CERAMAH
Jalsah Salanah Ke-2
Utara Semenanjung Malaysia
Jemaat Ahmadiyah Muslim Malaysia
2-3
November 2013
>>>>>>>>>>>>>>>
<<<<<<<<<<<<<<<
Ketaatan
Dan Kecintaan Kepada Khilafat
Tasyahud, Ta’awudz, Surah Al-Fatihah & Surah An-Nuur
ayat 54-57)
Terjemahan ayat ini ialah:-
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sekuat-kuat
sumpah mereka, bahawa jika engkau perintahkan kepada mereka, nescaya mereka
akan keluar segera. Katakanlah, “Janganlah bersumpah; apa yang dituntut dari kamu adalah taat kepada yang benar.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Katakanlah, “Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada
Rasul.” Maka jika kamu berpaling, maka ia bertanggungjawab tentang apa yang
dibebankan kepadanya, dan kamu bertanggungjawab tentang apa yang dibebankan
kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, kamu akan mendapat petunjuk. Dan
tidaklah kewajipan Rasul melainkan menyampaikan secara jelas.
Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dari
antara kamu dan berbuat amal soleh, bahawa Dia pasti akan menjadikan mereka itu
khalifah di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan khalifah orang-orang yang
sebelum mereka, dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama mereka, yang telah
Dia redhai bagi mereka; dan niscaya Dia akan menggantikan mereka sesudah
ketakutan mereka dengan keamanan.
Mereka akan menyembah Aku, dan mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu dengan
Aku. Dan barangsiapa ingkar sesudah itu, mereka itulah orang-orang yang
durhaka.
Dan dirikanlah solat, dan bayarlah zakat, dan taatlah
kepada Rasul supaya kamu mendapat rahmat.
Apabila kita berbicara mengenai khilafat pada zaman ini,
maka kita akan banyak berbicara tentang khilafat Ahmadiyah. Namun tidak
bermakna bahawa khilafat Rasyidin tidak perlu kita bahaskan, tetapi disebabkan
masa yang terhad, maka pada waktu ini saya akan sampaikan tanggungjawab kita
semua sebagai seorang Ahmadi dalam mentaati dan mencintai Khilafat Ahmadiyah.
Ketaatan dan
kecintaan kepada Khilafat merupakan satu perkara asas dalam menjadi seorang
Ahmadi yang hakiki. Namun, ia bukanlah satu tajuk yang semudah itu untuk kita
fahami dan menghayatinya. Ada orang yang taat kepada khilafat tetapi tidak
cinta kepada khilafat, ada orang mengungkapkan di mulutnya bahawa dia
benar-benar mencintai khilafat tetapi pengamalannya tidak menunjukkan ketaatan
kepada khilafat. Sebab itu, kenapa kita ditekankan untuk memegang sepenuhnya
konsep keitaatan kepada khilafat dan seiring dengan itu kita menunjukkan dengan
cara yang sebenarnya bahawa kita mencintai khilafat.
Ayat yang telah saya tilawatkan tadi, daripadanya ada satu
ayat sebagaimana yang kita semua ketahui dan telah dengar terjemahannya dipanggil
sebagai ayat istikhlaf yakni, ia mengandungi janji Allah Ta’ala kepada
orang-orang mukmin tentang khilafat. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam telah
menjelaskan ayat ini dalam buku-buku beliau. Penjelasan dibuat dengan pelbagai
cara.
Dalam ayat-ayat ini, ia merupakan seruan amalan yang
sempurna untuk orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, dan juga yang
bai’at kepada khulafa. Dan perkara pertama dan yang paling asas dijelaskan
ialah apa yang dimaksudkan dengan itaat dan apa ukurannya yang sebenar? Ukuran
itaat itu bukanlah hanya sekadar melafazkan sumpah setia bahawa jika berpeluang
akan bersedia untuk menentang musuh dalam pelbagai cara.
Hanya dengan sumpah sahaja belum boleh diyakini selagi
tidak menunjukkan ketaatan dalam setiap keadaan. Jika perintah-perintah itu
tidak disiplin dalam melaksanakannya dan tidak berusaha untuk mengamalkan apa
yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul, maka sumpah-sumpahnya tidak
memberi manfaat.
