(Dipetik dari khutbah Eidul Fitri 2011, Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis)
Tasyahud, Ta’awudz,
Surah Al-Fatihah dan Surah Ha Mim Sajadah ayat 31 serta terjemahan seperti
berikut:-
Ertinya: “Sesungguhnya
orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah”, kemudian mereka istiqamah,
turun kepada mereka malaikat-malaikat, “janganlah kamu takut, dan jangan pula
bersedih; dan berilah khabar suka tentang syurga yang telah dijanjikan
kepadamu”.
Dalam kehidupan insan,
masa kegembiraan dan berduka selalu datang silih berganti. Kegembiraan dan
dukacita ini kadang-kadang berlaku secara peribadi. Di dalam rumah juga keadaan
ini boleh berlaku. Dalam kehidupan keluarga juga hal ini datang dan pergi, di
peringkat negara dan kaum juga pasti akan berhadapan dengan situasi ini.
Namun, gambaran
kegembiraan dan kesedihan dalam kehidupan seorang mukmin adalah berlainan.
Mereka akan gembira apabila meningkat dalam ketakwaan. Sebab-sebab mereka
bergembira dan bersedih juga ada pelbagai. Pandangan mereka lebih tertumpu
kepada soal kemajuan agama dan rohani serta keredhaan dan kemurkaan Allah
Ta’ala. Punca kegembiraan dan kesedihan agama dan rohani mereka juga disebabkan
oleh anak-anak, sekiranya anak-anak meningkat dalam kerohanian maka ibu bapa,
keluarga terdekat dan khalifah waqt juga turut merasa bergembira. Tetapi, jika
melihat kemerosotan dalam kerohanian, maka kesedihan jelas kelihatan dalam diri
orang-orang berkenaan.
Ada surat kepada Huzur dari
ibu bapa menzahirkan kesedihan mereka mengenai anak-anak. Ada juga suami isteri
yang menulis surat kepada Huzur mengenai masalah mereka. Apabila dilihat bahawa
mereka semakin lemah dalam soal kerohanian, ketidaksenangan harus dizahirkan
dan kadang-kadang terpaksa mengumumkan supaya mereka dipulaukan. Tetapi, dalam
penzahiran seperti itu memang jelas diselubungi rasa sedih yang amat sangat.
Apabila seorang Ahmadi
diberikan hukuman seperti itu, maka mereka akan mula menyedari kesilapan
sendiri. Setiap kali mata terbuka, mereka juga akan bersedih. Kemudian mereka
menzahirkan rasa sedih mereka umpama ikan yang dikeluarkan dari air, begitu
meronta-ronta sehingga mereka menulis surat mohon dimaafkan. Setiap Ahmadi
harus mempunyai rasa takut demikian kepada Allah dalam hati masing-masing. Kemudian,
apabila permohonan maaf mereka diterima, terpancar kegembiraan pada wajah
mereka laksana kegembiraan hari raya.
Untuk orang dunia,
kegembiraan mereka dizahirkan melalui berseronok dan bermain-main. Manakala
seorang mukmin, mereka bergembira apabila ada perasaan takut dan menginginkan
ganjaran daripada Allah. Dan kegembiraan ini akan menjadi sarana kemajuan dunia
dan akhirat. Untuk seorang Ahmadi pula, kegembiraan mereka yang sebenar ialah dapat
menghubungkan diri dengan Nizam Jemaat.
Walaubagaimanapun,
bergabung dalam jemaat bukan hanya sekadar bai’at lalu nama mereka termasuk
dalam senarai orang-orang Ahmadi. Untuk Eid yang hakiki, setiap hari akan
menjadi Eid apabila meningkat dalam hubungan dengan agama dan Allah Ta’ala,
serta cenderung ke arah taubat yaang hakiki. Jika taubat seperti itu muncul,
maka dia akan mengalami kegembiraan yang kekal.
