Sunday, December 27, 2009

Perintah Untuk Mengambil Bai'at


PERINTAH MENGAMBIL BAI’AT

Selepas enam atau tujuh tahun kemudian, tiga bulan pertama dalam tahun 1888, Allah Ta’ala telah memberi perintah tentang bai’at. Perintah Allah itu ialah

(Isytihar 01 Disember 1888, halaman 2)

Yakni, apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah, dan buatlah bahtera di hadapan Kami dan berdasarkan kepada wahyu Kami, orang yang bai’at di tangan engkau, tangan Allah sebenarnya ada di atas tangan mereka.

Tabiat beliau(as) ialah, beliau(as) mahu orang yang bai’at itu sudah matang dalam fitrat mereka. Sebab itu beliau menunggu suatu saat yang baik, suatu masa yang boleh membezakan orang yang mukhlis dan munafik. Jadi, Allah Ta’ala telah memberikan satu kesempatan semasa kewafatan anak beliau(as) iaitu Basyir Awal pada bulan November 1888, dan keadaan pada masa itu banyak penentangan timbul daripada musuh-musuh untuk menjatuhkan beliau(as). Dan akhirnya beliau(as) mengumumkan pada awal Disember 1888 melalui satu isytihar. Hazrat Aqdas juga menyatakan agar datang mengambil bai’at selepas melakukan Istikharah. (Isytihar Takmil Tabligh, 12 Januari 1889)

Maksudnya, pertama sekali banyak berdoa, melakukan Istikharah dan kemudian datang mengambil bai’at.

Selepas isytihar tersebut, Hazrat Aqdas bertolak ke Ludhiana dari Qadian dan tinggal di rumah Sufi Ahmad Jaan. (Hayate Ahmad, Jilid 3, Bahagian Awal, halaman 1)

TUJUAN DAN MAKSUD BAI’AT

Kemudian, beliau(as) menulis lagi satu isytihar pada 4 Mac 1889 berkenaan dengan tujuan dan maksud daripada bai’at.

Beliau(as) menulis:-
“Silsilah ini hanyalah bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang yang bertakwa di bawah satu Jemaat, supaya satu kelompok orang-orang muttaqi seperti itu dapat meletakkan amalan baik mereka di dunia dan juga kewujudan mereka dapat menjadi sarana terbaik untuk keagungan Islam. Dan mereka sejalan dengan Kalimah Tauhid agar dapat mengkhidmati Islam yang suci. Dan mereka juga bukan seorang Islam yang pemalas, bakhil dan kedekut. Dan juga mereka jangan menjadi seperti orang-orang  kebanyakan, yang mana disebabkan suatu perbezaan dan ketidaksepakatan mereka, Islam mendapat kehinaan yang teruk, dan wajah Islam yang begitu cantik telah diletakkan bintik-bintik kefasikan mereka. Dan juga jangan menjadi seperti orang-orang darwesy yang mana mereka tidak mengetahui apa yang diperlukan oleh Islam, mereka juga tidak ada perikemanusiaan langsung terhadap saudara-saudara mereka, tidak ada semangat untuk membuat kebaikan kepada manusia. Tetapi mereka seharusnya menjadi kaum yang memberi perlindungan kepada orang-orang miskin, menjadi bapa kepada anak-anak yatim, dan mereka bersedia memberikan pengorbanan untuk mengkhidmati Islam dengan penuh keasyikan. Dan semua yang mereka usahakan itu adalah bertujuan supaya berkatnya tersebar di dunia dan kecintaan terhadap Ilahi dan kasih sayang terhadap hamba-hamba muncul dari hati setiap orang, kemudian berkumpul di suatu tempat lalu kelihatan mengalir ibarat lautan. ... ... Tuhan menciptakan Jemaat ini adalah untuk menzahirkan kekuatan-Nya dan memperlihatkan Kudrat-Nya, kemudian memberikan kemajuan supaya di dunia ini akan tersebar kecintaan terhadap Ilahi, taubat nasuha, kesucian, kebaikan yang hakiki, keamanan dan kasih sayang terhadap sesama makhluk. Jadi, kelompok ini adalah satu kelompok yang khas, Dia akan memberi kekuatan dari ruhnya dan membersihkan mereka dari kekotoran. Kemudian, hidup mereka akan berubah kepada kesucian. Dan sebagaimana yang telah Dia janjikan iaitu Dia akan menyebarkan Jemaat ini dan akan memasukkan ribuan orang-orang sodiq ke dalamnya, Dia sendiri yang akan menjaga dan menghiasinya, sehingga jumlah dan berkatnya kelihatan suatu yang ajaib pada pandangan mata. Dan ia menjadi seperti lampu pelita yang diletakkan di tempat yang tinggi lalu memancarkan cahayanya ke empat penjuru dunia, dan ia menjadi contoh berkat bagi Islam. Dan berkat yang akan diperolehi oleh pengikut-pengikut setianya akan lebih banyak berbanding orang lain, dan sehingga hari kiamat akan lahir orang-orang yang akan diterima dan ditolong. Ini yang diinginkan oleh Tuhan Rabbul Jalil, Dia Maha Qadir, Dia melakukan apa yang diinginkan-Nya. Setiap kekuatan dan kudrat ada pada-Nya”.

