Dalam khutbah kali ini, antara lain Huzur mengatakan:-
Orang
yang membaca buku-buku Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam terdapat berbagai
niat. Ada yang membacanya hanya bertujuan untuk mencari suatu bahan yang boleh
dikritik. Mereka tidak berusaha memahami apa yang ditulis. Orang yang seperti
itu juga sanggup mencari suatu bahan kritikan walaupun terhadap Kalam Allah
Ta’ala. Sebab itu Allah Ta’ala menyatakan dengan tegas bahawa Al-Quran itu
adalah sebagai penawar untuk orang-orang yang beriman dan sumber petunjuk
manakala bagi mereka yang melampaui batas, ia akan membawa mereka ke arah
kerugian sehingga semakin jauh daripada Allah Ta’ala. Walaupun ia adalah Kalam
Allah Ta’ala, ia tidak akan memberi manfaat sekiranya tidak dibaca dengan hati
yang suci.
Berkenaan
dengan kepentingan mendirikan solat, terdapat suatu kisah dalam kehidupan
Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam di mana beliau terlibat dalam perbiacaan kes di
mahkamah. Ketika waktu solat tiba, perbicaraan masih belum bermula, Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam pergi menunaikan solat. Dan semasa ketiadaan beliau,
nama beliau telah dipanggil untuk menghadirkan diri. Dan dalam undang-undang
mahkamah, jika satu pihak tidak hadir, maka kes itu akan berpihak kepada pihak lawan.
Namun, Allah Ta’ala menyukai perlakuan beliau sehingga hakim tidak
memperhatikan kehadiran beliau dan kes itu berpihak kepada beliau dan ayahnya.
Berkenaan
dengan kepentingan solat berjemaah, Hazrat Muslih Mau’ud ra menjelaskan;
seseorang itu harus mengumpulkan semua ahli keluarga untuk solat berjemaah.
Semua ini tidak diperhatikan oleh kebanyakan orang. Kita harus hindari
perbuatan mendirikan solat secara bersendirian dan beralih kepada solat secara
berjemaah. Jika Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam tidak solat di masjid, beliau
akan solat di rumah bersama ahli keluarga, dan sangat jarang sekali didapati
bahawa beliau solat bersendirian. Malah bukan sahaja beliau bersama isteri dan
anak-anak, wanita-wanita lain juga turut solat bersama. Jadi, jika anggota jemaat
tidak dapat melaksanakan hal seperti ini, sekurang-kurangnya hendaklah
melibatkan isteri dan anak-anak dalam solat berjemaah.
Kita
semua harus berusaha mendirikan solat berjemaah di mana pun berada. Jika suatu
kampung itu besar, pengaturan harus dibuat dalam kelompok yang kecil. Dan jika
tidak ada masjid, harus berusaha mendirikannya. Dengan itu, kepentingan solat
berjemaah akan dapat ditanamkan dengan baik walaupun sekadar bersama isteri dan
anak-anak.
Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam sangat menekankan agar setiap orang dapat
melaksanakan solat sesuai dengan tuntutan-tuntutannya. Hazrat Muslih Mau’ud ra
berkata bahawa jika solat dapat didirikan dengan penuh perhatian, ia sangat
indah. Tetapi jika lalai maka ia menjadi tidak berguna. Keindahan solat terletak
pada cara ia disempurnakan. Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam menjelaskan agar
jangan mendirikan solat ibarat ayam mematuk bijian, cara seperti itu tidak
memberi apa-apa manfaat, bukan sahaja setakat itu malah ia boleh mengundang
kemurkaan Tuhan.
Ada
yang merungut kepada Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam bahawa anak-anak muda
tidak terbiasa memberikan salam kepada orang yang lebih dewasa. Beliau menjawab
bahawa; perintah menyampaikan salam adalah untuk semua, yang muda dan juga yang
dewasa.
Kenapa
kita tidak mahu mengamalkan ajaran Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam dan
mengambil berkat Allah Ta’ala. Jika ada yang tidak mahu mengikuti ajaran
Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, kenapa kita tidak menjadi orang pertama
dalam perkara ini? Tidak ada perintah yang mengatakan bahawa orang muda yang
harus memberikan salam kepada orang yang lebih dewasa. Jika orang muda tidak
memberi salam, maka orang yang lebih dewasa yang perlu memulakannya sebagai
ganti dari menyampaikan apa-apa kritikan. Orang senior harus meresapkan
pelajaran ini dalam diri mereka. Semua pegawai yang lebih dewasa harus
menunjukkan contoh yang terbaik.
