mengkritik bahawa Al-Qur’an yang kamu turunkan sedikit demi sedikit, jika ini adalah
Kalam Allah, kenapa tidak diturunkan sekaligus? Orang ini langsung tidak
tahu malah dia juga buta Sejarah.
Apapun, orang yang
membuatnya memang jahil, tetapi dua paderi yang terlibat, yang menganggap diri
mereka orang berilmu, itu menzahirkan kejahilan mereka sendiri. Waraqah
mengatakan bahawa alangkah beruntungnya
kalau saya masih hidup ketika kaum engkau menghalau engkau dari negara ini,
dan tidak berapa lama kemudian dia meninggal dunia. (Sahih Bukhari Kitabul
Bada’al Wahi baab 3, hadis no. 3)
Kemudian, paderi
yang saya katakan sebagai buta Sejarah dan kebenaran, yang terlibat pula
sentiasa membahaskan Al-Qur’an terus menerus bahawa surah ini di mana diturunkan dan surah itu di mana diturunkan. Di Mekah
atau Madinah. Mereka juga terus membahaskan dan berkata: surah ini ditulis dan diberikan olehnya.
Dan Al-Qur’an mempunyai cabaran bahawa jika kamu anggap dia tulis dan berikan,
maka tulislah satu surah yang sama sepertinya.
Kemudian, timbul
soal menjaga emosi, maka dalam hal ini juga tidak ada tandingan bagi Rasulullah
(saw). Walaupun baginda (saw) tahu baginda adalah nabi yang paling unggul dari
semua para nabi-nabi, demi untuk menjaga emosi kaum Yahudi, baginda bersabda:
jangan lebih-lebihkan saya di atas nabi Musa. (Sahih Bukhari Kitab Fil
Khushuumat baab Maa Yuzkara Fil Asykhaas wal Khushuumaat..... hadis no. 2411)
Dalam soal menjaga
perasaan orang miskin dan memuliakan kedudukan mereka, pernah sekali seorang
sahabat baginda yang kaya menzahirkan kedudukannya mengatasi yang lain.
Mendengar hal itu, baginda bersabda: adakah kamu menganggap kekuatan dan
kekayaan yang kamu miliki sekarang ini datangnya dari kekuatan tangan atau bahu
kamu? Sudah tentu tidak. Kekuatan kamu dalam kaum dan kekuatan harta kamu
datangnya dari orang-orang miskin ini juga. (Sahih Bukhari, Kitabul Jihad .....
hadis no. 2896)
Pengamal kebebasan
hari ini mereka menegakkan hak orang-orang miskin. Mereka berusaha untuk
melindungi hak-hak mereka dan mengumumkannya. Tetapi Rasulullah (saw) telah
menyatakan hal ini sejak 1400 tahun dahulu lagi, bahawa berikan upah kepada
buruh sebelum peluh mereka menjadi kering. (Sunan Ibnu Majah, ..... hadis no.
2443)
Jadi, siapa yang
boleh menandingi baginda dalam soal kemanusiaan. Banyak peristiwa seperti ini.
Ambillah dari sudut mana pun akhlak yang ada, semuanya akan nampak pada diri
Rasulullah (saw).
Kemudian, baginda
(saw) juga dituduh na’uzubillah
sebagai orang yang suka kepada wanita-wanita.
Perkahwinan baginda
(saw) juga dikritik, maka Allah Ta’ala telah menjawabnya. Dia tahu bahawa akan
terjadi hal seperti itu, sebab itu kejadian itu telah ditimbulkan dan
jawapannya juga telah tersedia.
Asma binti Nu’man
bin Abi Jun terkenal sebagai antara wanita tercantik di Arab. Apabila dia
datang ke Madinah, para wanita telah datang kepadanya untuk melihat, semua
memuji kecantikannya dengan mengatakan: Kami tidak pernah melihat wanita yang
cantik seperti ini. Atas kehendak ayah perempuan tersebut, baginda telah
menikahinya dengan mahar sebanyak 500 Dirham. Apabila baginda pergi kepadanya,
dia mengatakan: Saya memohon perlindungan Allah dari tuan. Mendengar hal itu
baginda (saw) bersabda: engkau telah
meminta perlindungan dari Wujud yang Agung. Baginda (saw) keluar dan
berkata kepada seorang sahabat bernama Abu Usaid: bawa dia kepada keluarganya. Kemudian ada juga dalam Sejarah bahawa
keluarganya sangat gembira kerana anak perempuan mereka telah berkahwin dengan
Rasulullah (saw), tetapi selepas dihantar balik mereka sangat marah kepada anak
mereka. (Dipetik daripada Tabqatul Kubra Li Ibni Sa’ad, Juz 8, halaman 318-319,
Zukira Man Tazauwaju Rasulillaahi (saw)
.... Asma binti Nu’man, Daru Ahba’ul ... Beirut 1996)
Inilah wujud yang
agung yang dituduh gila dengan wanita. Sedangkan perkahwinannya itu adalah
kehendak Allah. Hazrat Maseeh Mau’ud (as) menulis bahawa jika baginda (saw)
tidak berkahwin, jika tidak ada anak-anak, dan ujian yang datang disebabkan
oleh anak-anak dan bagaimana cara baginda (saw) menangani hal itu, dan kemudian
sebagaimana baginda (saw) berbuat baik terhadap isteri-isteri, jika itu tidak
ada maka bagaimana kita boleh mengikuti contoh dalam perkara ini. (dipetik
daripada Chasymae makrifat Rohani Khazain jilid 23 halaman 300)
Ada juga tuduhan
berkenaan dengan Hazrat Aisyah bahawa dia sangat dicintai Rasulullah (saw) dan
kemudian berkenaan dengan umurnya pun banyak pertikaian yang tidak betul.