Hazrat Maseeh Mau’udas
bersabda bahawa kegembiraan sebenar dan hari Eid bagi seorang insan ialah hari
di mana dia bertaubat. Banyak hari-hari dalam ajaran agama yang ditetapkan
sebagai hari bergembira, sehingga diletakkan berbagai-bagai berkat pada hari
berkenaan. Sebagai contoh hari Jumaat dan hari Eid. Tetapi, ada satu hari yang
lebih baik daripada itu semua, ia tidak perlu ditunggu, tidak perlu dicari, dan
tidak juga diceritakan tentang keistimewaannya.
Sangat berberkat dan
sangat memberi kegembiraan, dan ia lebih besar dari hari Jumaat dan hari-hari
Eid, dan hari itu ialah hari di mana seorang insan bertaubat. Ini kerana pada
hari itu, buku amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Jahannam akan
dihapuskan. Buku amalan itu akan dibersihkan dan insan akan dijauhkan dari
Jahannam buat selamanya. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala dia akan diselamatkan
dari Jahannam dan juga azab. Oleh sebab itu, orang itu sangat beruntung
sekiranya mendapat hari yang dimaksudkan.
Bagaimana taubat ini
seharusnya dilakukan? Taubat yang hendak dilakukan itu hendaklah dengan penuh
keikhlasan. Maksud daripada taubat itu ialah rujuk atau kembali, dan hal ini
bukan hanya sekadar di mulut sahaja, tetapi hendaklah dilakukan dengan penuh
keikhlasan dan disertai dengan amalan. Maksud daripada rujuk juga ialah seorang
insan telah dipengaruhi oleh fikiran-fikiran syaitan sehingga jauh daripada
Tuhan. Sekiranya insan mendapat keselamatan daripada gangguan syaitan lalu
cenderung kepada Tuhan, di samping itu juga bertaubat secara berterusan, yakni
merapatkan diri kepada Tuhan dan terselamat daripada syaitan, maka inilah yang
dinamakan taubat yang hakiki. Maknanya, taubat itu ialah dia semakin dekat
kepada Tuhan dan semakin jauh daripada syaitan. Dan taubat seperti inilah yang
boleh membersihkan seseorang dari kotoran dan dosa-dosa.
Kemurkaan Tuhan adalah
kesedihan yang sebenar, manakala keredhaan Tuhan adalah eid atau kegembiraan
yang hakiki. Dan taubat yang hakiki sahaja yang boleh menjadikan insan dikasihi
oleh Tuhan, akan dijauhkan dari dosa-dosa dan menjadi pewaris kebaikan-kebaikan.
Untuk mendapatkan kecintaan Tuhan, insan perlu membenci amalan-amalan yang
tidak disukai oleh Tuhan. Selepas itu insan perlu melakukan amalan-amalan yang
disukai oleh Tuhan. Mereka sentiasa mencari apa yang diperintahkan untuk
diamalkan, dan apa yang dilarang untuk dihindari supaya Tuhan tidak menjadi
murka.
Kemudian, untuk
menggandakan lagi kegembiraan ini adalah sangat perlu untuk terus melakukan
kebaikan-kebaikan. Dan dengan pemahaman yang ada tentang Rabbunallah, maka ia hendaklah terus dilaungkan dan terus berusaha
menjadi hamba yang hakiki. Maksudnya, diri hendaklah terus berada di atas
landasan petunjuk, dan dia juga haruslah mengetahui bahawa jauh daripada Tuhan
adalah satu kesedihan dan jangan hendaknya ada suatu benda yang memesongkan
dirinya dari jalan Tuhan.
Jangan pernah
memperlihatkan sifat lemah, akan tetapi berusahalah untuk terus berjalan pada
landasan Allah Ta’ala. Dan teruskan berdoa agar sentiasa berada dalam lipatan selimut
kasih sayang Allah Ta’ala.
Kita juga hendaklah
mencari keredhaan Allah Ta’ala dalam qoul dan fi’il kita, dalam ucapan dan
perbuatan kita. Segala kekuatan kita hendaklah merujuk kepada Allah Ta’ala.
