Friday, July 1, 2011

Perlakuan Buruk Di Kalangan Pemimpin Islam



KHUTBAH JUMAAT

HAZRAT MIRZA MASROOR AHMAD
KHALIFATUL MASEEH AL-KHAMISaba
15 APRIL 2011 / 15 SYAHADAT 1390HS
11 Jamadil Awal 1432HQ
Masjid Baitul Futuh, London

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Setelah membaca Tasyahud, Ta’awudz dan Surah Al-Fatihah, Huzur berkata:-

Dua Jumaat sebelumnya saya telah menjelaskan tentang kesalahan para pemerintah yang tidak menyempurnakan hak-hak orang awam dengan cara yang betul, dan tindak balas orang awam berdasarkan kepada ajaran Al-Qur’an, hadis dan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, bahawa dalam keadaan ini apa tindak balas yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Mukmin yang hakiki. Dan oleh kerana hari ini di negara-negara Arab sedang berlaku pemberontakan terhadap ketua atau pemerintah, bagaimana seharusnya mereka mengambil hak mereka, atau bagaimana untuk memisahkan diri dari pemerintahan, sebab itu Ahmadi di negara-negara Arab sangat mengambil berat tentang hal ini. Dan, hal ini dibicarakan secara langsung dalam program MTA-3 iaitu siaran bahasa Arab, di bawah program Al-Hiwarul Mubaasyir, berlangsung setiap hari Khamis hingga Ahad minggu pertama pada setiap bulan, walaupun ia tidak menyentuh tentang negara-negara Arab, tetapi ia berkisar mengenai keadaan umat Islam masa kini. Program ini dikendalikan oleh Syarif Auda Sahib yang juga telah memberitahu saya tentang perkara ini. Kemudian, dia juga menandakan beberapa bahagian dalam buku Hazrat Maseeh Mau’ud a.s iaitu Al-Huda. Terjemahan juga dibuat seiring dengan itu. Semua yang dibicarakan sama keadaannya dengan keadaan para pemimpin negara di mana sedang berlaku pergolakan. Dan bukan sahaja sama dengan para pemimipin, malah ia juga sama dengan keadaan para ulama dan orang awam, kerana di dalam kitab itu Hazrat Maseeh Mau’ud a.s ada menulis berkenaan dengan ulama.

Apapun, saya juga hendak menjelaskan beberapa perkara di sini.

Sebenarnya, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bukan sahaja menyentuh berkenaan dengan negara yang rakyatnya memberontak terhadap pemimpin, malah Hazrat Maseeh Mau’u a.s seratus tahun dahulu juga telah menyentuh berkenaan dengan kerajaan-kerajaan Islam, pemerintah dan orang awam serta keadaan para ulama, dan jelas bahawa keadaan negara-negara Islam hari ini membuktikan kebenaran apa yang telah disabdakan oleh Hazrat Maseeh Ma’ud a.s. Keadaan itulah yang sedang berlaku hari ini. Jika kita pergi lebih jauh lagi, maka keadaan negara-negara Islam bukan hanya berlaku seperti yang dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, malah selepas kewafatan beliau pun, negara-negara Islam yang baru muncul, keadaannya tetap sama, tidak kira dari pemimpin, rakyat dan orang yang digelar ulama. Dan, selain semua ketakutan dan perbuatan memalukan yang disentuh oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dalam kitabnya, di dalamnya juga ada menyentuh cara penyelesaiannya, bahawa Maseeh Waqt yang seharusnya datang itu telah tiba, ribuan tanda-tanda dan sokongan langit menjadi bukti kebenarannya. Dan seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w bahawa kehidupan orang Islam terletak pada penerimaan mereka terhadapnya dan tidak ada jalan lain lagi. Namun, perkara yang terjadi ialah sebaliknya, malah bukan sekadar tidak menerima, mereka juga menjadi penentang keras.

Walaubagaimanapun, selepas dakwaan beliau, satu keadaan yang baik telah muncul iaitu para penentang Ahmadiyah mendakwa bahawa mereka akan mengkhidmati Islam dan mula menyampaikan tabligh Islam. Setakat mana usaha mereka dan bagaimana kecintaan mereka terhadap Islam, itu hanya Tuhan yang tahu. Saya tidak mahu sentuh mengenai hal ini tetapi beberapa persatuan telah berusaha untuk menyampaikan amanat Islam. Tetapi, oleh kerana mereka tidak mendapat petunjuk daripada Ilahi, sebab itu banyak bid’ah atau pelbagai pandangan dari pemimpin-pemimpin mereka yang lebih diutamakan sehingga menyebabkan banyak bid’ah dan pandangan yang timbul dalam fahaman mereka. Asas ajaran Islam semakin dilupakan. Hakim yang adil hanya seorang sahaja yang diutus oleh Allah, yang akan membetulkan segala kesalahan dan membuat garisan di antara perkara yang sahih dan yang salah. Tanpa hakim yang adil ini maka kesalahan yang akan terbentang di jalanan. Tetapi ada kelompok di kalangan umat Islam yang memang hendak menimbulkan huru-hara dan ada satu kelompok lagi yang prihatin akan agama, dan keadaan ini juga merupakan satu takdir Allah supaya orang-orang berkenaan cenderung untuk mencari utusan Tuhan. Di antara mereka yang diberi kurnia oleh Allah akan berhasil menemuinya dan ada beberapa yang disebabkan mereka berpaut pada tangan yang salah, akhirnya mereka terus dalam pencarian sehingga kematian menjemput mereka. Ada orang yang menceritakan pengalaman bai’at mereka kepada saya di sini, kelihatan bahawa mereka benar-benar risau akan kewujudan seseorang yang suci, keadaan mereka dalam mencari yang hakiki sangat menakjubkan, dan bagaimana Allah Ta’ala memandu mereka ke arah yang benar. Petunjuk ini ada yang mengatakan satu kebetulan sahaja, tetapi ia memang satu petunjuk yang benar dari Allah, akan memberi hidayat kepada orang yang dikehendaki-Nya. Sebenarnya banyak peristiwa-peristiwa seperti ini yang akan saya sampaikan dalam waktu yang lain, sebagaimana dalam khutbah sebelumnya ada riwayat mengenai sahabah, supaya dunia dapat mengetahui bahawa sebagaimana Tuhan memberi petunjuk sebelumnya, demikian juga pada hari ini.