Ada
juga aduan yang sampai bahawa ada beberapa orang dewasa tidak menjawab salam
daripada orang lain. Ringkasnya, kebiasaan memberi salam hendaklah disematkan
dalam diri semata-mata menjunjung tinggi nasihat Rasulullah sallallaahu alaihi
wasallam berkenaan dengan perkara ini.
Dalam
soal keimanan, ia sangat aneh dan luar biasa. Terdapat satu kisah di mana
Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dibicarakan atas pertuduhan sebagai musuh ke
atas orang-orang Arya. Dan beberapa majistret datang ke Lahore dan menekan majistret
di situ untuk memberikan hukuman ke atas beliau walaupun cuma meletakkan beliau
sehari di penjara. Orang ramai pun mula menunjukkan rasa tidak suka terhadap
beliau. Khawaja Kamaluddin dan beberapa yang lain sampai di sana. Mendengar hal
itu, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam berkata kepada Khawaja Kamaluddin:
“Khawaja Sahib! Apa yang tuan katakan ini? Adakah orang boleh meletakkan tangan
mereka di atas Singa Allah ini?”
Akhirnya,
Allah Ta’ala memberi hukuman ke atas majistret itu dengan memindahkannya ke
Gurdaspur dan telah diturunkan pangkat. Majistret lain telah dihantar untuk
mendengar kes.
Inilah
buah keimanan, memang sangat luar biasa. Tidak ada yang boleh mengukurnya.
Kemasukan orang-orang baru dalam jemaat hanya akan menjadi kemajuan kepada kita
sekiranya mereka maju dalam keimanan dan keyakinan. Jika di dalam sebuah rumah
ada 10 liter susu, kemudian ada yang menuangkan air biasa ke dalam susu
tersebut lalu kuantitinya menjadi 20 liter, adakah kita gembira dengan
pertambahan kuantiti susu itu?
Jadi,
kepuasan hati dan kegembiraan kita yang sebenar ialah apabila susu ditambah
dengan susu. Sebab itu, ahmadi lama dan baru hendaklah berusaha meningkatkan
keimanan.
Dalam
setiap kes, Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam sentiasa terbela. Menurut Hazrat
Muslih Mau’ud ra, pertambahan anggota jemaat secara besar-besaran bermula pada
tahun 1903, setiap hari 500 orang dan mungkin lebih menulis surat kepada beliau
untuk menyatakan bai’at.
Pada
zaman Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, di Delhi pernah ada seseorang yang
cuba mempermainkan beliau dengan berpakaian seperti polis dan mengancam beliau
sehingga ada kejadian Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam dipersendakan. Dan apa
yang terjadi, orang yang mempersendakan atau yang menjadikan beliau
dipersendakan oleh orang ramai telah terjatuh dari atas bangunan rumah sendiri sehingga
meninggal dunia. Ini kerana orang itu telah menghina orang yang dikasihi oleh
Allah Ta’ala.
Hari
ini, mereka yang cuba mempersendakan Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam,
kekasih Allah Ta’ala, adakah mereka akan terhindar dari kemurkaan Allah Ta’ala?
Tidak, mereka akan mendapat kehinaan dari Allah Ta’ala.
Respon
atau tindakbalas yang perlu diperlihatkan oleh orang Islam bukanlah sepatutnya
melalui tangan atau senjata mereka, tetapi dengan doa-doa. Dan malangnya, ini
hanya diketahui oleh orang-orang Ahmadi. Jadi, apa yang kita perlu buat ialah
sibuk berdoa dalam hari-hari genting ini.
Berkenaan
dengan Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam juga ramai orang memperkatakan bahawa
beliau akan dijangkiti penyakit taun, tetapi sebaliknya orang yang berkata itu
sendiri menderita penyakit berkenaan.
Jadi,
majukanlah diri dan perlihatkan kepada dunia suatu perubahan. Kuatkan
ketakwaan, sucikan diri, perbaiki hubungan dengan Allah Ta’ala. insyaAllah
orang akan cenderung kepada kita. Ingatlah bahawa Ahmadiyah hanya akan
berkembang melalui orang-orang seperti itu. Sekali kamu sudah berada dalam
tingkatan ini atau setidak-tidaknya sudah mendekati kedudukan ini, maka,
walaupun kamu tidak melangkah ke dunia luar, walaupun kamu hanya duduk di suatu
tempat yang tersembunyi, sudah pasti orang akan datang dan berkumpul di
sekeliling kamu dan insyaAllah akan turut bergabung di bawah bendera Ahmadiyah.
