MALFOOZAAT
HAZRAT MASEEH MAU’UD ALAIHISSALAM
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
MENYEMBUNYIKAN AMALAN ADALAH BAIK
Demikianlah juga tentang dunia ini, ia merupakan darul ibtila. Adalah lebih baik jika suatu amalan itu disembunyikan dan terhindar daripada riak. Orang yang amalannya semata-mata kerana Allah Ta’ala, dia tidak akan mempamerkan amalannya kepada sesiapa pun juga. Mereka inilah orang muttaqi.
Saya telah melihat dalam Tazkiratul Aulia, bahawa dalam suatu perkumpulan ada seorang tua membuat permohonan bahawa dia memerlukan sejumlah wang sekiranya ada orang yang boleh menolongnya. Ada seseorang telah memberikannya seribu Rupiah. Orang tua itu mengambil duit dan mula memberi pujian atas sikap dermawan dan kemurahan hati orang berkenaan. Atas hal itu, orang tersebut menjadi sedih bahawa jika di sini sudah diberi pujian, mungkin akan terhindar dari ganjaran di akhirat. Tidak berapa lama dia datang kembali dan mengatakan bahawa duit itu kepunyaan ibunya dan tidak bercadang memberikannya. Dia mengambil kembali duit tersebut. Semua orang melaknatnya dan mengatakan dia pendusta, dia memang tidak mahu memberikan duitnya. Apabila tiba waktu petang, orang tua itu balik ke rumah. Orang itu telah pergi kepadanya dengan membawa seribu Rupiah dan berkata; tuan memuji saya di khalayak umum menyebabkan saya terhindar dari ganjaran di akhirat, sebab itu saya sengaja mereka-reka alasan. Sekarang duit ini adalah kepunyaan tuan, tetapi jangan disebut di hadapan sesiapa. Orang tua itu menangis dan berkata; sekarang ini kamu akan dilaknat sehingga hari kiamat kerana kejadian tadi diketahui oleh semua yang hadir, dan tidak ada sesiapa pun yang tahu bahawa engkau telah kembalikan wang ini kepada saya.
Seorang muttaqi itu berperang melawan nafsu amarahnya dan menyembunyikan fikirannya. Tetapi, Allah Ta’ala selalu menzahirkan fikiran-fikiran yang tersembunyi seperti seorang penjahat yang inginkan agar rancangan jahatnya tidak diketahui. Demikian juga seorang muttaqi mendirikan solat secara sembunyi-sembunyi dan risau jika ada yang melihatnya. Seorang muttaqi yang hakiki menginginkan sejenis sattar (tutupan). Tingkatan ketakwaan itu banyak, tetapi untuk takwa itu adalah sulit dan seorang muttaqi itu dalam keadaan berperang sedangkan orang soleh di luar peperangan ini. Sebagaimana misal yang telah saya berikan di atas iaitu riak, di mana setiap saat orang muttaqi itu sentiasa berperang.
PERANG ANTARA RIAK DAN LEMAH-LEMBUT
Biasanya riak dan lemah-lembut selalu berperang. Kadang-kadang kemarahan seorang insan mencapai tahap bertentangan dengan Kitabullah. Mendengar cacian menyebabkan emosinya tidak tenang. Takwa mengajarkan kepadanya agar berpaling dari kemarahan sebagaimana Al-Qur’an menyatakan: WA IDZAA MARRU BIL LAGHWI MARRU KIROOMA (Al-Furqan:73). Demikianlah dia sentiasa berperang dengan ketidaksabaran. Ketidaksabaran bermaksud perlawanan yang begitu sulit pada jalan Tuhan, yakni dia begitu sukar untuk mencapai destinasinya, sebab itu dia selalu hilang sabar. Sebagai contoh, satu lubang perigi harus dikorek 50 hasta, jika berhenti selepas mengorek dua empat hasta, itu adalah fikiran jahat. Sekarang, syarat ketakwaan ialah apa pun yang telah diperintahkan oleh Allah, ia hendaklah dilaksanakan hingga ke akhirnya, jangan menjadi orang yang hilang kesabaran.