Dengan melihat kepada kemajuan Ahmadiyah dan pekerjaan tabligh serta keindahan ajaran Islam yang tersebar ke seluruh dunia oleh Jemaat Ahmadiyah, dan dengan melihat setiap hari orang Islam yang berfitrat baik datang bernaung di bawah lembayung Ahmadiyah yakni hakiki Islam, ia telah menyebabkan beberapa kerajaan Islam juga memberikan dana kepada para maulvi dan menghantar mereka ke seluruh dunia dan berusaha untuk bertabligh. Di negara-negara Afrika, madrasah juga sudah dan terus dibuka. Organisasi atas nama Universiti Islam juga ditubuhkan. Sehingga beberapa tahap, harta kerajaan dibelanjakan. Sebab itu, negara-negara yang miskin, negara-negara maju dan negara-negara sedang membangun memberikan kemudahan kepada mereka agar ekonomi negara menjadi lebih baik. Tetapi, para ulama yang dihantar untuk menyampaikan tabligh, sebenarnya atas nama markas tabligh, mereka telah berusaha mengurangkan tabligh Islam dan tarbiyat terhadap orang Islam, sebaliknya mereka hanya menumpukan terhadap rancangan untuk menentang Jemaat Ahmadiyah. ILLAA MAASYAA ALLAH usaha mereka ini tidak akan pernah berhasil. Sebenarnya, alasan ini dibuat-buat kerana di beberapa tempat ekonomi orang-orang miskin di negara itu dalam keadaan baik.

Apabila ajaran Islam yang hakiki menjadi terbuka kepada orang ramai melalui amanat Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dan sekali mereka telah memahami amanat itu, setiap orang yang prihatin akan agama, mereka akan memperhatikan amanat tersebut dan akan memberikan setiap pengorbanan untuk itu. Nur yang datangnya daripada Allah tidak akan dapat dihalang oleh hamba. Tidak ada usaha seorang insan yang dapat menggagalkannya. Kerajaan yang kaya, sekuat mana pun usaha mereka untuk menjauhkan Ahmadiyah daripada orang ramai atas nama Islam, namun, setiap orang yang berakal akan dapat membuat perbandingan antara yang benar dan yang salah. Usaha duniawi sama ada di atasnamakan atas nama Tuhan, jika ia bertentangan dengan kehendak Ilahi, berkat tidak akan turun di atasnya. Berkat dan hasil yang baik hanya akan diberikan kepada kelompok yang diredhai oleh Allah dan sentiasa mendapat sokongan-Nya. Muballighin kita, muallimin kita dan Ahmadi yang tinggal di daerah ini, mereka sentiasa melihat pertolongan Ilahi. Pemandangan itu menjadikan keimanan mereka semakin kuat. Setiap kali matahari terbit, keimanan mereka semakin bertambah. Hazrat Maseeh Mau’ud a.s telah memberitahu khabar ghaib tentang pertolongan Allah yang agung di dalam buku beliau Barahin Ahmadiyah.

Beliau berkata: “Dalam kitab Barahin Ahmadiyah ini, Allah Ta’ala mengajarkan kepadaku satu doa dalam bentuk ilham iaitu ROBBI LAA TAZARNII FARDAN WA ANTA KHOIRUL WAARITSIIN. Yakni, jangan tinggalkan aku sendirian dan jadikanlah satu jemaat. Kemudian di tempat lain berjanji kepadaku, YA’TIIKA MIN KULLI FAJJIN ‘AMIIQ, dari setiap arah bekalan dan sarana yang perlu untuk tetamu akan disediakan sendiri oleh Allah, dan mereka akan datang kepada engkau dari setiap arah. Sekarang renungkanlah, pada zaman khabar ghaib ini disiarkan atau diberitahu kepada orang ramai, adakah waktu itu ramai yang datang? Saya berkata demi Tuhan, tidak ada yang tahu aku siapa? Pernah juga dalam setahun tidak ada surat atau tetamu yang datang”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 128, edisi baru)

Kemudian beliau bersabda bahawa pertambahan jumlah, kedatangan orang-orang mukhlis dan bai’at bergabung dengan beliau itu adalah tanda yang sentiasa sempurna setiap hari. (Dipetik dari Malfoozaat Jilid 5, halaman 129, Edisi Baru)

Dengan kurnia Allah, hari ini juga kita sedang menyaksikan kesempurnaannya. Dengan adanya penentangan, dengan adanya usaha dari orang-orang yang murtad kerana ketamakan terhadap dunia sehingga jauh dari agama, namun setiap hari di dalam kotak surat saya, kadang-kadang puluhan, kadang-kadang ratusan dan kadang-kadang ribuan surat pernyataan bai’at yang saya terima. Berbagai peristiwa bai’at yang mana kalau bukan Tuhan yang menanamkan cahaya di dalam hati mereka, ia tidak mungkin terjadi. Kemudian, ada beberapa orang dari Eropah dan Amerika berjumpa dengan saya, apabila saya bertanya bagaimana mereka menjadi Ahmadi? Mereka menjawab; seorang kawan ghair Ahmadi Muslim menyebarkan Islam sehingga cenderung kepada Islam, melalui hubungan yang rapat akhirnya menerima Islam, namun hati belum tenang. Dengan kurnia Allah kebetulan pula berhubung dengan Ahmadiyah, selepas itu tidak ada cara lain selain dari menerima Islam yang hakiki kerana ketenangan di dapati dalam Ahmadiyah. Demikian juga dalam ribuan orang Islam, disebabkan fitrat mereka yang bersih, hakikat akan terbuka kepada mereka lalu bergabung dengan segera kerana meyakini inilah Islam yang hakiki. Kemudian, selepas bergabung dengan Ahmadiyah, banyak kesulitan yang mereka hadapi dari keluarga dan juga masyarakat sekitar. Kadang-kadang keadaan yang mereka lalui sangat sukar, tetapi dengan kurnia Allah, mereka tetap menunjukkan kesabaran, dan untuk itu juga mereka menulis surat agar didoakan supaya tetap dalam kesabaran. Kesabaran ini mereka tunjukkan kerana selepas mendapat tahu tentang suatu kebenaran, mereka takut berdosa jika melangkah jauh dari kebenaran tersebut. Mereka juga melihat bahawa ulama mereka itu bertentangan dalam ucapan dan amalan mereka. Ilmu yang mereka miliki tidak cukup untuk menjawab kritikan daripada agama lain, cara yang mereka lakukan untuk menghindarinya ialah dengan mengatakan bahawa hal itu bukan ajaran Islam, tidak perlu berbahas dengan mereka. Kebanyakan orang sudah mengetahui hal ini terutama sekali orang-orang yang tinggal di negara-negara Arab. Mereka yang melihat MTA, sama ada menerima Ahmadiyah atau tidak, mereka dapat melihat bahawa paderi-paderi Kristian tidak ada jawapan terhadap apa yang ulama-ulama Ahmadiyah sampaikan, dan selain Ahmadiyah, mereka tidak nampak golongan yang boleh menjawab persoalan dari agama-agama lain. Ulama mereka langsung tidak berani dekat dengan golongan ini. Ada beberapa surat yang datang, kami sebelumnya risau atas kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap Islam dan terus-menerus berdoa agar Tuhan menjauhkan kerisauan mereka dan memperlihatkan keagungan Islam. Allah Ta’ala telah mengabulkan doa-doa kami kerana kebetulan kami melihat di MTA, ulama-ulama Ahmadi menjawab segala kritikan yang dilemparkan terhadap Islam sehingga para pengkritik terpaksa berdiam diri, kami sangat bersyukur dan kerisauan kami sudah hilang.

