Friday, July 29, 2011

Malfoozaat Jilid 1_03


MALFOOZAAT

HAZRAT MASEEH MAU’UD ALAIHISSALAM

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

25 DISEMBER 1897

CERAMAH PERTAMA JALSAH SALANAH

NASIHAT TENTANG TAKWA

Huzuralaihissalam berkata: Nasihat yang saya rasa perlu untuk anggota jemaatku ialah tentang ketakwaan. Ini kerana, menurut orang-orang yang berakal, Tuhan tidak suka kepada perkara-perkara selain ketakwaan. Allah Ta’ala berfirman: INNAL LAAHA MA’AL LAZIINAT TAQAU WAL LAZIINA HUM MUHSINUUN (An-Nahal:129).

Jemaat kita benar-benar memerlukan ketakwaan, terutama sekali dengan fikiran bahawa dia harus berhubungan dengan orang yang mendakwakan diri sebagai utusan dan bai’at dalam jemaatnya, supaya orang-orang yang menderita penyakit benci, dengki, dan syirik, atau terlalu cenderung ke arah dunia, semuanya mendapat keselamatan dari musibah ini.

Tuan-tuan semua tahu bahawa jika ada yang jatuh sakit, sama ada penyakit ringan atau berat, jika penyakit itu tidak dirawat, atau tidak bersusah-payah dalam mengubatinya, penyakit itu tidak akan sembuh. Satu bintik hitam yang muncul di muka melahirkan kerisauan yang begitu besar, jangan-jangan bintik hitam ini akan merebak dan menghitamkan seluruh wajah. Begitu juga dengan maksiat, ia adalah bintik hitam di atas hati. Saghair akan menjadi kabair melalui kemalasan. Saghair adalah bintik hitam yang kecil yang boleh berkembang sehingga menghitamkan seluruh wajah.

Tuhan itu RAHIIM dan KARIIM, Dia juga KAHHAAR dan MUNTAQIM. Dia melihat satu jemaat di mana banyak kata-kata yang hebat sedangkan amalan mereka tidak seperti yang mereka ucapkan. Jadi, untuk menghukum jemaat seperti itu, orang-orang kuffar yang akan muncul. Mereka yang belajar Sejarah akan dapat mengetahui bahawa telah beberapa kali orang Islam tewas di tangan orang kafir. Misalnya Cangghez Khan dan Hulaku Khan telah menghancurkan orang-orang Islam, padahal Allah Ta’ala berjanji akan membantu dan menolong orang Islam. Namun, orang Islam tetap kalah. Peristiwa seperti ini kadangkala terjadi. Asasnya ialah apabila Allah Ta’ala melihat bahawa LAA ILAAHA ILLALLAAHU dilaungkan, tetapi hati mereka ke arah lain, perbuatannya pula memperlihatkan kecenderungan ke arah dunia, maka Dia akan memperlihatkan sifat Kahhar-Nya.”

QOUL DAN FI’IL HARUS SEJALAN

Rasa takut kepada Tuhan berlaku apabila insan melihat sejauh mana hubungan antara ucapan dan amalannya. Apabila dia melihat bahawa qoul dan fi’ilnya tidak sejalan, maka ingatlah hal itu boleh menarik kemurkaan Ilahi. Jika hati tidak bersih, walaupun ucapan itu nampak bersih, dalam pandangan Tuhan, hatinya tidak mendapat apa-apa nilai. Sebaliknya kemurkaan Ilahi yang menyala.

Jadi, anggota jemaatku hendaklah memahami bahawa mereka datang kepada saya, sebab itu ia ditanam lalu akan menjadi pokok yang berbuah lebat. Jadi, setiap orang harus melihat bagaimana keadaan dalaman diri masing-masing? Dan bagaimana keadaan batin mereka? Jika dalam Jemaat kita ada yang begitu, yakni ucapannya lain dan dalam hatinya lain, maka ingatlah bahawa kesudahannya tidak akan baik.

Apabila Allah melihat satu Jemaat itu kosong hatinya sedangkan lidahnya mengucapkan banyak perkara, Allah Ta’ala itu Ghani, Dia tidak akan ambil peduli. Khabar ghaib tentang kemenangan Badar, kemenangan dapat dijangkakan dalam segala segi, namun Rasulullah s.a.w berdoa sambil merintih. Hazrat Abu Bakar bertanya kenapa begitu? Sedangkan janji kemenangan sudah ada. Rasulullah s.a.w menjawab: Zat Allah itu Ghani, mungkin dalam janji Tuhan itu menuntut suatu syarat yang tersembunyi.