Jadi, perkara sebenarnya di sini ialah sempurna dalam
menzahirkan keitaatan secara amalan. Jika tidak dizahirkan melalui amalan dan
perkara-perkara kecil pun tidak dizahirkan pengamalannya, maka dakwaan itu
sia-sia. Dengan mengatakan INNAL LAAHA KHOBIIRUM BIMAATA’MALUUN, jelas bahawa insan
boleh ditipu tetapi Allah Ta’ala mengetahui segala perkara. Semua perkara yang
zahir atau tersembunyi diketahui oleh Allah Ta’ala, sebab itu Dia tidak dapat
ditipu.
Jadi, hendaklah sentiasa berada dalam ingatan kita bahawa Allah
Ta’ala melihat setiap masa. Dan seorang mukmin yang hakiki hendaklah
memperhatikan perkara ini sebaik-baiknya. Dan apabila keimanan seorang insan
teguh dalam perkara ini bahawa Allah Ta’ala sentiasa melihat mereka, maka bukan
hanya sumpah-sumpah yang dizahirkan, tetapi mereka juga akan menzahirkan dari
amalan sesuai dengan perintah. Mereka melaksanakan segala keputusan yang makruf
dengan penuh keitaatan. Ia juga menjadikan insan sentiasa berkeinginan untuk
taat kepada Allah dan Rasul dan berusaha untuk itu. Di samping ATHII’UL
LAAHA WA ATHII’UR RASUUL terdapat lafaz WA ULIL AMRI MINKUM, yakni perlu juga
mentaati amir dan Nizam Jemaat. Perlu untuk taat kepada Khalifah Waqt.
Dan orang-orang yang tidak memperlihatkan keitaatan yang
sempurna dan berbuat sesuka hati mereka sahaja, Allah Ta’ala berfirman bahawa kamu
akan ditanya kerana tidak mengamalkan perintah, kerana tidak taat, kerana
berbuat dosa-dosa. Rasul tidak akan ditanya mengenai kamu, bukan lagi
tanggungjawab seorang utusan Allah. Peraturan-peraturan syariat telah
disampaikan oleh utusan Allah, kemudian dengan mengikuti rasul itu, Khalifah
Waqt juga telah menyampaikan amanat Allah dan Rasul. Jadi, penasihat dan
pemberi syariat telah menunaikan tugas mereka. selebihnya adalah tanggungjawab
individu yang ingkar itu sendiri.
Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga memberikan
keyakinan ke atas mereka yang benar-benar berjalan atas perintah Allah. Beliau
memberikan satu nasihat yang penting ke atas kita semua sebagai pengikut yang
hakiki dengan berkata:-
“Jangan beranggapan bahawa Tuhan akan mensia-siakan kamu.
Kamu adalah satu benih yang ditanam di bumi dengan tangan Tuhan. Tuhan
berfirman bahawa benih ini akan membesar dan berkembang, dan dari setiap arah
akan keluar dahan-dahan sehingga menjadi sepohon pokok yang besar. Mubarak atas
mereka yang beriman kepada perkataan Tuhan dan tidak takut akan ujian yang
datang di pertengahan kerana ujian yang datang itu adalah perlu supaya Tuhan dapat
menguji siapa yang benar dalam dakwaan bai’atnya dan siapa yang dusta. Siapa
yang hanyut dalam ujian itu, dia tidak akan merugikan Tuhan sedikitpun,
malangnya dia yang akan sampai ke jahannam. Jika dia tidak lahir, mungkin itu
lebih baik baginya. Tetapi, orang-orang yang bersabar sehingga akhir, di mana
mereka ditimpa gempa musibah dan ribut yang dahsyat, kaum mentertawakan dan
mencaci mereka, dunia juga sangat keras terhadap mereka, golongan inilah yang
akan mendapat kejayaan dan akan dibuka segala pintu-pintu berkat.
Dengan kurnia Allah Ta’ala hari ini dalam Jemaat Ahmadiyah
di setiap penjuru dunia dan di setiap negara, nilai pengorbanan semakin
meningkat. Dan dengan kurnia Allah Ta’ala, janji Allah Ta’ala kepada Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihis salam, setiap hari kita melihat kesempurnaannya. Tidak
dapat dipastikan, dengan keberanian apa dan dengan semangat apa sehingga
orang-orang Ahmadi sanggup mempersembahkan pengorbanan nyawa dan harta benda
mereka?