Dalam isytihar ini, beliau(as) memberi maklumat bahawa orang-orang yang hendak bai’at harus berada di Ludhiana selepas 20 Mac. (Tabligh Risalat, Jilid Awal, halaman 150-155).

Permulaan Silsilah Bai’at

Akhirnya pada 23 Mac 1889, Hazrat Masih Mau’ud(as) telah mengambil bai’at di rumah Sufi Ahmad Jaan Sahib.

Pada masa itu, Huzur(as) memanggil seorang demi seorang ke dalam bilik dan mengambil bai’at mereka. Orang pertama sekali yang mengambil bai’at ialah Hazrat Maulana Nuruddin(ra). Dalam memberi nasihat kepada orang-orang yang bai’at, beliau(as) berkata:-

            “Apabila memasuki Jemaat ini, pertama sekali hendaklah membuat perubahan dalam kehidupan. Keimanan kepada Tuhan hendaklah kukuh dan menjadi sandaran dalam setiap musibah. Dan jangan memandang rendah dalam perintah-perintah-Nya, malah setiap perintah-Nya harus diagungkan dengan cara mengamalkannya”.

            “Meletakkan sandaran kepada benda-benda dunia dan yakin sepenuhnya atas benda itu dengan meninggalkan rasa tawakkal kepada Tuhan adalah syirik. Seolah-olah mengingkari kewujudan Tuhan. Sarana dunia boleh digunakan selagi tidak mengarahkan kepada syirik. Mazhab kita tidak melarang sarana-sarana duniawi tetapi bergantung penuh atasnya adalah dilarang”.

Beliau(as) berkata:-
            “Lihat! Orang-orang yang telah bai’at dan berikrar, mengatakannya dengan lidah adalah mudah, tetapi amat sukar untuk menghayatinya. Ini kerana syaitan sedang berusaha untuk menjadikan insan tidak peduli kepada agama. Dia memperlihatkan dunia itu mudah bersama dengan faedah-faedahnya yang menarik serta menjauhkan agama daripada mereka. Dengan itu, hati menjadi keras dan kehidupan yang seterusnya menjadi lebih buruk berbanding sebelumnya. Jika hendak menjadikan Tuhan itu redha, maka hayatilah lafaz ikrar untuk menjauhi dosa dan tanamkan keberanian serta usaha gigih.”

Berkata lagi:-
            “Jangan memperkatakan tentang fitnah, jangan sebarkan kejahatan, bersabarlah atas penghinaan, jangan bertindak melawan sesiapa, orang yang hendak bertengkar, perlihatkan adat yang baik dan lemah lembut kepada mereka. Pamerkan ucapan-ucapan yang baik. Amalkanlah setiap perintah dengan hati yang tulus agar Tuhan redha. Selepas bai’at, permusuhan yang ada hendaklah ditamatkan. Berikanlah kesaksian yang benar di mahkamah. Orang-orang yang masuk dalam Jemaat ini hendaklah dengan sepenuh hati, penuh keberanian dan seluruh jiwa akan akan melakukan kebenaran.” (Zikir Habib, halaman 436-439)

Dalam bulan Mac 1903, semasa Hari Raya, beliau(as) berkata di hadapan beberapa sahabat yang sedang duduk:-
            “Lihat! Tuan-tuan yang telah bai’at pada waktu ini dan yang sebelumnya telah bai’at, saya memberikan beberapa nasihat, oleh itu dengarkanlah baik-baik.”

            “Bai’at anda semua ini adalah bai’at taubat. Taubat itu ada dua jenis. Taubat yang pertama ialah memohon keampunan atas dosa-dosa sebelumnya dan berusaha memperbaikinya, dan berusaha menjauhi dosa-dosa pada masa akan datang dan menghindari diri daripada api dosa-dosa itu.
           
            Allah Ta’ala telah berjanji akan mengampunkan semua dosa-dosa sebelumnya dengan syarat taubat itu dibuat dengan hati yang suci dan ikhlas, serta tidak ada niat atau tujuan lain di sebalik itu. Tuhan mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati. Tuhan tidak boleh ditipu. Oleh sebab itu, jangan cuba untuk menipu Tuhan, bertaubatlah dengan penuh kebenaran dan bukannya kemunafikan. Taubat itu bukannya tidak bermanfaat untuk insan, dan ia bukan hanya untuk kiamat, tetapi dengan taubat itu, keduniaan dan agama seseorang boleh menjadi lurus. Dan mereka akan mendapat kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat nanti.”
(Malfoozat Jilid 5, halaman 187, 188)


Monday, December 21, 2009

Kesalahfahaman Atas Mirza Ghulam Ahmad


Salah faham terhadap Hazrat Mirza Ghulam Ahmad

Setelah Mirza Ghulam Ahmad mendakwakan diri sebagai Imam Mahdi dan sebagai Al-Masih yang dijanjikan, banyak pihak yang telah menentang beliau. Tentangan itu tidak hilang hingga hari ini. Beliau difitnah dengan pelbagai tohmahan yang datang dari pelbagai sudut, samada dari pihak Islam sendiri mahupun dari penganut agama-agama lain.