Tetapi Aisyah (ra) selalu berkata kepada baginda (saw) bahawa dalam beberapa
malam saya hendak beribadat sepenuhnya kepada Allah yang bagiku sangat aku
cintai.
Jadi, mereka yang
mempunyai otak yang kotor akan terus membuat kritikan seperti ini. Pada masa
akan datang juga akan berbuat seperti ini. Tetapi, Allah Ta’ala telah
menetapkan bahawa Allah Ta’ala akan melemparkan mereka ke dalam jahannam. Jadi,
mereka dan penolong-penolong mereka harus takut atas azab Allah Ta’ala.
Sebagaimana yang Hazrat Maseeh Mau’ud (as) katakan bahawa Allah Ta’ala sangat
tinggi emosinya terhadap orang-orang yang dikasihi. (dipetik dari Tiryaqul
Quluub Rohani Khazain jilid 15 halaman 378)
Dalam zaman ini Dia
telah menghantar Maseeh dan Mahdi untuk mengislahkan dunia. Tetapi jika mereka
tidak sedar, maka sesungguhnya azab Allah sangat keras. Dunia sekarang ini
banyak menghadapi kejadian alam semulajadi, di setiap arah kerosakan yang
terjadi. Di Amerika juga telah terjadi taufan yang lebih dahsyat dari
sebelumnya. Maksiat juga semakin teruk. Global Warming (pemanasan global)
menjadikan penduduk takut akan dibanjiri air. Dengan semua ini, mereka itu
sepatutnya menjadi sedar agar jangan lagi cenderung untuk melakukan perbuatan
yang menghujat seperti ini. Tetapi, malang sungguh kerana apa yang kita lihat
adalah sebaliknya. Mereka semakin melangkau batasan. Imam Zaman telah memberi
amaran dengan lantang bahawa jika dunia tidak peduli akan suaranya, maka setiap
langkah mereka itu akan membawa ke arah kehancuran.
Amanat yang selalu
diulang-ulang oleh Hazrat Maseeh Mau’ud (as), hari ini saya akan nyatakan
sekali lagi. Beliau (as) berkata:-
“Ingatlah bahawa Tuhan memberi khabar
kepadaku berkenaan dengan gempa bumi. Jadi, ingatlah bahawa sebagaimana sesuai
dengan khabar ghaib di Amerika berlaku gempa bumi, demikian juga yang akan
berlaku di Eropah. Kemudian ia juga akan berlaku di berbagai negara-negara
Asia. Di antaranya ada yang menjadi gambaran kiamat bagi mereka dan kematian
itu akan terjadi begitu banyak sehingga darah mengalir di sungai-sungai. Dari
kematian ini, burung dan binatang juga tidak terkecuali. Dan di bumi akan
terjadi musibat yang sangat teruk sehingga mungkin tidak pernah terjadi sejak
manusia dilahirkan. Kebanyakan tempat akan diterbalikkan seolah-olah tidak ada
yang pernah tinggal di sana. Dan seiring dengannya juga ada lagi musibat di
bumi dan langit yang begitu dahsyat sehingga pada pandangan orang yang bijak ia
suatu perkara yang mustahil dan mereka tidak pernah jumpa tanda-tandanya dalam
lembaran Sains dan Falsafah. Lalu, dalam diri manusia timbul gangguan fikiran;
apa yang terjadi sekarang ini? Dan banyak yang selamat dan banyak juga yang
mengalami kehancuran. Hari itu begitu dekat dan saya melihat ia sudah di luar
pintu bahawa dunia akan melihat gambaran kiamat, yang bukan sahaja gempa bumi
malah malapetaka besar yang lain juga turut kelihatan, ada yang dari langit dan
ada juga dari bumi. Puncanya ialah manusia sudah lupa untuk beribadat kepada
Tuhan, semua tumpuan hati, semua keberanian dan semua fikiran cenderung ke arah
dunia. Jika saya tidak datang, sudah pasti azab ini dilewatkan, kedatangan saya
diiringi dengan kemurkaan Tuhan yang akan muncul yang telah tersembunyi sejak