Apapun, sebagaimana yang telah saya katakan bahawa saya akan jelaskan kisah-kisah ini pada masa yang lain. Waktu ini saya hendak menjelaskan berkenaan dengan kitab Hazrat Maseeh Mau’ud a.s iaitu Al-Huda, yang menyeru kepada raja-raja dan pelbagai peringkat masyarakat, atau mempersembahkan keadaan mereka, berkenaan dengan itu saya akan berikan beberapa bahagian daripadanya. Pada waktu itu, bagaimana keadaan umat Islam?

Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bersabda: “Kerosakan telah berlaku di kalangan umat Islam, orang yang baik semakin tidak kelihatan. Di kalangan mereka ada yang langsung tidak ada lagi akhlak Islam, dan tidak ada lagi rasa hormat terhadap orang-orang mulia. Ada yang tidak berpaling dari berbuat keburukan walaupun terhadap kawan rapat. Ada yang terus-menerus memberi kesusahan walaupun terhadap kawan yang baik. Ada juga yang tidak sanggup memberi balasan sekecil satu per sepuluh bahagian walaupun terhadap saudara, bapa atau keluarga, dan ada juga yang tidak mencintai dengan sepenuh hati terhadap saudara kandungnya, dan perikemanusiaan yang besar pun dianggap sangat hina. Ada yang tidak berbuat baik dengan orang muhsin dan tidak berlemah-lembut terhadap orang lain walaupun dengan orang yang sangat dikenali. Ada juga yang sangat kedekut memberi suatu benda kepada sahabat karibnya, malah jika kamu perhatikan mereka, maka kamu akan mendapati setiap jemaat kaum mereka itu fasiq, berniat jahat dan memakai pakaian yang memalukan. Dan kami di sini hendak menulis sedikit berkenaan dengan keadaan raja-raja dan orang lain yang mementingkan diri sendiri....”

Kemudian beliau menulis berkenaan dengan raja-raja, sebenarnya ia tertulis dalam bahasa Arab, namun bersama-sama itu juga beliau menterjemahkannya:-
“Semoga Allah mengasihani kamu, kebanyakan raja pada zaman ini, umara pada zaman ini yang dianggap sebagai ketua agama dan memiliki pengetahuan dalam syariat, dengan penuh keberanian perhatian mereka akan cenderung ke arah kecantikan dunia. Selain daripada minuman keras, hiburan dan keinginan nafsu, tidak ada pekerjaan lain yang mereka buat. Untuk mendapatkan kelazatan yang sementara, mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan negara. Mereka minum minuman keras di tepi sungai, di air yang mengalir, di pokok yang tinggi, berdekatan pokok yang berbuah sambil duduk di atas singgahsana yang mewah sehingga tidak tahu apa musibat yang menimpa rakyat dan agama. Mereka tidak tahu urusan politik dan tidak tahu bagaimana membuat penyelesaian. Mereka juga langsung tidak ada bahagian dalam menjaga suatu urusan dan fikiran dan pendapat. ...”. Berkata lagi: “... Demikian juga mereka melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah dan tidak menjauhinya. Mereka tidak menyempurnakan kewajipan kerajaan dan tidak berusaha menjadi orang muttaki. Inilah sebabnya mereka melihat kekalahan demi kekalahan dan setiap hari mereka merosot dan makin lemah, sebab itu mereka menjadikan Pencipta langit murka, dan khidmat yang diamanahkan kepada mereka tidak disempurnakan. Mereka tunduk ke bumi, sebab itu dari mana mereka hendak mendapat bahagian dalam ketakwaan. Sebab itu, mereka mendapat kekalahan di tangan para penentang mereka, walaupun mereka mempunyai askar yang ramai, harta yang banyak dan kekuatan, namun mereka tetap melarikan diri. Ini semua adalah kesan laknat dari langit yang turun atas mereka, ini adalah kerana mereka telah mengutamakan keinginan nafsu daripada Tuhan, mereka lebih memilih muslihat dunia yang tidak bermakna itu daripada Allah, mereka juga begitu tamakkan kelazatan dan permainan dunia yang fana, mereka juga jadi korban sikap mementingkan diri sendiri, sombong dan ketidaksucian. Mereka malas dalam agama dan sangat pandai dalam keinginan-keinginan yang kotor. Mereka hanyut dalam keinginan sendiri dan lupa tentang rakyat dan agama. Mereka langsung tidak memikirkannya. Baitul Mal dianggap sebagai harta warisan dari bapa mereka, dan tidak membelanjakannnya untuk rakyat sebagaimana yang menjadi syarat kepada orang muttaki. Dan mereka juga berpendapat bahawa mereka tidak akan dipersoalkan dan tidak akan pergi kepada Tuhan. ...... Jika kamu tahu perbuatan mereka, maka bulu roma akan berdiri dan kamu akan sangat kehairanan. Oleh sebab itu, renungkanlah, adakah orang-orang ini telah menguatkan agama dan menjadi penolong kepadanya? Adakah orang-orang ini menunjukkan jalan kepada orang-orang yang tersesat dan mengubati orang buta?”. (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 280-284, Computerised Edition)

Jadi, inilah keadaan raja-raja. Tetapi sebagaimana yang telah saya katakan bahawa di negara-negara Afrika, mereka berusaha untuk menggagalkan misi Hazrat Maseeh Mau’ud a.s di sana. Harta yang mereka keluarkan pun barangkali tidak sampai satu bahagian daripada seribu kerana harta yang mereka miliki terlalu banyak. Mereka menghantar missionary untuk menghadapi misi Hazrat Maseeh Mau’ud a.s, pada peringkat permulaan mereka tidak terfikir, tetapi sekarang mereka sudah mula bergerak.

