Saturday, January 28, 2012

Islam Ahmadiyah: Kebenaran Pasti Unggul



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
09 DISEMBER 2011 / 09 FATAH 1390HS
13 Muharram 1433HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Sejak dari pendakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sehingga hari ini, para penentang Ahmadiyah tidak pernah menolak dakwaan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dengan menggunakan sebarang dalil, tetapi hanya disebabkan kedegilan, kesombongan dan keangkuhan mereka. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah mempersembahkan ribuan dalil dari sudut Al-Qur’an, hadis, ucapan dan tafsir para ulama saleh yang diakui benar, bahawa beliau adalah Maseeh dan Mahdi yang telah dikhabarkan oleh Al-Qur’an dan hadis. Kemudian, beliau juga telah menjelaskan dengan terperinci mengenai pertolongan dan tanda-tanda Ilahi. Dalam setiap kejadian, perlakuan Allah Ta’ala atas beliau juga telah dijelaskan. Tetapi, hati yang telah dikunci oleh Allah Ta’ala, tembok dalam hati mereka tidak boleh dibuka. Orang yang tidak mahu diberi hidayat oleh Allah, tidak ada yang boleh memberi hidayat kepada mereka. Tetapi, orang-orang yang berfitrat baik telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan bai’at kepada beliau. Orang-orang yang telah mendapat kurnia untuk bai’at kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, mereka itu telah ditakdirkan oleh Allah untuk mendapat hidayat. Tetapi, mereka yang takut kepada orang yang bergelar ulama, atau yang mengikut jejak langkah mereka, orang-orang ini tidak datang bai’at kepada beliau alaihissalam. Walaupun memang ada kurnia yang turun dari Allah Ta’ala dalam bentuk hujan rohani, namun mereka tetap terhindar dari mendapat kurnia dan hujan rohani tersebut sejak dari dulu sehingga sekarang.

Berlawanan dengan itu, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa orang yang diberi hidayat oleh Allah Ta’ala, di mana di dalam diri mereka ada kebaikan dan kemuliaan, mereka itu akan menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Pada zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, orang-orang seperti ini yang telah menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, dan pada zaman ini, orang-orang seperti itu jugalah yang akan menerima Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Ini kerana, mereka itu tahu bahawa zaman yang penuh dengan kerosakan telah sempurna, dan helah daripada orang yang bergelar ulama telah mencapai tahap yang tinggi. Mereka telah mencapai tahap menzalimi orang-orang Ahmadi dan tidak berpaling dari perbuatan menghina Al-Qur’an dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, malah sebaliknya mereka pula yang mengatakan bahawa orang-orang Qadiani yang berbuat seperti itu. Mereka sendiri membuang helaian-helaian Al-Qur’an yang berberkat ke bumi atau longkang, kemudian mereka mengatasnamakan perbuatan itu ke atas seorang Ahmadi dan orang Ahmadi sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Hal itu hanya dapat diketahui apabila polis datang ke rumah dan membawa mereka pergi, atau demonstrasi jalanan dilakukan oleh orang-orang yang berfikiran jahat itu. Atau cara mereka ialah menconteng di bangunan-bangunan sekolah, tempat-tempat yang salah atau mereka menulis dengan cara kotor nama Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, yang mana setiap Ahmadi sedia berkorban untuk baginda, dan sedia mengorbankan anak-anak untuk baginda, lalu mereka mengatasnamakan anak-anak Ahmadi yang bersekolah di situ. Ini menyebabkan anak-anak Ahmadi dikeluarkan dari sekolah, dizalimi dan didera. Malah, mereka juga berusaha agar anak-anak Ahmadi yang tidak berdosa ini dihadapkan ke mahkamah hanya atas tuduhan menghina Rasul, dan memang tidak ada jaminan, pasti akan diberi hukuman. Inilah yang berlaku ke atas anak-anak Ahmadi yang kadang-kadang tidak pernah terlintas di fikiran mereka.

Jadi, apabila akhlak sudah hilang, apabila rasa takut kepada Tuhan sudah tidak ada lagi dalam hati, malah dalam hati mereka hanya gerakan untuk berbuat kejahatan dan keburukan, maka rayuan dan permohonan orang-orang yang dizalimi juga akan memperlihatkan kesannya.

Sekarang ini, terutama sekali keadaan Pakistan di mana orang Ahmadi yang menjalani kehidupan mereka di sana, banyakkan berdoa semata-mata kemajuan Islam yang hakiki yakni Ahmadiyah, dengan harapan Allah Ta’ala segera menangkap orang-orang yang melakukan kezaliman atas nama Allah dan Islam. Mereka itu berusaha untuk memburukkan nama Tuhan, Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Kita hendaklah cenderung berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala memberi taufik kepada mereka yang berfitrat baik agar mereka menjadi orang yang menyampaikan amanat Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam iaitu menyampaikan salam kepada imam zaman ini.