Dalam konteks kita di Malaysia, para ulama berusaha untuk
menghentikan pekerjaan kita dan berusaha untuk menjadikan kita lemah dan hilang
semangat dengan melakukan pelbagai cara walaupun dengan mengeluarkan
fitnah-fitnah yang hanya membuatkan kita tersenyum. Mereka berusaha menghalang
kegiatan tabligh kita, mereka berusaha menghalang sehingga kita tidak ada
tempat untuk beribadat di muka bumi Malaysia ini. Mereka berusaha supaya kita
tunduk di hadapan mereka. Namun, disebabkan khilafat yang berada dalam hati
kita, disebabkan hablullah ada dalam hati kita, disebabkan kita yakin akan
janji Allah Ta’ala, kita tidak pernah gentar menghadapi usaha jahat mereka.
Mereka tidak tahu usaha mereka itu semakin menjadikan kita
lebih bersemangat untuk bertabligh, mereka tidak tahu usaha mereka itu semakin
menyerlahkan keindahan ajaran Jemaat Ahmadiyah, mereka juga tidak tahu usaha
mereka menjadikan semakin ramai warga Malaysia celik pengetahuan tentang
Ahmadiyah. Ringkasnya, kita tidak pernah akan kecundang dengan semua
usaha-usaha mereka.
Beliau alaihissalam juga menyampaikan beberapa peringatan
dan khabar gembira untuk mereka yang menghubungkan diri dengan khilafat dan
jemaat. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengambil bahagian
dalam khabar gembira ini, dan juga meletakkan keagungan Tuhan di dalam hati
masing-masing bagi mendapatkan kurnia dari janji Allah Ta’ala ini. Kita harus
menzahirkan ketauhidan Allah secara amali. Menjadi orang yang
berperikemanusiaan kepada manusia dengan cara yang sebenarnya. Menjadi orang
yang membersihkan hati dari permusuhan dan dengki. Menjadi orang yang berjalan
dalam setiap landasan kebaikan. Menjadi orang yang memelihara keimanan. Menjadi
orang yang memperlihatkan keitaatan yang sempurna. Menjadi orang yang sentiasa
meningkat keimanan supaya di sisi Tuhan, langkah-langkah kita tergolong dalam
golongan orang-orang siddiq dan menjadi orang yang mendapat kurnia atas
janji-janji-Nya.
Dalam kesempatan
ini, saya tanya kepada semua yang hadir di sini, adakah tuan-tuan bersedia untuk
menzahirkan ketaatan dan kecintaan kepada khilafat? Adakah tuan-tuan dan
puan-puan semua yakin janji Allah Ta’ala terhadap khilafat ini? Jazakumullah
Ahsanal Jaza kepada semua. Semoga Allah memberikan ganjaran dengan sebaik-baik
ganjaran kepada tuan-tuan dan puan-puan semua.
Jadi, berdoalah
kepada Allah Ta’ala dengan penuh kerendahan hati, tariklah kecintaan Allah
Ta’ala dengan penuh rintihan, inginkanlah kasih sayang daripada Allah Ta’ala
sentiasa menyelubungi kita, keluarga kita terutama sekali anak-anak kita. Jika
sebagai ibu bapa, merintihlah di hadapan Allah Ta’ala bahawa kita memang lemah
dalam mendidik anak-anak. Jika sebagai anak, merintihlah di hadapan Allah
mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam perlindungan-Nya, memberikan kita
kekuatan dalam menghadapi ujian terutama sekali dalam era globalisasi ini, yang
mana serangan syaitan-syaitan sudah memasuki tahap yang sangat berbahaya.
Seruan Al-Qur’an
kepada kita, perhatikan sekeliling kita. Lihat dan renungkan nasib orang-orang
yang ada pengingkaran terhadap pemerintah. Demikian juga kita sebagai pengikut
Jemaat Ahmadiyah ini, kita sangat ditekankan agar benar-benar menjunjung tinggi
pemerintahan Al-Qur’an, menjunjung tinggi sunnah-sunah Rasulullah sallallaahu
alaihi wasallam. Dan sekarang ini Imam Zaman telah diutus oleh Allah, kemudian
khalifah-khalifah beliau terus bersama-sama dengan kita. Memberi nasihat kepada
kita, memperingatkan kita dan memberi hukuman jika kita bersalah.
Sekarang ini,
dengan bai’atnya kita ke dalam Jemaat Ahmadiyah ini menuntut semangat itaat dan
cinta kepada khilafat.
Menanamkan semangat
itaat dan kecintaan terhadap khilafat bermakna kita harus mengimplementasikan
janji bai’at kita. Kemudian sebagai Ansar, kita ada ikrar tersendiri selain
janji bai’at. Sebagai Khuddam, kita ada ikrar tersendiri selain janji bai’at.
