Tuesday, July 5, 2016

Jum'atul Wida'






Terjemahan Surah Al-Jum’ah ayat 10:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikumandangkan seruan mengerjakan Solat Jumaat, maka bersegeralah kamu pergi untuk mengingati Allah Ta’ala dan tinggalkanlah jual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda:-
“Untuk menghindarkan diri daripada dosa-dosa besar, solat lima waktu, dari satu Jumaat sehingga Jumaat berikutnya dan dari satu Ramadhan sehingga Ramadhan berikutnya menjadi kaffarah baginya”. (Sahih Muslim Kitabut Taharah, Baab Assalatul Khams)

Berkenaan dengan Jum’atul Wida, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam pernah menjawab satu persoalan dengan berkata:-
“Solat yang telah tertinggal tidak boleh digantikan semula, tetapi puasa boleh. Orang yang sengaja meninggalkan solat sepanjang tahun dengan harapan akan mendirikan solat pada hari  Qadha Umri (Qadha Solat untuk sepanjang hayat), maka orang itu berdosa.”

Hazrat Khalifatul Maseeh II nawwarahullaahu marqadah berkata:-
“Ramadhan bukannya datang lalu kita melaluinya seperti biasa sahaja malah bagi seorang mukmin ia suatu yang harus diberi perhatian. ….. Bagi seorang mukmin setiap perkara itu menjadi lambang kesalehan baginya, hari tetap berlalu tetapi Ramadhan tidak pergi. Ramadhan adalah satu nama ibadat dan ibadat itu tidak seharusnya berlalu pergi malah sentiasa melekat di hati. Orang yang menghitung hari akan beranggapan Ramadhan telah berlalu pergi tetapi bagi orang yang menganggap Ramadhan sebagai ibadat, maka ibadat itu tidak berlalu pergi. Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam bersabda bahawa apabila seseorang hamba membuat kebaikan maka satu tanda putih akan muncul di dalam hatinya. Seolah-olah apabila seorang hamba berbuat kebaikan maka akan muncul tanda putih di hatinya, kemudian dia berbuat lagi kebaikan lain, maka begitulah seterusnya sehingga keseluruhan hatinya telah menjadi putih. Kemudian, apabila seorang hamba membuat kejahatan maka muncul tanda hitam di hatinya sehinggalah jika tidak berhenti melakukan kejahatan maka keseluruhan hatinya akan menjadi hitam. Ringkasnya perbuatan baik dan jahat akan mempengaruhi hati seseorang. Memang hari akan berlalu. Benda yang dibawa oleh Allah melalui bulan Ramadhan bukanlah siang dan malam. Ini kerana siang dan malam itu juga terjadi dalam bulan Rejab, Sya’ban, Syawal dan bulan-bulan yang lain. Jadi, bukan siang dan malam yang dibawa oleh Ramadhan melainkan ibadat. Dan ibadat itu satu benda yang tidak boleh dirampas oleh sesiapa pun. Allah Ta’ala membawanya dan meletakkan dalam hati manusia, tidak ada satu kekuatan dunia pun yang boleh mengeluarkannya. Bagaimana susahnya sekalipun menimpa seorang mukmin ia tidak akan ketinggalan daripada keimanan kerana perkara ini berada dalam hatinya. ….. Begitu juga Jumaat ini tidak datang sebagai perpisahan kita dengan Ramadhan tetapi ia datang untuk diambil manfaat daripadanya, dan berusaha menjadikan Ramadhan ini kekal dalam hatinya. Hari Jumaat juga telah ditetapkan oleh Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sebagai salah satu hari raya di antara hari raya yang ada (bagi saudara seagama). Sebab itu, apabila hari ini telah ditetapkan sebagai hari pengabulan doa-doa, maka harus diambil manfaatnya.

Hari ini, seorang mukmin bukannya datang kepada Allah kerana mensyukuri bahawa musibat yang menimpa di bulan Ramadhan telah berlalu. Tetapi tujuan datang kepada Allah Ta’ala ialah untuk berdoa; “Ya Allah! Hari-hari Ramadhan telah berlalu pergi tetapi kami mohon agar sematkanlah hakikat Ramadhan dalam hati kami supaya ia tidak pernah terpisah dari kami.

Jika kita takrifkan Jumaat hari ini sesuai dengan apa yang diperkatakan ini, maka sesungguhnya kita telah menjalaninya dengan cara yang diberkati. ….. Jadi kemarilah, rebahkanlah di hadapan Allah Ta’ala hari ini bahawa kita jadikan hari ini sentiasa ada hubungan dengan kita, dan tidak ada suatu saat Ramadhan pun yang terpisah daripada kita. ….. Kita hendaklah berusaha bahawa selepas bulan Ramadhan berlalu, keadaan ini berkekalan dalam diri kita, keimanan seperti inilah yang akan menjadi sarana ketenangan kita.

