Dalam surah al-Mukmin para Malaikat mendoakan orang-orang
mukmin:
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam
syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh
di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka
semua. Sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Mukmin:8)
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda:-
"Tidak ada hadiah yang lebih bernilai dari tarbiyat
yang terbaik yang datang daripada seorang bapa terhadap anaknya."
(Tarmizi)
"Hormatilah anak-anakmu dan perbaiki akhlak dan adab
mereka." (Ibnu Majah)
Semua ibu bapa menginginkan anak keturunan, tetapi tidak
semua ibu bapa memberikan perhatian terhadap tarbiyat yang terbaik untuk
anak-anak. Ada juga yang tidak berdoa untuk anak-anak mereka. Sepatutnya mereka
berdoa kepada Allah dalam setiap solat untuk kebaikan anak-anak mereka. Ada
juga ibu bapa yang mengajarkan adat-adat yang buruk kepada anak-anak mereka.
Ada juga ibu bapa yang melihat adat buruk di kalangan anak-anak, mereka
langsung tidak risau dan tidak memberikan amaran. Akibatnya, semakin lama
anak-anak semakin berani melakukan kesalahan dan keburukan.
Ibu bapa seharusnya berusaha untuk memperbaiki anak-anak
mereka dan jangan membiarkan kebaikan dan kesolehan dalam diri tidak diturunkan
atau diwariskan kepada anak-anak mereka. Jadikan kebaikan dan kesolehan ibu
bapa berterusan sehingga kiamat.
Jika tarbiyat dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka ada
jaminan keamanan dalam masyarakat, akan ada semangat di dalam diri anak-anak
untuk melakukan pengorbanan.
Kita melihat ada anak lelaki yang tidak sekolah, tidak
bekerja. Ibu bapa beranggapan, Allah telah berikan rezeki biarlah mereka makan
dari hasil pendapatan kami. Tetapi, adakah mereka tidak terfikir bahawa Tuhan
menjadikan dunia ini hanya untuk makan minum? Seorang raja pun tidak akan mahu
melihat anaknya dalam keadaan seperti itu. Jika memang ada anak seperti itu,
yang tidak mahu melakukan pekerjaan dan hanya membuang masa, maka secara
perlahan-lahan akan membunuh kerohanian anak tersebut dan menuju ke arah
kehancuran.
Tempat didikan yang paling baik ialah seorang ibu. Sebab itu
kaum ibu harus berusaha memberi didikan yang sempurna. Kalau 50% dari seluruh
kaum ibu dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik, maka sudah pasti
akan wujud jaminan akan keselamatan anak keturunan dalam dunia ini. Anak-anak
akan ramai yang cenderung kepada Tuhan.
Jadi, kaum ibu dan anak-anak wanita hendaklah menyedari
tanggungjawab bahawa bukan hanya mereka sahaja yang perlu menjauhi hasutan
syaitan, malah mereka juga hendaklah memastikan anak keturunan mereka jauh
daripada perangkap syaitan.
Seorang wanita yang mengandungkan anak dalam rahimnya,
seorang ibu yang menjaga anak dipangkuannya dan membesar bersamanya, seorang
ibu yang memberikan tarbiyat terhadap anak-anak sebelum melepaskan anak-anak
mereka ke persekitaran di luar rumah, supaya anak-anak tahu apa yang baik dan
apa yang buruk.
Seorang ibu tahu apa yang perlu diberitahu kepada anak-anak
tentang akhlak yang baik selain daripada menunaikan hak Allah. Seorang ibu
boleh membisikkan di telinga anak-anak sejak dari kecil tentang hakikat tujuan
mereka diciptakan ke dunia ini.
Inilah tanggungjawab setiap wanita dan ibu-ibu. Terutama
sekali dalam era atau persekitaran zaman sekarang yang semakin pantas menuju
kehancuran. Maka, tentunya tanggungjawab ini semakin besar. Apalagi apabila
anak-anak sudah mencapai umur 12-13 tahun, yang mana mereka sudah ada
rakan-rakan di luar rumah.
Dalam zaman moden yang penuh dengan serangan syaitan ini
menuntut satu tugas yang sangat besar, yang tidak kalah besarnya berjihad di
jalan Allah. Sebab itu pernah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam ditanya
oleh seorang wanita, 'kami ini tidak dapat pergi ke medan perang, adakah kami
juga akan mendapat pahala jihad hanya dengan menjaga rumah dan memberi tarbiyat
kepada anak-anak'? Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam menjawab:
'sesungguhnya inilah jihad kamu, dan kamu akan mendapat ganjaran seperti
jihad'.
Cuba lihat betapa tingginya kedudukan yang diberikan oleh
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam terhadap wanita. Jadi, sebenarnya wanita
boleh, iaitu wanita boleh memberikan didikan agama dan akhlak yang kuat
terhadap keturunan mereka.
Sebaliknya, kaum yang tidak memberi perhatian terhadap
perkara ini, maka kerosakan akan mula melanda, baik di rumah, baik di sekolah,
baik di persekitaran dan di mana sahaja anak-anak itu berada.
Secara kesimpulan, perhatian terhadap didikan dan tarbiyat
anak-anak harus dimulakan. Perhatikan anak-anak, jawab pertanyaan mereka dengan
bijaksana sekiranya mereka membawakan sesuatu isu dari luar yang bertentangan
dengan akhlak yang baik. Kadang-kadang anak-anak lebih selesa dengan ibu dalam
dalam berkongsi suatu isu. Jadi, dengar dengan teliti ucapan mereka dan jangan
berlebihan dalam bersangka baik bahawa 'zaman kamu zaman kanak-kanak,
berseronoklah. Dengan tindakan itu nanti mereka akan merasa selesa dengan
persekitaran luar. Perhatian mereka akan lebih cenderung kepada dunia
berbanding agama.
Ibu atau wanita lebih banyak masa dengan anak-anak. Jadi,
beri perhatian lebih dalam didikan agama. Dalam berdoa juga, selain berdoa
untuk kemajuan sekolah, pekerjaan dan keduniaan, doakan juga untuk kemajuan
rohani mereka.
Semoga ibu-ibu diberi kemajuan dalam kerohanian untuk
memastikan kemajuan rohani dalam anak keturunan.
>>>>>>>>>><<<<<<<<<<
Penyusun:
Islah Deen - Mekah al-Mukarramah