Sunday, December 27, 2009

Perintah Untuk Mengambil Bai'at


PERINTAH MENGAMBIL BAI’AT

Selepas enam atau tujuh tahun kemudian, tiga bulan pertama dalam tahun 1888, Allah Ta’ala telah memberi perintah tentang bai’at. Perintah Allah itu ialah

(Isytihar 01 Disember 1888, halaman 2)

Yakni, apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah, dan buatlah bahtera di hadapan Kami dan berdasarkan kepada wahyu Kami, orang yang bai’at di tangan engkau, tangan Allah sebenarnya ada di atas tangan mereka.

Tabiat beliau(as) ialah, beliau(as) mahu orang yang bai’at itu sudah matang dalam fitrat mereka. Sebab itu beliau menunggu suatu saat yang baik, suatu masa yang boleh membezakan orang yang mukhlis dan munafik. Jadi, Allah Ta’ala telah memberikan satu kesempatan semasa kewafatan anak beliau(as) iaitu Basyir Awal pada bulan November 1888, dan keadaan pada masa itu banyak penentangan timbul daripada musuh-musuh untuk menjatuhkan beliau(as). Dan akhirnya beliau(as) mengumumkan pada awal Disember 1888 melalui satu isytihar. Hazrat Aqdas juga menyatakan agar datang mengambil bai’at selepas melakukan Istikharah. (Isytihar Takmil Tabligh, 12 Januari 1889)

Maksudnya, pertama sekali banyak berdoa, melakukan Istikharah dan kemudian datang mengambil bai’at.

Selepas isytihar tersebut, Hazrat Aqdas bertolak ke Ludhiana dari Qadian dan tinggal di rumah Sufi Ahmad Jaan. (Hayate Ahmad, Jilid 3, Bahagian Awal, halaman 1)

TUJUAN DAN MAKSUD BAI’AT

Kemudian, beliau(as) menulis lagi satu isytihar pada 4 Mac 1889 berkenaan dengan tujuan dan maksud daripada bai’at.

Beliau(as) menulis:-
“Silsilah ini hanyalah bertujuan untuk menghimpunkan orang-orang yang bertakwa di bawah satu Jemaat, supaya satu kelompok orang-orang muttaqi seperti itu dapat meletakkan amalan baik mereka di dunia dan juga kewujudan mereka dapat menjadi sarana terbaik untuk keagungan Islam. Dan mereka sejalan dengan Kalimah Tauhid agar dapat mengkhidmati Islam yang suci. Dan mereka juga bukan seorang Islam yang pemalas, bakhil dan kedekut. Dan juga mereka jangan menjadi seperti orang-orang  kebanyakan, yang mana disebabkan suatu perbezaan dan ketidaksepakatan mereka, Islam mendapat kehinaan yang teruk, dan wajah Islam yang begitu cantik telah diletakkan bintik-bintik kefasikan mereka. Dan juga jangan menjadi seperti orang-orang darwesy yang mana mereka tidak mengetahui apa yang diperlukan oleh Islam, mereka juga tidak ada perikemanusiaan langsung terhadap saudara-saudara mereka, tidak ada semangat untuk membuat kebaikan kepada manusia. Tetapi mereka seharusnya menjadi kaum yang memberi perlindungan kepada orang-orang miskin, menjadi bapa kepada anak-anak yatim, dan mereka bersedia memberikan pengorbanan untuk mengkhidmati Islam dengan penuh keasyikan. Dan semua yang mereka usahakan itu adalah bertujuan supaya berkatnya tersebar di dunia dan kecintaan terhadap Ilahi dan kasih sayang terhadap hamba-hamba muncul dari hati setiap orang, kemudian berkumpul di suatu tempat lalu kelihatan mengalir ibarat lautan. ... ... Tuhan menciptakan Jemaat ini adalah untuk menzahirkan kekuatan-Nya dan memperlihatkan Kudrat-Nya, kemudian memberikan kemajuan supaya di dunia ini akan tersebar kecintaan terhadap Ilahi, taubat nasuha, kesucian, kebaikan yang hakiki, keamanan dan kasih sayang terhadap sesama makhluk. Jadi, kelompok ini adalah satu kelompok yang khas, Dia akan memberi kekuatan dari ruhnya dan membersihkan mereka dari kekotoran. Kemudian, hidup mereka akan berubah kepada kesucian. Dan sebagaimana yang telah Dia janjikan iaitu Dia akan menyebarkan Jemaat ini dan akan memasukkan ribuan orang-orang sodiq ke dalamnya, Dia sendiri yang akan menjaga dan menghiasinya, sehingga jumlah dan berkatnya kelihatan suatu yang ajaib pada pandangan mata. Dan ia menjadi seperti lampu pelita yang diletakkan di tempat yang tinggi lalu memancarkan cahayanya ke empat penjuru dunia, dan ia menjadi contoh berkat bagi Islam. Dan berkat yang akan diperolehi oleh pengikut-pengikut setianya akan lebih banyak berbanding orang lain, dan sehingga hari kiamat akan lahir orang-orang yang akan diterima dan ditolong. Ini yang diinginkan oleh Tuhan Rabbul Jalil, Dia Maha Qadir, Dia melakukan apa yang diinginkan-Nya. Setiap kekuatan dan kudrat ada pada-Nya”.