Berkenaan dengan Ramadhan Allah Ta’ala berfirman bahawa Aku akan mendekatkan diri kepada hamba-Ku pada bulan ini. Sebagaimana kambing tidak selamat jika berjauhan daripada penggembalanya demikian juga selagi seorang hamba Allah tidak mendapat isyarat INNII QARIIBUN (sesungguhnya Aku dekat), dia juga belum selamat. Dan kebanyakan suara ini terjadi dalam bulan Ramadhan. Sebab itu jadikan keadaan Ramadhan itu sentiasa ada dalam diri masing-masing selamanya.

Berkenaan dengan Wida’ Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, beliau berkata:-

“Ini pun satu perkara yang lucu jika ada seseorang mendirikan solat satu waktu lalu menganggap bahawa saya telah menunaikan semua perkara yang wajib. Dan pada masa yang sama juga dia telah memisahkan diri dari Ramadhan. Di mana Wida’ Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan di mana Wida’ orang-orang ini? Orang-orang ini memisahkan Ramadhan seminggu lebih awal dan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam melakukan Wida’ dengan Ramadhan selepas menunaikan puasa enam hari dalam bulan Syawal selepas Hari Raya. Wida’ Ramadhan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dilakukan selepas Ramadhan berakhir tetapi hari ini saudara seagama ini melakukan Wida Ramadhan sebelum Ramadhan berakhir lagi.

Hazrat Khalifatul Maseeh IV rahimahullaahu berkata:-

Terdapat dua cara yang dilakukan oleh orang yang beribadat di seluruh dunia apabila berkumpul untuk mengambil berkat Jumaat ini. ….. Pertama, mereka begitu sedih, takut dan risau. Adakah kita telah melalui Ramadhan kali ini dengan memenuhi tuntutannya atau tidak? Orang-orang yang berharap untuk beribadat, mereka telah mendapat taufik, namun Allah yang lebih tahu ibadat itu sempurna atau tidak? Berapa banyak kelalaian dan kelemahan, berapa banyak doa-doa yang dicampuri dengan ulat nafsu sehingga doa-doa tidak dikabulkan oleh Allah? Itu kita tidak tahu. Hari tinggal sedikit lagi. Jadi mohonlah, wahai Tuhan! Kami dengan penuh ketulusan hati sampai kepada Jumaat Wida’ ini, dan selepas ini kami akan hadir setiap Jumaat sepanjang tahun, berilah kami taufik untuk mendapatkan berkat Jumaat ini. Berilah kami kekuatan untuk menutupi kelemahan Jumaat kali ini dengan beribadat sepanjang tahun. Kami bukan datang semata-mata Jumaat Wida kali ini kerana hubungan seorang Mukmin dengan Jumaat adalah hubungan yang kekal abadi yang tidak akan terputus. Kami tidak datang ke masjid ini untuk Jumaat Wida’ tetapi kami datang untuk menguatkan janji kami. Kami datang membawa harapan ini, wahai Allah! Engkau telah memberikan rasa beribadat kepada kami dan kami mohon janganlah kenikmatan beribadat itu dirampas daripada kami. Janganlah biarkan kami memutuskan hubungan dengan Engkau, dan janganlah biarkan kami melupakan nikmat beribadat yang telah Engkau berikan, malah berikan kami kekuatan agar sentiasa kekal dengan cara ibadat seperti ini. Kami memohon kepada-Mu yang Allah akan keberkatan hari Jumaat kali ini jangan sampai ia putus hubungan dengan kami.

Jadi, kita sedang merayakan perpisahan dengan persekitaran yang suci ini, yang hanya datang setahun sekali. Tetapi, dengan rayuan yang baik, keberkatan ini akan sentiasa berkekalan dan tidak akan mengkhianati kita. Cara ibadat yang telah kita pelajari dalam bulan Ramadhan ini terutama sekali 10 malam terakhir ini, ia tidak akan mengkhianati kita. Bersama dengan doa-doa dan rintihan kita datang di hadapan Tuhan untuk merayakan perpisahan dengan persekitaran ini.

Berkata lagi:-

Ada juga beberapa orang yang telah diberikan taufik oleh Allah sehingga muncul dalam hati mereka perasaan asyik untuk melakukan perjalanan. Mereka datang untuk wida’, kemudian datang, kemudian datang, kemudian datang lagi, kemudian timbul fikiran bahawa kenapa kita tidak menjadi musafir sahaja dalam kenderaan ini? Jadi, mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya, ada juga yang lemah. Tetapi sedikit demi sedikit mereka menjadi kuat. Segala keburukan menghilang dari diri mereka dan sebagai gantinya kebaikan demi kebaikan yang muncul dalam diri mereka.

Berkata lagi:-

Seluruh umat di dunia menyambut hari ini dengan penuh keikhlasan dengan kepercayaan. Dan pada Jumaat ini banyak harapan-harapan yang mereka letakkan. Ada yang fardhu, ada yang benar, tetapi banyak harapan-harapan yang baik disertakan dengan Jumaat ini. Sehinggakan ada orang memahami bahawa selepas menolak seruan Tuhan sebanyak 51 kali, kalau kita dapat mengatakan labbaik pada satu seruan sahaja dan kita hadir pada Jumaat ini, maka segala 51 penolakan kita itu akan diampunkan. Dan satu kesetiaan itu lebih berat berbanding 51 penolakan terhadap seruan Tuhan. Ini pun satu harapan mereka. Sejauh mana kebenarannya hanya Tuhan  ALIMUL GHAIBI WAS SYAHADAT yang lebih mengetahuinya. Hanya Dia yang memutuskan segala amalan kita pada hari pembalasan lebih mengetahuinya.