sekian lama. Ini bertepatan dengan firman Allah WAMAA KUNNAA MU’AZZIBIINA HATTAA NAB’ASA RASUULA (Bani Israil:16)
orang yang bertaubat akan mendapat keamanan. Orang yang takut sebelum
kedatangan azab itu akan dikasihani. Adakah kamu dapat berfikir bahawa kamu
akan selamat dari gempa bumi ini atau adakah rencana kamu boleh menyelamatkan
diri kamu dari bahayanya? Sudah tentu tidak. Peranan manusia berakhir pada
waktu itu. Jangan berfikiran bahawa hanya di Amerika dan tempat lain terjadi
gempa bumi dan tempat kamu terpelihara. .... Wahai Eropah! Kamu juga tidak akan
aman. Dan wahai Asia! Kamu pun tidak akan terpelihara. Dan wahai penduduk
pulau-pulau! Tuhan buatan kamu tidak akan dapat membantu. Saya melihat
bandar-bandar mengalami kehancuran dan penduduknya mati. Tuhan yang Esa itu
diam untuk beberapa lama dan di hadapan-Nya telah dilakukan perbuatan yang
dibenci, namun tetap sahaja diam. Tetapi sekarang ini Dia telah memperlihatkan
wajah-Nya yang hebat. Jadi, siapa yang mempunyai telinga, dengarlah bahawa
waktu itu sudah semakin dekat. Saya telah berusaha mengumpulkan semua untuk
bernaung di bawah perlindungan Allah, tetapi memang takdir yang telah tertulis
itu harus sempurna. .... Zaman nabi Nuh akan kelihatan di hadapan kamu dan peristiwa
bumi di zaman nabi Luth juga kamu akan saksikan. Tetapi, dalam kemurkaan Tuhan
ada keringanan. Bertaubatlah supaya kamu dikasihani. Mereka yang meninggalkan
Tuhan, itu adalah ulat dan bukannya manusia. Dan mereka yang tidak takut
kepada-Nya adalah orang mati dan bukannya hidup.” (Haqiqatul Wahi Rohani
Khazain jilid 22, halaman 268-269)
Semoga Allah Ta’ala
juga memberi akal kepada dunia supaya menghindari perbuatan yang dibenci dan
zalim seperti ini. Dan juga kita semua diberikan taufik untuk memahami
tanggungjawab kita dengan sepenuhnya.
Selepas sholat
Jumaat ini saya akan memimpin dua solat jenazah ghaib iaitu jenazah dua orang
syahid. Pertama sekali Azizam Naweed Ahmad Sahib ibnu Mukarram Tsanaullah Sahib
yang telah disyahidkan pada 14 September yang lepas. INNAA LILLAAHI WA INNAA
ILAIHI ROOJI’UUN.
Dalam keluarga
Naveed Ahmad Sahib ibnu Tsanaullah Sahib, datuknya Abdul Karim Sahib telah
bai’at di tangan Hazrat Khalifatul Maseeh Tsani. Sebelum bai’at, beliau tinggal
di Amritsar, tetapi selepas bai’at beliau banyak menghabiskan masa di Qadian.
Selepas perpecahan, keluarga beliau di Pakistan tinggal di Mahmud Abad Sindh.
Kemudian dalam tahun 1985 beliau berpindah ke Karachi. Ayah Azizam Naveed Ahmad
iaitu Tsanaullah Sahib pernah menjadi tahanan pada jalan Allah Ta’ala dalam
tahun 1984. Kejadian syahid itu ialah seperti ini.
14 September 2012,
hari Jumaat, Azizam Naveed Ahmad bin Tsanaullah Sahib yang umurnya 22 tahun
sedang duduk di hadapan Halqah Gulsyen Jaami di Hamira Town bersama dua orang
kawan Pathan ghair Ahmadi. Tiba-tiba dua orang yang tidak dikenali dengan
menaiki motosikal datang kepada mereka lalu menembak ketiga-tiga orang
berkenaan. Azizam Naveed Ahmad Sahib terkena tembakan dua butir peluru di perut
dan kawannya juga kena sehingga mereka cedera. Mereka bertiga dibawa ke
hospital dengan segera, namun Naveed Ahmad tidak dapat diselamatkan kerana
wafat sebelum tiba di hospital. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN.