Beliau difitnah mengaku sebagai nabi baru yang mendakwa menerima banyak wahyu dari Tuhan, dituduh tidak percaya kepada konsep Khataman Nabiyyin yang disandang oleh Yang Mulia Nabi Muhammad s.a.w, merubah kandungan ayat-ayat Al-Quran dan macam-macam fitnah yang lain.

Fitnah yang paling besar dilemparkan kepada pengikutnya hari ini ialah, Jemaah Ahmadiyah memiliki nabi baru iaitu Mirza Ghulam Ahmad dan memliki kitab suci sendiri iaitu Tazkirah. Tetapi sejauh manakah kebenaran fitnah-fitnah itu?

Artikel ini disusun untuk membetulkan kesalahfahaman tentang pendakwaan Hazrat Mirza Ghulam Ahmad dan diharapkan dapat membuka minda para pembaca sekalian. Diharapkan juga artikel ringkas ini dapat menjadi pedoman kepada mereka yang benar-benar memiliki hati bersih dari segala fitnah.

Adakah Mirza Ghulam Ahmad itu mengaku Nabi atau bukan?

Perhatikan ucapan-ucapan beliau di bawah.

Kenyataan pertama:
suatu kebodohan yang lainnya ialah bahawa, untuk menghasut orang-orang yang bodoh,  mereka menyatakan bahawa saya mendakwakan diri sebagai Nabi. Ini adalah rekaan yang sempurna dari pihak mereka” (Haqiqatul Wahi, 1907, halaman 390)

Kenyataan kedua:
dengan menyatakan ‘tiada nabi sesudahku’, Nabi s.a.w menutup secara mutlak kepada seorang nabi baru atau datangnya kembali seorang nabi lama” (Ayyame Sulh hal.152,  Ruhani Khazain jilid 14, hal. 400)

Kenyataan ketiga:
biarlah menjadi jelas kepada mereka bahawa saya mengutuk orang yang mendakwakan diri kepada kenabian. Saya pegang pendapat bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya, dan saya percaya berakhirnya kenabian pada Nabi s.a.w. Jadi, kerana tiada pendakwaan KENABIAN dari pihak saya, hanya pada wali dan Mujaddid.” (Majmu’ah Isytiharat, edisi lama jilid III hal. 224)

Kenyataan keempat:
salah satu keberatan dari mereka yang mengatakan saya kafir adalah mereka berkata: Orang ini menyatakan diri kepada Kenabian dan berkata saya adalah salah satu daripada nabi-nabi. Jawapannya, adalah kalian harus tahu, wahai saudara, bahawa saya tidak mendakwakan diri kepada kenabian, ataupun saya telah berkata bahawa saya adalah seorang nabi. Tetapi mereka terburu-buru dan membuat satu kesalahan dalam memahami kata-kata saya ... itu, tidak layak bagi saya bahawa saya akan menyatakan diri kepada kenabian dan meninggalkan Islam dan menjadi seorang tidak beriman ... Bagaimana saya dapat menyatakan diri kepada kenabian sedangkan saya seorang Muslim?”...(Hamamat al-Bushra, hal 79, Ruhani Khaza’in, jilid 7, hal.296-297)

Mengapa timbul kesalahfahaman bahawa Mirza Ghulam Ahmad dianggap nabi?

Mirza Ghulam Ahmad memang menyatakan bahawa beliau adalah nabi (bahkan bila Allah menyebut demikian sekalipun) tetapi hanya dalam erti kiasan, seperti erti nabi yang terjadi di pustaka sufi, sebagai terminologi yang sudah umum yang dapat diterima sebagai penerima komunikasi dengan Tuhan. Dalam terminologi Islam, hal ini disebut sebagai Muhaddas (Tuhan berbicara kepadanya).