Pelbagai program kita di MTA, menerusi LIVE PROGRAMME, dengan kurnia Allah Ta’ala, ada di kalangan orang-orang yang membuat panggilan mendapat kefahaman yang sebenar lalu bai’at ke dalam Jemaat Ahmadiyah. Jadi, bukanlah kebanyakan daripada umat Islam itu suka membuat kerosakan dan kezaliman, tetapi kebanyakan mereka tidak mahu memahami hakikat amanat Ahmadiyah kerana takut dan kejahilan mereka. Jika mereka faham sekalipun, mereka ketakutan disebabkan undang-undang negara, kemudian undang-undang negara pula takut kepada ulama lalu mereka tidak bersedia untuk menyempurnakan hak-hak orang Ahmadi. Dewasa ini bukan undang-undang yang memerintah, tetapi mullah yang memerintah. Ulama telah meletakkan dalam hati orang Islam yang kurang pengetahuan bahawa na’uzubillah Ahmadi tidak mengakui Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sebagai nabi terakhir sebaliknya menganggap Hazrat Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi terakhir, padahal perkara ini salah sama sekali.

Kita mengatakan bahawa pencinta sejati Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang merupakan pakaian nabi-nabi ini datang untuk mengajak semua pengikut-pengikut setiap agama agar bernaung di bawah langkah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dan bukan untuk menentangnya, dan beliau telah menutup mulut seluruh dunia melalui dalil-dalil dan keterangannya. Di hadapan penentang-penentang Islam, beliau berdiri sebagai tembok pertahanan. Dengan dalil-dalil dan keterangan, beliau bukan sahaja menghalang penentangan terhadap Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, malah menundukkan mereka atau tidak ada jalan lain selain melarikan diri.

Beliau mendapat ilham QUL JAA’AL HAQQU WA ZAHAQAL BAATILU INNAL BAATILA KAANA ZAHUUQAN. KULLU BARAKATIM MIM MUHAMMADIN SALLALLAAHU ALAIHI WASALLAM, FATABAAROKA MAN ‘ALLAMA WA TA’ALLAMA. (Tiryaqul Quluub, Rohani Khazain Jilid 15, halaman 265). Yakni, katakanlah, kebenaran telah datang dan kebatilan telah pergi, dan sesungguhnya batil tetap yang akan pergi. Setiap berkat datangnya dari nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam. Maka, berberkatlah mereka yang telah mengajar dan yang telah mendapat pelajaran.

Ilham-ilham ini dan serentak dengan itu ada ilham dalam bahasa Farsi dan Urdu, selepas menyatakan hal ini, beliau bersabda dalam kitab Tiryaqul Qulub:-
            “Dalam semua ilham-ilham ini ada khabar ghaib iaitu Tuhan akan membuktikan kebenaran agama Islam dan kebatilan semua agama-agama melalui tangan saya atau melalui saya. Jadi, khabar ghaib itu telah sempurna hari ini. Sebabnya ialah mana-mana penentang pun tidak ada yang dapat membuktikan kebenaran agamanya di hadapanku. Tanda-tanda langit juga muncul dari tanganku, kemudian hakikat dan makrifat Al-Qur’an sedang memancar dari tulisanku. Bangkit dan carilah di dunia ini sekiranya ada orang Kristian atau Sikh atau Yahudi, atau dari mana-mana firqah yang lain, yang boleh memperlihatkan tanda-tanda langit dan yang dapat menjelaskan makrifat-makrifat dan hakikat-hakikat yang setanding denganku. Aku adalah wujud yang dijelaskan dalam Sihah Sittah, yang telah diterangkan sebagai wujud yang boleh menyebabkan semua agama-agama akan hancur. Tetapi Islam akan begitu bersinar, yang mungkin pada zaman pertengahan ia tidak bersinar”. (Tiryaqul Qulub, Rohani Khazain, Jilid 15, halaman 267-268)

Jadi, ajaran Islam yang cantik akan tersebar di dunia pada hari ini melalui beliau. Sekarang, jemaat beliau meneruskan tugas tabligh di bawah payung khilafat disertai dengan nizam yang teratur. Tabligh Islam di Afrika, Eropah atau mana-mana benua lain, dan di mana pun juga Jemaat Ahmadiyah sedang berusaha menyampaikan gambaran Islam yang hakiki.

Apabila ada penentangan terhadap Islam, Al-Qur’an dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, maka saya mengatakan kepada anggota jemaat supaya buat pameran Al-Qur’an dan jelaskan tentang kecantikan ajaran Al-Qur’an. Dengan kurnia Allah Ta’ala pameran dapat dilaksanakan di berbagai tempat. Dan laporan yang diterima menyatakan bahawa apabila pameran di buat dan orang ghair yang melihatnya terus merasa hairan dan berkata ‘bagaimana kami menentang ajaran yang begitu cantik ini, kami tidak pernah dipersembahkan ajaran Islam yang seperti ini. penentangan itu adalah disebabkan kekurangan ilmu’. Ada yang memohon maaf. Ada yang membawa kembali Al-Qur’an dan risalah Islam yang mereka dapat. Di kalangan para pengunjung ada yang berpelajaran, cendekiawan, orang Kristian, penganut agama lain, dan mereka semua menjelaskan bahawa ‘apa yang kamu lakukan ini satu pekerjaan yang sangat mulia’. Tetapi malangnya, seorang mullah dan kelompoknya menentang pameran ini di berbagai negara. Mereka menghalang penyebaran ajaran Islam yang dilakukan.

Saya juga mungkin pernah menyatakan di sini bahawa di India, pernah ada pameran di Delhi dan jemaat telah menyewa dari kerajaan. Kita telah mempamerkan Al-Qur’an di sana, namun ada mullah dan beberapa orang jahat yang membuat kekacauan sehingga pameran yang sepatutnya tiga hari, kita hanya dapat lakukan selama dua hari. Tetapi, dua hari pameran itu sangat memberi pengaruh yang besar. Di sana ada seorang terpelajar datang. Selepas pameran itu dia datang ke Qadian dan menyatakan bahawa dia pertama kali ke Qadian, dan dia juga menyatakan hendak melihat tempat-tempat di mana ada pengkhidmat Al-Qur’an dan Islam yang mulia dan beliau sangat terkesan.

