Author: abgsedapmalam
Time: 24-9-2014
11:12 AM
Title: KONFLIK
ISRAEL-PALESTIN DARI SUDUT PANDANG KATOLIK
KONFLIK ISRAEL-PALESTIN DARI SUDUT PANDANG
KATOLIKCalvin Ohsey
Konflik
antara Israel dan Palestin adalah satu konflik antarabangsa. Justeru itu ia
perlu ditelusuri dengan dalam daripada pelbagai aspek agama, bangsa,
geo-politik serta sejarah yang berusia beribu-ribu tahun.
Jika
dinilai daripada satu sudut, maka prejudis serta kebencian emosi akan
menjadi-jadi. Malah di Malaysia, saya risau melihat kebencian umat Islam
terhadap Israel lebih bersifat agama yang diluahkan secara sempit. Saya agak
kurang bersetuju kerana gerakan keganasan yang berlaku di Israel didalangi oleh
gerakan politik Zionis dan bukannya kesemua umat Yahudi. Jadi ianya tidak adil
jika kesalahan itu diletakan pada sesuatu agama atau bangsa.
Apa
yang juga jelas, tetapi dilupakan di Malaysia, adalah realiti bahawa ramai
Kristian juga antara mangsa di Palestin. Masyarakat Kristian Palestin antara
minoriti yang juga dihalau dari tanah mereka akibat kekejaman dasar penindasan
rejim zionis.
Malah
golongan Kristian yang terikat dengan konflik ini terdiri daripada banyak
mazhab: ada yang Katolik Barat, ada yang Katolik Timur, Ortodox, Luteran dan
sebagainya. Kesemuanya menganggap Yerusalem (Al-Quds) sebagai kota suci dalam
sejarah perkembangan kepercayaan agama Kristian.
Di
sini rakyat Malaysia mempunyai satu cabaran yang harus disahut dengan nuanza
yang kritis: iaitu mengiktiraf keunikan setiap identiti agama yang terbabit
dalam konflik Israel-Palestin tanpa terjerat ke dalam sentimen kelompok yang
sempit sehingga membawa kepada prejudis yang menjadi-jadi.
Bak
kata lain cabarannya ialah dalam memperjuangkan keamanan atas dasar kemanusiaan
dan pada waktu yang sama memerlihara hak setiap identiti yang terbabit.
Ini
boleh, malah pernah, dilakukan. Contohnya seperti Edward Said, antara
cendekiawan dan aktivis termasyhur di dunia. Beliau berlatarbelakang Kristian
Palestin, namun bertungkus lumus sepanjang hayatnya untuk memperjuangkan
kebebasan Palestin atas dasar kemanusiaan.
Di
sini saya ingin menjelaskan sedikit sebanyak sudut pandang Katolik terhadap isu
ini, dengan harapan ia boleh meluaskan ruang dialog.
Anda
akan lihat perbezaan yang ketara dengan perspektif Muslim dari segi sejarah,
tetapi harapan saya ialah persamaan yang ada juga ketara dan penting, dan boleh
mengilhamkan landasan untuk perpaduan dan kerjasama lanjut.
Bangsa
Israel berdasarkan Alkitab
Dalam
Alkitab, nabi Abraham (Ibrahim) mempunyai 2 isteri iaitu Hagar dan Sarah.
Melalui Hagar, Ismael (Ismail) dilahirkan dan keturunannya tersebar di kawasan
Arab. Sementara itu, Sarah melahirkan Ishak pada usianya yang agak lanjut.
Ishak mempunyai dua orang anak yang bernama Esau dan Yakub.
Yakub
pula mempunyai keturunan yang besar iaitu 12 anak: Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda,
Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, Asyer dan Yusuf. Melalui
anak-anak Yakublah, mereka menjadi nenek moyang bagi 12 keturunan suku bangsa
Israel.
Sehinggalah
kejadian Yusuf dijual kepada rakyat Mesir, dan seluruh keturunan Yakub
berpindah ke Mesir. 400 tahun lamanya mereka tinggal aman di Mesir sehingga
diperhambakan.
Kemudian
muncul Nabi Musa dan nabi Harun yang turut serta dalam misi membebaskan umat
Israel daripada perhambaan dan membawa mereka kepada tanah perjanjian mereka
seperti yang dijanjikan Tuhan.