Beliau a.s menulis lagi: “.... Mereka langsung tidak ada hubungan dengan hukum-hukum syariat. Malah mereka mahu benar-benar keluar daripadanya agar mereka boleh menjalani hidup bebas sepenuhnya. Dalam diri mereka tidak ada kekuatan azimat orang-orang siddiq dan tidak ada dalam diri mereka hati seperti orang soleh yang bertakwa, yang hanya mahukan kebenaran dan keadilan. Malah, hari ini mereka kosong dengan sifat-sifat khilafat. ...” (tetapi mereka mengaku bahawa khilafat akan berdiri di kalangan mereka dan sedang berusaha untuk itu, dari pihak ulama juga ada mencadangkan nama-nama, tetapi hati mereka kosong dari sifat-sifat itu, bagaimana mungkin khilafat akan berdiri)

Kemudian berkata lagi: “Mereka tidak mengambil berat bahawa angin agama sudah berhenti dan pelitanya sudah padam, dan rasulnya didustakan, apa yang benar itu dikatakan salah, malah kebanyakan di kalangan mereka melakukan perkara yang telah dilarang oleh Tuhan. Dan, dengan penuh keberanian mereka memuaskan keinginan mereka di pasar-pasar yang terlarang”. (Yakni mereka dengan terang-terangan melakukan perbuatan memalukan yang jelas dilarang oleh Tuhan). Berkata lagi: “Pagi dan petang kehidupan gembira mereka dilalui dengan setiap keseronokan. Jadi, bagaimana Allah Ta’ala menolong orang-orang seperti itu sedangkan mereka tenggelam dalam maksiat dan keburukan. Malah Tuhan sangat murka atas umat Islam dengan kewujudan raja-raja yang sukakan keseronokan dan lalai itu.” (Yakni kewujudan mereka juga menjadi punca umat Islam dihukum). “Mereka yang sama seperti ulat yang kotor yang bergeser dengan bumi, dan mereka yang tidak membelanjakan seluruh kekuatan mereka untuk hamba Tuhan, atau mereka sama seperti unta yang tempang dan tidak berlari seperti kuda yang sihat dan cergas, sebab itu pertolongan langit tidak menyebelahi mereka, dan orang kafir langsung tidak ada ketakutan melihat mereka sebagaimana raja-raja yang bertakwa, mereka pula berlari dari orang kafir laksana keldai melarikan diri dari singa. Dan dalam medan peperangan, dua orang kafir cukup untuk menghadapi mereka seramai dua ribu orang. ...”

Berkata: “Bagaimana mungkin mereka mendapat pertolongan Tuhan sedangkan mereka khianat dan terpesong. Sebab itu Tuhan tidak mengubah sunnah-Nya yang dahulu. Dan sunnah-Nya ialah memberi pertolongan kepada orang kafir tetapi tidak atas orang yang fajir (penjahat). Inilah sebabnya raja-raja Nasrani terus mendapat pertolongan dan menawan batasan dan negara mereka, dan setiap pemerintahan terus ditekan”.

Sekarang pun kelihatan bahawa jika bukan secara zahir, namun dari segi pengamalan, raja-raja umat Islam dikuasai oleh tangan orang lain, ekonomi mereka juga dikuasai)

Berkata: “Alasan Tuhan tidak memberi pertolongan kepada mereka ialah kerana Dia itu Rahiim atas mereka” (yakni orang lain yang mendapat pertolongan dan keadaan umat Islam yang teruk bukan bererti Tuhan sayang kepada mereka) “malah kemurkaannya terlihat atas umat Islam, alangkah baiknya kalau umat Islam sedar”. (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 284-287, Computerised Edition)

Inilah keprihatinan beliau. Dan hari ini, ia menjadi kenyataan, di dalam surat khabar, penulis yang suka akan kebenaran dan para penganalisis juga menulis tentang hal ini. Beberapa hari yang lepas saya telah melihat di dalam akhbar ‘The Nation’ tentang tulisan Doktor Abdul Qadir Khan yang dikatakan sebagai seorang Saintis Pakistan, beliau juga telah memetik ayat-ayat Al-Qur’an dan menulis semua perkara bahawa ‘ini yang sedang kita lakukan sehingga mengundang azab Allah atas kita’. Apapun, memang inilah keadaan mereka.

Seterusnya Hazrat Maseeh Mau’ud a.s berkata lagi: “Jika mereka ini muttaki, bagaimana mungkin musuh boleh mengalahkan mereka. Bahkan mereka ini juga telah meninggalkan doa dan ibadat, sebab itu Tuhan tidak lagi peduli dengan mereka. ... Dengan melanggar janji Tuhan dan menghina batasan yang ditetapkan oleh Al-Qur’an telah menyebabkan mereka ditimpa musibah yang menakutkan. Dan banyak bandar-bandar telah hilang dari tangan mereka. ... Semua ini adalah hukuman dan cengkaman daripada Tuhan. ... Para musuh tidak menghina mereka tetapi Tuhan sendiri yang menghina mereka kerana di hadapan mata Tuhan mereka menunjukkan keingkaran. Maka Dia telah menunjukkan apa yang sepatutnya diperlihatkan dan mereka ditinggalkan dalam musibah dan tidak menyelamatkan mereka, dan wazir mereka juga tidak jujur dan pengkhianat. ...

Kemudian, beliau menjelaskan lebih lanjut lagi bahawa berapa banyak pun wazir dan peguam, mereka tidak menunaikan tanggungjawab mereka, malah semakin teruk dalam penipuan mereka, demikian juga orang ramai diajak untuk berbuat seperti itu. Kemudian menulis lagi: “Akhbar di Eropah menulis mereka sebagai pemalas dan tidak layak”. (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 287-289)

Inilah juga hakikatnya yang berlaku hari ini. Kemudian beliau berkata lagi: “...Kelelakian tidak lagi ada pada mereka. ... tidak teratur dalam menunaikan solat dan keinginan-keinginan telah menjadi penghalang dalam jalan mereka, dan jika menunaikan solat pun, mereka hanya menunaikan solat di rumah seperti wanita dan tidak datang ke masjid sebagaimana seorang muttaki lakukan. ...” (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 287-292, Computerised Edition)

Kemudian berkata: “Dan mereka tidak mahu mendengar sebarang nasihat. Kesombongan telah menaikkan emosi mereka, dan ketika marah wajah mereka kemerah-merahan. Benda yang paling mulia di sisi mereka ialah benda yang menjadikan keadaan mereka kelihatan cantik dan perbuatan mereka dipuji. ...” yakni mereka hanya inginkan pujian sahaja. Kemudian berkata lagi: “... Apabila Tuhan telah melihat kefasikan, kezaliman, pendustaan, penipuan dan perbuatan mereka yang tidak bersyukur, maka Dia akan menjadikan seseorang yang akan menguasai mereka, yang akan merobohkan tembok pertahanan mereka, yang akan menduduki tempat-tempat yang tinggi, yang akan merampas kerajaan bapa datuk mereka, dan yang akan menekan sistem pemerintahan mereka. Dan semua ini telah terjadi dan kamu membaca Al-Qur’an tetapi tidak berfikir”. Sebagaimana yang telah saya katakan bahawa ekonomi umat Islam dikuasai oleh orang lain. Kemudian beliau berkata lagi: “... Jadi, oleh kerana mereka telah mengubah ketakwaan hati mereka, sebab itu Tuhan telah mengubah urusan dunia mereka. Mereka juga berani dalam melakukan dosa-dosa. Dan Allah Ta’ala tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum itu sendiri tidak mengubah keadaan diri mereka sendiri, dan mereka juga tidak akan dikasihani. Malah Tuhan melaknat rumah dan bandar di mana penghuninya melakukan keburukan dan kesalahan. Dan rumah yang mempunyai penghuni yang jahat akan dikunjungi oleh malaikat yang akan berkata; wahai rumah, Tuhan akan menjadikan kamu usang”. (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 292-294, Computerised Edition)

