Monday, January 9, 2012

Malfoozaat Jilid 1_09


MALFOOZAAT

HAZRAT MASEEH MAU’UD alaihissalam

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

SIAPA ITU MUTTAQI?

Apa yang diperolehi daripada Kalam Tuhan, orang muttaqi itu adalah mereka yang menjalankan kehidupan dengan lemah-lembut dan miskin, mereka tidak bercakap dengan angkuh, cara mereka bercakap sama seperti anak kecil yang beradab di hadapan orang yang lebih tua. Kita hendaklah selalu mengamalkan cara hidup seperti itu dalam setiap keadaan. Di situlah letaknya kejayaan kita. Tuhan tidak memerlukan bayaran. Dia hanya menginginkan taqwa. Orang yang bertaqwa akan mendapat kedudukan yang tinggi. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam atau Hazrat Ibrahim alaihissalam mendapat kemuliaan bukan kerana warisan dari sesiapa. Walaupun kita percaya bahawa ayahanda Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam iaitu Abdullah bukan seorang musyrik, namun dia tidak mewariskan kenabian. Itu adalah kurnia Allah Ta’ala, yakni hasil siddiq yang ada dalam diri baginda itu telah menggerakkan kurnia Ilahi. Hazrat Ibrahim alaihissalam yang merupakan Abul Anbiya, disebabkan siddiq dan taqwa inilah beliau tidak teragak-agak untuk mengorbankan anaknya, malah beliau sendiri dimasukkan dalam api. Lihat juga bagaimana siddiq dan kesetiaan pembimbing kita Muhammad Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam. Baginda berhadapan dengan segala jenis gerakan jahat. Berbagai musibat dan kesusahan ditanggung, namun baginda tidak peduli. Inilah siddiq dan kesetiaan yang menyebabkan Allah Ta’ala memberi kurnia. Sebab itu Allah Ta’ala berfirman: INNAL LAAHA WA MALAA IKATAHU YUSHOLLUUNA ‘ALAN NABIYYI, YAA AIYUHAL LAZIINA AAMANUU SHOLLU ‘ALAIHI WASALLIMUU TASLIIMAA (Al-Ahzab:57) Terjemahannya: Allah Ta’ala dan semua malaikat bersalawat atas nabi, wahai orang-orang yang beriman! Kamu juga hendaklah mengirimkan salawat dan salam atas Nabi sallallaahu alaihi wasallam.

Dari ayat ini jelas bahawa amalan Rasul Mulia sallallaahu alaihi wasallam begitu agung sehingga untuk memuji atau menzahirkan keistimewaannya, Allah Ta’ala tidak ada perkataan yang khas.  Perkataan itu boleh sahaja diperolehi tetapi tidak digunakan. Yakni, amal soleh baginda berada di luar batasan pujian. Ayat seperti ini tidak pernah digunakan kepada nabi-nabi yang lain. Dalam ruh baginda ada siddiq dan kesetiaan, dan amalan baginda dalam pandangan Tuhan sangat disukai, hal ini jelas apabila Allah Ta’ala memerintahkan orang ramai mengirimkan salawat ke atasnya sebagai tanda bersyukur. Jika kita lihat ke atas dan ke bawah,  maka kita tidak akan menjumpai contoh keberanian dan siddiq yang diperlihatkan oleh baginda sallallaahu alaihi wasallam. Cuba lihat dalam kehidupan Nabi Isa alaihissalam, apa contoh keberanian atau siddiq rohani dan kesetiaan yang telah mempengaruhi pengikut-pengikutnya? Setiap orang dapat memahami bahawa seorang yang berperangai buruk sangat sukar untuk dibetulkan, dan orang yang sudah terbiasa dengan adat, sangat susah untuk dipulihkan. Tetapi, rasul kita yang suci sallallaahu alaihi wasallam telah membetulkan ribuan orang-orang yang lebih jahat daripada haiwan. Ada di kalangan mereka yang sama seperti haiwan, tidak tahu membezakan ibu dan saudara perempuan mereka, makan harta anak yatim, mengambil harta orang yang telah meninggal dunia, ada yang menyembah bintang, ada yang tidak beragama, ada yang memuja benda-benda. Ringkasnya, di Tanah Arab itu semua ada.

AL-QUR’AN MAJID PETUNJUK SEMPURNA

Al-Qur’an Karim merupakan satu ajaran yang sangat bermanfaat. Setiap akidah yang salah dan ajaran yang buruk yang mungkin terdapat di dunia, ajaran yang cukup untuk menghapuskannya ada terdapat di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kebijaksanaan Allah Ta’ala yang sangat halus.