Sebagai Lajnah, juga ada janji tersendiri selain janji bai’at. Demikian juga
Atfal dan Nasirat. Ringkasnya, setiap lapisan Ahmadi ada peranan masing-masing
dalam perkara ini.
Sebelum saya tutup ceramah ini, di sini saya sampaikan beberapa pesan
suci daripada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam kepada setiap Ahmadi.
BagindaAS bersabda: “Semua orang-orang mukhlis yang masuk
bai’at pada hamba dalam silsilah ini menzahirkan bahawa tujuan bai’at adalah
supaya kecintaan kepada dunia menjadi sejuk dan kecintaan kepada Maula Karim
dan RasulullahSAW menjadi unggul.” (Asmaani Faishlah, Rohani
Khazain, Jilid 4, Halaman 351)
Orang-orang yang bai’at kepada imam zaman dan meletakkan syarat-syarat
bai’at dengan ikhlas di hadapan, dan berusaha untuk mengamalkannya, maka apa
kata syaitan; “mereka itu tidak akan
masuk kumpulanku. Berapa banyak pun keseronokan dunia yang aku perlihatkan,
mereka tetap terkeluar dari penguasaanku.
Jadi, ketika Hazrat Masih Mau’udAS memberikan pengumuman
bahawa orang-orang mukhlisin yang ikut denganku lebih mencintai Allah dan
Rasul-Nya lebih dari segala apa yang dicintainya, maka Hazrat Masih Mau’udAS
juga menegaskan agar kita menghindari keburukan dengan mengatakan bahawa kamu
hendaklah memberi perhatian setiap waktu, jangan sampai ada sebarang jenis
keburukan yang timbul dalam diri kamu.
Dalam zaman ini, kita hendaklah berusaha melaksanakan apa yang
diinginkan oleh Hazrat Masih Mau’udAS. Kita harus berusaha
melaksanakan perintah Allah dan rasul-Nya serta berjalan di atas sunnah
RasulullahSAW. Kita juga harus cenderung ke arah meningkatkan
keagamaan dan rohani kita. Dan dengan berjalan atas landasan ketakwaan, kita
cenderung untuk beribadat kepada Allah. Hanya dengan itu kita bai’at kepada
Hazrat Masih Mau’udAS tanpa suatu kepentingan peribadi, atau suatu
kepentingan duniawi, dan disebabkan hal ini kita menjadi sumber kemajuan jemaat
sebagaimana yang dikatakan oleh Allah IBAADINAL MUKHLASHIIN, kerana mereka ini mencintai Allah dan
RasulullahSAW dengan ikhlas.
RasulullahSAW adalah orang yang dikatakan bahawa segala
tidur, jaga, duduk dan bangunnya adalah semata-mata kerana Allah sebagaimana
yang dikatakan dalam ayat QUL INKUNTUM TUHIBBUUNAL LAAHA FATTABI’UUNII YUHBIBKUMUL LAAHU
WAYAGHFIRLAKUM ZUNUUBAKUM (Ali Imran:32) yakni katakanlah, jika kamu mencintai Allah, maka
ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa kamu.
Kecintaan kepada RasulullahSAW bukan setakat menjadi penyebab
kecintaan Allah, malah ia menjadi punca keampunan dosa dan juga menghindarkan
diri dari dosa-dosa mendatang.
Hazrat Masih Mau’udAS bersabda; “apa hubungan saya dengan
orang-orang yang tidak memikul segala perintah dengan hati yang suci, dan tidak
memberikan pengorbanan kepada RasulullahSAW dengan hati yang benar,
dan tidak berikhtiar menjadi orang yang bertakwa, dan tidak mahu meninggalkan
adat-adat fasiq, tidak meninggalkan majlis-majlis yang sia-sia, tidak mahu
menjauhi khayalan-khayalan buruk, dan tidak menghayati insaniat, kemajuan,
kesabaran dan kelemah-lembutan, menghina orang-orang miskin, menindas golongan
yang lemah, berjalan di pasar-pasar dengan megah dan duduk atas kursi dengan
penuh kesombongan, dan menganggap dirinya itu lebih mulia.”
BagindaAS bersabda: “Mubarak atas mereka yang menganggap
dirinya hina dan kecil, dan bercakap dengan rasa malu. Mereka mengagungkan yang
lemah, mereka tidak pernah menghina disebabkan kejahatan dan takbur. Mereka
selalu ingat Tuhan yang Maha Mulia.” Dikatakan: “Jadi, saya berkali-kali
mengatakan bahawa orang-orang seperti inilah yang akan disediakan keselamatan.”