Ada
seorang sahabi Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam, Hazrat Maulvi Burhanuddin
Sahib. Beliau sangat mukhlis. Sebelum bai’at, beliau seorang yang terkenal
dalam kelompok Wahabi kerana kedudukannya. Setelah menjadi Ahmadi, beliau telah
menjadi sangat sederhana sehinggakan apabila melihatnya, orang tidak mungkin menyangka
bahawa beliau ini berilmu atau seorang ulama terkenal, orang akan menganggapnya
seorang buruh biasa. Pernah sekali ketika balik dari bertemu dengan Hazrat
Maseeh Mau’ud alaihissalam, dalam perjalanan beliau dilempari dengan kotoran
kerbau oleh para penentang sehingga pernah juga mulut beliau disumbat dengan
kotoran itu. Namun, setiap kali lemparan beliau terima, beliau jawab dengan
begitu gembira; “Beruntung sekali! Dari mana datangnya hari yang sangat membahagiakan
ini.”
Hazrat
Muslih Mau’ud ra berkata: Bekerja dengan cara pantas boleh mengubah nasib
seseorang dan anak-anak juga hendaklah banyak berfikir dan bekerja pantas. Bukanlah
bermakna bekerja pantas sahaja dan hasilnya tidak memuaskan. Bekerja hendaklah
dilakukan dengan sepenuh hati. Seseorang yang bekerja dengan pantas setelah
berfikir panjang dan penuh hati-hati adalah tentera Allah Ta’ala. Kemalasan
akan mengundang masalah, suatu tugas yang tidak disiapkan dalam masa yang
ditetapkan akan tertangguh dan tertangguh. Ini bukan hanya di kalangan
anak-anak, malah orang dewasa dan para pemegang jawatan juga harus
mengembangkan kepantasan dalam membuat suatu tugasan. Ini kerana kita adalah
pengikut Hazrat Maseeh Mau’ud alaihissalam yang memanfaatkan setiap saat yang
ada kerana Allah Ta’ala memberitahu beliau bahawa jangan sampai masa kamu
terbuang begitu sahaja. Jadi kita harus merenungkan perkara ini.
Hazrat
Muslih Mau’ud ra berkata: “Saya melihat beliau (Hazrat Maseeh Mau’ud
alaihissalam) bekerja sepanjang hari di rumah tetapi beliau juga berjalan
keluar rumah sekurang-kurangnya sekali. Beliau sangat disiplin tentang perkara
ini di samping umur dan pekerjaan. Beliau mengatakan bahawa berjalan di ruang
udara yang terbuka sangat bermanfaat untuk otak”.
Hazrat
Muslih Mau’ud berkata: “Jika dapat laksanakan seperti ini, maka kita akan
memberi manfaat untuk dunia dengan kesihatan dan otak yang cerdas”.
Pada
masa kini juga, anak-anak dan golongan remaja hendaklah didedahkan dengan
perkara ini iaitu bermain di ruangan udara terbuka. Setiap hari setengah hingga
satu jam hendaklah diperuntukkan dalam aktiviti ini. Zaman computer dan games
kebelakangan ini menjadikan bermain di ruangan terbuka adalah satu keperluan.
Hazrat
Muslih Mau’ud ra juga menjelaskan bahawa kita tidak seharusnya memperlihatkan
ketakutan terhadap para penentang. Sekiranya para musuh melihat kita dalam
ketakutan, maka mereka akan segera datang kepada kita untuk menambahkan lagi
ketakutan kita sehingga kita benar-benar takut terhadap kematian.
Allah
Ta’ala menyatakan di dalam Al-Quran bahawa syaitan akan menjadikan orang-orang
penakut itu sebagai kawan. Tetapi orang yang berani dan menganggap serangan dan
kesusahan sebagai kurnia daripada Allah Ta’ala, dan merasakan Allah Ta’ala
sedang memberikan kehormatan kepadanya melalui pukulan para penentang ini, maka
para musuh dan penentang ini yang akan tergamam dan akhirnya mereka akan merasa
malu.
Allah
Ta’ala berfirman di dalam Al-Quran: “Maka apabila engkau telah selesai tugas,
maka berusaha keraslah mencari keredhaan Allah, Dan kepada Tuhan engkaulah
hendaknya engkau mengarahkan perhatian. (Alam-Nasyrah:8-9)
Inilah
kehalusan yang mesti kita selalu ingat. Tidak ada selain kamu di dunia yang
melaksanakan ayat ini. Pekerjaan seorang yang beriman ialah sentiasa menjadikan
diri dalam keadaan sibuk. Dan inilah rahsia kepada kejayaan peribadi dan juga
kemajuan serta keberhasilan diperingkat nasional.
Semoga
Allah memberkan kita semua kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Amin.