BERKAT TAKWA

“Jadi, kita hendaklah selalu lihat bahawa setakat mana kemajuan yang boleh dicapai melalui takwa dan kesucian? Ukurannya adalah Al-Qur’an. Allah Ta’ala telah meletakkan tanda-tanda seorang muttaki yang antaranya ialah Allah Ta’ala akan membebaskan orang muttaki dari perkara-perkara dibenci di dunia sehingga pekerjaannya sendiri sudah cukup memadai. Sebagaimana firman-Nya WAMAIYAT TAQIL LAAHA YAJ’AL LAHU MAKHROJAA, WAYARZUQHU MIN HAITSU LAA YAHTASIB (At-Thalaq:3-4), “orang yang takut kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari segala musibat, dan juga akan memberikannya rezeki yang dia sendiri tidak pernah sangka-sangka”. Inilah antara tanda seorang muttaki, iaitu Allah Ta’ala tidak akan membiarkan seorang muttaki itu menggunakan cara yang tidak betul. Sebagai contoh, seorang pekedai beranggapan bahawa tanpa menggunakan tipu muslihat, perniagaannya tidak dapat berjalan, sebab itu dia tidak berpaling dari muslihatnya dan menzahirkan bahawa dia terpaksa berkata dusta, sedangkan itu adalah cara yang tidak betul. Tuhan sendiri yang akan menjadi penjaganya, dan akan memeliharanya daripada melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kebenaran. Ingatlah bahawa apabila seseorang telah meninggalkan Tuhan, maka Tuhan pun akan meninggalkannya. Apabila Rahman sudah meninggalkan seseorang, maka syaitan akan membuat hubungan dengannya.”

“Jangan beranggapan bahawa Tuhan itu lemah. Tuhan Maha Kuat. Jika kamu yakin atas-Nya dalam suatu perkara, Dia akan menolong kamu. WAMAI YATAWAKKAL ‘ALALLAAHI FAHUWA HASBUHU (At-Talaq:4), tetapi orang yang dimaksudkan sebelum ayat ini ialah mereka yang ahli agama, iaitu segala dasar berfikir mereka adalah dalam urusan agama, dan juga urusan duniawi didasarkan kepada Tuhan. Sebab itu Tuhan memberi ketenangan kepada mereka bahawa “Aku bersama-sama dengan kamu”. Jadi, satu di antara berkat takwa itu ialah Allah Ta’ala akan mengeluarkan orang-orang muttaki dari musibat-musibat yang terkeluar dari urusan agama”.

REZEKI ROHANI UNTUK ORANG BERTAKWA

Demikianlah Allah Ta’ala memberikan rezeki kepada orang muttaki. Saya akan sentuh mengenai rezeki makrifat di sini.

Walaupun Rasulullahsallallaahu alaihi wasallam dalam keadaan ummi, namun baginda perlu berhadapan dengan dunia di mana ada golongan ahli kitab, ahli falsafah, pelawak kelas tinggi dan golongan cendekiawan. Baginda mendapat rezeki rohani yang begitu luar biasa sehingga mengungguli semuanya dan dapat mengeluarkan kesalahan-kesalahan mereka.

Jadi, inilah rezeki rohani yang tidak ada tandingannya. Keagungan muttaki juga ada dalam ayat yang lain. IN AULIYAA’UHUU ILLAL MUTTAQQUUNA (Al-Anfal:35) Wali Allah Ta’ala adalah mereka yang bertakwa, yakni kawan kepada Allah. Jadi, betapa agungnya nikmat ini, dengan hanya sedikit kesusahan mereka disebut dekat dengan Tuhan. Zaman sekarang ini langsung tidak lagi bersemangat. Jika ada seorang hakim atau pegawai yang berkata “kamu adalah kawan saya”, atau “berikan dia kerusi dan buat penghormatan”, maka mereka itu akan menjadi bangga. Ke sana-sini penuh dengan rasa senang hati. Tetapi, bagaimana tingginya dan agungnya orang yang disebut oleh Allah sebagai “wali-Ku atau kawan-Ku”. Allah Ta’ala telah berjanji melalui ucapan Rasulullahsallallaahu alaihi wasallam sendiri sebagaimana yang terdapat dalam hadis Bukhari iaitu LAA YAZAALU YATAQARRABU ‘ABDII BIN NAWAAFILI HATTAA UHIBBAHUU FA IDZAA AHBABTUHUU KUNTU SAM’AHUL LADZII YASMA’U BIHII WA BASHOROHUL LADZII YUBSHIRU BIHII WA YADAHUL LATII YABTHISYU BIHAA WA RIJLAHUL LATII YAMSYII BIHAA WA LA’IN SA’ALANII LA’A’THOITUHUU WA LA’IN ISTA’AADZANII LA U’IIDUN NAHUU (Sahih Bukhari Juz 4, bab At-Tawadhi’) yakni Allah Ta’ala berfirman bahawa wali-Ku akan menjadi dekat kepada-Ku melalui nawafil.

FARDHU DAN NAWAFIL

Setiap kebaikan yang dilakukan oleh insan terdiri daripada dua bahagian iaitu fardhu dan nawafil. Fardhu ialah setiap pekerjaan yang difardhukan ke atas insan seperti membayar hutang atau membalas kebaikan. Selain perkara yang fardhu, dalam setiap kebaikan ada nawafil yakni kebaikan yang dilakukan lebih daripada yang sepatutnya. Misalnya selain daripada membalas ihsan atas ihsan, insan melakukan lebih banyak ihsan, ini adalah nawafil. Ia bertujuan untuk mukammilat dan mutammimat atas perkara fardhu. Dalam hadis ini dijelaskan bahawa wali Allah menyempurnakan perkara fardhu keagamaan adalah melalui nawafil. Misalnya selain daripada zakat ada sedekah. Allah Ta’ala berfirman bahawa persahabatan mereka akan mencapai tahap di mana “Aku menjadi tangan, kaki dan lidah yang mana dengan itu dia berkata-kata”.

(Malfoozaat Jilid 1, halaman 7-9)

>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<

Diterjemahkan oleh

Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(28.07.2011)


No comments:

Post a Comment