Setiap amalan kebaikan hendaklah dilakukan, dan setiap jenis keburukan
hendaklah dihindari, kemudian beristighfar dari dasar lubuk hati yang paling
dalam. Istighfar inilah yang merupakan Eid yang hakiki. Ini jugalah yang boleh
mengekalkan hubungan dengan Tuhan. Kemudian laungan ini keluar dari mulut
secara benar bahawa Tuhan kami adalah
Allah, dengan laungan ini maka dalam hati harus ada perasaan benci terhadap
dosa dan cenderung melakukan kebaikan-kebaikan. Inilah Eid yang hakiki, yakni
kegembiraan yang sebenar.
Allah Ta’ala hendaklah
diutamakan dengan bersungguh-sungguh. Lafaz Allah adalah nama yang agung (isim
a’zam) dan harus tunduk kepada Tuhan dengan segenap kekuatan. Juga hendaklah
berusaha mendapatkan keredhaan Tuhan, dan beramal atas perintah Tuhan adalah
istiqomah seorang hamba, dan istiqomah ini juga adalah nama yang agung (isim
a’zam). Dengan penyatuan kedua-dua isim a’zam ini, hubungan dengan Tuhan akan
semakin kuat, dan selepas itu akan lahir kelazatan dan keseronokan dalam
berdoa.
Dalam bulan Ramadhan
Mubarak ini ramai orang yang telah mendapat kefahaman mengenai istilah Rabbunallah (Tuhan kami adalah Allah)
dan mungkin juga mendapat nasib dalam khabar gembira dari lafaz Ud’uuni Astajib Lakum (mintalah, Aku
akan memperkenankannya). Bulan ini berlalu dengan berkat-berkatnya. Sesiapa
yang meminta, mereka telah mendapatkannya. Tetapi, ada juga yang ketinggalan
disebabkan oleh kelemahan dan kesilapan mereka. Untuk mereka ini tidak perlu
menzahirkan kekecewaan kerana pintu kurnia belum tertutup.
Rahmat Tuhan itu sangat
luas meliputi segala-galanya. Pintu untuk mendapatkan kebaikan dari Tuhan tidak
akan tertutup. Mereka yang mencari qurub (kedekatan) Tuhan melalui ibadat dan
nawafil secara istiqomah, dan disertai dengan pengertian Rabbunallah yang benar, maka mereka hendaklah ingat bahawa Tuhan
ada menyatakan: Mereka yang takut akan kedudukan Tuhan, ada dua jannat untuk
mereka iaitu di dunia ini dan juga di akhirat nanti. Oleh sebab itu, untuk
menjalinkan hubungan dengan Tuhan hendaklah menghindari kekecewaan atau putus
asa, sebaliknya tanamkan dalam diri rasa takut kepada Tuhan.
Jadi, berusahalah
menjalin hubungan dengan Tuhan melalui amalan menyempurnakan
kewajipan-kewajipan, melakukan nawafil dan keitaatan kepada nizam Jemaat. Bulan
Ramadhan memberi pelajaran kepada kita tentang perkara ini, tetapi berkatnya
akan berlanjutan selepas ini. Di dalam hadis dikatakan bahawa hari Eid adalah
hari perhitungan, yakni hari pengurniaan. Pada hari tersebut malaikat bersuara:
Dari Tuhan yang maha Mulia memberi pengumuman bahawa mereka yang tunduk kepada
Tuhan, mereka akan diberikan ganjaran yang banyak, akan diampunkan dari
dosa-dosa, permintaan mereka akan dikabulkan, dan selepas solat Eid, mereka
kembali dengan penuh pengharapan bahawa mereka telah diampunkan.
Mudah-mudahan kita
semua mendapat taufik untuk menjadi seperti orang ini, yang balik dengan penuh
harapan bahawa dosa-dosa kita telah diampunkan, menjadi pewaris kurnia-kurnia
Allah dan Eid ini menjadi kegembiraan yang sebenar buat kita semua. Semoga hari
ini hari Eid yang hakiki dan sarana pengampunan dosa-dosa kita.
Semoga Allah mendengar
doa-doa kita semua dan memperlihatkan pemandangan kejayaan demi kejayaan buat
kita semua. Amin.
No comments:
Post a Comment