Tuesday, March 29, 2011

Lembaran Tarbiyat 3 / 2011



NASIHAT UNTUK ANGGOTA JEMAAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Semua kemuliaan itu ada di tangan Allah. Banyak sudah orang-orang soleh yang berlalu dari dunia ini. Mereka itu bukan orang-orang dunia, cara hidup mereka begitu sederhana sehingga tidak ada yang bertanya kepada mereka, tetapi mereka semata-mata untuk Tuhan dan Tuhan menarik seluruh dunia ke arah mereka. Yakinlah sepenuhnya kepada Allah dan jangan berburuk sangka. Apabila mereka berburuk sangka kepada Tuhan, maka solat mereka tidak akan lurus, tidak juga puasa dan zakat mereka akan lurus. Buruk sangka akan menghilangkan kecantikan pohon iman, sepatutnya pohon iman itu berkembang disebabkan keyakinan.

Sebab itu saya berkali-kali menasihatkan anggota jemaatku bahawa sekarang ini adalah zaman kematian. Jika kamu menjalani kehidupan maut ini dengan hati yang bersih, maka kamu akan hidup dari kematian itu dan akan diselamatkan dari kematian yang hina.

Setiap mukmin akan mengalami keadaan bahawa jika dia ikhlas dan setia kepada Tuhan, maka Tuhan akan menjadi wali baginya. Tetapi jika tembok keimanan itu lemah, ia berhadapan dengan bahaya. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang. Isi dalam dada hanya Tuhan yang tahu. Tetapi, insan akan terperangkap dengan pengkhianatannya. Jika urusan dengan Tuhan tidak bersih, maka bai’at tidak memberi manfaat langsung kepadanya. Tetapi, jika kamu memang benar-benar kepunyaan Tuhan, maka Tuhan akan memeliharanya. Walaupun Dia adalah Tuhan bagi semua, namun bagi orang yang memberikan perhatian yang istimewa, maka Tuhan juga akan menunjukkan tajalli-Nya yang khas. ..... Saya berkali-kali juga menasihatkan kepada anggota jemaatku agar jangan merasa puas setelah bai’at sekiranya hati belum suci. Meletakkan tangan atas tangan apa manfaatnya sekiranya hati begitu jauh, demikian juga jika hati tidak selari dengan lidah, maka ikrarnya adalah munafik, orang seperti ini hendaklah ingat bahawa ada dua azab yang akan menimpanya. Tetapi, orang yang berikrar dengan betul, maka dosa-dosanya akan diampunkan, dan akan mendapat kehidupan yang baru.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 64)

NASIHAT KHAS UNTUK ANGGOTA JEMAAT

Hazrat Masih Mau’ud a.s berkata:-
“Zaman sekarang ini kelihatan sangat rosak. Banyak perkara syirik, bid’ah dan kerosakan lain telah muncul. Janji yang dibuat semasa bai’at iaitu “saya akan mengutamakan agama di atas dunia”, janji itu adalah janji di hadapan Tuhan. Jadi, peliharalah ia sehingga mati atau kamu tidak melafazkan janji bai’at itu. Tetapi, jika ia kekal maka Allah Ta’ala akan memberikan berkat atas agama dan dunia kamu. Bertakwalah dengan sempurna menurut kehendak Allah Ta’ala. Zaman ini sangat sukar sekali. Kemurkaan Tuhan sedang kelihatan. Mereka yang beramal sesuai dengan keinginan Allah Ta’ala, dia sebenarnya telah berlaku ihsan atas diri, keluarga dan anak-anaknya.

Lihat insan yang makan roti. Jika dia tidak makan mengikut ukuran yang sepatutnya, dia akan tetap merasa lapar. Adakah dia akan merasa kenyang jika hanya makan secubit roti? Sudah pasti tidak. Dan jika dia menitiskan setitis air ke lehernya, dia belum pasti selamat malah, dengan titisan air itu dia mungkin mati. Untuk menyelamatkan diri, dia perlu mengambil makanan yang secukupnya dan minum air mengikut kuantiti yang dikehendaki oleh tubuh. Demikian jugalah keadaan iman seseorang. Jika amalannya tidak mencapai tingkat yang sepatutnya, dia belum tentu selamat. Keimanan, ketakwaan dan mentaati perintah Tuhan haruslah dilakukan dengan cara yang sepatutnya sebagaimana seseorang yang mengambil makanan dan minuman untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga.” (Malfoozaat Jilid 3, halaman 68)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...