Berkata lagi: “... Jangan berdoa buruk kepada raja-raja Nasrani, dan apa sahaja yang menimpa kamu dari tangan mereka jangan lagi diingati. Wahai orang jahat! Jangan letakkan diri kamu dalam kecelakaan. Adakah kamu dengar kata-kataku? Tidak, tidak, mulut kamu hanya mengeluarkan caci-maki. Dan kamu tidak mendapat telinga untuk mendengar dan tidak mendapat hati untuk memahami, dan kamu tidak mempunyai masa melarikan diri daripada makan minum untuk menuju kepada akal, dan juga menghindari air arak lalu menuju Tuhan, dan tidak ada dalam diri kamu kemampuan untuk berfikir. Adakah kamu berdoa buruk kepada musuh, sebenarnya apa yang menimpa kamu, itu adalah hasil keburukan kamu sendiri”. (Al-Huda Wat Tabshurah Limai Yara, Rohani Khazain Jilid 18, halaman 295, Computerised Edition)

Kemudian, beliau menyatakan kepada orang awam yang sedang melakukan tunjuk perasaan di mana-mana sekarang ini.
“Dengarlah, jika kamu orang yang baik maka raja juga akan dijadikan baik untuk kamu. Ini adalah sunnah Allah ke atas orang-orang yang muttaqi. Berpalinglah kamu daripada terus menyanjung raja-raja Islam, dan jika kamu adalah penasihat mereka, maka banyakkanlah istighfar untuk mereka. ...”

Berkata: “... Tuhan telah menjadikan mereka sebagai sarana kamu kamu sebagai alat mereka. Dan jika kamu mukhlis, maka akan timbul saling tolong-menolong antara satu dengan yang lain dalam perkara ketakwaan dan kebaikan. Dan jika kamu bukan seorang munafik maka kamu akan menegur kesalahan yang mereka buat, memberitahu tentang perkara yang sia-sia kepada mereka. Demi Allah, mereka tidak menyempurnakan hak rakyatnya. ...”

Menegur mereka adalah satu perkara yang benar dan perlu. Dan memang dibolehkan untuk menyatakan sesuatu yang hak di hadapan seorang raja.

Berkata: “... Demi Tuhan, hati mereka itu lebih keras daripada batu-batu di atas gunung. ... Mereka langsung tidak gementar di hadapan Tuhan. Dengan perbuatan dan amalan mereka membuktikan bahawa mereka telah menjadikan Tuhan murka disebabkan cara mereka yang salah, dan mereka sendiri pembunuh dengan memakan racun lalu melibatkan rakyat di dalamnya, jadi untuk mereka itu ada dua jenis musibat. ...”

Berkata: “... Jadi, wahai para pendengar! Adakah seseorang di antara kamu yang memberitahu kepada mereka tentang akibat dari perbuatan mereka? Sebabnya ialah mereka telah meletakkan agama di belakang keinginan mereka yang kotor. Dan dalam semua ehwal telah menjadi AHWAL.” (yakni telah menjadi bengkok) “malah menurut pendapatku mereka semua benar-benar telah menjadi buta. Saya tidak mengatakan kepada kamu bahawa kamu harus meninggalkan keitaatan kepada mereka dan memerangi mereka.”

Sangat jelas kata-kata ini, Saya tidak mengatakan kepada kamu bahawa kamu harus meninggalkan keitaatan kepada mereka dan memerangi mereka, tetapi katakan kepada mereka kata-kata yang benar. Untuk mereka perang tidak diizinkan. Pertama sekali doa dan istighfar.

Berkata: “Saya tidak mengatakan kepada kamu bahawa kamu harus meninggalkan keitaatan kepada mereka dan memerangi mereka. Malah, mohonlah pertolongan daripada Allah untuk kebaikan mereka agar mereka insaf. Dan jangan kamu mengharapkan bahawa mereka yang telah dirosakkan oleh dajjal akan dapat membuat penyelesaian tentang perkara ini, atau selepas malapetaka dan musibah yang dahsyat ini, mereka itu akan dapat membetulkan keadaan agama. Dan kamu mengetahui bahawa dalam setiap medan ada orang-orang tertentu, dan adakah mungkin seorang yang sudah mati boleh menghidupkan orang lain, atau orang yang sesat dapat memberi hidayat kepada orang lain. ... jadi, apa yang boleh kamu harapkan daripada mereka. Kami ini tidak lagi mengharap kepada mereka bahawa mereka itu akan insaf selagi maut tidak datang untuk menyedarkan mereka. Tetapi, nasihat itu akan tetap diberikan. ...”

Berkata: “..... Dalam diri mereka tidak ada kekuatan firasat dan tidak ada pengetahuan asas dalam menjalankan pemerintahan, mereka ingin supaya dapat mempelajari taktik kotor orang Kristian, tetapi dalam penipuan yang halus dan cara menyelamatkan pun tidak mereka kuasai. Jadi, mereka itu sama seperti ayam, dalam soal kehormatan mereka hendak menjadi pemakan bangkai. .....”.
Berkata: “..... Apabila berhadapan dengan Kristian, segala pengetahuan mereka mengenai takwa kepada Allah itu telah dipalingkan, dan mereka seperti penentang juga yang tidak belajar sepenuhnya dalam soal kepintaran dan penipuan. Dan berkenaan dengan raja-raja orang Islam, Tuhan telah berjanji bahawa selagi tidak menjadi muttaqi, mereka tidak akan ditolong, dan Dia ingin bahawa Kristian berhasil dalam segala perancangan mereka sedangkan murka atas orang-orang Mukmin. .....”.