Tetapi, saya juga sangat sedih menyatakan bahawa beberapa hari yang lepas kita mengadakan pameran di suatu bandar di UK,  mullah pula membuat kekacauan di sana sehingga pihak polis memohon kepada pengurusan kita agar menutup pameran. Sepatutnya mereka menolak dengan dalil-dalil, tetapi jemaat muqami di sana bersetuju untuk cancel pameran kita. Jika di sini, di negara ini, di Eropah dan di mana sahaja ada mengamalkan kebebasan dari kerajaan, jika kita melawan perbuatan mullah-mullah itu, maka di negara ini kita juga akan menjadi pengamal keganasan. Hal ini hendaklah diselesaikan dengan baik oleh pihak pengurusan dan pameran untuk kali kedua hendaklah diatur.

Ada yang mengatakan supaya buat secara senyap-senyap. Jika dibuat dengan diam-diam, apa manfaatnya? Dari satu arah kita hendak mengembangkan misi pahlawan Allah ini dan dari satu arah kita memperlihatkan penipuan. Ini tidak boleh terjadi. Di negara ini sebagaimana yang telah saya katakan bahawa pemerintah berdasarkan undang-undang, kerajaan mengatakan bahawa di sini pemerintahan berdasarkan undang-undang, jadi katakan kepada undang-undang bahawa pekerjaan kamu ialah melaksanakan undang-undang dan menyempurnakan hak setiap penduduknya, melindungi penduduk juga adalah kewajipan kamu.

Apapun, inilah keadaannya mullah. Di negara-negara bukan Islam seperti di India atau England, apabila ada usaha untuk menyampaikan amanat Al-Qur’an dan Islam, maka bukannya ghair Muslim yang bangkit menentang, malah ulama pula yang membuat kacau. Bagaimana hal ini boleh terjadi? Pekerjaan yang sangat berbahaya ini, tugas menyampaikan keindahan ajaran Al-Qur’an sedang dilakukan oleh Ahmadi. Bagaimana kita tidak boleh menghadapinya. Inilah gambaran dan ruh sebenar pemimpin-pemimpin Islam mereka. Tetapi, tanggungjawab kita ialah meneruskan tugas kita. Dalam setiap keadaan, kita hendaklah menutup mulut para penentang dan menyebarkan ajaran Al-Qur’an di dunia. InsyaAllah, jelas bahawa kita akan terus melaksanakan tugas ini supaya dunia berusaha mengikuti jejak langkah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam.

Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa di negara-negara Barat, satu keistimewaannya ialah setiap orang adalah sama di hadapan undang-undang. Sebab itu, jika ada yang hendak memberi halangan dalam pekerjaan kita, maka kita harus meminta pertolongan daripada undang-undang. Salah satu daripada kebaikan undang-undang di sini saya hendak persembahkan di hadapan kamu semua.

Beberapa hari yang lepas, semasa saya dalam lawatan ke Eropah, dalam perjalanan balik, saya memberikan khutbah di Holland dan di sana ada seorang ahli politik, member of parliament dan seorang pemimpin parti yang namanya Geert Wilder, saya memberi pesanan kepadanya dalam khutbah bahawa ‘kamu semakin kuat dalam menentang Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, menggunakan ucapan yang menghina dan permusuhan yang telah melampaui batas. Sedarlah dan berhentilah, jika tidak, maka takutlah kepada Tuhan yang pukulan-Nya tidak bersuara yang akan menghancurkan orang-orang seperti kamu. Dan Tuhan mempunyai kekuatan untuk menangkap kamu’. Saya juga mengatakan ‘kami tidak mempunyai kekuatan, kami hanya berperang dengan kamu melalui doa sahaja’. Ringkasan khutbah itu telah dihantar kepada Press Release yang merupakan Press Section jemaat.

Apabila ketuanya menunjukkan kepada saya, dia tertinggal satu ayat dan menyatakan agar memasukkannya iaitu ‘kami tidak ada kekuatan dunia. Tetapi kami akan berdoa bahawa kamu dan orang-orang seperti kamu akan dihancurkan. Dan inilah hakikatnya bahawa cara kita menghadapi para penentang dan musuh adalah jika bukan dengan dalil-dalil, sekuat-kuatnya pun kita hanya berdoa. Jadi, press release ini telah dibaca oleh Geert Wilder dan dia telah menulis kepada kerajaan dan bertanya beberapa soalan kepada kerajaan dan home minister. Apabila hal ini keluar dalam media, maka jemaat di sana menulis surat kepada saya tentang soalan-soalannya. Kelihatannya anggota jemaat sedikit risau. Saya menyatakan kepada mereka bahawa jika Home Office bertanya, jangan takut. Jelaskan kepada mereka apa yang sebenarnya. Asasnya ialah orang itu yang telah memulakan kerana tindakannya yang sangat keterlaluan, dia telah mengeluarkan filem-filem yang salah tentang Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, dia menggunakan kata-kata yang sangat kotor. Memburukkan nama Islam. Kita telah membalasnya dan menyatakan bahawa Tuhan yang tidak mahu nabi-Nya diberi malu boleh sahaja menangkapnya. Jadi, adalah perlu takut kepada Tuhan.