Oleh kerana kitab yang sempurna telah datang untuk membuat islah (perbaikan) yang sempurna, maka sudah pasti pada waktu kedatangannya, penyakit yang ada pada waktu itu sungguh sempurna, supaya setiap penyakit dapat diubati. Jadi, di tanah Arab ini banyak orang yang menderita dengan pelbagai penyakit rohani yang pada hari itu dan generasi selepasnya sama sahaja. Inilah sebabnya Al-Qur’an telah menyempurnakan semua syariat-syariat sebelumnya. Semasa kedatangan kitab-kitab sebelumnya, keadaan ini masih belum diperlukan dan juga ajarannya belum cukup sempurna.

MUKJIZAT AGUNG RASULULLAH sallallaahu alaihi wasallam

Penzahiran berkat Rasul kita sallallaahu alaihi wasallam yang sempurna, jika semua keramat-keramat baginda dipisah-pisahkan, maka cara pengislahan baginda merupakan satu mukjizat yang agung. Jika sesiapa yang merenungkan keadaan itu, apabila baginda datang, kemudian merenungkan kembali keadaan yang telah ditinggalkan oleh baginda, maka orang itu terpaksa mengakui bahawa pengaruhnya merupakan satu keajaiban. Walaupun memang setiap nabi layak mendapat penghormatan tetapi ZAALIKA FAZLULLAAHI YU’TIIHI MAIYA SYAA’U (Al-Jumu’ah:5)

Jika Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam tidak datang, jangankan kenabian, malah bukti ketuhanan pun tidak akan dapat diperolehi. Melalui ajaran baginda, barulah dapat diketahui tentang Tuhan iaitu QUL HUWAL LAAHU AHAD, ALLAAHUS SHOMAD, LAM YALID WALAM YUULAD, WALAM YAQUL LAAHU  KUFUWAN AHAD (Al-Ikhlas). Jika di dalam Taurat ada ajaran seperti itu dan Al-Qur’an Syarif memberi penjelasan mengenainya, maka kenapa wujud orang Nasrani?

DALAM AL-QUR’AN ADA SEMUA KEBENARAN

Justeru itu, selain jalan-jalan ketakwaan yang diberitahu di dalam Al-Qur’an Syarif, ia juga mengajarkan bagaimana untuk memperlakukan pelbagai kelompok insan dan orang-orang yang bijak pandai, seorang jahil, berilmu, pelbagai jenis insan. Dan menjawab segala jenis persoalan dari orang jahil, berilmu dan ahli falsafah. Ringkasnya, tidak ada satu firqah yang ditinggalkan di mana tidak diajarkan bagaimana untuk memperbaiki mereka. Ini adalah sahifah yang ditakdirkan sebagaimana difirmankan FIIHAA KUTUBUN QOIYIMAH (Al-Baiyinah:4), ini adalah sahifah yang mengandungi segala kebenaran. Betapa agungnya berkatnya kitab ini, kerana di dalamnya memberitahu segala sarana untuk mencapai darjat yang tinggi.

MASEEH DAN MAHDI

Tetapi malangnya, sebagaimana terdapat dalam hadis bahawa ada zaman pertengahan yang datang iaitu zaman kemerosotan, yakni Huzur alaihissalam bersabda bahawa satu zaman iaitu zamanku adalah zaman yang penuh dengan keberkatan. Kemudian satu zaman akan datang iaitu zaman Maseeh dan Mahdi. Maseeh dan Mahdi ini bukanlah dua orang yang terpisah, ia adalah satu wujud. Mahdi bermaksud orang yang mendapat hidayat. Tidak ada yang boleh menyatakan bahawa Maseeh bukanlah Mahdi. Tidak kira sama ada Mahdi itu Maseeh atau bukan, tetapi mengingkari Maseeh sebagai Mahdi bukanlah pekerjaan orang Islam. Sebenarnya, Allah Ta’ala meletakkan dua nama ini dengan tujuan menghadapi penghinaan bahawa dia bukan kafir, dhollin dan mudhil, malah dia adalah Mahdi.  Oleh kerana Dia mengetahui bahawa Maseeh dan Mahdi yang akan datang akan dianggap sebagai dajjal dan sesat, sebab itu Dia menyebutnya Maseeh dan Mahdi. Berkenaan dengan dajjal ada dalam ayat AKHLADA ILAL ARDH (Al-A’raaf:177) dan Maseeh alaihissalam ditinggikan. Jadi, apa yang Allah Ta’ala inginkan ialah kesempurnaannya hanya berlaku dalam dua zaman. Pertama berlaku pada zaman Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan yang kedua berlaku pada zaman akhir Maseeh dan Mahdi, yakni Al-Qur’an dan ajaran yang sebenar diturunkan pada satu zaman, tetapi zaman kemerosotan telah meletakkan pardah atas ajaran tersebut, dan untuk mengangkat kembali pardah itu telah ditetapkan pada zaman Maseeh alaihissalam. Sebagaimana dikatakan bahawa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam telah mensucikan satu jemaat iaitu jemaat para sahabat, kemudian ada satu lagi jemaat yang akan datang, yang berkenaan dengannya ada dalam ayat LAMMAA YALHAQUU BIHIM (Al-Jumu’ah:4). Ini jelas bahawa Tuhan telah memberi khabar gembira, pada zaman kegelapan, Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan agama ini. Malah, pada zaman yang akan datang itu Allah Ta’ala akan membuka hakikat Al-Qur’an. Salah satu daripada tanda-tanda keagungan Maseeh yang akan datang itu ialah dia memiliki kefahaman dan pengetahuan mendalam mengenai Al-Qur’an, hanya melalui Al-Qur’an, dia memperingatkan kesalahan orang ramai mengenai kesalahfahaman tentang hakikat Al-Qur’an yang tidak diketahui oleh mereka.