Beliau seorang yang
sederhana, lemah lembut, berperikemanusiaan, seorang yang taat, dan beradab
sopan. Beliau minat belajar, tetapi faktor kemiskinan memaksa beliau berhenti
setakat middle class sahaja. Beliau bekerja bersama ayahnya, dalam tempoh
bekerja itu dia telah mengambil peperiksaan Matrikulasi Swasta dan lulus.
Dalam bulan
Ramadhan, beliau telah mempersembahkan dirinya sebagai petugas di bahagian
Khuddamul Ahmadiyah dan bertugas dengan penuh dedikasi. Di mana sahaja beliau
bekerja, orang-orang di sekeliling termasuk pegawai hairan dengan akhlaknya
yang begitu baik. Dalam solat jenazah beliau juga turut dihadiri oleh beberapa
orang dari pejabatnya. Ibu bapanya masih hidup dan meninggalkan dua saudara
lelaki dan dua saudara perempuan.
Jenazah yang kedua
ialah Mukarram Muhammad Ahmad Siddique Sahib ibnu Mukarram Riyaz Ahmad Sahib
Siddique syahid, beliau juga disyahidkan pada keesokan harinya iaitu 15
September di Karachi. Sasaran di Karachi sangat tinggi untuk disyahidkan,
doakan untuk mereka semoga Allah memberi perlindungan kepada mereka semua.
Kebelakangan ini Karachi banyak menjadi sasaran serangan dan dari pihak
kerajaan pula banyak memberi tekanan di Punjab. Semoga Allah memberi
perlindungan kepada setiap anggota di mana pun berada.
Keluarga Muhammad
Ahmad Siddique Sahib syahid berasal dari Karachi. Keluarganya mula menerima
Jemaat setelah saudaranya Imran Siddique Sahib bai’at di Amerika pada tahun
2001. kemudian, melalui tabligh Imran Siddique Sahib, dua saudaranya juga turut
bai’at iaitu Amir Siddique dan Rizwan Siddique. Selepas itu, ibu bapanya dan
seterusnya seluruh ahli keluarganya yang lain.
Kejadian syahid itu
ialah beliau bersama iparnya Mukarram Malik Syams Fakhri Sahib keluar dengan
menaiki motosikal. Tidak lama selepas itu mereka telah ditembak dengan begitu
ganas sehingga dua butir peluru masuk dalam tubuh Azizam Muhammad Ahmad
Siddique, satu di bahagian hati. Kemudian, iparnya pula terkena lima das
tembakan dan tepat ke arah lima anggota badan yang berlainan, bahu kanan,
perut, dan kaki. Sehingga sekarang ini masih dirawat di Aga Khan Hospital.
Doakan untuk kesembuhan beliau.
Pada masa
kesyahidan itu usianya baru 23 tahun, beliau baru seminggu bernikah. Tahun
lepas beliau lulus ujian MBA. Anak yang sangat baik, maksum, taat dan lemah
lembut. Dikatakan bahawa dalam umur 23 tahun itu, beliau bukan sahaja kacak
malah akhlaknya juga sangat baik. Setiap masa dia selalu membawa doa-doa yang
telah ditulisnya dan selalu membacanya. Abangnya berkata bahawa dia seorang yang sangat berkebolehan di
kalangan kami adik beradik. Pada 7 September lepas, dia telah menghantar
SMS kepada kawan-kawannya, keadaan di
Karachi sangat teruk, jika saya syahid, maka doakanlah saya.
Selepas kejadian
itu, ibunya berkata; keluarga ghair Ahmadi yang datang mengatakan: kamu sudah lihat akibatnya! Ibunya
menjawab; kami telah beriman kepada
Maseeh atas perintah Rasulullah (saw), kami tidak pernah takut kepada sesiapa.
Saya sanggup mengorbankan sembilan ke sembilan orang anak saya semata-mata
untuk jemaat. Dengan kurnia Allah, adik-beradiknya sangat tabah menghadapi
kejadian itu. Ayahnya telah meninggal dunia sebelumnya. Beliau meninggalkan
seorang ibu yang sudah tua dan lapan orang saudara lelaki dan dua saudara
perempuan. Beliau adalah yang paling bongsu di kalangan adik beradiknya.
Semoga Allah
meninggikan darjat beliau, semoga Allah memberi kemapunan kepada semua para
syuhada. Dan orang yang ditinggalkan mendapat kesabaran, ketabahan dan semoga
orang-orang Jemaat di Pakistan diselamatkan oleh Allah Ta’ala.
----------------------------<<<>>>----------------------------
Diterjemahkan oleh
Salahuddin Syed Ali
Batu Caves, Selangor.
12 Oktober 2012
No comments:
Post a Comment