Apapun, dia telah bertanya kepada kerajaan, dan dalam beberapa hari selepas itu kerajaan juga telah menjawab persoalannya, dan dalam akhbar ia juga telah disiarkan.

Soalan pertama dari Wilders ialah ‘adakah kementerian dalam negeri tahu mengenai artikel World Muslim Leader Sends Warning tu Dutch Politician Geert Wilders?’ Kementerian menjawab ‘ya, saya tahu, saya telah baca artikel ini’.

Kemudian, soalan kedua ialah Mirza Masroor Ahmad mengatakan ‘dengarkan, kamu, parti kamu dan orang-orang seperti kamu akan dibinasakan’, dengan ucapan berbentuk amaran ini, apa tindakan  kementerian yang telah ambil dalam menangani masalah ini? Menteri menjawab bahawa sesuai dengan Press Release itu, Mirza Masroor Ahmad berkata bahawa dia dan kumpulannya tidak akan mengambil langkah kekerasan malah kehancuran itu hanya melalui doa. Dengan kenyataan ini saya tidak melihat adanya tindakan kekerasan. Sebab itu saya tidak ada alasan untuk mengambil tindakan terhadap Jemaat Ahmadiyah Muslim.

Kemudian, soalan ketiga ialah dia mengatakan bahawa apa hubungan di antara Ahmadiyah Muslim Community Holland dengan Jemaat Ahmadiyah Muslim Sedunia dan Masroor Ahmad? Menteri itu menjawab, Ahmadiyah Muslim Jemaat Holland adalah bahagian daripada Jemaat Ahmadiyah Muslim Sedunia.

Inilah jawapannya, inilah keadilan mereka. seorang ahli politik yang juga seorang pemimpin suatu parti dan seorang ahli dalam parlimen, kemudian saudara seagama dengannya, namun apabila dia ditanya, asas jawapannya adalah berdasarkan keadilan. Kedengarannya Wilders Sahib sekarang sedang mempelajari lebih lanjut dari sudut mana Jemaat boleh dibantah. Tetapi, berapa banyak pun para penentang usahakan, teruskan usaha kamu. Ini adalah jemaat Ilahi, kebenaran dan yang hak itu akan sentiasa kelihatan selamanya.

Jadi, kita telah mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan amanat Islam imam zaman ini sehingga sampai ke penjuru-penjuru dunia dan menutup mulut para penentang dengan dalil-dalil. Dan sesuai dengan kemampuan masing-masing, setiap Ahmadi berperanan dalam hal ini. Oleh itu, di mana pun kelihatan ada penentangan terhadap Islam, seorang Ahmadi bertanggungjawab untuk mempertahankannya, menutup mulut mereka dan memberi kefahaman kepada dunia. Untuk tujuan itu, hanya ilmu yang diperolehi dari Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sahaja yang boleh digunakan, dan seorang Ahmadi tidak harus merasa kekurangan apabila menyampaikan amanat kepada pemimpin-pemimpin. Orang lain, apabila bertemu dengan pemimpin-pemimpin, apabila hendak mendapatkan pertolongan atau mendapatkan sesuatu manfaat duniawi, mereka tidak ada keberanian untuk menyampaikan amanat Islam.

Beberapa hari yang lepas juga, Tuan Amir Jemaat di Kababir mendapat peluang bersama rombongan pergi ke Itali. Sebelum bertolak, beliau berkata kepada saya, oleh kerana perjalanan ini adalah pertemuan semua agama-agama, mungkin juga ada peluang berjumpa dengan Pop, dan pemergian itupun adalah atas jemputan Pop, sebab itu jika sesuai, saya berhajat untuk memberikan suatu amanat dari Huzur dan menghadiahkan kepadanya Al-Qur’an. Saya menjawab; itu sangat sesuai. Jadi, saya telah menghantar kepadanya amanat saya untuk diberikan kepada Pop. Beliau telah membuat salinan, yakni bukan hanya diberikan kepada Pop malah kepada paderi-paderi yang terkenal juga turut diberikan. Al-Qur’an juga dihadiahkan kepada Pop, gambarnya juga ada disiarkan dalam media di sana. Saya bacakan laporan yang telah ditulis oleh beliau.

Beliau menulis:-
            “Pada 10-11-2011 saya telah berpeluang bertemu dengan dengan golongan-golongan agama di kediaman Pop di Vatican, Itali dalam perjumpaan antara agama-agama yang kebanyakannya ketua-ketua Israel, kemudian orang Kristain, Yahudi dan pemimpin-pemimpin Islam. Saya telah menyampaikan surat Huzur dan memberitahu kepadanya bahawa di dalamnya ada amanat yang sangat penting daripada Imam Jemaat Ahmadiyah Sedunia. Surat itu dia terima sendiri dengan tangannya. Bersama-sama dengan itu juga senaskah terjemahan Al-Qur’an dalam bahasa Itali telah diberikan. TV Itali dan Israel, surat khabar Itali dan media Israel dalam bahawa Arab dan Ibrani memuatkan gambar saya bersama Pop. Selepas pertemuan, Radio Vatican membuat liputan dan saya telah menyebut tentang surat Huzur, membuat ringkasan dan menyebarkan dalam bentuk lembaran-lembaran. Demikian juga saya telah menyediakan salinan kepada gereja-gereja yang ada di Vatican di Barat Tengah seperti Cordinal dan lain-lain. Di sini saya juga telah berjumpa dengan komiti antara agama-agama yang berkenaan dan mereka menjemput saya dalam conference mereka untuk memberikan ucapan. Conference mereka yang akan datang dibuat di Sarajevo.