PERBANDINGAN JEMAAT MUSAWIYAH DAN MUHAMMADIYAH

Di dalam Al-Qur’an, Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ditetapkan sebagai Masil Musa, INNAA ARSALNAA ILAIKUM RASUULAN SYAAHIDAN ‘ALAIKUM KAMAA ARSARNAA ILAA FIR’AUNA RASUULA (Al-Muzammil:16) yakni Kami telah mengutus seorang rasul sebagaimana Kami mengutus Musa kepada Firaun. Jadi, rasul kita adalah Masil Musa. Kemudian, di tempat lain juga dikatakan bahawa WA ADALLAAHUL LAZIINA AAMANUU MINKUM WA’AMILUS SHOOLIHAATI LA YASTAKHLIFAN NAHUM FIL ARDHI KAMAS TAKHLAFAL LAZIINA MIN QOBLIHIM (An-Nur:56) yakni khalifah Masil Musa juga akan sama seperti khalifah Musa alaihissalam. Tempohnya adalah selama 1400 tahun. Khalifah silih berganti. Ini adalah khabar ghaib dari Allah Ta’ala, bagaimana zaman dahulu ia bermula, seperti itu jugalah ia akan bermula. Yakni, sebagaimana Nabi Musa alaihissalam memperlihatkan keagungannya dan melepaskan kaum dari cengkaman Firaun, demikian juga nabi yang akan datang itu, keadaannya sama seperti nabi Musa. FAKAIFA TATTAQUUNA IN KAFARTUM YAUMAN YAJ’ALUL WILDAANA SYIIBA, AS SAMAA’U MUNFATIRUN BIHII KAANA WA’DAHUU MAF’UULA (Al-Muzammil:18-19) yakni sebagaimana Kami mengutus nabi Musa alaihissalam, pada zaman Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam juga orang-orang kafir Arab penuh dengan kefiraunan. Mereka itu sama seperti firaun yang tidak mahu berpaling selagi mereka tidak melihat tanda yang agung. Pekerjaan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sama dengan pekerjaan Musa alaihissalam. Tugas nabi Musa alaihissalam masih belum diterima, tetapi Al-Qur’an menerimanya. Walaupun pada zaman Musa alaihissalam Bani Israil selamat dari tangan Firaun, namun mereka belum selamat dari dosa. Mereka berperang tetapi hati mereka bengkok dan Musa alaihissalam diserang, tetapi Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam diberikan kaum yang benar-benar selamat. Jika Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam tidak memberikan kekuatan, keagungan dan kerajaan kepada Islam, maka orang Islam akan dizalimi dan tidak dapat menyelamatkan diri dari tangan orang kafir. Satu, Allah Ta’ala telah memberikan keselamatan dengan memberikan selamanya kerajaan Islam, dan kedua, mereka telah selamat dari dosa-dosa dengan sempurna. Tuhan memberikan dua gambaran, bagaimana keadaan orang Arab sebelumnya dan apa yang telah terjadi selepasnya. Jika kedua-duanya disatukan, maka keadaan mereka sebelumnya dapat dijangkakan. Jadi, Allah Ta’ala telah memberikan mereka dua keselamatan, selamat dari syaitan dan juga selamat dari taghut.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 23-26)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(09.01.2012)


No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...