Berkata: “..... Adakah kamu berfikir bahawa mereka itu dapat menyelamatkan batasan-batasan Islam dari orang-orang kuffar? ..... Adakah kamu merasa bahawa mereka dalam perlindungan Islam? Subhaanallah, kesilapan yang sangat besar, malah mereka itu hendak mencabut agama dengan bid’ah-bid’ah. Terserah kepada kamu jika kamu hendak bersangka baik dengan mereka dan dapat membuktikan mereka itu bebas daripada perbuatan buruk. Tetapi, atas dasar apa kamu mengatakan demikian. Adakah fikiran kamu menyatakan mereka itu pengkhidmat dan pelindung kepada Mekah dan Madinah. Tidak sama sekali, malah Mekah dan Madinah yang melindungi mereka bahawa mereka itu cinta kepada Allah dan Rasul. Dan jika mereka tidak melakukan taubah dengan sempurna, maka hukuman akan menimpa mereka. Jadi, adakah sesiapa di antara kamu yang dapat menakut-nakutkan mereka dengan hari-hari yang buruk? Kamu tidak melihat bahawa Islam telah musnah pada zaman tangan yang zalim dan sedang ditimpa fitnah-fitnah laksana hujan lebat. Dan askar-askar musuh datang memerangkap mereka seperti pemburu. Dan sekarang ini tidak ada perkara yang menggembirakan hati dan menjauhkan kesedihan. Dan orang Islam menjadi seperti hutan yang kering atau pesakit yang sedang sesak nafas. .....”.

Berkata: “..... Beberapa orang mentertawakan orang Islam sambil berlalu dan beberapa orang menangis melihat mereka. Dan kamu melihat hati sudah menjadi keras dan dosa semakin banyak. Dada semakin sempit dan akal sangat gelap, lalai, malas, maju dalam keingkaran dan dikuasai oleh kejahilan, kesesatan dan kerosakan. Takwa langsung tidak ada lagi nama dan tanda. Dan nur yang memberi kekuatan dalam hati sudah tidak ada lagi. Mata, lidah dan telinga sudah menjadi sangat kotor. Akidah sudah menjadi rosak dan kefahaman sudah dirampas manakala kebodohan yang kelihatan. Ibadat sudah punah dan dalam soal zuhud, sudah dimasuki kesombongan. ...... Tanda kebenaran sudah hilang, kasih sayang dan kesepakatan sudah tidak ada dan diganti dengan permusuhan dan pertengkaran. Dan tidak ada suatu dosa atau kejahilan yang tidak terdapat dalam umat Islam, dan tidak ada kezaliman dan kesesatan yang tidak terdapat pada wanita, lelaki dan anak-anak mereka. Terutama sekali amir-amir mereka telah meninggalkan jalan yang hakiki. .....”.

Dan sebagaimana yang telah saya katakan di permulaan bahawa walaupun sudah meninggalkan segala-galanya, ulama telah merosakkan mereka di mana orang awam turut menjadi penentang kepada Ahmadiyah. Beberapa hari yang lepas saya melihat satu laporan daripada seorang missionary, ada seorang kawan Kristian yang datang berkunjung kepada kawannya di India, dia tahu bahawa kawannya itu minum minuman keras. Jadi, dia berkata walaupun saya tahu namun saya sentuh juga mengenainya sehingga saya menyatakan bahawa saya mempunyai beberapa orang kawan Ahmadi. Orang Islam itu sedang minum minuman keras di hadapannya dan berkata Ahmadi itu bukan Islam, apa yang kamu cuba katakan ini. Dia berkata saya telah mengatakan kepadanya bahawa di dalam Al-Qur’an arak itu diharamkan. Ahmadi tidak minum arak, tetapi kamu tetap menyatakan mereka bukan Islam. Ahmadi mendirikan solat, tetapi menurut kamu mereka bukan Islam. Dia berkata orang yang saya lihat itu berusaha mengamalkan ajaran Al-Qur’an tetapi kamu tetap mengatakan Ahmadi bukan Islam, sedangkan kamu sedang minum minuman keras di hadapan saya dan melanggar perintah Al-Qur’an secara jelas, kamu pula yang mengaku Islam. Orang itu terus mendengar dan berdiam diri tetapi gelas arak masih di tangannya. Kemudian dia berkata lagi, jangan risau, saya hanya cakap sahaja apa yang terlintas di fikiran saya. Teruskan sahaja minum arak. Tanpa teragak-agak lagi dia terus menuang segelas lalu minum sepuas-puasnya. Inilah keadaan orang Islam. Tetapi menurut pandangan mereka Ahmadi itu bukan Islam.

Beliau berkata lagi: “.....Walaupun tanda-tanda sudah jelas kelihatan, namun tetap sahaja tidak mahu menerima kebenaran. Akhirnya yang turun ialah azab Tuhan. Kemudian, apabila melihat azab Tuhan mereka berkata ini semua datang kerana kamu dan taun ini muncul akibat pendustaan kamu.” (yakni mereka menganggap azab yang datang itu disebabkan Hazrat Maseeh Mau’ud a.s). Beliau berkata lagi: “Dikatakan bahawa semoga nasib malang kamu bersama-sama kamu......”. (na’uzubillah)

Berkata: “.... Tuhan tidak mengutus seseorang rasul di mana tidak ada azab bersama-sama mereka, sebab itu mereka insaf. ....”. Jadi semua azab dan musibat ini adalah mendokong kebenaran Hazrat Maseeh Mau’ud a.s (rujukan yang sama halaman 295-304)

Kemudian berkata: “..... beritahu kepada saya, dari raja-raja kamu, raja mana yang telah membuat bahtera ketika menghadapi taufan ini? Bahkan mereka itu yang tenggelam bersama dengan orang-orang yang tenggelam. ..... mulut mereka telah ditutupi lumpur dan kototran. Dan zaman juga telah mengeringkan air mereka dan mereka terpisah dari kejayaan. Helah yang telah mereka buat tidak mendatangkan faedah. Dan suatu fitnah telah tersebar, dan melalui komiti dan parlimen mereka dan tindakan para musuh yang meletakkan kem askar mereka menyebabkan keadaan tidak lagi dapat diperbaiki. Mereka menyediakan banyak senjata dan menghantar tentera, tetapi hanya kekalahan yang menimpa mereka. ...” (rujukan yang sama halaman 305)

Berkata: “..... sekarang beritahu wahai tabib! Menurut kamu apa penawar yang sepatutnya? Adakah menurut pendapat kamu umara boleh menjauhkan musibat ini? Adakah kamu mengharapkan raja akan dapat membersihkan duri-duri dalam agama ini? Atau kamu menyangka bahawa semua penyakit ini akan dapat diubati oleh raja-raja Islam dan usaha mereka yang diketahui? Tidak, dan tidak sama sekali. Malah hal ini lebih susah daripada mengharapkan kurma yang segar keluar dari sepohon pokok yang beracun. Dan apa yang boleh diharapkan daripada mereka, sedangkan mereka sendiri berada di bawah timbunan batu, yang mana apabila mereka cuba mengangkat kepala maka mereka akan merasai kesedihan yang banyak. Saya berkata dengan sebenar-benarnya bahawa untuk menghadapi musibat ini tidak ditakdirkan pada raja-raja atau amir. Adakah orang buta boleh menunjukkan jalan kepada orang buta yang lain, wahai orang-orang yang berakal?