Surat yang saya kirimkan kepada Pop, ringkasannya saya nyatakan di sini. Pertama sekali ada kalimat doa-doa, kemudian ada ayat Al-Qur’an iaitu QUL YAA AHLAL KITAABI TA’AALAU ILAA KALIMATIN SAWAA’IN BAINANAA WABAINAKUM ALLAA NA’BUDA ILLALLAAHA WA LAA NUSYRIKA BIHII SYAI’AU WA LAA YATTAKHIZA BA’DHUNAA BA’DHON ARBAABAM MIN DUUNILLAAHI (Ali Imran:65) katakanlah, “Hai Ahli-kitab, marilah kepada satu kalimat yang sama di antara kami dan kamu, bahawa kita tidak menyembah kecuali kepada Allah, dan tidak pula kita mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, dan sebahagian kita tidak menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah.

Kemudian saya menjelaskan bahawa sekarang ini ajaran Islam sedang dijadikan sasaran oleh dunia. walaupun dasarnya disebabkan oleh perbuatan sesetengan orang Islam, namun dasar mereka menjadikan sasaran adalah tidak benar sama sekali. Dan disebabkan beberapa orang Islam yang berbuat kesalahan, maka orang-orang terpelajar tidak berpaling dari menyerang Islam dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Sebagaimana ajaran setiap pengasas agama-agama atau ajaran setiap agama-agama bahawa tujuannya adalah mempertemukan hamba dengan Tuhannya, begitu juga tentang ajaran Islam. Sebab itu, walaupun ada beberapa orang Islam yang berbuat kesalahan, tidak seharusnya ia diserang. Islam mengajarkan supaya menghormati setiap nabi-nabi yang datang ke dunia ini, yang dinyatakan di dalam Bible, itu juga yang dinyatakan di dalam Al-Qur’an. Kami yang merupakan hamba kepada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kami sangat sedih sekali apabila kemuliaan nabi kami Muhammad sallallaahi alaihi wasallam di hina. Kami menjawab serangan itu tetapi ajaran baginda sallallaahu alaihi wasallam dan juga ajaran Al-Qur’an yang sangat cantik ini, yang mengajarkan tentang persaudaraan ini, kami persembahkan kepada dunia. asas ajaran Islam ialah berjalan atas landasan ketakwaan, dan inilah suara yang keluar dari masjid-masjid kami setiap waktu, di mana di dalamnya ada menjelaskan tentang kebesaran Allah Ta’ala dan mengumumkan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam adalah rasul-Nya.

Kemudian, seterusnya dinyatakan bahawa kemusnahan keamanan di dunia ini berpunca dari pemikiran bahawa dasar kebebasan yang diamalkan menyuruh mereka bebas berbuat apa sahaja mempermainkan perasaan orang lain, dan atas dasar keagamaan pun saling menyakiti antara satu dengan yang lain. Kebelakangan ini juga peperangan tercetus hanya disebabkan perkara yang kecil. Apa yang diperlukan di dunia sekarang ini ialah berusaha menghentikan segala peperangan ini. Jika tidak, ia akan membawa ke arah perang dunia dan lebih dahsyat kemusnahan yang akan berlaku.

Kemudian saya juga menulis kepadanya; sebagai ganti kita memikirkan bagaimana membawa dunia ke arah yang lebih maju, adalah sangat perlu kita memikirkan bagaimana untuk menghindari mereka dari kehancuran, jika tidak kehancuran itu pasti akan berlaku. Jadi, pemimpin-pemimpin agama hendaklah berusaha menghapuskan permusuhan sesama sendiri dan berhenti dari saling merampas hak di dunia ini.

Kemudian saya juga menulis; Oleh kerana tuan mempunyai satu suara di dunia ini, tuan mempunyai ramai pengikut, sebab itu usahakan perkara ini. Semua golongan cerdik pandai dalam agama hendaklah berusaha untuk saling tolong-menolong dan mengekalkan keamanan, dan juga memberi perhatian ke arah mengenal Pencipta masing-masing. Inilah ringkasan surat yang saya hantar kepadanya. Mudah-mudahan dia dapat memahami amanat ini dan juga membacanya. Mudah-mudahan mereka ini dapat menghargai manusia lain, dan menghormati agama lain, dan yang paling tinggi ialah dapat mengenal Pencipta mereka.

