Monday, January 11, 2010

Syirik

SYARAT BAI'AT PERTAMA

"Pada masa akan datang hingga masuk ke dalam kubur, akan sentiasa menjauhi syirik".

Allah Tidak Mengampunkan Syirik

Dalam surah An-Nisa ayat 49, Allah Ta'ala berfirman:-






Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar".

Dalam hal ini, Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata: "Tuhan berfirman di dalam Al-Qur'an Wayaghfiru Maa Duuna Dzaalika... ... yakni setiap dosa ada keampunan dari Allah Ta'ala, tetapi syirik tidak akan diampunkan. Oleh sebab itu jangan cuba untuk mendekati syirik, dan anggaplah ia sebagai pohon terlarang".
(Dhamimah Tohfah Goleriah, Rohani Khazain Jilid 17, halaman 323-324, nota kaki)

Kemudian berkata: "Syirik di sini tidak hanya bermaksud menyembah batu dan sebagainya, malah salah satu syirik juga adalah memuja benda-benda serta kecenderungan begitu kuat ke arah keduniaan, ia juga termasuk dalam syirik". (Al-Hakam Jilid 7, Nombor 24, Tarikh 30 Jun 1903, halaman 11)

Kemudian di dalam Al-Qur'an, Allah Ta'ala berfirman:-






(Luqman:14)

Terjemahannya ialah: "Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".

Rasulullah(saw) risau tentang umatnya terhadap syirik. Dalam satu hadis dikatakan bahawa Ubadah memberitahu kepada kami tentang Syadad Bin Aus yang sedang menangis. Dia ditanya; "kenapa tuan menangis?" Dia menjawab; "Aku teringat satu perkara yang telah kudengar dari Rasulullah(saw), sehingga menyebabkan aku menangis. Aku mendengar Rasulullah(saw) bersabda bahawa "aku risau atas umatku tentang syirik dan keinginan-keinginan nafsu yang tersembunyi". Perawi mengatakan; "saya bertanya, ya Rasulullah(saw)! Adakah umatmu akan melakukan syirik selepas tuan pergi?" Maka Rasulullah(saw) menjawab: "Ya! Memang umatku tidak akan memuja matahari dan bulan, batu dan patung-patung, tetapi mereka riak dalam amalan mereka dan tenggelam dalam keinginan-keinginan yang tersembunyi. Dan jika ada di antara mereka yang berpuasa pun, kemudian ada pula keinginan-keinginan mereka yang ingin ditunaikan, maka mereka akan meningggalkan puasa untuk menyempurnakan keinginan-keinginan nafsu mereka". (Masnad Ahmad Bin Hambal, Jilid 4, halaman 124, cetakan Beirut)


Jenis-jenis Syirik

Dari hadis di atas jelas bahawa, walaupun syirik yang zahir itu tidak berlaku seperti pemujaan berhala, batu, bulan dan sebagainya, namun riak dan mengikuti nafsu juga termasuk dalam kategori syirik. Jika ada seorang pekerja terlalu memuja-muja pegawai atasannya dan mengikutinya kerana beranggapan bahawa pegawai itulah yang memberi rezeki kepadanya, maka ini juga termasuk dalam syirik.

Dan juga, jika ada ibu bapa yang terlalu yakin kepada anak-anaknya bahawa suatu hari nanti, anak-anaknya akan membesar, akan menjaga kami, kami boleh berehat, keluarga lain tidak dapat menandingi kami. Maksudnya, mereka meletakkan sepenuhnya harapan atas anak-anak, padahal anak-anak tidak dapat dijangkakan tahap kemampuan mereka, atau akan mengalami kemalangan, kematian dan sebagainya.

Hazrat Masih Mau'ud(as) berkata: "Tauhid bukan hanya setakat melafazkan di mulut kalimah Laa Ilaaha Illallaah sedangkan hati itu penuh dengan ribuan berhala. Orang yang mengagungkan rencana, penipuan dan rancangannya, atau bergantung kepada seseorang insan, yang mana sepatutnya dia bergantung kepada Allah Ta'ala, atau terlalu yakin dengan diri sendiri yang mana sepatutnya mengagungkan Allah Ta'ala, dalam keadaan-keadaan seperti itu, ia juga termasuk memuja berhala. Berhala tidak semestinya diperbuat daripada emas, perak, gangsa atau batu lalu disembah, tetapi suatu ucapan atau perbuatan yang diagungkan yang menjadi hak Tuhan, pada pandangan Allah itu semua adalah berhala. ... ... ...

Ingatlah bahawa tauhid hakiki yang dikehendaki oleh Tuhan untuk kita ikrarkan, yang mana dengan ikrar itu ada hubungannya dengan keselamatan, ketauhidan itu ialah menganggap suci kepada Zat Allah Ta'ala berbanding dengan sekutu-Nya samada berhala, insan, matahari, bulan, nafsu, atau kepandaian sendiri. Juga hendaklah yakin bahawa tidak ada yang boleh menandingi-Nya. Tidak ada Pemberi Rezeki selain daripada-Nya. Tidak lagi memikirkan Mu'iz dan Muzil yang lain. Tidak ada Nasir selain daripada-Nya. Kemudian, kecintaan yang istimewa juga hendaklah dijalinkan dengan-Nya, ibadat juga harus istimewa, kerendahan hati, harapan dan juga ketakutan hendaklah dibuat secara khusus atas-Nya.

Jadi, tauhid tidak akan sempurna tanpa tiga peringkat ini. Pertama, tauhid dari segi zat, selain daripada zat-Nya, semuanya harus dianggap batil dan akan mengalami kehancuran. Kedua, tauhid dari segi sifat, yakni tidak harus meletakkan sifat Rububiyat dan Uluhiyat pada yang lain selain Allah. Semua yang ada di dunia ini adalah hasil ciptaan Tuhan. Ketiga, tauhid dari segi kecintaan, kebenaran dan kesucian, yakni kecintaan dan sebagainya dalam memperhambakan diri, jangan pernah tunduk kepada sekutu Allah dan tenggelam di dalamnya". (Sirajuddin Isai Ke Car Sawalun Ka Jawab, Rohani Khazain jili 12, halaman 349-350)

Hazrat Khalifatul Masih Awal(ra) berkata mengenai hal ini:-

"Selain Allah Ta'ala, melibatkan sekutu-Nya dalam suatu nama, amalan, dan ibadat adalah syirik. Semua perbuatan yang dilakukan semata-mata mendapatkan keredhaan Allah Ta'ala disebut sebagai ibadat. Orang ramai mengakui bahawa tidak ada Pencipta selain dari Allah Ta'ala. Juga mengakui bahawa hidup dan mati adalah di tangan Tuhan, di dalam genggaman Tuhan yakni Allah berkuasa memberi perintah. Namun, dengan mengakui hal itu pun, insan masih lagi berani sujud kepada benda lain, berdusta dan berjalan mengelilingi benda lain. Insan meninggalkan zikir Ilahi dan pergi menyembah yang lain. Insan meninggalkan puasa Tuhan tetapi menunaikan puasa yang lain, dan tidak peduli terhadap solat kepada Tuhan tetapi taat pada solat terhadap benda lain, dan juga membayar zakat kepada benda itu. Bagi menjauhkan hal-hal seperti inilah Allah Ta'ala telah mengutus Rasulullah(saw)". (Khutbah Nur, halaman 807)

No comments:

Post a Comment

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...