Seandainya raja-raja ini adalah orang Islam yang mukhlis dan berperikemanusiaan, namun begitu jiwa mereka tidak sama dengan jiwa orang yang sempurna kesuciannya, dan mereka tidak menerima nur dan tarikan seperti orang muqaddas. Sebab itu, nur dari langit diturunkan ke atas hati yang dibakar dengan api fana. Kemudian mereka diberikan kecintaan yang sebenar dan dimandikan dengan mata air keredhaan, dan mata mereka dihiasi dengan penglihatan, kebenaran dan kesucian. Kemudian mereka akan dipakaikan dengan pakaian yang terpilih lalu dikurniakan kedudukan yang kekal. Orang yang duduk dalam kegelapan, bagaimana mereka hendak menjauhkan kegelapan. Dan orang yang tidur di atas singgahsana yang nyaman, bagaimana mereka hendak mengejutkan orang lain. Dan perkara yang pasti ialah raja-raja pada zaman ini tidak ada hubungan dengan kerohanian. Tuhan telah menjadikan perhatian mereka tertumpu hanya kepada jasmani dan pemerintahan sahaja. Dan mereka ditetapkan sebagai pemelihara agama Islam secara zahir. Perhatian mereka hanya kepada bidang politik. ...... Kewajipan mereka tidak lebih dari memastikan batasan-batasan Islam itu diatur, menjaga negara terselamat daripada genggaman musuh. Tetapi batin setiap orang dan membersihkannya dari kekotoran, menghindari orang dari syaitan, memperhatikan mereka dan mendoakan mereka selamat dari musibat, semua ini di luar kemampuan raja-raja. Mereka tidak ada campurtangan dalam kerohanian. Dan hal ini tidak tersembunyi dari pengetahuan orang-orang yang berakal. Raja-raja diangkat sebagai ketua negara supaya gambaran Islam diselamatkan daripada cengkaman syaitan, ia bukan kerana supaya mereka mensucikan jiwa atau mata mereka mata nurani. (rujukan yang sama halaman 307-309)

Kemudian, berkenaan dengan ulama, beliau berkata:  “Dengan jumlah mereka yang ramai telah menjadi penyakit kepada Islam dan bukan penawar. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengaut harta orang ramai. Mereka mengatakan tetapi tidak mengerjakan. Mereka memberi nasihat tetapi sendiri tidak makan nasihat. Lidah mereka keras, hati mereka keras dan penuh dengan kegelapan. Pendapat mereka lemah, fikiran mereka tumpul, keberanian hilang dan amalan sangat buruk. Dengan ilmu yang sedikit telah menjadi takbur. Dan jika ada yang bertentangan dengan mereka, maka mereka akan mengeluarkan ucapan laknat dan fatwa kufur dibuat dengan pelbagai alasan, memberi kesusahan dan merampas harta mereka .....”

Berkata: “..... Fitrat mereka adalah bakhil, cara hidup mereka dengki dan pegangan mereka adalah mengubah syariat. Ketika marah, mereka menjadi binatang buas. ..... kemarahan dan kegembiraan mereka hanya untuk nafsu amarah sendiri, dan zikir dan puji-pujian mereka dibuat sekadar pameran sahaja. Mereka menganggap diri mereka itu pemilik kepada leher orang lain. Mereka menggelar malaikat terhadap seseorang jika mereka mahu dan juga menggelar saudara syaitan jika mereka mahu. Dalam diri mereka tidak ada rasa lemah lembut dan sopan santun, malah dalam soal memanjangkan lidah, binatang buas pun mereka dapat kalahkan. Mereka datang kepada kamu dalam pakaian binatang buas, pada tangan mereka tertulis fatwa dusta, dan satu dua darham cukup untuk menghancurkan iman mereka. Mereka juga menghalang orang lain dari menerima kebenaran dan akan menanamkan keraguan-keraguan ibarat syaitan. Sikap takbur mereka sangat tinggi dan kurang dalam tadabbur. Mereka tidak ada kekuatan untuk suatu perkara yang bermanfaat tetapi mahir dalam perkara yang syak dan meragukan. Jika mereka diam, maka diam mereka itu adalah meninggalkan kewajipan dan jika mereka bercakap, maka di dalamnya tidak ada ru’ub atau kesan. Mereka tidak ada kebolehan untuk menyelesaikan masalah syariat yang rumit dan juga tidak mengetahui segi-segi tariqat (penyucian batin). Akidah tentang kewafatan Nabi Isa sangat jelas tetapi mereka langsung tidak ada keinginan melihat kemenangan Islam. .....”

Berkata: “..... Nasib mereka yang ditentukan Tuhan hanyalah membuat kebisingan. Mereka membaca Al-Qur’an tetapi hanya dengan lidah. Al-Qur’an sama sekali tidak menjenguk hati mereka. .....”.

Berkata: “..... dalam diri mereka terlalu banyak malas dan lalai, manakala kecerdasan dan firasat sudah menjadi kurang. Mereka tidak mempunyai kudrat untuk menyelesaikan suatu masalah yang rumit. Emosi nafsu menjadikan mereka tidak sedar dan menjadi hamba kepada nafsu. .....”

Berkata: “... Mereka duduk melupakan hak terhadap Tuhan yang Rahman. Dalam keadaan ini, bagaimana mungkin mereka boleh diharapkan membantu agama? ... “

Berkata: “... Taassub telah menjadikan mereka seperti binatang buas dan menghalang mereka mendengar perkara yang benar. Agama mereka adalah keseronokan, makan dan minum, serta mengumpul harta. Mereka langsung tidak ada perasaan sedih atas musibat yang menimpa Islam dan apalagi untuk menangis. Mereka melihat raja dengan penuh ketakutan tetapi tidak takut dengan Tuhan. Mereka juga tidak ada perasaan takut dengan penyebaran kesesatan dan fitnah-fitnah dan juga terhadap musibat-musibat yang akan turun. ... satu firqah dari kalangan mereka memancung leher orang-orang jahil dengan pedang atas nama jihad. Mereka membunuh orang asing dan musafir dan tidak melakukan ketakwaan”.

Jadi, ini adalah beberapa bahagian yang sedikit daripadanya. Lebih daripada 100 tahun yang lalu hal ini telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s. Keadaan orang Islam yang telah dijelaskan oleh Hazrat Maseeh Mau’ud a.s dahulu sama seperti yang sedang kita lihat pada hari ini. Perkataan beliau dan apa yang beliau saksikan dengan apa yang terjadi sekarang ini sama keadaannya.