DUA KUMPULAN DALAM JALAN KEBAIKAN
Dalam jalan kebaikan ada dua kumpulan yang berberkat. Satu ialah mereka yang menjaga kehormatan agama, iaitu mengharungi perkara-perkara yang berat misalnya disiplin dalam peraturan syariat dan mendapat keselamatan. Kedua ialah melangkah terus ke hadapan. Tanpa rasa penat terus melangkah sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Tetapi, firqah yang tidak berhasil adalah mereka yang melangkah dengan kehormatan agama, tetapi tidak mengikuti tingkat kebaikan. Mereka ini boleh mencapai tahap atheist (tidak percaya kepada Tuhan). Sebagai contoh orang selalu memperkatakan bahawa kami juga solat, merintih, tetapi tidak membawa apa-apa manfaat. Sebagaimana seorang yang ditolong oleh Al-Masih menceritakan bahawa punca dia menjadi Kristian ialah pada mulanya dia telah pergi kepada mursyid-mursyid, terus-menerus merintih, tetapi tidak memberi apa-apa faedah, maka dengan fikiran jahatnya dia telah menjadi Kristian.
SIDDIQ DAN SABAR
Jadi, orang yang tidak sabar, mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka seorang muttaqi juga berperang dengan ketidaksabaran. Di Bustan ada cerita mengenai seorang abid (ahli ibadah). Setiap kali dia mengerjakan ibadah, maka Hatif (malaikat yang mengeluarkan suara ghaib) bersuara bahawa ‘engkau mardud dan makhzul’. Satu kali seorang muridnya mendengar suara itu dan berkata; sekarang inilah keputusannya. Sekarang ini apa faedahnya duduk bangun. Kemudian abid tadi banyak menangis dan berkata ke mana saya harus pergi meninggalkan sisi-Nya. Jika saya terlaknat, biarlah saya terlaknat. Syukurlah saya dikatakan sebagai orang terlaknat.
Perbualan itu berlaku dengan muridnya sehinggalah suara datang mengatakan engkau terkabul. Jadi, semua ini adalah hasil daripada siddiq dan kesabaran yang merupakan syarat kepada ketakwaan.
ISTIQOMAH
Ayat yang berbunyi WALLADZIINA JAAHADUU FIINAA LANAHDIYANNAHUM SUBULANAA (Al-Ankabut:70) yakni kamu akan menemui jalan mujahadah pada jalan Kami. Maksudnya di sini ialah pada jalan itu kamu bergabung bersama utusan dengan bersungguh-sungguh. Berpaling tadah setelah bergabung selama hanya satu dua jam bukanlah pekerjaan seorang mujahid, tetapi pekerjaan mujahid itu adalah sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawa. Jadi, ciri seorang muttaqi ialah istiqomah sebagaimana dikatakan INNAL LADZIINA QOOLUU ROBBUNAL LAAHU TSUMMAS TAQOMUU (Ha Mim Sajadah:31) yakni mereka yang mengatakan bahawa Rob kami adalah Allah kemudian memperlihatkan istiqomah, dan ke mana pun mereka palingkan muka, mereka hanya mencari Allah. Maksudnya di sini ialah kejayaan itu bergantung kepada istiqomah dan dia mengenali Allah dan tidak takut dengan sebarang bala, goncangan dan ujian. Keputusannya yang pasti ialah mereka akan mengalami mukhatibah wa mukalimah Ilahi seperti para nabi-nabi.