Sehingga
tahun 1050 SM, umat Israel berkembang dan perlahan-lahan sehingga menguasai
seluruh tanah Kanaan (yang kini dikenali Palestina) dan nabi mereka Samuel
ketika itu mula melantik Saul sebagai raja atas permintaan umatnya.
Sistem
beraja kerajaan Israel diteruskan lagi kepada nabi Daud dan Salomo (Sulaiman)
sehingga kerajaan Israel terpecah dua bahagian iaitu kerajaan Israel di
bahagian utara dan kerajaan Yehuda di bahagian selatan. Perpecahan yang terjadi
kerana perebutan kuasa antara keturunan Raja Salomo. 10 suku pro kerajan Israel
manakala 2 suku iaitu suku Benjamin dan suku Yehuda yang merupakan pro kerajaan
Yehuda.
Kerajaan
Isreal hancur apabila diserang bangsa Assyria pada tahun 722 SM dan keberadaan
10 suku ini sehingga kini masih lagi menjadi misteri. Kerajaan Yehuda pula
bertahan sehinggalah di serang oleh kerajaan Babilonia pada tahun 586
menyebabkan mereka diusir daripada Yerusalem. 2 suku (membentuk Yahudi masa
kini) iaitu Benjamin dan Yehuda inilah yang terselamat dan bertahan sehingga
kini.
Kemudian
penguasaan asing beterusan lagi dibawah kekuasaan Raja Persia, Cyprus dan
Darius dimana bangsa Israel yang terselamat dibenarkan kembali dan membangunkan
kembali Yerusalem.
Penguasaan
Alexander the Great turut menyaksikan bangsa Israel masih bertahan di Yerusalem
sehingga tahun 165 SM dimana Yudas Makabe melakukan revolusi yang dikenali
sebagai Revolusi Makabe yang berakhir berjaya ditahun 163 SM dan Israel menjadi
negara merdeka selama 100 tahun.
Kemerdekaan
dinikmati singkat kerana bangsa Israel dijajah lagi oleh kerajaan pagan Romawi.
Pada tahun 70 AD, majoriti umat Israel diusir lagi daripada Yerusalem sehingga
berselerak ke seluruh muka bumi.
Kemudian
penguasaan Romawi diganti kerajaan Kristian Byzantium, Tentera Salibi, monarki
Arab, Khalifah Turki Uthmaniyah (1517 hingga 1917) dan British sehingga
akhirnya tahun 1948 bangsa Yahudi dikumpulkan dan ditempatkan ditanah asal
mereka setelah diberi kemerdekaan oleh PBB dan membentuk negara Israel seperti
yang dikenali sekarang.
Sejarah
Palestin
Palestin
mahupun Palestina berasal dari terjemahan Ibrani iaitu Pelesheth; sebutan
Yunani menyebut Philistine. Mengikut kajian sejarah, bangsa asal Palestin
merupakan para pelaut Eropah yang berasal dari Yunani. Wilayah Gaza dulu
bernama Philistia atau rumah para.
Setelah
umat Israel dijanjikan wilayah Kanaan sebagai tanah perjanjian, wilayah ini
merupakan penempatan bangsa asal Palestin ketika itu.
Bangsa
asal Palestin di Kota Gath, wilayah Philistia ketika itu terlalu kuat
sehinggalah Daud mampu menewaskan Goliat yang dikatakan bertubuh raksasa dan
sekaligus menguasai menguasai seluruh tanah Kanaan dan bangsa Palestin serta
bangsa-bangsa lain ketika itu sebagaimana yang diceritakan dalam Alkitab
Perjanjian Lama.
Saat
kerajaan Babilonia menakluki kerajaan Israel, suku bangsa asli Palestin ini
akhirnya musnah.
Semasa
Israel berada dibawah kerajaan Romawi selepas 100 tahun Revolusi Makabe,
Hadrian penguasa Roma saat itu mengabungkan wilayah Samaria, Yudea, Galilea dan
Idumea dalam satu propinsi yang disebut Syria Palastina. Hadrian mempunyai niat
untuk melenyapkan Israel daripada sejarah. Disaat itu dia sedar bahawa bangsa
asli Palestin seperti yang ada dalam Alkitab adalah musuh bangsa Israel,
Hadrian sengaja menggunakan nama Palastina untuk menyakiti hati kaum Yahudi.
Pada
tahun 330 AD hingga 638 AD Kerajaan Kristian Byzantium menguasai Palastina
diikuti pada tahun 638 kerajaan Arab menguasai Palestin selama 461 tahun.