Apa penjelasan Mirza Ghulam Ahmad tentang hal ini:
“kata-kata ini dengan jalan kiasan, seperti digunakan juga dalam Hadis kata ‘nabi’ untuk Masih Mau’ud (Al-Masih Yang Dijanjikan)...Dan dia yang mengungkap berita ghaib, yang telah diterima dari Tuhan, disebut “nabi” dalam bahasa Arab. Erti dalam terminologi Islam adalah lain. Di sini hanya dalam erti lughowi (linguistik) saja yang dimaksudkan” (Arbai’in no.2)

Julukan sebagai Nabi dari Tuhan untuk Masih Mau’ud, yang terdapat di dalam Hadis Sahih Muslim dan lain-lain, dari lidah yang diberkati dari Nabi Muhammad saw diertikan dalam erti kiasan, sama dengan yang terjadi di pustaka Sufi sebagai terminologi umum yang diterima sebagai Penerima Komunikasi dengan Tuhan. Kalau tidak, bagaimana dapat muncul seorang nabi (misalnya kemunculan Nabi Isa semula)  setelah Khataman-nabiyyin?” (Anjam Atham, footnote, hal.28)

Pertanyaan: Dalam buku Fathi Islam, anda telah mendakwakan diri sebagai Nabi (kepada kenabian). Jawab: Tidak ada pendakwaan kepada kenabian. Sebaliknya pengakuan adalah kepada Muhaddasiyat yang telah diperintahkan oleh Tuhan.” (Izala Autham, hal. 421-422, Ruhani Khaza’in, jilid 3, hal. 320)

Sampai menjelang akhir hayatnya, beliau tetap menyatakan bahawa sebutan nabi itu hanya dalam erti kiasan, seperti dalam pernyataan berikut:
Saya disebut Nabi oleh Allah dalam erti kiasan bukan dalam erti yang sebenarnya”..(Haqiqatul Wahi, 1907, 14)

BUKU TAZKIRAH – yang berisi kumpulan wahyu dari Allah swt
Perlu diketahui, Mirza Ghulam Ahmad tidak tahu menahu tentang buku yang berjudul Tazkirah ini. Penyusun buku Tazkirah ini adalah pengikut beliau dan disusun beberapa tahun setelah beliau wafat. Isi kandungannya adalah ‘wahyu-wahyu’ (ilham-ilham) dari Allah swt kepada Mirza Ghulam Ahmad yang beliau tulis pada berbagai tulisan (buku-buku, majalah-majalah ataupun catatan harian) beliau. 

Hal ini sangat berbeza dengan Al-Quran Suci, yang penyusunannya dilakukan sendiri oleh yang Mulia Nabi Muhammad saw semasa Baginda masih hidup. Kesimpulannya, fakta yang jelas ialah Mirza Ghulam Ahmad dan pengikutnya tidak berkitabkan Tazkirah dan tidak menggantikan Al-Quran dengan buku Tazkirah ini. Jika ada yang mengatakan bahawa Ahmadiyah menjunjung tinggi Tazkirah lebih  daripada Al-Quran, itu adalah fitnah.

Tentang masalah ‘wahyu’, perlu dijelaskan terlebih dahulu bagaimana cara Tuhan berfirman kepada manusia. Terdapat  tiga cara bagaimana Tuhan berkata-kata kepada manusia seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Syura ayat 51 yang berbunyi:
“Dan bagi manusia, tiada Allah akan berfirman kepadanya kecuali dengan wahyu(wahy),  atau dari belakang tirai, atau dengan mengutus utusan dan mewahyukan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Suci dan Maha Bijaksana”

Jadi ada 3 cara:
Pertama: dengan wahyu. Erti asal wahyu ialah isyarat yang cepat.  Firman yang diberikan dengan cara ini merupakan ilham yang masuk dalam kalbu, seperti isyarat cepat dan langsung diilhamkan dalam hati orang yang menerima ilham.
Dengan cara inilah firman Allah yang dalam Al-Quran diberikan kepada ibu Nabi Musa a.s (Q.28:27) dan kepada para murid Nabi Isa a.s (5:111). Mereka itu bukan di antara para nabi, tetapi Allah swt berkata-kata kepada mereka juga

Kedua: dari belakang tirai. Cara ini seperti di belakang tirai, misalnya ada suara atau pemandangan yang diperlihatkan dalam ru’ya (mimpi). Tentang ru’ya ini terdapat dalam Hadis Bukhari yang menyatakan sebagai berikut:
“diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda, “takkan ada yang tertinggal dari kenabian kecuali khabar baik (mubasyarot).” Mereka bertanya, “Apakah khabar baik (mubasyorat) itu ya Rasulullah?”. Nabi saw bersabda “Mimpi yang baik (Ru’ya Sholihah)” (Ringkasan Shahih Bukhari. Disusun oleh Imam Az-Zabidi, Kitab Tafsir tentang mimpi, Bab 3, 2178, hal.903)

Dan diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a:
“Rasulullah saw pernah bersabda, “Mimpi baik (ru’ya hasanah) orang mukmin yang soleh adalah satu dari 46 tanda-tanda kenabian” (Ringkasan Shahih Bukhari, disusun oleh Imam Az-Zabidi, kitab tentang tafsir mimpi, Bab 1, 2176 hal.903)

Ketiga: dengan mengutus utusan (malaikat Jibril) dan membacakannya. Biasanya disebut dengan ‘wahyu matluw’ (wahyu yang dibacakan)
Dengan cara inilah ayat-ayat  AlQuran (dan tentunya kitab-kitab sebelumnya) difirmankan kepada para nabi. Hal ini dapat dilihat dalam ayat berikut:
“ Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau suatu Kitab yang membangkitkan ruh dengan perintah kami...” (Q.42:52)

Dan juga ayat berikut:
“Dia menurunkan malaikat dengan (membawa) wahyu atas perintah-Nya kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya, firman-Nya: Berilah peringatan bahawa tiada Tuhan selain Aku. Maka bertakwalah kepada-Ku” (Q.16:2)

Wahyu yang berisi syariat disebut Wahyu Nubuwwah (wahyu kenabian), sedangkan wahyu yang tidak berisi syariat baru, yang biasa diterima oleh para Wali disebut Wahyu Walayat (Wahyu Kewalian).