Sebagaimana jelas dari laporan Syarif Sahib, waktu itu ada juga pemimpin-pemimpin Islam atau orang-orang besar, tetapi yang mendapat taufik untuk memberikan amanat Islam dan Al-Qur’an adalah seorang hamba kepada Imam Zaman dan Jariullah. Namun, mereka ini tetap sahaja mengatakan Ahmadi itu bukan Islam dan na’uzubillah menghina Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan Al-Qur’an. Sejak kita bergabung dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, sehingga hari ini kita dapat melihat kemajuan Islam yang agung. Malah, dalam diri orang bukan Islam yang tidak ada permusuhan dan dengki, mereka juga mengakui bahawa matlamat pekerjaan yang dilakukan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah tercapai.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pernah dihadapkan ke mahkamah atas suatu tuduhan. Ini merupakan satu perbicaraan yang terkenal iaitu dibuat oleh Paderi Henry Martin Clark. Sebenarnya, di sebalik itu dia hendak menebus kekalahan pihak Kristian dalam perdebatan dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Maklumat terperinci tentang perbahasan ini ada terdapat dalam buku Jangge Muqaddas. Martin Clark telah membuat tuduhan membunuh yang tidak berasas ke atas Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Ia juga boleh didapati dalam buku Kitabul Birriyah. Apapun, dalam perbicaraan itu Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah dibebaskan dengan penuh kemuliaan oleh hakim pada waktu itu, iaitu Kapten Douglas. Beliau menggelarnya sebagai Hakim Pilatus Kedua. Ini pun satu perkara yang sangat panjang. Doktor Martin Clark sangat terhina dalam perbicaraan itu. Malah Hakim itu berkata; Tuan boleh mendakwa kembali sebagai membalas perbuatannya.

Beberapa hari yang lepas Asif Sahib yang bekerja di MTA memberitahu bahawa dia berhubung dengan cicit Henry Martin Clark dan hendak berjumpa dengan saya. Jadi, saya mengatakan kepadanya; dengan senang hati kita persilakan. Bawa dia jika ada masa. Jadi, tidak lama selepas itu dia bertemu dengan saya. Pertemuan itu tidaklah sangat penting, sebab orang lain pun mulaqat terus menerus. Tetapi, beberapa perkara yang dia katakan hendak saya sampaikan di sini yang merupakan tanda kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, iaitu bagaimana Allah Ta’ala menolong beliau sehingga hari ini. Saya berbual dengannya dengan merujuk kepada buku Jangge Muqaddas. Dia mengatakan; saya ada buat kajian tetapi hari ini saya merasa Henry Martin Clark dulu tersilap. Ini perkataan cicitnya; Henry Martin Clark dulu tersilap sedangkan orang yang dihadapinya itu seorang yang berjaya di seluruh dunia.

Dia juga berkata; beberapa tahun sebelum ini saya sendiri tidak tahu siapa moyang saya. Baru sahaja saya tahu kebelakangan ini kerana saya membuat kajian asal usul saya sehingga mendapat tahu Henry Martin Clark adalah moyang saya. Kami berbual sehingga hampir setengah jam. Dia begitu teratur dan perlahan ketika bercakap dengan saya. Dalam fikiran saya mungkin itu memang sifatnya tetapi selepas itu dia berkata kepada Asif Sahib; dalam keseluruhan mulaqat itu saya sangat tersentuh. Dan selepas itu, apabila kembali berbual Asif Sahib menjelaskan semula kepadanya bahawa jika Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menggunakan kata-kata keras berkenaan dengan Henry Martin Clark, itu adalah disebabkan kedegilan Martin Clark dan disebabkan perbahasan yang berlaku pada waktu itu. Walaupun jelas bahawa apabila insan membaca keseluruhan perbahasan itu, maka dia akan dapat menjangkakan bahawa Islam di pihak yang menang, tetapi mereka dengan tegas menyatakan bahawa Kristian telah menang. Jadi, beliau berkata supaya keputusan dibuat melalui doa agar Allah Ta’ala menunjukkan tanda yang agung. Perkara yang sangat panjang, akhirnya dia berkata God has certainly shown a sign even today. Yakni sesungguhnya Allah Ta’ala telah memperlihatkan tanda-tanda, demikian juga hari ini. Perincian tentang perkara itu saya telah meminta dari Asif Sahib agar dikeluarkan dalam bentuk risalah.

Apapun, kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dizahirkan oleh Allah Ta’ala hari ini melalui mulut anak-anak keturunan para penentang-penentang Islam. Jika memang tetap tidak mahu faham, itu adalah mullah-mullah yang menganggap diri mereka sebagai penjaga agama.

Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bersabda:-
            “Mengingkari saya sebenarnya bukan mengingkari saya tetapi ingkar terhadap Allah dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam kerana orang yang mendustakan saya, sebelum mereka membuat kedustaan itu ma’azallah, mereka menganggap Allah Ta’ala berdusta sedangkan mereka melihat bahawa dalaman dan luaran telah rosak binasa. Dan walaupun Allah Ta’ala telah berjanji INNAA NAHNU NAZZALNAZ ZIKRO WA INNAA LAHUU LAHAAFIZUUN (Al-Hijr:10), namun tidak menyediakan sarana untuk memperbaiki kerosakan itu, sedangkan mereka beriman bahawa Allah Ta’ala menjanjikan di dalam ayat istikhlaf, sama seperti silsilah Musawi, dalam silsilah Muhammadi sallallaahu alaihi wasallam inipun akan berdiri sistem khilafat. Tetapi ma’azallah, Tuhan tidak menyempurnakan janji-Nya, dan sehingga hari ini tidak ada khalifah dari umat ini. dan bukan hanya setakat itu sahaja, malah perkara ini juga terpaksa diingkari di mana Al-Qur’an menyatakan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ditetapkan sebagai matsil Musa, dan hal itu tidak benar. Ma’azallah. Ini kerana, untuk menjadikan persamaan dan permisalan ini sempurna, maka amat perlu dalam abad ke-14 ini lahir seorang Maseeh dari umat ini sebagaimana lahir Maseeh selepas 14 abad silsilah Musawi berlalu. Demikian juga ayat WA AAKHORIINA MINHUM LAMMAA YAL HAQUU BIHIM (Al-Jumu’ah:4) terpaksa didustakan kerana walaupun di dalamnya ada memberikan khabar berkenaan dengan kedatangan seorang Ahmadi Buruzi (bayangan), demikian juga terhadap banyak ayat-ayat Al-Qur’an, ia terpaksa didustakan, malah saya mengatakan bahawa bermula dari ALHAMDU sehingga WANNAAS harus ditinggalkan. Jadi, fikirkanlah, adakah mendustakan aku satu perkara yang mudah? Saya tidak mengatakan hal ini dari diri sendiri, malah saya bersumpah demi Tuhan inilah yang benar, mereka yang meninggalkan aku, mereka yang mendustakan aku, walaupun bukan dengan lidah, tetapi dengan amalannya telah mendustakan seluruh ayat Al-Qur’an dan meninggalkan Tuhan.

