Saturday, September 5, 2009

RAMADHAN AL-MUBARAK

Sempena ketibaan bulan Ramadhan kali ini, kita merasa beruntung kerana dengan kurnia Allah Ta’ala, sekali lagi kita dapat merasai bulan Ramadhan dalam kehidupan ini. Rasulullah(saw) bersabda bahawa bulan ini adalah bulan yang banyak berkatnya sehingga dianggap sebagai penghulu segala bulan-bulan yang lain. Dalam bulan inilah seorang insan berpeluang mendapat 10 sehingga 700 kali ganda ganjaran daripada Allah Ta’ala. Bulan ini bulan yang mubarak, rahmat dan maghfirat. Ada beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan kita dapat mengambil faedah atau berkat daripadanya.

1. Solat Berjemaah
Di dalam Al-Qur’an berkali-kali ditegaskan agar dapat melaksanakan solat secara berjemaah. Di dalam hadis, Rasulullah(saw) ada menyatakan bahawa orang yang solat berjemaah mendapat 27 pahala kebajikan.

2. Qiyamul Lail
Dalam bulan Ramadhan ini hendaklah berusaha untuk mendirikan solat Tahajjud. Selain bulan Ramadhan, Rasulullah(saw) biasa melaksanakan solat Tahajjud lapan rakaat disertai dengan witir tiga rakaat. Kita hendaklah berusaha untuk mendirikan solat Tahajjud tanpa ada alasan yang jelas menggambarkan kemalasan. Jika tidak dapat melaksanakan lapan rakaat pun, sekurang-kurangnya dua rakaat harus didirikan.

3. Solat Tarawih
Dalam bulan Ramadhan juga ada solat Tarawih di mana setiap umat Islam hendaklah berusaha mengerjakannya.

4. Menilawatkan Al-Qur’an
Bulan Ramadhan amat erat hubungannya dengan pembacaan Al-Qur’an kerana ia diturunkan bermula pada bulan ini. Dengan istilah lain, bulan Ramadhan adalah ulangtahun Al-Qur’an. Oleh sebab itu, kita hendaklah banyak membaca Al-Qur’an bersama dengan penghayatan terhadap maksudnya. Sesuai dengan sunnah Rasulullah(saw), Al-Qur’an hendaklah khatam dua kali, tetapi setidak-tidaknya usahakan agar sekali khatam dalam bulan Ramadhan.

5. Berdoa dan banyak berdoa
Allah Ta’ala berfirman “Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila ia memohon kepada-Ku”, sesuai dengan ini, kita hendaklah mengambil kesempatan untuk banyak berdoa. Rasulullah(saw) juga pernah bersabda bahawa doa orang yang berpuasa pada waktu berbuka tidak akan ditolak. Sebab itu jangan sia-siakan peluang ini, luangkan masa 10 hingga 15 minit berdoa di suatu tempat yang sunyi memohon kepada Tuhan agar Islam tersebar luas, umat Islam kekal dalam persaudaraan dan timbul semangat kasih sayang sesama mereka.

6. Zikir Ilahi, Taubat, Istighfar dan Salawat
Ramai orang yang menjalani kehidupan seharian mereka tanpa mengingati kepada Allah, tidak bertaubat, tidak beristighfar, dan salawat pun begitu dilupakan. Seharusnya dalam bulan Ramadhan ini diperbanyakkan amalan-amalan yang baik agar berkat dan rahmat Ramadhan itu dapat kita perolehi. Rasulullah(saw) bersabda misal di antara orang yang melakukan zikir Ilahi dengan orang yang tidak melakukannya sama seperti orang yang hidup dan orang mati. Oleh itu, lakukanlah sebanyak-banyaknya zikir Ilahi, banyakkan bertaubat, baca berulang-kali istighfar dan juga kirimkan sebanyak-banyaknya salawat atas nabi.

7. Bersedekah
Dalam bulan Ramadhan juga diseru agar memberi perhatian terhadap orang-orang miskin, memenuhi keperluan makanan, pakaian dan keperluan-keperluan mereka yang lain. Inilah peluang kita untuk mendapatkan berkat yang lebih banyak. Rasulullah(saw) tidak pernah membiarkan peminta sedekah balik dengan tangan kosong.

8. Zakat Fitrah
Rasulullah(saw) mewajibkan setiap umat Islam untuk membayar zakat, tidak kira tua, muda, anak-anak, lelaki atau wanita. Ini juga boleh membersihkan kekotoran orang yang berpuasa dan menjadi sumber makanan kepada orang miskin. Jadi, adalah lebih baik zakat fitrah ini dibayar dengan kadar yang segera supaya ia dapat diagih-agihkan kepada orang yang memerlukan.

9. Lailatul Qadar, Iktikaf
Orang yang mendapat taufik untuk beriktikaf, mereka hendaklah menjalani aktiviti harian mereka dengan zikir Ilahi, taubat dan istighfar, salawat, banyak berdoa, banyak beribadat dan banyak membaca Al-Qur’an.

10. Lailatul Qadar
Fadhilat Lailatul Qadar diterangkan dalam Al-Qur’an bahawa ia lebih baik daripada seribu bulan. Antara berkat daripada Lailatul Qadar ialah orang yang tidak dapat beribadat dengan sempurna pada hari-hari yang lain, mereka dapat menumpukan ibadat mereka dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Hazrat Anas(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) bersabda: “Sesiapa yang dapat mendirikan semua solat secara berjemaah dari hari pertama sehingga akhir Ramadhan, dia telah mendapat bahagian yang besar dari Lailatul Qadar”.

11. Hari Raya Aidilfitri
Setelah bulan Ramadhan berlalu, semua umat Islam, anak-anak, tua, muda, lelaki dan wanita semuanya bergembira menyambut hari Raya Aidilfitri. Kegembiraan Aidilfitri adalah disebabkan dapat mengamalkan ibadat sepanjang bulan Ramadhan, dan inilah kegembiraan yang hakiki iaitu dapat berjumpa dengan Tuhan. Selain daripada itu juga, kita hendaklah beri perhatian kepada saudara kita agar mereka juga dapat bergembira seperti kita.

Sabtu, 3.30 am

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...