Oleh kerana Al-Quran adalah syariat yang sempurna (Q.5:3) maka tak akan ada lagi utusan (malaikat Jibril) yang membacakan syariat baru. Namun, walaupun tiada syariat yang baru lagi, malaikat tetap berbicara kepada hamba-Nya yang terpilih. Tiada ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa setelah kewafatan Baginda s.a.w, Tuhan tidak akan berkata-kata lagi, bahkan sebaliknya dalam Al-Quran menyatakan:
“sesungguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah lalu mereka terus menerus tak henti-hentinya pada jalan yang benar, para Malaikat akan turun kepada mereka, ucapnya: Jangan takut dan jangan berduka-cita, dan terimalah khabar baik tentang syurga yang dijanjikan kepada kamu”. (Q.41:30)

Di dalam hadis juga (Hadis Bukhari dan Muslim) dalam buku “Kualiti para Sahabat” di bawah tajuk “Umar” yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda bahawa “di antara Muslim akan ada (muncul) orang-orang yang Tuhan berbicara kepadanya, dan orang seperti itu dinamakan Muhaddas”

Perlu dijelaskan bahawa, wahyu yang diterima oleh Mirza Ghulam Ahmad bukanlah wahyu yang mengandungi syariat atau ajaran baru tetapi wahyu diterima beliau adalah wahyu kategori wahyu kewalian. Lihat kenyataan berikut:
“Allah, Yang Maha Tinggi dalam Keagungan berfirman: “Allah tidak memberitahukan rahsia-Nya kepada sesiapa pun kecuali kepada utusan-Nya, iaitu mereka yang diangkat baik dengan wahyu kenabian (wahyu nubuwwah) atau dengan wahyu kewalian (wahyu wilayat)”. (Alhaq Mubahasa-i-Ludhiana, dari Clear Evidence Re Ahmadiyyah)


Dan kenyataan berikut:
“ini adalah keyakinanku bahawa Wahyu Nubuwwah, yang dimulai dari Adam, orang yang terpilih (Safi Allah) diakhiri dengan Nabi saw” (Majmu’a Istaharat, vol.2, p.230, dari Alhaq Mubahasa-i-Ludhiana)

Perkara penting yang harus diketahui tentang wahyu ialah Allah swt sejak dari dulu mendengar dan berfirman kepada hamba-Nya yang terpilih dan Suci. Begitu juga sekarang dan sampai akhir zaman, Allah swt masih mendengar dan berfirman kepada hamba-Nya yang Suci. Wahyu yang diterima oleh Mirza Ghulam Ahmad berisi ramalan, perintah, perunjuk, penjelasan, berita yang menggembirakan, janji Allah swt dan lain-lain.

Contoh wahyu yang isinya diberitahukan oleh Mirza Ghulam Ahmad kepada pengikutnya ialah seperti berikut:
 “Kamu adalah sebutir benih dari tangan Tuhan yang ditanam di dalam tanah. Allah berfirman bahawa benih ini akan tumbuh dan berkembang. Akan keluar cabang-cabangnya dari segala arah dan ia akan menjadi pohon yang besar.” (Al-Wasiat)

Mirza Ghulam Ahmad juga menerima ‘wahyu’ petunjuk dari Allah swt dan memberitahu kepada beliau bahawa Nabi Isa a.s telah wafat. (sebelum menerima wahyu petunjuk ini, Mirza Ghulam Ahmad juga berkeyakinan bahawa Nabi Isa a.s masih hidup di langit dan keyakinan beliau itu sama dengan keyakinan kaum Muslimin yang lainnya. Dalam penyelidikannya, beliau  menemukan tempat makam Nabi Isa a.s di Srinagar, Kashmir.

Tuduhan wahyu yang diterima adalah cuplikan Al-Quran
Bagi mereka yang sudah yakin bahawa Mirza Ghulam Ahmad itu memang Suci dan terpilih sebagai Mujaddid yang berpangkat  Imam Mahdi dan sebagai Al-Masih yang dijanjikan,  maka soal wahyu itu terserah kepada Allah swt. Tak kira wahyu itu adalah potongan daripada ayat-ayat Quran ataupun bukan ayat-ayat Quran, itu bukan urusan Mirza Ghulam Ahmad tetapi urusan Allah swt.