Ada juga satu ilham yang saya terima ANTA MINNII WA ANAA MINKA yang di dalamnya memberikan isyarat ke arah ini. Jadi, mereka yang mendustakan saya bererti mendustakan Tuhan. Dan yang menerima saya dibenarkan oleh Tuhan dan lahir kekuatan iman dalam kehidupan mereka. Kemudian, mereka yang mendustakan saya sebenarnya bukan mendustakan saya tetapi mendustakan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Sekarang, sesiapa sebelumnya yang berani mendustakan dan mengingkari saya, cubalah fikirkan dalam hati dan tanya pada mereka, siapa yang mereka dustakan itu? (Malfoozaat Jilid 2, halaman 364-365, edisi 2003, cetakan Rabwah)

Kemudian, dalam kitab yang lain beliau bersabda:-
            “Jadi, ingatlah dengan sebaik-baiknya bahawa dalam pertarungan ini kamu sendiri yang memegang pedang dengan anggota kamu. Janganlah kamu meletakkan tangan dalam api yang bukan sepatutnya. Jangan sampai api itu menyala lalu menghanguskan tangan kamu. Fahamilah dengan sebaik-baiknya, jika pekerjaan ini insan yang lakukan, sudah pasti akan lahir orang yang menghancurkannya dan umurnya pasti tidak akan sampai seperti sekarang ini. ......... adakah pernah kamu terlihat ada seorang pendusta atas nama Tuhan dengan mengatakan Dia berkata-kata dengan saya, kemudian orang itu mendapat umur yang panjang. Malang sekali kamu itu tidak berfikir dan tidak mengingat kepada ayat-ayat Al-Qur’an, di mana Allah Ta’ala berfirman berkenaan dengan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam iaitu jika engkau sedikitpun berdusta atas-Ku, maka Aku akan putuskan urat nadimu. Jadi, siapa yang lebih mulia daripada Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang berdusta lalu selamat sehingga sekarang, malah mendapat kurnia yang berterusan dari Allah Ta’ala. Jadi, wahai saudara-saudara! Berpalinglah dari mengikut nafsu. Dan janganlah bertindak melampaui batas terhadap perkara yang khas dari ilmu Allah. Dan tinggalkan adat dan jadilah seorang insan baru yang berjalan atas landasan takwa supaya kamu dirahmati dan Tuhan mengampuni dosa kamu. Jadi, takutlah dan kembalilah. Tidak adakah kebaikan sedikitpun dalam diri kamu? WA ILLAM TANTAHUU FASAUFA YA’TILLAAHU BI NUSROTIN MIN ‘INDIHII WAYANSHURUHU ‘ABDAHUU WA YUMAZZIQU A’DAA’AHUU WALAA TADHURRUUNAHUU SYAI’AN (Ainah Kamalat Islam, Rohani Khazain jilid 5, halaman 54-55)

Jika kamu tidak berpaling maka Allah Ta’ala akan datang bersama dengan pertolongan yang khas dan membantu hamba-Nya, dan musuh-Nya akan digiling, dan sedikitpun kamu tidak akan dapat merugikannya.

Semoga Allah memberikan akal kepada penentang-penentang Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dan dapat memahami amanat ini. Semoga Allah melindungi setiap Ahmadi di mana sahaja mereka berada dan semoga kita semakin tunduk kepada Allah dan mendapat taufik daripada-Nya.

Selepas sholat Jumaat ini saya akan memimpin beberapa jenazah ghaib. Jenazah pertama ialah Muhtaramah Maryam Khatun Sahibah isteri kepada Mukarram Muhammad Zikri Sahib dari Cobarah daerah Liyah. 5 Disember 2011, lebih kurang jam 5 petang, beberapa ghair Ahmadi telah menyerang satu keluarga Ahmadi di daerah Liyah sehingga menyebabkan kewafatannya. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Rumahnya berdekatan dengan rumah murabbi. Dan ada juga rumah-rumah Ahmadi. Beberapa tahun sebelum ini para penentang membeli tanah di tempat ini dengan cara usaha sama, kemudian mereka berpakat dengan mahkamah kewangan memansuhkan pemindahan nama pemilikan keluarga marhumah. Ia juga pernah disebut dalam mahkamah keadilan. Sebelum itu, para penentang juga menyerang secara paksaan tetapi tidak berjaya. Pada hari kejadian, ketika kelompok ini berusaha untuk merampas tanah berkenaan, apabila dilarang maka walaupun jelas memang dihentak menggunakan batu-bata hasil laporan post mortem sehingga meninggal, namun mereka semua berpakat menentang disebabkan Ahmadiyah. Dua saudara perempuan suaminya juga cedera, tetapi sekarang ini keadaan mereka semakin baik. Umur marhumah baru sekitar 25, 26 tahun. Dari segi perniagaan, keluarga mereka banyak memiliki tanah.