UJIAN PERLU UNTUK MENJADI WALI
Banyak orang yang datang ke sini berkeinginan supaya sekali tiup terus sampai ke Arasy dan bersama dengan orang-orang yang berjumpa Tuhan. Orang-orang seperti itu hanya berjenaka. Cuba lihat keadaan para nabi. Adalah salah jika dikatakan bahawa ratusan orang pergi kepada seorang wali lalu segera menjadi wali. Allah Ta’ala berfirman: AHASIBAN NAASU AIYUTRAKUU AIYAQUULUU AAMANNAA WAHUM LAA YIFTANUUN (Al-Ankabut:3) selagi insan belum diuji, belum diletakkan dalam fitnah, bagaimana mereka boleh menjadi wali?
Dalam satu majlis, Ba Yazid sedang memberi nasihat. Di sana juga ada anak kepada syeikh-syeikh dari silsilah yang begitu panjang. Mereka ada permusuhan dalaman dengan beliau. Inilah keistimewaan Allah Ta’ala iaitu tinggalkan keluarga-keluarga yang lama lalu ambillah seseorang yang lain. Sebagai contoh meninggalkan Bani Israil lalu mengambil Bani Ismail. Ini kerana mereka itu telah tenggelam dalam keasyikan dan keseronokan sehingga melupakan Tuhan. WA TILKAL AIYAAMU NUDAAWILUHAA BAINAN NAASI (Ali Imran:141) maka anak syeikh-syeikh itu berfikir; orang ini dari keluarga yang biasa sahaja. Dari mana orang seperti ini mendapat kelebihan sehingga orang ramai tunduk kepadanya dan meninggalkan kami. Perkara itu telah dizahirkan oleh Allah kepada Ba Yazid, kemudian beliau mula memperdengarkan cerita ini dalam bentuk kisah bahawa di suatu tempat dalam satu majlis yang sedang berlangsung, satu lampu sedang menyala di mana di dalamnya ada minyak bercampur air. Minyak dan air berbicara. Air berkata kepada minyak; engkau kotor dan dalam keadaan kotor itu berada di atas aku. Aku ini bersih dan digunakan untuk bersuci, tetapi aku berada di bawah. Apa punca sebenarnya? Minyak berkata: Sebanyak mana kesusahan yang telah aku alami, engkau tidak merasakan apa-apa. Sebab itu aku berada di bahagian atas. Satu zaman dahulu, ketika aku ditanam, aku berada tersembunyi di dalam bumi. Kemudian atas iradah Tuhan aku mula berkembang, tetapi tidak dapat berkembang kerana dipotong. Kemudian aku dibersihkan melalui berbagai kesulitan. Aku dihimpit dalam mesin perahan. Kemudian menjadi minyak dan dapat menyalakan api. Adakah selepas berbagai kesulitan seperti itu aku tidak mendapat kedudukan teratas?
Ini adalah satu perumpamaan bahawa ahlullah mendapat darjat selepas melalui musibat dan kesusahan. Orang itu berfikiran cetek jika menyatakan bahawa seseorang yang pergi kepada seseorang yang lain tanpa ada mujahadah dan penyucian, orang itu termasuk dalam golongan siddiq dengan serta merta. Lihatlah Al-Qur’an Syarif, bagaimana Tuhan redha atas kamu sekiranya kamu tidak mengalami musibat dan goncangan seperti yang diterima oleh para nabi, yang mana kadang-kadang begitu tersepit sehingga melafazkan HATTAA YAQUULAR RASUULU WALLADZIINA AAMANUU MA’AHUU MATAA NASHRULLAAH, ALAA INNA NASHRALLAAHI QORIIB (Al-Baqarah:215). Hamba-hamba Allah selalu diletakkan dalam musibah, kemudian selepas itu barulah Tuhan mengabulkan mereka.
(Malfoozaat Jilid 1, halaman 14-17)
>>>>>>>>>>>>>>> <<<<<<<<<<<<<<<
Diterjemahkan oleh
Salahuddin Syed Ali
Lingkungan, Sabah.
(20.10.2011)
No comments:
Post a Comment