Bagi mereka yang belum meyakini bahawa Mirza Ghulam Ahmad itu Mujaddid yang berpangkat Imam Mahdi dan sebagai Al-Masih yang dijanjikan memang kurang memahami masalah ini.

Namun, para pembaca harus merenungkan bahawa selama bertahun-tahun (lebih kurang 20 tahun) Mirza Ghulam Ahmad selamat menerima wahyu dan beliau sendiri  merujuk kepada ayat Al-Quran (Q.69:44-47) bahawa kalau orang bukan memang datang dari Tuhan lalu mengaku atau mengarang cerita seolah-olah datang dari Allah, maka Allah swt akan mencabut urat jantungnya. Lihat ayat berikut:
Dan sekiranya ia membuat-buat cerita melawan Kami, nescaya ia akan Kami tangkap dengan tangan kanan, lalu Kami potong urat jantungnya. Dan tak seorang pun di antara kalian dapat menahan Kami dari dia”. (Surah Al-Haqqa, ayat 44-47)

“Maka celaka sekali (kecelakaan besar) bagi orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka lalu berkata: ‘ini adalah dari Allah’ agar mereka memperoleh harga (keuntungan) yang rendah (sedikit), maka celakalah mereka, kerana apa yang mereka tulis dengan tangan mereka, dan celaka sekali (kecelakaan besar bagi) mereka, kerana apa yang mereka usahakan (kerjakan)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 79)

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa orang palsu pasti akan dicabut urat jantungnya dan mendapat kecelakaan besar. Persoalannya, adakah Mirza Ghulam Ahmad dikecualikan oleh Allah swt bahawa beliau orang palsu tetapi diselamatkan atau tidak mendapat kecelakaan daripada Allah swt? Tidak dicabut urat jantungnya, padahal selama hampir 20 tahun beliau mendakwa terus menerus menerima ‘wahyu’ daripada Allah swt?. Kalau beliau itu palsu tidak mungkin Allah swt membiarkannya. Renungkanlah!!!

PERSOALAN  KHATAMAN NABIYYIN
Ramai yang keliru dan mendakwa Mirza Ghulam Ahmad tidak percaya bahawa erti Khataman Nabiyyin adalah Penutup para Nabi. Mereka silap dan tidak menyelidiki tulisan-tulisan Mirza Ghulam Ahmad. Mereka telah memfitnah yang bukan-bukan bahawa Mirza Ghulam Ahmad mengaku sebagai nabi yang akhir selepas kewafatan Rasulullah saw.

Sebenarnya, beliau menjelaskan bahawa Khataman Nabiyyin yang dimiliki oleh Rasulullah saw bererti nabi paling mulia dan juga bererti penutup para nabi dalam posisi masa. Mengapa beliau berkata demikian? Lihat kenyataan beliau:
“Al-Quran secara jelas menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw adalah Khatamul Anbiya. Tetapi lawan kita membuat Yesus Khatamul Anbiya, dan mereka berkata bahawa penyebutan  Masih sebagai nabi Tuhan dalam Shahih Bukhari dan di tempat lain menunjuk kepada kenabian yang sebenarnya.” (Kitab al-Bariyya, hal.191)

Jadi, dapat disimpulkan di sini bahawa Mirza Ghulam Ahmad menyatakan, yang menjadi Khatamul Anbiya adalah Jesus kerana Jesus  memang diyakini akan muncul semula selepas kewafatan Rasulullah saw. Jadi dalam hal ini, Mirza Ghulam Ahmad menjelaskan bahawa Khatamul Anbiya sebagai akhir (posisi masa) dari nabi-nabi. Perlu diperhatikan juga, Mirza Ghulam Ahmad ingin menjelaskan bahawa perkataan Nabi dalam Shahih Bukhari bukanlah merujuk kepada Nabi yang sebenarnya tetapi hanya merujuk kepada kedatangan Yesus yang akan muncul semula dalam wujud orang lain yang mempunyai  persamaan tugas dengan Yesus yang asal.

Perhatikan kenyataan beliau di bawah:
Allah berfirman: ‘Ia adalah Utusan Allah dan Khataman Nabiyyin’. Dan dalam Hadis: ‘Tiada nabi sesudahku’’..Bila nabi-nabi lainnya datang, apakah itu (nabi) baru atau lama, bagaimana mungkin Nabi Suci SAW sebagai Khataman nabiyyin?’ (Ayyam Sulh, hal.74, Ruhani Khaza’in, jilid 14, hal.308-309)

“Ayat Al-Quran berbunyi: ‘Hari ini Aku telah menyempurnakan untukmu agamamu’, dan Dia adalah utusan Allah dan Khataman Nabiyyin, telah berakhir kenabian dengan Nabi Muhammad saw. Dan itu telah dikatakan dengan jelas bahawa Nabi Muhammad saw adalah Khataman Nabiyyin” (Tuhfa Goleriya, hal.83, Ruhani Khaza’in, jilid 17, hal.74)