Dalam isytihar ini, beliau(as) memberi maklumat bahawa orang-orang yang hendak bai’at harus berada di Ludhiana selepas 20 Mac. (Tabligh Risalat, Jilid Awal, halaman 150-155).

Permulaan Silsilah Bai’at

Akhirnya pada 23 Mac 1889, Hazrat Masih Mau’ud(as) telah mengambil bai’at di rumah Sufi Ahmad Jaan Sahib.

Pada masa itu, Huzur(as) memanggil seorang demi seorang ke dalam bilik dan mengambil bai’at mereka. Orang pertama sekali yang mengambil bai’at ialah Hazrat Maulana Nuruddin(ra). Dalam memberi nasihat kepada orang-orang yang bai’at, beliau(as) berkata:-

            “Apabila memasuki Jemaat ini, pertama sekali hendaklah membuat perubahan dalam kehidupan. Keimanan kepada Tuhan hendaklah kukuh dan menjadi sandaran dalam setiap musibah. Dan jangan memandang rendah dalam perintah-perintah-Nya, malah setiap perintah-Nya harus diagungkan dengan cara mengamalkannya”.

            “Meletakkan sandaran kepada benda-benda dunia dan yakin sepenuhnya atas benda itu dengan meninggalkan rasa tawakkal kepada Tuhan adalah syirik. Seolah-olah mengingkari kewujudan Tuhan. Sarana dunia boleh digunakan selagi tidak mengarahkan kepada syirik. Mazhab kita tidak melarang sarana-sarana duniawi tetapi bergantung penuh atasnya adalah dilarang”.

Beliau(as) berkata:-
            “Lihat! Orang-orang yang telah bai’at dan berikrar, mengatakannya dengan lidah adalah mudah, tetapi amat sukar untuk menghayatinya. Ini kerana syaitan sedang berusaha untuk menjadikan insan tidak peduli kepada agama. Dia memperlihatkan dunia itu mudah bersama dengan faedah-faedahnya yang menarik serta menjauhkan agama daripada mereka. Dengan itu, hati menjadi keras dan kehidupan yang seterusnya menjadi lebih buruk berbanding sebelumnya. Jika hendak menjadikan Tuhan itu redha, maka hayatilah lafaz ikrar untuk menjauhi dosa dan tanamkan keberanian serta usaha gigih.”

Berkata lagi:-
            “Jangan memperkatakan tentang fitnah, jangan sebarkan kejahatan, bersabarlah atas penghinaan, jangan bertindak melawan sesiapa, orang yang hendak bertengkar, perlihatkan adat yang baik dan lemah lembut kepada mereka. Pamerkan ucapan-ucapan yang baik. Amalkanlah setiap perintah dengan hati yang tulus agar Tuhan redha. Selepas bai’at, permusuhan yang ada hendaklah ditamatkan. Berikanlah kesaksian yang benar di mahkamah. Orang-orang yang masuk dalam Jemaat ini hendaklah dengan sepenuh hati, penuh keberanian dan seluruh jiwa akan akan melakukan kebenaran.” (Zikir Habib, halaman 436-439)

Dalam bulan Mac 1903, semasa Hari Raya, beliau(as) berkata di hadapan beberapa sahabat yang sedang duduk:-
            “Lihat! Tuan-tuan yang telah bai’at pada waktu ini dan yang sebelumnya telah bai’at, saya memberikan beberapa nasihat, oleh itu dengarkanlah baik-baik.”

            “Bai’at anda semua ini adalah bai’at taubat. Taubat itu ada dua jenis. Taubat yang pertama ialah memohon keampunan atas dosa-dosa sebelumnya dan berusaha memperbaikinya, dan berusaha menjauhi dosa-dosa pada masa akan datang dan menghindari diri daripada api dosa-dosa itu.
           
            Allah Ta’ala telah berjanji akan mengampunkan semua dosa-dosa sebelumnya dengan syarat taubat itu dibuat dengan hati yang suci dan ikhlas, serta tidak ada niat atau tujuan lain di sebalik itu. Tuhan mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati. Tuhan tidak boleh ditipu. Oleh sebab itu, jangan cuba untuk menipu Tuhan, bertaubatlah dengan penuh kebenaran dan bukannya kemunafikan. Taubat itu bukannya tidak bermanfaat untuk insan, dan ia bukan hanya untuk kiamat, tetapi dengan taubat itu, keduniaan dan agama seseorang boleh menjadi lurus. Dan mereka akan mendapat kebaikan di dunia ini dan juga di akhirat nanti.”
(Malfoozat Jilid 5, halaman 187, 188)


No comments:

Post a Comment