Nasihat yang Hazrat Masih Mau’udAS berikan ini amat
mengharukan. Perkara inilah yang jika kita amalkan akan dianggap sebagai
orang-orang yang mukhlisin, yang mencintai Allah dan Rasul-Nya. Mereka inilah
yang datang menghadiri jalsah dan menyempurnakan tujuan mereka datang
berkunjung. Jika tidak, BagindaAS jelas mengatakan bahawa ini bukan
suatu urusan keduniaan.
Tuan-tuan yang datang berkumpul di sini hari ini, Ini juga boleh kita
katakan jalsah yang mengingatkan kita kepada nikmat yang telah diberikan oleh
Allah. Kemudian, rasa syukur yang hakiki akan terlaksana apabila kita berusaha
untuk menciptakan perubahan suci dalam diri. Apabila kita sudah cenderung ke
arah ini, iaitu kita berjalan di atas uswah RasulullahSAW untuk
mendapatkan kecintaan Allah Ta’ala, maka ini juga merupakan satu perintah Allah
Ta’ala buat orang-orang yang ikhlas menjadi hamba-Nya. Terdapat uswah
RasulullahSAW dalam setiap medan, ia memberi nasihat kepada kita
bahawa inilah amalan-amalan yang akan mengekalkan kecintaan terhadap Allah
Ta’ala.
Setiap Ahmadi harus berusaha meningkatkan nilai ibadat masing-masing
agar perdakwaan kecintaan ini dapat dibuktikan. Jangan dakwaan hanya tinggal
dakwaan sahaja. Beri perhatian dalam meningkatkan nilai sholat dan ibadat kita
dalam beberapa hari ini. Setiap peserta jalsah harus ingat bahawa kita hendak
mendapatkan kecintaan Allah Ta’ala dan seharusnya berusaha sekuat-kuatnya untuk
itu.
Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Ingatlah sebaik-baiknya,
sekali lagi ingatlah bahawa bila tunduk kepada selain Allah, itu bererti
memutuskan hubungan dengan Tuhan. Apapun sholat dan tauhid, sholat merupakan
ikrar amali bagi tauhid. Tidak ada berkat dan tidak ada faedah jika di dalamnya
tidak ada semangat merendah diri dan merasa hina serta hati yang ikhlas”.
Kemudian, Hazrat Masih Mau’udAS menjelaskan bagaimana
kerendahan dan rasa hina yang sepatutnya. Hati mesti bebas dari segala
perancangan kotor, tidak ada sebarang perasaan takbur, tidak ada semangat
keegoan, memperlihatkan rasa rendah diri kepada hamba-hamba, jika semua ini
wujud barulah doa-doa akan dikabulkan dan sholat pun menjadi sholat yang
hakiki. Orang yang memberikan pengumuman ketauhidan yang hakiki kepada Allah
tidak akan dapat melakukan perbuatan merampas hak orang lain untuk kepentingan
sendiri, atau mereka akan bercakap dengan sombong.
Jadi, dalam hari-hari yang tersedia ini, buatlah ukuran diri kerana
persekitaran juga boleh memberi pengaruh kepada rohani dan juga atas hati.
Selidikilah diri sendiri, selidikilah sholat dan akhlak diri sendiri. Jangan
pernah terfikir untuk merampas hak-hak orang lain. Hendaklah sentiasa ingat
bahawa akhlas asas yang harus dipersembahkan oleh setiap insan dalam suatu
masyarakat tidak akan dapat didirikan selagi di dalam hati tidak ada ketakutan
yang hakiki kepada Allah dan juga jika hati belum jauh daripada sikap keegoan
dan takbur.
Jika hal ini lahir dalam diri seseorang, maka orang itu bersih dari
setiap jenis keburukan. Seorang Ahmadi seperti itu akan mencapai tingkat ke
mana Hazrat Masih Mau’udAS hendak membawa kita, kemudian orang itu
akan menjadi pencinta Allah dan RasulullahSAW yang hakiki.
Oleh sebab itu, dalam beberapa hari ini di mana tuan-tuan semua
berkumpul semata-mata kerana Allah dan mendakwakan bahawa kami datang berkumpul adalah kerana Allah, tujuan jalsah salanah
ini hendaklah diutamakan, kerana cara yang paling baik untuk mengislahkan diri
ialah meletakkan satu (Muzakki)
dalam diri.
Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Orang yang beruntung itu
bukanlah mereka yang mendapat kekayaan harta dunia, dan dari kekayaan itu, ia
menjadi penyebab ribuan malapetaka dan musibat berlaku. Orang yang beruntung
adalah mereka yang mendapat kekayaan iman dan mereka selalu merasa takut akan
kemarahan dan kemurkaan Tuhan, mereka juga menghindarkan diri dari serangan
nafsu dan syaitan. Ini kerana, cara itu membolehkan dia mendapat keredhaan
Allah.
Tetapi, ingatlah bahawa hal ini tidak mudah untuk diperolehi. Untuk
mendapatkannya, kamu perlu berdoa dalam sholat agar Tuhan redha dengan kamu,
dan Dia juga memberi kamu taufiq dan kekuatan agar kamu mendapat keselamatan
dari dosa dan kehidupan yang kotor. Sebabnya ialah, kamu tidak mungkin boleh
terhindar dari dosa selagi tidak ada taufiq dari-Nya, dan juga tidak kurnia
daripada-Nya. Taufiq dan kurnia ini hanya dapat diperolehi melalui doa.
Untuk ini, banyakkan berdoa dalam sholat iaitu wahai Allah! Hindarilah
kami dari semua perbuatan-perbuatan yang dikatakan sebagai dosa dan juga dari
perkara-perkara yang bertentangan dengan kesukaan dan petunjuk Engkau. Dan
hindarilah kami dari setiap kesedihan, musibat dan bala yang disebabkan oleh
dosa-dosa itu. Juga, kekalkanlah kami dalam keimanan yang sebenar.”
Kemudian dalam menjelaskan jenis-jenis dosa, BagindaAS
bersabda: “Banyak akhlak-akhlak buruk yang mendatangkan dosa, misalnya seperti
marah, murka, dengki, beremosi, riak, takbur, hasad dan sebagainya. Ini semua
adalah akhlak buruk yang boleh menyebabkan insan sampai kepada jahannam”.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 608-609)
Kita hendaklah selalu ingat bahawa jangan merasa bangga kerana kita
tidak melakukan dosa besar, akhlak buruk yang biasa juga merupakan dosa. Sebab
itu Hazrat Masih Mau’udAS telah bersabda supaya menghindari
dosa-dosa itu, malah untuk seorang mukmin, tidak cukup hanya setakat itu
sahaja, tetapi ini adalah satu perintah Al-Qur’an iaitu jangan hanya
menghindari dosa-dosa malah kamu juga harus berlumba-lumba dalam melakukan
kebaikan.
Hazrat Masih Mau’udAS bersabda: “Seorang insan hendaklah
berbuat kebaikan dengan menghindari dosa-dosa dan beribadat serta taat kepada
Allah Ta’ala. Apabila mereka terhindar dari dosa-dosa dan mula beribadat kepada
Allah, maka hatinya akan dipenuhi dengan berkat”.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 610)
Oleh itu, mulailah sekarang agar kita tanamkan kecintaan dan ketaatan
kepada khilafat. Apa sahaja nasihat daripada Khalifah, usahakan dapat diikuti
dan ditaati. Meninggalkan benda-benda yang tidak berfaedah, meninggalkan
minuman keras, meninggalkan amalan merokok, dan sebagainya. Siapa yang berani
merokok dan minum minuman keras di hadapan khalifah? Sudah tentu siapa pun
tidak akan berani kerana yakin bahawa khalifah akan marah kepadanya. Jadi,
sebagai tanda mentaati dan mencintai khalifah, kenapa kita tidak tinggalkan
sahaja, malah sesetengah orang merasa tidak bersalah jika merokok di hadapan
muballigh, di hadapan sekretari dan lain-lain. Jadi, fikirkan perkara ini
dengan mendalam.
Jadi, lelaki dan wanita hendaklah ingat bahawa untuk mendapatkan kurnia
daripada nikmat khilafat ini mestilah menjadi ‘abid yang hakiki dan mengamalkan
segala perintah-Nya sesuai denga firman Allah: WA AQIIMUS SHOLAATA WA AATUZ ZAKAATA WA
ATHII’UR RASUULA LA’ALLAKUM TURHAMUUN, yakni; Dan dirikanlah solat, dan bayarlah zakat, dan
taatlah kepada Rasul supaya kamu mendapat rahmat.
Sebab itu, berusahalah untuk itu dan tinggikan darjat kamu. Semoga
Allah Ta’ala memberi kita semua taufik.