Saya yakin juga bahawa Nabi Muhammad adalah Utusan yang paling baik dan Khataman Nabiyyin, dan mereka yang membuat kebohongan terhadap saya yang mengatakan bahawa orang ini menyatakan diri sebagai nabi”. (Hamamatul Bushra, hal.8, Ruhani Khaza’in, jilid 7, hal.184)

Perlu diulangi sekali lagi untuk tatapan pembaca, kutipan wahyu Allah kepada Mirza Ghulam Ahmad seperti yang dinyatakan sebelum ini adalah merujuk kepada kenyataan bahawa setelah Nabi Muhammad s.a.w tiada lagi nabi:
“Maka sebagaimana sesungguhnya Tuhan kami itu Tuhan Yang Esa, Yang berhak disembah satu-satunya, demikian juga Rasul kita yang ditaati itu hanya satu, tiada ada Nabi sesudah Baginda dan tiada sekutu bersamanya, dan sesungguhnya Baginda itu Khataman Nabiyyin” (Minanur Rahman, hal. 39, pada Ruhani Khaza’in jilid IX. Additional Naazhir Isyaa’at London, 1984, hal.164)

Saturday, December 5, 2009

Bai'at (bai'ah) Dan Penjelasannya



Beberapa surat diterima dari saudara-saudara yang menyatakan bahawa kami telah memperbaharui bai’at kami, dan juga kami telah berikrar dan berjanji akan mematuhi syarat-syarat bai’at, tetapi kami tidak mengetahui dengan begitu jelas tentang apa sebenarnya syarat-syarat bai’at yang harus dipatuhi. Lalu saya terfikir dan merasa bahawa dalam kesempatan Jalsah Salanah ini, saya akan memberikan ceramah berkenaan tajuk ini. Oleh kerana ia satu karangan yang sangat panjang dan adalah mustahil untuk menjelaskan kesemua syarat-syarat bai’at itu di sini, jadi, saya akan jelaskan beberapa di antaranya, dan insyaAllah pada masa akan datang, perkara yang tertinggal akan dijelaskan dalam khutbah atau suatu kesempatan yang lain.

APA ITU BAI’AT?

Perkara pertama sekali yang perlu dijelaskan ialah apa sebenarnya maksud bai’at? Untuk menerangkannya, saya akan petik dari hadis dan kata-kata Hazrat Masih Mau’ud(as).

Huzur(as) berkata: “Makna sebenar bai’at ialah menjual diri. Berkat dan pengaruhnya sama seperti mana sebiji benih ditanam di bumi, keadaan permulaan yang terjadi ialah walaupun ia memang ditanam oleh seorang petani, namun dia tidak mengetahui apa yang akan terjadi selanjutnya? Tetapi, jika benih itu baik dan ada kekuatan di dalamnya, dengan kurnia Tuhan dan dengan usaha gigih petani itu tadi, ia akan muncul dan dari sebiji benih itu boleh menjadi ribuan benih yang lain. Demikian juga orang yang baru bai’at, pertama sekali mereka harus merendah diri dan berpisah dengan keinginan-keinginan nafsu sendiri, hanya dengan itu mereka mendapat kekuatan. Dan bagi mereka yang bai’at disertai dengan keinginan nafsu sendiri, mereka tidak akan mendapat kurnia”. (Malfoozaat Jilid Enam, halaman 173)

BAI’AT : MENYERAHKAN JIWA KEPADA ALLAH

Kemudian, beliau(as) berkata: “Bai’at itu ialah menyerahkan jiwa kepada Tuhan. Maksudnya ialah hari ini kami telah menyerahkan jiwa kami pada tangan Allah. Adalah satu kesalahan jika menganggap bahawa orang yang berjalan pada landasan Tuhan akan menanggung kesusahan. Orang yang sodiq (membenarkan) tidak akan rugi. Sebaliknya kerugian itu akan dialami orang yang kazib (mendustakan), iaitu yang memungkiri bai’at dan janjinya semata-mata untuk dunia. Orang yang berbuat seperti itu disebabkan takut kepada dunia, mereka hendaklah ingat bahawa tidak ada raja atau hakim yang boleh menyelamatkan mereka dari kematian. Perkara yang pasti ialah dia akan pergi kepada Ahkamul Hakimin (Allah) yang akan bertanya kepadanya; kenapa engkau tidak beri keutamaan pada-Ku? Sebab itu, setiap Mukmin amat perlu untuk beriman kepada Tuhan yang Malikus Samaawati Wal Ardh dan bertaubat dengan sebenar-benarnya”. (Malfoozaat Jilid 5, halaman 29 dan 30)

Dari kata-kata Hazrat Aqdas Masih Mau’ud(as) ini, jelas kepada kita apa yang dimaksudkan dengan bai’at. Jika semua di antara kita memahami bahawa sekarang ini zat kita bukan lagi kepunyaan diri kita, sekarang ini adalah masa untuk patuh kepada segala peraturan Allah Ta’ala, perlu taat kepada arahan-Nya dan setiap perbuatan kita adalah semata-mata kerana keredhaan Allah Ta’ala. Inilah rumusan daripada sepuluh syarat bai’at yang telah diikrarkan.