Apabila mertuanya membeli tanah pada tahun 1992, berdekatan dengan masjid, ada sebidang tanah telah diserahkan kepada jemaat yang sehingga sekarang ini dibina rumah murabbi. Pihak penentang telah berusaha sekian lama untuk merampas tanah ini sehingga sanggup membawa perkara itu ke mahkamah tinggi, namun tetap tidak berjaya. Selepas itu mereka berusaha untuk menukarkan rekod, dan sebagaimana cara Pakistan yang selalu terjadi, mereka berpakat menukarkan nama pemilikan ke atas tanah tersebut. Walaubagaimanapun, perbicaraan berjalan sehingga sekarang. Oleh kerana banyak tekanan, maka apabila jemaat membuat laporan kepada D.P.O, maka D.P.O dengan jelas memohon maaf bahawa dia tidak boleh menjadikan pihak penentang marah. Apapun, apabila beliau ini meninggal, beliau dikebumikan di tanah jemaat berdekatan iaitu Syer Gorh daerah Liyah. Dan yang bersalah, yang telah menjadikan beliau syahid, dia telah bebas dengan pertolongan polis. Beliau meninggalkan suami dan tiga orang anak yang masih kecil. Anaknya yang paling sulung berumur sembilan tahun. Dan anak perempuannya Maria Parwin berumur enam tahun setengah, anak yang seterusnya berumur lima tahun setengah.

Jenazah kedua ialah Mukarramah Azimun Nisa Sahibah isteri kepada Mukarram Bahadur Khan Sahib Darwish marhum Qadian. 3 Disember 2011 meninggal dunia. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Beliau tinggal di Mungghir wilayah Bihar dan Hazrat Miyan Syadi Khan Sahib adalah menantu kepada Sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Sejak dari kanak-kanak lagi selalu berdoa untuk datang ke Qadian dan untuk itu beliau menulis nazam yang sangat panjang. Allah Ta’ala telah mendengar doanya dan selepas berkahwin, dalam tahun 1952 beliau datang ke Qadian. Salah satu nazamnya ialah

DUAE AARZOO YAA RAB AZIZAH AZIMUN NISA KI,
DIKHAA DE JALD BASTI QADIAN DARUL AMAN KI

Beliau bersama dengan suami semasa zaman Darwish, walaupun begitu banyak kesusahan dialami, namun tetap sahaja setia dan ikhlas dalam menjalani kehidupan. Selepas kewafatan suami, beliau menjalani kehidupan menjanda selama 29 tahun dengan penuh kesabaran di Qadian. Beliau sangat memerhatikan ta’lim dan tarbiyat anak-anak. Beliau mengajarkan anak-anaknya Al-Qur’an dengan begitu baik. Lima orang anak perempuan dan tiga orang anak lelaki. Semoga Allah Ta’ala meninggikan darjat marhumah ini.

Jenazah ketiga ialah Mukarram Sulaiman Ahmad Sahib marhum Muballigh Indonesia. Beliau wafat pada awal Disember 2011. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Beliau meninggal akibat penyakit jantung. Beliau lahir pada tahun 1953, bai’at tahun 1978, tahun 1979 masuk dalam Jami’ah Ahmadiyah Rabwah, Fashul Khas. Tahun 1985, lulus peperiksaan Mubashir dan balik ke Indonesia. Beliau ditugaskan di Bogor, selepas itu ada sembilan tempat lagi yang lain. Semasa kewafatan beliau, waktu itu di Bandung. Selain isteri, beliau juga meninggalkan tiga orang anak. Semoga Allah memberikan kesabaran dan semangat dan darjat beliau ditinggikan.

Jenazah keempat Al-Haj D M Khaloon Sahib dari Sierraleon. Pada 26 November 2011 beliau meninggal dunia disebabkan kesihatan yang tidak baik. INNAA LILLAAHI WA INNAA ILAIHI ROOJI’UUN. Beliau membuka mata dalam kemiskinan dan selalu berkata bahawa dia berjalan berkaki ayam sehingga berumur 15 tahun tetapi kerana kecintaan terhadap ilmu menyebabkan beliau mengecapi kejayaan. Dan semasa muda, beliau dilantik sebagai Managing Director of Sierraleon Produce Marketing Board. Beliau sendiri belajar dan mendapat ilmu. Beliau seorang yang berakhlak baik dan ikhlas dalam berkorban. Beliau meninggalkan dua anak perempuan dan empat orang anak lelaki. Isteri beliau Hajiah Salma Khaloon Sahiba berperanan sebagai Sadar Nasional Lajnah Imaillah di Sierraleon. Seorang anak beliau Tommy Khaloon Sahib yang tinggal di sini, pernah menjawat Sadar Khuddamul Ahmadiyah. Semoga Allah Ta’ala meninggikan darjat beliau dan kebaikan-kebaikan beliau diwarisi oleh keturunan-keturunannya. Semua solat jenazah ini insyaAllah disempurnakan selepas solat.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
27.01.2012


No comments:

Post a Comment