Hazrat Khalifatul Maseeh Al-Khamis (aiyadahul laahu ta’ala binasrihil aziz) berkata:-

Jadi, pada zaman ini setiap Ahmadi hendaklah berusaha untuk memahami tingkat ibadat dan doa-doa. Bukan hanya Ramadhan dan Jumaat terakhir bulan Ramadhan, malah sebagaimana yang telah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam sabdakan bahawa solat lima waktu kita, Jumaat dengan Jumaat dan Ramadhan dengan Ramadhan menjadi sarana perubahan kebaikan dalam diri kita. Semoga Allah Ta’ala memaafkan segala kesalahan kita. Dan kita juga berharap agar termasuk dalam golongan orang yang akan melihat kemenangan dan kejayaan. Jadi, hari ini, pada Jumaat ini kita harus berjanji bahawa Allah Ta’ala yang telah mengurniakan ibadat Jumaat ini bersama dengan puasa, maka kita harus mengutamakan tujuan kedatangan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam iaitu berusaha untuk mengubah segala keburukan menjadi kebaikan. Juga berusaha untuk mengubah kekotoran menjadi suci.

Jadi, dalam masa yang tinggal sedikit sahaja lagi kita berpuasa iaitu kita berada di penghujung Ramadhan dan juga berakhir pada Jumaat ini, sebab itu basahkan lidah kita dengan zikir Ilahi. Dalam masa yang sedikit ini kita hendaklah meletakkan dalam fikiran kita bahawa segala kebaikan-kebaikan yang kita usahakan dalam bulan Ramadhan, segala usaha untuk meningkatkan nilai ibadat kita, segala usaha kita untuk menyempurnakan hak-hak hamba dan juga segala usaha untuk meningkatkan pengorbanan kita. …... Ringkasnya semua amalan dan kebaikan-kebaikan yang kita buat kita mohon agar diterima oleh Allah Ta’ala.

Wahai Allah! Jadikanlah kami orang yang dapat mengekalkan segala ibadat, segala doa-doa, segala kebaikan-kebaikan dan segala usaha untuk menunaikan hak hamba-hamba. Kami mengharapkan agar segala pekerjaan dan amalan kami pada masa akan datang sentiasa mendapat keredhaan Engkau dari berkat-berkat yang Engkau sentiasa sediakan. Perlihatkan juga kepada kami pemandangan revolusi yang telah Engkau janjikan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam.

Orang yang mencintai beliau, kita mengharapkan daripada Allah Ta’ala agar doa-doa yang keluar dari hati setiap Ahmadi secara beriringan pada hari ini dengan penuh rintihan, dari satu mata air menjadi jutaan mata air yang mengalir begitu deras laksana air sungai yang akan membersihkan segala kotoran-kotoran yang ada di hadapannya. Doa-doa yang dibuat saling membantu di antara satu dengan yang lain  akan menghapuskan kotoran dari dalam hati kita.

Justeru itu, jadikan doa-doa pada hari ini ibarat air bersih yang mengalir deras, aliran air suci yang dibuat untuk mendapatkan keredhaan Allah Ta’ala, dan itu semua kurnia daripada Allah Ta’ala, maka dengan kurnia Allah Ta’ala segala kotoran hati kita akan menjadi semakin bersih, kemudian cenderung dawam melakukan kebaikan-kebaikan dan semakin dekat kepada Allah Ta’ala lalu dapat melihat pemandangan pengabulan doa. Kita akan dapat melihat kesucian hati, kita akan dapat melihat kasih sayang Allah Ta’ala.

Kita juga akan berada di bawah perlindungan Allah Ta’ala daripada musuh-musuh. Kita juga akan menjadi orang yang menegakkan perintah-perintah Allah Ta’ala di dalam hati kita dan juga di dalam hati orang-orang dunia sebagai matlamat utama. Berkat daripada Jumaat ini juga kita akan dapat melihat di seluruh dunia kibaran bendera agama kekasih Allah yakni Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam yang mana pada zaman ini telah dipikulkan kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam. Kita akan dapat melihat janji Allah Ta’ala menjadi sempurna bahawa sekarang ini Maseeh Mau’ud alaihissalam akan mengumpulkan manusia di atas agama yang satu ini.

Oleh itu, semoga kita semua mendapat taufik untuk melihat kurnia Allah melalui Jumaat yang mengandung berkat yang kekal ini. Hal itu tidak jauh di mana kita akan dapat melihat pemandangan pengabulan doa-doa. Mudah-mudahan seperti itulah yang akan tercapai.





Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...