Sekarang saya akan berikan beberapa hadis yang menyentuh tentang perkataan bai’at ini.

Aizullah Bin Abdullah meriwayatkan bahawa Ubadah(ra) bin Samit adalah di antara sahabat yang telah menyertai perang Badar dan juga turut serta dalam bai’at Aqabah. Ubadah(ra) bin Samit memberitahu mereka bahawa Rasulullah(saw) menyatakan hal ini ketika para sahabat ada di sekeliling baginda(saw) membentuk satu kelompok. Rasulullah(saw) bersabda: “Kemarilah bai’at kepadaku atas syarat ini iaitu Allaa Tusyrikuu Billaahi Syai’an, yakni jangan sekali-kali menyekutukan Allah dengan suatu apa pun, jangan kamu berzina, jangan kamu membunuh anak-anak, jangan suka membuat tuduhan-tuduhan palsu, dan jangan kamu ingkari suatu perintahku yang baik.

Jadi, sesiapa di antara kamu yang telah menyempurnakan janji bai’at ini, maka ganjarannya ada di sisi Allah. Dan sesiapa yang menunjukkan kekurangan dalam janji ini, dan disebabkan itu dia mendapat hukuman di dunia ini, maka hukuman itu akan menjadi kafarah baginya. Dan sesiapa yang menunjukkan kekurangan dalam janjinya lalu Allah Ta’ala menyembunyikan kekurangannya, maka urusannya adalah di tangan Allah sendiri. Jika berkehendak, Dia boleh jatuhkan hukuman, dan jika mahu Dia boleh ampunkan. (Sahih Bukhari, Kitabul Manaqibul Anshar, Bab Wufudul Anshari Ilan Nabi Bimakkata Rabi’atul Aqabah)

Kemudian satu hadis yang lain ialah, Hazrat Ubadah bin Samit(ra) meriwayatkan bahawa kami telah bai’at kepada Rasulullah(saw) atas syarat-syarat ini iaitu kami telah dengar dan akan taat, dalam keadaan senang atau susah, suka atau duka, dan kami tidak akan melawan ulul amri, dan kami akan tetap atas yang hak di mana pun kami berada, dan tidak akan takut terhadap orang yang suka menakut-nakutkan. (Bukhari Kitabul Bai’ah, Bab Al-Bai’atu Alas Sam’a Wat Tho’ah)

Ummul Mukminin Hazrat Aisyah(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah(saw) mengambil bai’at wanita-wanita berdasarkan ayat 13 dari surah Al-Mumtahanah iaitu “Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia (bai’at), bahawa mereka tidak akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka, dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Hazrat Aisyah(ra) meriwayatkan bahawa ketika mengambil bai’at, Rasulullah(saw) tidak menyentuh tangan sesiapa kecuali jika ada wanita dari keluarga baginda(saw) sendiri. (Sahih Bukhari, Kitabul Ahkam, Bab Bai’atun Nisa)

Sebelum Hazrat Aqdas Masih Mau’ud(as) memulakan pengambilan bai’at, orang-orang yang berfitrat baik dan yang mencintai Islam merasakan bahawa pada waktu itu, untuk menyelamatkan Islam dari kemunduran, orang yang layak hanyalah Hazrat Mirza Ghulam Ahmad(as) Qadiani, yang juga merupakan Masih dan Mahdi. Jadi, mereka memohon agar beliau(as) mengambil bai’at, tetapi Huzur selalu menjawab Lastu Bima’muurin, iaitu ‘aku belum diperintahkan’.

Beliau(as) telah menulis secara berterus-terang kepada Maulvi Abdul Qadir Sahib(ra) melalui Mir Abbas Ali Sahib; “Dalam fitrat hamba yang lemah ini, memang unggul dalam ketauhidan dan penyerahan kepada Allah, dan ............... oleh kerana sehingga sekarang ini belum ada maklumat apa-apa dari Tuhan berkenaan bai’at, oleh itu tidak boleh melangkah dalam jalan yang dibuat-buat. La’allal Laaha Yuhdisu Ba’da Zaalika Amra. Maulvi Sahib teruskan berusaha dalam mengembangkan persaudaraan agama, dan sibukkan dalam memelihara pohon ini dengan sumber mata air keikhlasan dan kecintaan yang bersih, cara ini isyaAllah bermanfaat. (Hayate Ahmad, Jilid 2, Nombor 2 halaman 12-13)

(Dipetik dan diterjemahkan dari buku Syarait Bai’at Aur Hamari Zimmadariyan)

Makkah Al-Mukarramah

  Wahai anak-anak! Kita semua tahu bahawa alam ini diciptakan oleh Allah semata-mata untuk kekasih-Nya Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wa...