Tentera Salibi pada tahun 1099 AD menguasai Palestina dalam kempen Perang Salib
tapi pada tahun 1244 AD, monarki Arab kembali mengambil alih Palestina.
Sepanjang
tempoh orang Arab memerintah, penghijrahan bangsa Arab ke Palestin telah
membentuk suatu entiti baru bagi bangsa Palestin sehingga menjadikan umat
Israel yang ada ketika itu sebagai majoriti kecil.
Pada
tahun 1517 kerajaan Turki Uthmaniyah menyerang kerajaan Arab dan mengambil alih
wilayah Palestina selama lebih dari 400 tahun. Dalam siri penjajahan ini,
bangsa Arab Palestin dan Yahudi bersama-sama menjadi korban penjajahan bangsa
lain. Pada tahun 1917
British
mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah dan menguasai Palestina hingga tahun
1948.
Kedudukan
Israel dan Palestin dari sudut kaca mata umat Kristian
Negara
Israel sekarang masih lagi belum menepati ciri-ciri yang ada dalam Alkitab
disebabkan ianya lebih kecil daripada kerajaan Israel semasa raja Daud. Namun,
jika disoroti teliti, umat Israel tetap mempunyai hujahnya tersendiri membentuk
negara mereka setelah kira-kira 3300 tahun bangsa ini dijajah.
Sepanjang
mereka dalam buang, mereka juga tidak dilayan dengan baik di negara-negara
asing bahkan ada usaha penghapusan etnik di Jerman dibawah Nazi.
Janji
Tuhan sendiri telah berfirman kepada Nabi Musa dalam petikan Alkitab Perjanjian
Lama ada menyebut,
“Aku
akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu.
Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku
membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu
masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada
Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai
milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.”
(Keluaran
6:7-8)
Mewakili
komuniti umat Kristian terbesar di dunia, Gereja Katolik memainkan peranan
penting dalam menjaga hubungan baik antara Israel dan Palestin.
Gereja
Katolik juga menyokong penuh usaha Palestin dalam membentuk negara merdekanya
tersendiri dengan temeterainya perjanjian Inter Sanctam Sedem atque Consilium
pro Liberatione Palaestinae (Perjanjian Asas Antara Takhta
Suci dengan Organisasi Pembebasan Palestin).
Hubungan
Vatikan dengan Israel dan Palestin terjalin sejak tahun 1948. Gereja
menyokong referendum pembentukan 2 negara yang dicadangkan PBB pada tahun 1947,
hubungan baik antara agama Yahudi dan Islam, pentadbiran Gereja ke atas
komuniti Katolik di Palestin dan Israel, status quo perlindungan terhadap
rumah-rumah ibadat ketiga-tiga agama di Yerusalem (Baitulmaqqdis) daripada
ancaman serta intimidasi serta segala usaha kemanusiaan dalam mencapai keamanan
sejagat bagi Israel dan Palestin.
Kesimpulan
Jadi
saya mengajak pembaca untuk berfikir dengan lebih tentang makna sebuah
pembentukan keamanan oleh Paus Fransiskus:
“Pembentukan
keamanan menyeru kepada ketabahan, yang melebihi daripada peperangan. Ia
merupakan keberanian untuk mengatakan ‘ya’ kepada dialog dan ‘tidak’ kepada
keganasan; ‘ya’ kepada rundingan dan ‘tidak’ kepada pertikaian; ‘ya’ kepada
kehormatan perjanjian dan ‘tidak’ kepada tindak tanduk provokasi; ‘ya’ kepada
kejujuran dan ‘tidak’ kepada talam dua muka. Kesemua ini memerlukan ketabahan,
dengan kekuatan serta kesungguhan.”
Memetik
kata-kata Pakistan Votes sebagai penutup makalah, “Jikalau kamu tidak bangun
menyuarakan bagi penindasan yang dilakukan terhadap Syiah, pembunuhan terancang
Ahmadiyah, pengeboman gereja dan pembakaran kuil/tokong, mangsa undang-undang
penghinaan agama, rogol serta pembunuhan, dan kesemua yang dibunuh oleh
pengganas seperti TTP, ISIS dan Boko Haram dan hanya bersuara untuk Gaza, maka
kamu bukanlah pro hak asasi manusia, tetapi hanyalah anti-Israel.