Selepas itu disentuh tentang beberapa firqah dan beberapa pelbagai jenis orang. Kemudian berkata: “Tinggalkanlah semua firqah-firqah itu dan carilah, Allah Ta’ala tidak menurunkan penawar itu di mana-mana. Ingatlah bahawa penawar bagi fitnah ini ada di atas langit dan bukan pada tangan manusia. Cuba baca dan lihat kisah-kisah di dalam Al-Qur’an, bagaimana sunnah Allah atas mereka. Jadi, bagaimana mungkin sunnah Ilahi ini boleh berubah ke atas orang-orang selepas mereka?”

Berkata: “Adakah kamu menyangka bahawa sekarang ini bukan waktunya imam zaman turun? ...Padahal kamu sedang melihat kesesatan dan kejahilan berlaku di hadapan mata kamu. Islam juga sedang diserang dan musibat terus-menerus berlaku dan dalam kejahilan yang dahsyat ini tidak kelihatan seorang pengkhidmat agama. Keadaannya ialah orang ramai sudah melupakan nasihat Tuhan dan petunjuk Al-Qur’an. Dan apa yang ada dalam hadis juga mereka telah meninggalkannya. Ada yang mempunyai akidah yang salah lalu seakidah dengan orang Kristian. Mereka tidak risau akan benda lain selain makan minum dan berseronok. Adakah orang-orang seperti itu boleh diharapkan perbaikan agama?”

Berkata: “Mereka mengatakan hanya nabi Isa a.s sahaja yang suci dari sentuhan syaitan dan lupa bahawa Allah Ta’ala berfirman INNA ‘IBAADII LAISA LAKA ‘ALAIHIM SULTAAN. Tidakkah Rasulullah s.a.w itu maksum dan suci daripadan sentuhan syaitan? Jadi, hari ini tidak ada dosa yang lebih besar daripada akidah nabi Isa a.s masih hidup. Dengan akidah itu kamu sebenarnya menyokong agama Kristian”.

Berkata: “Kamu sendiri hendaklah merenungkan keadaan zaman ini. Umat telah berpecah-belah di mana tanpa kurnia Tuhan, usaha menyatukan mereka adalah sia-sia. Ini adalah kerana mereka sesama sendiri saling tuduh-menuduh sebagai kafir dan sekarang, perbahasan melalui lidah boleh berlarutan sehingga menjadi perang dan boleh mencapai tahap berbunuh-bunuhan. Dalam keadaan seperti ini, adakah kamu berfikir bahawa kamu menghapuskan pertentangan yang menggunung ini lalu bersatu dan dapat menghadapi penentang-penentang Islam di lapangan? Sudah pasti tidak”.

Keadaannya ialah dalam sebuah bandar di Pakistan ada jalsah Khatamun Nubuwat, dan semua Syiah, Sunni, Brelwi, Deobandi dan sebagainya datang berkumpul. Selepas beberapa lama iaitu dua hari sebelum jalsah, kekacauan telah muncul di kalangan mereka. Kemudian diadakan pertemuan dalam tiga tempat yang berasingan. Satu tempat ialah di mana sebuah organisasi hendak mengadakan pertemuan namun pihak polis telah menghalau mereka dari sana lalu berpindah ke tempat lain. Menurut mereka, Khataman Nubuwat adalah satu isu yang telah menyatukan mereka semua untuk menentang Ahmadiyah, namun isu itupun tidak dapat menyatukan mereka sehingga terpaksa mengadakan pertemuan dalam tiga bandar yang berasingan. Inilah keadaan mereka.

Apapun, Hazrat Maseeh Mau’ud a.s bersabda: “Bagaimana mungkin kamu boleh mendapat kekuatan untuk melakukan pekerjaan itu sedangkan itu adalah pekerjaan Tuhan. Allah Ta’ala akan menghidupkan orang-orang yang terpisah-pisah ini hanya dengan tiupan nafiri dari langit. Dan nafiri yang hakiki ialah hati mereka di mana di dalamnya akan ditiupkan melalui Hazrat Maseeh Mau’ud a.s  dan orang ramai akan berkumpul di bawah satu kalimah. Inilah sunnah Allah, apabila Dia beriradah untuk memperbaiki suatu umat, dari kalangan umat itu sendiri Dia akan bangkitkan seseorang”.

Berkata: “Tetapi, keadaan ini tidak dipersetujui oleh ulama dan semua kaum. Sedangkan Allah Ta’ala telah membuat permisalan bahawa silsilah Musawi sama dengan silsilah Muhammadi. Sebagaimana Yahudi yang telah sesat selepas beriman kepada Musa a.s, maka selepas suatu zaman Allah Ta’ala telah membangkitkan Isa a.s. Demikian juga dalam umat Muhammadiyah, selepas beberapa lama akan dibangkitkan Al-Maseeh yang dijanjikan. Nikmat ini haruslah disyukuri kepada Tuhan dan bukannya diingkari. Umat Islam seharusnya menerima berita ini laksana orang yang dahaga dan menganggapnya sebagai nikmat Tuhan yang agung. Tetapi mereka meninggalkan Al-Qur’an dan mengikut telunjuk orang lain dan mereka mengingkari Maseeh Mau’ud sebagaimana orang Yahudi mengingkari Isa a.s. Dalam perkara keingkaran pun dua kaum ini sama”. (sama seperti di atas, halaman 354-360)

Mudah-mudahan umat Muslim dapat memahami hakikat ini bahawa beliau a.s inilah wujud yang datang untuk menyatukan umat Islam di bawah satu tangan. Keadaan negara-negara Islam, pelbagai musibah langit dan bumi di dunia, semua ini adalah pemberi amaran kepada umat Islam bahawa orang yang sepatutnya datang zaman ini sebenarnya sudah datang, dan mereka harus menerimanya. Dan musuh-musuh Islam yang berusaha memburukkan nama Islam, umat Islam hendaklah menghulurkan tangan kepadanya untuk sama-sama menghadapi mereka dan berjihad melawan agama lain yang hendak melihat Islam hancur. Di Eropah dan Amerika, waktu demi waktu, seorang demi seorang berdiri mengeluarkan kenyataan yang menghina Rasulullah s.a.w atau menghina Al-Qur’an, jika ada orang yang berjihad melawan mereka pada zaman ini, maka inilah pahlawan Allah yang akan menaikkan nama Islam itu kembali. Bergabung dengannya akan dapat memelihara kehormatan Rasulullah s.a.w dan meninggikan namanya di dunia. Semoga Allah memberi kita semua taufik untuk itu.

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah
01 Julai 2011
barahin.ahmadi@gmail.com

No comments:

Post a Comment